piccredit: linkedln
TIGA JENIS
PERSEPSI MASA
SEKALI-SEKALA, saya akan bertemu dengan ahli politik yang berjawatan menteri. Selalunya, daripada apa yang saya perhatikan, mereka adalah di antara orang yang sibuk dengan pelbagai tugas kerana ruang lingkup peranan mereka yang luas. Seseorang menteri adalah juga seorang pemimpin di peringkat kawasan kampungnya, di peringkat negeri dan juga di peringkat nasional.
Dia mungkin mengepalai beberapa jawatankuasa di peringkat
kabinet, peringkat kementerian dan juga penaung di pelbagai pertubuhan. Yang pastinya,
dia adalah juga ketua keluarga yang punyai puluhan saudara-mara, kaum kerabat
dan pengikut yang harus diberi perhatian. Dalam pada itu, dia juga manusia yang
perlukan masa untuk makan, minum, tidur, beribadah atau menunaikan hajat.
Benar, seseorang menteri biasanya ada beberapa orang
pegawai yang membantunya. Dia ada pembantu peribadi, pengawal peribadi, pegawai
khas, setiausaha, setiausaha akhbar dan setiausaha politik. Pegawai-pegawai
itulah yang mengatur aktiviti sehariannya.
Mereka jugalah yang mengatur dengan siapa dia harus
bertemu dan selama mana dia harus melayaninya. Pada banyak ketika, pak menteri terpaksa akur
dengan apa yang pegawai-pegawainya aturkan. Meskipun letih, mereka bagai
sekumpulan jurulatih yang memaksa ahli olahraganya untuk terus berlari!
Daripada sudut pengurusan masa, seseorang yang diatur
masanya akan menjadi manusia yang produktif. Ahli-ahli sukan profesional, anggota
pasukan beruniform mahupun para pelajar di sekolah asrama penuh bisa menjalani
satu-satu hari yang padat dengan aktiviti fizikal, mental dan juga spiritual.
Bagaimana pun, kita sebagai manusia biasa yang tidak
punyai disiplin sebegitu, bagaimanakah kita memperoleh produktiviti apabila
mengatur aktiviti harian mengikut sukatan masa? Semuanya bergantung dengan
bagaimana kita melihat masa itu sendiri. Saya tidak mahu menyentuh masa
daripada sudut fizik yang diutarakan oleh Stephen Hawking.
Saya hanya ingin menyentuh masa daripada sudut persepsi. Bagi
saya, kita punyai tiga jenis persepsi masa iaitu masa fizikal, masa mental dan
masa spiritual. Masa yang dilihat daripada persepsi fizikal itu menurut detikan
jarum saat, minit dan jam yang dapat kita tatap pada jam dinding. Secara
logiknya, masa menurut persepsi fizikal itu bergerak mengikut aturan pada kadar
kelajuan tertentu. Ramai di kalangan kita menyukat waktu seharian menurut waktu
fizikal ini. Jika kita tidur pada jam 10.00 malam dan bangun pada jam 4.00
pagi, itu bererti kita tidur selama 6 jam.
Jika waktu yang tertera di aplikasi waze mengatakan kita akan sampai ke destinasi dalam tempoh 30
minit, sedangkan temujanji kita bermula 20 minit lagi, itu bermakna kita akan
lewat 10 minit. Waktu menurut persepsi fizikal ini, amat tepat bagi mereka yang
mengikut aturannya. Malah, kita yang mengamalkannya akan memancung masa bagi
satu-satu aktiviti.
Orang barat mengamalkan masa menurut persepsi fizikalnya.
Kita boleh lihat keadaan ini biasanya dalam filem-filem Hollywood. Pada adegan
dalam sebuah kelas, pensyarah yang bercakap akan terus berhenti dan para
pelajarnya akan bangun meninggalkan kelas sebaik sahaja loceng berbunyi.
Masa mengikut persepsi mental pula lazimnya lebih
longgar. Tiada waktu tepat yang jadi pengukur. Yang ada hanyalah waktu menurut zon
aktiviti. Kita lakukan sarapan pada waktu pagi, buat temujanji dengan seseorang
pada waktu makan tengahari, berdiskusi selepas asar dan berbincang mengenai
kenduri keluarga selepas pulang dari surau. Tiada angka jam disebut di dalam
setiap aktiviti ini.
Aktiviti masa menurut persepsi mental ini lebih santai. Kita
lebih memanusiakan diri berbanding dengan waktu menurut persepsi fizikal yang
agak robotik. Namun, oleh kerana variasi waktunya tidak khusus, pembaziran masa
akan berlaku terutamanya di antara dua aktiviti. Maknanya, ada kelompangan masa
yang tidak digunakan di antara aktiviti yang sedang dilakukan dan yang
berikutnya.
Bagaimana pun, masa menurut persepsi spiritual pula agak
unik. Masanya lebih spesifik seperti masa menurut persepsi fizikal. Tetapi
aktivitinya pula lebih santai daripada masa mengikut persepsi mental. Kita yang
menggunakan masa menurut persepsi spiritual ini lebih produktif kerana mendapat
hasil aktiviti yang berkualiti.
Ini adalah kerana, aktiviti mengikut persepsi spiritual
ini dipandu oleh waktu-waktu solat. Waktu solat itu memancung aktiviti kita.
Aktiviti kita itu bukan berhenti pada jam 1.00 tengahari. Sebaliknya
aktivitinya berhenti secara spesifik pada jam 1.14 tengahari misalnya, sebaik
sahaja masuk waktu zohor. Begitulah juga aktiviti-aktiviti seterusnya yang bermula
selepas solat dan berhenti sebelum solat berikutnya. Kita mula tidur dan bangun
juga menurut waktu solat.
Kita akan lebih produktif dan tidak mudah letih kerana kita
punyai keberkatan masa kerana masa menurut persepsi spiritual itu akan sempat
membereskan banyak perkara. Ini adalah kerana masa menurut persepsi spiritual
itu tunduk kepada arahan-NYA yang mencipta masa itu sendiri.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.11.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.11.17.
No comments:
Post a Comment