Tuesday, May 25, 2010

Untuk Yang Suka Huru Hara Last Minute


Foto: fitrianoviani.com

BEKERJA PADA
SAAT-SAAT AKHIR


DARI ruang tamu saya terdengar suara meninggi anak saudara saya, Shima. Becok dia berleter memarahi anaknya, Fara. Kerana takut mengganggu, mahu sahaja saya mengajak isteri pulang dulu daripada bertandang ke rumahnya. Di lain waktu, boleh datang lagi kerana rumah Shima bukannya jauh daripada rumah kami.

“Kenapa?” Saya bertanya sebaik sahaja Shima muncul ke ruang tamu.
“Biasalah, Uncle Din… esok nak sekolah, barulah si Fara beritahu pensil warnanya dah hilang, homeworknya tak siap lagi, kasutnya tak bercuci rupanya!” Jawapannya diteruskan dengan bebelan yang panjang. Shima mengambil peluang untuk melepaskan perasaannya yang geram kepada kami.

Sebagai seorang Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat swasta, Shima menyebut istilah-istilah pengurusan dalam leterannya. Forecasting, planning dan implementing adalah tiga istilah yang terkeluar daripada mulutnya. Wah, nampaknya si kecil Fara tidak akan memahami istilah-istilah yang digunakan oleh mamanya. Kerana tidak mengerti, esok lusa Fara bakal mengulangi tabiat menyiapkan kerja pada saat akhir atau last minute.

Menyiapkan kerja pada saat akhir akan menjadikan kita kelam-kabut. Perkara yang kecil dan mudah akan menjadi besar bila kita berlari mengejar masa. Apa yang dilakukan boleh jadi tidak sempurna. Kecuaian kerana terlepas pandang boleh terjadi kerana menyiapkan kerja pada saat akhir dilakukan dalam keadaan tertekan dan fikiran yang berserabut.

Namun, ia adalah tabiat sebilangan besar masyarakat. Saban kali kita membaca berita bagaimana orang ramai berbaris panjang untuk membayar saman trafik pada hari akhir tempoh sebelum pihak polis bertindak membawa pesalah terus ke mahkamah. Bershopping pada saat akhir membeli pakaian sekolah anak sebelum sekolah dibuka pada hari esoknya juga adalah fenomena tahunan.

Di peringkat peribadi, kita lihat sebilangan daripada kita yang tiba ke pejabat pada saat-saat akhir mesin perakam waktu berbunyi. Ramai yang menerjah masuk ke pejabat untuk merakam waktu sebelum keluar semula untuk memarkir kenderaan. Tidak kurang juga yang terkibar-kibar mengangkat takbir kerana bersolat bila waktunya hendak luput.

Menyudahkan tugas pada saat-saat akhir memang tidak bagus. Ia menjejaskan mental, fizikal dan spiritual kita. Kita sebenarnya mengasak mentalnya tanpa perlu. Ia mengganggu fikirannya untuk berfikir dalam keadaan tenang. Akibat tekanan kerja pada saat akhir, pertimbangan kita akan bersandarkan emosi, bukannya rasional. Kita hanya nampak matlamat tetapi boleh mengabaikan cara. Pendek kata, psikologi kita akan terganggu.

Fizikal kita juga akan terjejas kerana tenaga dikerah. Dalam keadaan tertekan, minda kita akan mengarahkan adrenalin untuk mengalir. Hormon ini akan membesarkan saluran darah dan mempercepatkan denyut jantung untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Tentunya kekerapan penggunaan adrenalin itu tidak baik kerana ia mempercepatkan seseorang untuk menghidap darah tinggi.

Dan, bekerja pada saat-saat akhir juga tidak bagus untuk spiritual kita. Jiwa tenang adalah fitrah manusia. Manusia yang bersumberkan daripada tanah yang juga mempunyai unsur api, angin dan air itu adalah sebahagian daripada alam yang dalam keadaan semulajadinya begitu menenangkan.

Terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari adalah fenomena harian yang bergerak perlahan mengikut orbitnya. Bulan sabit yang menghiasi langit pada saban malam hingga menjelma menjadi bulan purnama akan beransur menghilang perlahan-lahan menurut perjalanannya. Jarum saat jam yang berdetik perlahan sejak dahulu lagi tidak pernah terlewat kerana ia menurut peraturannya.

Ya, peraturan waktu yang teratur ini dilanggar kita dengan cara melakukan kerja pada saat-saat akhir. Kita cuba menghimpit waktu yang panjang kepada masa yang singkat. Kita mengejar waktu yang tertinggal, padahal masa tidak pernah berlari meninggalkan kita. Kita sebenarnya yang berhenti dan alpa hingga masa itu melewati kita.

Justeru, salah siapakah jika kita gagal menepati waktu?
Marilah kita sekali lagi hayati surah 103 al-Quranul Karim.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.5.2010.

Tuesday, May 18, 2010

Lestarikan Fizikal Anda


Foto: newsoftheworld

BERSUKAN

BUKAN UNTUK
JADI JUARA


DI ANTARA rutin saya pada pagi minggu ialah berjoging di taman rekreasi. Selain daripada menyihatkan badan, inilah satu-satunya aktiviti di mana saya boleh mengekori gadis-gadis tanpa siapa pun yang peduli! (Saya buat lawak, ni). Saya tidak berjoging lama. Cukuplah setengah jam. Cukuplah seminggu sekali. Saya juga bermain badminton tiga kali seminggu. Kerana rajin bersukan, saya kelihatan seperti lelaki berusia 35 tahun jika dipandang daripada arah belakang tetapi 18 tahun lebih tua jika dilihat dari hadapan.

Pada Ahad lalu, ketika berjoging, saya terperasan betapa kurangnya mereka yang berusia 30-40an yang turun bersukan. Denai joging di pagi minggu itu dipenuhi dengan golongan pelajar sekolah, siswa-siswi dan juga golongan warga emas. Ke mana pergi golongan pertengahan itu? Apakah mereka terlalu sibuk mengejar material? Ketika berhenti meregangkan tubuh, saya terfikir akan kepelikan ini.

Sukan adalah aktiviti fizikal yang mempunyai peraturan. Lazimnya ia dijalankan dalam bentuk pertandingan. Kerana itu, kehandalan seseorang di dalam bersukan itu diukur daripada sepantas mana dia berlari, setinggi atau sejauh mana dia boleh melompat, sebanyak manakah mata yang dia peroleh dalam sesuatu perlawanan atau kekuatannya menumpaskan lawan.

Oleh kerana sukan dikonotasikan sebagai aktiviti pertandingan serta menang dan kalah, maka apabila seseorang itu meningkat dewasa, khususnya setelah meninggalkan zaman pembelajaran, tabiat bersukan mula diketepikan. Bila terasa diri sudah tidak handal dan hebat, masing-masing menjauhkan diri daripada aktiviti fizikal ini kerana berasa malas jika kalah dalam pertandingan.

Akibatnya, ramai yang kuat mental dan tinggi spiritualnya, tetapi lemah fizikalnya. Mana mungkin seseorang itu hebat mental, spiritual tetapi lemah fizikalnya? Jika salah satu daripada tiga komponen diri itu lemah, maka kehandalan seseorang itu sebenarnya tidak seimbang.

Seorang akauntan yang hebat mentalnya mencongak angka, tinggi spiritualnya kerana rajin bertahajjud, mungkin tidak boleh berlari melewati dua tiang lampu tanpa henti kerana dah putus nafasnya sebaik sahaja menapak 15 langkah. Begitu juga, seorang ahli politik yang boleh membuat orang lain bersemangat kerana petahnya berceramah, hebat spiritualnya kerana rajin bersedekah, mungkin menjadi pemimpin yang dipimpin pembantunya kerana kakinya sakit akibat gout.

