Tuesday, November 27, 2012

UNCONDITIONAL LOVE


Photo credit: somayalotfi.blogspot
KASIH 
YANG TIDAK
BERBELAH BAHAGI

SIAPA yang tidak sayangkan anak? Si kecil yang lahir ke dunia ditatap dengan perasaan kasih sayang oleh ibu dan bapanya. Senyumannya cukup menghiburkan. Tangisannya pun menimbulkan rasa sayu kerana ia tanda si kecil takut dan mahukan pelukan. Tidurnya diiringi dengan dendangan lagu dan zikir. Bangunnya disambut dengan agah hingga si kecil mengekek tertawa.

Dari kecil hingga ke dewasa, dialah racun, dialah juga penawar. Ibu dan bapa akan mendidik, mengasuh, mengajar, mengherdik dan memukul agar si kecil itu membesar dan jadi manusia berguna. Bersyukur dan sejuk hati ayah dan ibu andainya si kecil membesar sebagai anak yang berakhlak, cerdas dan cergas. Dia akan menjadi kebanggaan keluarga. Dia juga menjadi harapan untuk membantu si ibu dan bapa apabila mereka merangkak ke usia senja.

Bagaimana pun, bukan semua anak yang lahir itu akan menjadi orang yang berjasa untuk diri, keluarga, agama dan bangsa. Ada juga anak yang dilahirkan tidak sempurna. Itulah takdir. Terima sahajalah. Yang penting si anak akan terjaga, biarpun layanan terhadapnya umpama seorang bayi di sepanjang hayatnya. Ada juga yang meliar dan mengular hingga menyusahkan sesiapa sahaja. Tidak kurang yang jadi pengganggu ketenteraman keluarga hingga menyusahkan sanak saudara. Jika dahulu dia dibela penuh kasih sayang, kini dia dibela hingga dia keluar lokap atau penjara.

Anak yang menggembirakan ibu bapa akan disebut-sebut. Namun, sebaliknya jika dia menyusahkan keluarga, dia tetap anak, meskipun seluruh jiwa ibu dan bapa menderita memeliharanya. Dialah darah daging yang akan dikasihi hingga ke akhir hayat ibu dan ayah. Malah, andainya sebaliknya terjadi pada si anak, ibu dan ayah akan rela dia pergi. Begitulah, kasih sayang di antara ibu bapa dan anak.

Mengapa kasih ibu dan bapa kepada anak sampai begitu? Mengapa perasaan itu tidak boleh digalang-ganti atau dijual beli? Inilah yang dinamakan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, atau unconditional love.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi ini tiada batasan waktu dan jarak. Bila yang disayangi itu tiada di depan mata, hati terus merindu akan kehadirannya. Jauh di mata, dekat di hati. Tatkala berlaku perselisihan walau betapa besar pun perkaranya, ingatan ‘air yang dicincang tidak akan putus,’ menjadi penyendal terlerainya rasa kasih itu. Bergaduhlah bagaimana sekali pun, ‘bila biduk lalu, kiambang pun bertaut.’

Kasih yang tidak berbelah bahagi itu umpama hubungan sepasang kekasih, tetapi yang lebih dari itu. Ia merangkumi kasih ibu kepada anak, adik-beradik dan sanak-saudara. Ia juga mencakupi kasih seseorang kepada persahabatan rakan sekerja, kepada syarikat, kepada parti, malah cinta kepada negara. Tentu sekali kemuncak kasih yang tidak berbelah bahagi ini adalah kepada Yang Maha Mencipta.

Seseorang yang sudah mempunyai kasih yang tidak berbelah bahagi kepada rakan sekerjanya sanggup meletak jawatan bersama seandainya rakannya itu diyakini telah dizalimi oleh syarikat. Begitu juga bagi yang menyayangi tempat kerjanya, dia akan bekerja bermati-matian seolah-olah itu akan runtuh tanpanya. Sayang kepada parti menjadikannya pejuang hingga ke akhir hayatnya.

Seseorang yang mempunyai kasih terhadap negaranya tidak akan menjual walau seinci tanah dan air, martabat dan maruah negaranya kepada orang lain. Kasih yang tidak berbelah bahagi seseorang kepada Yang Maha Penciptanya akan menjadikan dia berdoa penuh harapan, bersyukur bila menerima nikmat dan tunduk dengan akur serta patuh bila menerima musibah walau ia mendatang kepadanya bertali arus tanpa henti. 

