Monday, September 29, 2014

PEMIMPIN PERLU CEPAT BUAT KEPUTUSAN


Piccredit: sherryclaytonworks.wordpress

APABILA PEMIMPIN LEMBAB  & LEMBIK
 
SEBAIK sahaja kita tercelik kerana bunyi jam tepat pukul 5.00 pagi, kita terus bangun. Kita bangkit kerana telah membuat keputusan untuk bangun pada waktu itu ketika menghidupkan nada dering jam di fonsel pada malam tadi. Bagaimana pun,  kita boleh sahaja menarik semula selimut. Apabila kita berbuat begitu, itu tandanya kita telah menukar keputusan untuk bangun tidur kepada menyambung dengkur.

Membuat keputusan. Ia adalah apa yang kita sentiasa lakukan sedari kita bangun tidur sehinggalah kita berbaring kembali. Apa yang kita lakukan ketika sedar dianggap sebagai keputusan yang sah, walhal ketika bermimpi pun kita membuat pelbagai keputusan secara bawah sedar.
Setiap keputusan yang kita ambil itu adalah pilihan yang dianggap terbaik. Yang pasti, kita telah memikirkan  beberapa jawapan kepada persoalan yang kita hadapi sebelum memilih apa yang dianggap sebagai sebuah keputusan yang paling tepat, sesuai dengan hasrat yang kita ingini. Dalam suasana yang ideal di mana persoalan tiba satu persatu secara tersusun, keputusan juga boleh ditangani satu demi satu dengan penuh ketenangan.
Tetapi, dalam degup kehidupan yang semakin pantas dan kompleks, kita dituntut untuk membuat pelbagai keputusan dengan lekas. Lihat sahaja keadaan kita pada hari ini. Jika dahulu, kita boleh menunggu untuk sesuatu itu selesai sebelum membuat sesebuah keputusan, kini ia tidak lagi begitu. Pada banyak ketika dan suasana, setelah kita membuat sesebuah keputusan, tindakan kita pula adalah berlandaskan suatu keputusan baharu yang telah kita tentukan, barangkali sesaat sebelum kita bertindak.
Kita ambil contoh yang mudah. Apabila kita membuka televisyen dengan niat untuk menonton hiburan muzik, kita boleh sahaja mengubah keputusan apabila siaran perlawanan bolasepak tertayang di skrin. Hanya beberapa saat kita menonton dan perasaan bosan menjelma, kita menggunakan alat kawalan jauh untuk memilih dokumentari di rangkaian berikutnya, kemudian drama, kartun atau berita di saluran-saluran lain tanpa membuka pun siaran muzik seperti niat tujuan asal kita ingin berhibur dengan membuka televisyen.

Pendek kata, dalam situasi pada hari ini, kita boleh sahaja memikirkan masalah, kemudian mencari jalan penyelesaian yang terbaik sebagai keputusan. Tetapi apabila bertindak, kita boleh sahaja melakukan sesuatu yang berlainan sekali dengan apa yang telah kita putuskan. Inilah realiti yang perlu kita hadapi dan tangani. Kita tidak boleh lembab dalam membuat keputusan dan bertindak ke atasnya.

Bagaimana pun, jika ia adalah sebuah keputusan mudah seperti memilih rancangan televisyen ataupun apa yang hendak dimakan sebagai sarapan, ia tiada masalah. Tambahan pula ia bersifat peribadi dan hanya memberi kesan kepada kita sendiri sebagai pembuat keputusan itu. Tetapi, apa kata seandainya keputusan dan tindakan itu memberi kesan kepada orang lain, lebih-lebih lagi ia melibatkan kepentingan ramai kerana kita adalah seorang pemimpin?

Di sinilah cabarannya. Sebagai seorang pemimpin, tuntutan pada hari ini berkehendakkan pemimpin itu telus dalam memberitahu kepada para pengikut yang terlibat apakah yang telah diputuskan dan apakah tindakan yang sedang dilakukan. Dan, ia mestilah dilakukan secepat yang boleh. Jika  lewat  menghebahkan apakah tindakan yang bakal diambil, ia akan memberi persepsi bahawa pemimpin itu lembab dalam bertindak.

