Tuesday, November 28, 2017

MENGATUR MASA

piccredit: linkedln

TIGA JENIS
PERSEPSI MASA

SEKALI-SEKALA, saya akan bertemu dengan ahli politik yang berjawatan menteri. Selalunya, daripada apa yang saya perhatikan, mereka adalah di antara orang yang sibuk dengan pelbagai tugas kerana ruang lingkup peranan mereka yang luas. Seseorang menteri adalah juga seorang pemimpin di peringkat kawasan kampungnya, di peringkat negeri dan juga di peringkat nasional.
Dia mungkin mengepalai beberapa jawatankuasa di peringkat kabinet, peringkat kementerian dan juga penaung di pelbagai pertubuhan. Yang pastinya, dia adalah juga ketua keluarga yang punyai puluhan saudara-mara, kaum kerabat dan pengikut yang harus diberi perhatian. Dalam pada itu, dia juga manusia yang perlukan masa untuk makan, minum, tidur, beribadah atau menunaikan hajat.
Benar, seseorang menteri biasanya ada beberapa orang pegawai yang membantunya. Dia ada pembantu peribadi, pengawal peribadi, pegawai khas, setiausaha, setiausaha akhbar dan setiausaha politik. Pegawai-pegawai itulah yang mengatur aktiviti sehariannya.
Mereka jugalah yang mengatur dengan siapa dia harus bertemu dan selama mana dia harus melayaninya.  Pada banyak ketika, pak menteri terpaksa akur dengan apa yang pegawai-pegawainya aturkan. Meskipun letih, mereka bagai sekumpulan jurulatih yang memaksa ahli olahraganya untuk terus berlari!
Daripada sudut pengurusan masa, seseorang yang diatur masanya akan menjadi manusia yang produktif. Ahli-ahli sukan profesional, anggota pasukan beruniform mahupun para pelajar di sekolah asrama penuh bisa menjalani satu-satu hari yang padat dengan aktiviti fizikal, mental dan juga spiritual.
Bagaimana pun, kita sebagai manusia biasa yang tidak punyai disiplin sebegitu, bagaimanakah kita memperoleh produktiviti apabila mengatur aktiviti harian mengikut sukatan masa? Semuanya bergantung dengan bagaimana kita melihat masa itu sendiri. Saya tidak mahu menyentuh masa daripada sudut fizik yang diutarakan oleh Stephen Hawking.
Saya hanya ingin menyentuh masa daripada sudut persepsi. Bagi saya, kita punyai tiga jenis persepsi masa iaitu masa fizikal, masa mental dan masa spiritual. Masa yang dilihat daripada persepsi fizikal itu menurut detikan jarum saat, minit dan jam yang dapat kita tatap pada jam dinding. Secara logiknya, masa menurut persepsi fizikal itu bergerak mengikut aturan pada kadar kelajuan tertentu. Ramai di kalangan kita menyukat waktu seharian menurut waktu fizikal ini. Jika kita tidur pada jam 10.00 malam dan bangun pada jam 4.00 pagi, itu bererti kita tidur selama 6 jam.
Jika waktu yang tertera di aplikasi waze mengatakan kita akan sampai ke destinasi dalam tempoh 30 minit, sedangkan temujanji kita bermula 20 minit lagi, itu bermakna kita akan lewat 10 minit. Waktu menurut persepsi fizikal ini, amat tepat bagi mereka yang mengikut aturannya. Malah, kita yang mengamalkannya akan memancung masa bagi satu-satu aktiviti.
Orang barat mengamalkan masa menurut persepsi fizikalnya. Kita boleh lihat keadaan ini biasanya dalam filem-filem Hollywood. Pada adegan dalam sebuah kelas, pensyarah yang bercakap akan terus berhenti dan para pelajarnya akan bangun meninggalkan kelas sebaik sahaja loceng berbunyi.
Masa mengikut persepsi mental pula lazimnya lebih longgar. Tiada waktu tepat yang jadi pengukur. Yang ada hanyalah waktu menurut zon aktiviti. Kita lakukan sarapan pada waktu pagi, buat temujanji dengan seseorang pada waktu makan tengahari, berdiskusi selepas asar dan berbincang mengenai kenduri keluarga selepas pulang dari surau. Tiada angka jam disebut di dalam setiap aktiviti ini.
Aktiviti masa menurut persepsi mental ini lebih santai. Kita lebih memanusiakan diri berbanding dengan waktu menurut persepsi fizikal yang agak robotik. Namun, oleh kerana variasi waktunya tidak khusus, pembaziran masa akan berlaku terutamanya di antara dua aktiviti. Maknanya, ada kelompangan masa yang tidak digunakan di antara aktiviti yang sedang dilakukan dan yang berikutnya.
Bagaimana pun, masa menurut persepsi spiritual pula agak unik. Masanya lebih spesifik seperti masa menurut persepsi fizikal. Tetapi aktivitinya pula lebih santai daripada masa mengikut persepsi mental. Kita yang menggunakan masa menurut persepsi spiritual ini lebih produktif kerana mendapat hasil aktiviti yang berkualiti.
Ini adalah kerana, aktiviti mengikut persepsi spiritual ini dipandu oleh waktu-waktu solat. Waktu solat itu memancung aktiviti kita. Aktiviti kita itu bukan berhenti pada jam 1.00 tengahari. Sebaliknya aktivitinya berhenti secara spesifik pada jam 1.14 tengahari misalnya, sebaik sahaja masuk waktu zohor. Begitulah juga aktiviti-aktiviti seterusnya yang bermula selepas solat dan berhenti sebelum solat berikutnya. Kita mula tidur dan bangun juga menurut waktu solat.
Kita akan lebih produktif dan tidak mudah letih kerana kita punyai keberkatan masa kerana masa menurut persepsi spiritual itu akan sempat membereskan banyak perkara. Ini adalah kerana masa menurut persepsi spiritual itu tunduk kepada arahan-NYA yang mencipta masa itu sendiri.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.11.17.


