Tuesday, January 29, 2019

MEMBAWA IMEJ PEMIMPIN DI RUMAH

MEMBAWA IMEJ PEMIMPIN DI RUMAH

DALAM setahun saya akan hadiri majlis sembang-sembang dan makan-makan dengan beberapa orang teman sekolej di sebuah kediaman salah seorang daripada kami di pinggir kota. Acara itu sudah menjadi rutin. Kadangkala, dua kali setahun. Pernah juga tiga kali dalam setahun. Ramai yang datang. Tetapi maklumlah, apabila kami semua bertemu, segala pangkat dan darjat masing-masing ‘ditinggalkan di luar rumah.’

Di majlis itu ada beberapa orang Tengku, Engku, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Profesor, Dr dan juga Ir. Tetapi kami semuanya ber’aku-engkau’ dan ‘berlu-gua.’ Masing-masing lebih selesa memanggil nama tanpa pangkat dan darjat di pangkal nama. Malah, kami menggunakan nama ringkas dan juga nama timangan.

Maka ada nama Dudin sebagai gantinama Hafizuddin, Dol untuk Syafizul dan Mamat untuk Mehmad menjadi sebutan. Tidak ketinggalan juga ada gelaran seperti Balak, Gebu dan Bulus yang menjadi gelaran sesama kami. Ada rahsia di sebalik gelaran-gelaran itu. Namun, tidak seorang pun di antara kami yang berasa hati bila pangkat, gelaran dan nama penuh tidak digunakan dalam pertemuan itu.

Maka riuh-rendahlah suasana dengan gelak ketawa. Lawak-lawak lama lagi nostalgik bersilih ganti menjadi bualan hingga semua tidak kering gusi. Kalaulah ada di kalangan mereka yang hanya mengenali kami dari jauh ataupun secara rasmi, mereka sememangnya tidak akan percaya bahawa perangai kami pun sama seperti mereka. Ini adalah kerana, perangai kami yang tak semenggah itu hanya dizahirkan di kalangan kami, sesama keluarga dan juga kepada kakitangan yang rapat.
Hampir kesemua mereka yang punyai jawatan dan kedudukan amat menjaga tatasusila masing-masing. Imej sebagai ketua atau pemimpin yang tenang, bertimbang rasa dan berpandangan jauh adalah peranan yang mereka bawa. Orang lain yang melihat sisi rasmi seseorang itu akan punyai rasa hormat kepadanya.

Kerana itu, pandangannya akan mudah diterima, fikirannya dibawa ke dalam perbincangan, tingkah lakunya dicontohi dan kata-katanya dipatuhi oleh masyarakat. Bagaimana pun, bagi mereka yang rapat dengannya seperti anggota keluarga, teman-teman dan juga sesetengah kakitangannya, dia yang dilihat hebat itu punyai kelemahan-kelemahan sebagai manusia.

Apabila seseorang ketua yang dilihat berkot dan berkasut berkilat itu sebenarnya boleh sahaja memakai baju-T Pagoda dan berkain pelikat. Boleh sahaja duduk terkangkang sambil menonton televisyen di rumah, mencekuh tembikai dengan tangan dan bukannya dengan garfu ataupun, maaf cakap… terkentut di hadapan anggota keluarga, tindak-tanduknya itu akan membuat mereka yang hampir dengannya melihat dia sebagai manusia biasa.

Maka di sinilah terjadinya kesilapan dalam tanggapan mereka yang rapat dengannya. Apabila seseorang pemimpin itu meninggalkan pangkatnya di luar rumah dan menjadi manusia biasa, dia sebenarnya mahu berehat dari memainkan peranan dan mempamerkan imej yang sempurna. Namun, apabila dia menjadi manusia biasa, kata-katanya boleh dieleh-elehkan dan fikirannya boleh dibantah begitu sahaja.

Yang rugi adalah mereka di sekelilingnya. Mereka rugi kerana tidak menceduk pemikiran dan idea orang yang hampir dan hebat itu. Ramai sekali mereka yang berkelulusan dan berkelayakan malah begitu berpengalaman mengendalikan projek dan program yang melibatkan ratusan peserta di luar misalnya, tidak diambil kepakarannya oleh keluarga dan saudara-mara sendiri.

