Tuesday, June 30, 2015

HIDUP MATI DENGAN BERNIAGA


PICCREDIT: TANIADUARTE.COM
MENGUMPUL WANG
HINGGA KE MATI

MEMANG seronok melihat semakin orang kita menjadi usahawan. Bukan setakat usahawan secara kecil-kecilan, malah secara mega pun ada. Daripada berniaga secara menjaja, membuka gerai di tepi jalan dan di bawah pokok, kian ramai yang berniaga secara tetap di pasar tani, pasar-pasar malam ataupun berniaga larut malam di uptown.

Jika kita perasan, semakin banyak deretan kedai-kedai di bandar-bandar kecil dan ibukota kini diusahakan oleh bumiputera. Di kompleks membeli-belah sudah ada rangkaian kedai-kedai yang diusahakan oleh orang Melayu. Kian banyak wisma-wisma yang dipunyai dan diterajui oleh mereka.  Itu belum termasuk beribu-ribu lagi perniagaan secara online yang ada di antaranya berpendapatan ratusan ribu ringgit sebulan.

Walau apa pun bidang yang diceburi, masing-masing mula berniaga daripada asas yang berbeza. Sebahagian besar daripada usahawan Melayu mula berniaga untuk kelangsungan hidup. Kemiskinan menjadi sebab utama mereka bermula. Mungkin kelulusan tidak seberapa dan kerja pula tidak diperoleh, maka jalan yang terbaik adalah untuk mula berjual. Ada juga yang bermula kerana tidak cukup gaji. Banyak wang diperlukan untuk menampung kehidupan berkeluarga. Cara untuk menampung kekurangan pendapatan buat belanja anak-anak ke sekolah ialah dengan menjual kuih-muih atau makanan ringan.

Ada juga yang mula berniaga kerana ingin mengisi masa terluang. Sambil menanti keputusan peperiksaan diumumkan atau mendapat kerja, lebih baik berniaga seperti menjual burger. Ada yang berhenti berniaga bila mendapat kerja. Ramai juga yang tidak jadi bekerja kerana seronok menjadi majikan sendiri.

Dalam pada itu, ada juga mereka yang sudah bersara memulakan perniagaan kerana tidak mahu duduk melahu. Daripada menghabiskan sisa-sisa hidup dengan berehat, mereka yang akan sakit bila tidak bekerja akan menyingsing lengan untuk mengusahakan sesuatu. Mungkin pada mulanya seseorang itu hanya memberi bantuan kepakaran dalam merangka kertas kerja untuk pinjaman bank kerana dia bekas pegawai bank. Tetapi lama kelamaan bantuan itu menjadi suatu cara memperoleh pendapatan apabila semakin ramai yang tahu akan kebolehannya.

Terdapat juga yang mula berniaga kerana mewarisi perniagaan keluarga. Seseorang itu mungkin tidak minat berniaga. Tetapi kerana kematian ayah yang mengusahakan sesebuah perniagaan, maka si anak terpaksa membantu perniagaan keluarga. Mula-mula setakat menyain cek dan membayar gaji pekerja. Lama kelamaan apabila diminta nasihat dan membuat keputusan syarikat, akhirnya dia langsung menerajui usaha keluarganya.

Ada juga di kalangan mereka yang mula berniaga setelah bertahun-tahun bekerja dengan orang. Ramai di kalangan profesional dalam sesuatu bidang boleh mengusahakan sesuatu yang berlainan daripada profesionnya. Misalnya, seorang peguam di sebuah firma boleh berhenti kerja untuk membuka butik. Ataupun seorang jurutera boleh pulang ke kampung untuk menternak ikan patin. Perasaan untuk berniaga yang sudah bertahun terperap dan bersarang di dalam hati, akhirnya dipenuhi apabila seseorang itu melangkah meninggalkan dunia selesa ke alam yang penuh mencabar.

Di sebalik sebab asas mula berniaga samada untuk kelangsungan hidup, mengisi masa terluang, kerana mahu terus aktif selepas bersara, mewarisi perniagaan keluarga dan kerana melakukan sesuatu kerana hasrat yang lama terpendam, ada dua ekstrim yang menjadikan seseorang itu mahu berniaga.