Kehidupan pada hari ini juga penuh dengan trial and error. Tidak boleh hanya bereksperimen di makmal fikir tetapi terus ke medan amal langsung belajar daripada kesilapan dalam tindakan. Kerana itu, ia memerlukan seseorang pemimpin itu bertindak serta berani melakukan kesilapan dan segera memperbetul kesalahan asalkan apa jua tindakan yang dilakukan itu mengikut jalur keputusan yang dimatlamatkan. Barangkali, sesebuah tindakan itu boleh sahaja berubah pendekatannya. Ia samasekali tidak menjadikan seseorang pemimpin itu bertindak secara berbolak-balik atau flip-flop asalkan hala tujunya sentiasa tepat kompasnya.

Justeru itu, keadaan pada hari ini tidak membolehkan pemimpin  berfikir terlalu lama untuk menimbangkan keputusan yang terbaik. Ada pemimpin yang mengumpul sebanyak mungkin maklumat kerana bimbang tersilap membuat keputusan. Seolah-olah dia bertapa dalam pengasingan, membiarkan jawapan kepada segala persoalan bersarang di mindanya sehinggakan pengikut yang tertunggu-tunggu dengan keputusannya itu bingung hingga menimbulkan persepsi bahawa pemimpin mereka itu tidak peduli dengan masalah yang mereka hadapi. Sikap terlalu berhati-hati pemimpin itu bagai orang yang menghidapi penyakit psikologi obsessive compulsive personality disorder(OCPD) kerana terlalu bermain dengan sistem, peraturan, perincian dan ketersusunan tindakan.

Kemudian apabila bertindak di atas keputusan itu, dia tidak mempedulikan pula maklumbalas pengikut yang terkesan dengan tindakan yang pemimpin itu ambil. Dia seolah-olah begitu yakin bahawa tindakannya itu paling berkesan jika dilaksanakan tanpa apa-apa pengubahsuaian.

Inilah yang membuatkan ramai pengikut rimas dan cemas. Mereka bimbang akan hanyut apabila pandangan mereka tidak diambilkira langsung. Padahal, sesiapa sahaja berhak untuk bersuara dan menyumbang idea agar tindakan yang dilakukan itu membahagiakan sesiapa sahaja yang terkesan dengan sesebuah keputusan pemimpin itu.

Maaf cakap... jika kita merenung sejenak dan memerhati ke sekeliling, rupa-rupanya kita punyai semakin ramai pemimpin yang lembab dan lembik sebegini.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.10.2014.

Tuesday, September 23, 2014

CLOWNS OF THE INDUSTRY


 
Piccredit: dawn.com
BADUT-BADUT
DI SEKELILING KITA

BARU-BARU ini saya terserempak dengan Dol Remos. Terkejut juga saya apabila melihat perawakannya yang masih seperti dahulu. Susuk tubuhnya bagai tidak dimamah usia. Dol Remos kurus tinggi. Tidak melebar seperti mereka yang sudah memanjat ke usia 50an. Nampaknya dia masih makan apa sahaja tetapi dalam jumlah yang sedikit. Sebab itu perutnya masih meleper. Tidak seperti perut lelaki yang kelihatan seperti mengandung lima bulan.   Cuma remos beralunnya yang menjadi kemegahan kini hanya tinggal sejemput.

Bagi mereka yang buat pertama kali berkenalan dengannya, Dol Remos adalah seorang usahawan yang bermotivasi. Dia petah bercakap dan amat menyakinkan. Dia akan bersetuju dengan pendapat sesiapa  sahaja serta mengiyakan apa jua idea dan saranan. Ini menjadikan dia seorang usahawan yang dikagumi. Namun, itu hanya di peringkat awal. Jika seseorang itu mengenalinya lebih sehari, maka masing-masing akan tahu belang dan autanya.

Cakaplah apa jenis perniagaan, Dol Remos tahu sahaja selok beloknya. Dia kenal Tan Sri itu, Tan Sri ini, Datuk itu, Datuk ini serta Menteri itu dan Menteri ini. Itu belum lagi Ketua Pengarah itu dan Ketua Pengarah ini atau segala tauke dan taiko serta semua along dan ayahanda.  Di atas nama bisnes, serahkan pada Dol Remos dan segala-galanya ditanggung beres.

