Tuesday, March 26, 2013

DIINGATI WALAU DIBENCI


 
Photo credit: callcenterhelper.com
BERUBAH UNTUK
TERUS
LESTARI

PADA tahun-tahun 60an dahulu, tidak terdapat banyak jenama sabun di pasaran. Ketika itu, jenama-jenama sabun yang popular hanyalah Swastika, Cap Kapak dan Sunlight. Sabun ini berbentuk buku. Pada waktu itu ia bukan sahaja digunakan untuk membasuh baju. Malah, sabun caustic ini juga dipakai untuk membasuh pinggan, mandian mahupun sebagai syampu!

Apabila sabun mandi berbentuk buku seperti Lux, Lifebuoy dan Palmolive menjelma sebagai satu kategori sabun, jenama sabun buku Swastika, Cap Kapak dan Sunlight tidak lagi digunakan sebagai sabun mandi. Begitu juga, apabila kategori sabun syampu seperti Sunsilk, Johnson dan Kao muncul, sabun caustic tidak lagi digunakan sebagai syampu.

Kemunculan sabun basuh baju berbentuk serbuk seperti Breeze, Fab dan Drive mengecilkan lagi peranan sabun buku. Kini, bila terdapat sabun cecair untuk membasuh pinggan seperti Vim, Glo dan Axion, penggunaan sabun basuh berbentuk buku sudah dianggap ketinggalan.

Sesuatu yang unggul dan serbaguna pada suatu masa dahulu tidak lagi menjadi ajaib lagi. Keadaan pada hari ini sungguh berbeza. Perkembangan dan pertumbuhan produk begitu mendadak. Ia dikatakan sebagai brand explosion. Kini terdapat berpuluh-puluh jenama minyak rambut, makanan tambahan, pakaian, kereta, seterika, telivisyen, komputer, kamera, telefon bimbit, mesin basuh, alat hawa dingin, pensil dan pen.  Sebut apa sahaja produk; kita akan dapati berbelas-belas jenama dalam kategorinya.

Banyaknya produk daripada kategori yang sama membolehkan pengguna membuat pilihan mengikut selera semasanya. Konsep kesetiaan pada jenama atau brand loyalty semakin kabur kerana tabiat membeli produk yang sama bukan menjadi psiko-pilihan pengguna lagi. Pengguna pada hari ini mahu sahaja mencuba sesuatu yang baru.

Perkembangan kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur adalah contoh betapa kian rapuhnya pilihan pengguna terhadap gedung-gedung itu. Jika pada tahun-tahun 70an, pusat membeli-belah Campbell menjadi pilihan, tumpuan pengguna beralih apabila Kompleks Pertama dibina. Sekali lagi apabila kompleks Sungai Wang baru dibuka, ia menjadi popular. Ini diikuti dengan gedung The Mall, Alpha Angle, Subang Parade dan Mid-Valley. Kini, terdapat berbelas-belas lagi pasaraya berjenama, tidak termasuk hypermarket seperti Giant, Tesco, Mydin dan Aeon. Yang jelas, apabila terdapat pasaraya yang baharu, populariti gedung yang ada akan menurun.

Justeru, bagaimanakah sesebuah jenama itu boleh mengekalkan popularitinya supaya akhirnya ia mengekalkan kelestariannya? Perubahan. Itulah jawapannya. Sama ada ia perubahan luaran mahupun dalaman, perubahan akan tetap menarik perhatian. Namun, yang penting, perubahan itu mestilah yang menerbitkan persepsi baik, tidak kira sama ada ia bagus mahupun sebaliknya.

Salah satu jenama stesen televisyen yang sentiasa berubah adalah TV3 yang muncul di pasaran pada tahun 1984. Ia berani menghadapi gergasi televisyen berbayar Astro yang hadir pada tahun 1996 dengan puluhan saluran. Media Prima sebagai syarikat induknya membeli dan menubuhkan stesen 8TV, TV9 dan ntv7, cukup untuk melebarkan sayapnya hingga dapat bertahan menjadi salah sebuah stesen pilihan pengguna.

Faktor yang penting agar sentiasa kekal di mata dan hati orang lain ialah tindakan untuk sentiasa berubah. Andainya tidak berubah, kita tidak akan menjadi pilihan lagi. Seperti kata Rich deVos, seorang tokoh perniagaan Amerika, “Hidup ini seperti berdiri di atas eskalator yang menurun. Andainya kita tidak menapak ke atas, kita akan menggelongsor ke bawah.”

