Tuesday, July 25, 2017

ASPEK REMEH PENGUNDI AMBILKIRA

-->

PRU-14: APA PENGUNDI MAHU?



PETANG ini, sekali lagi Sinar Harian menganjurkan Wacana Sinar. Siri ke-48 ini membicarakan sebuah topik yang hangat ~ Pakatan Harapan VS Barisan Nasional; Mari Kita Nilai. Tiga orang tokoh yang berpengalaman telah sudi untuk membicarakan topik ini.Moderator wacana ini ialah Nazri Kahar dari Astro Awani.

Panel pertama, Dr. Maszlee Malik, memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance, University of Durham, UK. Pensyarah kanan di Jabatan Fiqh & Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM ini juga adalah seorang pendakwah dan aktivis sosial yang juga telah menulis tidak kurang 10 buah buku yang antaranya berjudul Al-Aqsa Di Ambang Kehancuran.

Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani pula adalah seorang pensyarah di School of International Studies, UUM. Lulusan pengajian Politics And International Relations, Keele University, United Kingdom ini juga tekah menulis beberapa buah buku, termasuk yang terkini, buku berjudul Dinamika Wacana Politik Malaysia dan Global yang terbit pada tahun ini. Beliau juga telah menulis berbelas buah jurnal dan berpuluh buah penyelidikan mengenai politik antarabangsa.

Panel ketiga, Wan Saiful Wan Jan adalah Ketua Eksekutif IDEAS, atau Institute for Democracy and Economic Affairs, sebuah institusi penyelidikan yang memegang prinsip keadilan dan kesaksamaan yang mengusahakan solusi terhadap dasar-dasar rakyat. Beliau pernah menganggotai pelbagai badan penasihat yang di antaranya Commonwealth Policy Studies Unit, Parti Konservatif Britain. Buah pemikirannya pernah mendapat perhatian media antarabangsa termasuk BBC, Reuters, Asian Wall Street Journal, International Herald Tribune, Al-Jazeera dan The Economist. Kini, beliau adalah kolumnis di akhbar The Star.
Semakin sehari, semakin terbentuk senario yang bakal berlaku pada PRU-14. Pakatan Harapan sudahpun menghantar cadangan logonya ke Pendaftar Pertubuhan. Apabila diluluskan, buat kali pertama, parti pembangkang akan berkongsi bendera yang sama. DAP, PKR, Amanah dan Bersatu telah berkompromi untuk mempunyai identiti yang serupa bagi menentang Barisan Nasional. Imej dacing warna putih berlatarbelakangkan warna biru gelap akan digandingkan dengan tulisan berwarna putih HARAPAN, dengan latarbelakang warna merah.
Merah lawan biru. Bagi yang sudah terbiasa dengan bendera BN mereka mudah kenal kumpulan manakah yang empunya bendera itu. Buat mereka yang memandang bendera Pakatan Harapan, imej itu adalah sesuatu yang pelik kerana ia sebuah simbol baharu. Bendera Pakatan Harapan perlu menenggelamkan imej  bendera Barisan Nasional sebelum orang awam selesa dengan kehadiran bendera itu. Memenangi hati melalui bendera adalah tugas yang berat buat Pakatan Harapan. Berat kerana ia soal memenangi hati; soal psikologi.
Kedua-dua kumpulan mempunyai tokoh-tokoh yang terkenal lagi berkaliber. Isu-isu yang berat akan dibicarakan. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Liow Tiong Lai, Tun M, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamed Sabu mahupun Dr. Wan Azizah. Tetapi yang akan menjadi tarikan audien ialah siapakah yang bercakap itu. Walaupun ia belum pasti diterjemah menjadi undi, tetapi pada kali ini, kedua-dua pihak punyai peluang yang sama rata untuk menarik perhatian.
Isu-isu yang dibentangkan belum tentu akan kekal di dalam fikiran para pengundi. Apa jua jenis habuan, insentif mahupun hadiah akan menggembirakan tetapi tidak semestinya dikenang. Begitu juga sebaliknya hal-hal skandal, penyelewengan, kecuaian dan seumpamanya hanya akan diperkata dan diperheboh, tetapi tidak akan lekat di fikiran.
Pengundi sendiri pun bukan seperti pengundi dahulu yang lurus, jujur dan baik-baik hingga sanggup memaafkan, angguk-angguk dan mengenang budi. Para pengundi sendiri pun ramai yang punyai pelbagai dosa-dosa peribadi hingga tidak berasa hairan jika ada pemimpin yang berdosa lebih besar daripadanya. Mereka tidak akan mengundi berdasarkan siapa yang lebih kecil dosanya.
Lagipun, manusia pada hari ini punyai ingatan yang singkat. Hari ini dia marah, esok dia boleh suka kembali. Perkembangan teknologi dan kehidupan manusia itu sendiri yang menjadikan manusia sentiasa memandang ke hadapan dan jarang-jarang sekali menoleh ke belakang. Cerita-cerita semalam tidak akan lekat jika diungkit-ungkit. Lebih baik ditutup sahaja sehingga para pengundi terlupa. Pengundi pada hari ini hendakkan hari esok yang gemilang, bukan marah-marah mengenai semalam yang penuh hitam.
Pengundi hendak tahu apa yang ada untuk mereka sebelum menurunkan undi. Mutiara kata, ‘jangan tanya apa yang negara boleh buat untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh buat untuk negara’ sudah menjadi sekadar ‘apa yang negara boleh buat untuk aku.’
Inilah mantra di hati pengundi. Barisan Nasional dan Pakatan Harapan perlu penuhi kehendak ini. Mungkin aspek ini akan dikupas para panel nanti.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.7.17.