Golongan pertama adalah golongan yang berniaga kerana minat. Dia suka bertemu dengan orang, suka melihat orang membeli barangan jualannya, suka melihat perniagaannya berkembang dan mendapat sambutan hingga dia tidak menang tangan. Dalam waktu yang tidak sampai setahun, perniagaannya boleh menjadi besar dan terkenal.    

Golongan kedua pula adalah mereka yang berniaga kerana mahu cari makan. Mereka tidak melihat kepada perkhidmatan atau suka menjual, tetapi mereka hanya suka buat duit. Mereka tidak mempedulikan pelanggan yang rugi asalkan mereka sentiasa untuk di tahap maksima. Duit adalah raja kepada segala-galanya.

Semua perniagaan akan berkembang walau dari manakah premis permulaanya. Perniagaan karipap di tepi jalan boleh berkembang menjadi perniagaan membekal karipap untuk hotel-hotel. Membuat perkhidmatan kertas kerja untuk pinjaman membuka bengkel kereta boleh melangkah kepada membuat kertas kerja untuk mendapat pinjaman membeli loji janakuasa.

Memanglah asas perniagaan ialah menjimatkan kos dan mendapat untung yang maksima. Modal menjadi aset yang seboleh mungkin berkembang hingga infiniti.  Tetapi, ke manakah akhirnya dunia membuat wang ini? Apakah berniaga untuk membuat wang sahaja?

Atau membuat wang yang seterusnya diinfakkan sebagai sedekah? Jika berniaga itu akhirnya bertujuan untuk mendapat untung di dunia dan akhirat, memang wang boleh dibawa hingga ke mati. Cuma, matawang itu sudah bertukar menjadi pahala di dunia yang satu lagi.
 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.7.2015.

Tuesday, June 23, 2015

USAH OVER-NOSTALGIC


 
Piccredit: blog.nature.org
 
SEMALAM SUDAH JADI MIMPI

BARU-BARU ini, sambil menunggu giliran mendapatkan juadah di sebuah gerai bazaar Ramadan, saya terdengar perbualan dua orang lelaki yang berdiri di hadapan saya. Daripada gaya mesra mereka, saya mengagak bahawa mereka adalah kenalan lama. Suara lantang salah seorang daripada lelaki itu membuatkan saya memanjangkan leher. Mata saya mencerlang kerana mengenali lelaki itu. Dia adalah seorang pegawai tadbir yang hebat, keputusannya sentiasa tepat dan kepimpinannya dihormati.

Saya tahu, kini dia adalah seorang pesara. Kini tidak berbush jacket, berkasut dan berambut berkilat. Malah dia berbaju-T pagoda, berseluar sukan serta bercapal pada petang itu. Rambutnya tidak lagi hitam tetapi memutih. Terlalu putih, seolah-olah dia sedang memakai ketayap pula. Suaranya lantang meminta itu-ini kepada peniaga sambil jarinya menuding ke sana ke mari menunjukkan juadah yang diingini. Seolah-olah ia adalah suatu arahan seorang ketua kepada pekerjanya.

Saya terdengar lagi perbualan mereka. Kali ini, lelaki yang seorang lagi tidak mahu kalah bercakap sambil tertawa kuat tanpa mempedulikan para pelanggan lain yang berada di sekeliling mereka. Mereka bercerita mengenai zaman pekerjaan mereka sebagai bos-bos di kementerian masing-masing.

Mereka bercerita tentang mesyuarat-mesyuarat penting yang mereka hadiri, konvensyen yang mereka sertai sebagai pembentang kertas kerja, projek mega yang mereka sokong untuk kelulusan pak menteri, usahawan-uasahawan di sekeliling mereka, percutian, umrah dan haji serta cerita dunia golf mereka. Seronoknya mereka berdua bercerita mengenai dunia lama masing-masing Kini mereka hanyalah bekas atau mantan kepada kuasa dan pengaruh. Mereka hanya syok bercerita zaman gemilang mereka.

Ramai di antara kita yang terperangkap dengan zaman kegemilangan semalam. Ada di antara kita yang berbangga kerana daripada sesuatu bangsa hebat, keluarga bangsawan, berdarah pahlawan, keturunan ulama, datuk nenek penentang penjajah atau punyai sejarah keluarga kaya-raya yang mempunyai tanah berelung-relung. Semua ini dibangga-banggakan dengan lagak dan gaya. Padahal, dia sekarang hanya pewaris cerita kegemilangan silam.

