Tuesday, May 26, 2015

KEMBALI KE HOBI LAMA


Piccredit:louisblairsmugmug.com
SEMALAM YANG
MENGHIBURKAN

BARU-BARU ini, saya melayari you tube dan menemui video muzik harmonika. Lantas saya membuka video itu dan menikmati alunan lagunya. Saya begitu teruja kerana teringat ketika di zaman kanak-kanak dahulu, saya suka mencuri alat harmonika abang saya dan meniupnya.  Apabila menghembus alat muzik itu, oksigen dalam paru-paru akan berkurangan dan saya akan berasa mengantuk dan ‘high.’ Keadaan itulah yang menyeronokkan saya.

Apabila saya memasuki pasukan pengakap sekolah di sekolah menengah, alat itulah yang menjadi kegemaran. Bermain lagu The Last Post,  Auld Lang Syne atau ‘Bertemu dan Berpisah’ tatkala suasana malam terang bulan di tepian pantai menimbulkan rasa syahdu.   Sudah lama sekali saya tidak bermain alat muzik itu. Agaknya, sekiranya saya jumpa alat muzik itu terjual di mana-mana, pasti saya akan beli dan meniupnya untuk melepas nostalgia mengingati zaman remaja di sekolah dahulu.

Dalam mengharungi hari-hari yang kian sibuk hingga ketidakcukupan masa, pada banyak ketika, kita hanya menjadi manusia reaktif. Apa yang kita rancang pada malam semalam sebelum melelap mata, tidak mesti dapat kita lakukan sepenuhnya pada hari ini. Apa yang tercongok di depan mata pada hari ini, maka itulah yang kita tangani. Kita tidak sempat berfikir untuk bertindak menangani sesuatu secara proaktif.

Agaknya, jika tiada deadline yang ditetapkan oleh bos, mesyuarat yang telah dijadualkan atau temujanji yang telah dipersetujui, mungkin sekali kita tenggelam dalam apa yang kita anggap sebagai kesibukan. Padahal, kita kalut bergelut dengan apa yang tidak sepatutnya kita buat apabila tergelincir di dalam dunia telefon pintar. Sepatutnya telefon pintar itu secara simboliknya adalah dunia dalam genggaman kita. Sebaliknya, telefon pintar itulah yang sebenarnya menggenggam diri kita dalam dunia kealpaan.

Maka, untuk diri kita yang kian perasan sibuk tetapi hanya menyibuk, perlahankan sahaja pergerakan agar adrenalin di dalam tubuh berhenti mengalir hingga kita tidak panik dan kalut berkejar-kejar dengan waktu. Alihkan diri daripada rutin yang mendera rasa sesak dan sibuk itu dengan berehat. Orang putih kata, unwind…

Tetapi rehat yang kita lakukan pula janganlah rehat yang standard seperti orang lain. Jika kita setakat pergi ke pusat membeli belah untuk membeli tingkap (window shopping… haha), kemudiannya makan-makan di restoran yang serba eksklusif dan akhirnya menonton, itu tidak memadai. Jika kita melancong dan mengembara seantero dunia pun,  ia juga tidak akan menimbulkan kerehatan sebenar. Sebabnya? Sebab cara berehat sebegitu kita lakukan kerana terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini. Jika beribu-ribu manusia mencari kerehatan dengan cara yang sama, ia bukan cara kerehatan yang unik kerana ia adalah rekreasi yang dicipta oleh industri pelancongan.

Kerehatan yang sebenar ialah kerehatan yang kita cipta sendiri atau yang kita lakukan sendirian. Ia adalah kegilaan yang kita suka lakukan pada suatu waktu dahulu. Tetapi kerana kesibukan yang dialami, kita tidak sempat lakukannya hingga kita terlupa bahawa itulah kesukaan yang sungguh mendamaikan. Jika kita mahu berehat yang sebenar-benarnya merehatkan, kembalilah ke zaman di mana kita sebenarnya hidup dalam kedamaian dan kerehatan.