Tuesday, July 18, 2017

DI ANTARA PENGUIN DAN TIKUS

-->

piccredit: naturalworldsafaris


DI ANTARA SPECIALIST  
DAN
GENERALIST
ORANG di kampung lazimnya punyai pelbagai kebolehan dan kemahiran. Untuk kehidupan seharian, mereka boleh membela ayam-itik, atau lembu-kerbau. Apabila tiba waktunya binatang ternakan itu boleh dijual atau disembelih sendiri. Mereka boleh bercucuk tanam, mengambil hasil untuk kegunaan sendiri atau menjualnya.
Membela binatang ternak, menyembelih mahupun menjualnya hasil belaan mereka memerlukan kemahiran ~ kemahiran ilmu ternakan, ilmu niaga dan ilmu butchery. Bertani pun memerlukan seseorang itu mempunyai ilmu pertanian dan ilmu niaga.  Ramai juga di kalangan mereka yang mengetahui ilmu herba. Mereka punyai ilmu khasiat pelbagai tumbuhan di sekitar kawasan rumahnya.
Orang di bandar sebaliknya punyai ilmu yang terhad. Kemahiran ilmu yang ada lazimnya ilmu di bidang kerjayanya sendiri. Jika mereka bertugas di jabatan akaun, mereka punyai ilmu perakaunan. Jika punyai kelulusan pemasaran, mereka punyai ilmu pemasaran.
Mereka yang tinggal di bandar biasanya adalah mereka yang mencari rezeki dengan kelulusan yang ada. Sebilangan besar daripada mereka bekerja dengan syarikat. Dan syarikat pula hanya perlu mereka yang punyai kemahiran khusus di dalam sesuatu bidang.
Justeru jika dibandingkan di antara mereka yang tinggal di kampung dan yang tinggal di bandar, jumlah individu yang punyai pelbagai kemahiran biasanya terdapat di kampung-kampung. Sebaliknya di bandar pula, mereka yang punyai kelulusan yang khusus itu lebih ramai.
Dunia sudah berubah. Jika seseorang itu hanya lulus di dalam sesuatu bidang,  ia tidak dapat menjamin survival seseorang itu. Lebih-lebih lagi jika dia percaya bahawa kelulusannya itu adalah sesuatu yang begitu istimewa sehingga tidak mahu mengenepikannya langsung lalu menambah sesuatu kemahiran yang baharu. Orang yang begini akan ketinggalan, meskipun dia tahu yang dia tidak mungkin dapat survive dalam keadaan yang banyak berubah.
Mengapa, dalam keadaan dunia yang sudah berubah ini terdapat begitu ramai di kalangan mereka yang begitu mengagungkan kelulusan yang ada hingga mengabaikan keperluan memperoleh sesuap nasi? Puncanya mungkin kerana program pendidikan kita sendiri yang merancang untuk matlamat yang sudah lapuk.
Program pendidikan di pusat-pusat pengajian masih lagi berpegang kepada matlamat untuk melahirkan mereka bagi mengisi keperluan industri.  Kerana itu, pusat-pusat pengajian memainkan peranan sebagai kilang sumber manusia. Lazimnya, tempoh latihan bagi mana-mana pengajian mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.
Jika dahulu, model industri tidak banyak berubah meskipun dalam tempoh puluhan tahun. Tetapi keadaan pada hari ini sudah jauh berubah. Tiga tahun adalah masa yang terlalu lama kerana teknologi berubah begitu pantas. Oleh kerana itu, 1,000 pelajar yang dilatih bagi sesuatu kemahiran untuk pelan tiga tahun misalnya, akan mendapati bidang yang ditawarkan sudah tiada lagi apabila mereka tamat latihan.
Malangnya, tiada sesiapa yang memberitahu secara rasmi perubahan yang berlaku. Oleh kerana itu, mereka yang terpilih dan lulus di dalam sesuatu bidang itu masih menaruh harapan bahawa kemahirannya akan diperlukan. Lantas mereka menanti buah yang tak gugur.
Pada hari ini, adalah lebih baik menjadi generalist daripada menjadi seorang specialist. Lebih praktikal menjadi orang yang serba tahu daripada menjadi seseorang pakar dalam hanya sesuatu bidang. Seseorang generalist akan mampu membuat pelbagai tugas atau multi-tasking ~ seseorang yang dua dalam satu, tiga dalam satu ataupun lima dalam satu.