Ada juga di antara kita seperti dua lelaki yang saya temui di bazaar Ramadan itu. Berasa hebat dan handal walaupun ia adalah kerjaya dahulu. Ketika ada kuasa dan pangkat, semuanya bisa dilakukan dengan mudah. Semua orang di sekeliling mengangguk akur. Tetapi kini, yang tinggal adalah tinggi suara dan gaya langkah, walaupun sudah kurang seimbang berdiri.

Tidak salah jika kita turut bangga dengan kehebatan keturunan. Tetapi sudah tidak masuk akal jika ingatan kita hanya pada hari semalam, padahal kita kini hidup pada hari ini. Bila kita asyik dengan ingatan semalam, kita seolah-olah bagai memandu kereta sambil memandang ke cermin pandang belakang dan tidak memerhati ke hadapan. Sepatutnya, kita perlu fokus  ke hadapan dan hanya sekali-sekala menoleh ke belakang.   

Sehebat mana pun kita pada era semalam, ia sudah berlalu dan tidak akan kembali lagi. Jika kita cuba untuk hidupkan kehebatan semalam pun, ia biasanya akan separuh menjadi. Lihatlah banyak contoh-contoh mereka yang melakukan sesuatu buat kali kedua bersandarkan kekuatan kejayaan kali pertama. Biasanya ia tidak sehebat mana. Jika diambil dunia selebriti sebagai contoh, kumpulan muzik, penyanyi, pelakon mahupun dunia politik dan perniagaan, apakah kita boleh ingat mana-mana comeback yang berjaya? Kalaupun berjaya, ia hanya seketika. Seperti masakan sejuk beku yang dipanaskan. Panas di luar, tetapi isi di dalamnya masih dingin.

Jika rindukan kegemilangan lama, paling tidak pun kita boleh hidupkan rasa nostalgia dengan melakukan kunjungan ke denai-denai kehidupan nan lalu. Kita boleh sahaja bertemu dengan mereka yang sama-sama melalui zaman kegemilangan itu samada secara fizikal mahupun secara maya di antaranya melalui kumpulan Whatsapp. Lawatilah bangunan bekas pejabat, premis-premis yang biasa kita kunjungi. Mungkin juga memadai jika sekadar menatap kesemuanya di album. Setelah melakukannya, kita harus tutup memori itu dan melangkah ke hadapan.

Hidup kita ini daripada segi realitinya pun hanya ke hadapan, bukannya berundur. Ia tidak statik. Jika kita pula yang kaku terperangkap dalam dunia semalam, kita umpama orang yang menaiki eskalator tetapi mahu melangkah ke belakang. Tindakan itu boleh membuatkan kita jatuh terlentang. Hiduplah bersama geraknya detik jam. Ia sentiasa bergerak ke hadapan kerana kehidupan kita adalah sebuah perjalanan yang tidak mungkin berpatah ke belakang.

Semalam sudah jadi mimpi. Kita hanya ada esok untuk menggapai impian.
 

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.6.2015.

Tuesday, June 16, 2015

MENYAMBUT RAMADAN DENGAN PENUH BERADAB


 
Piccredit: 851facebook.com
 
TIADA SESIAPA YANG MEMAKSA

KITA kasihan dan turut bersedih melihat betapa malangnya sesetengah masyarakat Islam di merata dunia. Kita mengikuti perkembangan saudara-saudara Rohingya di Myanmar yang menjadi buruan. Mereka dihalau dan dibunuh semahu-mahunya oleh mereka yang anti-Islam. Akibatnya ramai yang menjadi pelarian ke negara berhampiran. Beribu-ribu yang kononnya berpeluang untuk berhijrah ke negara lain termasuk Malaysia. Padahal, mereka ditipu untuk dijual sebagai mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Saudara-saudara rakyat Palestin pula dinafikan tanah tumpah darah mereka. Sudah berpuluh tahun hidup dalam kepayahan kerana agama yang mereka anuti. Dunia tak memandang sebelah mata apabila mereka diserang. Sebaliknya, apabila mereka mempertahan diri, pada ketika itulah hakim-hakim dunia datang untuk membela ~ untuk membela Israel. Si perampas wajib dilindungi. Yang terhalau pula tidak dipeduli.

