Wednesday, September 30, 2009

ORANG LAIN SUDAH LAMA BERJAYA


SEHANDAL-HANDAL
PENIAGA MELAYU


DARI semasa ke semasa saya akan lakukan lawatan ke kedai-kedai akhbar di seluruh Semenanjung. Ia adalah tugas bertemu tauke kedai untuk bertanya khabar dan melihat air mukanya bila bercakap mengenai jualan akhbar Sinar Harian. Lebar senyumannya atau bertingkat kerut di dahinya boleh saya jadikan petunjuk masa depan Sinar Harian di kedainya.

Saya juga akan bertanya kepada para pekerja di kedai itu. Mereka sebenarnya lebih peka dengan tabiat pelanggan. Dan mereka tidak bercakap berlapik berbanding dengan bos mereka. Tanpa teragak-agak, mereka boleh nyatakan secara tepat berapa naskhah jualan akhbar Sinar Harian berbanding dengan akhbar-akhbar pesaing. Selalunya saya akan merah telinga. Merah bila terasa bangga jualan Sinar Harian kian meningkat di kedainya. Merah juga telinga apabila berasa kecewa kalau jualan di kedai itu menunjukkan prestasi sebaliknya.

Biasanya, setelah berbual-bual untuk memancing maklumat daripada para pekerja, saya akan melilau-lilau untuk melihat suasana di sekitar kedai itu. Apakah terdapat kedai akhbar lain di situ? Apakah perhentian bas di situ sibuk dengan para penumpang atau apakah terdapat deretan kedai yang baru dibina di seberang jalan?

Ketika saya merayau-rayau inilah saya terperasan akan persamaan fenomena di kebanyakan kawasan premis perniagaan di bandar-bandar Semenanjung. Persamaan yang saya nampak ialah kian banyaknya kedai-kedai baru yang dipunyai oleh orang-orang Melayu pada hampir setiap bandar kecil yang saya kunjungi.

Saya ke Sungai Petani, Alor Star, Arau, Kangar, Gua Musang, Kertih, Jertih, Pasir Mas, Kemaman, Mentakab, Jerantut, Raub, Pekan, Rompin, Kota Tinggi, Rembau, Jasin, Kuala Pilah dan banyak lagi bandar-bandar lain. Di kesemua bandar-bandar ini, saya temui kedai-kedai moden yang dipunyai oleh orang Melayu.

Kedai-kedainya bukan lagi jenis ‘kedai MARA’ yang rendah, yang berkuap kerana saiznya sekangkang kera. Barang-barang yang terpamer di kedai-kedai ini bukan yang lapuk kerana tiada orang hendak membelinya atau yang lompong rak-raknya kerana para pengedar serik untuk membekal stok baru kepadanya kerana dia liat membayar hutang.

Sebaliknya, kedai-kedai yang saya nampak, kelihatan berseri-seri papan tandanya dengan pelbagai warna yang pasti memukau pengunjung untuk singgah ke kedai itu. Kedainya bersih dan barang-barang jualan semuanya cantik kerana daripada stok terkini. Malah, ada juga kedai-kedai yang merangsang deria bau bila kita melangkah ke dalamnya kerana tuanpunya kedai meletak lilin aromaterapi yang menyegarkan.

Pendek kata, kedai-kedai ini bukan lagi kedai-kedai perniagaan tradisional Melayu iaitu kedai songkok, kedai capal, kedai batik mahupun kedai gunting rambut yang menggelupas cat dindingnya, yang gelap suasana di dalam premisnya dan yang berpasir lantainya.Sebaliknya, perniagaan mereka sudah meliputi kedai komputer, butik, foto, kaca mata, farmasi, kafe, aksesori kereta, mainan kanak-kanak, telefon, hotel, barang kemas, elektrik, bengkel kereta, klinik, farmasi dan tentu sekali kedai dandan wanita!