Seseorang generalist mampu melaksanakan pelbagai kerja itu menguntungkan syarikat. Dia menjadi aset kerana dia adalah seorang kakitangan yang misalnya, punyai kemahiran lima orang pekerja. 

Burung penguin itu cantik dan suka dipandang. Tetapi ia hanya boleh hidup di dalam cuaca yang sejuk. Makanannya hanyalah ikan. Maknanya, penguin tidak dapat hidup di kawasan yang panas, jauh daripada laut dan makan selain daripada ikan. Kebarangkaliannya untuk hidup di luar habitatnya amat mustahil.

Sebaliknya, makhluk tikus pula boleh tinggal di mana-mana sahaja. Ia hidup di bandar, di kampung, di hutan, malah di padang pasir. Ia boleh makan apa sahaja termasuk kayu dan plastik! Tikus yang generalist itu lebih mudah survive berbanding dengan burung penguin yang specialist.

Justeru, jika ingin hidup dalam dunia yang serba mungkin ini, kita perlu tahu dan boleh buat apa sahaja.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.7.17...

Tuesday, July 11, 2017

MENTALITI TERNAK II

 


Piccredit: crisismagazine.com

INGIN JADI INSAN
ATAU ORANG?


DARIPADA perpektif sosiologi, setiap kelompok masyarakat mempunyai norma masing-masing. Norma-norma ini merupakan persefahaman tidak rasmi yang menentukan sikap anggota di dalam masyarakatnya. Kumpulan-kumpulan kecil seperti dalam sebuah pasukan sukan atau jabatan akan mempunyai peraturan yang dipersetujui untuk dipatuhi oleh setiap anggotanya. Ia merupakan nilai, adat mahupun tradisi yang dipersetujui bersama.
Manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat. Oleh kerana itu dia perlu akur dengan sesuatu norma kumpulan yang dipilihnya mahupun norma di mana dia berada. Ia menepati peribahasa masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek. Atau, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika dia tidak mematuhi norma masyarakatnya, maka dia akan dicerca dan dihina. Malah, boleh sahaja dipulaukan.
Namun, pada hari ini kebergantungan manusia kepada teknologi kian meningkatkan sikap individualistik seseorang. Jika dahulu, seseorang itu amat mudah berasa sendirian apabila dia dipulaukan masyarakat kerana tidak mematuhi norma masyarakatnya. Kini, seseorang itu tidak berasa sendirian lagi kerana dia punyai ribuan manusia di luar kelompokyang akan bersimpati dengannya.
Jika dahulu, sepasang kekasih yang ditangkap basah akan malu berpanjangan apabila satu kampung mengetahui akan angkara mereka. Apabila dicemuh, dicaci dan diumpat, mereka akan berasa begitu terasing kerana kesalahan mereka. Akhirnya mereka akan malu, insaf dan serik untuk melakukan kesilapan itu.
Pada hari ini, mereka yang begitu boleh pula berbangga dengan angkara yang mereka lakukan kerana ada sahaja mereka di luar kelompok masyarakat yang bukan sahaja memujuk mereka agar bersabar, malah turut memuji tindakan mereka.
Akhirnya, pada hari ini sesiapa sahaja akan berani melakukan apa sahaja yang mencarik adat kerana mereka tahu, akan ada mereka yang akan mengalu-alukan tindakannya yang bertentangan dengan norma masyarakat setempat. Dunia benar-benar tiada sempadan. Seseorang yang tinggal di dalam masyarakat yang berpegang kepada norma timur boleh mendapat sokongan mereka yang berpegang kepada norma barat.

