Tuesday, December 18, 2018

UNTUK KITA YANG SUKA KOMPELIN

UNTUK KITA YANG SUKA KOMPELIN
Kita tahu, terdapat mereka yang berada di antara kita terdiri daripada mereka yang suka kompelin. Mereka bercakap mengenai harga rumah yang mahal, penjawat awam yang rasuah, harga barangan yang semakin mahal kerana GST, ruang parkir yang kian sesak, kesesakan jalanraya, cuaca yang tak menentu, ahli-ahli politik yang merosak negara dan juga kucing jiran yang berak di dalam pasu bunga.
Apabila kita membuka laman-laman sosial, kita juga akan melihat kompelin demi kompelin daripada mereka yang tidak berpuashati terhadap apa yang terjadi pada diri mereka. Pendek kata, kita biasa sangat mendengar pelbagai jenis kompelin. Silap haribulan, kita terpengaruh hingga kita turut jadi kaki kompelin.
Soalnya… apakah ia dapat mengubah apa-apa? Harga rumah semakin tinggi, bilangan penjawat awam yang tertangkap kerana rasuah semakin ramai, barang tidak akan turun, GSt tidak akan dimansuh,  ruang parkir tidak akan lengang, jalanraya tetap sesak, cuaca memang tak boleh dikawal, ahli-ahli politik tetap seperti tikus membaiki labu dan kucing akan mencari pasu bunga lain untuk diberak pada esoknya.
Oleh kerana begitu banyaknya kompelin, kita rasakan seolah-olah dunia akan jadi tonggang terbalik kerana semua yang terjadi semakin tak betul. Kita nampak keadaan semakin kusut kerana semua orang sedang menyuarakan kompelin.  Tetapi, apa yang kita tidak sedar ialah terdapat di kalangan mereka yang tidak kompelin pun. Sebaliknya mereka buat apa yang seharusnya mereka lakukan untuk survive.

Mereka terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama ialah mereka yang sudah tak sempat kompelin kerana mereka cukup-cukup makan. Makan apa yang ada. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Benar-benar seperti ayam. Jika tidak berusaha, tiada apa yang boleh dibawa pulang untuk kunyahan anak bini. Kerana itu, mereka tiada hidangan yang enak yang boleh mereka kongsikan di Facebook, kerana mereka tiada Facebook pun.

Umpama derita ditanggung sendiri kerana orang tidak peduli. Kalau ada kenduri, baharulah dia dapat makan lebih sedap. Jika hendak membeli, tangan meraba ke dalam poket mengira berapa keping syiling yang ada sebelum berani mengambil sebiji karipap. Bila anak mengadu hendak beli buku sekolah, dia menelan liur sambil mengangguk perlahan sambil memikir di mana mahu dicari wang untuk membelinya. Si ibu boleh jatuh demam walaupun  si anak baharu mula selsema terkena hujan. Si ibu risau di mana wang untuk membayar ubat klinik.

Inilah golongan yang berada di luar glamor media sosial. Tidak berada di gedung-gediung membeli belah, tiada di mana-mana restoran hipster, malah tiada juga di pasar-pasar malam sekadar seronok-seronok mencari apa yang diingini untuk makan-makan. Malah, mereka tersisih di belakang pentas kehidupan. Hidup di dalam kegelapan yang tiada bayang-bayang.

Golongan kedua pula adalah mereka yang berfikir dan bekerja untuk mengatasi segala kompelin dengan melakukan sesuatu untuk dirinya. Baginya, tiada masalah yang sepatutnya menjadi masalah. Apa sahaja halangan adalah peluang yang mendatang.

Dia menganggap peluang hanya datang sekali. Kerana itu, peluang yang sedikit diperoleh akan diusahakan setengah mati seolah-olah tiada esok baginya. Bujur lalu melintang dia redah. Apabila mendapat tawaran, dia jadi pak sanggup.  Sanggup dahulu, kemudian baharu fikir bagaimana hendak memenuhi tawaran itu. Di matanya hanya nampak ringgit sebagai pengukur sukses. Tenaganya dipacu dengan bayangan habuan yang bermain di matanya.

Oleh kerana kesibukannya menggali harta untuk dirinya, kita juga tidak dapat melihat dia berpeleseran di kompleks membeli belah, di kafe-kafe, malah yang kurang bagusnya dia jarang-jarang terjengul di surau kawasan perumahannya. Malah, jiran-jiran pun tidak mengenalinya secara dekat kecuali sekadar bertukar senyuman bila berselisih.