Kita terlalu banyak menumpahkan kasih yang bersyarat. Bila ayah tak beri mainan, si anak tak mahu berkawan dengan si ayah. Bila rakan sekerja tidak membantu kerja, persahabatan pun menjadi renggang. Bila parti mengenepikannya, dia jadi pembelot. Bila pemerintah dirasakan tidak adil, negara pula hendak digadai. Bila Yang Maha Pengasih tidak memakbulkan doa, tangan tidak mahu ditadah lagi.

Ada beza di antara kasih yang bersyarat dan kasih yang tidak berbelah bahagi. Kasih yang bersyarat itu terjadi bila kita asyik meminta-minta. Kasih yang tidak berbelah bahagi itu terjadi bila kita sentiasa memberi, memberi dan memberi. Meminta-minta akan menjadikan kita tamak. Memberi pula akan meresapkan rasa bahagia di hati.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian esok, 28.11.2012, insya-ALLAH... 

Tuesday, November 20, 2012

LARIAN KEHIDUPAN



Photo credit: fullstriderunning.com
HIDUP INI  
SEBUAH MARATON
YANG PANJANG

BILA menatap foto pelajar-pelajar yang tersenyum riang kerana berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR di dada akhbar, saya teringat zaman persekolahan sendiri. Saya turut lalui tiga peperiksaan sebelum menamatkan persekolahan di tingkatan lima. Saya juga menghadapi peperiksaan darjah lima, Sijil Rendah Pelajaran (Penilaian Menengah Rendah) di tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia di tingkatan lima.

Keputusan-keputusan peperiksaan itu akan melakar garis kehidupan seseorang ke matlamat masing-masing sama ada cepat atau sebaliknya; bergantung dengan bidang yang dipilih seseorang itu. Justeru, saya melihat peperiksaan itu sebagai satu larian dalam sebuah maraton kehidupan yang panjang. Ada ketikanya kita mendahului rakan-rakan yang lain, ada kalanya kita ketinggalan di belakang.

Perlumbaan dalam larian maraton kehidupan ini saya lalui bersama seorang sahabat saya, Amin. Saya dan Amin bersekolah dan sedarjah sejak dari darjah satu hingga ke tingkatan tiga. Kami sama-sama belajar dan bermain. Kami juga saling berlawan markah dalam setiap mata pelajaran. Kadang-kadang dia menang, ada kalanya saya pula mencapai markah yang lebih baik. Dari darjah satu hingga ke tingkatan tiga, kami sekelas. Apabila dia mengambil bidang sains pada tingkatan empat dan lima, saya terpisah daripadanya kerana mengambil bidang sastera.

Namun, apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, kami sama-sama mendapat gred dua. Untungnya, Amin dapat melanjutkan persekolahan di tingkatan enam sedangkan saya tidak terpilih. Saya sedih kerana terasa ketinggalan dan kalah dalam perlumbaan itu. Tetapi, nasib menyebelahi saya pula apabila terpilih ke Institut Teknologi MARA (kini UiTM).

Saya menang kerana berjaya ke institusi pengajian tinggi sedangkan dia masih lagi bersekolah. Tatkala saya di tahun tiga, Amin baru masuk ITM setelah selesai STPMnya. Apabila saya mula bekerja, Amin masih lagi belajar. Kadangkala bila bertemu, saya menunjukkan aksi bangga kerana dapat berdikari berbanding dengan dirinya yang masih berbelanja dengan wang kiriman ayahnya.

Dugaan kehidupan melanda saya pada satu ketika di mana saya berhenti kerja dan menganggur. Amin pula baru tamat pengajian dan bertugas di sebuah syarikat pengangkutan antarabangsa. Pangkatnya pun besar. Dia mendahului saya pada ketika itu. Tidak lama kemudian saya berniaga sendiri dan berumahtangga sedangkan Amin masih lagi membujang. Ya, saya menang kembali!

Bertahun kemudian, dia berkahwin. Apabila saya bertugas dengan Kumpulan Karangkraf,  sahabat saya ini berhenti kerja dan membuka sebuah syarikat logistik. Kehidupan kami dikira setanding. Sama-sama bekerjaya yang baik dan bekeluarga. Tiada siapa menang, tiada siapa yang kalah. Bertahun juga kami tidak bertanya khabar masing-masing.

