WAJAH-WAJAH
DI DALAM MEMORI
KITA menyimpan banyak sekali wajah-wajah manusia di dalam memori. Wajah yang paling awal kita simpan ialah wajah ibu kita. Kemudian wajah bapa, diikuti dengan wajah mereka yang hampir dengan kita. Mereka adalah adik beradik kita, saudara mara dan mereka yang berada di sekeliling kita.
Apabila
kita membesar dan melihat ke sekeliling, kita akan merakam banyak lagi
wajah-wajah manusia ke dalam memori. Selain daripada jiran tetangga dan
rakan-rakan sepermainan, kita mula menyimpan memori wajah-wajah mereka yang
kita peroleh daripada menonton televisyen, membaca akhbar dan majalah serta
wajah-wajah mereka yang muncul setiap kali kita melayari internet.
Jika
sedari kecil, wajah-wajah yang kita simpan itu mempunyai erti yang
mengembirakan, lama kelamaan, wajah-wajah itu termasuklah wajah-wajah mereka
yang membawa erti yang pelbagai. Kita akan menyimpan wajah-wajah mereka yang
kita tidak suka, berasa takut, marah, sakit hati, gerun, simpati, sedih malah
kelakar apabila wajah itu muncul di layar minda kita.
Teknologi
fotografi membolehkan kita menyimpan wajah-wajah sesiapa sahaja yang kita
sukai. Ini termasuklah wajah-wajah pemimpin, para penghibur, ahli sukan,
tokoh-tokoh agama, selebriti dan juga hero-hero yang kita sanjung. Teknologi
pengkomputeran juga membekalkan perisian untuk membolehkan kita menyimpan
wajah-wajah ini ke dalam cakera padat, pemacu pena, malah ke dalam komputer atau
telefon pintar kita sendiri.
Pelbagai
aplikasi media sosial seperti Facebook,
Instagram dan Whatsapp pula kini membolehkan
kita menyimpan wajah-wajah mereka yang berhubung dengan kita. Akhirnya, oleh
kerana aplikasi itu juga menyimpan wajah-wajah itu secara automatik, maka
barangkali lebih separuh daripada wajah-wajah itu tidak kita kenali.
Lihatlah
friends kita di dalam Facebook… berapa orang yang kita kenal?
Berapa orang pula yang kita tak sedar telah menjadi kawan kita! Apalah erti friend, jika wajah mereka pun kita tak
ingat? Apalah guna friend andainya
kita tak tahu sejak bila mereka menjadi friend
kita!
Meskipun
kemudahan memyimpan wajah-wajah itu boleh disisip di lain tempat selain
daripada memori, ia boleh hilang seandainya telefon atau komputer kita rosak.
Wajah-wajah yang tersimpan di media-media sosial juga boleh hilang seandainya
berlaku masalah sistem pembekal perisian itu. Jadi, tempat yang paling baik,
kekal dan lebih terjamin adalah di dalam memori kita sendiri.
Namun,
dalam pada kita menyimpan kesemua wajah-wajah itu, hanya terdapat suatu wajah
yang kita tidak nampak secara jelas tetapi dapat kita rasakan kehadirannya.
Wajah itu adalah wajah Rasulullah s.a.w! Melalui bahan-bahan bacaan dan
pengkuliahan guru-guru, kita dapat membayangkan wajah Rasulullah s.a.w.
Uniknya,
baginda ialah satu-satunya insan yang kita kenal dan minati meskipun kita tidak
pernah melihat wajahnya. Kita kenal budi bahasanya, pandangannya, pemikirannya,
kesukaannya dan kebenciannya melalui hadis-hadis yang telah beliau tinggalkan.
Pendek kata, kita boleh tahu segala-galanya mengenai baginda, tetapi kita tidak
dapat melihat wajahnya.
Kerana
itu, ramai di kalangan kita hanya melihat baginda secara ilmiah khususnya
dengan membaca sirahnya. Kita membaca pandangan dan nasihatnya sahaja tanpa
dapat melihat peribadi fizikal baginda. Ini menjadikan kita hanya tahu
Rasulullah s.a.w kerana diberi maklumat mengenainya. Kita hormati baginda kerana guru-guru menyuruh
kita berbuat begitu.
Dengan
sebab itu, wajah-wajah yang tersemat di minda dan tersimpan di pelbagai
peralatan teknologi kebanyakannya hanyalah wajah-wajah mereka yang kita suka
tetapi tidak penting bagi kita. Tidak keterlaluan andainya dikatakan bahawa ia
adalah suatu pembaziran di ruang pemikiran dan juga ruang penyimpanan data
pelbagai aplikasi.
Sesungguhnya
menyimpan ingatan mengenai Rasulullah s.a.w adalah jauh lebih bermakna daripada
wajah-wajah lain yang kita ada. Namun, bagaimana kita mengatasi kekurangan ini?
Melalui pertanyaan secara rawak saya dapati sebilangan besar daripada mereka
yang saya tanya tidak tahu akan kewujudan sebuah buku yang melakar bukan sahaja
pemikiran dan perbuatan baginda tetapi juga deskripsi fizikal Rasulullah s.a.w
secara begitu terperinci.
Buku
Syama’il Muhammadiyah atau Kesempurnaan Rasulullah s.a.w adalah sebuah buku
sahih yang menghimpunkan hadis-hadis yang juga mengandungi deskripsi fizikal
baginda. Wajahnya, ketinggiannya, warna kulitnya, rambutnya termasuk cara
beliau berjalan dan duduk termasuk ketawa dan cara tidurnya dinyatakan dengan
begitu detail. Buku yang disusun oleh Imam al-Tirmizi, salah seorang daripada
enam tokoh ilmu hadis tanpa ragu, adalah satu-satunya dokumen sahih yang
diiktiraf oleh ulamak sedunia.
‘Wajah’
inilah yang seharusnya disimpan juga di dalam memori kita, bukan wajah
siapa-siapa yang tak akan dapat memberi syafaat kepada kita di kemudian hari.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.11.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.11.17.
No comments:
Post a Comment