Daripada mana-mana sudut pun, sememangnya kita tidak mahu menjadi orang yang susah kehidupan. Kita juga tidak mahu menjadi orang yang terlalu sibuk membolot harta untuk diri hingga tidak sedar yang kita hidup di dalam masyarakat. Daripada suatu sudut, bagus jugalah menjadi golongan yang sederhana seperti kebanyakan daripada kita. Cuma yang tak baiknya ialah menjadi orang kebanyakan itu bererti menjadi mereka yang suka kompelin.


Elok jika kita tutup mulut dan berusaha tidak mengenal lelah seperti golongan yang kedua. Dan, lebih baik jika hasil yang diperoleh itu dihulur kepada golongan pertama yang daif serta amat-amat memerlukan. Apabila kita berhenti kompelin, kita menjadi golongan yang terbaik di antara keduanya. 


RENUNGAN BUAT PENGELUAR PRODUK

RENUNGAN BUAT 
PENGELUAR PRODUK

Sekarang ini, promosi ayam goreng McDonald’s masih hangat sepanas ayamnya. Sebuah video iklan promosi ayam goreng syarikat itu di mana pelakon-pelakonnya meratah ayam goreng telah mempengaruhi khalayak ramai. Visual dan momen watak-watak itu menggigit ayam, siap dengan efek bunyi ‘krap-krup’ begitu mengecur air liur.

Ramai di kalangan mereka termasuk kita terus teruja, langsung mengunjungi premis makanan segera itu untuk mendapatkannya. Yang belum pernah merasa, mereka ingin tahu bagaimanakah sedapnya resipi itu seperti yang ditularkan di laman-laman sosial. Yang pernah merasa ayam goreng itu pula ingin mengalami kembali keenakannya. Kesannya, stok ayam gorengnya habis! Dan para pelanggan resah ternanti-nanti ketibaan stok yang baharu.

Ini adalah sebuah kempen yang berjaya. Tatkala para pelanggan menanti stok yang baharu, mereka akan teringat-ingatkan produk itu. Maknanya, jenama itu berjaya melekat di minda mereka. Dahsyat kesannya. Tahniah buat agensi iklan syarikat itu!

McDonald’s juga tidak mencipta pelbagai produk baharu untuk memikat pelanggan seperti pesaing-pesaingnya yang lain. Sebaliknya ia mengatur strategi untuk membina sebuah tabiat bagi para pelanggannya. Strategi memikat pelanggan sedia ada sudah terbukti berjaya bagi syarikat ini. Pada musim perayaan tahun baru Cina, ia mempromosikan prosperity burger, yang hanya terjual di musim perayaan itu. Hingga kini, di antara makanan yang terbayang di minda para pelanggan McD pastinya prosperity burgernya!

Di zaman di mana segala-galanya berubah dalam sekelip mata, membina pengaruh produk adalah sesuatu yang sukar. Perhatian, minat dan kehendak pelanggan akan berubah-ubah. Dengan begitu banyaknya pilihan, kita pada hari ini tiada masa untuk berfikir. Kerana itu, siapa yang rajin menjerit, cekap mempromosi dan yang kerap muncul di depan mata akan menjadi pilihan kita.

Namun, akhir-akhir ini, oleh kerana begitu banyaknya yang menjerit, yang mempromosi dan yang begitu kerap muncul di depan mata, terutamanya di laman-laman sosial, kita sebagai pelanggan akhirnya menutup telinga kerana bingit dengan segala kebisingan jajaan produk itu.

Jika kita rajin meneliti ke laman-laman sosial, kita boleh nampak begitu banyaknya promosi tudung, krim muka, perfum, ubat-ubatan, perkhidmatan dan skim hingga kita tidak tahu mana satu yang terbaik.  Kita mula nampak jumlah ‘like’ dan ‘share’ sebilangan daripada jajaan produk-produk ini mula berkurangan.

Ini petanda pelanggan sudah letih melihat pelbagai produk bersimpang-siur di depan matanya. Sebaik sahaja membuka laman sosial, pelbagai produk menyerbu berderet-deret di laman sosialnya. Akhirnya, pelanggan tak nampak perbezaan di antara satu produk dengan satu produk yang lain. Seolah-olah sindrom biskut raya iaitu, ‘semua biskut raya rasanya sama je,’ sudah menyelinap dan menjelma sebagai suatu persepsi yang akan merugikan para penjualnya.  