Dia hanya dilihat sebagai salah seorang anggota keluarga, sama seperti orang lain. Benar, orang yang berpangkat dan berkelayakan itu sepatutnya menonjolkan diri dan mempamer kepimpinannya. Tetapi, adab tertib dalam keluarga adalah berbeza dengan formaliti berorganisasi. Akhirnya, dia terkenal hebat di luar rumah semata-mata kerana orang lain yang nampak ilmunya.

Dalam pada itu, terdapat pula mereka pakar dalam mempamerkan pakej hebat di kalangan keluarga mahupun di kalangan masyarakat. Manusia begini hebat memperkatakan entah apa-apa menjadi apa-apa. Dia punyai daya penarik sebagai manusia berpengaruh ataupun influencer.
Dia tidak perlu serius. Dalam bergelak ketawa, bermulut celupar dan berperangai yang tidak mencerminkan kepimpinan pun, dia menjadi perhatian sesiapa sahaja samada mereka di sekelilingnya ataupun mereka yang mengenalinya dari jauh.


Orang begini tidak ada pun pangkat dan darjat. Tetapi dia punyai bakat semulajadi dan menjadi ikutan. Memang dia hebat. Tetapi dia bukan pemimpin, tetapi penghibur. Cuma, pemimpin akan disanjung dan dikenang. Penghibur pula hanya akan disukai selagi dia tidak berhenti menghibur. 

Artikel ini tersiar di akhbar Sinar Harian pada 30.1.19

Tuesday, January 22, 2019

10 YEAR CHALLENGE


PICCREDIT: WIRED
APA KESAN
10 YEARS CHALLENGE?
SAYA menemui Dr. Chandra pagi semalam kerana demam. Walaupun demam biasa dan boleh pulih dengan 2-3 biji Panadol, saya masih ingin menemui beliau. Sanggup pula saya menunggu keliniknya dibuka kerana sehari sebelumnya dia menyambut Thaipusam. Saya percaya ramai lagi pesakit di kawasan perumahan saya yang sukakan perkhidmatan doktor muda ini hingga dia popular di laman sosial kejiranan kami.

Saya adalah pesakitnya yang pertama. Setelah mendapat pemeriksaan dan nasihat, saya ambil peluang untuk memberitahu beliau tentang betapa popularnya dia di kalangan kami semua. Sambil tersenyum, dia mengatakan yang dia tahu mengenai hal itu kerana salah seorang daripada pesakitnya menunjukkan gambar keliniknya dan komen-komen positif para pesakitnya.

Dr. Chandra sudah membuka keliniknya sejak 10 tahun yang lalu. Lantas saya mengatakan bahawa dia layak meletak foto The 10-year challenge atau Cabaran 10 Tahun anjuran Facebook yang kini mendapat sambutan warganetnya. Perbualan kami melarat hingga menyentuh mengenai latar belakangnya.

Katanya, dia dari keluarga yang susah. Bapanya hanya seorang tukang kebun sekolah. Tetapi orang tuanya berjaya menyekolahkan 11 orang adik beradiknya. Ada ketikanya dia membantu ayahnya menjadi tukang kebun di sekolahnya. ‘Malu apa bosku?’ katanya seraya tergelak. Apa sahaja kerja yang memerlunya membanting tulang empat kerat telah dilakukannya termasuk mengembala lembu, menghantar susu dari rumah ke rumah, membetul paip, pendawaian termasuk memasang jubin.

Hasil ketegasan ayahnya, adik beradik beliau kesemuanya menjadi orang. Antaranya menjadi pensyarah, pengurus, jurutera, peguam dan juga akauntan. Kini, Dr. Chandra sendiri adalah seorang doktor yang berjaya dengan caranya yang tersendiri.

Saya bertanya beliau, ‘Sekiranya tuan diberi peluang untuk kembali ke zaman lampau, apakah yang ingin diubahnya?’ Jawapannya membuat saya termalu kerana bertanya soalan yang klise itu. Katanya, ‘kalau saya ingin mengubah masa lalu, ini bermakna saya tidak akan menjadi seperti hari ini!’