Namun, baru-baru ini kami bertemu di sebuah restoran. Dengan bangganya Amin memberitahu saya yang dia menang kembali dalam perlumbaan kami. Katanya, “Hei, aku dah dapat datuklah. Aku rasa engkau tak boleh lawan aku dah, melainkan kalau engkau beli pangkat datuk tu.” Sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Amin, saya menjawab dengan senyuman. “Aku pun dapat datuk jugak sebab nak dapat cucu tahun depan!” Tawa kami berderai kerana kami sama-sama tahu, Amin tidak punyai anak walaupun dia sudah berpangkat datuk.

Kehidupan kita sejak di zaman persekolahan telah pun diperlumbakan oleh sistem pendidikan. Kita digalakkan mengejar markah sebagai pengukur kehebatan. Siapa nombor satu, siapa nombor akhir atau siapa di kelas yang bagus, di sekolah yang bagus selalu menjadi bandingan hingga kita diterap dengan pemikiran sebegini dalam  mengejar kecemerlangan kuantitatif.

Akhirnya kita terbawa pemikiran sebegitu dalam world view dan persepsi diri hingga kita ingin berjaya bersandarkan kemenangan material. Yang memperoleh semua itu akan rasa hebat dan menang. Yang tidak dapat kesemua itu berasa gagal dalam kehidupan. Kejayaan dan kegagalan kita itu mengikut ukuran orang sekeliling dan sistem masyarakat, bukannya diri sendiri.

Sepatutnya ukuran kemenangan atau kegagalan itu diukur bukan sahaja berdasarkan perolehan kuantiti, tetapi kualiti. Seperti kisah saya dan Amin, walaupun akhirnya sama-sama memperoleh kuantiti dan kualiti kehidupan yang mana akhirnya dia memperoleh gelaran datuk dan saya pula gelaran datuk.

Sungguhpun kami sama-sama membesar di persekitaran dan pendidikan yang sama, akhirnya kami memperoleh kejayaan pangkat atau gelaran datuk yang mempunyai erti yang berbeza. Bukankah sesungguhnya itu menandakan, dalam marathon kehidupan ini, kita sebenarnya bukan berlumba dengan orang lain, sebaliknya dengan diri sendiri. Kejayaan kita tidak akan sama dengan orang lain. Walaupun memperoleh kejayaan yang sama, rasa indahnya tentu sekali berbeza.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.11.2012, in syaa Allah...

Tuesday, November 13, 2012

BERDIRI DI SAMPING KEBENARAN


Photo credit: myibrah.com

SINAR HARIAN
JUGA BERHIJRAH


ALHAMDULILAH dan insya-ALLAH, mulai masuk waktu Asar petang ini, kami warga Sinar Harian akan meraikan sambutan Maal Hijrah 1434 di Madrasah Haji Yaacob yang terletak di Bangunan Sinar Harian. Bangunan itu adalah premis baru kami yang terletak di dalam Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Kami akan mula berpindah secara beransur-ansur sehingga kami mula beroperasi sepenuhnya di bangunan itu mulai Disember nanti.

Sesungguhnya perpindahan itu begitu dalam ertinya. Ia mengingatkan semangat hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah 1,400 tahun yang lalu. Cuma, Rasulullah berhijrah kerana oppresi, Sinar Harian berhijrah kerana operasi. Baginda berpindah dalam keadaan yang penuh berhati-hati, kami berpindah dalam mood yang senang hati. Betapa berbezanya suasana dan ketika hijrah Rasulullah yang penuh pancaroba tetapi kami berhijrah juga dalam suasana yang penuh kegembiraan. Maklumlah, dapat pejabat baru.

Saya teringat perjalanan saya dengan bas dari Mekah ke Madinah ketika menunaikan haji pada tahun 2003. Perjalanan selepas Asar itu menaikkan bulu roma kerana ia adalah perjalanan menjangkau ke senja menjelangnya 1424 Hijrah. Perjalanan sejauh 337 kilometer atau lebihkurang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru mengimbau ingatan, betapa Rasulullah SAW melalui perjalanan getir itu. Tidak terbanding dengan perjalanan saya di dalam bas berhawa dingin. Apatah lagi penghijrahan saya dan teman-teman warga Sinar Harian nanti yang tidak lebih 100 langkah atau tujuh minit perjalanan dari pejabat yang sedia ada ke pejabat yang baru.

