Tuesday, November 29, 2011

MILIK SIAPAKAH HATI INI


Photo credit: under30ceo.com

ANDAI KAMU
INGIN MEMBERI CINTA

CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata tetapi sukar dimengerti. Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan pelbagai makna dan perasaan buat seseorang. Ada getaran di suara apabila menyebutnya, ada gambaran indah di layar minda apabila mengingatinya dan ada perasaan berbunga di hati tatkala menghayatinya.


Cinta boleh menjadi istilah yang paling disukai. Atau paling dibenci, bergantung kepada saat bahagia atau deritanya seseorang dengan cinta. Namun ia juga sering disalah tanggap kerana cinta biasanya dikaitkan dengan cinta lelaki dan perempuan yang mengasyikkan. Dalam ertikata lain, cinta di alam remaja yang disebut sebagai cintan-cintun.


Tetapi, apabila ruanglingkup cinta itu diperluaskan, kita akan dapati cinta itu mencakupi cinta anak kepada ibubapanya, kepada isteri atau suami, kepada sahabat, alam, kampung, negeri, negara dan yang paling mutlak dan hak ialah cinta kepada al-Khaliq iaitu ALLAH SWT.


Dalam pada itu, oleh kerana mudahnya istilah cinta ini disebut-sebut, ia seolah-olah sesuatu yang begitu mudah dicurahkan. Bahkan, adakalanya ia menjadi begitu murah. Kerana apa? Kerana pada pelbagai ketika dan keadaan, kita sebenarnya tidak menyintai apa atau siapa yang kita cinta. Ia berlaku apabila kita tidak mengerti perasaan kita sendiri akibat tidak menyelami sanubari.


Ini terjadi apabila kita menyintai kerana terikut-ikut dengan dunia cinta orang lain. Cinta ikut-ikutan ialah apabila kita turut bercinta semata-mata kerana kita lihat orang lain bercinta. Pendek kata kerana kita tidak mahu ketinggalan. Kita menyukai sesuatu kerana lihat orang lain suka. Kalau orang lain ada kekasih, kita pun mahu kekasih sedangkan kita belum bersedia untuk menyintai.


Kalau orang lain menggilai gajet komunikasi seperti Blackberry, kita pun turut suka walaupun kita hanya gunakan alat-alat itu untuk kegunaan asas seperti menelefon dan mengirim teks sahaja. Bila kita tidak gunakan sepenuhnya fungsi e-mel, PDA, internet, musik dan video dalam Blackberry seperti mereka, itu hanya cinta ikut-ikutan. Kalau kita katakan yang kita cinta pada alam tetapi hanya dengan menanam sebatang pokok sebagai simbolik, itu belum lagi dinamakan cinta. Cinta ikut-ikutan akan cepat pudar dan membosankan diri kerana ia hanyalah kesukaan luaran. Esok, lusa, kita akan mencari cinta yang lain.


Cinta apabila ‘ada’ juga bukan cinta luhur kerana ia ada kepentingan. Orang kata, ada wang sayang abang, tiada wang abang melayang. Ertinya, cinta itu hanya datang apabila ia memenuhi kehendak kita. Andainya cinta kita tidak dibalas setimpal dengan apa yang diberi, maka ia mudah diketepikan. Cinta pada pasukan bolasepak Malaysia selagi mereka menang tetapi membencinya sekiranya mereka tewas dan melukakan hati kita, itu belum cinta namanya.


Ada kalanya, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyintai, tapi sebenarnya cinta itu sudah lemau. Oleh kerana ingin menjaga prinsip dan nilai kesetiaan serta tanggungjawab, maka kita memaksa diri. Tanpa disedari juga mungkin kita berlakon suka. Kita boleh temui cinta suami dan isteri yang sudah rutin. Di meja makan restoran, si isteri berSMS dan si suami membaca akhbar. Tanpa senyum-senyuman, tanpa lirik melirik, mereka menghabiskan makan malam dan keluar dari restoran dan melangkah beriringan sedepa jauhnya. Kononnya, mereka sudah makan malam bersama.


