Tuesday, October 24, 2017

BERTANYA ADA MAKNA


DI ANTARA
SOALAN DAN JAWAPAN

PETANG semalam, saya menghadiri program Wacana Sinar yang membicarakan tajuk Apa Sebab Etnik Rohingya Dizalimi? Kali ini saya tidak duduk di barisan hadapan majlis. Sebaliknya saya duduk di bahagian belakang Dewan Karangkraf. Saya sengaja berbuat begitu untuk melihat bagaimanakah perilaku audien di wacana yang ilmiah sebegini.

Seperti biasa, audiennya terdiri daripada kalangan ahli akademik, cendekiawan, pekerja swasta, pesara dan para pelajar universiti. Cuma sedikit perbezaan kehadiran ialah adanya beberapa orang daripada etnik Rohingya yang menemani salah seorang ahli panel, Encik Abdul Ghani Abdul Rahman yang juga Timbalan Presiden, Rohingya Society in Malaysia.

Selain daripada pembentangan hujah ahli-ahli panel, saya tertarik dengan soalan-soalan mencabar yang dilontarkan oleh moderator, Haji Nazri Kahar dari Astro Awani. ‘Kita lebih mudah menilai pemikiran seseorang melalui soalan-soalannya, bukan kepada jawapan-jawapannya,’ kata Pierre Mark Gaston duc de Levis, seorang ahli politik Perancis.

Benar, kita boleh kenal personaliti seseorang dengan cara dia menyoal, pemilihan perkataan serta melalui nada suaranya. Soalan dikatakan sebagai inti utama di dalam bidang ilmu sains dan juga seni. Tanpa bertanya mengapa buah epal jatuh ke tanah, Isaac Newton tidak mungkin menemui hukum graviti. Tanpa menyoal, bagaimana hendak mengumpul habuk yang disapu tanpa ia berterbangan semula, maka Daniel Hess tidak akan terfikir untuk membuat alat penyedut hampagas yang pertama di dunia.

Di dalam berkomunikasi, menyoal itu adalah di antara inti utamanya. Terdapat beberapa jenis soalan yang biasa kita sendiri tanyakan kepada seseorang kerana beberapa tujuan. Yang lazimnya ialah soalan yang dikemukakan kerana hendak mendapat maklumat ataupun hanya untuk berbasa basi. Misalnya, kita bertanya kepada jiran, dia hendak ke mana apabila nampak dia menghidupkan enjin motorsikalnya. Ataupun kita bertanya anak mengenai apa yang dipelajari di sekolah kerana ingin tahu apa yang dilalui si anak. Apabila mendapat jawapan itu, biasanya kita tidak akan bertanya soalan seterusnya.

Ada kalanya kita bertanya untuk menyelidik atau mengesahkan sesuatu perkara. Ia berkait dengan pengalaman yang dilalui oleh orang yang ditanya ataupun mengenai sesuatu berita. Kita bertanya kawan, apakah dia tahu mengenai kemalangan jalan raya yang terjadi di simpang jalan ke pejabatnya. Jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ kawan itu akan mensahihkan berita yang kita terima.

Ada juga suasana bila mana sesebuah soalan itu diajukan untuk menguji tahap pengetahuan seseorang. Ini biasanya terjadi di dalam sesi temuduga pekerjaan. Dalam pada itu, terdapat juga di dalam mana-mana kuliah, akan ada seorang pelajar extrovert yang sengaja bertanya soalan semata-mata untuk menguji tahap pengetahuan si pensyarah.

Kadangkala, kita akan temui juga mereka yang bertanya soalan-soalan yang lekeh. Mereka ini akan kita temui di majlis-majlis ilmu seperti kuliah agama. Saya pernah menemui orang begini di dalam sebuah kuliah haji. Serbannya lebih besar daripada serban si penceramah tetapi soalannya mengenai solat sunat musafir. Daripada nada suaranya, saya dapat mengagak, soalan individu itu bukannya kerana dia tidak tahu. Sebaliknya, soalannya itu adalah untuk pengetahuan para hadirin yang segan untuk bertanya.