Pemikiran pengguna pada hari ini pula semakin pelik. Jika dahulu, mereka lupakan sahaja apa yang mereka tidak mahu. Kini, pengguna akan sentiasa komplen apa yang mereka tidak suka walaupun itu bukan pilihan mereka lagi. Mereka mengingati, walaupun membenci.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.3.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, March 19, 2013

MENGKRITIK DIRI


 
Photo credit: marretcounselling.com 
APA HENDAK BUAT
BILA DIMARAHI?

SEMUA orang mempunyai sifat marah. Ia adalah emosi kasar yang berpunca dari rasa tidak puas hati atau rela terhadap sesuatu atau seseorang. Perasaan marah berbeza daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Ada orang marah dalam diam. Ia seperti api di dalam sekam; sentiasa membakar. Jika tidak dilepaskan, ia bertukar menjadi dendam.

Ada yang cepat marah dan cepat redanya marahnya seperti letupan bom. Ia meletus dan padam tidak lama kemudian, hinggakan orang yang dimarahi jadi hairan mengapa orang yang memarahinya itu boleh tersenyum dan berbual mesra dengannya tidak sampai beberapa minit dia dibambu.

Kajian psikologi perlakuan manusia banyak memperkatakan mengenai marah dan cara mengawalnya. Daripada sudut agama juga marah dilihat sebagai sesuatu yang berpunca daripada angkara nafsu. Pendek kata, banyak sekali diperkatakan mengenai si pemarah dan cara-cara mengawal kemarahan.

Tetapi, bagaimana pula cara-cara menangani situasi bila dimarahi atau di pihak yang kena marah? Mengapa sedikit sangat kita menyelidik ke atas pihak yang kena marah? Bukankah kemarahan itu di antara dua pihak?

Saya berminat untuk membicarakan mengenai kemarahan dalam bentuk lisan dan tulisan. Kemarahan dalam bentuk fizikal pula tidak perlu dibincangkan kerana ia begitu mudah ditangani. Ada tiga cara menghadapi kemarahan secara fizikal apabila orang yang marah itu bertindak secara fizikal. Pertama, melawan. Kedua, bertahan. Ketiga, angkat tangan!

Biasanya, apabila dimarahi, seseorang itu akan menerima hujan kata-kata. Dia mendengar laungan suara yang tinggi dan kuat lagi membingitkan. Ataupun, dia mendengar bebelan dan leteran yang perlahan tetapi menghiris perasaan. Segala kata nista, maki hamun dan cerca menjadi perkataan pilihan orang yang memarahi.

Mungkin juga peribadi orang yang dimarahi itu dihina. Mungkin sekali datuk, nenek, ibu, bapa dan bangsa menjadi simbol-simbol yang dipilih untuk menggugat dan meruntuh perasaan dan harga diri orang yang dimarahi. Oleh itu, bagaimana mengawal perasaan apabila dimarahi?

Andainya kita salah, dengar sahaja sehingga orang yang memarahi reda kemarahannya. Ia pasti berlaku kerana sukatan hormon adrenalinnya terhad pengeluarannya dalam sehari. Apabila adrenalinnya habis, dia akan letih, lemah dan berpinar kepalanya. Wajah welfare, tundukkan kepala, diam tidak menjawab dan kemudiannya meminta maaf serta mengaku salah adalah ubat yang paling mujarab dalam menangani situasi bila dimarahi.

Bila kita bertemu kembali orang yang memarahi pada tempoh berikut, sama ada sejam ataupun pada keesokan hari, buatlah seperti biasa dan mesra. Pasti orang yang memarahi sukar naik angin lagi dengan kita. Sebabnya, dia akan timbul rasa kagum terhadap kita  yang tidak ambil hati dengan kemarahan dia. Kemarahannya pada waktu lain kelak akan rendah tahapnya.   

Bagaimana pula, jika kita dimarahi walaupun kita tidak bersalah? Kita akan geram dan akan menjawab. Ia boleh jadi berpanjangan andainya orang yang marah itu tinggi egonya dan tidak mahu mengaku kalah. Pertengkaran itu memenatkan. Berhujahlah dengan tenang. Kendurkan suara serendah-rendahnya hingga suaranya akan ikut rendah, petanda kemarahannya beransur hilang.