Tetapi Dol Remos yang dikenali sebagai ahli perniagaan yang bersemangat masih tidak senang-lenang hidupnya. Keretanya, walaupun jenis yang diimport, tetapi bukan second-hand, malah sudah fifth-hand. Perniagaannya belum ada lagi yang lekat. Ini adalah kerana, Dol Remos adalah pakar menjual temberang dan menjaja nama untuk mendapatkan projek.

Akhirnya, oleh kerana dia pandai enter frame dengan menghadiri majlis yang besar-besar dan bijak ambil kesempatan berselfie dengan orang ternama, mudah sahajalah dia memperkenalkan VIP-VIP ini kepada mereka yang ingin mencari lubang dan peluang perniagaan. Begitulah cara Dol Remos hidup. Dia dapat juga habuannya. Tetapi dia hirup kuah, orang lain kunyah isi. Mujurlah isterinya seorang pegawai kerajaan dan anak-anaknya dapat belajar tinggi. Mereka kesemuanya boleh hidup sendiri dan tidak menyusahkan Dol Remos.

Saya umpamakan Dol Remos ini sebagai clown of the industry. Badut-badut sebegini terdapat dalam pelbagai komuniti dan industri. Mereka bukannya manusia putar alam, penipu, pembolot dan pembelot yang rakus. Itu kategori manusia yang berbeza. Sebaliknya, badut-badut di dalam komuniti ini tidak semestinya berbahaya. Daripada suatu segi, mereka dicari kerana boleh membantu sesiapa sahaja menemukan mana-mana pihak dengan mudah. Pendek kata, mereka boleh membuka pintu ke koridor kuasa dan pengaruh.

Di dalam komuniti politik pun, golongan badut-badut ini wujud. Mereka berada di mana-mana. Dengan YB ini pun dia rapat, dengan YB itu pun dia rapik. Di dalam apa jua pertemuan, dia akan pastikan dirinya kelihatan dan suaranya didengari. Apabila dengan puak ini dia menyokong, apabila dengan puak itu pun dia membela. Jangan ada sesiapa pun yang mengkritik orang penting di dalam sesebuah majlis. Badut-badut ini akan melenting dan membahasakan orang yang tidak sependapat dengan orang penting di dalam majlis itu. Siap dengan penumbuk terjulang ke udara.

Bagaimana dengan dunia akademik? Di sini pun ramai badut-badutnya. Mereka mendakwa diri mereka pakar kepada segala pakar. Mereka bercakap kononnya di atas hujah dan teori yang telah sah penyelidikannya. Padahal, ia baru dipetik dari carian di Google. Lebih parah lagi seandainya badut-badut ini berkelulusan Doktor Falsafah, padahal hanya Doktor Falsampah kerana kelulusannya daripada universiti yang tidak tersenarai di dalam Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency. Maknanya, kelulusan universiti cap ayam.

Di dalam bidang agama pun, ada juga golongan ini. Mudah sahaja dia mendapat pangkat ustaz hanya kerana dia mahir dalam copy and paste segala bentuk artikel yang kemudiannya dia jadikan bahan syarahan dan tulisan di dalam blognya. Mereka boleh juga berlawak seperti ustaz-ustaz yang sebenar, Cuma lawak mereka tidak disulami dengan inti syarahan yang menginsafkan.  Akhirnya para hadirin asyik tertawa dengan aksinya, bukan tertunduk mendengar peringatannya.

Akhir-akhir ini juga terdapat badut di dalam dunia NGO. Jika dahulu, seseorang pemimpin sesebuah NGO itu mempunyai ribuan ahli, pada hari ini seorang badut pun boleh mengaku mewakili sesebuah NGO. Padahal, dialah presiden, dia setiausaha, dia penyimpan kira-kira dan dia jugalah ahlinya. Kelakar sememangnya kelakar. Dengan kemudahan media sosial, suara seseorang yang mengaku mewakili sesebuah NGO dengan senang sekali mempesona orang ramai.  

Begitulah badut-badut di sekeliling kita. Kadangkala kita mentertawakan mereka. Tetapi selalunya, mereka yang mempersenda kita.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.9.2014.

