Tuesday, June 26, 2018

CATATAN SEBUAH PERJALANAN

-->
MARI MERENUNG
NASIB DIRI


SEBAIK sahaja roh ditiup ke tubuh, maka perjalanan hidup kita pun bermula. Degup jantung, pembentukan tubuh dan organ-organnya, tulang, daging dan urat-urat terus terbentuk sebagai persediaan untuk kita menjenguk melihat dunia.
Kita lahir terlungkup,  terbaring, mengiring, meniarap hingga akhirnya kita dapat merangkak, berdiri dan bertatih. Ibubapa gembira melihat langkah kita yang pertama dan makin seronok apabila kita pandai berlari.
Kita sendiri turut gembira apabila dapat berlari apabila mengejar dan dikejar. Kerap juga kita tersadung dan terjatuh mahupun terhantuk lalu tergolek. Itulah pengajaran awal diri ~ bahawa perjalanan hidup yang bakal dilalui nanti akan disulami jatuh dan bangun yang silih berganti.
Betapa pun, seperti tumbesaran diri, perkembangan yang kita lalui begitu perlahan seperti detik saat jam. Ia memakan masa bertahun-tahun. Sesungguhnya ia adalah sebuah perjalanan; bukannya matlamat.
Perjalanan hidup itu juga memaksa kita untuk bergerak. Seolah-olah kita sedang berada di sebuah walkalator. Jika kita berdiam diri tidak mahu ke depan,  ia akan mengundurkan kita ke belakang. Seperti juga sedang berada di sebuah eskalator yang sedang menurun; jika kita tidak melangkah untuk naik, kita akan menggelongsor ke bawah.
Justeru itulah, adat dalam kehidupan memerlukan untuk kita bergerak. Pastinya bergerak ke hadapan atau mendaki untuk sampai ke puncak. Kerana, bergerak ke hadapan itu menunjukkan kemajuan. Kemuncak pula adalah simbol kejayaan dalam sebuah perjalanan.
Betapa pun, perjalanan hidup itu juga penuh dengan selekoh. Sebab itu kita tidak boleh jangka apa yang mendatang. Kita hanya boleh mengagak apa yang bakal muncul di depan mata. Namun, melalui kebiasaan, kita mula belajar membaca pola kehidupan lalu membuat agakan.
Sekali, dua kali, tiga kali agakan kita benar-benar betul, maka jangan pula kita menganggap diri sudah mahir untuk membuat pelan kehidupan. Kerana, tiba-tiba apabila agakan kita tidak tepat dan jangkaan kita tidak menjadi, kita akan tersasar dan tersungkur pula.
Pada ketika itulah baharu kita ingatkan ALLAH. Baharu sedar ALLAH itu tetap ada dan sentiasa menguji. ALLAH memberi kita ujian dalam kehidupan bukannya kerana ALLAH hendak tengok bagaimana kita menanganinya. Sebaliknya, ujian itu ALLAH berikan kepada kita supaya kita sendiri dapat melihat bagaimanakah kita menghadapi ujian itu sendiri.
Beruntunglah andainya kita dapat hadapi sesebuah ujian itu dengan tenang lagi rasional. Merugilah pula seandainya kita panik dan kalut hingga silap dalam bertindak hingga merugikan diri sendiri daripada segi jangka panjang.