Bagaimana agaknya kehidupan masyarakat Islam di Republic of Central Africa apabila hampir kesemua 400 masjid di negara itu telah dimusnahkan? Itupun belum termasuk dengan ancaman terhadapn masyarakat Islam di sana-sini apabila menerima ancaman verbal dan fizikal akibat Islamofobia.

Apabila tiba Ramadan, saudara-saudara kita yang malang ini tidak mengalami perbezaan daripada segi lapar dan dahaga. Kedua-duanya sudah mereka alami sejak bulan-bulan sebelum ini.  Nafsu keduniaan untuk bermewah, mengejar mimpi, memenuhi tuntutan keseronokan sememangnya sudah lama tiada dalam kamus hidup mereka. Mereka bukannya berlatih untuk berlapar, berdahaga, berqanaah, malah sebaliknya, mereka benar-benar hidup dalam segala kepayahan di sepanjang tahun. Mudah-mudahan apabila tiba Ramadan, segala kesukaran mereka ini diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Kita pula lain keadaannya. Tiada siapa yang mengancam kita beragama. Belum pun berpuasa sudah bersiap-siap untuk berhari raya. Borang cuti dah siap diisi. Tiket bas atau keretapi sudah dibeli. Yang berkenderaan sudah menempah pula tarikh servis kenderaan. Baju raya, kuih raya dan segalanya sudah siap sedia.

Puasa adalah latihan untuk berlapar dan berdahaga. Apabila azan maghrib berkumandang, waktu latihan pada hari itu dianggap sudah selesai. Di waktu berbuka, segala-galanya terbuka! Konon beriftar dengan tiga biji tamar dan air zam-zam mengikut sunah. Tetapi setakat itu sahajalah. Selepas itu kita balun air selasih, air mata kucing, cincau, cendol dan segala macam kuih-muih yang kita angkut di bazaar Ramadan. Itu belum termasuk menu utama nasi dan segala macam lauk-pauk.

Bagi kita yang berbufet Ramadan di hotel-hotel, ceritanya sudah luar biasa. Jika tidak kerana etiket hotel, mahu sahaja segala hidangan digagau dan dicekau sahaja. Bila asyik bertawaf ruang bufet untuk memilih sajian yang terhidang, solat maghrib pun ala kadar sahaja. Terawih pun belum tentu lagi dapat dilaksana dengan khusyuk kerana dalam fikiran, hidangan moreh pula yang mengusik minda tatkala sujud.

Alhamdulilah bagi yang berniat untuk menjalankan ibadah puasa agar ia lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini. Kita boleh bersahur sebelum tidur atau sebelum menjelang subuh seperti yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. Jika kita tidak bekerja, kita boleh bertadarus dan beriktiqaf di masjid mahupun surau. Atau setidak-tidaknya bersila dan bersimpuh di sejadah. Jika kita bekerja pun, kita boleh sahaja memperbanyak solat, mendengar ceramah agama untuk menambah ilmu dan pahala pada waktu tengahari.

Setelah habis waktu bekerja, kita boleh meluangkan masa bagi mendapatkan sedikit juadah buat hidangan iftar untuk keluarga atau berbuka sahaja di surau. Setelah itu kita boleh terus bertarawih. Kemudian, bertadarus lagi sebelum tidur. Beruntunglah apabila kita dapat menjalankan ibadah ini dengan penuh aman dan sejahtera di dalam sebuah negara Islam.

Tiada sesiapa yang akan melarang kita menjalankan ibadah puasa. Tiada sesiapa yang menghalang kita untuk beriktiqaf di masjid. Tiada sesiapa yang akan mengganggu kita seandainya khusyuk membaca al-Quran. Malah, tiada sesiapa pun yang akan memaksa kita untuk melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa.

Namun, dalam keadaan aman dan tenteram itu, mengapa kita masih memilih untuk meneruskan aktiviti mengata melalui laman-laman sosial? Mengapa kita asyik membuka laman-laman resipi, baju, tudung dan aksesori? Mengapa kita memilih untuk melihat video-video yang boleh membatalkan puasa ataupun walau sekadar memanjangkan viral lawak-lawak yang membuatkan kita lupa yang kita di bulan yang mulia?

Tiada sesiapa. Ya, tiada sesiapa pun yang melarang kita menambah kebaikan. Tiada sesiapa jua yang menggalakkan kita melakukan perkara-perkara yang bakal mensia-siakan pahala puasa kita. Kita sendiri yang boleh menguasai diri kita sendiri.