Tuesday, September 16, 2014

DI ANTARA HARGA DAN NILAI


Piccredit: 973fm.com.au
HADIAH

TIDAK SEMESTINYA
BERNILAI

SEKITAR bulan Ogos pada tahun lalu, saya ke pawagam untuk menonton wayang. Sedang asyik menonton trailer filem, muncul montaj sebuah iklan patriotik. Saya sedikit kaget apabila lampu pawagam dinyalakan.  Terpapar imej bendera Malaysia di skrin dan kedengaran suara latar meminta para penonton berdiri kerana lagu Negaraku akan dimainkan. Hampir kesemua para penonton berdiri. Ada yang bangun kerana orang lain berdiri. Tidak kurang juga yang buat-buat tidak tahu. Bagaimana pun mereka berdiam tatkala lagu Negaraku dimainkan hingga selesai.

Pada tahun ini juga, pihak pengusaha pawagam bersetuju untuk menyemarakkan rasa cintakan negara dengan memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem. Usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia menggalakkan pihak swasta sama-sama mengambil inisiatif meraikan kemerdekaan harus disambut dengan positif oleh semua. Para penonton di pawagam adalah captive audience. Tayangan lagu Negaraku di situ tentunya berkesan.

Saya teringat di zaman persekolahan, ketika itu saya menjadi pengawas. Perhimpunan pagi diadakan pada setiap Isnin. Ada ketikanya giliran saya ditugaskan untuk menaikkan Jalur Gemilang di tiang bendera seiring dengan nyanyian lagu Negaraku oleh para pelajar.

Pada peringkat awal saya bertugas, pernah juga bendera yang dinaikkan tidak seiring dengan nyanyian para pelajar di perhimpunan itu. Akibatnya, lagu sudah tamat tetapi bendera tidak sampai juga ke puncaknya. Maka cepat-cepat saya naikkan bendera sambil telinga saya menangkap gelak tawa para pelajar di atas ketidakcekapan saya. Pernah juga bendera sudah sampai di puncak tetapi lagu nyanyian pelajar belum selesai. Maka saya terpaksa menurunkan bendera kembali sedikit dan menunggu ungkapan ‘raja kita selamat bertakhta,’ sebelum menaikkan semula bendera ke tempatnya.

Bendera adalah di antara lambang identiti sesebuah negara. Ia adalah simbol kemegahan dan kebanggaan rakyatnya. Bagaimana pun, rasa bangga itu menjelma seandainya perasaan itu disemai dan dipupuk sedari kecil. Penghormatan kepada bendera sebagai tanda megah dan sayang rakyat kepada negaranya itu akan tertanam di dalam diri. Kerana itu, setelah dewasa pun, sebaik sahaja seseorang itu terpandang bendera negaranya terkibar, bulu romanya akan turut berdiri.

Sebaliknya, jika perasaan ini tidak ditanam dan dipupuk di jiwa sesiapa sahaja sejak kecil, mereka tidak akan punyai perasaan bangga ini. Ramai juga anak-anak muda pada hari ini yang tidak punyai apa-apa rasa apabila memandang terkibarnya Jalur Gemilang. Bukan salah mereka jika perasaan ini tidak disemai secara serius ke dalam diri mereka di peringkat kanak-kanak sehingga apabila dewasa, mereka tidak punyai perasaan dengan bendera negara mereka sendiri.

Betapa pun, ia tidak bererti mereka tidak sayangkan negara mereka. Mungkin mereka punyai cara lain untuk berasa sayang terhadap negara. Hanya nilai penghayatan mereka yang berbeza. Jika ramai di antara  kita boleh berasa lump in our throat apabila terpandang Jalur Gemilang, ia datang kerana semangat. Dan semangat itu adalah spiritual.

Ada juga mereka yang tunjukkan rasa sayang mereka kepada negara dengan menyumbang tulang empat kerat, masa dan wang secara sukarela. Itu semangat bersumberkan material. Dalam pada itu, ada juga yang berasa cintakan negara dengan cara mental. Mereka ini menyumbang idea, pemikiran dan gagasan kepada negara kerana kasihkannya. Tetapi, mereka ini mungkin tidak dapat menyanyikan lagu Negaraku dengan baik. Ia tidak bererti sama sekali bahawa mereka ini tidak cintakan negara ini.

