Tuesday, December 25, 2012

METAMORPHOSIS DIRI



Photocredit: danielscrazylife.com

SELERA BERUBAH
MENGIRINGI USIA

PENGHUJUNG tahun adalah masa kita menghabiskan cuti. Untungnya, bila cuti penghujung tahun boleh ditampal dengan hari-hari cuti mingguan hingga kita boleh bercuti sampai seminggu untuk berehat dengan pulang ke kampung ataupun melancong.

Tatkala masih muda dan anak-anak masih kecil, pulang ke kampung adalah matlamat utama bila tiba musim cuti. Melancong hanya dilakukan dengan melencong ke bandar-bandar yang sehaluan dengan jalan pulang. Untuk balik ke kampung di Mersing, Johor, saya pernah melencong untuk melancong ke Kuantan mahupun ke Melaka.

Saya suka memandu mulai jam 3.00 pagi agar perjalanan lancar dan tiba ke kampung sebelum jam 9.00 pagi. Ketika itu, memandu dari Petaling Jaya, Selangor ke Mersing, Johor dalam masa empat jam menjadi satu kebanggaan. Bila mertua bertanya, saya akan katakan dengan megah mengenai rekod masa yang saya capai. Kalau dia tak tanya pun, saya akan cerita juga kepadanya.

Pada pertengahan 80an, tidak banyak perangkap laju atau saman ekor. AES memang belum wujud.  Jadi, saya akan memandu laju. Walau isteri merungut pinta berhenti seketika untuk buat susu anak, saya buat-buat tak tahu. Kadangkala, bekalan nasi lemak yang dibuat isteri agar dapat dijamah waktu berehat di tepi jalan hanya akan dikunyah bila sampai di kampung. Thrill pulang ke kampung dengan memandu laju adalah kepunyaan saya. Thrill bersantai untuk singgah berehat di mana-mana kawasan air terjun, hutan lipur atau masjid tidak dinikmati oleh isteri dan anak-anak. Memang saya pentingkan diri pada zaman itu.

Itu tabiat orang muda. Apabila usia semakin meningkat, saya mula tidak suka memandu laju. Apatah lagi, saman memandu laju kerap saya terima. Memanglah, pandu laju tetap pandu laju, saman tetap kena saman. Tapi bayar, tetap bayar. Tak perlu mengamuk bila kena saman kalau sendiri dah tahu akibatnya. Sifat anak jantan, berani buat berani tanggung.

Tatkala ada sedikit tanggungjawab agaknya kerana dah puas memotong queue, saya mula memberi orang lain jalan dulu dalam kesesakan di jalanraya mahupun ketika berbaris di laluan tol. Lagipun, anak-anaklah yang selalu menegur cara pemanduan saya. Rasa inginkan thrill memandu laju sedikit demi sedikit menjadi hambar kerana memandu laju di lebuhraya mula menjadi stres. Agaknya kerana diri sudah dipanjat usia.

Saya mula mencari thrill yang lain. Tatkala memandu melintasi bandar-bandar kecil, saya akan mengangkat tangan bila berselisih dengan mereka yang berbasikal atau bermotorsikal. Memanglah lambaian saya itu akan dibalas. Tangan mereka yang membalas lambaian lebih tinggi dari saya. Isteri ada menegur. Katanya, ‘tak baik.’ Tapi saya jawab yang saya hanya ingin gembirakan mereka yang berselisih dengan saya.

Thrill membantu pemandu lain yang menghadapi kenderaan rosak atau tayar pancit tidak pernah saya alami. Tetapi saya pernah berasa thrill bila pasukan perkhidmatan PLUS muncul seminit setelah tayar saya pancit. Seperti petugas di litar lumba, empat orang petugas mengganti tayar kereta saya dengan pantas. Dalam masa seminit, saya boleh memandu pergi!

Banyak kali juga saya memperoleh thrill membantu pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan dengan menelefon talian bebas tol PLUS. Dan kerap kali juga saya mendapat maklumat kesesakan lebuhraya daripada talian bebas tol itu apabila jalan sesak. Dengan maklumat mereka, saya boleh mencari lorong yang kurang sesak untuk cepat sampai ke destinasi.

Ada ketikanya saya memperoleh thrill dengan meneka berapakah jumlah baki kad Smart Tag kenderaan di hadapan bila melalui tol. Ada baki kad kereta Kancil yang berbaki RM250 dan ada BMW yang punya baki berbelas-belas ringgit sahaja. Namun, semua thrill yang kecil-kecil itu tidak boleh menandingi thrill melawan ngantuk hingga ke R & R seterusnya. Di usia yang semakin tua, thrill mencari tempat redup untuk melelapkan mata barang seketika di R & R amat menyeronokkan.

Keseronokkan kita melakukan sesuatu akan berubah mengikut usia. Apa yang kita rasa seronok dahulu sudah hilang thrillnya. Begitu juga, apa yang menjadi thrill sekarang barangkali dirasakan pelik oleh orang lain, terutamanya oleh anak-anak sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.12.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, December 18, 2012

MENANGANI KESANGSIAN





TANGGAPAN SILAP
TERHADAP SINAR

PETUGAS dalam industri persuratkhabaran berdepan cabaran yang tersendiri. Tidak kira sama ada dia seorang wartawan yang perlu mengejar berita, jurufoto yang menyerikan berita dengan gambar, sub-editor yang memasak berita yang tiba, perekabentuk yang mengandam rekaletak atau editor yang membuat keputusan berita manakah yang akan dipilihnya ~ ia adalah tugas berangkai yang rumit.

Apatah lagi, deadline atau tempoh akhir sesebuah akhbar itu harus siap untuk dicetak adalah setiap hari. Ia berbeza dengan penerbitan akhbar yang diterbitkan seminggu atau dua minggu sekali.  Deadline setiap hari memerlukan kepantasan dalam membuat keputusan untuk memilih berita apakah yang boleh menarik minat pembaca agar dia memilih Sinar Harian berbanding dengan akhbar yang lain.

Namun, pemilihan sesebuah tajuk akhbar yang dirasakan baik itu tidak menjamin ia laris di pasaran. Ramai di antara mereka daripada khalayak pembaca tidak mengetahui bahawa memilih berita yang dianggap akan menarik minat pembaca adalah tugas yang sukar. Apa yang dianggap akan menjadi minat pembaca boleh sahaja tidak dipandang sebelah mata pun oleh mereka.

Kerana itu, tidak mudah sesebuah berita di akhbar harian itu kononnya disensasikan untuk melariskan jualan. Sebenarnya, betapa sensasi pun sesebuah berita itu, para editornya tidak akan dapat meningkatkan jualan hingga 30 peratus. Ini adalah kerana, berapa naskhah akhbar sesebuah kedai akan peroleh pada hari esok sudah ditentukan pada jam 4.00 petang, hari ini.