Jika kesukaan kita suatu waktu dahulu adalah memikat burung di hutan, memancing ikan di sungai, mencari kepah atau kerang di pantai, bermain layang-layang, menjahit baju, menjahit silang pangkah, membuat gubahan bunga, melukis, merebus ubi, mengelim karipap, menyapu laman, merumput, bertukang, bermain teka silangkata, mendengar lagu-lagu lama, malah mengumpul setem, buatlah apa yang kita sukai itu. Lebih elok jika ia dilakukan sendirian kerana ia membantu kita masuk ke dimensi alam peribadi.

Melakukan sesuatu yang kita suka lakukan suatu waktu dahulu itu bagai kembali ke zaman muda. Minda akan berasa bahagia seolah-olah kita menjenguk ke alam kanak-kanak atau remaja di mana kita bebas melakukan segala yang kita sukai. Amat elok jika ia dilakukan di tempat yang sebenar kita lakukannya. Jika di kampung, maka aktiviti yang dilakukan di tempat yang sama akan menghidupkan jiwa yang penat dengan segala tuntutan kelasakan hari ini.

Buatlah apa yang kita suka lakukan. Bukan kerana terpaksa. Bila kita lakukan sesuatu itu atas kehendak sendiri, ia tidak menimbulkan stres seperti mana jika kita melakukan sesuatu kerana tuntutan kerja.  Malah, kesukaan akan menimbulkan keasyikan. Keasyikan itulah yang membina fokus dalam minda. Fokus itu adalah mode minda yang tidak dapat dikekalkan oleh ramai di antara kita.

Maknanya, melakukan sesuatu yang mengalih fikiran daripada apa yang lazim kita lakukan seharian akan menajamkan kembali tumpuan. Bila fikiran sudah ringan kerana sudah berehat dan hilang stres, ia akhirnya akan membantu fokus atau khusyuk kita dalam ibadah pula.
Insya-ALLAH... artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 28.5.2015.

Tuesday, May 19, 2015

PERANAN MEDIA SEBAGAI PENYAMPAI



Piccredit:peninsulahealth.au
 
ORANG MEDIALAH
TETAMU
VIP SEBENAR

DARI semasa ke semasa, saya dijemput menghadiri pelbagai majlis perasmian, pelancaran produk atau perkhidmatan serta kempen, samada oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Setelah menghadiri pelbagai majlis di merata tempat, saya dapati di antara perkara yang selalu terjadi ialah ketidaktepatan masa bermulanya majlis.

Hadirin sudah tiba. Malah tetamu jemputan pun sudah sampai. Apa yang biasa melewatkan ialah kelambatan pihak penganjur memulakan majlis. Kita akan nampak pengacara majlis ke hulu ke hilir naik dan turun pentas kerana menunggu VIP yang, walaupun ada kalanya sudah tiba, lambat diajak pihak penganjur untuk ke pentas.

Majlis-majlis rasmi pada hari ini sudah canggih. Pencahayaan biasanya menarik. Dewan lazimnya dingin dan selesa. Malah, gimik pelancaran selalunya memukau pandangan dan pendengaran. Tetapi semua itu hanya akan dapat dilihat setelah puas menunggu seorang demi seorang ke pentas untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapan pula, kalau boleh orang yang berucap itu akan menyebut nama semua dif-dif kehormat, siap dengan bin dan bintinya, darjat, pangkat dan juga kelulusannya.

Saya biasa terjeling pada hadirin yang sekali-sekala menekur melihat jam tangan kerana penat menunggu acara kemuncak. Ada yang mula berbisik-bisik untuk menghilang bosan. Ramai yang lain pula  asyik memicit telefon pintar masing-masing. Jasad di dalam dewan, jiwa mereka sudah terbang jauh dari tempat mereka berada.

Semua jemputan yang datang itu mempunyai komitmen lain. Masa mereka terhad. Mereka hadir untuk meraikan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan kepada yang menjemput. Tetapi, bukankah amat molek jika pihak penganjur dapat menyediakan teks ucapan yang ringkas untuk tetamu utama. Tujuh minit sudah memadai termasuk segala bunga-bunga kata.