Masing-masing punyai cara tersendiri untuk menunjukkan kasih. Seperti seorang ayah yang tidak punyai masa untuk berjalan-jalan dengan anaknya, dia mungkin menunjukkan kasihnya dengan wang ringgit dan mainan. Ataupun seorang isteri menunjukkan kasih terhadap suaminya melalui masakannya walaupun saban hari dia berleter.


Namun, yang penting, nilai kasih sayang yang hendak diberi itu perlu seiring dengan kehendak si penerima. Si anak yang mahukan kasih sayang tidak akan sayangkan bapanya meskipun si ayah membelikannya segala barangan. Seseorang suami tidak akan menyambut sayang isterinya walaupun masakannya bertaraf chef sedangkan apa yang dia mahukan ialah suara lemah lembut isterinya.

Dalam soal memberi dan menerima, apa yang dihargai oleh si penerima ialah apa yang dipintanya.  Si pemberi tidak boleh memaksa si penerima akur dengan pemberian itu, mentang-mentang kerana si pemberi itu di pihak yang berada. Pendek kata, apa yang berharga di mata pemberi mungkin tiada nilai di mata si penerima. 

Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 17.9.2014

Tuesday, September 9, 2014

MASA DAN PRODUKTIVITI



Piccredit: ngm.nationalgeographic.com

DI ANTARA
KUALITI & KUANTITI


PADA Jumaat lalu, saya menghadiri jemputan sebagai ahli panel di Program Persuratan Sempena Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-57, anjuran Majlis Masyarakat Sivil dan Majlis Perbandaran Taiping, Perak. Separuh jalan majlis dialog itu berlangsung, saya berbisik untuk mengingatkan moderator majlis Saudara Sallehuddin Ibrahim. ‘Ingat tak, semalam saya beritahu yang saya hendak beri sedikit kuliah menggunakan slaid.’
Beliau mengangguk tanda maklum. Namun, biasalah dalam mana-mana majlis bual bicara, masa sentiasa mencemburui kita. Hampir jam 4.30 petang nampaknya persembahan saya itu pasti kesuntukan masa kerana majlis tamat jam 4.45 petang. Apa yang boleh saya sampaikan dalam masa 15 minit, sedangkan lazimnya saya sampaikan ceramah saya sekitar 60 minit? Para hadirin pasti berasa terkilan kerana tidak puas dengan persembahan yang begitu ringkas.
Alhamdulillah, tiba-tiba timbul pula idea jawapannya. Sebaik sahaja slaid terpapar di skrin, saya mulakan dengan kata-kata, “Kita boleh menangis menonton filem Hindustan selama 3 jam atau menangis menonton drama Melayu selama 30 minit. Tetapi kita boleh juga menangis bila menonton iklan Petronas yang berdurasi 30 saat.
Begitu juga, kita baru kenyang bila makan secara buffet di hotel selama 2 jam. Kita juga boleh kenyang setelah makan selama 20 minit di majlis perkahwinan. Tetapi ada ketikanya kita boleh juga kenyang walaupun hanya bersarapan selama 2 minit.”  
Kata-kata pembukaan saya itu memberi mesej bahawa mereka tetap akan mendapat pengajaran yang maksima meskipun masa untuk penyampaian itu begitu singkat. Leganya hati apabila para hadirin memberi tepukan yang spontan dan kuat sebaik sahaja saya mengakhiri persembahan. Ia petanda yang mereka berasa puas dan faham dengan penyampaian yang pendek tetapi padat itu.
Masa. Ia amat tepat. Setiap saat, minit dan jam itu boleh disukat kuantitinya. Dalam pada itu, masa juga begitu organik dan longgar. Sebab itu kita boleh lakukan banyak perkara yang berkualiti dalam waktu yang singkat dan ada ketikanya kita perlukan masa yang panjang pula untuk mendapatkan hasil kerja yang berkualiti.
Malangnya, dunia pada hari ini hanya menagih penghasilan kualiti dan kuantiti kerja dalam masa yang singkat. Akhirnya kita menjadi manusia sibuk. Sibuk mengejar masa dengan segala kerja tidak pernah siap, malah semakin bertambah. Kejayaan mencapai target itu hanya sementara apabila arasnya dipertingkatkan. Maka tertunduk-tunduklah kita bekerja. Aplikasi e-mel, mesej dan imej menjadikan kerja mengejar kita hingga ke tempat tidur. Memanglah dengan cara berebut-rebut itu kita dapat menghasilkan kerja yang berkualiti. Tetapi dalam waktu yang sama ia menurunkan kualiti kemanusiaan kita.
Baru-baru ini saya dipelawa oleh Husni Hashim, seorang rakan sekuliah untuk menyertai grup ITM Dungun 75 di aplikasi mesej Whatsapp.  Wah, apabila saya menyertainya, saya yang menuntut di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM mendapati lebih 50 teman-teman menganggotai kumpulan itu. Saya berasa bahagia kerana dapat menemui mereka setelah hampir 40 tahun tidak bermesra.
Boleh dikatakan, sejak itu saya akan bersembang secara bermesej dengan mereka. Secara khusus tiada seorang pun di antara mereka yang berada di bidang persuratkhabaran. Bidang Seni Lukis dan Seni Reka pula telah saya tinggalkan lebih 30 tahun yang lalu. Justeru itu, sembang-sembang itu lari daripada bidang kerjaya saya. 
Kerana itu, apabila berinteraksi dengan mereka, saya tidak terkejar-kejar mengikut mod kerja saya lagi. Saya lebih relaks melayan lawak, bertukar cerita, video dan imej. Namun, apakah saya mengabai tugas hakiki saya? Anehnya tidak. Sebaliknya, dengan berkomunikasi secara lebih santai, saya dapat rasakan roh silaturrahim bersama mereka. Seolah-olah saya terbang melepasi zon masa 40 tahun yang lampau. Ia membuatkan minda saya segar bugar. 
Bersembang secara santai tanpa mempedulikan masa itu memanusiakan kita. Terkejar-kejar dengan kerja hingga tidak mempedulikan mereka di sekeliling itu merobotkan kita. Tetapi apakah kita perlu memilih samada kita mahu menjadi manusia yang berkualiti atau robot yang sentiasa menghasilkan kuantiti?