Teknologi komunikasi telah merentas dunia. Tiada sempadan yang mana betul dan yang mana salah kerana majoriti akan sentiasa dianggap betul. Justeru, suara siapa yang lebih lantang, siapa yang lebih garang, maka suara itulah yang dianggap sebagai benar.
Kerana itulah, ada di kalangan kita yang berani sekali melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakatnya. Misalnya, ada insan Islam yang sengaja mahu memegang anjing tidak berasa dirinya tersisih meskipun ditegur oleh para ilmuan agama.
Dia boleh dengan sengaja menolak pandangan yang tidak sesuai dengan pegangannya yang menggunakan hujah logik akal untuk mempertahankan tindakan yang tidak manis pada pandangan agama. Tidak perlu peduli samada tindakannya itu menimbulkan sensitiviti masyarakat setempat kerana ada ratusan manusia di luar kelompok masyarakat setempat yang bersimpati dan menyokong tindakannya.
Dengen perkembangan teknologi komunikasi, norma masyarakat setempat tidak dapat membentuk individu di dalam masyarakat itu sendiri. Malah, ia telah melahirkan manusia yang berfikiran sejagat. Seseorang itu bukan lagi dibentuk oleh masyarakat setempat. Sebaliknya, peribadi seseorang itu dibentuk oleh apa yang menjadi pilihan majoriti manusia di dunia.
Apa akan terjadi sekiranya kita mengenepikan norma masyarakat setempat dan mengambil norma masyarakat dunia yang dipelajari melalui teknologi komunikasi seperti internet? Meskipun kita akan berasa diri ini berfikiran terbuka, sebenarnya kita akan tenggelam di dalam arus mentaliti ternakan atau herd mentality.
Ini adalah kerana, pemikiran, citarasa, perangai dan anutan kita ini akan sama dengan manusia lain. Berbangga menjadi universal man atau global person, tetapi sebenarnya kita seperti mana-mana binatang ternak yang perangainya serupa. Ayam di timur dan ayam di barat itu sama sahaja perangai, malah rupanya!
Manusia itu insan yang berseni kerana jiwa raganya itu sendiri adalah seni.  Seni itu berbeda. Seni akan hilang andainya ada persamaan. Lihatlah cantiknya seni garisan-garisan di ibu jari. Memang sukar sekali untuk menemui seseorang yang mempunyai garisan di ibu jari yang serupa dengan kita. Inilah uniknya suatu kejadian makhluk yang bernama manusia.
Justeru itu, jika kita relakan diri menjadi seperti mana-mana manusia lain di mukabumi ini, kita mahu jadi orang dan bukannya insan. Maka kita samalah seperti buih ~ banyak tetapi ghaib dari pandangan secara tiba-tiba.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.7.17.

Tuesday, July 4, 2017

BAGAIMANA MENULIS MAAF CAKAP

 