Tatkala bertanya, kita tidak seharusnya pula memaksa orang yang ditanya itu menjawab seperti apa yang kita mahu. Jika inilah niat kita bila bertanya, barangkali kita sendiri sudah sedia untuk bertekak. Perkara asas iaitu menyoal untuk mendapat jawapan sudah bertukar kepada perbahasan, malah pertengkaran.

Sebagai orang yang bertanya, kita perlu menghormati jawapan yang dikemukakan oleh orang yang ditanya. Samada jawapannya benar atau sebaliknya, itu adalah hak orang yang menjawab. Namun, seandainya kita tidak berpuashati dengan jawapan itu, kita boleh bertanya untuk menjalurkan kepada jawapan bagi menyelesaikan pertikaian. 

Bertanyalah apa sahaja, tetapi berikan ruang orang yang ditanya itu untuk menjawab mengikut susun kata atau ayatnya. Orang yang ditanya itu pula patut memberi jawapan yang memuaskan hati orang yang bertanya. Tidak cantiklah, jika tidak mahu menjawab, menyoal pun tak boleh!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 25.10.17 di akhbar Sinar Harian.

Tuesday, October 17, 2017

IDEA DI SEBALIK FILEM


APA YANG ADA DI SEBALIK TOMBIRUO

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba, karya Ramlee Awang Murshid yang kini sedang ditayangkan di 115 pawagam-pawagam seluruh tanah air termasuk di Brunei dan Singapura telah berjaya mengutip lebih RM 2 juta meskipun baharu empat hari tayangan. Ia terus menyelit ke carta nombor dua di rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas, salah sebuah rangkaian pawagam yang besar di negara ini. Hebat, kerana filem tempatan telah berjaya mengenepikan filem-filem barat seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.

Apakah rahsia kejayaan filem Tombiruo ini? Di antaranya ialah kerja berpasukan di belakang tabir. Tidak boleh tidak, pasukan yang mengadaptasi novel Tombiruo hingga menjadi sebuah filem yang komersial telah melakukan suatu kerja yang amat berat. Team kreatif yang menterjemah idea novel itu kepada visual memerlukan persefahaman hingga ke dasar minda. 

Orang kreatif penuh emosi dalam mengekspresi idea. Mereka akan berbincang, berdebat dan bertelagah. Kadangkala boleh berkecil-kecil hati. Tetapi itulah adat dalam berkarya. Betapa pentingnya pergeseran dalam melahirkan idea. Pergeseran melahirkan tenaga dan tenaga itulah yang akhirnya memberi nafas kepada filem ini. Akhirnya lahirlah skrip untuk sebuah filem sepanjang 115 minit dari novel setebal 517 halaman.

Para pelakon berpengalaman juga memainkan peranan yang penting untuk menghidupkan watak khayalan penulis dalam bentuk fizikal. Nama-nama seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Dato’ M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi dan Dynas Mokhtar telah berjaya menghidupkan watak masing-masing. Tidak boleh tidak, tenaga di belakang tabir dan yang penting sekali, pengarahan Seth Larney dengan air tangan pengarah bersekutu Nasir Jani telah membentuk sebuah filem wajib tonton bagi semua orang yang kenal bahasa sinema.

Bagaimana dengan promosi dan pemasaran? Pihak Astro Shaw sebagai salah sebuah syarikat yang melabur untuk filem ini bersama Kumpulan Media Karangkraf, Ideate Media dan Layar Sunan sedang berani melakukan iklan yang melangkaui media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram. Itu tidak termasuk promosi di media elektronik televisyen, radio dan billboard. Kesannya besar kerana ia memberi impak maksimum.

Namun, jangan lupa juga kepada kesan kempen tular yang dijalankan oleh Fan Club Ramlee Awang Murshid. Sebenarnya, tidak ada penulis tempatan yang punyai pasukan fan club yang sebegini komited. Mereka berpadu lebih 10 tahun untuk sentiasa memberi sokongan kepada setiap hasil karya penulis kesayangan mereka.

Para AJKnya yang dikenali sebagai RAMbassadors bersama dengan para peminat yang bergelar RAMians ini punyai rangkaian networking yang kemas dalam mengajak para peminat penulis untuk menonton filem ini. Kesannya, di laman-laman sosial terutamanya Facebook, kita akan terserempak dengan status para peminatnya yang menularkan kempen-kempen mereka.

