Tuesday, January 26, 2016

MENJAGA HARTA PENINGGALAN


Piccredit: udayavani.com
DI ANTARA
MEWARISI 
& MENGUASAI
KISAH pewaris yang berbelanja dan menghabiskan harta peninggalan orang tuanya sudah menjadi klise samada melalui cerita dari mulut ke mulut mahupun bila ia dijadikan drama TV. Harta yang diwarisi itu langsai secara cepat kerana si pewaris memperolehnya cara mudah seperti bulan jatuh ke riba. Kerana tidak pandai mencari, maka si pewaris itu juga tak pandai menyimpan. Akhirnya, dia hilang segala-galanya dan kembali ke asal yang tiada apa-apa.
Orang yang meninggalkan harta pusaka yang melimpah ruah kepada anak cucu itu biasanya terdiri daripada mereka yang rajin berusaha. Mereka bekerja di segenap waktu untuk membina diri dan keluarganya tanpa mengenal penat dan lelah. Hasrat mereka, biarlah mereka letih dan sengsara asalkan anak cucu yang menerima harta pusakanya akan senang lenang di kemudian hari.
Niat mereka sememangnya baik. Namun, apabila terjadinya hal harta peninggalan yang dilapah dan dikikis oleh si pewaris, maka andainya orang yang meninggalkan harta itu hidup balik, dia akan mati kembali akibat melihat apa yang terjadi terhadap hartanya! Sudah tentu dia akan kesal kerana usahanya itu dipersia-siakan kerana si pewaris bukan sahaja tidak pandai menjaga dan mengembangkan hartanya tetapi sebaliknya menghabiskannya tanpa bersisa.
Mengapa terjadi begini? Mengapa kisah harta pusaka yang dilicinkan oleh si pewaris tanpa bersisa itu sudah saban kali kita dengar berlaku di sekeliling kita hingga ia dijadikan drama menarik yang penuh iktibar? Ia tidak lain berpunca akibat tiada komunikasi jelas di antara si pemberi dan si penerima.
Apa yang kerap terjadi ialah si pencari harta tidak memberitahu langsung apa yang dia ada kepada si pewaris sehinggalah dia meninggal dunia. Si pewaris yang tiba-tiba mengetahui betapa banyaknya harta yang kini menjadi kepunyaannya menjadi gelap mata. Akibat tidak pernah dididik untuk memahami dan mengalami jerih perih si pencari harta itu, dia tidak melihat besarnya nilai harta yang diperoleh itu. Maka dia terus jolikan sahaja sehingga selesai.
Tetapi, sekiranya, si pencari harta itu mengajak dan mengajar pewarisnya ilmu mencari harta dalam segala kepayahan dan kesukaran dengan pelbagai pengorbanan, maka si pewaris akan sama-sama kenal erti susah payah itu. Apabila si pencari harta itu meninggal dunia, maka si pewarisnya sudah bersedia untuk menjaga, malah mengembangkannya berlipat kali ganda untuk pewarisnya pula.
Ada di kalangan kita yang amat beruntung seandainya diwariskan harta yang banyak. Mudah-mudahan kita yang mendapatnya pandai mengendali dan menggandakannya. Bagaimana pun, apakah kita sedar yang kita semua sebenarnya adalah pewaris harta yang pelbagai? Ia bukannya material atau aset. Tetapi nilainya tidak terkira!
Harta yang ditinggalkan kepada kita adalah dalam bentuk bahasa dan budaya kita yang kaya. Orang tua kita telah meninggalkan pusaka bahasa yang indah. Kaya istilah dan perbendaharaan katanya. Pewarisnya harus menggunakannya dengan berhati-hati kerana pengucapannya mestilah disampaikan dengan penuh bersopan. Pilihan kata-katanya penuh berlapik tanda si empunya bahasa itu tinggi akhlaknya.
Lenggok bahasa dan intonasi katanya itu melambangkan budaya yang sopan santun walaupun di dalam hati bergelodak dan bergelora segala kesumat dan bungkaman perasaan. Ah, mungkin kerana orang tua tidak pernah melihat bahasa dan budaya ini sebuah peninggalan yang harus diwarisi dengan amanah, maka kita pun tidak rasa apa-apa bila mengenepikannya hingga tidak menggunakannya langsung!
Bila berbudaya, apa yang dimakan, cara menghidang atau cara menyuap sudah tidak tertib lagi. Apa yang dipakai pun sudah sekali sekala kita gunakan kerana mengikut adat, bukannya untuk menghidupkannya. Warisan cara berjiran dan berkomuniti sudah tidak dikekalkan dengan identiti mengikut warisan bangsa kerana kemodenan. Kalaulah orang tua kita menyatakan bahawa ia sebenar-benarnya harta warisan, mungkin kita akan menjaganya.
Islam yang kita warisi inipun banyak yang tinggal kulit. Orang lain mencari Islam. Kita yang mewarisi tidak sedar  betapa beruntungnya kerana mewarisi agama ini. Jika ia hanya Islam yang rutin dengan yang wajib-wajib yang dicampur aduk dengan yang ibadah mengikut adat dan bukan tuntutan agama, maka sayang sekali kerana orang tua yang meninggalkannya tidak mengajar kita bagaimana mencari ALLAH SWT melalui khabar dari Muhammad SAW.