DI SEBALIK CATATAN
MAAF CAKAP


SEKALI sekala saya akan bertemu dengan individu-individu yang tersenyum, lantas menerpa dan bersalaman dengan saya. Situasi ini akan mengkagetkan saya. Namun, setelah beberapa kali mengalami situasi begitu, saya dapat mengagak, tindakan mereka itu kerana mereka gembira bertemu  dengan saya secara ‘live.’ Gembira kerana dapat bertemu dengan penulis kolum Maaf Cakap.
Pasti juga saya berasa gembira kerana dapat menyampaikan buah fikiran. Dan pandangan saya itu memberi manfaat kepada para pembaca kolum itu. Tidak menjadi penting samada pembaca mengenali saya. Yang lebih mustahak ialah mereka mengikuti dan memperoleh manfaat daripada catatan saya.
 Mereka yang menyapa saya lalu menyatakan mereka adalah pembaca tetap kolum saya akan bertanya, bagaimana saya memperoleh idea untuk menulis daripada sudut pandangan yang sedikit berbeza daripada lain-lain penulis. Jawapan saya ialah, sudut pandangan yang berbeza akan memperlihatkan wajah yang berbeza bagi sesuatu perkara.
Saya boleh mengulas sesuatu itu daripada sudut pandang mata burung. Dan saya boleh juga memberi pandangan daripada mata ikan. Sudut pandangan daripada atas atau daripada bawah. Namun, lazimnya saya akan catat daripada dalam sesebuah itu sendiri. Pandangan daripada dalam ke luar, bukannya pandangan dariupada luar ke dalam sebagaimana lazimnya.
Biasanya, sesebuah idea penulisan itu datang secara spontan, terutamanya tatkala berbual dengan kawan-kawan. Sering kali juga, ketika saya menyampaikan pendapat, hati saya berkata, ‘Oh, bagus juga jika pandangan ini dijadikan bahan tulisan untuk kolum Maaf Cakap minggu ini.’
Lantas, saya akan catat beberapa frasa mengenai topik berkenaan di dalam sebuah buku nota yang sentiasa tersimpan di poket saya. Dalam hal menyimpan idea, saya ini jenis ‘old school.’ Tidak selesa mencatat idea ke dalam telefon pintar kerana membuka buku nota lebih cepat daripada terkais-kais skrin telefon untuk membuka buku nota yang ada di dalamnya. Seringkali saya akan melencong melihat mesej atau apa sahaja yang lain hingga terlupa niat asal yang membuka telefon saya itu!
Ada juga topik yang menjadi sesuatu idea tulisan tercetus apabila saya berasa tersentuh dengan sesuatu perkara. Apabila saya berasa emosional mengenai sesuatu isu yang menjadi bualan, hati saya terus menguja untuk menjadikan ia bahan tulisan. Namun, topik-topik yang biasanya menjadikan saya emosional itu memang sukar untuk saya catat dengan segera kerana bahasa kasar dan kesat bukan konsep kolum Maaf Cakap.
Saya perlu tenangkan diri terlebih dahulu sebelum menulis. Dan, saya akan edit kembali tulisan saya itu beberapa kali supaya pemilihan istilahnya lebih halus dan berlapik. Ia dilakukan agar sesiapa yang membacanya tidak jadi tak tentu arah kerana terpengaruh dengan bahasa yang saya gunakan. Mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.
Saya boleh menulis seperti orang mengamuk yang melibas sesiapa sahaja di sekeliling. Tulisan sebegitu boleh mempengaruhi para pembaca untuk turut sama diamuk perasaan marah dan benci yang membuak-buak. Ataupun saya boleh menulis seperti orang yang menghiris dengan pedang yang tajam. Bisanya hanya dirasai secara diam-diam. Kata orang, makan dalam.
Cara makan dalam ini lebih berkesan meskipun ia tidak menampakkan reaksi yang terzahir. Biasanya kesan tulisan yang dirasai secara perlahan-lahan itu lebih lama bertahan. Ia menjadikan seseorang yang membaca itu memperoleh santapan minda yang enak. Yang penting, pembaca akan teringat-ingat. Ingatan itu pula lebih ditujukan kepada diri sendiri. Mudah-mudahan seseorang pembaca itu akan dapat memperbetul dirinya sendiri.
Bagaimana pun, apakah catatan Maaf Cakap saya ini turut memberi kesan kepada diri sendiri? Sememangnya begitulah. Tiap kali saya mencatat, saya juga jadikan ia cermin buat diri ini. Kerap kali juga catatan saya ini kena pada batang hidung sendiri. Ya, ada juga saranan yang saya catat itu saya sendiri belum lakukan. Justeru, apakah saya hanya pandai menasihat tetapi cakap tak serupa bikin?
Inilah perkara yang paling saya bimbangi. Kerana itu, apabila saya dapati saranan saya itu adalah sesuatu yang belum pernah saya lakukan, saya akan paksa diri ini untuk lakukan apa yang saya sarankan. Cakap saya mesti serupa bikin. Jika saya rasa saya tak mampu untuk lakukan apa yang saya sarankan. Saya tidak akan catat hal itu sama sekali.
Saya kena jujur pada diri sendiri. Jujur pada diri sendiri ini hanya saya yang tahu!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.7.17.

Tuesday, June 27, 2017

MARI MULAKAN PUASA ENAM



PICCREDIT: MELVISTER.COM

HIDUP DENGAN
SEMANGAT
RAMADAN

SEBENTAR sahaja rasanya berpuasa, kita sudahpun berhari raya. Sekejap sahaja berhari raya, kita sudah kembali semula kepada rutin sebelum Ramadan. Apabila balik kepada kehidupan yang super sibuk, mudah-mudahan kita tidak lupa kepada Ramadan, yang bukan sahaja dikatakan sebagai bulan ibadah, tetapi sebagai bulan latihan.

Ramadan diertikan sebagai bulan penyucian setelah memperoleh kemaafan daripada Yang Maha Pengampun. Kita kembali kepada fitrah, kepada asal sebagai manusia yang bersih, bagai bayi yang lahir tanpa dosa. Begitulah kehendak. Bagaimana pula kemampuan kita ?

Kehendak dan kemampuan adalah dua perkara yang berbeza. Kehendak itu adalah keinginan. Ditingkatkan rasa keinginan itu, jadilah ia azam. Imaginasi kejayaan azam itu adalah impian. Apabila dipasak dengan iltizam, iaitu konsisten dalam tindakan, maka tidak mustahil kehendak itu menjadi realiti. Kehendak yang disertai dengan kemampuan bisa menjadikan keinginan itu sesuatu yang boleh digapai.

Sebaliknya jika kehendak itu tanpa kemampuan, keinginan yang mendatang itu hanya angan-angan. Ia bukan menjadi impian, malah mimpi semata-mata. Tidak sampai sehari, sesuatu yang dikehendaki itu boleh sahaja hilang dari ingatan. Hangat-hangat tahi ayam.

Dan kita kembali menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja ~ manusia yang tiada cita-cita walaupun sekecil hama. Kita hanya hidup mengikut arus kehidupan. Kalau bernasib baik, terdamar di pulau cita-cita. Jika tidak beruntung, tenggelam sahaja di lautan khayalan.