Justeru itu, berbuatlah baik. Kali ini, yang terbaik. Berpuasalah dengan penuh keinsafan. Beribadahlah dengan penuh tertib. Untuk itu, mulai Ramadan ini, apa kata kita tak tunjal sejadah dengan kaki untuk memperbetul hala kiblat? Apa kata kalau kita bentang dan halakan sejadah ke kiblat dengan menggunakan tangan?

Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak.


Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak.
 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.6.2015.

Tuesday, June 9, 2015

BERNIAGA BULUH KASAP


Piccredit: mykmu.net

DI ANTARA TAUGEH, SERAI & DURIAN

SAYA bertemu dengan seorang pemuda yang kini telah menjadi seorang peniaga yang berjaya. Baharu lima tahun berniaga, dia sudah punyai rangkaian gerai menjual makanan di pasar-pasar malam, pasar tani dan di bandar-bandar kecil. Dia juga sudahpun membuka tujuh buah restoran. Kini sedang mula menjadi katerer untuk pelbagai majlis keramaian.

Saya kenali Iwan ketika dia berniaga nasi lemak bungkus secara kecil-kecilan di sebuah bandar di pinggir Lembah Kelang. Dia tempah nasi lemak itu daripada beberapa orang jirannya. Dalam sehari dia menjual 100 bungkus nasi lemak. 40 bungkus nasi lemak biasa, 20 bungkus nasi lemak telur, 20 bungkus nasi lemak sotong dan 20 bungkus lagi nasi lemak sambal udang.

Paling lewat pun, dalam masa dua jam, kesemua nasi lemaknya akan habis dibeli. Yang datang mendapatkan nasi lemaknya itu bukan sahaja orang perseorangan, bahkan sebilangan daripada mereka singgah ke gerainya dengan kereta. Mereka membeli tidak kurang lima bungkus. Ramai juga di antara pelanggan yang berkenderaan ini tidak turun daripada kereta. Mereka hanya memesan dan Iwan akan menghulurnya kepada si pembeli.

Apabila Iwan berumahtangga, isterinya terus berhenti kerja untuk membantunya. Ibu mertuanya yang pandai memasak, mula membuat nasi lemak untuk jualan Iwan. Bermulalah sebuah perusahaan kecil. Oleh kerana nasi lemak Iwan itu murah, enak dan cukup sebagai pengalas perut, nasi lemaknya terus laku. Daripada 100 bungkus, Iwan dapat menjual 200 bungkus sehari.

Apabila perniagaan semakin maju, adik beradik Iwan dan isterinya yang pada mulanya datang membantu telah mula membuka gerai di pelbagai lokasi di Lembah Kelang. Jumlah gerai bertambah menjadi lima dan akhirnya sepuluh. Senang-senang, mereka menjual tidak kurang 1,500 bungkus nasi lemak sehari.

Melalui kontak yang ada, perniagaan Iwan mula berkembang ke pasar-pasar malam, pasar tani dan juga di bandar-bandar kecil yang berhampiran. Dalam masa tiga tahun, Iwan mula membuka restoran. Daripada sebuah, menjadi dua buah dan akhirnya tujuh buah restoran. Menurut ceritanya, saya rasa Iwan akan pergi jauh dalam dunia perniagaannya apabila dia mula menjadi katerer untuk majlis-majlis tidak kurang 1,000 orang.

Saya mengambil peluang untuk bertanya beliau bagaimanakah dia dapat memperkembang perniagaannya dengan begitu pantas dan nampaknya kukuh? Jawabnya, dia berpegang pada konsep taugeh, serai dan durian. Katanya, jika seseorang itu mengikut prinsip ini, perniagaannya akan berkembang dalam tiga peringkat dengan cara sistematik.

Kata Iwan, tatkala dia mula berniaga, dia anggap perniagaannya itu seperti membuat taugeh. Taugeh begitu cepat menjadi. Dalam masa tiga hari, kacang hijau yang direndam dan diletak di tempat lembab sudah boleh dituai dan dijual. Menjual nasi lemak bungkus adalah umpama membuat taugeh. Ia mudah menjana pendapatan secara cepat dan tetap. Itulah peringkat pertama perniagaannya.

