Tuesday, September 29, 2015

DUNIA REALITI & FANTASI




MANA SATU FAKTA,
MANA SATU AUTA?

SAYA kerap tertanya-tanya, siapa-siapakah ‘mamat’ yang menukar, mengubah atau menyeleweng apa jua berita betul hingga ia menjelma menjadi berita palsu. Siapa-siapa pula ‘mamat’ yang meuar-uarkan sesuatu yang palsu dengan cara mengedit foto dan tulisan hingga menjadi seolah-olah sesuatu yang benar? Siapa yang menyolek sesuatu yang betul hingga menjadi salah atau mengandam sesuatu yang salah hingga punyai wajah kebenaran?

Tidak punyai rasa berdosakah bila berbohong dan menipu jutaan anggota masyarakat? Tidak punyai rasa takutkah kerana dari segi logiknya, ‘mamat-mamat’ ini  tidak mungkin menemui semua manusia yang membaca dan percaya kepada pembohongannya untuk memohon maaf apabila rasa insaf mula menyelinap di sanubari? Tidak rasa ngerikah seandainya mereka yang ditemui itu tidak mahu memaafkan segala apa pembohongan yang telah anda lakukan? Inilah golongan manusia yang tidak sedar akan hukum-hakam menyebarkan fitnah.

Dalam pada itu, ada lagi satu golongan yang sedar hukum-hakam menyebar penipuan, tetapi melakukannya juga. Dua kali lima. Mereka adalah golongan yang memanjangkan apa sahaja yang ‘mamat-mamat’ itu sebarkan. Apa sahaja bahan yang merangsang emosi akan dipanjangkan tanpa usul periksa. Yang penting, berita yang diterima itu dapat dibaca oleh anggota keluarga dan sahabat handai. Kononnya mereka hendak memberi pengetahuan kepada orang yang hampir dengannya.

Siapakah golongan ini? Golongan ini adalah kita! Kita menjadi mereka yang menyebar kepalsuan di media sosial kerana kita mudah sekali teruja dengan apa yang sampai ke pengetahuan kita. Pendek kata, kita ini mudah sangat melatah kerana tidak punyai ilmu memproses maklumat. Kita cepat melompat kepada maklumat palsu kerana kurang membaca. Membaca secara literal mahupun membaca dalam ertikata meneliti sesebuah maklumat yang diterima.

Setelah lebih 30 tahun dunia internet berperanan sebagai alat komunikasi dan rujukan, kita sepatutnya bukan sahaja menjadi penggunanya semata-mata. Sebaliknya kita perlu melayari alam siber dengan baik. Walaupun kita bebas meluncur di lautan minda dan meneroka ke segenap penjuru alam hanya dengan jejari menari-nari di papan kekunci, kita sepatutnya sudah tahu di mana jalan yang lurus, di mana jalan yang bengkok. Kita sepatutnya mahir dalam mengenal yang mana batu, yang mana kaca.

Jika kita menganggap alam siber ini seperti lautan yang membiru atau padang dataran yang menghijau, maka kita tersilap. Selamilah lautan yang membiru itu dan kita akan temui segala makhluk yang hodoh dan ganas di dasarnya. Berkembaralah di padang menghijau itu dan kita akan terpandang segala onak dan duri beracun di permukaannya.

Kita perlu sedar bahawa bukan semua yang indah itu terdapat di alam siber. Malah, bukan semua penggunanya terdiri daripada manusia yang baik-baik, bersopan santun dan beradab belaka. Pendek kata, jangan suka sangat apabila menerima sesuatu dan menelannya tanpa usul periksa kerana dunia maya ini boleh memandai atau memperbodoh kita.

Tidak sampai sepuluh tahun lalu, dunia internet yang menjadikan dunia ini kampung global atau global village serta dunia tanpa sempadan. Dunia itu boleh dibuka dan ditutup mengikut kehendak kita. Apabila kita menutup komputer, maka tertutuplah dunia itu. Kita boleh basuh kaki dan masuk tidur.