Novel Tombiruo yang terbit pada 1997 itu juga memainkan peranan sebagai alat bantu promosi yang menghangatkan filem itu di pawagam. Sebahagian daripada kalangan penonton filem ini adalah dari kalangan  pembaca novel ini. Novel yang sudah berbelas kali diulangcetak ini nampaknya bakal menerima ledakan jualan kembali, seiring dengan tayangan filem ini.

Betapa pun, yang paling berjaya dari kesemua ini ialah penulisnya sendiri, Ramlee Awang Murshid. Tombiruo diilhamkan daripada nama semangat hutan kepercayaan pelbagai suku kaum di Sabah. Ia adalah suatu kepercayaan karut. Namun, Ramlee berjaya menterjemahkannya menjadi susuk tubuh seorang adiwira penjaga alam.

Sehinggakan apabila nama Tombiruo disebut, konotasinya kini adalah mengenai seorang hero pembela kezaliman manusia terhadap alam. Ramlee nampaknya berjaya memadam imej hantu dan khurafat dari minda masyarakat, khususnya di kalangan generasi muda. Inilah seruan kebaikan yang cuba disampaikan 20 tahun lalu. Kesannya hanya baharu menular pada 2017. Sering kali, sesebuah seruan ke arah kebaikan itu hanya meninggalkan kesan setalah bertahun-tahun kemudian. Semoga Tombiruo tidak dilihat dari teropong riuh-rendah komersial semata-mata. Filem ini punyai isi dan inti.

Tuesday, October 10, 2017

MENJADI BOS BUKANNYA MUDAH


Piccredit: sixth sense

BOS ITU BUKAN HANYA KETUA

DUA tiga hari lalu saya berasa tak selesa. Bukannya kerana tak cukup tidur, tak cukup makan, banyak kerja atau tidak sihat. Sebaliknya, saya berasa tidak selesa sebab terlepas cakap dengan seorang staf saya. Mula-mula saya hanya ingin menegur agar dia cepat dapat siapkan tugasannya. Entah bagaimana, ketika menegur itu, darah saya tiba-tiba naik, maka tersemburlah kata-kata yang laser. Sebagai seorang penghidap hypertensi, saya tertewas kali ini.

Mujurlah tatkala itu kebetulannya kami berada di dalam lif. Jadi, kata-kata keras saya itu hanya seketika dan tiada sesiapa yang ada mendengar atau menyaksikan. Bila pintu lif terbuka, teguran saya itu pun tamat. Betapa pun, saya nampak mata staf saya itu terkelip-kelip kerana bengang. Bengang kerana bingung bila saya menegurnya di dalam lif, bukan di pejabat saya.

Betapa pun, saya menyelesaikan episod menegur tak kena tempat apabila staf itu berjumpa saya kerana tugas. Saya nyatakan bahawa teguran saya itu nothing personal dan harap dia terima secara positif. Alhamdulilah, staf itu sudah pun menerimanya secara positif pada hari saya menegurnya. Maknanya, staf itu tidak pula memendam rasa. Saya pula berasa okey setelah staf itu berjumpa saya.

Sebenarnya, menjadi ketua atau bos bukan sesuatu yang mudah. Secara zahir, bos menyuruh dan stafnya pula yang menyiapkan kerja. Namun, secara lebih terperinci, seseorang bos itu memandu organisasinya dengan cara menyuruh, membimbing dan juga memantau seluruh operasi Jabatan agar mencapai matlamatnya. Dalam proses itu, tindakan seorang bos juga adalah menegur, malah menghukum mana-mana tugasan staf yang tersasar daripada yang dirancang.

Betapa pun, jika tugas seseorang bos itu hanya berperanan sebagai pemangkin agar staf organisasinya dapat mencapai matlamat, maka bos yang sedemikian itu patut digantikan dengan robit sahaja. Ini adalah kerana bos juga punyai peranan yang lebih luas skopnya. Di antaranya ialah aura kehadirannya.