Justeru itu, apa sahaja tambahan pesanan yang luar biasa oleh penerbit tidak akan dilayan sewenang-wenangnya oleh pengedar akhbar. Seseorang ejen yang mengedar 10,000 naskhah tidak boleh menambah 3,000 (30 %) naskhah tanpa mengambil kira yang dia terpaksa mengagih semula jumlah itu kepada, misalnya 200 kedai langganannya. Tambahan 100 naskhah boleh memeningkan kepala seorang ejen bermotorsikal. Getah pengikatnya mungkin tak cukup untuk melilit akhbar di motorsikalnya.  Pemanduannya boleh melelong kerana tambahan beban. 

Bagaimana pula seandainya jualan akhbar itu tidak laris pula? Ia akan menjadi kerja tambahan buat seseorang pengedar akhbar. Jumlah 3,000 naskhah itu terpaksa dipikul pengedar akhbar kembali ke setornya. Dia terpaksa pula mengira setiap naskhah yang dipulangkan untuk mengelak terbayar lebih pada satu-satu hari. Kerja tambahan ini akan membuat seseorang ejen itu merungut andainya penerbit hendak menambah edaran secara tiba-tiba. Justeru, andaian bahawa akhbar sengaja mencari berita sensasi untuk melariskan akhbar adalah tidak tepat.

Mengekalkan jualan pula adalah sesuatu yang sukar kerana pembaca pada hari ini tiada brand loyalty atau setia pada jenama. Dia boleh memilih Sinar Harian pada hari ini tetapi memilih akhbar Harian Metro pada keesokannya. Baginya, apa sahaja yang menarik hati akan dibelinya. Kerana itu, sesebuah akhbar akan berhati-hati dalam setiap edisinya agar para pembacanya tidak lari.

Bagi Sinar Harian, ia mesti mengambil kira sensitiviti semua pihak yang terlibat satu-satu isu. Edisi di Selangor misalnya, mesti memberi ruang yang seimbang di antara berita PR dan juga BN. Selangor adalah negeri yang diterajui oleh PR, dan Putrajaya diterajui oleh BN. Berita kawasan Cina dan India diberi liputan yang tidak kurang daripada berita dari kampung-kampung Melayu kerana ramai pembaca Sinar Harian di Selangor terdiri daripada kaum Cina dan India.

Kes pasar malam Uptown di Danau Kota, Kuala Lumpur yang melibatkan pertelingkahan pihak penganjur dan persatuan, kes AES di antara PBT dan JPJ atau statistik jangkaan kemenangan di antara BN dan PR itu dilaporkan seseimbang mungkin. Ini adalah kerana, laporan yang melebihkan satu-satu pihak hanya akan membuatkan pihak yang satu lagi menjauhkan diri daripada akhbar ini.

Sinar Harian perlu merangkum berita daripada semua pihak agar khalayak pembacanya berasa suara masing-masing didengar dan dipaparkan. Ini akan menambah bilangan pembaca. Kerana itu, kami tidak boleh memihak, apatah lagi memecah-belahkan seperti anggapan sesetengah individu. Pendekatan begitu akan merugikan kami. Ia pandangan yang tidak tepat sama sekali.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.12.2012.

Tuesday, November 27, 2012

UNCONDITIONAL LOVE


Photo credit: somayalotfi.blogspot
KASIH 
YANG TIDAK
BERBELAH BAHAGI

SIAPA yang tidak sayangkan anak? Si kecil yang lahir ke dunia ditatap dengan perasaan kasih sayang oleh ibu dan bapanya. Senyumannya cukup menghiburkan. Tangisannya pun menimbulkan rasa sayu kerana ia tanda si kecil takut dan mahukan pelukan. Tidurnya diiringi dengan dendangan lagu dan zikir. Bangunnya disambut dengan agah hingga si kecil mengekek tertawa.

Dari kecil hingga ke dewasa, dialah racun, dialah juga penawar. Ibu dan bapa akan mendidik, mengasuh, mengajar, mengherdik dan memukul agar si kecil itu membesar dan jadi manusia berguna. Bersyukur dan sejuk hati ayah dan ibu andainya si kecil membesar sebagai anak yang berakhlak, cerdas dan cergas. Dia akan menjadi kebanggaan keluarga. Dia juga menjadi harapan untuk membantu si ibu dan bapa apabila mereka merangkak ke usia senja.

Bagaimana pun, bukan semua anak yang lahir itu akan menjadi orang yang berjasa untuk diri, keluarga, agama dan bangsa. Ada juga anak yang dilahirkan tidak sempurna. Itulah takdir. Terima sahajalah. Yang penting si anak akan terjaga, biarpun layanan terhadapnya umpama seorang bayi di sepanjang hayatnya. Ada juga yang meliar dan mengular hingga menyusahkan sesiapa sahaja. Tidak kurang yang jadi pengganggu ketenteraman keluarga hingga menyusahkan sanak saudara. Jika dahulu dia dibela penuh kasih sayang, kini dia dibela hingga dia keluar lokap atau penjara.

Anak yang menggembirakan ibu bapa akan disebut-sebut. Namun, sebaliknya jika dia menyusahkan keluarga, dia tetap anak, meskipun seluruh jiwa ibu dan bapa menderita memeliharanya. Dialah darah daging yang akan dikasihi hingga ke akhir hayat ibu dan ayah. Malah, andainya sebaliknya terjadi pada si anak, ibu dan ayah akan rela dia pergi. Begitulah, kasih sayang di antara ibu bapa dan anak.

Mengapa kasih ibu dan bapa kepada anak sampai begitu? Mengapa perasaan itu tidak boleh digalang-ganti atau dijual beli? Inilah yang dinamakan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, atau unconditional love.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi ini tiada batasan waktu dan jarak. Bila yang disayangi itu tiada di depan mata, hati terus merindu akan kehadirannya. Jauh di mata, dekat di hati. Tatkala berlaku perselisihan walau betapa besar pun perkaranya, ingatan ‘air yang dicincang tidak akan putus,’ menjadi penyendal terlerainya rasa kasih itu. Bergaduhlah bagaimana sekali pun, ‘bila biduk lalu, kiambang pun bertaut.’

Kasih yang tidak berbelah bahagi itu umpama hubungan sepasang kekasih, tetapi yang lebih dari itu. Ia merangkumi kasih ibu kepada anak, adik-beradik dan sanak-saudara. Ia juga mencakupi kasih seseorang kepada persahabatan rakan sekerja, kepada syarikat, kepada parti, malah cinta kepada negara. Tentu sekali kemuncak kasih yang tidak berbelah bahagi ini adalah kepada Yang Maha Mencipta.