Mewarisi sesuatu itu amat mudah. Tetapi ia menjadikan kita alpa. Kerana itu, apa jua yang diwarisi itu mesti dikuasai, tidak kira samada ia harta benda, budaya mahupun agama. Mewarisi sesuatu biasanya akan pupus. Menguasai sesuatu itu akhirnya akan menambah apa yang kurang. Malah, ia menjadi peninggalan kita kepada mereka selepas kita.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.1.16.

Tuesday, January 19, 2016

JANGAN TAKUT MENERIMA PERUBAHAN


Piccredit: oak3.be

BERUBAH SEBELUM
PADAH MELANDA
NUR WAHYU FIRMAN, seorang bos muda di sebuah syarikat senibina. Saya kenal gadis ini melalui bapanya, yang menjadi rakan sukan badminton. Wahyu bermain di gelanggang wanita, sementara saya dan bapanya bermain di gelanggang lelaki.
Minggu lalu, sementara menanti gilirannya bermain, Wahyu menemui saya dengan wajah muramnya. Dia menyuarakan kebimbangan terhadap langkah syarikatnya yang sedang menstruktur organisasi. Tiga orang pereka di bawah seliaannya akan dipindahkan ke sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan oleh majikannya. Itulah yang menjadi kerisauannya.
Katanya, dia penat melatih pereka-perekanya itu.  Daripada mereka yang tidak mahir menjalankan tugas hingga menjadi pereka-pereka yang cekap dan pantas bekerja di bawah asuhannya. Apabila dia ditukarkan, jabatannya kehilangan tenaga kerja berpotensi dan banyak projek akan terbengkalai.
Wahyu kaget apabila saya tersenyum mendengar keluhannya. Saya menerangkan kepada Wahyu, pemergian seseorang yang bagus daripada jabatannya itu adalah petanda bahawa dia sudah menjadi seorang bos yang baik. Kakitangan yang baik juga adalah hasil daripada didikan seorang bos yang handal. Wahyu sepatutnya bangga melepaskan orang-orangnya ke jabatan lain.
Seperti juga seorang ibu yang hendak melepaskan anak gadisnya untuk menjadi isteri orang, dia akan berasa bangga kerana anak gadisnya itu telah terdidik sehingga tahu selok belok teori dan praktik sebagai seorang isteri yang baik. Kerana itu, Wahyu sepatutnya bersedia untuk melepaskan lagi mana-mana stafnya yang berpotensi ke jabatan yang lain apabila syarikat memerlukannya.
Namun, Wahyu berasakan dia terpaksa menghabiskan masa untuk melatih staf yang baharu. Bagaimana jika mereka yang baharu itu tidak dapat mencapai tahap yang diharapkan, soalnya. Jawab saya, ia hanya suatu andaian. Satu lagi andaian ialah bagaimana pula seandainya mereka yang baharu itu boleh menjadi pereka-pereka yang lebih baik daripada yang telah ditukarkan itu? Ini juga suatu kemungkinan.
Pendek kata, seseorang ketua itu sepatutnya bersiap sedia untuk menjadikan jabatannya sebagai sebuah kilang yang melahirkan mereka yang terlatih dan berpotensi hingga dapat berkhidmat di mana-mana jabatan yang lain. Malah, berjiwa besar untuk berasa bangga meskipun mana-mana stafnya sudah berhijrah ke syarikat pesaing kerana itu menandakan dia sudah menjadi pengeksport kepakaran!
Apabila perbualan kami menyentuh mengenai staf-staf  baharu yang bakal mengisi jawatan di jabatannya, saya bawa Wahyu untuk melihat dari sudut dinamika kumpulan. Mereka yang baharu itu tidak boleh tidak akan memberi kesan terhadap mereka yang sedia ada. Perkara pertama ialah aura kehadiran mereka.
Wajah-wajah mereka, suara, tindak-tanduk, tabiat, malah cara berpakaian mereka akan mengubah mood di jabatannya. Itu belum lagi cara kerja, input idea yang staf-staf baharu ini boleh curahkan di jabatannya. Kadangkala, sesebuah idea itu mungkin idea yang bodoh. Tetapi tanpa idea yang bodoh, tidak akan timbul idea-idea yang cerdik untuk memperbaikinya.
Malah, mungkin pula akan timbul idea-idea yang hebat, yang belum dijangkau fikiran mereka yang ada. Kehebatan idea-idea baharu ini akan merangsang kreativiti mereka yang ada. Mereka akan berasa tercabar lalu ingin bersaing dengan idea-idea yang lebih baik daripada yang dicadangkan oleh staf yang baharu.
Lihatlah pemergian mana-mana pemain hebat dalam sesebuah pasukan bolasepak. Pemergiannya diganti dengan pemain yang lebih handal. Jika tidak pun, pemain yang lama akan menunjukkan belang kerana peluang yang terhalang oleh pemain yang telah berhijrah itu kini terbuka luas. Perpindahan dan pertukaran pemain dalam kebanyakan pasukan bolasepak professional akan melahirkan momentum baharu, semangat baharu dan juga visi baharu yang belum pernah dibayangkan oleh pasukan itu sendiri.
Jangan takut dengan kehilangan anggota pasukan yang handal. Jangan pula risaukan akan potensi anggota pasukan yang baharu. Pada asasnya manusia itu serupa. Apabila dia berpindah tempat, naluri survivalnya itulah yang memacu dirinya untuk mengatasi segala cabaran yang mendatang, lantas membawa seluruh anggota pasukan untuk ke puncak kejayaan.