Kemudian, lancarlah majlis dan jemputlah hadirin untuk menjamu selera. Dalam apa-apa majlis rasmi, acara jamuan sepatutnya diutamakan. Bukannya sangat untuk membuncitkan perut, tetapi pada ketika itulah masing-masing dapat berbual dan berbicara dengan santai. Bagi orang bisnes atau pentadbir, saat bersosial itulah yang dinanti-nantikan. Tatkala itu, kad nama dihulur. Nombor telefon pun saling bertukar. Dan, hasrat untuk membuat kontak selepas majlis itu untuk kepentingan bersama dapat disuarakan.

Untuk apa majlis pelancaran atau perasmian itu diadakan jika tidak untuk mendapat hebahan di laman sesawang, media elektronik dan media cetak? Setelah para jemputan mengisi perut dan bertukar maklumat, mereka akan berpisah. Tetapi, dalam masa sejam hingga ke esok hari, apa yang diinginkan oleh pihak penganjur ialah mendapatkan siaran mengenai majlis itu. Di sinilah peranan orang media.

Mereka bertugas untuk merakam apa yang berlaku di dalam majlis itu untuk tatapan ribuan, malah jutaan mereka yang tidak berkesempatan atau tidak tahu pun mengenai majlis itu. Pada sebelah petangnya, berita majlis itu boleh diikuti di laman-laman web. Di sebelah malam pula, ia dapat ditonton di kaca televisyen, didengar di radio dan ditatap di dada akhbar pula pada keesokan harinya. Malah, pada hujung minggu ataupun pada bulan hadapan, ia dapat pula dibaca di majalah-majalah.

Oleh kerana itu, mengapa ada pihak yang masih lagi membiarkan pengamal media berkeliaran di sudut-sudut dewan, di bahagian belakang, malah di luar dewan perasmian? Para jemputan, walaupun mereka meramaikan majlis, mereka hanya ada pada ketika itu. Apabila selesai majlis, mereka akan ke tempat lain lalu melupakan majlis itu samasekali.

Sebaliknya, pengamal medialah yang akan berbincang untuk memberi karangan yang menarik untuk sesebuah majlis yang mereka liputi. Untuk laman sesawang, mereka boleh meletakkan beritanya di bahagian paling atas. Untuk televisyen pula, berita serta video dan suara adalah anggap berita utama. Bagi akhbar pula, halaman-halaman hadapan akhbar adalah tempat yang akan menarik perhatian para pembaca.

Jika pengamal media diberi tempat duduk di meja-meja hadapan, mereka mudah merakam majlis, mendapat maklumat penting daripada penganjur serta VIP-VIP yang duduk berhampiran. Paparan wajah-wajah VIP serta komennya mengenai majlis itu akan memberi mileage kepada liputan berita. Lagi mudah para wartawan bila dapat menemubual dengan bebas, mereka akan lagi seronok dan akan bersemangat untuk memberi ruang yang lebih besar kepada majlis penganjur.

Oleh itu, pihak yang mengenepikan pengamal media di dalam sesebuah majlis, malah menganggap melanggar protokol jika mereka duduk di barisan hadapan, mereka sebenarnya yang rugi.  Para pengamal media, meskipun mereka tidak berkot dan bertali leher, kelibat mereka sebenarnya sentiasa diperhatikan dengan rasa hormat oleh seluruh hadirin.

Tuesday, May 12, 2015

APABILA OTAK BERADA DI LUTUT


 
 
ORANG BESAR KEPALA
DAN ORANG HATI KECIL

DI MANA-MANA organisasi samada kerajaan, swasta mahupun kampung, kita akan menemui orang yang suka bertindak melebihi daripada kapasiti jawatannya. Kata-katanya, penampilannya serta tindak-tanduknya melampaui orang yang lebih berkuasa daripadanya. Di sektor kerajaan mahupun swasta, orang ini akan menunjukkan kuasanya seolah-olah dialah yang berkelayakan dalam membuat keputusan.