Tetapi, kemunculan telefon pintar menjadikan hidup kita berubah sama sekali apabila kita hidup dalam kebisingan di tapak tangan. Kemunculan media sosial dan aplikasi yang lebih canggih daripada sistem pesanan ringkas ~ SMS, iaitu Twitter, Instagram, Whatsapp, Line, Telegram dan seumpamanya, mengheret dan menenggelamkan kita dalam dunia siber. Dalam seminit, berpuluh-puluh soalan, pesanan, berita dan maklumat sampai ke pengetahuan kita. Dan lebih 90 peratus daripadanya tidak mustahak mahupun tidak berguna.  

Namun, akibat dirangsang dengan getaran telefon apabila mesej tiba, kita jadi manusia yang mudah teruja. Oleh kerana mesej yang tiba ditujukan kepada kita, maka secara tidak sedar, kita berasa kita orang penting. Padahal, mesej itu disampaikan kepada berpuluh-puluh rakan lain dalam kumpulan sembang kita. Kerana perasan yang kita ini penting, maka kita berasa bertanggungjawab untuk memanjangkan apa yang kita rasa patut diketahui oleh orang lain.

Perasan itulah yang menjadikan kita hilang pertimbangan lalu menyebarkan apa jua yang tiba ke dalam kotak mesej kita. Akibatnya, kita hidup di alam yang berselirat dengan maklumat-maklumat sampah. Apa yang diistilahkan sebagai viral itu sebenarnya penyakit yang merosakkan minda kita.

Ia menjadikan kita timbul tenggelam di antara alam siber dan alam realiti. Itulah yang menjadikan kita lemah dalam mentafsir yang mana fakta, yang mana auta. Kita sebar auta kerana kita percaya ia fakta. Kita tolak fakta kerana lebih percayakan auta.  
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.9.15.

Tuesday, September 22, 2015

MEMBERI ATAU TIDAK?


Piccredit:ohdunia.my
 
GOLONGAN PEMINTA DI JALANAN

PADA hari ini, kita biasa terserempak dengan pelbagai golongan yang meminta-minta di jalanan. Ada yang meminta sedekah secara terus iaitu menadah tangan, mangkuk atau tempurung mengharap wang. Ada juga golongan yang menjual sesuatu agar kita membeli dan juga bersedekah. Ada juga yang terus meminta derma.

Saya teringat golongan yang meminta sedekah secara terus, bukan dengan cara menjual ataupun secara meminta derma. Ahad lalu, saya tertarik bila terdengar bunyi alunan muzik harmonika. Bila saya menekur, kelihatan seorang peminta sedekah yang tertiarap di lantai di celah-celah kaki laluan pengunjung di pasar Meru, Klang. Bunyi alat muzik itu datang daripada sebuah telefon bimbit di sisinya. Saya tersenyum bila nampak dia terkial-kial mengemam sebuah harmonika yang diambnil dari poketnya. Berlakon konon-kononnya muzik itu datang dari tiupannya. ‘Ini auta peminta sedekah di pasar-pasar,’ detik hati saya.

Saya pernah terjumpa dengan peminta sedekah yang kononnya bernyanyi, padahal suara nyanyian itu datang daripada perakam suara yang disangkut di pinggangnya. Dia miming sahaja. Suasana kebisingan pasar membuat mereka menggunakan alat muzik untuk menarik perhatian.

Di simpang-simpang jalan, berhampiran dengan lampu isyarat juga terdapat mereka yang meminta. Apabila kenderaan berhenti menanti lampu hijau, peminta-peminta  ini akan datang menadah tangan dari kenderaan ke kenderaan. Ada juga yang lebih berani. Mereka mengetuk cermin sambil membuat muka sepuluh sen, tetapi mahu sekurang-kurangnya seringgit.

Di medan-medan selera pula terdapat pasangan peminta. Seorang celik yang bertugas sebagai pemimpin si buta. Mereka mengutip wang dari meja ke meja. Di pekarangan masjid lain pula cara mereka. Tempat mereka ialah di sudut-sudut lorong pejalan kaki. Biasanya terdiri daripada golongan wanita yang meriba anak kecil. Lazimnya anak-anak kecil ini semuanya tidur lena. Kata orang, anak-anak itu diberi ubat batuk supaya sentiasa terlelap. Wallahua’lam.