Justeru itu, dalam perjalanan hidup ini, apakah yang kita mahu? Apakah kita mahu aman sejahtera tanpa pelbagai ujian hingga kita lembik dan lembam apabila masalah besar tiba? Ataupun apakah mahukan masalah datang bertimpa-timpa agar kita menjadi kuat semangat dalam menghadapi segala rintangan?
Orang kata, musuh jangan dicari. Begitulah juga, masalah jangan difikir-fikirkan hingga kita bersikap negatif. Biarlah masalah itu datang dengan sendirinya kerana itulah adat kehidupan. Sentiasalah awas apabila keadaan sejahtera dan aman damai. Tetapi layanilah masalah seadanya apabila ia sampai dengan fikiran bahawa ia akan dapat diselesaikan.
Bukankah kita telah pun mengatasi segala masalah yang mendatang selama ini? Jika tidak, bagaimana kita boleh bernafas hingga ke hari ini?  Lagi pula, sedari kecil, bukankah kita telah mengalami jatuh bangun secara fizikal sebagai persediaan untuk menghadapi jatuh bangun daripada segi mental dan spiritual?
Skrip kehidupan bagi setiap insan itu berbeza. Meskipun ada yang serupa, cara individu menanganinya itu sendiri akan mengubah natijahnya. Malangnya, kita semua diasak dengan pemikiran yang mendatar iaitu untuk melihat kejayaan dan kegagalan melalui sukatan material.
Lagi banyak seseorang itu berharta, tafsirannya ialah dia sudah berjaya. Ramai yang kian terlupa bahawa terdapat juga kejayaan mental dan spiritual. Sebab itulah, orang yang punyai tiga empat kedoktoran falsafah itu tidak dianggap berjaya kerana dia tiada harta berjuta ringgit.
Seorang hafiz yang berwajah jernih dan tenang itu dilihat belum berjaya kerana tiada wang berkepuk-kepuk di dalam almari. Padahal, bukan senang mendapat keizinan ALLAH sebagai penyimpan juzuk-juzuk al-Quran di dalam dadanya. Dia sebenarnya kaya-raya kerana dalam dirinya mengalir satu-satunya mukjizat di akhir zaman.
Kita semua datang dari sebuah tempat yang indah. Bila dilahirkan, kita bertebaran untuk mengembara dan mencari apa yang diingini di dunia yang fana ini. Kita kena sentiasa ingat bahawa perjalanan di dunia hanyalah sebahagian daripada jalan yang perlu direntasi.
Tiba waktunya kita akan dipanggil ke tempat yang indah itu kembali. Itupun, seandainya kita memilih jalan yang diredai, iaitu sebuah jalan yang lurus. Mencari jalan yang lurus itulah yang sukar kerana di dunia ini mana ada jalan yang lurus dari hujung hingga ke pangkalnya? Carilah ia nescaya tidak akan ditemui kerana jalan yang lurus itu hanya ada di hati!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.6.18.