Dalam ketepuan produk inilah, cara yang paling berkesan bagi para pengeluar produk ialah mengekalkan pelanggan yang ada. Tak perlu lagi membesarkan pengaruh dengan memperluas khalayak pelanggan. Jika produk kita muncul di mata pelanggan buat pertama kali, mereka akan menganggap produk kita itu sama dengan produk-produk yang lain. Tiada guna jika kita menerangkan product knowledge kepada minda yang sudah penat dihujani pelbagai produk. 

Dapatkan sahaja mereka yang pernah menggunakan sesebuah produk itu. Mereka lebih kenal dan percaya kepada produk yang ditawarkan. Malah akan berasa selesa untuk meneliti jika terdapat formula baharu atau paten baharu sesebuah produk itu. Inilah yang pendekatan relationship marketing. Mempamer kepada mereka yang sudah tahu atau preaching to the converted.

McDonald’s tidak sibuk-sibuk mencari produk baharu untuk menarik pelanggan baharu. Ia meriuhkan kembali produknya yang sedia ada dengan pakej yang baharu. Yang penting, para pelanggan lamalah yang menggila mendapatkan ayam gorengnya.

Tempoh masa adalah faktor yang paling sukar buat mana-mana produk yang dikatakan laku keras. Sebab, rata-rata produk yang laris itu kebanyakkannya tidak sampai sedekad usianya di pasaran, berbanding dengan produk tersohor yang sudah hadir berpuluh tahun.


Jika dibandingkan misalnya di antara serbuk coklat yang nampak hebat promosinya  dengan minuman Milo, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pengeluarnya untuk kekal sebagai sebuah jenama yang kukuh dan lestari.

BILA PEMIKIRAN SIVIK DIANGGAP POYO

BILA PEMIKIRAN
SIVIK
DIANGGAP POYO

KITA semua bersedih setelah kembalinya ke rahmatullah, Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menjadi mangsa rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman. Gila. Buat pertama kali dalam sejarah, seorang anggota bomba dibelasah beramai-ramai apabila tampil untuk menjalankan tugasnya.

Allahyarham bukannya anggota polis yang datang untuk berdepan dengan perusuh. Barangkali, jika beliau anggota polis, tugasnya mungkin boleh mengakibatkan pertengkaran dan pergeseran hingga terpaksa bertindak secara fizikal. Sebaliknya allahyarham adalah anggota bomba yang datang untuk untuk berdepan dengan musuh utama setiap anggota bomba – api!

Bayangkan… rusuhan itu sebenarnya terjadi akibat pertelingkahan di antara pemaju dan mereka yang mempertahankan kuil. Pasukan bomba tidak ada kena mengena pun. Mereka datang untuk memadam berbelas kenderaan yang terbakar. Tapi mereka diserang. Mangsanya adalah allahyarham Muhammad Adib.

Mengapa ya, dalam asakan ramai ketika itu, tiada sesiapa pun yang menyabarkan supaya mereka menggunakan fikiran dan pertimbangan agar tidak membelasah secara membuta tuli? Tidak adakah yang siuman pada situasi itu? Apakah kerana tiada ketua di kalangan mereka di saat-saat itu di mana suaranya akan menenangkan perusuh? Yang pasti, mereka semuanya tidak sedar diri dan mengamuk membuta tuli.
Yang menjadi mangsa telah pergi dalam keadaan dirinya masih belum terbela. Yang disyaki bersalah sudah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan. Pihak berwajib kena cari pembunuhnya sampai ke lubang cacing. Kematian allahyarham Muhammad Adib mesti mendapat pembelaan seadil-adilnya. Ini tuntutan undang-undang ~ rule of law!
Dalam pada itu semakin sehari, kita makin kerap mendapat berita kes-kes individu yang mengambil undang-undang di tangan sendiri. Sudah beberapa kali kita menerima video tular mengenai mereka yang mencabar penguatkuasa menjalankan tugas dalam kes-kes kompaun kesalahan. Para petugas diherdik dan diprovok supaya bergasak. Hasrat mereka, andainya itu terjadi, mudahlah mereka meminta simpati masyarakat kononnya  mereka pula yang dianiayai. Mereka hendak menterbalikkan situasi agar para petugas itu pula yang disaman!