Memberi cinta secara ikut-ikutan, cinta tatkala ada dan cinta hingga memaksa diri adalah cinta yang tempang. Ia tidak menyeluruh. Sebaliknya, memberi cinta dan menyintai secara tulus ialah apabila kita menyukai sesuatu kerana perasaan kita sudah jatuh kepadanya. Memberi cinta bukan kerana baiknya, malah menerima keburukannya sebagai satu pakej.


Kita masih boleh terus menyintai, meskipun ia tidak akan dibalas. Umpama seorang pelukis dengan lukisannya; dia tetap akan menyintai lukisannya meskipun lukisannya tidak boleh membalas cintanya. Memberi cinta yang luhur akan terus kental dan tidak berpaling arah meskipun yang lain datang menguja. Bagai cinta ibu pada si anak, walaupun apa pun cacat celanya anak, si ibu tetap mekar dengan cintanya.


Untuk kukuh dan kekal memberi cinta luhur, kita bukan sahaja perlu menyintai sesuatu itu pada pandangan mata, tetapi menyintai, mengkaji dan memahami asal usul, kebaikan, keburukan, malah menerima dia atau ia pada hari esoknya.


Paksi cinta juga mestilah seiring cinta kita kepada ALLAH SWT. Ia bukan memberi cinta kerana ikut-ikutan atau taklid. Ia bukannya menyintai kerana memperoleh hidayah dan hilang cinta apabila menerima musibah. Bukan juga menyintai dengan melakukan ibadah kerana ia tanggungjawab semata-mata. Cinta yang hanya menggunakan akal fikiran dan tidak disertai dengan perasaan telah mengenepikan cirri utama cinta ~ jiwa yang halus tempat asal di mana cinta itu membenihkan bibit-bibitnya.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 30.11.2011, insya-ALLAH...

Tuesday, November 22, 2011

MARI KONGSI KEGEMBIRAAN ITU


Photo credit: starbucks87dude.blogspot.com

RAMAI-RAMAI
KITA BERNYANYI

SEMALAM adalah hari yang gembira buat kita semua. Gembira kerana pasukan Malaysia berjaya menundukkan Indonesia dalam acara bolasepak Sukan SEA ke-26. Inilah pertarungan yang paling sukar dan getir lagi mencabar, bukan sahaja buat para pemainnya, bahkan kepada ribuan para penontonnya. Hampir dua setengah jam para pemainnya berhempas pulas di tengah padang. Dan, di sepanjang tempoh itu, kita yang menonton sentiasa berasa sesak nafas.


Rasa suspens sebenarnya sudah bermula apabila menatap ribuan para penonton Indonesia yang berpakaian warna merah-putih memenuhi Stadium Gelora Bung Karno. Perasaan marah mula meluap apabila kedengaran mereka mengejek para pemain dan juga memperlekeh lagu Negaraku. Namun kita cuba membantah dan membalas, meskipun sekadar menjerit dari gerai mamak atau di ruang tamu.


Apabila gol kita bolos pada minit kelima, impian untuk berasa bangga mula goyah. Jika pada minit kelima sudah bolos, apakah gawang yang digegar itu akan mudah dirobek pada baki 85 minit lagi? Dari minit ke minit kita menonton sambil memasang harapan dan bersandar rasa bimbang.


Serangan demi serangan dilakukan oleh pasukan kita. Namun, asakan mereka masih belum berhasil. Apakah kubu mereka kebal atau senjata kita yang tumpul? Apabila gol penyamaan diperoleh pada minit ke-35, kita gembira kembali. Bayangan kemenangan menari-nari di mata. Namun, apabila gawang kita dua kali bergegar pada separuh masa kedua, kita menepuk dahi kerana kecewa semula. Mujurlah ia gol-gol offside. Kita turut melonjak gembira apabila berjaya menyumbatkan gol lagi. Tetapi, rasa riang itu surut apabila mendapat tahu ia juga gol offside.