Seseorang yang sudah mempunyai kasih yang tidak berbelah bahagi kepada rakan sekerjanya sanggup meletak jawatan bersama seandainya rakannya itu diyakini telah dizalimi oleh syarikat. Begitu juga bagi yang menyayangi tempat kerjanya, dia akan bekerja bermati-matian seolah-olah itu akan runtuh tanpanya. Sayang kepada parti menjadikannya pejuang hingga ke akhir hayatnya.

Seseorang yang mempunyai kasih terhadap negaranya tidak akan menjual walau seinci tanah dan air, martabat dan maruah negaranya kepada orang lain. Kasih yang tidak berbelah bahagi seseorang kepada Yang Maha Penciptanya akan menjadikan dia berdoa penuh harapan, bersyukur bila menerima nikmat dan tunduk dengan akur serta patuh bila menerima musibah walau ia mendatang kepadanya bertali arus tanpa henti. 

Kita terlalu banyak menumpahkan kasih yang bersyarat. Bila ayah tak beri mainan, si anak tak mahu berkawan dengan si ayah. Bila rakan sekerja tidak membantu kerja, persahabatan pun menjadi renggang. Bila parti mengenepikannya, dia jadi pembelot. Bila pemerintah dirasakan tidak adil, negara pula hendak digadai. Bila Yang Maha Pengasih tidak memakbulkan doa, tangan tidak mahu ditadah lagi.

Ada beza di antara kasih yang bersyarat dan kasih yang tidak berbelah bahagi. Kasih yang bersyarat itu terjadi bila kita asyik meminta-minta. Kasih yang tidak berbelah bahagi itu terjadi bila kita sentiasa memberi, memberi dan memberi. Meminta-minta akan menjadikan kita tamak. Memberi pula akan meresapkan rasa bahagia di hati.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian esok, 28.11.2012, insya-ALLAH... 

Tuesday, November 20, 2012

LARIAN KEHIDUPAN



Photo credit: fullstriderunning.com
HIDUP INI  
SEBUAH MARATON
YANG PANJANG

BILA menatap foto pelajar-pelajar yang tersenyum riang kerana berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR di dada akhbar, saya teringat zaman persekolahan sendiri. Saya turut lalui tiga peperiksaan sebelum menamatkan persekolahan di tingkatan lima. Saya juga menghadapi peperiksaan darjah lima, Sijil Rendah Pelajaran (Penilaian Menengah Rendah) di tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia di tingkatan lima.

Keputusan-keputusan peperiksaan itu akan melakar garis kehidupan seseorang ke matlamat masing-masing sama ada cepat atau sebaliknya; bergantung dengan bidang yang dipilih seseorang itu. Justeru, saya melihat peperiksaan itu sebagai satu larian dalam sebuah maraton kehidupan yang panjang. Ada ketikanya kita mendahului rakan-rakan yang lain, ada kalanya kita ketinggalan di belakang.

Perlumbaan dalam larian maraton kehidupan ini saya lalui bersama seorang sahabat saya, Amin. Saya dan Amin bersekolah dan sedarjah sejak dari darjah satu hingga ke tingkatan tiga. Kami sama-sama belajar dan bermain. Kami juga saling berlawan markah dalam setiap mata pelajaran. Kadang-kadang dia menang, ada kalanya saya pula mencapai markah yang lebih baik. Dari darjah satu hingga ke tingkatan tiga, kami sekelas. Apabila dia mengambil bidang sains pada tingkatan empat dan lima, saya terpisah daripadanya kerana mengambil bidang sastera.

Namun, apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, kami sama-sama mendapat gred dua. Untungnya, Amin dapat melanjutkan persekolahan di tingkatan enam sedangkan saya tidak terpilih. Saya sedih kerana terasa ketinggalan dan kalah dalam perlumbaan itu. Tetapi, nasib menyebelahi saya pula apabila terpilih ke Institut Teknologi MARA (kini UiTM).

Saya menang kerana berjaya ke institusi pengajian tinggi sedangkan dia masih lagi bersekolah. Tatkala saya di tahun tiga, Amin baru masuk ITM setelah selesai STPMnya. Apabila saya mula bekerja, Amin masih lagi belajar. Kadangkala bila bertemu, saya menunjukkan aksi bangga kerana dapat berdikari berbanding dengan dirinya yang masih berbelanja dengan wang kiriman ayahnya.

Dugaan kehidupan melanda saya pada satu ketika di mana saya berhenti kerja dan menganggur. Amin pula baru tamat pengajian dan bertugas di sebuah syarikat pengangkutan antarabangsa. Pangkatnya pun besar. Dia mendahului saya pada ketika itu. Tidak lama kemudian saya berniaga sendiri dan berumahtangga sedangkan Amin masih lagi membujang. Ya, saya menang kembali!

Bertahun kemudian, dia berkahwin. Apabila saya bertugas dengan Kumpulan Karangkraf,  sahabat saya ini berhenti kerja dan membuka sebuah syarikat logistik. Kehidupan kami dikira setanding. Sama-sama bekerjaya yang baik dan bekeluarga. Tiada siapa menang, tiada siapa yang kalah. Bertahun juga kami tidak bertanya khabar masing-masing.

Namun, baru-baru ini kami bertemu di sebuah restoran. Dengan bangganya Amin memberitahu saya yang dia menang kembali dalam perlumbaan kami. Katanya, “Hei, aku dah dapat datuklah. Aku rasa engkau tak boleh lawan aku dah, melainkan kalau engkau beli pangkat datuk tu.” Sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Amin, saya menjawab dengan senyuman. “Aku pun dapat datuk jugak sebab nak dapat cucu tahun depan!” Tawa kami berderai kerana kami sama-sama tahu, Amin tidak punyai anak walaupun dia sudah berpangkat datuk.

Kehidupan kita sejak di zaman persekolahan telah pun diperlumbakan oleh sistem pendidikan. Kita digalakkan mengejar markah sebagai pengukur kehebatan. Siapa nombor satu, siapa nombor akhir atau siapa di kelas yang bagus, di sekolah yang bagus selalu menjadi bandingan hingga kita diterap dengan pemikiran sebegini dalam  mengejar kecemerlangan kuantitatif.

Akhirnya kita terbawa pemikiran sebegitu dalam world view dan persepsi diri hingga kita ingin berjaya bersandarkan kemenangan material. Yang memperoleh semua itu akan rasa hebat dan menang. Yang tidak dapat kesemua itu berasa gagal dalam kehidupan. Kejayaan dan kegagalan kita itu mengikut ukuran orang sekeliling dan sistem masyarakat, bukannya diri sendiri.