Menanam serai pula mengambil masa yang lama sedikit. Ia lebih sukar, tetapi apabila menjadi, pendapatannya lebih besar daripada menjual taugeh apabila serai yang ditanam itu boleh dituai dalam masa enam bulan. Berniaga di restoran memang nampaknya boleh menjana pendapatan harian, tetapi di peringkat permulaan, ia mengambil masa berbulan untuk membina jumlah pelanggan, mengurus kakitangan dan prasarana sebelum ia memperoleh keuntungan. Inilah peringkat kedua yang Iwan andaikan seperti menanam serai.

Peringkat ketiga yang beliau andaikan seperti menanam durian itu katanya adalah kerana ianya mengikut musim. Apabila tiba musim orang membuat majlis perkahwinan atau keramaian, pada musim cuti sekolah atau hujung tahun maka dia akan memperoleh pendapatan yang lebih besar melalui kerja bermusim itu.

Apabila dia mempunyai perniagaan seperti membuat taugeh, menanam serai dan durian, pendapatannya juga datang daripada tiga saluran. Pertama, secara kecil tetapi lekas, kedua secara sederhana dan ketiga secara besar walaupun tidak kerap.

Saya lihat kepandaian Iwan dalam menyusun strategi perniagaan makanannya secara sistematik. Banyak juga perniagaan-perniagaan yang lain secara tidak langsung melalui tiga peringkat ini. Perniagaan buku misalnya boleh mengandaikan menanam taugeh dengan buku-buku popular seperti buku resipi dan novel, menanam serai iaitu pendapatan yang jarang sedikit tetapi lebih besar melalui buku-buku ilmiah. Dan, pendapatan bermusim yang besar seperti menanam durian apabila sesebuah syarikat itu mendapat kontrak membuat buku teks.

Begitu juga perniagaan produk herba, alatulis, tudung, mainan, menjual kereta, perkhidmatan mencuci, malah menebas pun harus melalui tiga peringkat kecil, sederhana dan besar, atau membuat taugeh, menanam serai dan juga durian. Kata Iwan, perniagaan yang mula secara besar-besar dengan modal yang berjuta-juta kononnya untuk memperoleh untung yang berbilion-bilion itu mempunyai risiko yang lebih besar. Ia bukan setakat melibatkan modal, tetapi maruah diri yang mungkin tergadai kerana tidak mengikut prinsip yang tersusun itu.

Saya teringatkan 1MDB lalu tersenyum. Iwan turut tersenyum. Apakah senyumannya dan senyuman saya itu mengenai syarikat yang sama?
 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.3.2015.

Tuesday, June 2, 2015

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN


Piccredit: insansains.wordpress.com
 
BEKALAN UNTUK
SEBUAH PERJALANAN

HARI ini mungkin hari ulangtahun kelahiran seseorang. Kita beruntung kerana media sosial Facebook pula menyimpan rekod tarikh lahir mereka yang mendaftar dengannya. Kerana itu, kita dinotiskan, lalu sempat mengucapkan selamat kepada rakan dan taulan. Saya tidak terkecuali dalam menyampaikan ucapan yang berbunyi: 'Selamat Ulangtahun Kelahiran buatmu. Semoga hidupmu senantiasa diberkati-NYA. Amin.'

Itulah ucapan yang standard tetapi lengkap menurut fikiran saya. Tetapi sememangnya saya sebut sebagai hari ulangtahun kelahiran dan bukannya harijadi atau hari lahir, kerana hari lahir adalah hari-hari dalam seminggu di antara Isnin sehingga Ahad. Sedangkan ulangtahun kelahiran pula adalah mana-mana hari dalam 365 hari dalam setahun. Pada saya, ucapan Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran itu lebih tepat berbanding dengan ucapan Selamat Hari Jadi; sekadar pandangan peribadi saya sahaja.

Ada di antara kita menyambut ulangtahun kelahiran secara kecil-kecilan dengan anggota keluarga. Ada yang menyambutnya secara besar-besaran. Ada yang meraikannya dengan majlis doa selamat dan kenduri. Ada juga yang mengambil kesempatan dengan membuat parti liar, seolah-olah ulangtahun kelahiran itu tidak akan diakhiri dengan hari kematian.