Apa jua perasaan terhambur di sepanjang waktu permainan. Kita cemas apabila pasukan Indonesia menyerang, tetapi terkilan apabila beberapa kali cubaan pasukan kita turut tersasar. Layangan kad kuning terhadap pemain sungguh membimbangkan. Janganlah, ada seorang pun pemain kita yang dilayangkan kad merah. Kita makin sukar menang andainya meneruskan perlawanan dengan 10 pemain.


Apabila 90 minit berakhir, rasa suspens semakin meningkat apabila pengadil memberi 30 minit masa tambahan. Meskipun kedua-dua pihak dilihat sudah keletihan, kita masih mengharapkan magis walaupun pada minit ke-119. Tiada gol dapat disumbat pada masa itu. Lantas siapakah juara hanya dapat ditentukan melalui sepakan penalti. Apakah kita berpeluang menang atau mati mengejut pada fasa sudden death?


Bermulalah detik debar buat kita. Bagai meniti maut, setiap kali gawang kita bergegar, seiring saat itu juga nafas kita tersekat-sekat. Namun, apabila akhirnya sepakan penalti Badrol Bakhtiar gagal diselamatkan penjaga gol Indonesia Kurnia Meiga, segala-galanya terurai. Ya, kita menang dengan 4-3.


Perlawanan bolasepak itu menjadi sebuah peristiwa yang klasik. Ia bakal menjadi bahan rujukan selain daripada aspek bolasepak, kerana ia sarat dengan pengajaran dan falsafah. Bagi pengkarya, ia bagaikan sebuah filem dramatik atau novel thriller yang punyai plot, watak, latar tempat, twist, cliffhanger, klimaks dan anti-klimaks yang lengkap.


Buat mereka yang meneroka di bidang perniagaan dan pengurusan, perlawanan kelmarin antaranya adalah mengenai pengurusan krisis, fokus, target, proaktif, keputusan strategic dan sinergi. Dalam bidang motivasi hal-hal berkaitan dengan semangat, komitmen, kehendak, sikap positif dan yakin diri boleh ditimba dengan menonton seluruh aksi perlawanan tersebut.


Walau apapun, kegembiraan semalam telah menyatukan perasaan kita semua. Oleh kerana begitu seronok, kita bercerita, berchatting mahupun menonton berulangkali babak-babak menarik itu dengan mereka di sekeliling kita. Seolah-olah, mereka tidak menonton pun perlawanan itu. Padahal, mereka juga menonton seperti kita.


Apakah maknanya? Maknanya, kita secara nalurinya suka berkongsi kegembiraan. Bila kita sukakan sesuatu, kita akan hebahkan kepada seramai mungkin mereka di sekeliling kita. Tanpa upah, tanpa apa-apa tujuan, kita akan bercerita dan mengulang cakap apa yang kita gemari. Inilah perasaan positif yang sepatutnya dikongsi oleh kita semua. Hebahkan, riuhkan dan uar-uarkan kegembiraan.


Sesungguhnya sudah begitu lama kita melayani dan mengiyakan sahaja apa yang negatif di sekeliling kita, meskipun ia bukan realiti seperti perlawanan pada malam itu!

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.11.2011

Tuesday, November 15, 2011

GELAGAT ORANG POLITIK


Photo credit: aroundtheedges.wordpress

ORANG POLITIK
MASIH BELUM TAHU

SEBAHAGIAN besar daripada orang politik yang saya temui mengatakan akhbar Sinar Harian adalah sebuah akhbar politik. Sebagai tanggapan, ia adalah benar. Namun, pandangan ini kurang tepat. Sinar Harian sebenarnya bernasib baik apabila ia muncul pada tahun 2006 ketika suhu politik tanahair semakin membahang.

Pilihanraya 2008 menjadikan ia kian popular kerana memaparkan cerita politik kedua-dua belah pihak. Jualannya naik mendadak. Di Selangor sahaja, jualannya meningkat hingga 60,000 naskhah sehari. Fenomena tsunami politik berikutan dengan keputusan PRU-12 yang belum pernah berlaku di Malaysia menjadi fokus akhbar ini. Akhirnya ia terlekat menjadi imej, seolah-olah Sinar Harian adalah akhbar politik.