Sepatutnya ukuran kemenangan atau kegagalan itu diukur bukan sahaja berdasarkan perolehan kuantiti, tetapi kualiti. Seperti kisah saya dan Amin, walaupun akhirnya sama-sama memperoleh kuantiti dan kualiti kehidupan yang mana akhirnya dia memperoleh gelaran datuk dan saya pula gelaran datuk.

Sungguhpun kami sama-sama membesar di persekitaran dan pendidikan yang sama, akhirnya kami memperoleh kejayaan pangkat atau gelaran datuk yang mempunyai erti yang berbeza. Bukankah sesungguhnya itu menandakan, dalam marathon kehidupan ini, kita sebenarnya bukan berlumba dengan orang lain, sebaliknya dengan diri sendiri. Kejayaan kita tidak akan sama dengan orang lain. Walaupun memperoleh kejayaan yang sama, rasa indahnya tentu sekali berbeza.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.11.2012, in syaa Allah...

Tuesday, November 13, 2012

BERDIRI DI SAMPING KEBENARAN


Photo credit: myibrah.com

SINAR HARIAN
JUGA BERHIJRAH


ALHAMDULILAH dan insya-ALLAH, mulai masuk waktu Asar petang ini, kami warga Sinar Harian akan meraikan sambutan Maal Hijrah 1434 di Madrasah Haji Yaacob yang terletak di Bangunan Sinar Harian. Bangunan itu adalah premis baru kami yang terletak di dalam Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Kami akan mula berpindah secara beransur-ansur sehingga kami mula beroperasi sepenuhnya di bangunan itu mulai Disember nanti.

Sesungguhnya perpindahan itu begitu dalam ertinya. Ia mengingatkan semangat hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah 1,400 tahun yang lalu. Cuma, Rasulullah berhijrah kerana oppresi, Sinar Harian berhijrah kerana operasi. Baginda berpindah dalam keadaan yang penuh berhati-hati, kami berpindah dalam mood yang senang hati. Betapa berbezanya suasana dan ketika hijrah Rasulullah yang penuh pancaroba tetapi kami berhijrah juga dalam suasana yang penuh kegembiraan. Maklumlah, dapat pejabat baru.

Saya teringat perjalanan saya dengan bas dari Mekah ke Madinah ketika menunaikan haji pada tahun 2003. Perjalanan selepas Asar itu menaikkan bulu roma kerana ia adalah perjalanan menjangkau ke senja menjelangnya 1424 Hijrah. Perjalanan sejauh 337 kilometer atau lebihkurang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru mengimbau ingatan, betapa Rasulullah SAW melalui perjalanan getir itu. Tidak terbanding dengan perjalanan saya di dalam bas berhawa dingin. Apatah lagi penghijrahan saya dan teman-teman warga Sinar Harian nanti yang tidak lebih 100 langkah atau tujuh minit perjalanan dari pejabat yang sedia ada ke pejabat yang baru.

Meskipun  hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain; dari segi mental, ia juga membawa erti penghijrahan dari satu paradigma, untuk membina satu paradigma yang lain. Daripada segi spiritual pula, ia memerlukan kekuatan rohani untuk terus beriltizam dan beristiqamah. Justeru itu, penghijrahan fizikal warga Sinar Harian juga mesti diiringi niat untuk berubah yang disusuli dengan pelan perubahan, diikuti dengan tindakan, dipertahankan dengan kekuatan emosi dan dipasak dalam-dalam dengan komitmen rohani.

Bagi saya, hijrah akan lebih berkesan seandainya ia dilakukan secara berkumpulan seperti mana yang dilakukan Rasulullah SAW. Baginda tidak berpindah sendirian. Ini adalah kerana, perubahan atau penghijrahan yang dilakukan dalam kumpulan lebih mudah diperkekalkan kerana teman-teman sekumpulan dapat ingat memperingati agar masing-masing dapat mempertahankan perubahan yang dipilih.
           
Lihatlah penghijrahan beribu-ribu ekor penyu yang menyelami lautan, burung-burung yang terbang merentasi benua dan pelbagai binatang daratan yang berpindah seperti beruang, gajah, kambing biri-biri mahupun kupu-kupu. Meskipun pada asasnya ia berhijrah untuk mencari makan, ia berpindah secara kumpulan dan bukannya sendirian.

Perpindahan warga Sinar Harian ke pejabat baru juga adalah hijrah secara berkumpulan. Mudah-mudahan perpindahan di tahun yang baru,  dalam suasana yang baru itu sama-sama menzahirkan semangat baru yang akan terus menyampaikan berita tanpa mengira siapa-siapa dan bertujuan apa-apa melainkan menjulang prinsip ‘Telus dan Tulus.’ Dalam pada itu, tentu sekali segala keputusan yang diambil untuk menyelidik, menyelongkar dan menyiarkan apa yang diperoleh itu masih kekal melalui neraca pertimbangan bagai menarik rambut dalam tepung.

Kami sedar, anda lihat Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang hebat. Bagaimana pun, kami tahu lantai berpijak kami masih lagi kayu dan bukannya marmar. Masih goyang, belum pun kukuh. Kami mengerti, memang sukar menyiarkan berita yang membuatkan semua hati anda gembira dan menerima. Lebih payah lagi memaparkan berita yang membuatkan hati anda semua berduka dan menolaknya. Inilah cabaran yang sentiasa kami pikul agar anda para pembaca memperoleh maklumat dalam apa jua perkara yang anda ingin tahu.

Betapa pun, Sinar Harian akan terus berpandu kepada tujuh prinsip dan etikanya sebagai falsafah akhbar ini. Kami tidak boleh memandai-mandai, memeriksa semua sumber berita, mendamaikan dua pihak yang bersengketa, mengingati erti persaudaraan orang-orang yang beriman, mengelak daripada kata-mengata, tidak berprasangka dan sentiasa ingat ALLAH SWT menilai seseorang itu melalui takwa, bukan pangkat, pengaruh dan hartanya.

Sesungguhnya ayat-ayat pertama, keenam, kesembilan, kesepuluh, kesebelas, keduabelas dan ketigabelas dari Surah al-Hujurat yang menjadi panduan kami selama ini akan kami genggam pula supaya anda sekalian tidak ragu-ragu tentang nawaitu kami dalam menyampaikan berita.