Saya pernah  melawak kepada staf saya yang saya ini berketurunan malaikat. Ia adalah kerana, staf-staf saya yang sedang rancak berbual boleh memperlahankan suara atau diam sama sekali sebaik sahaja saya tampil menghampiri mereka! Meskipun saya tidak mahu mereka menghentikan perbualan apabila saya berada dekat dengan mereka, namun sebenarnya ia okey kerana itu menggambarkan rasa hormat mereka kepada saya.

Saya tidak minta dihormati. Tetapi bayangkan seandainya staf-staf saya rancak berbual dengan gelak ketawa tanpa mempedulikan saya, apa pula tafsiran saya terhadap mereka dan tentu mereka tidak mahu dilihat sebagai orang yang tidak hormatkan ketua.

Ketua juga adalah pembimbing. Dia harus menggamit stafnya agar sama-sama menjalankan tugas. Setelah stafnya dilihat boleh melakukan sesebuah tugasan, dia harus memberi sepenuh kepercayaan kepada stafnya itu untuk menyudahkan kerjanya. Yang penting, tugas itu siap. Bagaimana ia disiapkan pula adalah mengikut cara pilihan atau preference seseorang staf itu. Bukannya hanya menggunakan satu jalan. Sebaliknya dengan pelbagai cara dan pendekatan.

Sebagai seorang ketua, peranannya juga seharusnya seperti seorang pemimpin yang memahami. Keadaan pada hari ini memerlukan seseorang staf sentiasa dapat dihubungi meskipun di luar waktu pejabat. Jika itulah kehendak masakini, seseorang bos juga perlu memahami masa staf dengan anggota keluarganya menjadi semakin terhad.

Kerana itu, jika seseorang staf terpaksa menyimpang seketika tugasnya sebagai suami, ibu atau bapa, maka bos perlu mengerti.  Malah, pada banyak ketika,  dia perlu menjadi tempat mengadu. Tidak banyak sedikit, dia perlu memahami bahawa stafnya itu juga manusia yang perlu menemani isterinya ke kelinik, terpaksa menghadiri perjumpaan guru dan ibubapa pelajar atau semudah menjawab telefon daripada anak saudaranya yang baharu datang ke kota untuk menghadiri temuduga. Dan, tentulah apabila stafnya membawa anak ke pejabat pada hujung minggu, dia pula harus dilihat sebagai datuk agar anak itu selesa dengan kehadirannya.


Mengapa saya menulis hal begini pada minggu ini? Oh ya. Esok, dua orang staf saya, Siti Shahrosamirah Shaharman dan Mohamad Shamsul Abd Ghani  akan berangkat ke Bangladesh untuk membuat liputan mengenai krisis Rohingya. Begitulah perasaan saya apabila ada di antara staf saya yang akan berjalan jauh. Perasaan seorang bos itu kadangkala boleh berubah menjadi bimbang seorang ayah akan keselamatan anak-anaknya. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 11.10.17.

Tuesday, October 3, 2017

NEGARA TIADA PEMIMPIN

-->

MALANGNYA BILA
KITA TIADA PEMIMPIN

SEHINGGA kini, jumlah pelarian etnik Rohingya yang menyeberangi sempadan Myanmar untuk masuk ke Bangladesh sudah melebihi setengah juta. Mengikut laporan media, jumlah mereka akan bertambah. Keadaan ini kian menyulitkan usaha mengatur bajet bantuan kemanusiaan. Belum pun jumlah sebenar dibanci, mereka yang baru tiba dari  Myanmar semakin meningkat.

Jika kita perhatikan, pelarian etnik Rohingya ini bagai ayam kehilangan ibu. Mereka berjalan mengikut yang di hadapan. Berminggu-minggu mereka merentas hutan dan menyeberangi sungai dan akhirnya dapat membolos sempadan. Soalnya, sebaik sahaja tiba mereka ke tanah Bangladesh, mereka disambut petugas-petugas kemanusian di kalangan pasukan NGO yang terdapat di sana.