Lantas beliau menyentuh mengenai The 10-year Challenge yang kini menjadi ikutan.  Katanya, ramai sekali yang membandingkan potret masing-masing pada tahun 2009 dan 2019. Ia lebih berkisar kepada menzahirkan perubahan fizikal. Apabila seseorang mahu memaparkan potret masing-masing untuk tatapan rakan-rakan, mereka sanggup mencari dari album masing-masing samada yang berbentuk fotogeraf dari album mahupun imej yang tersimpan dalam fail di komputer masing-masing.

Tetapi selepas memaparnya, rakan-rakan biasanya akan memuji-muji untuk suka-suka. Selepas itu, mereka akan melihat pula rakan-rakan lain yang menyertai 10-Year Challenge itu dengan potret-potret yang menarik. Namun selepas paparan itu… apa?

Kata-kata Dr. Chandra itu mempunyai makna yang mendalam. Pada saya, walaupun beliau terhibur dengan pelbagai gelagat mereka yang menyertai The 10-Year Challenge itu, beliau prihatin dengan makna yang dilalui oleh seseorang dalam tempoh sedekad itu.

Sebenarnya The 10-Year Challenge itu mempunyai lebih besar erti dan nilai pencapaian dan perkembangan diri dalam tempoh 10 tahun semata-mata. Ia bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal, tetapi apa yang berlaku pada mental seseorang dalam tempoh 10 tahun. Dan, apa pula yang terjadi pada spiritual seseorang dalam tempoh yang sama.  Maknanya, ia bukan sahaja soal imej, tetapi sejarah hidup yang telah dilalui dalam tempoh 10 tahun itu.

Biarlah paparan potret di laman sosial masing-masing itu hanyalah untuk tatapan kawan-kawan. Tetapi perlu ada dua lagi 10-Year Challenge mengenai perubahan mental dan spiritual yang tersemat sama di sanubari. Pertama, apakah cara berfikir dan bertindak kita kini lebih baik daripada 10 tahun yang lalu? Kedua, apakah kita kini lebih alim atau lebih jahil daripada segi pencapaian amalan beragama?

Betapa pun, ia masih belum mencukupi kerana The 10-year Challenge hanya memaparkan sepuluh tahun lampau hingga ke hari ini. Selain daripada menoleh ke belakang untuk menyusur jalan kenangan yang nostalgik, apakah kita tidak mahu mencabar diri untuk melihat diri hingga ke 10 tahun ke hadapan yang futuristik?


Pendek kata, bersediakah kita untuk mencabar diri dengan meneroka masa depan untuk melihat diri kita 10 tahun akan datang iaitu pada tahun 2029? Kita kata, 2029 itu terlalu jauh ke hadapan. Tetapi bukankah kita juga berasa 2019 itu lama lagi tatkala kita berada di tahun 2009 dulu?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.1.19.

Tuesday, January 15, 2019

BERSENGKEK DAHULU UNTUK SENANG

BERSENGKEK DAHULU UNTUK SENANG
SEMALAM saya ke kedai gunting rambut yang lazim saya kunjungi di Gombak. Saya hairan kerana kedai itu tiada pelanggan. Biasanya apabila saya tiba pada hari biasa, giliran saya sekurang-kurangnya nombor ketiga. Andainya pada hujung minggu dan akhir bulan, pastinya ada lima pelanggan lain sebelum saya. Apabila saya bertanya kepada Khalidass si tukang gunting rambut, mengapa tiada pelanggan? Katanya, sudah beberapa bulan. jumlah pelanggan amat berkurangan.

Saya kata, bukankah semua orang akan menggunting rambut? Mengapa boleh kurang pelanggan? Jawab Khalidass, orang sekarang tidak datang menggunting rambut sebulan sekali. Makin ramai yang jarakkan mengunjungi kedainya dua bulan atau tiga bulan sekali. Malah katanya, dia tidak tahu di mana kanak-kanak sekolah menggunting rambut pada sesi tahun baharu kerana jumlah mereka yang ke kedainya makin sedikit.