Di mana ada kebenaran, di situ ada Sinar Harian. Kami tidak berpihak. Sebaliknya hanya berdiri di samping kebenaran. Mudah-mudahan anda memperoleh pencerahan dalam apa jua persoalan yang bersimpang-siur di fikiran melalui Sinar Harian. Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.11.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, November 6, 2012

SOLUSI DAN SOALAN



Photo credit: useyouredge.blogspot.com
JAWAPAN YANG
DATANG SEBELUM SOALAN


SAYA bertemu dengan Amran, seorang pembantu pentadbir sebuah syarikat pembinaan ketika hendak memperbaharui lesen memandu di pejabat pos. Saya kenali beliau tatkala bertugas di sebuah syarikat perunding di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur 20 tahun dahulu. Pejabat Amran bersebelahan dengan pejabat saya. Sekali-sekala bila terserempak, kami berkongsi meja dan cerita tatkala makan tengahari di gerai bawah pokok berhampiran dengan pejabat kami.

Memandangkan panggilan nombor giliran saya masih lagi lambat, saya ambil peluang itu untuk bersembang dengannya. Saya menegur Amran sebaik sahaja dia selesai dengan urusannya. Dia kaget seketika memandang saya. Mungkin terkejut kerana tidak menyangka menemui saya di situ.

Setelah berbasa-basi, saya bertanya apa urusannya di pejabat pos itu. Wajahnya kelat seketika sebelum menjawab. ‘Saya bayar road-tax kereta, bang. Tapi saya terkilan sangat. Baru semalam saya dapat naik gaji, hari ini isteri saya kata, cukai jalan keretanya dah mati. Habis duit kenaikan saya.

Minggu lepas saya dapat bonus. Tayar kereta saya pulak meletup sebab botak. Nasib baik saya tak pandu laju. Kalau tidak boleh nahas. Saya ni selalu sangat terkena. Bila dapat duit sikit, mesti ada saja masalah yang perlukan duit tiba.’

Saya hanya tersenyum mendengar keluhannya. Tatkala di zaman muda dahulu, saya biasa mengalami situasi begitu. Baru dapat duit tuntutan perjalanan, surat saman memandu melebihi had laju pun sampai. Baru sahaja dapat gaji, adik pula mengadu hendak beli set buku-buku pelajaran universitinya. Baru sahaja terima bayaran hutang dari kawan, ada kawan lain pulak yang menagih hutangnya dari saya.

Pendek kata, ada sahaja keadaan di mana kita terpaksa melupakan hasrat untuk berbelanja kerana tuntutan yang lebih penting datang menagih penyelesaian. Justeru itu, apa yang dialami Amran kini pernah saya alami. Saya juga pernah keluh kesah, keruh resah dengan situasi itu. Gembira hati hanya sementara kerana masalah datang untuk memadam keriangan itu. Namun, setelah mengalami keadaan sebegitu buat beberapa kali, saya ada cara menangani hati sendiri hingga saya sudah tidak kisah dengan situasi yang boleh dilihat sebagai masalah itu.

Masalah adalah halangan, kesusahan atau cabaran yang memerlukan penyelesaian. Penyelesaian pula akan membolehkan kita nampak semula matlamat lalu melangkah untuk menggapainya. Masalah makro seperti masalah masyarakat mahupun negara hanya membimbangkan kita meskipun ia akan memberi kesan besar andainya tidak mengatasinya. Sebaliknya masalah peribadi yang kecil pun sudah cukup untuk membuat diri bermuram durja.

Ada masalah yang begitu besar hingga memerlukan bantuan orang lain untuk menyelesaikannya. Ada masalah yang semakin membesar andainya kita tidak segera menanganinya. Ada masalah yang selesai sendiri bila waktu berlalu.  Banyak juga masalah yang akhirnya tidak dilihat sebagai masalah lagi bila kita sedar, ia hanyalah mainan perasaan.

Namun, ada juga masalah seperti yang dihadapi oleh Amran. Jika kita renungkan, masalah sebegini amat unik kerana ia muncul setelah penyelesaiannya menjelma. Lihatlah, Amran terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar cukai jalan kereta isterinya setelah memperolehi kenaikan gaji. Dia juga terpaksa mengganti tayar keretanya yang meletup setelah memperoleh bonus.

Tidakkah ini menunjukkan masalah-masalah itu mendatang setelah penyelesaiannya tersedia? Masalah yang timbul setelah penyelesaiannya tiba terlebih dahulu, jarang sekali kita sedari hingga kita rangkum ia serupa seperti masalah-masalah yang lain. Padahal, ia amat berbeza dari jenis-jenis masalah yang lain.

Begitu halusnya ALLAH memberi kita dugaan dan cabaran berupa masalah yang pelbagai. Antaranya ialah masalah seperti ini. Jawapannya datang dahulu sebelum soalannya tiba. Janganlah mengeluh bila ditimpa masalah sebegini.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.11.2012.

Tuesday, October 30, 2012

ALAM REALITI, ALAM SIBER



Photo credit: robotplunger.com

TULISAN TIDAK
MENUNJUKKAN PERIBADI

PENAT melayan tetamu sambutan Hariraya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf semalam sudah hilang bila saya tidur awal. Bila bangun pagi ini, tubuh sudah segar kembali. Begitulah bila ada majlis di Karangkraf… para jemputan yang datang cukup ramai. Ada yang sempat dilayan dengan makan bersama. Lebih ramai lagi yang hanya dapat dirai setakat menghulur salam dan mempersilakan mereka menjamu selera.

Terima kasih kepada teman-teman, rakan media dan rakan niaga yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan majlis. Tidak mengapa kepada teman-teman yang menelefon untuk mengkhabarkan anda tidak sempat datang kerana ada urusan yang di luar jangka. Tahun depan ada lagi jemputan, insya-ALLAH. Bila dijemput, silalah datang ke tempat kami.

Hampir acara berakhir, saya menerima panggilan dari teman-teman Kuala Lumpur yang baru tiba ke Shah Alam. Mereka sampai lewat dan segan hendak ke Karangkraf. Puas memujuk, mereka enggan juga. Akhirnya saya  pula yang keluar untuk menjamu mereka di sebuah restoran berhampiran dengan pejabat.

Sedang asyik berbual selepas minum-minum, saya perasan ada seorang pemuda berambut panjang sampai ke bahu, di meja sebelah. Tubuhnya gempal. Sejak mula dia duduk saya nampak dia hanya minum teh tarik. Dalam masa setengah jam, dia sudah meneguk hampir dua gelas teh. Saya nampak dia asyik mengetuk sesuatu di komputer ribanya. Apa yang menyibukkannya?