Sehari dua yang lalu, terdapat pula video betapa seorang penumpang memukul pemandu bas kerana enggan membuka pintu di persimpangan jalan untuk memberinya naik. Bagaimana pun, kerana mahu berbudi bicara, si pemandu membuka pintu bas. Namun, sebaik sahaja menaiki bas, penumpang itu memarahi dan menumbuk si pemandu pula. Orang macam ini pun ada, malah semakin ramai seperti dia yang muncul di kalangan masyarakat.

Ada juga kes-kes berebut parkir, buli di lebuhraya, pengasuh mendera bayi, membawa binatang peliharaan di dalam troli supermarket, membuang sampah merata-rata, menghembus asap rokok di tempat awam tanpa mempedulikan orang di sekeliling, membuka telefon di dalam pawagam ketika tayangan bermula, hingga mengganggu tumpuan penonton lain dan banyak lagi.

Mengapa makin ramai tidak punyai perasaan atau pemikiran sivik? Semuanya bermula dengan pendidikan. Pendidikan bermula sejak kecil. Melentur buluh biar daripada rebung. Yang mengajar adab dan sivik tentulah ibu dan bapa. tetapi apabila ibu dan bapa yang kebanyakkannya tiada pendekatan menegur dengan mengajar secara sistematik, tentulah sesuatu kesalahan itu ditegur tanpa disusuli dengan didikan.

Lazimnya pula teguran ibu dan bapa terhadap kesalahan anak-anak hanyalah dengan cara marah-marah lalu menghukum. Itulah cara yang mereka tahu kerana mereka juga tidak ada pengetahuan lengkap membina adab sopan si anak, apatah lagi mengajarnya menjaga perangai supaya tidak menyusahkan orang lain.

Terdapat juga ibu dan bapa buat-buat tak nampak apabila si anak membuat perangai di tempat awam samada kerana menahan malu atau menganggap perilaku yang melanggar hak kebebasan orang lain itu tidak salah pun! Rasional mereka, budak-budak sememangnya begitu.

Jadi, apa yang harus dilakukan supaya kita semua bukan sahaja tahu hak-hak kebebasan individu, tetapi hak kebebasan orang lain? Jawapannya, meskipun klise tetapi ia adalah jawapan yang kita ada iaitu kita perlu memperkasakan subjek Sivik dan Kewarganegaraan.

Sudah lebih 60 tahun kita merdeka. Kita sudah pun menghasilkan ratusan ribu bijak pandai yang terbina intelektualnya. Mereka terlebih Intellectual Quotient atau IQ tetapi kurang sangat Emotional Quotient atau EQ. Ia menidakkan falsafah pendidikan kebangsaan  aiitu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Subjek Sivik dan Kewarganegaraan mencakupi tiga objektif iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara. Ini adalah  untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Maknanya, mereka yang telah mengikuti pelajaran Sivik dan Kewaranegaraan akan menjadi penyumbang kepada masyarakatnya, bukannya menyusahkan orang lain.


Tapi, apa cara yang berkesan agar para pelajar dapat ingat semua yang dipelajari hingga sebati di dalam jiwa? Jawapannya klise juga tetapi itulah jawapan yang ada ~ jadikan ia matapelajaran wajib. Setakat ini, cara itu nampaknya paling berkesan untuk membina masyarakat yang berpemikiran sivik. Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan perlu melihat semula keperluan yang penting ini.

Jangan nanti menjelang Revolusi Industri 4.0 esok, robot lebih bersopan daripada manusia!

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.12.18.

Tuesday, December 11, 2018

ICERD KATALIS PENYATUAN MELAYU

ICERD KATALIS PENYATUAN MELAYU

PERHIMPUNAN 812 adalah sebuah perhimpunan yang berjaya. Berjaya membuka mata banyak pihak bahawa ia menyatukan bangsa Melayu tidak kira samada mereka daripada parti Pas, Umno, Bersatu, Amanah, PKR dan lain-lain NGO. Puncanya ialah kerana cadangan meratifikasikan ICERD supaya kita obligasi selepas menandatanganinya. ICERD menyentuh soal agama bahasa dan juga Raja-Raja. Dan kerana itu, ia dipercayai akan menggugat dan menggoyah ketiga-tiga elemen identiti orang Melayu.

Maka UMNO dan Pas yang mula berpimpin tangan dalam pilihanraya kecil Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson telah duduk sepentas lalu mematerikan persefahaman mereka di Perhimpunan 812 secara terbuka. Ia bukan lagi persetujuan di antara para pemimpin kedua-dua parti, malah kali ini seluruh jentera akar umbi berarak berganding bahu sederap kaki pada 8 Disember. Ahli-ahli akar umbi Umno dan juga Pas kian selesa duduk semeja dan luka-luka lama mula dilupakan.