Tuesday, June 12, 2018

SELAMAT PULANG BERHARI RAYA



Piccredit:expatgo

BEKALAN TERBAIK
DARIPADA KAMPUNG
INSYA-ALLAH, lusa ini kita akan menyambut Aidilfitri. Barangkali ramai yang sudah pun bergerak ke kampung. Kita sebut sebagai balik kampung, bukannya pergi ke kampung. Kita kata balik, kerana ia bermaksud kita kembali ke tempat asal, tempat bermula ataupun ke pangkal jalan.
Bila kita mahu kembali ke tempat asal, ia melahirkan suatu perasaan yang indah kerana kampung halaman adalah tempat kelahiran, tempat membesar dan tempat bermain. Semuanya kita alami dari zaman kanak-kanak hingga ke remaja.
Di usia kanak-kanak dan remaja iaitu di zaman persekolahan, kita tiada tanggungjawab. Tiada pun berfikir lama tentang masa depan. Apa yang kita lalui ialah zaman kegembiraan, zaman mencuba untuk memenuhi kehendak ingin tahu dan zaman kita belajar berkawan.
Pendek kata, bila ada banyak sekali kenangan yang indah, ia menjadi nostalgia apabila kita terkenangkan zaman itu. Dan, kita ingin kembali semula untuk tenggelam di zaman itu dengan pulang ke kampung.
Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang amat baik untuk jiwa. Alam kampung yang lambat berubah seperti di kota seolah-olah membawa kita masuk ke dalam zon waktu. Ia memberikan kita rasa tenang, bahagia dan merehatkan. Justeru itu, pada cuti hari raya inilah juga peluang buat kita untuk memberi santapan pada jiwa sendiri.
Barangkali keadaan rumah tidak banyak beza. Mungkin bumbung biru dan bercat kuning cair di dindingnya itu masih juga begitu. Pohon-pohon kelapa masih menghiasi belakang rumah. Masih meliuk lentuk ditiup angin.
Langsir dan tingkapnya masih sama. Pokok-pokok bunga orkid dan kaktus masih ada di kiri kanan rumah. Rumput di halaman nampaknya baharu ditebas ayah. Bau asap rumputnya yang  terbakar sudah lama tidak kita hidu. Aha, ayam jiran sebelah rumah masih berkeliaran di depan rumah.
Senyuman ayah dengan kopiah sengetnya masih serupa. Dia sudah tua, sudah berkedut-kedut di pipi. Dahulu pun, dia sudah tua apabila kita berhijrah ke kota. Kini dia masih begitu, seolah-olah tidak lebih tua daripada dahulu.
Ramah emak pun sama. Tangannya yang tidak berhenti memasak untuk kita itu masih  terasa kasar tatkala kita menggenggamnya. Hangatnya pelukan emak masih serupa. Aduhai rindunya mendengar suara serak emak bertanya khabar sambil berbisik. Original berbanding suaranya yang setiap kali kita dengari melalui telefon.
Wajah kedua ibubapalah yang menjadikan jiwa kita berlari ke zaman silam. Di hadapan mereka, kita ini  bukan bos, bukan ketua, bukan pegawai, bukan buruh atau warga kerja. Segala pangkat, kedudukan mahupun status kita hilang apabila kita berdepan dengan ibubapa.
Kita ini tiada apa-apa di depan mereka. Jangan sembunyi apa-apa di depan mereka kerana mereka kenal kita luar dan dalam sebab mereka pernah melihat kita sejak bertelanjang lagi. Kita ini hanya seorang anak.
Lihatlah suasana rumah. Di ruang tamu di mana kita terbaring dengan adik-adik menonton kartun. Bilik tidur kita dahulu yang terkemas indah di mana di lantailah tempat kita berlingkar hingga kesiangan. Mungkin kita terjumpa baju-T lama yang masih terlipat di almari.
Jenguklah ke bilik air tempat kita terkinja-kinja bila kesejukan setelah mandi. Juga memandang ke dapur, tempat kita makan minum. Mungkin cawan dan pinggan kegemaran masih ada di situ. Lihatlah ke luar jendela. Dapur rumah jiran masih kelihatan di celah-celah pokok bunga cina.
Pergilah pula ke bandar, dengan basikal yang kita guna untuk ke sekolah atau dengan motorsikal kapcai ayah. Merayaulah ke bandar untuk meninjau ke kedai buku yang biasa kita kunjungi, melewati sekolah, balai raya dan masjid.
Apabila turun ke pekan, kita akan temui kawan-kawan lama sekolah yang turut pulang berhari raya dan kawan-kawan yang menjadi warga desa. Mungkin kita akan temui juga kenalan seperti cikgu, ustaz, ketua kampung,  polis, posmen, ahli bomba termasuk kawan-kawan ayah.
Kesemua pengalaman yang kita lalui ini pernah kita alami pada tahun lepas, malah pada tahun-tahun sebelum ini. Kita lalui skrip yang sama yang dilakonkan oleh orang-orang yang sama, di mana kita adalah pelakon utamanya. Kita terhibur dan berasa bahagia kerana kita sebenarnya pulang sebab mahu recharge.
Untuk itu, kita perlu tinggalkan apa yang kita bawa dari bandar.  Ketepikan segala gajet dan teknologi yang akan menumpulkan perasaan kita. Kita perlu menghirup kembali aura asal usul kita. Sesungguhnya itulah santapan jiwa yang tiada galang gantinya. Ia adalah bekalan semangat sekembalinya kita ke kota. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.6.18.

Tuesday, June 5, 2018

MENINGKATKAN IBADAH RAMADAN


CABARAN TERBESAR
ORANG BERPUASA

HARI INI, 21 haribulan Ramadan. Kita sudah sampai ke pusingan akhir puasa. Dikatakan, pusingan akhir inilah pusingan untuk kita memecut hingga ke garisan penamat. Ramai yang sudah khatam al-Quran dan meningkatkan masa untuk qiamullail pula. Dalam pada itu, lebih ramai lagi yang mula lelah.