Hingga ke hari ini, meskipun Sinar Harian sudah kerapkali memilih tajuk-tajuk berita yang lain daripada politik seperti kes jenayah, kemalangan, pentadbiran, kemanusiaan, agama, pergolakan antarabangsa dan sukan, mereka yang aktif di arena politik masih beranggapan Sinar Harian adalah sebuah akhbar politik. Padahal, semakin ramai kaki bola, wanita dan aktivis NGO memilih Sinar Harian kerana memaparkan berita dan aktiviti perjuangan mereka.

Pandangan orang politik terhadap akhbar Sinar Harian hanyalah salah satu daripada pandangan mereka yang saya lihat semakin jumud. Maksud saya, sebahagian besar orang politik seolah-olah sudah tidak nampak perkara yang lain daripada politik. Sudah keterlaluan jika saya tidak mengatakan, ramai orang politik sudah terlalu taksub dengan politik itu sendiri. Apa sahaja yang dibincang, diperjuang, diperkata, malah apa yang ingin disepakati pun akan dipandang daripada kaca mata politik.

Lihat sahaja apa yang dibicarakan oleh orang politik di Twitter, Facebook, blog dan juga laman-laman web mereka. Kesemuanya mengenai politik atau apa sahaja yang dipolitikkan. Sudah tiada ruang mengenai perkara lain daripada itu. Di kalangan ahli parti, komponen atau pakatan yang sama, mereka akan berbincang mengenai kuasa, mengenai siapa sokong siapa atau siapa yang hendak jatuhkan siapa.

Sebaliknya, andainya berbicara mengenai mereka daripada kumpulan yang bertentangan pula, sudah tiada satu pun perkara baik yang pihak satu lagi telah lakukan. Semuanya tidak baik, malah seluruhnya buruk semata-mata. Kalaupun ada tindakan yang dibuat oleh pihak yang satu lagi itu bagus, lekas-lekas mereka mendakwa perkara itu ditiru daripada idea mereka. Politik ciplak atau hakcipta nampaknya sudah melarat daripada bidang kreatif ke dalam arena politik pula.

Soalnya, bagaimana satu-satu pihak hendak membina negara dan membela rakyat andainya setiap tindakan oleh pihak itu sentiasa dibantah oleh pihak yang satu lagi? Meskipun kian ramai mereka yang berkecimpung dalam arena politik sudah menyuarakan rasa bimbang mereka dengan over-politicking, namun mereka yang bercakap perkara itu sendiri yang terus bermain politik. Mungkinkah sebab mereka takut terperangkap dalam keadaan alpa?

Soalnya, apakah mereka sedar orang lain di luar gelanggang politik sudah lama berasa muak dan mual dengan gelagat orang politik? Andainya mereka di dalam arena politik berhenti seketika dan bersiar-siar di luar gelanggang politik, mereka akan dapati dunia di luar sana begitu aman, begitu damai dan begitu harmoni.

Pergilah sebagai orang biasa secara diam-diam dan dengarlah apa yang diperbualkan. (Jangan datang sebagai orang politik secara terang-terangan. Nanti mereka pula yang menjadi pendengar). Begitu ramai orang biasa yang tidak bercakap mengenai politik. Mereka bercakap tentang kerja, yang belum diperolehi; tentang makan malam di luar bersama keluarga, yang semakin jarang mereka dapat nikmati; tentang solat di surau, yang semakin kurang para jemaahnya dan tentang masa depan, yang nampaknya semakin kabur.

Layarilah laman web, blog dan laman-laman sosial mereka. Ramai sekali yang berbicara tentang buku yang sedang dibaca, mengenai perisian yang baru mereka cipta, mengenai gunung-ganang yang mahu didaki, mengenai resipi baru yang ingin dikongsi, mengenai baja terbaik untuk tanaman anggur, cara bercakap dengan jin atau cara bercakap dengan bayi di dalam kandungan.