Tuesday, November 21, 2017

APAKAH KITA BERLAKON?


MAHIR MEMAINKAN
PERANAN SEHARIAN

DALAM hidup, kita perlu memainkan pelbagai peranan. Peranan-peranan ini kita ketahui secara perlahan-lahan melalui pengalaman dan juga apabila ia diajar oleh ibubapa mahupun guru. Sewaktu kecil, kita diasuh sebagai anak. Ibu mengajar kita betapa perlunya kita menghormatinya. Kita diberitahu juga agar menghormati bapa. Tidak boleh melawan kedua-duanya kerana nanti dikatakan derhaka kepada mereka.
Kita juga belajar memainkan peranan sebagai adik, kakak mahupun abang menurut kedudukan kita. Di dalam keluarga, kita belajar mengenai mereka yang berpangkat datuk, nenek mahupun emak saudara. Mereka yang lebih tua perlu dihormati. Andainya tidak setuju, paling tidak pun tidak boleh melawan mereka.
Kemudian, kita belajar memainkan peranan sebagai kawan kepada anak-anak jiran tetangga. Kita juga mengenali mereka yang lebih tua di dalam keluarga jiran-jiran kita. Melangkah ke alam persekolahan, kita belajar memainkan peranan sebagai murid kepada guru dan kawan-kawan rakan sebaya di dalam darjah. Begitu jugalah apabila menjejakkan kaki ke kolej. Semakin dewasa, perhubungan kita dengan manusia lain menjadi semakin kompleks.
Sebagai orang dewasa, kita memainkan pelbagai peranan dalam satu-satu hari. Di rumah kitalah suami atau isteri, bapa atau ibu. Di pejabat, kita adalah orang bawahan bos besar, bos kepada pekerja bawahan dan juga berperanan rakan sekerja. Ketika membeli-belah, kita adalah pelanggan. Dalam komuniti, kita adalah ahli, makmum di surau dan jiran kepada jiran.
Memainkan peranan ini perlukan kemahiran. Semua ini perlu kita lakukan dengan penuh kesedaran. Daripada suatu segi, kita bagai seorang pelakon yang perlu berubah keperibadian demi menyesuaikan diri dengan keadaan.
Jika kita tidak menyedari peri pentingnya memainkan peranan ini, maka kita akan mudah mentertawa, malah mempersenda mereka yang kita nampak merobah penampilan. Seseorang pengurus yang kita ketahui garang akan dilihat lemah, malah berpura-pura apabila berdarling-darling di dalam telefon apabila bercakap dengan isteri. Padahal, itulah peranannya di rumah ~ seorang suami yang romantik lagi penyayang.
Seorang anak yang petah di rumah, rupa-rupanya dilaporkan cikgu sebagai murid yang paling pendiam di dalam kelas. Ataupun, seorang ustaz yang dilihat sebagai seorang yang begitu alim di khalayak rupa-rupanya boleh berkejar-kejaran dengan anaknya di rumah.
Inilah kita semua. Apabila di dalam masjid, kita duduk bersila dengan tertib. Di kedai mamak, kita duduk di kerusi dengan sebelah kaki tersila. Di pejabat, kita duduk tegak dengan kedua-dua kaki di lantai.
Namun barangkali, kerana mahu bebas, kian ramai di antara kita sudah tidak menjaga peranan dengan menjaga perwatakan mengikut kesesuaian keadaan. Di dalam kapalterbang, ada yang membaringkan kerusi hingga orang di belakang sukar hendak makan.
Di jalanraya, semakin melihat orang hendak melintas, semakin laju ditekannya minyak agar kita boleh meluncur dahulu. Malah kini di laman-laman sosial, kita itu mengenepikan semenggah dengan menulis apa sahaja tanpa mempedulikan betapa orang lain menghormatinya di dunia nyata. Maknanya, kita menjatuhkan diri sendiri dengan kelakuan diri sendiri.
Pada hari ini, kian ramai di antara kita yang tidak boleh memainkan peranan dengan baik. Mustahil tidak tahu, kerana ia diasuh sejak kecil. Barangkali tidak mahu, kerana ingin bebas melakukan sesuatu mengikut sesuka hati. Kini, apa yang terbetik di hati pun dilepaskan tanpa berasa segan dan silu dalam bentuk tulisan mahupun dalam bentuk visual-visual yang dihantar kepada kawan-kawan.
Dunia memanglah tanpa sempadan. Kita ini manusia yang perlu meletakkan had-had mengikut suasana dan keadaan. Lebih-lebih lagi agama memerlukan kita mengawal segala tingkah laku. Agama itu konsisten walau di zaman apa kita berada.
Apabila tingkah laku penuh berbudi bahasa dan berperwatakan yang menyenangkan sesiapa sahaja itu dipandang mulia, perangai yang kasar, buas, celupar dan laser itu tidak pernah menjadi sesuatu yang akan disanjung. Malah, ia tidak pernah dicatat dengan markah yang baik oleh mereka yang di langit.
Pekalah dengan siapa kita berinteraksi. Padankan dengan kehendak suasana. Baharulah kita dilihat sebagai insan yang berketrampilan.
 Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.11.17.