Daripada jenama yang terjual, saya tahu tuanpunya kedai memperoleh barangannya dari pengeluarnya. Ertinya, si tauke sudah tahu mendapatkan bekalan terus daripada kilang dan bukannya daripada orang tengah. Maknanya, dia mungkin membayar deposit untuk mendapat bekalan dan mempunyai kredibiliti hingga dipercayai pengeluar.

Susun atur barangan, senyum manis para pekerja dan ramainya pelanggan menunjukkan kedai itu berdaya maju. Si tauke tentu sekali orang yang pandai berniaga. Mereka bukan lagi golongan Melayu bermentaliti subsidi yang membeli kereta peribadi dahulu sebaik sahaja memperoleh pinjaman bank. Ataupun mereka adalah ‘Ali’ yang dibelakangi ‘Baba’.

Tidakkah saya berbangga? Tentu sekali. Malah, saya berasa seronok kerana sudah mula menemui kedai-kedai Melayu yang ada cawangan-cawangan mahupun francais seperti Ani Sup Utara, Syarikat Buku Muda Osman, Laksa Shack, Cosmopoint, Menara Optometry, Rozaimi Optometrist dan Kamal & Kamal Pest Control, Yan’s Collection dan kedai-kedai stokis jamu.

Senarainya panjang. Hebat rupanya orang Melayu jika mereka sudah menjadikan perniagaan sebagai kerjaya. Bukan lagi semata-mata bekerja dengan kerajaan seperti generasi orang tua kita. Bukan juga menjadi petani dan nelayan seperti yang direncana penjajah sebelum ini.


Namun, ketika saya berasa orang Melayu sudah hebat, sudah pintar, sudah ahli dalam perniagaan, saya terpana ketika pulang ke bandar kelahiran saya ~ Mersing, Johor pada Aidilfitri lalu. Sambil memandu perlahan merentasi bandar itu, saya nampak kedai baju Tuck Fong di mana saya mendapatkan baju. Saya nampak kedai ubat Sam Yu di mana saya selalu membeli ubat Cap Kaki Tiga untuk datuk saya. Saya nampak kedai buku Union di mana saya membeli peralatan sekolah.

Saya nampak. kedai runcit Hock Hoe, Tien Lock Restaurant, Tong Ah Hotel, Kedai Kopi Tien Hock, Kedai Dobi Kay Tong, Kedai Foto Kai Mee dan Medina Restaurant. Kesemuanya dipunyai oleh kaum Cina dan India.

Kedai-kedai ini sudah wujud sejak tahun 60an lagi. Dan kini ia masih bertapak di celah-celah kedai-kedai popular seperti Kentucky Fried Chicken, Guardian Pharmacy, Giant Supermarket dan 7-Eleven.

Pasti sekali, tabiat peniaga ialah membesarkan perniagaan. Kedai yang sudah wujud berpuluh tahun lamanya tentu sekali telah mendatangkan pendapatan berjuta ringgit. Si tuanpunya atau anak si tuanpunya tentu sudah melabur ke dalam perniagaan-perniagaan hartanah, pembuatan, pengeluaran dan perkhidmatan lain.

Kedai yang ada hanyalah kedai pusaka sebagai mercu tanda perniagaan untuk memacu semangat mahupun sekadar nostalgia perniagaan keluarga.


‘Oh, mereka sudah ada kedai lebih 40 dahulu. Orang kita baru nak bermula. Mudah-mudahan kita terkejar mereka untuk merapatkan jurang ekonomi!’ demikian kata hatiku.

NOTA:
Artikel ini diterbitkan di akhbar SINAR HARIAN pada 30.9.09.
Ia adalah olahan artikel SEPANDAI-PANDAI PENIAGA MELAYU yang saya paparkan pada 19 Disember 2008.

Tuesday, September 22, 2009

PERSAUDARAAN MALAYSIA-INDONESIA

KITA MANGSA
PECAH DAN PERINTAH




Foto: flixter.com

APAKAH yang tertayang di layar minda kita bila disebut perkataan atlas? Tentu sekali rajah negara-negara yang disempadani dengan garisan-garisan. Garisan-garisan itu pula adalah sempadan yang memisahkan wilayah-wilayah pemerintahan.