Mereka tidak berbicara mengenai politik bukan kerana mereka tidak sedar akan pentingnya politik itu sendiri. Mereka tidak berbincang mengenai politik kerana mereka sudah lepaskan kuasa memerintah pada mana-mana pihak yang menang. Mereka hanya mendiamkan diri melihat telatah dan ulah orang politik. Bila sampai masanya, mereka akan memilih siapa yang mereka rasa layak bercakap untuk mereka.

Mereka sudah tidak mengharap sangat orang politik benar-benar membela mereka. Kalau ada yang menjaga mereka, alhamdulilah. Andainya orang yang diharap tidak boleh diharap, mereka akan selesaikan masalah mereka sendiri tanpa meminta-minta seperti dahulu.

Orang politik mungkin beranggapan keadaan yang saya nyatakan ini tidak tepat. Namun, jika dilihat kepada bahan tontonan media, kita mudah dapati bahawa rancangan bual bicara bukanlah rancangan tontonan pilihan. Dan, akhbar popular pada hari ini adalah Kosmo dan Harian Metro. Bukan juga Sinar Harian yang dikatakan akhbar politik.

Namun ia bukan sekali-kali menandakan orang awam tidak berminat dengan politik. Sebaliknya mereka hanya tidak berminat dengan politicking orang politik.

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.11.2011

Tuesday, November 8, 2011

MENGAPA TERUS MENUNGGU?





Photo credit: portwallpaper.com


PENANTIAN ITU
SATU PELUANG


DI MAJLIS perkahwinan anak seorang saudara di Skudai, Johor Bahru, saya bertemu Azemi, seorang rakan sekolah dan sekampus. Beliau seusia dengan saya. Walaupun sudah melebihi 55 tahun, pergerakannya masih pantas dan cergas seperti di usia mudanya.


Dari belakang, tubuh Azemi kelihatan seperti lelaki yang berusia 30an. Kalau dari hadapan, dia masih tidak kelihatan seperti warga emas. Walaupun berkaca mata dan ada uban sana-sini di kepalanya, dagunya belum lagi berlapis. Dan, tidak ada lebihan lemak di perutnya. Itulah yang menjadikan dia seperti lelaki berusia 40an.


Di majlis itu, Azemi sibuk mengangkat pinggan hidang, menyusun kerusi, mengelap meja dan membersihkan tempat membasuh tangan. Kerjanya lebih pantas dan komited daripada petugas katerer tuan rumah. Sambil meletakkan hidangan, Azemi akan menyapa para tetamu dengan mesra. Seolah-olah dialah tuan rumah.


Sebaik sahaja dia duduk melepas lelah di bawah pokok, saya ambil kesempatan mendekatinya. Banyak status terkininya yang saya tanya. Bekas ketua darjah di sekolah dan seorang ahli majlis perwakilan pelajar di kampus ini masih aktif dengan kerja-kerja sukarela. Namun, dia tidak aktif berpolitik atau berNGO. Sebaliknya dia bergerak tanpa menyertai mana-mana pertubuhan sebegitu.


Azemi sudah punyai dua orang menantu dan empat orang cucu. Dia kini adalah Pengerusi PIBG di sekolah anak bongsunya, bendahari surau di kariahnya, masih menerima tempahan rekabentuk grafik seperti mencipta logo, kepala surat, kad niaga, kad kahwin, brosur dan banyak lagi kerja-kerja yang memerlukan dia bersengkang mata. Semuanya dia lakukan secara suka-suka untuk meremajakan mindanya walaupun dia telah meninggalkan dunia pengiklanan 10 tahun lalu.


Sekurang-kurangnya sekali setahun, Azemi akan membantu kawannya yang mempunyai syarikat haji dan umrah, membawa jemaah menunaikan ibadah. Dia mengusahakan tiga hektar dusunnya di Hulu Tiram, dan akan ke pasar setiap Ahad kerana padanya, hari itu adalah hari rehat buat isterinya.


‘Tak penat, ke? Bila masa engkau berehat, Mie?’ tanya saya. Soalan saya hanya dijawabnya bersama sebuah senyuman. ‘Sebenarnya, selain daripada waktu tidur dari jam 11.00 malam hingga 4.00 pagi, aku berehat lebih daripada dua jam pada siang hari.’ ‘Engkau sempat tidur siang?’ tanya saya lagi.