Tuesday, November 14, 2017

RUPA WAJAH DAN IMEJ


WAJAH-WAJAH
DI DALAM MEMORI

KITA menyimpan banyak sekali wajah-wajah manusia di dalam memori. Wajah yang paling awal kita simpan ialah wajah ibu kita. Kemudian wajah bapa, diikuti dengan wajah mereka yang hampir dengan kita. Mereka adalah adik beradik kita, saudara mara dan mereka yang berada di sekeliling kita.
Apabila kita membesar dan melihat ke sekeliling, kita akan merakam banyak lagi wajah-wajah manusia ke dalam memori. Selain daripada jiran tetangga dan rakan-rakan sepermainan, kita mula menyimpan memori wajah-wajah mereka yang kita peroleh daripada menonton televisyen, membaca akhbar dan majalah serta wajah-wajah mereka yang muncul setiap kali kita melayari internet.
Jika sedari kecil, wajah-wajah yang kita simpan itu mempunyai erti yang mengembirakan, lama kelamaan, wajah-wajah itu termasuklah wajah-wajah mereka yang membawa erti yang pelbagai. Kita akan menyimpan wajah-wajah mereka yang kita tidak suka, berasa takut, marah, sakit hati, gerun, simpati, sedih malah kelakar apabila wajah itu muncul di layar minda kita.
Teknologi fotografi membolehkan kita menyimpan wajah-wajah sesiapa sahaja yang kita sukai. Ini termasuklah wajah-wajah pemimpin, para penghibur, ahli sukan, tokoh-tokoh agama, selebriti dan juga hero-hero yang kita sanjung. Teknologi pengkomputeran juga membekalkan perisian untuk membolehkan kita menyimpan wajah-wajah ini ke dalam cakera padat, pemacu pena, malah ke dalam komputer atau telefon pintar kita sendiri.
Pelbagai aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp pula kini membolehkan kita menyimpan wajah-wajah mereka yang berhubung dengan kita. Akhirnya, oleh kerana aplikasi itu juga menyimpan wajah-wajah itu secara automatik, maka barangkali lebih separuh daripada wajah-wajah itu tidak kita kenali.
Lihatlah friends kita di dalam Facebook… berapa orang yang kita kenal? Berapa orang pula yang kita tak sedar telah menjadi kawan kita! Apalah erti friend, jika wajah mereka pun kita tak ingat? Apalah guna friend andainya kita tak tahu sejak bila mereka menjadi friend kita!
Meskipun kemudahan memyimpan wajah-wajah itu boleh disisip di lain tempat selain daripada memori, ia boleh hilang seandainya telefon atau komputer kita rosak. Wajah-wajah yang tersimpan di media-media sosial juga boleh hilang seandainya berlaku masalah sistem pembekal perisian itu. Jadi, tempat yang paling baik, kekal dan lebih terjamin adalah di dalam memori kita sendiri.
Namun, dalam pada kita menyimpan kesemua wajah-wajah itu, hanya terdapat suatu wajah yang kita tidak nampak secara jelas tetapi dapat kita rasakan kehadirannya. Wajah itu adalah wajah Rasulullah s.a.w! Melalui bahan-bahan bacaan dan pengkuliahan guru-guru, kita dapat membayangkan wajah Rasulullah s.a.w.