Meskipun  hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain; dari segi mental, ia juga membawa erti penghijrahan dari satu paradigma, untuk membina satu paradigma yang lain. Daripada segi spiritual pula, ia memerlukan kekuatan rohani untuk terus beriltizam dan beristiqamah. Justeru itu, penghijrahan fizikal warga Sinar Harian juga mesti diiringi niat untuk berubah yang disusuli dengan pelan perubahan, diikuti dengan tindakan, dipertahankan dengan kekuatan emosi dan dipasak dalam-dalam dengan komitmen rohani.

Bagi saya, hijrah akan lebih berkesan seandainya ia dilakukan secara berkumpulan seperti mana yang dilakukan Rasulullah SAW. Baginda tidak berpindah sendirian. Ini adalah kerana, perubahan atau penghijrahan yang dilakukan dalam kumpulan lebih mudah diperkekalkan kerana teman-teman sekumpulan dapat ingat memperingati agar masing-masing dapat mempertahankan perubahan yang dipilih.
           
Lihatlah penghijrahan beribu-ribu ekor penyu yang menyelami lautan, burung-burung yang terbang merentasi benua dan pelbagai binatang daratan yang berpindah seperti beruang, gajah, kambing biri-biri mahupun kupu-kupu. Meskipun pada asasnya ia berhijrah untuk mencari makan, ia berpindah secara kumpulan dan bukannya sendirian.

Perpindahan warga Sinar Harian ke pejabat baru juga adalah hijrah secara berkumpulan. Mudah-mudahan perpindahan di tahun yang baru,  dalam suasana yang baru itu sama-sama menzahirkan semangat baru yang akan terus menyampaikan berita tanpa mengira siapa-siapa dan bertujuan apa-apa melainkan menjulang prinsip ‘Telus dan Tulus.’ Dalam pada itu, tentu sekali segala keputusan yang diambil untuk menyelidik, menyelongkar dan menyiarkan apa yang diperoleh itu masih kekal melalui neraca pertimbangan bagai menarik rambut dalam tepung.

Kami sedar, anda lihat Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang hebat. Bagaimana pun, kami tahu lantai berpijak kami masih lagi kayu dan bukannya marmar. Masih goyang, belum pun kukuh. Kami mengerti, memang sukar menyiarkan berita yang membuatkan semua hati anda gembira dan menerima. Lebih payah lagi memaparkan berita yang membuatkan hati anda semua berduka dan menolaknya. Inilah cabaran yang sentiasa kami pikul agar anda para pembaca memperoleh maklumat dalam apa jua perkara yang anda ingin tahu.

Betapa pun, Sinar Harian akan terus berpandu kepada tujuh prinsip dan etikanya sebagai falsafah akhbar ini. Kami tidak boleh memandai-mandai, memeriksa semua sumber berita, mendamaikan dua pihak yang bersengketa, mengingati erti persaudaraan orang-orang yang beriman, mengelak daripada kata-mengata, tidak berprasangka dan sentiasa ingat ALLAH SWT menilai seseorang itu melalui takwa, bukan pangkat, pengaruh dan hartanya.

Sesungguhnya ayat-ayat pertama, keenam, kesembilan, kesepuluh, kesebelas, keduabelas dan ketigabelas dari Surah al-Hujurat yang menjadi panduan kami selama ini akan kami genggam pula supaya anda sekalian tidak ragu-ragu tentang nawaitu kami dalam menyampaikan berita.

Di mana ada kebenaran, di situ ada Sinar Harian. Kami tidak berpihak. Sebaliknya hanya berdiri di samping kebenaran. Mudah-mudahan anda memperoleh pencerahan dalam apa jua persoalan yang bersimpang-siur di fikiran melalui Sinar Harian. Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.11.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, November 6, 2012

SOLUSI DAN SOALAN



Photo credit: useyouredge.blogspot.com
JAWAPAN YANG
DATANG SEBELUM SOALAN


SAYA bertemu dengan Amran, seorang pembantu pentadbir sebuah syarikat pembinaan ketika hendak memperbaharui lesen memandu di pejabat pos. Saya kenali beliau tatkala bertugas di sebuah syarikat perunding di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur 20 tahun dahulu. Pejabat Amran bersebelahan dengan pejabat saya. Sekali-sekala bila terserempak, kami berkongsi meja dan cerita tatkala makan tengahari di gerai bawah pokok berhampiran dengan pejabat kami.