Untuk menghilangkan rasa ingin tahu, saya mengalih kerusi dan menghadapnya. Kami bersalaman dan saling bersapa. Katanya, dia kenal saya melalui tulisan saya. Suaranya perlahan, tutur katanya penuh beradab dan gerak gerinya menggambarkan dia seorang yang amat menghormati orang. Bila dia memperkenalkan diri, saya pula terkejut kerana berkenalan dengan seorang blogger yang selama ini saya hanya tahu nama, tetapi bukan orangnya.

Betapa dirinya itu jauh sekali berbeza dengan apa yang ditulisnya. Tulisannya sentiasa pedas menikam perasaan. Bahasa yang digunakannya celupar. Ada maki, ada hamun. Apabila saya terbaca tulisannya, biasanya saya akan kerap menggeleng kesal. Malah saya terfikir, apakah si penulis tidak mengerti apa yang ditulisnya itu kerap melukakan hati ramai orang?

Sekali lagi saya terjumpa dengan manusia yang baik pekerti tetapi terlalu liar tulisannya. Sebelum ini, saya pernah bertemu dengan seorang lagi blogger yang tidak kurang kasar dan kesat bahasanya, tetapi sebenarnya dia seorang lelaki yang toya.

Begitu jugalah, ramai lagi mereka yang menulis di Facebook dan Twitter amat berbeda personaliti jika dibandingkan dengan tulisan masing-masing. Tulisan mereka, panas. Diri mereka, dingin. Ayat-ayat mereka, kesat. Pertuturan mereka, penuh ketertiban.

Dwi-personaliti ini menambah satu lagi perangai orang kita. Jika selama ini kita selalu berkata, orang Malaysia ini baik-baik. Tetapi bila mereka berada di belakang stereng, perangai mereka berubah ganas. Kini, kita juga boleh katakan, orang Malaysia ini baik-baik. Tetapi bila mereka berinteraksi di alam siber, peribadi mereka bertukar sebaliknya. Apakah ini sejenis penyakit?

Kerana itu, kita tidak boleh ambil hati dengan apa jua bahasa yang digunakan oleh mereka yang menulis di alam siber. Sebahagian besar daripada mereka adalah orang biasa seperti kita yang beradab dan berhemah. Mereka hanya menganggap bahasa kasar, kesat dan celupar itu adalah bahasa standard di alam siber. Sebab itulah mereka tidak berasa janggal menggunakannya. Padahal, ia bukannya cara mereka menulis dan bertutur di alam nyata.

Jika kita marah-marah dengan cara tulisan demikian dengan cara menegur, biasanya kita pula akan dibelasah habis-habisan. Tambahan pula, dengan nama samaran atau profil samaran, seseorang itu mungkin sahaja menggunakan sesuatu nama sebagai wataknya di alam siber, iaitu keras dan kasar. Kita kena terima bahawa itu lingua franca dalam internet. Kita perlu terima kenyataan bahawa bahasa di alam siber tidak menggambarkan personaliti insan sebenar.

Dalam pada itu, kita sendiri patut mengubah tanggapan bahawa bahasa dan tulisan di alam siber adalah bebas sebebas-bebasnya. Mana ada kebebasan tanpa sempadan? Jika kita menghormati diri sendiri, kita tidak akan memalukan diri menggunakan bahasa yang tidak molek meskipun orang yang tahu siapakah kita.
Tidak perlu terikut-ikut. Gunakan bahasa yang sopan dan tertib. Jika itulah peribadi kita, mengapa kita perlu berubah personaliti menjadi The Hulk sebaik sahaja menekan papan kekunci?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 31.10.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, October 16, 2012

JANGAN JADI SI TENGGANG



Photo credit: defensetech.org
KEJAYAAN KERANA
ORANG SEKELILING
SAYA sempat menyaksikan terjunan bersejarah Felix Baumgartner secara langsung melalui internet pada pagi 15 Oktober waktu Malaysia. Felix membuat terjunan bebas dari stratosfera ke bumi, dengan ketinggian 180,000 kaki dan kelajuan 1,342 kilometer sejam.

Saya turut gayat bila skrin menayangkan Felix melalui kamera dari atas kapsul. Dengan imej bumi yang berputar sebagai latarnya, saya pasti kecut perut jika berada di tempat beliau. Bila Felix terjun dari jarak 39 kilometer, lebih kurang jarak antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, saya tidak boleh mengelak dari membayangkan apa akan terjadi andainya pakaian Felix tercarik. Tubuhnya akan panas akibat geseran, darahnya akan mendidih dan dia boleh rentung.

Namun, akhirnya Felix mendarat di bumi New Mexico dengan selamat. Persediaan yang memakan masa berbulan lamanya selesai dalam masa kira-kira 10 minit. Tetapi, dia tidak mungkin dapat melakukannya tanpa bantuan beratus petugas lain ~ daripada pemandu kren yang membawa kapsulnya, tukang pam belon helium hinggalah kepada tukang jahit sut khasnya.

Sekurang-kurangnya tujuh orang pakar mengendalikan persediaan batang tubuh Felix Baumgartner. Dia dinasihati oleh pakar olahraga, Andy Walshe; yang menjaga kesediaan fizikal dan mentalnya. Dia juga menerima nasihat pakar perubatan, Jonathan Clarke; pakar keselamatan Mike Todd; pakar teknikal, Art Thompson; pakar sains angkasa Marle Hewett; pakar terjunan, Luke Aikins dan juga Joe Kittinger; manusia yang telah memecah rekod dunia dengan melompat dari langit dengan ketinggian 102,000 kaki pada tahun 1960 sebagai capsule communicator atau teman sembang Felix di sepanjang program itu.

Terjunan itu tampak mudah. Kejayaannya nampak senang. Tetapi, tanpa bantuan mereka di sekeliling termasuk ibu dan isterinya, Felix Baumgartner tidak mungkin dapat melakukannya dengan penuh motivasi. Namun, kita selalu tidak sedar, kejayaan seseorang itu juga adalah kerana keterlibatan mereka di sekelilingnya.

Sama juga apabila kita melihat aksi watak James Bond, Daniel Craig. Kita hanya nampak dia melakonkan pelbagai aksi. Tetapi, tanpa bantuan pengarah yang memerintahnya mengatur langkah, pertolongan pakar seni mempertahankan diri, jurukamera, jurumekap, pelakon aksi ngeri, pereka grafik CGI dan tukang bancuh kopi, si pelakon tidak mungkin dapat membawa watak seorang hero yang bergolek, melompat, menerjah dan bergasak tanpa letih.

Seorang usahawan yang hebat itu pasti dikelilingi oleh mereka yang sentiasa membantunya berjaya. Kumpulan pengurusnya dari segi kewangan, pentadbiran, sumber manusia, operasi, pemasaran, pelaburan, material dan kumpulan petugas dari segi pembuatan, perkeranian dan pasukan jurujual yang cekaplah yang menyokong kehebatannya.   