Ramada itu bulan latihan. Sebelas bulan yang berikutnya adalah bulan praktikal. Soalnya bagaimana latihan sebulan Ramadan itu boleh ditempias, malah ditumpahkan ke sebelas bulan berikutnya agar latihan itu menjadi amalan? Ramadan itu berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana polar rutin harian kita beranjak terus daripada paksinya.

Sarapan menjadi sahur. Masanya sebelum subuh dan ada had waktunya. Waktu maghrib dinanti kerana ia adalah juga waktu berbuka atau makan malam. Lazimnya waktu Maghrib pada bulan-bulan yang lain akan ditangguh-tangguh. Tetapi oleh kerana ia petanda waktu berbuka sudah tiba, maka Maghrib juga diingati.

Untuk bertarawih, mesti tunaikan solat Isyak dahulu. Isyak mesti dilaksanakan tepat pada waktu kerana selepas Isyak baharulah boleh bertarawih. Tetapi sebelum tunaikan Isyak, kenalah solat Maghrib lebih awal dan bukannya last minute. Maknanya di bulan Ramadan, sekurang-kurangnya tiga waktu solat; Maghrib, Isyak dan Subuh  dapat dilakukan tepat pada waktunya berbanding daripada bulan-bulan yang lain.

Pada dasarnya kita punyai kemajuan daripada segi menepati waktu ibadah untuk sekurang-kurangnya tiga waktu. Waktu sarapan berubah, makan tengahari tiada dan makan malam di waktu yang singkat. Bersama puasa, inilah perbezaan ketara di bulan Ramadan kerana aktiviti lain seperti bekerja atau belajar sama sahaja seperti di bulan-bulan yang lain.

Justeru itu, andainya kita mahu agar amalan Ramadan itu dibawa ke bulan-bulan yang beikutnya, maka tidak boleh tidak, amalan berpuasa itu sendiri perlu dibawa ke bulan-bulan yang seterusnya. Ini adalah kerana, puasa itu sendiri adalah kunci amalan yang membawa perubahan kepada tabiat seharian kita.

Kerana itu, apa yang digalakkan ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Di tengah-tengah suasana riuh rendah riang ria aidilfitri di mana kita boleh makan minum sesukanya, ibadah puasa ini muncul sebagai cabaran utama sesiapa yang benar-benar mahu mempraktikkan latihan berpuasa di bulan Ramadan.

Berpuasa di kalangan mereka yang sibuk menjamu selera rumah terbuka di sana-sini, hidangan kuih dan biskut raya oleh rakan-rakan sepejabat akan meracun perasaan agar kita menangguhkan puasa enam. Mudah-mudahan tangguhan itu jangan sampai tak jadi puasa kerana ia cabaran melawan nafsu yang besar. Tatkala orang lain bebas kembali kepada rutin, kita berjuang untuk meneruskan amalan Ramadan di bulan Syawal.

Bila kita berjaya, itu sebenarnya belum memadai jika kita mahu amalan Ramadan pada bulan-bulan selepas Syawal. Ramai juga di antara kita yang berjaya membawa amalan Ramadan di bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan seterusnya dengan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.


Mudah-mudahan pada tahun ini kita boleh mula membawa semangat Ramadan ke dalam amalan kehidupan dengan puasa enam. Mudah-mudahan juga kita boleh terus mula berpuasa sunat yang lain.

Iyalah, jika kita berasa Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir kita, apa ikhtiar yang kita ada untuk bertaqarrub kepada-NYA?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.6.17.

Tuesday, June 20, 2017

AL QURAN ITU SAHABAT




piccredit:  bernamaradio

SUARA PANGGILAN SAHABAT LAMA

MALAYSIA #QuranHour bukan hanya sebuah happening. Ia sudah menjadi sebuah fenomena. Ia bermula sebagai riak yang kecil. Tetapi kini, ia menjadi sebuah gelombang yang besar. Semakin lama, kempen Quran Hour ini menjadi sebuah gerakan yang menarik sekian banyak khalayak untuk menyertainya.

Isnin lalu, tanggal 24 Ramadan atau 19 Jun, kalangan pelajar sekolah harian, sekolah tahfiz, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, kakitangan swasta, badan berkanun, pasukan beruniform, NGO dan ramai juga individu telah meluangkan masa untuk bersama al-Quran untuk satu jam. Kempen Malaysia #QuranHour bagi tahun 2017 ini dilaksanakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Lebih 5,000 insan-insan telah hadir untuk menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk menyemarakkan kempen Malaysia #QuranHour di situ. Ini tidak termasuk ratusan ribu lagi insan-insan lain yang berhimpun di masjid, surau, madrasah, pejabat, dewan kuliah dan di mana sahaja ruang yang ada untuk sama-sama menyemarakkan suara dari al-Quranul Karim.