Tiada sesiapa pun dari kalangan mereka sendiri yang tampil untuk memberi kata-kata penenang hati, kata-kata nasihat, apatah lagi kata-kata semangat agar mereka tahu bahawa mereka hanya lari buat sementara. Ucapan-ucapan bahawa suatu hari nanti, mereka akan kembali ke tanah tumpah darah mereka. Itulah harapan yang tersemat di hati sesiapa yang meninggalkan tanah tumpah darah masing-masing secara paksa. Lihatlah wajah-wajah layu mereka. Kita nampak mereka kesemuanya kebingungan. Tak tahu apa nak buat kerana tiada pemimpin di kalangan mereka.

Inilah bezanya golongan teraniaya Rohingya dengan lain-lain golongan yang teraniaya. Rakyat Palestin yang tertindas punyai pemimpin agung mereka seperti Yasser Arafat ataupun Sheikh Ahmad Yassin. Rakyat Afrika Selatan yang berdepan dengan dasar apartheid juga punyai pemimpin agung iaitu Nelson Mandela. Kemudian, pemimpin-pemimpin seperti Mahatma Ghandi(India), Che Guevara(Cuba), Ayatollah Khomeini(Iran) dan Aung San Suu Kyi sendiri untuk negara Burma.

Etnik Rohingya tiada pemimpin besar yang boleh menjadi ikon; penyuluh masa depan dan pembara semangat mereka. Saya menelusuri laman-laman mengenai golongan itu dan tiada menemui walau seorang pemimpin besar yang boleh mewakili kaumnya. Masya-ALLAH tiada! Itulah padah dan kasihannya jika sesuatu kaum itu tiada pemimpin. 

Tatkala menyertai forum mengenai Rohingya di UNiMAP minggu lalu, saya utarakan persoalan ini kepada panel forum Prof. Madya Dr. Iqbal Omar, yang juga dari etnik Rohingya. Beliau mengakui ketiadaan pemimpin besar di kalangan mereka yang boleh menjuarai perjuangan membela nasib anak bangsa. Sesungguhnya keadaan ini amat unik dan juga malang. Kita patut renungkan realiti ini.

Kita yang berada di Malaysia pula punyai jumlah para pemimpin yang melimpah ruah. Kita ada pemimpin di peringkat kampung, mukim, daerah, negeri dan juga negara. Malah, setiap bangsa, kaum dan suku pun punyai pemimpin yang tersendiri. Namun, meskipun punyai begitu ramai pemimpin, semakin ramai juga mereka yang berebut untuk menjadi pemimpin.

Mahu atau tidak mahu, suasana over-politiking di negara kita juga menggambarkan betapa sengitnya pertarungan mereka yang ingin menjadi pemimpin kerana kita punyai jumlah pemimpin yang ramai. Daripada sudut ini, kita berasa bertuah sekali kerana masa depan kita bakal terbela untuk seribu tahun lagi! Silap-silap, kitalah sesuatunya bangsa yang punyai lebih ramai pemimpin daripada pengikut!

Namun, menjadi pemimpin itu sendiri bukannya matlamat. Pemimpin perlu bertanggungjawab, bukan bertanggungsoal! Pemimpin, tugasnya mencari jawapan kepada masalah pengikutnya. Mereka tidak patut mempersoal pengikut mereka pula seperti sebilangan daripada kalangan pemimpin kita!

Pemimpin yang begini sebenarnya tidak menyumbang kepada masa depan para pengikutnya. Malah, mereka pula menyusahkan para pengikut mereka. Oleh itu, tiada gunanya punyai pemimpin yang ramai tetapi bukan untuk membela sebaliknya menipu pengikut. Jika sedemikian, apa bezanya etnik Rohingya yang tiada pemimpin yang baik dengan kita yang punyai ramai sekali pemimpin tetapi ada yang tergamak memijak golongan yang mereka pimpin!

Betapa pentingnya pemimpin itu kepada sesuatu bangsa seperti juga pentingnya pengikut kepada seseorang ketua. Ilmu dan sains kepimpinan mesti menjadi suatu subjek yang wajib dipelajari dan diajar di mana-mana sekolah. Ia bukannya bakat yang boleh muncul begitu-begitu sahaja kerana cabaran dan tekanan yang di hadapi oleh seseorang pemimpin itu bukannya mudah. Jangan tiada pemimpin seperti etnik Rohingya. Jangan pula over-over ramai pemimpin seperti di Malaysia!

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.10.17.