Oleh kerana amalan bersukan ditinggalkan, maka ramai rakyat di negara ini menghidap penyakit orang kaya seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Kegemukan pula sudah menjadi satu kebiasaan bila seseorang itu mendirikan rumah tangga atau menjangkau ke usia 30an. Padahal, berat badan dan sihat badan boleh dikawal dengan bersukan.

Sebenarnya, jika sukan tidak dilihat sebagai aktiviti yang mementingkan siapa menang, siapa kalah, maka ia akan diterima dengan seadanya. Yang mustahak, bersukan itu adalah untuk meregangkan otot, menguatkan tulang dan meluaskan saluran darah. Untuk itu, bersukan adalah satu aktiviti untuk mengukur selama manakah seseorang itu dapat melakukan sesuatu aktiviti.

Justeru itu, ia bukan untuk mengukur kepantasan menghabiskan larian 1,500 meter, berapa banyakkah mata yang diperoleh dalam sukan boling atau apakah lawan dapat dijatuhkan dalam sukan judo. Tetapi yang penting ialah selama manakah seseorang itu boleh tahan berlari, tinggi dalam konsentrasi dan tahan bergumpal tanpa mengah. Pendek kata, bersukan adalah untuk melestarikan fizikal kita. Itulah erti kemenangan yang harus dicari.

Kibar-kibarkanlah tangan dan bukakan langkah. Paling mudah dan murah untuk aktiviti sukan ialah brisk walking jika tidak boleh berjoging. Tetapi, walau selama manapun kita melakukannya, tubuh mestilah berpeluh.

Jika tidak berpeluh, bukan bersukan namanya!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.5.2010

Wednesday, May 12, 2010

Mereka Yang Blurr


Foto: buycostumes.com
MANUSIA YANG
BERFIKIRAN KABUR

SEKALI-SEKALA
saya ikuti juga perlawanan bolasepak English Premier League. Walaupun tidak berminat lagi mengikutinya dengan tekun seperti sewaktu remaja, namun bila ada peluang, saya layan juga seadanya.

Bertugas di akhbar memberi kesempatan buat saya terserempak dengan liga bolasepak itu, sewaktu minum malam selepas menyiapkan kerja di bistro mamak. Jadi, kedai makan mamak yang terkenal dengan taktik melaris jualan dengan tayangan bolasepak di televisyen selalunya menjadi pilihan saya kerana kemeriahan suasananya. Ia menyegarkan kembali otak yang telah letih bekerja.

Pada suatu malam hujung minggu, saya bertemu dengan kawan-kawan lama di sebuah kedai mamak yang menayangkan perlawanan bolasepak di sebuah skrin besar. Tentu sekali perjumpaan itu sentiasa disulami dengan keriuhan para pelanggan lain yang menonton. Sambil berbual, mata kami meleret ke skrin. Sambil bergelak ketawa, kami juga bertepuk sorak apabila menyaksikan jaringan gol. Pada malam itu, ditayangkan perlawanan bolasepak di antara pasukan Chelsea dan Arsenal yang mana Chelsea mendahului 2-0.

Sedang asyik bersembang, tiba-tiba muncul Razi. Dia yang tinggal di Selayang, baru pulang dari majlis kenduri saudaranya di Shah Alam. Tujuannya singgah di kedai mamak ini hanya semata-mata hendak mengikuti perlawanan bolasepak. Rupa-rupanya dia kekal sebagai peminat bolasepak yang tegar sejak di zaman kampus. Kami semua tergelak bila ternampak Razi kerana terkenal dengan sikapnya yang blurr ataupun kabur.

“Siapa yang lawan, malam ni?” soalnya. “Chelsea lawan Arsenal,” jawab saya. “Siapa, leading?” tanyanya lagi. “Chelsea leading, 2-0,” sahut saya ringkas. “Arsenal sedang kalah, ke?”