Pada saya, biarlah kita jadi memanusiakan diri dengan segala gaya ketenangannya. Namun, seandainya kita terpaksa berkejar dan berlari, mengikut segala peraturan, sistem dan etika, ia bukan sekali-kali menandakan kita ini robot. Sebaliknya ia adalah bukti nyata bahawa kita adalah manusia bertaraf hamba yang terpaksa akur dengan segala arahan tanpa soal sepertimana setiap bintang dan planet yang bertebaran di Bima Sakti.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.9.2014.

Tuesday, September 2, 2014

DI ANTARA BATU, KAYU DAN PLASTIK



Piccredit: blog.malaysia-asia.my

MERDEKAKAN DIRI
DARIPADA MAKAN


JIKA kita menonton saluran National Geographic ataupun Animal Planet, kita akan lihat kehidupan pelbagai binatang. Harimau, singa, badak sumbu dan zirafah adalah di antara binatang darat yang biasanya terpilih untuk dipaparkan. Namun, apakah kita sedar, kesemua binatang-binatang itu tegap mengikut struktur tubuh masing-masing?

Mana ada puma yang gemuk gedempol, gajah yang kurus merangka atau rusa yang buncit perutnya kecuali yang sedang mengandung? Pendek kata, hampir kesemua binatang mempunyai saiz tersendiri seperti yang sepatutnya. Masing-masing tidak pernah mengalami obesiti. Jika ada pun binatang yang obes, ia adalah angkara manusia yang memberinya segala jenis makanan yang terlalu menyihatkan seperti kucing peliharaan di rumah atau ayam ternak di pusat ternakannya.