Misalnya, untuk peta Asia Tenggara, Malaysia disempadani dengan Singapura di selatan, Thailand di utara dan Indonesia di seberang Selat Melaka. Di timur Thailand pula, terdapat negara Kemboja dan Laos, diikuti dengan Vietnam. Thailand juga bersempadan dengan Burma di sebelah barat, dan begitulah seterusnya.

Sempadan yang terlakar dalam bentuk berkeluk mengikut bukit, sungai, gunung, pulau, atau lurus mengikut laut dan padang pasir, pada peringkat pembentukannya mesti dipersetujui oleh negara-negara yang bersempadan. Wilayah yang terbentuk melalui pemetaan itu pula akan diiktiraf oleh negara-negara lain. Akhirnya, bila ia diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menjadi negara ahli, maka jadilah ia sebuah negara yang berdaulat.

Bagaimana pun, pemetaan itu terlakar bagi menunjukkan sesebuah kawasan pemerintahan itu dikuasai oleh sekumpulan manusia yang dipilih untuk menguasai kawasan itu. Ia bukannya sempadan mengikut himpunan bangsa, budaya, ekonomi, pendapatan, industri, pertanian, malah agama mereka yang tinggal di sesebuah kawasan itu. Justeru itu, atlas dunia yang kita tatap kini sebenarnya adalah atlas politik.

Oleh kerana atlas politik adalah atlas yang sering kita tatap dan rujuk, maka secara bawah sedar, minda kita sudah dipisah-pisahkan di antara sebuah negara ke sebuah negara yang lain mengikut pemerintahan politik. Akhirnya, politiklah yang menguasai world view kita.

Tidak hairanlah, oleh kerana atlas politik menjadi rujukan utama, fikiran kita terkurung dalam kempompong-kepompong politik yang dinamakan negara. Akhirnya, kita hanya prihatin terhadap apa yang terjadi di negara sendiri sahaja dan tidak terasa apa yang berlaku di negara lain.

Kita tidak berasa, mereka yang tinggal berhampiran dengan sempadan negara kita adalah juga saudara-saudara kita yang sama dari segi agama, budaya dan juga bangsa. Oleh kerana atlas politik jugalah, kita boleh mempersenda atau memperlekeh mereka yang sebenarnya sama budaya, sama warna kulit, malah seagama, semata-mata kerana mereka berada di luar sempadan politik. Wajarkah?

Kerana sebab itulah munculnya segelintir anak-anak muda di Indonesia yang beria-ia belajar silat, kononnya untuk mempertahankan budaya yang dicuri oleh Malaysia. Tarian pendet dan lagu Terang Bulan mahu dirampas kembali kerana kita dikatakan mencurinya.

Walhal, andainya tarian dan lagu itu dilihat dari kacamata budaya dan bangsa, tidak timbul soal merampok budaya kerana dari segi peta budaya, petanya meluas dari Sumatera, melangkaui Semenanjung Tanah Melayu, hingga ke Pattani, Pulau Mindanao, Pulau Papua, Sulawesi dan seluruh Pulau Jawa. Ia dikenali sebagai Kepulauan Melayu yang pada hakikatnya serumpun dari segi bangsa, budaya dan bahasa. Ertinya lagu dan tarian itu tidak ke mana-mana pun kerana ia tidak digunakan oleh mereka di luar nusantara.

Kita di Malaysia juga terbiasa melihat dunia daripada kaca mata atlas politik. Kerana itu jugalah, ada di kalangan kita yang senantiasa memandang serong terhadap orang dari seberang. Seolah-olah mereka adalah orang asing atau orang luar. Walhal selama ini, terdapat rakan sekerja kita yang berketurunan Kerinchi, Lampung, Padang, Banjar atau Minang di sekeliling kita.