Tetapi seandainya sesebuah pasukan itu takut untuk menukar anggotanya kerana kononnya menghormati jasa, akhirnya seluruh pasukan akan goyah, lemah dan runtuh musnah. Wahyu nampaknya lega setelah mendengar pandangan saya itu.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.1.16.

Tuesday, January 12, 2016

BIAR LAMBAT ASAL BERMAKNA


Piccredit:igniteyourthinking.beca.com

PINTAS TIDAK SEMESTINYA PANTAS

KITA sudah menghampiri pertengahan bulan Januari, bulan yang pertama tahun 2016. Hari ini ialah hari ke-13 daripada 366 hari. Dunia kian laju berputar. Kita yang hidup di bumi ini pun terikut mahu segala-galanya pantas. Persimpangan lampu trafik adalah garis permulaan litar lumba. Jika pemandu di dalam grand prix hanya fokus kepada satu garis permulaan dan satu garis penamat dalam perlumbaan, kita berdepan dengan berbelas-belas garis permulaan dan penamat litar lumba di kotaraya kerana banyaknya lampu trafik di setiap persimpangan.
Barangkali kita lebih cekap daripada pemandu grand prix kerana setiap kali di litar lumba kotaraya, kita berdepan dengan pelbagai halangan daripada berjenis-jenis kenderaan bas, lori, motorsikal mahupun basikal berbanding dengan pelumba di litar yang hanya berdepan dengan hanya sejenis kenderaan yang gerakannya pun sehala.Tidak bersimpang siur seperti di  kotaraya.
Oleh kerana kita hendak laju, hendak pantas dan hendak deras, maka kita mula mencari jalan pintas. Kerana itu, timbul konsep biar cepat asal selamat untuk mengatakan bahawa cepat-cepat pun okey, asalkan  selamat. Jika kita menyandarkan konsep ini dengan hal-hal teknologi dan jentera yang mempunyai gerakan rotornya yang konsisten, tentulah yang cepat itu gerenti selamat. Berkereta, berkeretapi laju, pengeluaran produk menggunakan mesin memang cepat dan selamat.
Namun, jika yang cepat itu pergerakan fizikal manusia itu sendiri, ia adalah suatu ukuran yang lain. Kecepatan berlari boleh membuat kita tersadung. Kecepatan memanjat pula boleh membuat kita tergelincir. Tindakan fizikal yang pantas menggunakan tulang empat kerat boleh berakhir dengan kesilapan dan kemalangan. Kepantasan berfikir untuk menyelesaikan masalah yang khusus adalah baik andainya ia hanyalah sebuah konsep. Namun, apabila kepantasan berfikir itu melibatkan gerakan fizikal terhadap manusia dan alam, impak negatif lebih mudah menjadi kesan sampingannya.
Sebab itulah, pendekatan jalan pintas untuk cepat memperoleh hasil itu akhirnya menimbulkan masalah. Pendekatan mencongak melalui campur, tolak, bahagi dan darab itu memang lambat. Jalan pintas menggunakan mesin kira itu baik, tetapi tidak berguna seandainya konsep matematik itu tidak difahami dan dikuasai.