Menggunting rambut adalah suatu keperluan. Bila tiba masanya pasti kita akan menggunting rambut. Namun, maklumat dari Khalidass itu menggambarkan juga keadaan kedai-kedai gunting rambut yang lain. Tentulah salon rambut yang memberi perkhidmatan syampu, set rambut, urut kepada dan badan mengalami kekurangan pelanggan.

Apatah lagi jika kita lihat pada gerai dan restoran. Iya, semua orang perlu makan dan akan mengunjungi restoran. Tetapi, menu yang dipilih pelanggan pun tidak pelbagai dan bermewah khususnya untuk makan tengahari pada hari bekerja.  Jumlah mereka yang makan buah potong, makanan untuk alas perut seperti goreng pisang makin bertambah. Membawa bekal makanan dari rumah sudah menjadi trend kembali.

Pada pandangan kasar, kita nampak gerai-gerai, restoran serta kafe dipenuhi pelanggan. Sekali imbas, ia menandakan seolah-olah pelanggan masih berduit. Namun, jika kita rajin menyusur ke medan-medan selera. Kita akan dapati semakin banyak kedai-kedai makan khususnya yang hipster yang tutup perniagaan.

Kita baharu dua minggu melangkah ke tahun 2019. Cakap-cakap di kedai kopi dan media sosial mengatakan yang tahun ini bakal lebih perit daripada tahun yang lalu. Perit kerana wang kita semakin kecil dan harga barangan kian meningkat. Banyak syarikat membuang pekerja, apatah lagi hendak menambah kakitangan. Gaji para pekerja tak naik dan elaun yang ada pula dipotong. Bonus diganti dengan saguhati, bagi syarikat yang masih mampu.

Bersyukurlah kepada yang masih ada kerja meskipun gaji masih ditakuk lama. Resahnya mereka yang kehilangan kerja atau yang tidak mendapat jawatan meskipun sudah menghantar ratusan emel kepada pelbagai syarikat. Begitu juga kepada yang terpaksa mengambil skim pemberhentian sukarela. Wang pampasan itu, meskipun betapa banyak sekali pun, tidak sama dengan rasa kekitaan dan persaudaraan yang dialami tatkala bekerja beramai-ramai bagai sebuah keluarga besar.

Kini, semua pihak berada dalam kepayahan. Para pekerja, majikan, syarikat dan institusi perkhidmatan dan perusahaan, malah pihak pemerintah juga perlu mengharungi kesukaran ini. Itulah realiti. Dan realiti ini harus didepani dengan berani. Bukan sahaja berani berusaha untuk memperbaiki diri, malah berani untuk mengakui bahawa semua pihak berada dalam kesusahan. Kesusahan yang kita harungi ini adalah realiti. Ia bukannya khayalan. Malah, ia bukannya dibuat-buat untuk menakut-nakutkan sesiapa pun.

Apabila kita lihat apa yang boleh kita beli dengan wang RM50, lima tahun lalu dan apa yang kita dapat beli pada hari ini, ketahuilah bahawa kelegaan kita saban hari kian menjerut. Jika membawa bekal ke tempat kerja itu lebih baik, maka bawalah bekal. Jika, kita patut mengalas perut pada waktu kerja dan makan sampai kenyang di rumah, maka itulah yang praktikal.

Jika makan-makan di luar boleh dikurangkan, maka itulah yang harus dilakukan. Apa sahaja yang boleh dijimatkan harus dijimatkan. Jika ia dinamakan bersengkek, apa salahnya bersengkek kerana buat apa papa asalkan bergaya? Lagi pula bersengkek, berjimat cermat ataupun berbelanja dengan berhemah, walau apa pun namanya ia adalah suatu tindakan yang terpuji. Ia terpuji kerana kita tidak berpura-pura nampak senang lenang.

Orang tua-tua kata, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kesusahan itu sebenarnya adalah suatu latihan kesabaran dan  kecekalan hati. Andainya kita depani ia dengan tuntas, kita boleh cekap mengawal diri apabila kesenangan menjelma kembali.

Hidup umpama roda. Senang akan berganti susah dan senang kembali. Semuanya bagai sebuah aliran sungai yang akan mendatang dan pergi. Kesukaran juga akan berlalu dan kesenangan akan kembali. Untuk itu kita perlu memperbetul sikap kita agar sentiasa cekal. Mudah-mudahan apabila kesenangan mendatang semula, kita akan lebih cekap mengurus kejayaan.