Bandingkan dengan kita. Bila kita menoleh ke kiri dan kanan sahaja pun, kita boleh lihat pelbagai saiz kawan-kawan kita. Ada yang kurus melidi, gempal, gemuk dan boyot. Ada juga yang tubuhnya terlalu berotot-otot atau yang membenjol pula di sana sini. Seolah-olah manusia itu adalah daripada pelbagai spesis sedangkan kita tahu kesemua manusia adalah daripada spesis homo sapiens.
Kesemua perbezaan bentuk tubuh yang di luar kontor manusia menjadikan kita seperti makhluk dan bukannya manusia yang punyai lekuk atau otot tubuh yang seharusnya. Ia berpunca daripada kegemukan.
Jika kita ingat, lebih lima puluh tahun dahulu, di tahun-tahun awal kemerdekaan, kita sukar menemui rakan sekolah yang gemuk. Dalam ramai-ramai kawan sekolah, ada seorang-dua sahaja yang gedempol. Kini, jumlah pelajar sekolah yang badan berisi terdapat di dalam kebanyakan kelas. Ertinya, dalam sesebuah sekolah terdapat berbelas pelajar yang obes.

Kanak-kanak yang obes lazimnya akan menjadi orang dewasa yang obes juga. Yang dirisaukan bukanlah kegemukan itu sendiri. Tetapi penyakit berkaitan dengan obes yang akan muncul. Penyakit jantung dan diabetes akan lebih mudah dihinggapi oleh mereka yang gemuk. Maknanya, akan lebih ramai di antara kita yang berpenyakit kerana terlebih makan. Bukannya kerana kurang makan dan perut bercacing seperti pelajar sekolah di tahun-tahun 60an dahulu.

Sebenarnya, kita tidak menjadi gemuk dalam sehari semalam. Kita menjadi begitu dalam waktu yang berbulan lamanya. Tiada sesiapa pun yang mahu menjadi gemuk. Ia bukannya pilihan kita secara sengaja. Namun, tanpa disedari, keadaan sekelilinglah yang membuatkan kita ingin makan.
Banyak kajian yang mengaitkan tabiat makan dengan stres. Kehidupan kita yang kian mencabar, menjadikan kita stres dan sentiasa mahu mengunyah untuk mengurangkan tekanan. Akibatnya kita menambah makan dan juga berat badan.

Iklan makanan yang menggambarkan model-model yang membaham makanan dengan lahap, merangsang minda kita untuk berbuat begitu juga. Kecantikan fotografi yang memaparkan imej-imej makanan yang kelihatan garing, lembab dan berasap juga merangsang selera. Rancangan televisyen mengenai masakan juga menjadi di antara rancangan yang popular. Ia lebih digilai daripada rancangan gusti oleh penonton televisyen pada tahun-tahun 60an dan 70an.

Hampir kesemua kedai-kedai makan kini meletakkan gambar makanan yang bersaiz mega di hadapan restoran masing-masing. Suasana restoran yang merehatkan pula menjadikan seseorang itu duduk berjam-jam untuk menjamah makanan yang tinggi garam dan gula. Makan di luar sudah menjadi budaya. Di bandar-bandar kecil pun, budaya makan di warung sudah menjadi sebuah aktiviti keluarga.

Dan hampir kesemua restoran dan warung menyediakan masakan yang bergoreng. Yang bergoreng tentunya lebih berminyak. Yang berminyak lebih menyelerakan. Yang menyelerakan akan menambah kalori dan akhirnya meningkatkan lemak di dalam tubuh. Akibatnya lebih ramai di kalangan kita yang jadi obes.  Dan, obesiti kini sudah menjadi epidemik!

Jika soalan kita kepada anggota keluarga pada hari ini ialah, ‘Hendak makan apa hari ini?’ Soalan itu akan dijawab dengan nama pelbagai restoran Melayu, Cina, Jepun, Itali, Arab, Korea dan Siam. Sedangkan bila soalan yang sama diajukan oleh mereka di zaman awal kemerdekaan, jawapan yang diterima biasanya hanya, ‘Kita makanlah apa yang ada!’


Seharusnya kita tidak sahaja memerdekakan minda. Pada waktu yang sama juga kita mesti memerdekakan perut untuk menjaga kesihatan daripada melahap apa sahaja asalkan ia bukan batu, kayu mahupun plastik! 

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 3.9.2014.