Pendek kata, lagi besar kejayaan, lagi ramailah orang sekeliling yang membantu kita untuk berjaya. Tokoh perunding yang terkenal, ahli politik yang tersohor, ustaz yang terhormat dan artis yang popular, kesemuanya berjaya kerana jumlah mereka yang menyokong dan menyukai apa yang dilakukannya itu ribuan angkanya.

Kejayaan kita yang seadanya pun terjadi kerana bantuan, sokongan dan kehadiran mereka di sekeliling kita seperti  ibu bapa, adik beradik, saudara-mara, sahabat-handai dan berpuluh orang guru yang mengajar pelbagai subjek kepada kita sejak darjah satu hinggalah ke institusi pengajian tinggi.

Malah, kejayaan kita ini juga berlaku kerana adanya antagonis dalam kehidupan peribadi. Bekas teman sekelas yang selalu membuli, rakan sekampung yang sentiasa mengejek, mereka yang kita tahu selalu mengumpat kita, yang menganiayai kita, bekas kekasih atau musuh dalam selimut adalah mereka yang memberi motivasi melalui reverse psychology hingga dendam kesumat kita terhadap mereka berubah menjadi pembakar semangat kita untuk berjaya.

Untuk itu, andainya kita perasan hebat kerana berjaya hasil usaha sendiri, kita kenalah beringat. Kita tidak boleh lupa daratan. Dan tidak elok juga berperangai si Tenggang yang tidak mengaku atau menafikan mereka yang membantu kita hingga berjaya, termasuk kerajaan yang memerintah (tidak kira pihak BN mahupun PR).

Mana ada orang yang berjaya
hasil usahanya sendirian atau
seorang diri cara sebatang kara?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.10.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, October 9, 2012

ENTITI PERNIAGAAN DAHULU & SEKARANG


Photo credit: rudysyah.blogspot.com


NICHE DALAM
DUNIA PERNIAGAAN

SEJAK menggunakan telefon bimbit, saya kian malas menyarung jam tangan. Jika ingin melihat waktu, saya buka sahaja telefon bimbit saya. Ada waktu semasa yang terpapar di situ. Dengan sebuah telefon bimbit, saya boleh mengubah bentuk paparan jam saya samada secara analog atau digital. Angka yang terpancar pun boleh saya pilih sama ada besar mahu pun kecil; berwarna merah, hijau atau ungu.

Bingkai jam yang terpapar di skrin telefon saya pun boleh diubah-ubah sama ada dalam bentuk bulat, bundar atau bersegi-segi. Pendek kata, bentuk jam tangan di telefon bimbit saya boleh digubah setiap hari mengikut kesukaan saya. Kerana itu, lama kelamaan saya sudah  tidak memakai jam tangan lagi. Dan saya dapati semakin ramai teman-teman sepejabat yang tidak menggunakan jam tangan kerana sebab yang sama.

Namun, meskipun ramai yang mempunyai lebih seutas jam tangan, sebahagian besar teman-teman yang saya kenali hanya mempunyai seutas jam tangan. Walaupun ada juga yang mempunyai dua utas, tetapi saya tidak jumpa teman yang mempunyai lebih daripada lima utas jam tangan. Jam bukannya makanan yang perlu diambil setiap hari.  Biasanya seutas jam tangan yang dibeli boleh tahan bertahun-tahun lamanya.

Tetapi anehnya, saya lihat di mana-mana kompleks perniagaan, terdapat banyak sekali kedai jam. Nama-nama rangkaian kedai jam seperti Watatime, Time Galerie, Solar Time dan The Hour Glass terdapat di kebanyakan kompleks membeli-belah. Itupun  belum termasuk kedai-kedai jam jenama khusus seperti Rolex, Titus, Guess dan Chopard. Biasanya, apabila saya melewati kedai-kedai jam ini, ia dikunjungi para pelanggan.

Ertinya, meskipun kian ramai yang tidak memerlukan jam tangan dan kalau memerlukan hanya membeli seutas jam setahun sekali kerana tahannya produk itu, bagaimana mungkin semakin banyak kedai jam yang wujud? Seolah-olah orang ramai membeli jam tangan pada setiap hari!

Sama juga dengan kedai cermin mata. Kita tidak membeli cermin mata sebulan sekali. Namun, kita akan dapati kedai-kedai cermin mata seperti  Focus Point, England Optical, Menara Optical dan Cambridge Optical terdapat di hampir kesemua kompleks membeli-belah.

Apakah ertinya? Ertinya, penduduk Malaysia semakin ramai. Oleh itu, seandainya jumlah orang yang tidak memakai jam tangan seperti saya semakin meningkat, ada ramai lagi orang yang akan membeli jam tangan.  Anggaran penduduk Malaysia Pertengahan Tahun 2012 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penduduk Malaysia sudah menjangkau kepada 29,336,800 orang atau menghampiri 30 juta penduduk.

50 tahun yang lalu, kita pernah dengar kisah bagaimana jika ada dua perniagaan yang sama pada satu-satu tempat, salah sebuah perniagaan akan bungkus. Perniagaan orang Melayu ketika itu biasanya hanya membuka kedai songkok, kedai runcit dan kedai makan. Dengan jenis perniagaan, kawasan dan jumlah pelanggan yang terhad, tentu sekali dua buah perniagaan yang sama tidak boleh wujud di tempat yang sama.

Namun, pada hari ini, keadaan sudah jauh sekali berubah. Dengan meningkatnya jumlah penduduk, perniagaan yang sama jenisnya pun boleh hidup jika dibuka berdekatan. Malah, perniagaan yang terhimpun di sesebuah kawasan itu menjadikan ia bagai besi berani kerana dapat menarik lebih ramai pelanggan ke sesebuah tempat.

Pada hari ini, tidak hairanlah jika di medan-medan selera, semua kedai makan boleh mendapat sambutan dan maju. Kedai peralatan sukan, pakaian, permainan, kasut, jam dan cermin mata boleh dibuka bersebelahan dan mendapat sambutan. Malah, tempat seperti pusat perniagaan yang mempunyai lebih 100 buah premis di Low Yat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Digital Mall di Petaling Jaya, Selangor hampir kesemuanya menjalankan perniagaan yang sama iaitu komputer.

Kita lihat pada hari ini, hampir kesemua kompleks perniagaan yang muncul dikunjungi orang ramai daripada waktu mula berniaga hingga lewat malam. Kawasan parkirnya sesak, concoursenya padat dan medan seleranya pun sendat dengan pengunjung. Semakin banyak kompleks membeli-belah dibuka, semakin ramai pelanggan mengunjunginya.