Susah dan senang kita inipun dalam keadaan negara yang aman damai. Faktor aman dan damai itu adalah faktor konsisten yang bakal menjamin munculnya sinar di hujung terowong.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.1.19.

Tuesday, January 8, 2019

KITA SEMUA ADALAH WARTAWAN

KITA SEMUA
ADALAH WARTAWAN


BARU-BARU ini saya terpandang teman sepermainan badminton membaca mesej di telefonnya. Saya nampak dia membaca sambil tergeleng-geleng. Kerana ingin tahu apa yang dikesalkannya, saya datang lalu bertanya, mengapa? Dali tersenyum dan kali ini menggeleng kepada saya pula. Barangkali kerana tidak mahu diganggu, maka saya duduk sahaja di sisi Dali sambil menonton permainan badminton rakan-rakan saya yang lain.

‘Inilah, bang,’ kata Adil seraya menyuakan telefon pintarnya kepada saya. ‘Saya baru dapat mesej Whatsapp yang kawan saya eksiden. Tapi mesej yang sampai tu hanya dua baris dengan ada gambar hospital. Tak ada mesej lain.

Lepas tu, kawan-kawan dalam grup mjulalah kirim doalah, ucapan semangatlah, innalilah... macam-macam. Saya pun nak tahu juga, kawan saya yang eksiden sampai masuk hospital tu, eksiden dengan apa, di wad mana dan keadaan dia macam mana? Tapi tak ada seorang pun yang tanya keadaan kawan saya yang eksiden tu. Yang kirim berita asal pun diam tak ada kirim maklumat susulan.

Pening saya. Dia di wad mana? Boleh pergi melawat ke kalau dia kat bilik bedah atau di ICU. Dia boleh bercakap ke atau boleh makan ke? Saya ingat nak bawak jugalah epal ke, anggur ke. Kalau okey, pizza pun saya nak bawak bagi kawan saya yang sakit tu!’

Saya tersenyum lalu teringatkan pelbagai mesej yang saya terima dalam grup-grup Whatsapp saya. Selain daripada mesej mengarut dan melalut serta tak sahih yang tular, ada juga mesej-mesej betul tetapi tidak lengkap. Dan mesej-mesej ini penting sebagai maklumat kerana ada juga mesej-mesej itu yang membuat saya teringin untuk bertindak.

Saya pernah terima mesej mengenai remaja hilang. Mesej itu disertai dengan pesanan audio dari si ayah yang merayu bantuan untuk mencarikan anaknya. Sebak juga bila mendengar suara si ayah. Tetapi, selain daripada gambar anak yang disertakan, ia tidak dilengkapi dengan alamat rumah, nombor telefon untuk dihubungi dan juga bila remaja itu hilang.

Begitu juga apabila mendapat mesej memohon derma untuk dana sesebuah tahfiz baharu, misalnya. Ia hanya disertakan dengan nombor telefon dan foto-foto tahfiz dalam pembinaan. Tetapi, jumlah anggaran yang diperlukan serta yang penting tarikh mesej itu tidak disertakan untuk memacu tindakbalas semerta kita. 

Banyak lagi mesej-mesej yang dipanjangkan dalam perisian Whatsapp seperti memohon bantuan doa untuk anak yang sakit kritikal, tawaran jawatan kosong, wajah seseorang yang dikatakan sebagai penipu atau video kes ragut. Mesej-mesej yang memerlukan kita bertindak sebagai insan yang ingin membantu tidak dapat kita lakukan kerana maklumat yang tidak lengkap.

Samada kita sedari atau tidak, mahu atau tidak, media sosial dan aplikasi mesej seperti Whatsapp meletakkan kita dalam kerusi seorang wartawan. Ertinya, kita memperoleh maklumat yang ada ketikanya amat penting kerana ia adalah kejadian yang benar-benar berlaku. Misalnya, kita menyaksi dan merakam kes ragut. Dalam keadaan yang cemas itu, kita hanya merakam imej kejadian itu dan terus menyebarkannya kepada kawan-kawan sehingga ia menjadi tular.