Kita boleh memasak apa juga jenis resipi dengan menggunakan paket-paket ramuan masakan yang terjual di pasaraya. Namun, kita tidak akan tahu mengapa masakan itu sedap kerana kita tidak pernah lihat rupa rempah ratus yang digunakan. Kita tidak dapat memahami mengapa buah pelaga digunakan di dalam resipi itu walaupun daun kari juga sudah ada kerana kedua-duanya memberikan kesan pedas. Kita tidak tahu apa-apa mengenai resipi jika kita hanya mencurah serbuk ke dalam periuk sebelum mengacaunya.
Kita boleh menghafal al-Quran dengan menggunakan pelbagai teknik. Boleh pula ingat akan tafsirannya kerana terdapat berpuluh-puluh jenis al-Quran di pasaran. Namun, kefahamannya tidak sama jika kita sendiri mempelajari bahasa Arab untuk memahami maksud setiap patah perkataannya. Secara umum, memang hebat jika kita hafal al-Quran. Secara khusus, adalah pelik jika kita hafal al-Quran tetapi tidak tahu berbahasa Arab sebagai bahasa asal al-Quran.
Jalan pintas memang baik kerana hasilnya cepat diperolehi. Namun dari segi jangka panjang, ia hilang erti. Mudah itu menyeronokkan. Sukar itu memberi pengalaman indah dalam kita mencuba dan menyudahkan sesuatu walau betapa biasanya sesuatu itu. Mengukur kelapa dengan tangan lebih bererti dan bermakna. Lenguh tangan mengukur, terhenti apabila jari terluka terkena mata kukur, bau kelapa yang diparut, berminyaknya tangan kerana santannya atau rasa tekstur hampas kelapa di jejari  itu lebih indah  daripada mencurah sepeket santan ke dalam periuk.
Memotong batang tebu, membuang daunnya yang miang, membelah tebu kecil-kecil atau terus mengunggis tebu untuk dikesip airnya itu jauh lebih menyeronokkan daripada menghirup airnya dari gelas besar di restoran. Jika dahulu, kita pasti mengunci jam meja pada setiap malam untuk menghidupkan loceng, kini kita boleh sahaja memprogram waktu bangun tidur di telefon bimbit agar loceng dihidupkan  pada setiap malam hingga setahun.
Dahulu, kita hanya punyai berpuluh orang kawan. Tetapi kesemuanya kita kenal rapat hingga ke ibu bapa dan datuk neneknya. Kita tidur baring di rumahnya seperti saudara kita sendiri. Kini, kita menekan-nekan butang dan mengajak sesiapa sahaja menjadi kawan kita dan dalam tempoh beberapa jam sahaja, sudah beratus orang boleh menjadi rakan kita. Dahulu, kita berkenal, baharulah berkawan. Kini, kita berkawan dahulu baharulah berkenalan. Laman sosial adalah jalan pintas untuk mendapat kawan, tetapi apalah ertinya jika kita tidak ingat pun wajah-wajah mereka.

Jalan pintas tidak semestinya pantas. Hasilnya boleh didapat. Namun, makna kepada apa yang diperoleh itu mungkin tidak mempunyai erti apa-apa.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.1.16.