Kadangkala, keputusan yang dibuatnya itu bukannya apa yang diingini oleh ketuanya. Dia yang memandai-mandai membuat sesuatu keputusan itu walaupun dia tiada bidang kuasa itu. Tetapi, cara dia meminjam kuasa ialah dengan cara menjual nama. Dia akan sebut, ‘bos mahu ini, bos tak mahu itu, bos suruh ini, bos tak perintah itu…’ walhal ketuanya tidak tahu pun apa yang dilakukannya.

Di dalam institusi kampung pula, dia berlagak seperti penghulu atau ketua kampung untuk mengizin atau menolak sesebuah permintaan. Dia boleh pilih tarikh kenduri menyambut Ramadan mengikut kesesuaian kehadirannya dengan berkata, tarikh itu tok penghulu yang pilih. Dia boleh putuskan balai raya tidak boleh digunakan untuk majlis menyambut wakil rakyat kerana dia tidak sukakan individu itu dengan memberi alasan, tok penghulu sudah putuskan balairaya itu hendak dicat pada tarikh yang dipohon. Dengan bersandarkan alasan bahawa ‘tok penghulu yang kata,’ dia sewenang-wenangnya bertindak dengan tidak adil kerana berasa dialah yang punyai kuasa itu.

Orang ini sebenarnya mempunyai ego yang besar. Ataupun, maafcakap… besar kepala. Tetapi sayang, dia tidak layak untuk menyandang sesuatu jawatan itu kerana kekurangan daya keadilan dan kewarasannya. Namun, oleh kerana gilakan jawatan kerana kuasa yang ada, dia mempergunakan nama ketua yang menyandang jawatan itu sebagai senjata untuk bertindak.

Dalam pada itu, pula terdapat segolongan manusia yang walaupun sudah memegang sesuatu jawatan eksekutif, dia tidak berani menggunakan kuasa yang ada untuk membuat keputusan yang melancarkan organisasi pimpinannya. Apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan dia membuat keputusan, maka dia akan menangguhkan tindakan semata-mata kerana takut akan implikasinya.

Boleh jadi, dia perlu menghukum pihak yang melanggar undang-undang di bawah bidangkuasanya. Ataupun sebagai timbalan, dia hanya perlu menjawab soalan daripada wartawan, bila dia hendak bertindak untuk mengorek longkang yang tersumbat. Ataupun sekadar menegur dan memperbetul keputusan anggota mesyuarat yang didapati akan menimbulkan masalah. Akibat tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan, banyak kerja jadi terbengkalai, banyak keputusan tertangguh dan banyak ketidakpatuhan prosedur semakin berleluasa.

Orang begini pula sebenarnya mempunyai hati yang terlalu kecil. Walaupun dia mungkin bijak  kerana intellectual quotientnya yang tinggi, dia tidak semestinya mempunyai emotional quotient yang baik. Dalam ertikata lain, dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertindak berdasarkan keperluan dan kehendak situasi.

Pada hari ini, kewujudan mereka yang mempunyai hati yang kecil ini kian ramai walaupun daripada segi zahirnya golongan yang besar kepala itulah yang lebih menyerlah. Malangnya, ramai golongan yang berhati kecil ini menyandang jawatan dan pangkat yang besar. Oleh kerana berhati kecil, kesilapan yang besar-besar di dalam organisasinya tidak berani diperbetulkan.

Apakah dia tidak mahu menggunakan kuasa yang ada padanya untuk memperbetul kesilapan dan penyelewengan kerana takut terjejas harta dan kedudukan? Ia adalah persoalan yang mereka sendiri tahu akan jawapannya. Namun, jika dilihat sekadar beberapa contoh ketidakpatuhan tataurus dalam beberapa buah organisasi pada hari ini, barangkali kita nampak akan kecacatan dayafikir oleh mereka yang berhati kecil ini.