Tetapi video yang tular itu sukar dijadikan sebagai bukti kes kerana ia tidak disertakan dengan maklumat tambahan seperti tarikh, masa dan tempat kejadian. Mungkin kita yang merakam video itu tidak berani menemubual mangsa ragut itu sendiri. Tetapi kita perlu sekurang-kurangnya mengambil gambar lokasi kejadian seperti tanda nama jalanraya, bangunan yang mudah dikenali orang seperti pasaraya jika kita tidak pandai untuk membuat laporan audio.

Begitu juga apabila kita di pihak yang menerima sesebuah mesej mengenai sesuatu kejadian jenayah. Kita perlu bertanya kepada si pengirim mesej. Tetapi seandainya si pengirim itu sendiri tiada apa-apa maklumat selain daripada video yang dikirim, mesej yang kita terima itu sendiri tidak perlulah disebarkan kerana ia membuang masa orang lain pula.

Untuk itu, eloklah kita mengambil tahu asas pemberitaan melalui formula 4W + 1H yang digunakan oleh para wartawan. 4W + 1H yang juga dikelakarkan menjadi 4 wives plus 1 husband supaya mudah diingati membawa maksud What, Who, When dan Where serta How. Apa, Siapa, Bila, Di mana dan Bagaimana itu sudah melengkapi segala keperluan maklumat asas.


Maknanya, apabila mengirim mesej mengenai sesuatu perkara yang benar, ia perlu disertakan dengan maklumat Apa yang berlaku, Siapa yang terlibat, Waktu dan tarikh kejadian, Di mana ia terjadi dan Bagaimana ia berlaku. Dengan adanya maklumat asas itu, mesej itu seharusnya dihantar dahulu kepada teman-teman yang bertugas di media cetak atau elektronik. Mereka boleh bantu untuk bertindak. Ia juga boleh dikirim ke portal mahupun mana-mana laman sosial NGO. Setelah melakukan itu, baharulah kita boleh sebarkan kepada kawan-kawan.

Tindakan sedemikian amat bertanggungjawab.

Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 9.1.19.

Tuesday, January 1, 2019

SUDAH TERKENAL TIDAK SEMENGGAH

SUDAH TERKENAL,
TIDAK SEMENGGAH

SEMENGGAH adalah di antara istilah yang jarang sekali digunakan. Ia membawa maksud
senonoh, layak, patut, sesuai, sederhana, sopan, biasa, tidak lebih tidak kurang, bersahaja, tidak keterlaluan, berpatutan, bersahaja atau sederhana.

Tidak semenggah adalah istilah yang orang tua-tua gunakan kepada perilaku seseorang yang tidak kena pada taraf dan tanggungjawab yang mereka bawa. Kanak-kanak yang baik, tiba-tiba berubah nakal, suka mengganggu anak orang lain, menyampuk ketika orang tua-tua berbual itu dikatakan tidak semenggah.

Istilah tidak semenggah ini turut digunakan pada sesuatu perkara yang tidak kena gaya, tidak sepatutnya atau tidak elok. Gubahan atau buatan manusia yang tidak menepati piawaian juga dikatakan tidak semenggah. Saya mulakan dengan istilah ini kerana ingin menyentuh mengenai perilaku mereka yang tidak semenggah. Perangai elok mereka tiba-tiba terpeleot kerana lupa imej yang dibawa.

Kewujudan media sosial membolehkan khalayak ramai mengetahui sikap tidak semenggah mereka yang terkenal. Perangai tidak semenggah yang melibatkan personaliti, selebriti atau media influencer yang sepatutnya terlindung dari khalayak ramai, mudah sahaja terserlah. Mereka yang membuka kisah sendiri, bukannya orang lain.

Contoh yang jelas ialah tindakan DS Mujahid Yusof Rawa yang telah  mengarang sebuah surat terbuka untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.  Meskipun ia adalah mesej yang brotherly, pada khalayak ramai, ia dilihat sebagai sesuatu yang lucu, malah dijadikan troll semata-mata apabila istilah-istilah kanda dan dinda digunakan.