Kata-katanya itu membuatkan kami semua tertawa terbahak-bahak. Manakan tidak? Apabila pasukan Chelsea sedang mendahului 2-0, tentulah pasukan Arsenal sedang mengalami kekalahan, kerana pasukan itu sedang menentang pasukan Chelsea. Keadaannya tampak seperti common sense, tetapi common sense rupa-rupanya bukan common bagi semua orang termasuk Razi. Dan kami semakin geli hati kerana Razi tidak faham mengapa kami tertawakannya.

Di kalangan kita terdapat mereka yang kabur ataupun blurr. Mereka lambat faham dengan sesuatu situasi. Orang kata, pick-up mereka lambat. Inilah jenis manusia yang bila pergi ke surau memakai selipar merah, tetapi pulang dengan selipar kuning. Dia boleh tidak sedar yang dia sudah menyarung selipar orang lain.

Inilah jenis manusia yang bila memandu, dia tidak memasang lampu di waktu malam. Baginya, cukuplah lampu jalan membantunya melihat. Sedikit pun dia tidak sedar bahawa orang lain perlu nampak lampu keretanya supaya tidak terjadi perlanggaran. Inilah juga jenis manusia yang bila meminjam pen kita di pejabat pos untuk mengisi borang, dia terus menyisip pen itu di poketnya tanpa menyedari yang pen itu seketika tadi dipinjam daripada kita.

Manusia menjadi kabur atau blurr kerana matanya melihat ke mana-mana sahaja kecuali di sini. Fikirannya pula berada di mana-mana sahaja kecuali di waktu sekarang. Dalam banyak ketika dan keadaan, dia sebenarnya asyik berbual dengan dirinya sendiri. Yang didengar adalah suaranya sendiri dan bukan suara orang lain di sekelilingnya. Tekanan masa dan desakan memikirkan pelbagai perkara akan menjadikan seseorang itu blurr.

Namun, orang begini tidak berbahaya kepada orang lain. Mereka mungkin memberi sedikit kerengsaan kepada orang di sekelilingnya. Dalam banyak ketika, mereka adalah penyeri suasana kerana kebingungannya. Dalam beberapa keadaan, kita pun pernah menjadi manusia yang blurr. Kerana itu, bila kita tertawakan manusia yang blurr, sedarilah yang kita sebenarnya mentertawakan diri kita sendiri!

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.5.2010.

Tuesday, May 4, 2010

Kenapa Rasa Pahit Tidak Disukai?


Foto: dietsinreview.com
KENAPA TAKUT
MAKAN UBAT?

STRES
kerja menjadikan tekanan darah saya naik kembali. Pada mulanya saya berasa alat tekanan darah yang saya gunakan di rumah sudah tak betul bacaannya. Namun, setelah anak saya merekod tekanan 120/80 untuk dirinya, maka saya tahu yang saya sememangnya sedang mengalami hipertensi.

Rutin ke pasar tani pada setiap Sabtu mengingatkan saya mengenai sebuah gerai herba yang terdapat di sana. Di situ, saya menemui pelbagai jenis herba yang boleh dijadikan ubat menurunkan tekanan darah tinggi. Saya temui pokok sambung nyawa, misai kucing dan hempedu bumi.

Saya tidak jadi membeli mana-mana pokok pun kerana peniaga di gerai dedaun herba itu sendiri yang menuding ke arah gerai di hadapannya yang menjual buah tunjuk langit. Saya yakin, kalau seseorang peniaga boleh merekomen produk yang lebih baik di gerai pesaingnya, saya percaya dia seorang yang jujur.

Apabila saya membayar sepaket biji-biji buah tunjuk langit, promoter di gerai itu memberi amaran, “Abang tahan pahit, tak?” Pertanyaan itu saya jawab dengan senyuman lalu berkata, “Pahit hanya di tekak.”