‘Bukan macam tu,’ katanya. ‘Masa tunggu kereta aku dicuci, aku baca surat khabar. Masa tunggu cucu aku keluar sekolah, aku tidur dalam kereta, sementara tunggu waktu Isyak kat surau, aku mengaji, masa tunggu berita bila keluar iklan, aku tolong bini aku cuci pinggan, masa tunggu di bank, aku buka iPad, masa tunggu lampu trafik pun, aku sempat potong kuku! Banyak yang boleh aku buat semasa menunggu apa-apa pun.’


Apa yang diperkatakan oleh Azemi, bukanlah suatu perkara baru. Malah ia dianggap common sense. Waktu menantilah masa yang paling baik untuk melakukan sesuatu agar tidak membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Tetapi, berapa ramaikah yang dapat memanfaatkan waktu sebegitu?


Ramai di antara kita sering mengadu, tidak cukup masa untuk melakukan banyak perkara. Sedangkan masa itu sentiasa diperuntukan untuk semua orang. Tidak ada sesiapa pun yang diberi 25 atau 30 jam sehari agar dia boleh melakukan semua yang dia hendak siapkan pada satu-satu hari. Sebaliknya, tiada sesiapa yang diberi hanya 20 jam sehari, untuk dia jadikan alasan yang dia tidak cukup masa.


Jika kita mencari masa, ia sentiasa ada. Seperti Azemi, dia lakukan hal-hal peribadi berselang-seli ketika dia rutin harian. Melayari internet, membaca akhbar, memotong kuku, membasuh pinggan dan tidur adalah hal-hal peribadi yang Azemi lakukan ketika dia menanti sesuatu. Oleh kerana ia hal peribadi, dia dapat merehatkan mindanya meskipun pada mata kasar, ia adalah sesuatu yang biasa bagi orang lain.


Apa yang Azemi lakukan pada masa yang kita tidak anggap waktu rehat adalah sesuatu yang produktif. Lihatlah di sekeliling kita, betapa ramai di antara mereka yang melahu dan melangut ketika menanti. Perbuatan itu cepat membosankan hingga ada yang beranggapan penantian itu satu penyiksaan. Padahal, penantian itu peluang. Kerana itu, mengapa menanti?


‘Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kepada kebenaran dan saling menasihati kepada kesabaran.’ (Surah al-asr: 1-3)

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian 9.11.2011, insya-ALLAH.

Tuesday, November 1, 2011

BERBANGGA DENGAN BUAH SENDIRI


APA PENTINGNYA
RASA BANGGA ITU?

PEMERGIAN saya untuk ke majlis perkahwinan anak seorang saudara di Johor Bahru disambut dengan berita buruk. Seorang rakan sekampung sedang dirawat di sebuah hospital pakar kerana serangan jantung. Tidak sempat membuat check-in di hotel, saya terus menemui Arshad di hospital dengan sedikit buah anggur yang dibeli di kios berhampiran.

“Kenapa beli anggur? Tak ada buah langsat atau manggis, ke? Kenapa tak beri aku buah-buahan tempatan?” tanya Arshad sebaik sahaja menyambut buah tangan dari saya. Saya hanya tersenyum-senyum. Itulah buah yang sempat saya beli. Seingat saya, tiada langsat atau belimbing di kios itu. Yang ada hanyalah epal, oren, anggur, pear dan buah kiwi.

Pada keesokannya saya ke majlis perkahwinan anak kepada saudara saya di sebuah hotel lima bintang. Sebaik sahaja saya duduk, di meja saya sudah tersedia sebuah epal yang beriben sebagai buah tangan. Hati saya berkata, ‘Kenapa tak diberikan sahaja buah jambu atau belimbing sebagai buah tangan? Kenapa tak ada buah-buahan tempatan?’