Golongan yang cacat seperti kudung kaki lazimnya pula bersepah di pasar tani atau pekan sehari. Mereka duduk di antara dua lorong sambil menggoncang cawan plastik untuk menarik perhatian. Sekali padang sememangnya kita berasa amat kasihan. Tetapi, bagaimana ya, dengan kecacatan sebegitu rupa mereka dapat berjalan begitu jauh ke hujung-hujung lorong. Pasti ada orang yang membawa mereka ke situ.

Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang kita tak boleh tafsirkan sebagai peminta sedekah kerana mereka menjual barangan seperti kertas tisu. Kita pun tidak sampai hati untuk mengambil sepaket bila mereka menghampiri. Akhirnya kita hulurkan seringgit tanpa mengambil barang jualannya. Dan, mereka memperoleh berpuluh ringgit hanya dengan menayangkan beberapa bungkus tisu.

Ada juga di antara mereka yang menjual keropok secara jualan langsung di stesen-stesen minyak. Mereka menghampiri tatkala kita sedang mengisi petrol. Harga keropok ikan yang mereka jual itu boleh dikatakan mahal hingga sepuluh ringgit sebungkus. Kualitinya pula belum tentu bagus.

Kita juga mungkin pernah berjumpa dengan makcik-makcik yang menjaja pelbagai jenis kerepek. Harganya juga boleh tahan. Sekali pandang, kita jatuh kasihan dengan makcik-makcik ini dan kita pun membeli. Soalnya, siapa yang bijak merekrut makcik-makcik ini menjaja sebagai pendekatan pemasaran hingga kita membeli kerana simpati dan bukan kerana perlu?

Budak-budak menjual kismis dan kalendar pula adalah golongan yang bergiat di kawasan R & R. Lazimnya mereka menunggu di luar surau. Wajah mereka comel-comel dan cantik-cantik. Sekali lagi kita membeli kerana kasihan. Mungkin juga kita hanya bersedekah dan tidak membeli kerana kasihankan mereka. Namun, jika kita menunggu dan mengintai untuk melihat apa yang mereka makan di gerai berhampiran, kita akan geleng kepala sambil tersenyum kerana terlebih simpati.

Mereka yang meminta secara langsung mahupun menjaja sedikit barangan sudah menjadi kebiasaan. Bagaimana pula dengan mereka yang meminta derma? Golongan ini akan kita temui di hadapan bank. Apabila kita menghampiri, salam akan diberi. Tak jawab, berdosa, kan? Lalu kita pun menjawab dan komunikasi sudah bermula. Apabila telah mengeluarkan wang, sekali lagi kita disapa supaya menderma. Maka, setelah bersapa sebentar tadi, kita terpaksa menunjukkan wajah yang manis lalu terhulurlah derma.

Tetapi, pernahkah kita tertanya, mengapa hari ini kutipannya untuk sekolah tahfiz, esok untuk mendirikan masjid, minggu depan pula untuk rakyat Palestin? Modus operandinya sama… duduk di hadapan tong yang ditutupi poster organisasi yang merayu simpati. Dahulu mereka hanya menggunakan tong biskut atau tong plastik besar. Kini sudah untung dan maju. Mereka sudah guna tong akrilik. Ada yang lebih berani. Mereka tinggal tong tanpa dijaga. Sampai masa, mereka hanya datang mengambil hasilnya.

Apakah kita bersedekah, membeli atau menderma apabila terjumpa mereka? Ramai yang memberi tanpa berfikir. Ramai yang buat-buat tidak nampak kerana tidak mahu menghulur. Ada juga yang buat muka ketat kerana tidak mahu memberi atau membeli.

Sebenarnya, jika kita tidak mahu bersedekah pun tidak mengapa kerana bersedekah itu sunat. Membeli pun harus. Yang tidak kena ialah apabila kita tidak menghulur tetapi memandang sinis kepada mereka. Yang elok, jika tidak mahu memberi pun, hulurkan sahaja senyuman. Bukankah senyuman itu juga adalah suatu sedekah?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.9.2015.

Tuesday, September 15, 2015

SENTIASA MENAPIS BERITA


 
Pic credit: igraphical.it
PERCAYAKAN ‘APA’
BUKANNYA ‘SIAPA’

PADA jam 3.00 pagi semalam saya terjaga lalu membaca print screen di telefon mengenai arahan cuti oleh  Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka pada Selasa 15 September akibat bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi bacaan 200.
Print screen itu saya peroleh daripada sebuah grup WhatsApp yang saya sertai. Tertera logo Astro Awani di sudut kiri mesej itu. ‘Mungkin berita betul, mungkin rekaan,’ kata hati saya. Maklumlah, banyak sekali maklumat yang tidak betul dijadikan berita make-believe atau berita yang beriya-iya benar oleh entah siapa dengan cara menampal logo sesebuah organisasi berita pada sesebuah viral.