Sambil berjalan, saya tertanya-tanya, mengapa terdapat sebilangan daripada kita yang takut makan ubat? Saya teringatkan seorang teman serumah yang badannya berulas-ulas kerana sentiasa bersenam di gimnasium. Tubuhnya macho, gayanya macam hero. Tetapi, dia paling penakut untuk makan ubat.

Bila tiba waktu dia menelan ubat, dia akan sediakan segelas teh tarik di tangan kiri dan pil di tangan kanannya. Setelah menganga dan menolak pil jauh ke dalam tekaknya, dia akan cepat-cepat menonggang gelas ke mulutnya dalam keadaan mendongak.

Dia pernah gagal menelan sebutir pil demam kerana pil itu tidak sempat ditelannya. Akibatnya, rakan saya itu terbatuk-batuk hingga sirap terkeluar dari hidungnya. Dia terbelahak hingga pil yang hendak ditelan terjatuh ke lantai kerana tidak tahan dengan pahitnya ubat itu.

BUKANKAH pahit, manis, masam dan masin itu rasa yang hanya hinggap di lidah? Dan, rasa itu tidak akan bertahan lama. Tidak sampai seminit, kebanyakan benda yang disentuh tunas rasa di lidah itu akan hilang. Tetapi, mengapa rasa yang hanya seketika itulah menjadi begitu penting sehingga tanpa kita sedari, kita mencari penyakit dan mengenepikan kesihatan?

Oleh kerana rasa sedap yang sekelumit, kita sukakan gula yang terdapat di dalam cokelat, kuih-muih, manisan dan aiskrim. Kita kunyah segala jenis asam, kentang goreng yang bergaram dan ikan masin. Kita sumbat ke mulut ayam goreng, daging tetel, burger dan kebab.

Kerana rasa enak yang sedikit itulah, kita menelan segala makanan yang membawa penyakit. Dalam waktu yang sama, kita tidak seimbangkan dengan mengambil sesuatu yang kurang sedap tetapi yang membawa kesihatan. Kita sukakan air bergas yang tinggi kandungan gulanya berbanding dengan air mineral yang tinggi khasiatnya. Sayur-sayuran, buah-buahan, ulam-ulaman dan susu asli kita ketepikan kerana rasanya kurang eksotik.

Bagaimana rasa manis di hujung lidah, masin dan masam di kiri dan kanan lidah serta rasa pahit di pangkalnya membuatkan kita mempunyai persepsi yang berbeza iaitu sukakan rasa manis, masin dan masam tetapi membenci rasa pahit?

Siapakah pula yang mengajar kita untuk memilih penyakit dan menolak kesihatan? Malangnya, orang tua kitalah yang mengajar kita untuk menyukai segala bentuk makanan yang boleh cepat menaikkan berat badan dan mendatangkan penyakit. Lebih malang lagi, kita pula secara tidak sedar mengajar anak-anak kita untuk tidak menyukai makanan yang lebih menyihatkan.

Apabila kita menyuap aiskrim ke mulut si kecil, kita suap dengan wajah yang menggambarkan keseronokkan. Tetapi tatkala kita menyuap sayuran ke mulutnya, kita tidak mengekspresikan rasa keterujaan memakan sesuatu yang menyihatkan seperti mana ketika kita menjilat aiskrim.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat yang mengeluarkan segala makanan yang sedap tetapi tinggi kesan penyakitnya begitu galak mengiklankan produknya. Sebaliknya syarikat yang mengeluarkan bahan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan tidak mempromosikan kehebatan makanan itu. Mana ada iklan kangkong atau buah jambu diiklan sehebat iklan ayam goreng dan air bergas?

Akibatnya, kita menggamit penyakit tetapi menghalau kesihatan.
Kita terlupa bahawa yang pahit itu ubat, yang manis itu penyakit.