Saya seperti menyuarakan apa yang ditegur Arshad di hospital semalam. Sambil menyuap, saya melontarkan pandangan ke meja utama pengantin. Selain daripada hidangan lauk pauk pengantin, saya terpandang sebuah gubahan daripada buah-buahan. Sekali lagi hati saya tertanya-tanya, mengapa gubahan itu menggunakan oren, epal, anggur dan pear? Kenapa tidak menggunakan buah nanas, pisang, ciku ataupun rambutan sebagai gubahan hidangan?

Sambil menanti kemunculan mempelai, saya terfikir yang kita mempunyai pelbagai jenis buah-buahan yang dikatakan eksotik, tetapi kita jarang sekali mengeksploitasi buah-buahan itu dengan kepelbagaian penggunaannya. Kita ada rambutan, pulasan, rambai, langsat, duku, pisang, nanas , tembikai, belimbing, betik, durian belanda, durian dan banyak lagi jenis buah-buahan.

Tetapi yang lebih popular dan menjadi pilihan masih buah-buahan import. Saya rasa, negara-negara yang bukan tropika tidak banyak jenis buah-buahannya. Sebab itulah mereka menggunakan buah-buahan yang sama juga untuk pelbagai hidangan mereka. Sebut sahaja buah oren dan kita dapati kalau tidak dimakan begitu sahaja, buah oren digunakan di dalam jem, aiskrim, kek, roti, pastri, minuman, kuih-muih dan coklat.

Sebutlah epal, anggur, pir, strawberi, avocado, laici atau kiwi, kita akan dapati buah-buahan itu digunakan dalam pelbagai hidangan jem, aiskrim, kek, roti, pastri, minuman, kuih-muih dan coklat juga. Pendek kata, buah-buahan yang itu, itu jugalah. Penggunaannya begitu meluas hinggakan kita sudah terpengaruh dengan kepopularannya.

Jika kita bertanya diri sendiri, buah-buahan apakah yang selalu kita telan, pasti ramai di antara kita akan mengakui yang kita lebih kerap memamah buah-buahan import. Jika kita bertanya kepada anak-anak kita, jawapan mereka tentulah serupa.

Padahal, mengunggis jambu bol seseronok memamah epal, ciku itu lebih manis daripada kiwi, langsat itu lebih eksotik daripada strawberi dan rambutan itu tak kurang sedapnya daripada laici. Mengapakah kita dan juga anak-anak lebih menyukai buah-buahan import hingga memandang sepi dengan buah-buahan tempatan?

Kita tidak nafikan yang FAMA tidak putus-putus membuat pelbagai promosi buah-buahan tempatan termasuk khusus untuk kanak-kanak. Program GBBS atau Gerai Buah-buahan Segar di bawah agensi itu hanya memilih buah-buahan tempatan sahaja untuk dipamerkan. MARDI juga menjalankan kajian dan penyelidikan untuk memaksimakan penghasilan buah-buahan yang berkualiti selain daripada mencipta mekanisasi prosesnya.

Namun, akhirnya ia kembali kepada diri kita sendiri. Jika kita anggap memakan buah-buahan import itu satu stail dan gaya hidup, maka selagi itulah kita akan mengenepikan buah-buahan tempatan. Apabila kita yang sudah bergaya ini memandang rendah pada buah-buahan tempatan, atau dalam ertikata yang lebih tepat, berasa rendah diri memilih buah-buahan tempatan, ia akan menjadi buah-buahan kelas kedua.

Sebenarnya, tidak salah memilih buah-buahan import berbanding dengan buah-buahan tempatan. Tetapi, jika kita memamah yang import, kita tidak dapat menjamu selera dengan perasaan bangga. Apa ertinya perasaan bangga itu? Bangga adalah perasaan hebat kerana kita ada sesuatu yang orang lain tiada. Apa maknanya jika kita tiada lagi perasaan bangga itu? Berbangga dengan buah-buahan tempatan adalah salah satu daripada berpuluh-puluh lagi kebanggaan yang kita sudah hilang. Hilang kebanggaan juga bererti hilang identiti.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.11.2011.
Photo credit: zikrihusaini.com