Sebab itulah, apa yang dilihat tidak betul oleh orang ramai itu bagai tidak dipedulikan oleh mereka yang berkuasa membuat keputusan. Malah, kesilapan demi kesilapan masih terus menerus dilakukan tanpa rasa bersalah. Akibatnya, daya kesegeraan untuk memperbetul kesilapan itu tidak ada dalam kamus fikiran. Dan, kesilapan yang diulang-ulang pula akan bertukar menjadi kesalahan.

Kesilapan boleh dimaafkan. Kesalahan pula perlu mendapat hukuman agar ia tidak berlaku lagi. Tetapi bagaimana pula jika pada manusia yang berhati kecil ini, kesalahan itu adalah sesuatu yang betul? Suasana menjadi parah apabila manusia yang punyai emotional quotient yang rendah ini tiada lagi spiritual quotient di dalam hatinya. Walaupun orang yang ingin memperbetul itu seperti anjing menyalak bukit, dan bukit tidak akan runtuh, tetapi apabila bukit itu runtuh, semua sekali akan terkambus.

Bagaimana kita hendak mengubah orang yang besar kepala atau berhati kecil ini? Cubalah menasihati mereka. Jika tidak mampu, cukuplah agar jangan jadi seperti mereka!
 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di kolum MAAF CAKAP, akhbar Sinar Harian pada hari esok, 13.5.2015.

Tuesday, May 5, 2015

PENGURUS YANG BAIK


 
Piccredit: wartaharian.com
CERITA TUJUH ORANG BOS SAYA

BARU-BARU ini, beberapa orang pelajar dari sebuah universiti tempatan menemubual saya mengenai penerbitan akhbar Sinar Harian. Setelah tamat ditemuramah, dalam bersembang sambil minum-minum, mereka bertanya pula mengenai ciri-ciri pengurus yang baik kerana ia merupakan tugasan untuk subjek mereka yang lain. Soalan itu membuat saya termenung. Saya akui bahawa saya bukanlah seorang pengurus yang bagus sangat, malah tiada pengetahuan khusus. Tetapi soalan itu membuat saya perasan bahawa pendekatan pengurusan saya selama ini dikutip daripada cara bos-bos saya mengepalai organisasi masing-masing. Diam tak diam, saya sudah bekerja di bawah tujuh orang bos yang hebat-hebat.

Saya telah bekerja di pelbagai tempat samada swasta, NGO, kerajaan dan juga bekerja sendiri. Sebahagian besarnya ialah sebagai seorang bawahan sebelum diberi peluang menjadi ketua. Di peringkat awal bekerja, saya suka perhatikan apa yang bos-bos saya lakukan. Saya kutip satu persatu sifat dan sikap mereka untuk dijadikan amalan dan pendekatan dalam pengurusan saya.

Tatkala saya bertugas sebagai Setiausaha Kerja di Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung(GPMS), saya berpeluang bekerja di bawah Presidennya ketika itu iaitu, Haji Yusof Suheime Haji Md. Yatim. Salah satu karektornya yang menyerlah ialah dia mengutamakan konsensus meskipun kebanyakan idea-idea persatuan datang daripadanya. Beliau sedia menerima pendapat exco-exco persatuan seandainya bertentangan dengan ideanya. Yang penting, semua keputusan mesyuarat itu dipersetujui dengan senang hati oleh semua anggotanya. Kesannya, GPMS pada ketika itu terkenal sebagai NGO yang aktif.

Saya tidak boleh lupa dengan sikap bos saya Datuk Shagul Hamid Abdullah tatkala bertugas di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun beliau seorang ketua yang mementingkan kebersihan dan ketersusunan, beliau mudah sahaja menaip laporan seandainya jurutaipnya mengadu tak larat untuk bekerja lebih masa. Datuk Shagul tidak punyai masalah untuk melakukan kerja-kerja peon seperti memfotostat atau menyusun fail kerana dia berprinsip, ‘Aku mesti boleh buat apa yang staf bawahan aku boleh lakukan kerana aku adalah seorang ketua. Staf aku tidak boleh lebih tahu daripada aku kerana aku adalah seorang ketua.’