Mungkin rakan sekerja kita sekarang seperti Daniel, Suhairi, Haslia mahupun Dilla adalah generasi kelima atau ketujuh penduduk Indonesia yang berhijrah ke Malaysia. Barangkali, kita sendiri berasal daripada keturunan Jawa Totok. Bezanya, moyang kita yang sampai terlebih dahulu ke mari berbanding dengan pekerja-pekerja kontrak dari Ambon di bangunan seberang jalan pejabat kita. Justeru itu, mengapa membeza-bezakan?

Ya. Tanpa berasa canggung, kita mestilah akui bahawa orang Melayu Malaysia dan orang Indonesia adalah satu bangsa dan bersaudara. Ia adalah hakikat yang mesti diterima tanpa rasa siapa yang lebih senior, atau lebih pandai, atau lebih berani mahupun siapa yang lebih beretika.
Dan, kita mestilah sedar bahawa pemikiran kita yang jumud ini sebenarnya adalah hasil pelan jangka panjang penjajah untuk memecah dan memerintah kita, umat Islam sejak beratus-ratus tahun yang lalu.

Sejak Rasulullah s.a.w wafat, umat Islam tetap bersatu di bawah sistem khalifah. Tidak ada sempadan politik yang menggaris dan memisahkan umat. Empayar Islam sejak zaman pemerintahan Umayyah, Abbasiyyah dan diikuti dengan empayar Uthmaniyyah tegak berdiri sebagai satu identiti. Pihak British, Belanda, Portugis dan Sepanyol dengan slogan gold, glory dan gospel, yang menjajah dan menakluk telah memisah-misahkan entiti empayar Islam dengan cara pecah dan perintah.

Hasilnya, negara-negara Arab yang pada asalnya bersatu di bawah panji-panji Islam mula diasing-asingkan mengikut sempadan negeri dan diberi pelbagai nama. Maka muncullah orang Mesir, orang Yaman, orang Syria, orang Libya, orang Tunisia dan orang Arab Saudi. Mereka tidak lagi dikenali dengan satu identiti iaitu sebagai orang-orang Arab.

Di nusantara, strategi pecah dan perintah ini turut berlaku. Maka kita lihat pada hari ini, satu rumpun bangsa Melayu telah dipisah-pisahkan. Mereka di Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan Songkla adalah bangsa Melayu yang terkeluar dari sempadan Tanah Melayu. Begitu juga mereka di Pulau Mindanao yang terpisah dari rumpun Melayu Borneo dan di Papua pula terbelah dua di mana separuh daripadanya adalah wilayah Indonesia yang dikenali sebagai Irian Jaya dan sebelah baratnya dikenali sebagai Papua New Guinea.

Perjanjian Inggeris Belanda pada tahun 1824 pula adalah detik sejarah keruntuhan Empayar Johor-Riau-Lingga. Inilah empayar Melayu terakhir yang runtuh menyembah bumi. Dalam perjanjian itu, Belanda yang menguasai Melaka telah menukar wilayahnya dengan British yang menguasai Bangkahulu. Sejak daripada itu, Melayu dipisahkan kepada dua wilayah yang berasingan dan akhirnya masing-masing mencari kemerdekaan secara sendiri-sendiri hingga terbentuk dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Seharusnya, kita perlu pelbagaikan perspektif, spektrum dan dimensi untuk mencerap dunia. Kita jarang sekali melihat atlas di mana garisan-garisannya dilengkuk dan diluk berdasarkan budaya, sosial, ekonomi, kemajuan IT, pendapatan, industri, pertanian dan juga berdasarkan agama. Malang sekali, minda kita telah berjaya dipecah dan diperintah hingga sudah tidak mengenal saudara yang pada asalnya sepusat sepusing.


* Artikel ini terbit di dalam akhbar SINAR HARIAN, 16.9.09 di bawah tajuk yang sama.
** Ia adalah olahan
artikel yang ditulis pada 14.6.09.