Tidak lama dahulu, sebuah foto Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang tidak berbaju di bilik mandi menjadi lelucon hingga memaksa beliau memadam foto itu. Begitu juga apabila pelakon Zizan menjawab mesej artis Linda Rafar. Linda tidak puashati tehadap apa yang berlaku kepada ibunya di hospital. Zizan menasihati Linda agar jangan bersedih sangat ke atas apa yang menimpa ke atas ibunya.   Namun, istilah ‘not our level’ Zizan itu dilihat seolah-olah mengajak Linda untuk tidak melayani apa yang tidak setaraf dengan kedudukan mereka sebagai selebriti.

Soalnya dalam kebanyakan kes tidak semenggah ini, kesilapan itu lebih banyak terletak kepada si pelaku yang terlupa bahawa mereka bukan orang biasa lagi. Benar, mereka ingin jadi orang biasa yang dekat di hati rakyat. Tetapi kedudukan mereka itu sendiri berkehendakkan mereka menjaga kesemenggahan atau tsiqah mereka.

Ramai sekali ahli-ahli politik khususnya dari kerajaan Pakatan Harapan tidak sedar yang mereka sudah berkedudukan dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Fitrah manusia ialah menghormati para pemimpin. Mereka disanjung, malah dipuja. Jika sebelum ini, mereka adalah pembangkang yang tidak punyai kedudukan yang tinggi. Malah taraf mereka adalah sama seperti rakyat marhaen.

Tentu sekali dalam kedudukan begitu, mereka kelihatan semenggah apabila boleh tidur di tengah jalan, bergolek di tengah jalan, merempuh pagar, digari polis, duduk minum kopi di gerai atau membonceng motorsikal. Apabila mereka menang pilihanraya, mereka menjadi pemimpin negara. Mereka dipandang tinggi oleh rakyat. Para penyokong melihat mereka sebagai hero. Imej hebat pemimpin itulah imej yang terpahat di minda para pengikut.

Sebab itu, apabila mereka masih lagi terjerit-jerit di Parlimen, bermulut celupar, berkata hanya untuk menyedapkan hati kaumnya, bertutur tanpa merujuk kepada yang pakar, mereka mula menjadi bahan lawak. Ini adalah kerana imej yang mereka bawa itu tidak sepadan dengan imej yang diangan-angankan oleh para penyokong mereka.

Kalaupun mereka ingin bersama rakyat, atau nampak berjiwa rakyat, mereka boleh sahaja menonjolkan imej kemarhaenan dengan mendukung anak kecil, mengusap kepala pelajar berjaya, menendang sebiji bola untuk merasmikan acara sukan, melepaskan ikan ke kolam ataupun menanam sebatang pokok. Itu imej pemimpin yang dah cukup semenggah di mata rakyat. Tidak perlu lagi berbuat seperti dulu-dulu lagi.

Barangkali jika kita ambil panduan artis-artis di Jalan Ampas dahulu, kita boleh menjaga semenggah. Para seniman di zaman P. Ramlee mengelak daripada bersidai di tepi-tepi jalan, bergaul dan bergelumang dengan masyarakat semata-mata untuk menjaga imej. Tujuannya bukanlah untuk menjaga martabat dua darjat. Sebaliknya mereka mengelak untuk menjadi sama seperti rakyat semata-mata untuk mengekalkan misteri dunia artis.


Cuma kedudukan sudah jadi terbalik. Para pemimpin BN tidak boleh lagi jalan berkepak dengan pengikut yang berduyun-duyun mengekori. Itu sudah tidak semenggah lagi buat mereka. Mereka sudah jadi rakyat. Kini mereka boleh makan di gerai bersama rakyat, berjalan-jalan di tasik, bershopping dengan keluarga atau atau merapu di laman sosial.  Dulu orang tak seronok baca status DS Najib di Facebook. Kini makin ramai yang share.  Dulu, orang gelakkan komen Datuk Ahmad Mazlan. Kini ramai yang suka dan kata dia sebenarnya cerdik. Dari segi itu, para pemimpin BN makin semenggah menjiwai kehidupan rakyat marhaen.

Artikel ini insya-ALLAH terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.1.18.