Bekerja dengan allahyarham Haji Zainal Hashim di Unit Seranta, Kementerian Tanah dan Wilayah (kini Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah) pula, saya berdepan dengan seorang ketua yang amat tenang dan berdiplomatik. Beliau tidak pandai marah. Kalaupun beliau tidak setuju saya boleh lihat dahinya yang berkerut dan telinganya yang merah. Beliau selesa bergaul dengan orang-orang bergelar, berpangkat dan juga orang biasa. Meskipun berjawatan sebagai pengarah, beliau tidak kekok makan di gerai-gerai dan juga di kafe-kafe hotel. Sikapnya yang tidak meninggi diri itu membuat sesiapa sahaja selesa dengan kehadirannya.

Saya juga pernah berketuakan seorang tokoh korporat. Dr Tajuddin Jali adalah seorang yang boleh menjadi moderator untuk mana-mana rakan perniagaannya. Syarikatnya, Malaysian Business Advisors berperanan untuk mewujudkan usahasama syarikat-syarikat dari luar negara dengan syarikat-syarikat tempatan. Meskipun biasa hadir tidak kurang tiga buah mesyuarat sehari, beliau mampu mengendalikan berpuluh-puluh anak syarikat mahupun syarikat-syarikat rakan kongsinya. Salah satu rahsia beliau mengurus berpuluh perkara dalam satu hari ialah dengan memecahkan sesebuah urusan itu kepada komponen-komponen kecil tugasan. Kerja yang diurus secara itu memudahkan beliau menjadi seorang work juggler yang cekap.

Zainuddin Abdul Rahman, sebagai bos saya di sebuah syarikat pengiklanan pula mempunyai kemahiran perundingan yang amat baik. Beliau kerkebolehan untuk bertutur dengan fasih, petah serta tersusun hingga mampu meyakinkan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya. Suara dan karisma serta teknik komunikasinya yang baik menjadikan beliau seorang usahawan yang disegani.  

Fathy Haji Yaacob pula adalah seorang akauntan. Beliau mahir dengan angka. Hujah-hujahnya penuh fakta membuatkan sesiapa yang tidak bersedia untuk berdebat dengannya akan tersipu-sipu malu. Saya kagum dengan kehandalan beliau berhujah meskipun berpaksikan untung rugi seorang akauntan. Yang saya kagumi ialah kesanggupan beliau memberi tutorial one-to-one mengenai perakaunan walaupun saya orang seni, semata-mata kerana mahukan saya mahir dalam selok belok perniagaan.  

Tentu sekali, orang yang paling banyak saya kutip ilmu pengurusan ialah Datuk Dr. Haji Hussamuddin Haji Yaacub, bos saya sekarang. Hampir 25 tahun beliau menjadi bos saya. Selain daripada sikap merakyat yang sudah tertanam di dalam dirinya, idea beliau sentiasa mendahului zaman. Di bawah terajunya, Kumpulan Media Karangkraf berkembang hingga menjadi gergasi penerbitan di tanahair. Namun, satu pedoman yang saya sisip di sanubari ialah ‘do not be arrogant,’ iaitu jangan sekali-kali menyombong diri.  

Kemahiran mendapatkan konsensus(Yusof Suheime), mengutamakan apa bukan siapa yang buat kerja (Shagul Hamid), pendekatan berdiplomasi(Zainal Hashim), multi-tasking (Tajuddin Jali), kemahiran berkomunikasi(Zainuddin Rahman), berkongsi ilmu (Fathy Yaacob) dan berpandangan jauh(Hussamuddin Yaacub)  adalah tujuh ciri-ciri pengurus yang baik. Nampaknya, di era siber ini, meskipun hampir kesemua perkara perlu dilakukan dengan pantas, namun soft-skills kemanusiaan menjadi pendekatan utama  seseorang ketua kerana dia mengurus manusia, bukannya benda.
 
Insya-ALLAH artikelini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.5.2015.