Saya buka pula sembang kumpulan WhatsApp yang lain. Tertera mesej Twitter  yang sama dengan logo akhbar Berita Harian pula. Kali ini saya makin percaya bahawa berita cuti itu agaknya betul. Namun begitu, saya masih ragu-ragu. Lantas saya membuka laman web bernama.com, agensi berita rasmi negara. Di situ tertera berita yang lebih lengkap mengenai arahan cuti oleh pak menteri kerana IPU yang melebihi 200.
Kali ini, saya berpuas hati bahawa berita cuti ini adalah benar. Langsung saya pula mengambil snap shot berita di laman bernama.com  dan menyebarkan pula kepada kumpulan-kumpulan sembang yang lain. Bersama imej itu, saya nyatakan bahawa ‘berita ini sahih.’ Saya percaya, sebaran yang saya lakukan itu membantu sahabat handai saya.
Dari semasa ke semasa, kita akan menerima pelbagai berita dan maklumat dalam bentuk mesej, imej dan juga cerita. Kita mudah sangat mempercayainya. Mengapa? Kerana kita menerimanya daripada mereka yang kita kenal iaitu sahabat, kawan, pak long, pak usu, mak ngah, ayah wan, malah daripada bos kita sendiri. Jika kita mempercayai mereka, mengapa kita hendak persoal berita yang mereka sampaikan?
Pendirian untuk mempercayai orang yang terdekat lagi dikenali itu memang baik sebagai tanda menghormati dan tidak berburuk sangka dengan mereka. Namun, ia menjadi tidak bagus kerana kita sepatutnya percaya ‘apa’ dan bukannya ‘siapa’ yang menyampaikan sesebuah berita. Malangnya oleh kerana kita lebih mempercayai ‘siapa’ daripada ‘apa’ yang disampaikan, maka kita akan menelan bulat-bulat apa yang disampaikan oleh kenalan atau saudara kita itu.
Dia juga pada asalnya menerima sesebuah berita daripada orang yang dipercayainya. Dia menyampaikan pula kepada orang yang dikenalinya. Dan orang yang dikenali pula menyampaikan kepada mereka yang dikenali juga. Akhirnya, ia menjadi rangkaian yang mempercayai berita yang disampaikan oleh ‘siapa’ dan bukannya ‘apa.’ Itulah sebabnya mengapa berita-berita palsu tersebar dengan meluas bagai tiada hadnya.
Kelmarin pun tiba sebuah viral hadis mengenai ‘perlunya kita menyampaikan berita kedatangan bulan Zulhijjah jika tidak mahu dijilat api neraka.’ Dan hadis itu disebarkan oleh seseorang yang menggelarkan dirinya ustaz. Saya juga menerima hadis itu daripada seorang kawan di sebuah grup sembang. Mujurlah di dalam grup saya itu, ada seorang ustaz yang mempersoalkan sumber hadis itu. Katanya, hadis itu rekaan semata-mata kerana tiada bukti petikannya daripada mana. Dan dia sanggup menerima kesahihan hadis itu seandainya jelas sanadnya. Dengan teguran itu, hadis tersebut tidak disebarkan oleh sesiapa di dalam grup kami.
Akhir-akhir ini,  kita mudah terpengaruh dengan ‘siapa’ daripada ‘apa’ yang disampaikan. Namun, di dalam suasana akhir zaman di mana maklumat yang berlegar di alam siber bersimpang-siur hingga berselirat, yang benar bercampur dengan yang batil, yang batil disolek seolah-olah benar, maka kita perlu sentiasa peka dengan ‘apa’ yang disampaikan walaupun ‘siapa’ yang menyampaikan itu adalah orang yang paling dekat dan paling dipercayai oleh kita.
Ini adalah kerana, ‘siapa’ itu mungkin sekali memperoleh maklumat yang tidak sahih daripada ‘siapa’ yang dipercayainya. Sedangkan ‘sesiapa’ itu tidak punyai kemahiran menapis maklumat untuk mempastikan apa yang diterimanya itu berupa maklumat sahih atau sebaliknya.
Dan ya, mungkin kita tidak akan disenangi kerana asyik mempersoal apa jua berita yang disampaikan oleh kenalan kita. Walaupun si penyampai akan berasa segan dengan kita, dia akan berfikir dua kali sebelum menyebarkan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti kesahihannya.
Di akhir zaman ini, orang yang lebih pandai pun perlu diajar ilmu menapis maklumat.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
- al-Hujurat, 6
 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.9.2015.