Tidak lama lagi, 9 Zulhijah yang kebetulannya jatuh pada 31 Ogos, satu lagi gerakan menyemarakkan World #QuranHour pula akan berlangsung. Pada kali ini, jutaan umat manusia dari seluruh dunia pula akan melontarkan getaran zikrullah ke angkasaraya. Pada tahun lalu, lebih 10 juta umat manusia telah menyumbangkan masa dan tenaga untuk kempen ini. Mudah-mudahan pada tahun ini World #QuranHour akan mendapat sambutan yang berlipatkali ganda.

Namun, sebenarnya kempen berskala besar bertaraf dunia ini bukan matlamat akhir. Meskipun jika diizinkan ALLAH SWT, kempen ini menarik umat manusia melebihi 100 juta pun, itu bukan matlamatnya. Yang menjadi tujuan akhir ialah untuk memahat dan memateri Al-Quran di hati setiap insan dengan kempen My #QuranHour.

Unik. Mengapa kita perlukan sebuah gerakan raksaksa seantero dunia, penuh dengan gerak gempita guruh melangit hanya untuk menembusi kalbu kita yang begitu kecil? Jawabnya, kerana hati-hati kita semuanya telah kabur dan kelabu dari sinaran nur al-Quran. Kita bukannya tak tahu al-Quran itu mukjizat. Kita bukannya tidak mengerti bahawa al-Quran itu sebuah manual bukan sahaja sebagai peta untuk kemahiran hidup, malah kemahiran mati!

Tetapi, kita terlupa. Ataupun kita tidak diberitahu mengenai kehebatan al-Quran. Al-Quran diperkenalkan hanya sebagai sebuah kitab untuk mengaji. Kalau tak pandai baca, kita kena sebat guru mengaji. Tapi, bila kita habis membaca seluruh al-Quran, kita buat majlis khatam al-Quran. Selepas khatam, kita anggap al-Quran sudah tersemat di dalam dada.

Bila kita ingin tambah kehebatan sebagai seorang pembaca al-Quran, bukan sebagai pengamal al-Quran, kita baca lagi dan khatam lagi. Justeru, kita dikira hebat jika kita sudah dapat khatam al-Quran berkali-kali. Di bulan Ramadan kita berebut-rebut untuk khatam al-Quran. Bila dapat khatam, kita berasa diri sudah bagus kerana menghidupkan al-Quran di bulan yang mulia.

Tetapi lebih bagus jika bacaan al-Quran itu diteruskan pada 11 bulan berikutnya hingga Ramadan datang kembali. Bukankah puasa sebulan itu hanyalah latihan untuk 11 bulan berikutnya? Tabiat rapat dengan al-Quran perlu diteruskan. Tidak boleh tertinggal al-Quran lagi.

Apatah lagi, perisian al-Quran sudah boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar. Maka kita lebih pintar dari telefon pintar jika kita gunakan sebanyak mungkin masa kita untuk bersama al-Quran.

Al-Quran harus dijadikan sahabat. Jika al-Quran menjadi sahabat, ia akan menemani kita di alam kubur kelak. Jika kita tinggalkan ia, ia akan menjauhkan diri dari kita. Bila itu berlaku, maka jadilah kita pada hari ini yang lebih banyak membuat pertimbangan, keputusan dan tindakan berdasarkan naluri yang bertunjangkan nafsu. Semakin kita tidak menjadikan ia rujukan, kita akan semakin sesat.

Sesat di dunia memang suatu masalah besar kerana kita tak boleh tanya kepada sesiapa kerana barangkali orang yang kita tanya itu pun sesat di dunia seperti kita. Yang membuatkan kita nampak jalan keluar ialah dengan merujuk kepada al-Quran yang juga skrip untung nasib manusia.

Tundukkan pandangan, tawadukkan perasaan dan ketepikan rasa malu. Kita lemah. Dan, kita perlukan al-Quran. Jika kita berasa tak kuat semangat untuk kembali, berdoalah agar kita diberikan kekuatan. Mungkin juga keriuhan World #QuranHour boleh memahat lubang telinga kita supaya dapat mendengar suara panggilan dari seorang sahabat lama ~ al-Quran kitabullah.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.6.17.




  

Tuesday, June 13, 2017

MENGINJAK KE USIA 60 TAHUN

-->



WARGA EMAS: EMAS YANG BERHARGA

3 Jun lalu saya menginjak ke usia 60 tahun. Maknanya sudah 10 tahun saya menjadi warga emas. Tatkala berusia 50 tahun, saya berasa janggal kerana status warga emas itu.  Adik pelayan di restoran mula memanggil saya pakcik, bukan lagi encik, apatah lagi abang. Jika menaiki LRT, ada anak muda yang bangun memberi saya tempat duduknya. Saya akan buat-buat tak perasan dan menyuruh orang lain duduk di tempat itu. Di lapangan terbang, diri terasa segan bila diberi peluang beratur menaiki pesawat terlebih dahulu kerana status warga emas itu.