Lebih separuh jemaah solat terawih di masjid dan surau sudah tidak lagi hadir. Jika ramai yang dapat mengerjakan ibadah Ramadan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu, ramai lagi yang tak dapat memperbaiki rekod tahun-tahun sebelumnya. Mengapa ya? Inilah persoalan yang ditanya oleh teman-teman saya tatkala berbuka kelmarin.

Sebenarnya kita sendiri yang menentukan samada ibadah Ramadan kita menjadi lebih baik, lebih kurang sama seperti tahun-tahun lalu ataupun terbaik pada tahun ini. Ia berkait rapat dengan mindset kita terhadap puasa itu sendiri.

Jika kita lalui puasa sebagai rutin tahunan, maka tindakan kita akan menjadi autopilot; bangun qiyamullail, bersahur, bersolat, membaca al-Quran, tidur pada waktu siang, berkunjung ke bazar Ramadan, berbuka, bersolat terawih, moreh dan tidur.

Aktiviti lain seperti berbuka puasa di luar seperti di surau, gerai dan hotel menjadi agendanya. Maknanya, kita berpuasa sebab orang lain berpuasa. Beribadah juga sebab orang lain beribadah sebegitu. Pendek kata, kita menjalani ibadah puasa mengikut apa yang orang lain buat. Berpuasa seolah-olah secara berjemaah. Ini akibat herd mentality.

Padahal, puasa itu memerlukan penglibatan personal. Seperti sebuah perlumbaan maraton, kita kena mengukur kemampuan diri bagaimana untuk mengharungi 30 hari beribadah secara intensif. Lain orang, lain pilihannya dan lain pendekatan serta penumpuannya. Yang penting, pergerakan kita perlu mengikut rentak dari perlahan kepada deras, semakin banyak hari berpuasa kita lalui.

Namun, oleh kerana ramai yang tidak sedar pentingnya mengurus tenaga, maka ramai yang nampaknya beribadah bersungguh-sungguh pada awal hari-hari puasa, tetapi kian sehari, komitmennya kepada ibadah kian mengendur. Kepenatan mula melanda.

Inilah yang menyebabkan mengapa semakin sehari masjid dan surau semakin lengang. Seperti maraton, seharusnya aktiviti Ramadan kita harus dilakukan sebaliknya iaitu daripada perlahan menjadi semakin laju apabil menghampiri penghujung Ramadan.

Seharusnya, ibadah kita dilakukan secara perlahan-lahan pada hari-hari awal puasa dan mempercepat serta memperbanyakkan ibadah menjelang pertengahan bulan Ramadan. Apabila masuk sepertiga akhir, baharulah tumpuan ibadah dipergiatkan, seperti pelumba maraton yang kian pantas berlari apabila menghampiri ke garisan penamat.

Barangkali, pada satu-satu tahun kita boleh memberi tumpuan kepada aktiviti ibadah yang kita lemah melakukannya. Jika kita biasa khatam al-Quran pada setiap Ramadan dan dapat bersolat terawih sepenuhnya, apa kata pada tahun ini kita menjaga pancaindera atau pergiatkan ibadah sedekah pula?

Ibadah di bulan Ramadan ini berat dan penuh cabaran. Meskipun tamat satu juzuk al-Quran setelah terawih, pahala setelah membaca ayat-ayat indah itu dicemari pula membaca segala macam ayat-ayat yang buruk, celupar dan kotor apabila kita menatap Whatsapp. Kita dapat melafaz zikir beribu kali jumlahnya.

Tetapi sebaik sahaja sejadah dilipat, mata kita menatap televisyen dan kita memberi komen yang jelek terhadap drama yang tertayang. Seolah-olah ibadah puasa itu kita simpan elok-elok dalam lipatan sejadah.

Begitu pun, bagi saya, cabaran berpuasa sebenarnya bukannya datang daripada apa yang datang luar seperti video makanan yang dikirim secara nakal oleh kawan-kawan, bahasa celupar yang kita tatap di telefon ataupun umpatan mereka di sekeliling kita.

Cabaran yang utama bagi orang yang berpuasa adalah apabila ia lupa dia berpuasa. Kerana terlupa, dalam sekelip mata, kita berperangai seperti di bulan-bulan yang lain.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.6.18.