Tuesday, September 8, 2015

BAGAIMANA MENYUDAHKAN KERJA


 
Foto credit: biopharma-reporter.com
DI ANTARA BERNIAT DAN MEMASANG NIAT

SAYA temui lagi Hakim secara kebetulan ketika dia singgah untuk makan tengahari di sebuah restoran di Shah Alam. Pada Ahad lalu, saya menemuinya bersama ayahnya Halim di sebuah majlis perkahwinan di Rawang. Tanpa teragak-agak Hakim duduk semeja dengan saya di suatu sudut di luar restoran. Selesai makan, kami bersembang.

Di sepanjang perbualan, Hakim kerap menjawab panggilan. Jejarinya asyik menekan-nekan skrin telefonnya untuk melayani segala macam mesej. Tidak lama kemudian, saya nampak dia mengeluh dalam, bila telefon pintarnya degil mengikut arahannya. Telefonnya hang! Akhirnya, Hakim menutup telefonnya dengan wajah mencuka.

‘Sibuknya awak…’ ujar saya untuk mengalih perhatian apa yang sedang bermain di fikirannya. Hakim mengangkat kening sambil tercebir.  ‘Banyak problemlah pakcik. Pakcik ada idea tak, nak selesaikan masalah saya, ni?’ jawabnya dengan sebuah soalan pula.

Hakim adalah seorang Pengurus Perolehan yang sibuk. Bertugas di sebuah syarikat pengedaran produk import untuk kelengkapan rumah seperti cerucuk, papan, asbestos, jubin, sinki, paip, lampu dan seumpamanya. Selain daripada menghadiri bermacam-macam mesyuarat dengan pelbagai klien, Hakim perlu memantau segala permohonan untuk perolehan peralatan perumahan. Lulusan kejuruteraan awam di sebuah universiti tempatan ini perlu menghubungi pembekal, kontraktor dan hingga ke pemandu lori bagi mempastikan pesanan material sampai kepada pelanggannya.

Kata Hakim, dia terlalu sibuk dengan kerjanya. Sebelum masuk ke pejabat pun, dia sudah memulakan tugasnya di rumah. Segala macam e-mel, mesej dan foto sudah diterima di telefonnya. Dan dia terpaksa menjawab kesemuanya sebelum dia melangkah memasuki pejabat. Jika tidak, dia tidak akan sempat menghadiri pelbagai mesyuarat dan diskusi dengan bos atau klien-kliennya.

Telefon adalah suatu kemudahan. Tetapi ia juga suatu kepayahan apabila ia membolehkan sesiapa sahaja menjejaki kita. Jika dahulu timbul kata-kata, ‘jangan bawa kerja pejabat kembali ke rumah,’ kini kerja pejabat sudah ikut kita kembali ke rumah. Oleh kerana terlalu banyak kerja yang hendak dibuat, dia tidak tahu yang mana satu hendak mulakan. Dan, apabila memulakan, sesuatu tugasannya kerap tidak dapat dibereskan kerana menggagau pula untuk menyiapkan kerja yang lain pula. Kerana kesibukannya itu jugalah Hakim tidak dapat berekreasi.  Yang terkini, tunang Hakim kerap menjeruk rasa akibat tidak dipedulikan. Kata Hakim, dia tidak sempat memujuk tunangnya kerana memujuk pun mengambil masa.

Semakin lama, Hakim berasa terhimpit dan tension. Seolah-olah hendak makan pun tidak sempat. Hendak tidur pun fikiran masih lekat dengan soal kerja. Solatnya kerap terlewat, malah ada yang tidak tertunai. Katanya, tugasnya itulah yang menjadikan dia terikat dengan kerjayanya. Kata saya, jika kerja sudah mengikat kita hingga bagai terperangkap di dalam dunianya, itu bukan kerjaya. Itu ‘kergagal’ namanya.