Uniknya, baginda ialah satu-satunya insan yang kita kenal dan minati meskipun kita tidak pernah melihat wajahnya. Kita kenal budi bahasanya, pandangannya, pemikirannya, kesukaannya dan kebenciannya melalui hadis-hadis yang telah beliau tinggalkan. Pendek kata, kita boleh tahu segala-galanya mengenai baginda, tetapi kita tidak dapat melihat wajahnya.
Kerana itu, ramai di kalangan kita hanya melihat baginda secara ilmiah khususnya dengan membaca sirahnya. Kita membaca pandangan dan nasihatnya sahaja tanpa dapat melihat peribadi fizikal baginda. Ini menjadikan kita hanya tahu Rasulullah s.a.w kerana diberi maklumat mengenainya.  Kita hormati baginda kerana guru-guru menyuruh kita berbuat begitu.
Dengan sebab itu, wajah-wajah yang tersemat di minda dan tersimpan di pelbagai peralatan teknologi kebanyakannya hanyalah wajah-wajah mereka yang kita suka tetapi tidak penting bagi kita. Tidak keterlaluan andainya dikatakan bahawa ia adalah suatu pembaziran di ruang pemikiran dan juga ruang penyimpanan data pelbagai aplikasi.
Sesungguhnya menyimpan ingatan mengenai Rasulullah s.a.w adalah jauh lebih bermakna daripada wajah-wajah lain yang kita ada. Namun, bagaimana kita mengatasi kekurangan ini? Melalui pertanyaan secara rawak saya dapati sebilangan besar daripada mereka yang saya tanya tidak tahu akan kewujudan sebuah buku yang melakar bukan sahaja pemikiran dan perbuatan baginda tetapi juga deskripsi fizikal Rasulullah s.a.w secara begitu terperinci.
Buku Syama’il Muhammadiyah atau Kesempurnaan Rasulullah s.a.w adalah sebuah buku sahih yang menghimpunkan hadis-hadis yang juga mengandungi deskripsi fizikal baginda. Wajahnya, ketinggiannya, warna kulitnya, rambutnya termasuk cara beliau berjalan dan duduk termasuk ketawa dan cara tidurnya dinyatakan dengan begitu detail. Buku yang disusun oleh Imam al-Tirmizi, salah seorang daripada enam tokoh ilmu hadis tanpa ragu, adalah satu-satunya dokumen sahih yang diiktiraf oleh ulamak sedunia.
‘Wajah’ inilah yang seharusnya disimpan juga di dalam memori kita, bukan wajah siapa-siapa yang tak akan dapat memberi syafaat kepada kita di kemudian hari.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.11.17.


Tuesday, November 7, 2017

PELUANG KEDUA DALAM HIDUP



Piccredit: iaspaper.net

APAKAH HIDUP ITU
UMPAMA RODA?
 BAHARU-BAHARU  ini seorang bekas staf saya Rai, berkunjung ke pejabat. Dia sengaja singgah mencari saya kerana katanya, dia memang hendak bertemu. Katanya, sayalah orang yang menemuduga dan mengambilnya bekerja dengan Sinar Harian.
Saya teringat sesi temuduga pengambilan kadet wartawan Sinar Harian sekitar lima tahun yang lalu. Daripada beberapa orang calon yang ditemuduga, saya tertarik untuk mengambil Rai bekerja kerana keunikan pengalamannya.