Tuesday, January 5, 2016

KEMBALI KEPADA FITRAH


Piccredit: revolutionflame.com
PERUBAHAN YANG TAK TERASA

TIDAK lama dahulu, saya menelefon Surena, Pengurus kilang Sinar Harian Cawangan Kelantan dengan untuk berurusan mengenai hal kerja. Baharu sahaja saya bercakap sedikit, Surena berkata, ‘Encik Norden ni selalu sangat bersuara tinggi… sikit-sikit nak marah… sikit-sikit nak marah. Kenapa?’ Saya terkedu dengan komennya. Tidak menyangka yang nada saya yang meninggi itu memberi kesan kepada Surena. Lantas saya terus mengendurkan suara.
Sebaik sahaja meletak telefon, saya bertanya kepada diri, mengapa saya bersuara meninggi sehingga Surena menyangka yang saya memarahinya. Saya tidak marah. Tetapi mungkin kerana ingin jawapan yang pantas kerana mengejar masa, maka saya bercakap cepat dan bersuara mendesak. Saya tahu yang saya bukan jenis manusia yang sentiasa suka memaksa. Namun, mungkin ini juga kesan hipertensi yang saya hidapi. Sesungguhnya ini adalah di antara perubahan diri yang tidak saya sedari kerana mengikut katanya, saya ‘selalu sangat bersuara tinggi.’ Seandainya Surena tidak menegur, mungkin saya tidak tahu yang saya berkelakuan sebegitu.
Perubahan. Lazimnya ia adalah perkara positif yang kita hasratkan apabila hendak memperbaiki prestasi. Dalam konteks peribadi, biasanya kita sengaja merangka dan menjangka sesuatu perubahan itu. Kemudian kita akan berazam untuk laksanakannya. Dalam konteks kumpulan, samada kita menjadi pengendali perubahan mahupun sebagai anggota pasukan, kita memainkan peranan untuk menerima dan melaksanakan sesuatu perubahan yang telah diumumkan.
Kumpulan yang berubah akan mempunyai dinamika tersendiri agar sesuatu perubahan itu berkekalan sebagai standard pasukan, sehinggalah sesuatu perubahan lain dirangka untuk mempertingkatkan kemajuan. Maknanya, sesuatu perubahan itu lazimnya adalah sesuatu yang dilakukan dengan penuh kesedaran.
Namun, bagaimanakah jika perubahan itu sesuatu yang tidak dirancang kerana ia tidak disedari? Perubahan sebegini biasanya memberi kesan negatif. Dalam sesebuah organisasi, perubahan tanpa disedari itu adalah petanda bahawa standardnya mula goyah kerana anggotanya tidak berpegang teguh kepada  prinsip-prinsip dan etika yang disepakati oleh kumpulan. Bahayanya ialah apabila perubahan yang tidak disedari itu telah diterima sebagai suatu norma atau standard baharu sesebuah organisasi itu.
Sesebuah syarikat yang tidak sedar terhadap perubahan dari garisan standard yang termaktub akan menjadikan anggotanya kian longgar berpegang kepada disiplin kumpulan. Lama kelamaan, apabila sesuatu perubahan yang tanpa disedari itu menyelinap dan meresap ke dalam organisasi itu, akan terdapat kelompok-kelompok yang berbuat sesuatu ikut pandai sendiri. Organisasi itu menjadi caca marba kerana mempunyai pendekatan serta hala tuju matlamat yang pelbagai. Ia menjadi rapuh dan lumpuh. Akhirnya ia tersungkur menyembah bumi.
Individu yang berubah tanpa dia sendiri sedari mungkin sekali longgar berpegang kepada sesuatu pendirian yang menjadi identitinya. Analoginya seperti seseorang yang pada mulanya rajin ke masjid pada setiap waktu, oleh kerana kesibukan kerja, mula melewatkan kehadiran berjemaah, tidak datang satu-dua waktu solat dan akhirnya bersolat sendirian.
Timbangrasa seorang bos kepada pekerjanya, toleransi pemimpin kepada pengikutnya, layanan seorang ayah kepada anaknya mahupun layanan isteri kepada suaminya boleh berubah kepada yang tidak baik tanpa disedari kerana kita adalah manusia mahu selesa dan ikut selera sendiri dalam perhubungan kita dengan orang lain. Namun, orang di sekeliling yang sedar akan perubahan itu. Mereka akan bertoleransi pada mulanya. Tetapi akhirnya akan bertindak untuk menegur secara baik, mengkritik, memarahi ataupun memboikot kita yang dianggap sudah berubah dan tidak sama seperti yang sepatutnya.
Di peringkat organisasi, adalah mudah untuk kita menyemak perubahan negatif yang melanda. Pelbagai laporan, rekod, rajah dan geraf boleh menjadi rujukan bagi memperbetul kelemahannya. Tetapi di peringkat individu, bagaimana kita hendak menyedari akan perubahan ini? Salah satu cara yang mudah ialah dengan bertemu dengan mereka yang pernah menghiasi hidup kita.

Mulakan dengan bertemu dengan kawan-kawan bekas tempat kerja, kawan sekampung, sekariah, kawan-kawan sekolah, saudara-mara dan sesiapa sahaja yang sudah lama tidak kita temui. Mereka semua menjadi penanda diri kita. Jika kita seorang yang ceria di zaman sekolah, pertemuan dengan mereka akan mengembali dan memperbetul diri. 
Jika kita seorang yang alim ketika di kampus, ziarah kita ke rumah mereka akan menghidupkan ‘ustaz’ dalam diri kita yang dahulu. Menyusurlah jalan kenangan, lorong kehidupan dan denai yang pernah kita lalui untuk bertemu diri kita yang dahulu. Kita akan melihat diri kita yang putih, yang belum lagi berconteng dengan pelbagai warna yang kelam, kelabu mahupun hitam.   
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.1.2016.