Pada hari itu juga 313 pertubuhan silat telah berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon sokongan baginda untuk menolak terus ICERD. 313 pertubuhan silat yang hadir itu adalah manifestasi bahawa benteng fizikal bangsa Melayu telah bangkit untuk menyatakan kesiapsiagaan mempertahankan bangsa.

Kebanyakan NGO-NGO Melayu yang hadir juga menggambarkan bahawa kumpulan the third force ini telah tampil untuk menzahirkan sokongan. Kita lihat juga personaliti dan selebriti, usahawan, akademik dan profesional yang turun berarak bersama. Justeru, yang menjadi impak sebenarnya bukan kepada parti-parti politik semata-mata, bahkan ia memberi kesan yang besar di minda bangsa Melayu itu sendiri.

Sudah bertahun-tahun lamanya sebilangan besar orang Melayu tidak berani mengaku Melayu. Puncanya ialah bilamana pengakuan diri itu Melayu dianggap rasis. Malah, pernah pemimpin politik didesak mengaku, dirinya ‘Malay first or Malaysian first?’ Upacara mencium keris yang melambangkan kecintaan dan keluhuran identiti Melayu itu ditafsir sebagai aksi hendak bergaduh. Kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan, maka kita menyimpan keMelayuan itu.

Oleh kerana ICERD, mulalah orang Melayu menyerlahkan dada untuk menyatakan diri mereka Melayu. Di antara yang berani dan tegar dengan pengakuan diri mereka anak Melayu ialah di antaranya anak-anak muda yang menggelarkan diri mereka The Patriots. Banyak lagi kumpulan-kumpulan anak muda Melayu yang bangkit dan mengupas identiti diri melalui hujah-hujah sejarah, sosiologi dan antropologi. Golongan inilah yang meniup semangat marhaen Melayu untuk turut ke depan. Inilah Melayu Baru!

Angka kehadiran Perhimpunan 812 pula boleh jadi 50,000, 55,000, 100,000 ataupun 500,000 orang. Jumlah spesifiknya hanyalah angka. Namun, yang kita lihat ialah jumlahnya ramai. Begitu ramai hingga menyamai ataupun melebihi jumlah kehadiran perhimpunan Bersih yang paling ramai.

Yang kita nampak, sebahagian besar daripada yang hadir pada perhimpunan itu adalah terdiri daripada ahli-ahli Pas. Pas memang pakar menggembleng tenaga berskala besar. Tatkala mereka sama-sama terlibat dalam perhimpunan Bersih, ahli-ahli merekalah yang memenuhkan jalan-jalan raya.

Apabila mereka ambil keputusan untuk tidak menyertainya, Bersih 4.0 mula kehilangan impak kehadiran manusia. Kita tidak boleh mengentengkan kekuatan dan ketaatan ahli-ahli Pas sehinggakan parti itu boleh menguasai Kelantan dan Terengganu tatkala banyak pihak yang mengatakan ia sudah nazak.

Setelah Perhimpunan 812 berlalu, kita tidak boleh berhujah untuk memperlekehkan mereka yang berhimpun dengan tujuan untuk menafikan yang ramai orang Melayu telah turun. Untuk apa berada di dalam denial syndrome? Untuk apa berhujah untuk menafikan manifestasi fizikal yang telah berlaku di depan mata, bukan di Pasir Salak, Kodiang atau pun di Machang tetapi di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur.

Faktanya ialah, perhimpunan yang paling bersejarah itu telah berlaku. Yang lebih mustahak diperhatikan ialah, ia akan menjadi trend. Dengan pengalaman modus operandi dan semangat yang telah dirangsang, silap haribulan, perhimpunan berikutnya akan mudah berlangsung.
Orang Melayu sudah mula berani mengaku, ‘I am Malay, so what is the problem?’ Betapa pun, suara majoriti rakyat Malaysia ini perlu didengari. Tidak perlu gusar dengan kelantangan ini. Suara mereka perlu didengari kerana Melayu itu bangsa tunggak di negara ini. Mustahil mereka akan merosakkan tanah tumpah darahnya sendiri.


Bila Melayu berjaya, bangsa lain juga akan terjamin dibela hingga berjaya. Kita kena jujur untuk lihat dari sudut sejarah, sudut sosiologi, bukannya politik. Hakikat ini simple, bukannya bersimpul!