Dia mencatat pengalaman menternak ikan keli, apabila saya menliti resumenya. Tatkala ditemuduga, lantas saya mengemukakan soalan tentang mengapa dia hendak bekerja sebagai wartawan, sedangkan dia punyai perusahaan menternak ikan keli. Lalu dia menceritakan yang sebenarnya dia tiada perniagaan itu. Tetapi sebaliknya telah melabur sejumlah wang di dalam perniagaan yang lebur kerana dia tertipu.

Pengalaman adalah guru yang terbaik. Walaupun beliau bukan berkelulusan dalam bidang kewartawanan, saya ambil dia bertugas dengan akhbar Sinar Harian kerana pengalamannya sebagai orang yang pernah terduduk kerana tertipu. Pengalaman tertipu dalam perniagaan itulah yang membezakan beliau dengan calon-calon yang lain. Jelas, apabila mula bekerja, Rai menampilkan diri sebagai orang yang ringan mulut. Dia lebih mudah dan cepat mendapat kontak dan sumber berita berbanding dengan wartawan-wartawan yang lain

Namun selang dua tahun beliau bekerja, Rai berhenti kerana katanya hendak berniaga. Tetapi apabila dia berkunjung di pejabat saya baharu-baharu ini, dia menceritakan bagaimana dia menjadi wartawan sambilan kembali di sebuah penerbitan lain walaupun perniagaan adalah minatnya yang utama. Pada pandangan saya, Rai telah kembali melakukan apa yang dia minat lakukan sebelum ini. Putaran kerjaya buat dirinya ke bidang kewartawan juga meskipun dia memilih bidang perniagaan.

Dalam kehidupan, kita akan lalui apa yang kita pernah lakukan sebelum ini. Kadangkala, kita tidak menyangka apa yang kita pernah terlintas dalam pengalaman kita yang lalu, rupa-rupanya akan kembali kepada kita dalam keadaan yang berbeza.

Tahun 1973. Saya mengikuti rombongan sekolah dari Mersing hingga ke Padang Besar, Perlis. Dalam perjalanan, bas singgah di Kuala Lumpur dan terus ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz. Kami ke sana untuk melihat kapalterbang. Seronok sangat rasanya. Dalam perjalanan pulang, bas melalui Lebuhraya Persekutuan. Saya terpandang sebuah kawasan tasik dengan air pancutan dengan lampu yang berwarna warni.

Lalu saya bertanya cikgu, kawasan apakah itu? Jawab cikgu, itulah Subang Jaya.  Pada waktu itu, saya tak pernah dengar nama Subang Jaya. Bandar di Lembah Kelang yang sentiasa disebut-sebut, malah tercatat di buku teks geografi ialah Petaling Jaya.

Bagaimana pun pada tahun 1985, saya tak sangka akan menetap di sebuah rumah teres di seksyen 14, Subang Jaya. Dan saya biasa membawa anak-anak ke Kampung Subang untuk melihat kapalterbang mendarat dan berlepas!

Tatkala di zaman persekolahan pada tahun-tahun 70an dahulu, saya menjadi pengarang majalah persatuan bahasa Melayu berjudul ‘Purnama.’ Majalah itu dicetak dengan mesin cyclostyle. Kini saya menjadi pengarang akhbar Sinar Harian. Kerja saya yang pertama selepas tamat belajar pada tahun 1980 ialah sebagai seorang Setiausaha Kerja di Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, sebuah NGO. Kini saya menjadi Setiausaha Sinar4Rohingya, sebuah kumpulan yang menggabungkan 105 NGO untuk membantu etnik Rohingya.

Hidup umpama roda. Ada banyak ketika bilamana kita bergerak 360 darjah. Bukan sahaja daripada segi baik dan buruk, kaya dan miskin, suka dan dukanya yang silih berganti. Roda kehidupan daripada segi pengalaman dan tindakan juga bisa mengkedepankan kita dengan apa yang kita pernah lakukan sebelum ini.

Daripada sudut ini, maka saya yakin bahawa peluang bukannya datang sekali, malah berkali-kali dalam kehidupan seseorang. Apabila kita berdepan kembali dengan bentuk cabaran yang pernah kita alami sebelum ini, kita seharusnya lebih tenang Yang penting, apa yang kita lalui buat kali kedua itu bisa menjadikan kita lebih bijak menangani apa yang kita bakal lalui berbekalkan pengalaman lalu.


Maka benarlah kata-kata bahawa ‘sejarah itu berulang.’ Tetapi alangkah baiknya jika kita sendiri mengulangi sejarah itu?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.11.17.