MARI MERENUNG
NASIB DIRI
NASIB DIRI
SEBAIK sahaja roh ditiup ke tubuh, maka perjalanan hidup kita pun
bermula. Degup jantung, pembentukan tubuh dan organ-organnya, tulang, daging
dan urat-urat terus terbentuk sebagai persediaan untuk kita menjenguk melihat
dunia.
Kita lahir terlungkup, terbaring,
mengiring, meniarap hingga akhirnya kita dapat merangkak, berdiri dan bertatih.
Ibubapa gembira melihat langkah kita yang pertama dan makin seronok apabila
kita pandai berlari.
Kita sendiri turut gembira apabila dapat berlari apabila mengejar dan
dikejar. Kerap juga kita tersadung dan terjatuh mahupun terhantuk lalu
tergolek. Itulah pengajaran awal diri ~ bahawa perjalanan hidup yang bakal
dilalui nanti akan disulami jatuh dan bangun yang silih berganti.
Betapa pun, seperti tumbesaran diri, perkembangan yang kita lalui begitu
perlahan seperti detik saat jam. Ia memakan masa bertahun-tahun. Sesungguhnya
ia adalah sebuah perjalanan; bukannya matlamat.
Perjalanan hidup itu juga memaksa kita untuk bergerak. Seolah-olah kita
sedang berada di sebuah walkalator.
Jika kita berdiam diri tidak mahu ke depan, ia akan mengundurkan kita ke belakang. Seperti
juga sedang berada di sebuah eskalator yang sedang menurun; jika kita tidak
melangkah untuk naik, kita akan menggelongsor ke bawah.
Justeru itulah, adat dalam kehidupan memerlukan untuk kita bergerak.
Pastinya bergerak ke hadapan atau mendaki untuk sampai ke puncak. Kerana,
bergerak ke hadapan itu menunjukkan kemajuan. Kemuncak pula adalah simbol
kejayaan dalam sebuah perjalanan.
Betapa pun, perjalanan hidup itu juga penuh dengan selekoh. Sebab itu
kita tidak boleh jangka apa yang mendatang. Kita hanya boleh mengagak apa yang
bakal muncul di depan mata. Namun, melalui kebiasaan, kita mula belajar membaca
pola kehidupan lalu membuat agakan.
Sekali, dua kali, tiga kali agakan kita benar-benar betul, maka jangan
pula kita menganggap diri sudah mahir untuk membuat pelan kehidupan. Kerana,
tiba-tiba apabila agakan kita tidak tepat dan jangkaan kita tidak menjadi, kita
akan tersasar dan tersungkur pula.
Pada ketika itulah baharu kita ingatkan ALLAH. Baharu sedar ALLAH itu tetap
ada dan sentiasa menguji. ALLAH memberi kita ujian dalam kehidupan bukannya
kerana ALLAH hendak tengok bagaimana kita menanganinya. Sebaliknya, ujian itu
ALLAH berikan kepada kita supaya kita sendiri dapat melihat bagaimanakah kita
menghadapi ujian itu sendiri.
Beruntunglah andainya kita dapat hadapi sesebuah ujian itu dengan tenang
lagi rasional. Merugilah pula seandainya kita panik dan kalut hingga silap
dalam bertindak hingga merugikan diri sendiri daripada segi jangka panjang.
Justeru itu, dalam perjalanan hidup ini, apakah yang kita mahu? Apakah
kita mahu aman sejahtera tanpa pelbagai ujian hingga kita lembik dan lembam
apabila masalah besar tiba? Ataupun apakah mahukan masalah datang
bertimpa-timpa agar kita menjadi kuat semangat dalam menghadapi segala
rintangan?
Orang kata, musuh jangan dicari. Begitulah juga, masalah jangan difikir-fikirkan
hingga kita bersikap negatif. Biarlah masalah itu datang dengan sendirinya
kerana itulah adat kehidupan. Sentiasalah awas apabila keadaan sejahtera dan
aman damai. Tetapi layanilah masalah seadanya apabila ia sampai dengan fikiran
bahawa ia akan dapat diselesaikan.
Bukankah kita telah pun mengatasi segala masalah yang mendatang selama
ini? Jika tidak, bagaimana kita boleh bernafas hingga ke hari ini? Lagi pula, sedari kecil, bukankah kita telah
mengalami jatuh bangun secara fizikal sebagai persediaan untuk menghadapi jatuh
bangun daripada segi mental dan spiritual?
Skrip kehidupan bagi setiap insan itu berbeza. Meskipun ada yang serupa,
cara individu menanganinya itu sendiri akan mengubah natijahnya. Malangnya,
kita semua diasak dengan pemikiran yang mendatar iaitu untuk melihat kejayaan
dan kegagalan melalui sukatan material.
Lagi banyak seseorang itu berharta, tafsirannya ialah dia sudah berjaya.
Ramai yang kian terlupa bahawa terdapat juga kejayaan mental dan spiritual.
Sebab itulah, orang yang punyai tiga empat kedoktoran falsafah itu tidak dianggap
berjaya kerana dia tiada harta berjuta ringgit.
Seorang hafiz yang berwajah jernih dan tenang itu dilihat belum berjaya
kerana tiada wang berkepuk-kepuk di dalam almari. Padahal, bukan senang
mendapat keizinan ALLAH sebagai penyimpan juzuk-juzuk al-Quran di dalam
dadanya. Dia sebenarnya kaya-raya kerana dalam dirinya mengalir satu-satunya
mukjizat di akhir zaman.
Kita semua datang dari sebuah tempat yang indah. Bila dilahirkan, kita
bertebaran untuk mengembara dan mencari apa yang diingini di dunia yang fana
ini. Kita kena sentiasa ingat bahawa perjalanan di dunia hanyalah sebahagian
daripada jalan yang perlu direntasi.
Tiba waktunya kita akan dipanggil ke tempat yang indah itu kembali.
Itupun, seandainya kita memilih jalan yang diredai, iaitu sebuah jalan yang
lurus. Mencari jalan yang lurus itulah yang sukar kerana di dunia ini mana ada
jalan yang lurus dari hujung hingga ke pangkalnya? Carilah ia nescaya tidak
akan ditemui kerana jalan yang lurus itu hanya ada di hati!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.6.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.6.18.
No comments:
Post a Comment