Kesibukan urusan harian dunianya itulah yang menjadikan segala-galanya menjadi tunggang-langgang. Saya memberinya pandangan. Kata saya, kita semua tahu bagaimana untuk merancang tugasan. Tetapi ramai yang tidak dapat melaksanakan apa yang dirancang kerana tidak dapat fokus untuk menyudahkan sesebuah tugasan. Ia terjadi kerana kita merancang tetapi tidak memasang niat untuk menyudahkan rancangan itu.

Kata saya, memasang niat itu seperti kita berniat tatkala mengangkat takbir untuk memulakan solat. Apabila kita memasang niat, kita telah menetapkan untuk menyudahkannya hingga selesai. Maka kita tidak akan berhenti solat selagi kita tidak akhiri ia dengan salam. Mana pernah kita berhenti bersolat selagi ia belum selesai? Sesungguhnya, solat itu melatih untuk kita konsisten dalam melakukan sesuatu dari awal hingga akhir. Ia dapat dijayakan kerana kita memasang niat.

Tetapi, dalam lain-lain aktiviti dunia, kita sering terhenti di tengah jalan kerana kita hanya berniat, tetapi tidak memasang niat. Kita membuka telefon dengan niat untuk menjawab panggilan. Tetapi perbuatan itu melarat hingga kita membaca segala mesej Whatsapp, foto dan video. Kita pergi ke pantri untuk membuat secawan kopi. Tetapi kita singgah dahulu di meja rakan dan berbual hingga akhirnya hanya minum air kosong kerana waktu mesyuarat sudah tiba. Pada asalnya, kita hendak ke bilik mandi. Tetapi kita terhenti di depan televisyen dan duduk menonton siaran lawak hingga terlalai.

Jika kita hanya berniat untuk melakukan sesuatu, kita akan menyimpang daripada melakukan sesuatu yang diingini. Sebaliknya, bila kita memasang niat, kita memberitahu diri agar menyudahkan sesuatu dengan menetapkan tempoh siapnya. Fokus kita terhadap tugasan itu akan lebih jelas hingga kita tidak akan berhenti selagi kita tidak menyudahkannya.

Pendek kata, apabila memasang niat untuk melakukan sesuatu, ketepikan yang lain. Tumpukan apa yang dipasangkan niat itu sehingga selesai. Hakim mendapat sedikit pencerahan. Saya juga mendapat jawapan ke atas masalah yang saya alami. Masalah kerja yang banyak hingga bingung hendak menyudahkan yang mana satu adalah juga masalah saya.

Kerapkali kita dapat selesaikan masalah peribadi apabila kita memberi jalan keluar kepada orang lain!  
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.9.2015.

Tuesday, September 1, 2015

SEMBANG ORANG TIADA ILMU


 
Piccredit: islampos.com
 
MULANYA BERSEMBANG
AKHIRNYA BERTENGKAR

APAKAH kita sedar bahawa kita kerap terjebak di dalam pertengkaran mengenai sesuatu perkara yang tidak penting pun untuk diri kita?   Lazimnya pertengkaran itu bermula dengan sebuah pertanyaan kepada seorang rakan kerana niat untuk berbual-bual. Namun, apabila kita mendengar jawapannya, kita mengambil serius dengan responsnya. Perkara yang santai pun boleh berubah menjadi sesuatu yang menghangatkan suasana. Walhal, dia juga menjawab sekadar berbasa-basi, hanya mengikut rentak bersembang dengan kita.

Misalnya, kita bertanya mengenai perhimpunan BERSIH, kepada rakan sambil menunggu tren tiba. Dan kawan kita pun menjawab soalan kita dengan penuh yakin dan bersemangat mengikut perpektifnya. Jika dia bersetuju dengan perhimpunan BERSIH, dia akan memuji-muji tindakan para pendemonstran. Tetapi seandainya dia tidak setuju, dia akan mengkritik habis-habisan terhadap perhimpunan itu.