Betapa pun, pada hari ini, alam siber menjadikan situasi yang kompleks berlaku apabila kita tidak kenal orang yang memarahi kita. Tindakan dan fikiran kita dikritik habis-habisan. Kepakaran kita dipersoalkan. Hujah-hujah kita diperlekehkan. Perlu diingat, orang yang tinggi ilmunya tidak akan mempamerkan kehandalannya dari jauh, kecuali jika berdepan satu lawan satu. Pada hari ini kita dapati begitu ramai yang membawa debat di kedai kopi di alam siber dengan ilmu tidak setinggi mana.

Yang menjadi masalahnya ialah apabila kita pula mengambil hati, tergugat perasaan hingga sakit jiwa apabila dimarahi dalam bentuk tulisan dari orang yang tidak dikenali itu. Sebenarnya, kita yang rugi masa apabila terkesan dengan apa jua kemarahan orang lain.

Rugi kerana tidak sedar bahawa orang yang memarahi kita melalui tulisan dengan bahasa yang pedih dan menghiris itu cepat lupa. Sebaik sahaja dia berhenti menulis dan menutup komputernya, dia akan minum kopi, makan kuih, menonton televisyen, membaca akhbar atau bersembang tentang masak memasak dengan rakannya. Apa yang ditulisnya sebentar tadi, walau betapa keras, pedas dan tegas itu sudah dia lupakan. Dia sebenarnya hanya melepas perasaan.

Apabila marah, seperti hendak runtuh dunia. Sesaat kemudian, boleh bercakap tentang akhirat. Apakah kita tidak tahu. Haha, bukankah kita juga selalu begitu?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.3.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, March 12, 2013

MEMBENTUK GENERASI


 
Photo credit: shofiqolbu.wordpress
HIDUPKAN SEMULA
BUDAYA BERCERITA

BERCERITA adalah satu budaya yang wujud di kalangan pelbagai masyarakat di dunia. Sejak di zaman batu pun, bercerita adalah satu cara untuk menyampaikan sejarah sesebuah kaum melalui lakaran di dinding-dinding gua. Bila zaman beralih, terdapat golongan yang menjadi tukang cerita atau penglipur lara. Selain berhibur, cerita disampaikan golongan ini kepada raja mahupun rakyat sebagai teladan mahupun sempadan.

Kanak-kanak adalah golongan yang amat sukakan pada cerita. Mereka memperoleh pengetahuan dan ilmu melaluinya. Kisah dongeng, sejarah bangsa, negara dan hero disampaikan oleh ibubapa kepada mereka. Daripada berceritalah seseorang anak dapat dibentuk akhlak dan budi pekertinya.

Generasi pertama pasca merdeka masih banyak belajar sejarah negara, bangsa dan keluarga daripada apa yang disampaikan oleh datuk nenek atau ibubapa masing-masing. Pergolakan yang berlaku terhadap mereka di zaman Jepun, British,  komunis,  konfrontasi Malaysia-Indonesia dan pergolakan kaum pada tahun 1969 merupakan kehidupan yang penuh dramatik.

Pengalaman mereka sendiri pada zaman tersebut sudah cukup menggerunkan kerana penceritanya, sama ada datuk, nenek, ibu dan bapa adalah mereka yang terlibat secara langsung. Ini memberi kesan pengajaran yang hebat kepada anak-anak untuk mempercayainya.  Apatah lagi ia disampaikan secara live oleh pelakunya iaitu orang tua sendiri. Bukannya cerita orang lain. Kerana itu, anak-anak yakin mematuhi ingatan dan amaran  yang diselitkan oleh orang tua.

Pada hari ini, cerita dongeng dan kisah sejarah diperolehi dengan mudah melalui buku, filem mahupun secara online. Ia sudah mengambil-alih budaya bercerita. Kesibukan ibubapa menjadikan budaya bercerita itu terputus. Mereka terlupa untuk menyambung budaya bercerita yang telah membentuk peribadi mereka sendiri kepada anak-anak mereka pula.

Akibatnya, seseorang anak itu tidak akan berasa bersalah memilih cerita apa yang dia suka.  Tentu sekali pilihan mereka tersasar dari jalur-jalur cerita yang mempunyai nilai-nilai jatidiri. Malah, cerita rekaan jauh lebih banyak memenuhi menu santapan minda anak-anak daripada kisah benar.