Namun lama kelamaan, perasaan itu hilang. Mungkin kerana saya sudah menerima realiti. Tetapi mungkin juga kerana saya sudah tidak peduli dengan angka-angka itu. Justeru, apabila menjangkau ke usia 60 tahun, saya tidak berasa janggal lagi. Iya, saya berasa diri saya semakin tua. Tetapi, saya tidak berlagak seperti orang tua. Dan, tentu sekali bukan berperangai seperti orang muda. Yang penting, saya jalani hari-hari yang mendatang dengan seadanya.

Alhamdulilah kerana di usia ini ALLAH swt telah kesihatan tubuh, kewarasan akal dan ketenangan jiwa. Barometer kesihatan saya amat mudah. Berselera makan, mudah tidur, mudah bangun dan juga baik sistem perkumuhan. Jika salah satunya berasa terganggu, saya akan cepat-cepat bertemu dengan doktor saya. Buat pemeriksaan yang mana patut.

Insya-ALLAH secara fizikalnya saya masih okey. Ujian stress test untuk jantung, paru-paru dan buah pinggang masih berfungsi dengan baik. Diabetes dan darah tinggi pun masih terkawal dengan pemeriksaan empat bulan sekali. Oleh kerana kedua-duanya bukan penyakit berjangkit dan jenis penyakit yang tidak akan menular, saya kawal ia seadanya.

Jika ke kenduri atau dinner, saya akan belasah apa yang melintas. Tetapi pada keesokannya, saya boleh sahaja makan biskut dan kismis yang direndam di dalam milo kosong. Maknanya, jika saya hendak makan, saya akan makan. Bila diri saya kata ‘berhenti,’ saya akan berhenti. Alhamdulilah, saya boleh berhentikan sesuatu tabiat sebegitu sahaja seperti saya berhenti ketagihan merokok 15 tahun lalu.

Ingatan saya juga masih baik. Masih banyak benda yang boleh diingat. Boleh lagi mendera fikiran secara paksa bila keadaan memerlukan. Cuma bila menghadiri mesyuarat yang panjang, saya surrender. Selepas mesyuarat, fikiran saya jadi berat dan saya akan bersantai dengan menonton filem.

Pemikiran di usia sebegini ada cabarannya. Seboleh mungkin saya akan ikuti perkembangan semasa dan perkembangan teknologi. Apa jua tren di dalam industri akan saya ikuti. Apa sahaja pendekatan pentadbiran mahupun pengurusan akan saya teliti. Tidak mahu berfikiran old school.

Pada banyak situasi dan ketika, bertugas di akhbar memerlukan respon membuat keputusan dalam lima saat. Silap pertimbangan, akan tersasar. Tetapi bila silap pun, kena cekap mengubah haluan keputusan untuk damage control. Di usia ini saya perlu berfikir seperti orang muda tetapi menimbang fikiran itu sebagai orang tua.

Jiwa pun semakin tenang di usia sebegini. Begitulah yang saya rasa. Jika dahulu, pantang ada kereta memotong, saya akan memecut untuk meninggalkan kereta itu. Kini, jika kereta di sebelah mengendeng di laluan saya di plaza tol, saya berikan sahaja dengan senyuman.

Bila menoleh ke belakang menelusuri lipatan sejarah kehidupan, saya dapati diri saya amat bernasib baik. Orang putih kata, God has been kind to me. Apa sahaja ilmu yang saya timba dalam kehidupan, pengalaman yang saya lalui sebelum ini boleh diaplikasikan semula walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Di kolej, saya belajar senireka perusahaan. Tetapi saya telah berkerja sebagai setiausaha kerja di dalam NGO, menjadi pemudah cara, jurulatih dan penganalisis politik tatkala bertugas dengan kerajaan. Saya pernah menjadi kaunselor pelajar, bekerja di bidang pemasaran, sumber manusia, pengurusan dan telah menulis lapan buah buku termasuk lima buah novel.

Kini, apabila menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, semua ilmu yang saya peroleh sejak mula bekerja pada tahun 1980, boleh saya adun menjadi sebuah ramuan bagi menghasilkan hidangan santapan minda yang setanding dengan akhbar-akhbar yang lain.

Meskipun saya bersyukur dengan apa yang saya telah lalui, saya akan lebih gembira seandainya apa yang saya ada ini dapat saya tumpahkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Ilmu dan pengalaman yang saya peroleh ini juga kepunyaan-NYA. Saya hanya pinjam seketika. Saya hanya alat atau medium di mana ilmu itu hinggap. Rugi jika tiada sesiapa yang mahukannya. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.6.17.