Justeru itu, pandangan bahawa kemunculan sesebuah rangkaian perniagaan itu akan mematikan perniagaan yang lain kerana kurangnya pelanggan, sudah tidak tepat. Malah, ia adalah pandangan yang sudah ketinggalan zaman.

Tidak timbul soal perniagaan yang besar menyebabkan perniagaan yang kecil boleh gulung tikar. Malah, banyak perniagaan yang besar memudahkan perniagaan-perniagaan yang kecil memperoleh bekalan barangan dengan harga yang lebih murah dan berkualiti. Peniaga-peniaga kecil ini boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan di kawasan mereka. 

Setiap perniagaan mempunyai niche masing-masing. Niche adalah faktor keunikan dalam dunia pemasaran, perniagaan dan kepenggunaan. Justeru itu, perniagaan yang besar tidak boleh mematikan yang kecil, dan yang kecil tidak boleh meruntuhkan perniagaan yang besar. Yang boleh meranapkan sesebuah perniagaan itu hanyalah sikap tuanpunya perniagaan itu terhadap perniagaan itu sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.10.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, October 2, 2012

DI ANTARA MILO DAN TONIK CHAP GAJAH



Photo credit: bluesriders.blogspot

MENJADI POPULAR
DAN TERUS DIINGATI


BARU-BARU ini saya pulang ke kampung dan berkunjung ke rumah saudara jauh. Nek Noi dan Tok Jali amat berbesar hati dengan kunjungan saya sekeluarga. Nek Noi terus menggoreng mihun sebagai hidangan. Aromanya menyelerakan. Namun, bila dia menghidangkan mi, saya sedikit kaget melihat sudu yang disertakan. Dia menggunakan sudu yang terukir jenama Tonik Chap Gajah.

Pasti sebahagian besar daripada anda tidak tahu apakah itu Tonik Chap Gajah. Ia adalah di antara minuman tonik yang terkenal pada tahun-tahun 60an-70an. Setiap belian tonik itu akan dihadiahkan sebatang sudu yang dilekatkan dibotolnya. Seingat saya ada juga ketika di mana hadiahnya ialah sebuah gelas plastik berwarna coklat. Tonik keluaran syarikat A.S Mohamed Kassim & Co itu begitu terkenal kerana kerap mengiklankan produknya di akhbar dan radio. Malah, syarikat itu pernah menaja rekod EP kugiran The Sangam Boys untuk mempromosi produknya.

Sambil membelek sudu, saya teringatkan rasa tonik yang payau itu. Betapa, sebuah produk yang begitu terkenal entah masih wujud atau sebaliknya. Pulang ke rumah, saya melayari internet. Dan ya, saya dapati Tonik Chap Gajah masih terjual di pasaran. Tetapi, oleh kerana kurang promosinya, jenama itu semakin tenggelam dari ingatan.

Langsung saya teringatkan beberapa jenama yang sudah lama saya tidak temui seperti minyak angin Cap Lang, Minyak Geliga, minyak rambut Warda, bedak AAA, sabun basuh Sunlight, Swastika, Drive serta ubat pening kepala Aspro, Vinac dan Dusil. Lalu saya teringat pula kepada Restoran Bilal, medan selera makanan laut di belakang pasaraya Campbell, Kuala Lumpur dan restoran Pines di Brickfields, Kuala Lumpur.

Carian di laman web menemukan saya dengan sebahagian besar jenama-jenama itu. Hampir kesemuanya masih wujud. Minyak angin Cap Lang, Minyak Geliga, bedak AAA dan Restoran Bilal masih terus beroperasi. Sabun basuh Sunlight, Swastika dan Drive tidak saya temui. Aspro, Vinac dan Dusil pula mungkin tidak dimport lagi ke negara ini.  

Begitulah kita sebagai pengguna. Kesetiaan kepada sesebuah jenama itu akan terlerai apabila ia tidak rajin melakukan mempromosi. Maklumlah, pada hari ini terdapat ribuan produk yang lahir untuk memenuhi rak-rak di pasaraya. Andainya sesebuah produk itu tidak membuat pemasaran untuk mempromosi kewujudannya secara berkala, kehadirannya akan dilupai. Apabila ia sudah tidak diingati, para pengguna akan mencari jenama yang lain. Tentunya jenama lain yang dicari adalah jenama yang sering muncul di dalam iklan.

Untuk itu, saya kagum dengan jenama Milo. Satu-satunya jenama yang begitu lama wujud di negara kita. Sejak muncul di pasaran Malaysia pada tahun 1950, Milo masih terus menerus teguh dengan strategi pemasarannya. Seperti saya juga, anak-anak saya gembira beratur untuk mendapatkan Milo percuma bila van Milo sampai di sekolah mereka. Ia adalah pengalaman unik di usia kecil yang kekal dalam fikiran saya.

Pada hari ini, iklan-iklannya muncul di pelbagai tempat. Di akhbar, radio, televisyen, majalah, internet, billboard, sepanduk tajaan, papan tanda dan pelbagai lagi terus mengiklankan jenama itu. Ia mengukuhkan Milo sebagai minuman kesihatan dan memahat kehariannya di dalam minda kita. Seingat saya, hanya restoran makanan segera francais antarabangsa di Malaysia sahaja yang menghidangkan minuman itu. Itu belum lagi di restoran mamak dan gerai-gerai, apatah lagi di rumah.

Manusia juga umpama produk. Mereka jadi terkenal kerana biasa muncul di televisyen, radio, akhbar dan majalah di peringkat nasional. Golongan ahli politik, agamawan, aktivis sosial atau artis berpeluang diingati di kalangan masyarakat kerana pendedahan itu. Kita sebagai individu juga berpeluang menjadi terkenal seandainya mempunyai kebolehan yang unik hingga menjadi perhatian orang ramai.

Saya teringat kepada penyanyi Korea, PSY yang terkenal seantero dunia kerana tarian gangnam stylenya. Begitu juga gadis Ukraine, Anastasiya Shpagina yang mendandan dan membentuk dirinya hingga menjadi kartun anime Jepun yang hidup. Ada pelbagai cara manusia menarik perhatian hingga menjadi sebutan ramai.

Pokoknya, apakah seseorang itu dapat bertahan kekal diingati? Andainya seseorang itu tidak rajin muncul di mata dan hati khalayak ramai, walau betapa bagus dan popularnya dia, seseorang itu akan cepat dilupakan.

Saya dan anda bagaimana? Mana lebih bagus?
Diingati kerana kebagusan atau dilupakan meskipun bagus?

Apa kata ahli politik pula?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.10.2012, insya-ALLAH...