Kita pula akan memberi respons mengikut persepsi kita. Jika kita sependapat dengannya, maka perbualan akan menjadi semakin bersemangat. Sebaliknya jika kita dan dia mempunyai pandangan yang bertentangan, perbualan bertukar bertukar menjadi kritik mengkritik. Malangnya, jika berlarutan, ia boleh berakhir menjadi pertengkaran hingga bermasam muka.

Walhal, bukankah kita mulanya bertanya hanya sekadar ingin bersembang dengan seorang kawan? Kita bukannya menyoal penganjur perhimpunan itu ataupun pihak polis. Jika kita bertanya pihak yang sepatutnya, baharulah padan jika kita mempersoal setiap jawapan kerana mereka adalah pihak yang berkait secara langsung dengan perhimpunan itu. Sebaliknya, kita bertanya kepada seorang rakan yang sebenarnya hanya mendapat maklumat mengenai perhimpunan BERSIH melalui akhbar, televisyen dan internet. Dia pun sama seperti kita. Jadi, mengapa bersembang hingga boleh melarat sampai begitu?

Sembang-sembang yang berubah menjadi pertengkaran bukan setakat berlaku dalam perbualan secara bersemuka. Malah, ia terjadi dalam perbualan di alam maya. Secara peribadi, sudah beberapa kali saya terpandang rakan Whatsapp yang leave group semata-mata kerana tidak bersetuju dengan mereka yang tidak sependapat dengannya. Mengapa sampai begitu jadinya?

Ia berlaku apabila kita bertanya kepada orang yang sama juga seperti kita ~ tidak ada pengetahuan lengkap mengenai sesuatu perkara yang menjadi pokok persoalan. Jika kita bertanya kepada orang yang bukan ahli, berkuasa, berkelayakan atau bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, maka maklumat yang kita terima, tentulah tersasar.

Hampir semua orang akan menjawab apa jua soalan yang ditanya walaupun tidak tahu jawapan yang sebenar. Niat asal kita menjawab adalah untuk tidak menghampakan orang yang bertanya. Namun, apabila membuka mulut, kita malu dianggap tidak tahu mengenai sesuatu yang ditanya. Lantas, kita pun main belasah sahaja dengan apa jua jawapan yang terlintas di fikiran.

Apabila tersilap menjawab, kita tidak pula mahu mengaku salah. Sebaliknya kita mempertahankan dengan hujah secara spontan dan logik. Logik bukan fakta. Kerana itu ia mudah goyah apabila dipersoal hingga berlaku pertengkaran yang tidak mendatangkan faedah bagi yang bertanya dan juga buat yang menjawab.

Orang yang bertanya pun tidak adil dengan kita. Apabila dia bertanya, dia bukan bertujuan untuk mendapat maklumat. Sebaliknya, apabila dia bertanya, biasanya dia sudah ada jawapannya yang tersendiri. Dia hanya mahu mendengar jawapan yang sama seperti apa yang sedang bermain di fikirannya. Apabila jawapan kita berlainan dengan jawapan yang sudah terpahat di fikirannya, maka mulalah dia mempersoal jawapan kita.

Akhirnya ia berubah menjadi pertengkaran apabila ego menguasai diri. Kerana ego, kita menjawab bukan setakat ingin mempertahankan jawapan. Sebaliknya, kita menjawab dan berhujah untuk memenangi pertengkaran itu. Bukankah yang diingini dalam sesebuah pertanyaan ialah sebuah jawapan yang boleh menambah pengetahuan kita mengenai sesuatu perkara? Apabila terjadi soalan jawab, bukankah masing-masing boleh bertukar fikiran dan mempunyai perspektif yang pelbagai mengenai tajuk yang dibincangkan? Siapa menang, siapa kalah bukan natijah yang kita sama-sama inginkan.

Janganlah serius sangat apabila bersoal jawab dalam suasana sembang-sembang. Ia hanya pertukaran pendapat mengikut agakan masing-masing. Masing-masing pun bukan pakar mengenai sesebuah topik yang diperbualkan. Justeru, berpada-padalah apabila bertukar pendapat dan pandangan jika kita bukan mereka yang terlibat secara langsung ataupun ahli di dalam bidang yang dibicarakan.

Bertengkar dan berbalah pada hal yang sebegitu hanya menghabiskan beras kerana sebenarnya ia adalah perangai orang yang tiada ilmu di dalam bidang yang dibicarakan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.9.15.