Bila Hollywood dan yang sejenis dengannya mengambil tempat sebagai pencerita, hiburanlah yang menjadi sampah santapan minda si anak muda. Berperang dengan menembak tanpa henti ala-Rambo, hero yang tidak mati ala-John McClane; Die Hard atau peperangan yang meruntuhkan segala pencakar langit ala-Transformers, menjadikan anak-anak muda melihat peperangan sebagai keseronokan.

Apabila pergolakan di Lahad Datu terjadi, anak-anak yang merujuk adegan perang persis filem perang atau permainan video ala Call of Duty,  mereka hairan, tertanya-tanya dan mempersoalkan mengapa terlalu sedikit yang maut? Tidak beratus-ratus seperti yang mereka lihat di filem dan yang mereka bunuh dalam permainan video. Mereka pelik, bagaimana ada pihak hero (PDRM & ATM) boleh gugur. Dalam filem, hero tidak mati. Dalam permainan video, bila game over, permainan boleh diulang kembali. Yang mati boleh dihidupkan semula.

Mereka mahu segala strategi dan maklumat Ops Daulat diketahui sepenuhnya seperti mereka tahu segala jenis senjata dan peralatannya dalam permainan video. Kerana itu, mereka tidak dapat menerima penerangan bahawa atas sebab-sebab keselamatan, strategi operasi tidak boleh dihebahkan.

Malangnya, oleh kerana terbiasa dengan dunia fiksyen, anak-anak muda tidak dapat membezakan apa yang terjadi di Lahad Datu adalah realiti. Sebab itulah, segala cerita yang kontroversi dan tidak pasti kesahihannya ditelan bulat-bulat. Malah, mereka menyebarkan apa yang mereka jangkau di internet tanpa menilai sama ada ia fakta mahupun fitnah.

Kita yang dewasa berasa marah dengan anak muda. Mengapa mereka sanggup menyebarkan apa yang tidak benar? Mengapa mereka sanggup memperlekeh pasukan keselamatan yang seharusnya diberi sokongan moral pada saat-saat mereka mempertaruh nyawa? Mengapa mereka tidak patriotik seperti kita?

Salah siapa? Salah kita juga. Kita hentikan budaya bercerita kerana kita terlalu sibuk. Biarlah cerita datuk, nenek, ibu dan bapa itu kita simpan sendiri. Itu kan, kisah silam. Biarlah buku, televisyen, filem dan internet mengganti peranan kita sebagai pencerita. Tetapi akibatnya, anak-anak muda kita pada hari ini tenggelam dalam dunia fiksyen. Mereka tidak pernah didengarkan kisah suka, kisah luka dulu kerana kita yang memerapnya. Kononnya, biarlah anak-anak kita senang hati. Tetapi akhirnya, kita makan hati dengan perilaku mereka tidak mengerti makna akar diri.

Walaupun agak terlewat, kita kena hidupkan kembali budaya bercerita kepada anak-anak kita.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.3.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, March 5, 2013

MELALUI ZAMAN ANCAMAN BERSENJATA


Photo credit: murkiester.com
KITA JUGA
BENTENG PERTAHANAN

SEJAK mula kumpulan penceroboh bersenjata memasuki perairan negara dan berkumpul di Kampung Tanduo, Lahad Datu, saya sudah berasakan situasi  tegang sebegitu akan memakan minggu. Pertempuran dan tembak menembak yang mengakibatkan kematian 8 orang anggota pasukan PDRM meningkatkan lagi suhu ketegangan. Dan, apabila tawaran berunding ditutup diikuti dengan serangan pasukan keselamatan negara pada pagi semalam, saya terus terimbau suasana ancaman bersenjata yang pernah saya lalui.

Pada tahun 1964, sebaik sahaja melangkah ke darjah satu, saya tercengang bila melihat tingkap-tingkap kaca sekolah ditampal dengan kertas surat khabar dalam bentuk berpetak-petak. Cikgu kata, ia adalah untuk mengelak kaca-kaca itu berderai bila terkena peluru. ‘Peluru?’ Tanya murid-murid lain dengan mata membulat.