Secara peribadi, saya tidak pernah menyambutnya sehinggalah ketika di usia  21 tahun. Itupun bukannya sengaja tatkala saya menuntut di UiTM. Pada malam itu, menjelang jam 12.00 malam, saya teringatkan tarikh itu lalu mencatat sebuah ucapan peribadi di dalam diari. Kebetulan pula, seorang teman yang sedang mengulangkaji pelajaran menoleh lalu terbaca catatan itu. Lantas dia riuh mengajak teman-teman sebilik yang lain meraikannya.  

Yang seronoknya, oleh kerana waktu sudah tengah malam dan warung-warung di kampus sudah tutup, kami menyambutnya dengan pelbagai minuman secara imaginasi. Dengan biskut mayat serta gelas berisi air sejuk, masing-masing menyatakan minuman apa yang sedang di tangan. Saya memilih air Coca Cola, sementara yang lain memilih 7Up, Kickapoo, Pepsi Cola dan sebagainya. Setelah bernyanyi beramai-ramai lagu filem P. Ramlee, ‘Allah Selamatkan Kamu,’ untuk saya, kami meneguk minuman mengikut imaginasi masing-masing.

Sejak beberapa tahun lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan menggunakan pendekatan praktikal dengan menetapkan tarikh lahir sebagai tarikh mati lesen memandu. Bagus sekali penggunaan tarikh itu kerana saya hampir pasti akan teringat untuk memperbaharui lesen memandu pada tarikh lahir saya. Ia juga adalah ingatan kepada kita agar hidupkan lesen   memandu pada hari lahir dan secara simboliknya kita menyambung hayat untuk terus memandu di jalan kehidupan.

Sesungguhnya kehidupan itu adalah sebuah perjalanan. Ia akan terhenti apabila kematian menjelma. Ironinya, lesen memandu yang mati itu boleh diganti. Pilih sahaja hayatnya samada satu, dua, tiga tahun atau berapa untuk menghidupkan yang sudah mati. Sebaliknya, dalam kehidupan kita, yang mati tidak boleh dihidupkan kembali. Apatah lagi, walaupun bersedia untuk menghadapi hari kematian, kita sendiri boleh dikejutkan dengan hari itu kerana kita tidak tahu bilakah hari akhir kita di dunia ini.

Menyambut ulangtahun kelahiran untuk sekian kalinya sudah semestinya menjadikan kita lebih bersedia. Meskipun deria pandangan kita semakin kabur, kita jangan pula semakin kabur dalam mencari jalan pulang. Jika mata sudah kabur, hati kita seharusnya semakin cerah dan tajam untuk melihat apa yang ada selepas tamatnya perjalanan di dunia ini.

Pendengaran kita mungkin semakin pudar. Kita kerap sekali meminta orang yang bersuara di hadapan kita mengulangi percakapan, samada kerana kita tidak mendengarnya atau telah terlupa apa yang baharu sahaja disebutnya lima minit yang lalu. Biarlah pendengaran kita kabur dari mendengar segala gosip, umpat keji atau apa jua yang melalaikan. Tetapi, telinga kita sepatutnya peka dengan suara azan. Melodi yang terdengar-dengar di telinga sepatutnya alunan bacaan al-Quran atau suara hati yang menyeru kita memilih yang baik-baik.

Tidak mengapa seandainya deria bau kita mungkin sudah berkurang untuk menghidu aroma masakan, bau kulit beg yang baharu, bau pakaian baharu atau bau perfum kegemaran. Biarlah bau-bau itu dinikmati seadanya asalkan kita mula cuba mengingati bagaimana bau kapur barus yang kita hidu tatkala menziarahi saudara kita yang pergi minggu lalu.

Pergerakan kita mungkin semakin perlahan, keletihan bagai tidak hilang-hilang dan sakit-sakit badan seakan tiada akhirnya. Tetapi langkah-langkah kita untuk mempersiapkan diri mesti dipercepatkan. Tidak boleh bertangguh untuk membuat kebaikan bersedekah, menghidupkan jiwa-jiwa yang telah mati di sekeliling kita atau memperbetul kompas mereka yang tersasar dari arah kiblat.

Lakukan segala-galanya untuk orang lain, iaitu dengan memberi, membantu dan menolong, kerana hakikatnya ia adalah untuk diri kita sendiri kerana apa yang diberi akan dikembalikan berganda-ganda lebihnya. Ia adalah bekalan untuk sebuah perjalanan yang amat jauh dan panjang.
 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 3.6.2015.