Memandangkan panggilan nombor giliran saya masih lagi lambat, saya ambil peluang itu untuk bersembang dengannya. Saya menegur Amran sebaik sahaja dia selesai dengan urusannya. Dia kaget seketika memandang saya. Mungkin terkejut kerana tidak menyangka menemui saya di situ.

Setelah berbasa-basi, saya bertanya apa urusannya di pejabat pos itu. Wajahnya kelat seketika sebelum menjawab. ‘Saya bayar road-tax kereta, bang. Tapi saya terkilan sangat. Baru semalam saya dapat naik gaji, hari ini isteri saya kata, cukai jalan keretanya dah mati. Habis duit kenaikan saya.

Minggu lepas saya dapat bonus. Tayar kereta saya pulak meletup sebab botak. Nasib baik saya tak pandu laju. Kalau tidak boleh nahas. Saya ni selalu sangat terkena. Bila dapat duit sikit, mesti ada saja masalah yang perlukan duit tiba.’

Saya hanya tersenyum mendengar keluhannya. Tatkala di zaman muda dahulu, saya biasa mengalami situasi begitu. Baru dapat duit tuntutan perjalanan, surat saman memandu melebihi had laju pun sampai. Baru sahaja dapat gaji, adik pula mengadu hendak beli set buku-buku pelajaran universitinya. Baru sahaja terima bayaran hutang dari kawan, ada kawan lain pulak yang menagih hutangnya dari saya.

Pendek kata, ada sahaja keadaan di mana kita terpaksa melupakan hasrat untuk berbelanja kerana tuntutan yang lebih penting datang menagih penyelesaian. Justeru itu, apa yang dialami Amran kini pernah saya alami. Saya juga pernah keluh kesah, keruh resah dengan situasi itu. Gembira hati hanya sementara kerana masalah datang untuk memadam keriangan itu. Namun, setelah mengalami keadaan sebegitu buat beberapa kali, saya ada cara menangani hati sendiri hingga saya sudah tidak kisah dengan situasi yang boleh dilihat sebagai masalah itu.

Masalah adalah halangan, kesusahan atau cabaran yang memerlukan penyelesaian. Penyelesaian pula akan membolehkan kita nampak semula matlamat lalu melangkah untuk menggapainya. Masalah makro seperti masalah masyarakat mahupun negara hanya membimbangkan kita meskipun ia akan memberi kesan besar andainya tidak mengatasinya. Sebaliknya masalah peribadi yang kecil pun sudah cukup untuk membuat diri bermuram durja.

Ada masalah yang begitu besar hingga memerlukan bantuan orang lain untuk menyelesaikannya. Ada masalah yang semakin membesar andainya kita tidak segera menanganinya. Ada masalah yang selesai sendiri bila waktu berlalu.  Banyak juga masalah yang akhirnya tidak dilihat sebagai masalah lagi bila kita sedar, ia hanyalah mainan perasaan.

Namun, ada juga masalah seperti yang dihadapi oleh Amran. Jika kita renungkan, masalah sebegini amat unik kerana ia muncul setelah penyelesaiannya menjelma. Lihatlah, Amran terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar cukai jalan kereta isterinya setelah memperolehi kenaikan gaji. Dia juga terpaksa mengganti tayar keretanya yang meletup setelah memperoleh bonus.

Tidakkah ini menunjukkan masalah-masalah itu mendatang setelah penyelesaiannya tersedia? Masalah yang timbul setelah penyelesaiannya tiba terlebih dahulu, jarang sekali kita sedari hingga kita rangkum ia serupa seperti masalah-masalah yang lain. Padahal, ia amat berbeza dari jenis-jenis masalah yang lain.

Begitu halusnya ALLAH memberi kita dugaan dan cabaran berupa masalah yang pelbagai. Antaranya ialah masalah seperti ini. Jawapannya datang dahulu sebelum soalannya tiba. Janganlah mengeluh bila ditimpa masalah sebegini.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.11.2012.