Cikgu bercerita, Malaysia dan Indonesia sedang berkonfrontasi. Malaysia akan diserang oleh tentera Indonesia. Mereka mahu ganyang Malaysia. Oleh kerana itu, kami semua diingatkan untuk menjaga keselamatan. Pada hari-hari berikutnya pihak sekolah membuat latihan kecemasan apakah tindakan yang mesti dilakukan apabila sekolah diserang musuh.

Apabila terdengar loceng berbunyi panjang, kami semua diarah untuk berlari dan bersembunyi di dalam parit. Ketika budak-budak, inilah peristiwa yang paling menyeronokkan. Sambil menyorok, boleh gelak-gelak dan geletek kawan-kawan hingga dimarahi cikgu. Tidak takut pun akan bahaya peperangan.

Suasana ketika itu agak tegang. Setiap malam, emak dan abang akan dengar radio. Kadangkala dapat juga gelombang radio dari Indonesia. Kami mendengar propaganda juruhebah Indonesia yang  mencemuh Malaysia. Radio Malaysia turut juga dengan perang saraf untuk menyakinkan rakyat, negara ini tidak akan sekali-kali menyerah kalah.

Pada waktu pagi, siaran radio akan dipenuhi dengan lagu-lagu patriotik dan march seperti lagu Malaysia Berjaya, Samudera Raya, Bahtera Malaysia dan Perajurit Tanahair yang lebih dikenali sebagai lagu Inilah Barisan Kita. (Walaupun sudah berpuluh tahun berlalu, saya masih hafal senikatanya dan akan bernyanyi dengan bangga bila memainkannya di YouTube).

Emak pula selalu bercerita kesengsaraan hidup bila Malaya ditawan tentera Jepun. Ramai rakyat hidup dengan makan ubi kayu, memakai baju diperbuat daripada kain guni, batang pisang, malah daun nanas. Emak yang ketika zaman Jepun masih remaja, terpaksa menconteng arang ke muka untuk kelihatan hodoh agar tidak diperkosa tentera Jepun.

Saya turut lalui zaman ancaman komunis pasca merdeka yang aktif pada tahun-tahun 60an-70an. Pembunuhan Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati oleh anasir komunis pada pada Jun 1974, peristiwa Tugu Negara dibom pada tahun 1975 dan serang hendap komunis ke atas tentera kita, antaranya di Gubir, Kedah dan Grik, Perak masih kekal dalam ingatan.

Dan, tentu sekali peristiwa 13 Mei 1969 juga adalah period yang membimbangkan. Saya masih ingat pelekat bertulis, ‘Jangan Dengar Khabar Angin,’ yang diedarkan oleh pejabat pos secara percuma mengingatkan orang ramai agar tidak panik dengan berita palsu. Saya ingat lagi Majlis-majlis Muhibbah yang diadakan di balai-balai raya dan dewan orang ramai beberapa bulan kemudian, di mana setiap kaum beramah mesra untuk meredakan ketegangan kaum.

Tamatnya konfrontasi Malaysia-Indonesia dengan perjanjian perdamaian pada tahun 1966, berlalunya peristiwa 13 Mei 1969 dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1974  untuk menghapus kemiskinan dan menyusun masyarakat sebagai strategi integrasi nasional dan tamatnya pemberontakan komunis pada tahun 1989 melalui perjanjian Haadyai, menjadikan ancaman bersenjata tinggal dalam lipatan ingatan.

Bila terjadi pula ancaman bersenjata di Lahad Datu, saya teringat juga bagaimana rakyat Malaysia teguh berdiri di belakang pasukan keselamatan melalui peristiwa ancaman komunis, konfrontasi dan peristiwa 13 Mei 1969. Pasukan PDRM dan ATM; merekalah yang akan menjaga keselamatan negara buat sekian kalinya. Selama ini mereka berjaya kerana rakyat sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada mereka. Kita juga benteng pertahanan.

Anak-anak muda pada hari ini seharusnya membuka kembali buku sejarah atau melayari sahaja internet untuk mengetahui dan menghayati zaman hitam lagi getir yang orang tua kita alami. Tidak perlu menjadi keyboard warriors atau armchair heroes yang bagai tahu semua, tetapi mempersoalkan  perwira di medan pertempuran yang sebenar. Ingatlah, kita pasti punyai saudara, orang kampung atau kawan yang menjadi anggota keselamatan. Setidak-tidaknya kita punyai kenalan yang bersaudara dengan hero-hero kita di perbatasan. Jangan lukai hati mereka.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.3.2013, insya-ALLAH...