Tuesday, May 31, 2016

PENAFSIR MIMPI BOS


piccredit: visionaryadvertising.co.uk
PEKERJA BAGAIMANA
YANG BOS MAHU?

SAYA berjumpa dengan kawan lama, Hussaini melalui staf saya yang menemubual beliau untuk suatu tugasan. Baharu saya dapat tahu yang dia sudah lama berjaya dalam perniagaan. Sejak dulu lagi, dia jenis lelaki yang sentiasa on-the-go. Suka bertukar kerja hingga saya pernah menganggap yang Hussaini lambat akan ‘jadi orang.’

Tetapi kini… bayangkan, jika dia mampu mengimport tiga kontena pakaian setiap bulan untuk butik-butiknya, saya kira dia adalah seorang jutawan senyap.  Saya mengajak Hussaini keluar minum apabila dia berkunjung untuk suatu urusan di Shah Alam. Pakaiannya simple seperti orang biasa. Yang tampak sedikit luarbiasa ialah telefon pintar xperia-z5-premium-dualnya.

Kami berbual fasal kerja dan kerjaya. Lantas menyentuh mengenai pencari-pencari kerja pada hari ini. Katanya, di sebalik sukarnya graduan memperoleh kerja, ada ramai lagi graduan yang tidak bekerja kerana terlalu memilih. Ramai yang mahu jadi pekerja kolar putih, sedangkan peluang untuk pekerjaan kolar biru banyak berlambak.

Saya sempat mengunjuk satu kajian dijalankan oleh portal mencari kerja JobStreet.com Malaysia kepadanya. Kajian yang melibatkan 7,958 responden, mengumpul maklumat 10 syarikat manakah yang paling diidamkan oleh rakyat negara ini bagi membentuk kerjaya. Syarikat-syarikat yang digemari adalah Public Bank, Tenaga Nasional Berhad, Intel, Nestle, Air Asia, Maybank, Sime Darby, Google, Shell dan Petronas.

Menurut laporan itu, di antara faktor-faktor yang menarik calon untuk memilih sesebuah syarikat itu adalah faktor gaji, ganjaran, insentif, budaya, suasana kerja, perkembangan kerjaya dan reputasi syarikat tersebut. Biasalah bagi kebanyakan calon, apa yang menjadi perkara pokok ialah pendapatan. Mereka mahu gaji yang besar apabila memilih sebuah syarikat yang besar.

Hussaini tergelak kerana ramai yang mahu bekerja di tempat yang besar, tetapi tidak sanggup membesarkan fikiran dan impian masing-masing agar setanding dengan kehendak syarikat yang dianggotainya. Katanya, apabila seseorang itu berjaya terpilih untuk bertugas di sesebuah syarikat, ia belum membuktikan apa-apa.

Dia tidak boleh lagi bersandar kepada dokumen-dokumen yang tampak bagus di kertas dan kemahiran menjawab soalan ketika temuduga. Dokumen-dokumen kelayakan dan soal jawab pada sesi temuduga hanyalah proses membuka pintu hingga calon itu dibenarkan masuk untuk bertugas.

Calon itu  sebenarnya hanya berjaya dari segi personalitinya. Belum lagi apa-apa. Yang mahu dilihat majikan ialah sikapnya. Sebab, jika diukur daripada segi kelulusan semata-mata, ada berpuluh calon lain yang punyai kelulusan serupa mahupun yang lebih baik tatkala proses temuduga berlangsung. Kerana itu, dia hanya bernasib baik kerana terpilih, Mungkin yang terbaik di antara yang baik.

Sebagai seorang majikan kepada lebih 100 orang pekerja, Hussaini memerhati pekerjanya daripada hari pertama. Yang dikenalpasti ialah kedatangan. Apakah datang awal dan balik lewat daripada waktu pejabat? Itu ciri pertama yang menggambarkan seseorang itu berminat untuk bekerja. Ada ciri-ciri keusahawanan kerana seseorang usahawan bekerja tidak mengira waktu.

Kedua ialah ketepatan masa samada ketepatan masa menghadiri mesyuarat, menyiapkan tugas mahupun ketepatan masa menunaikan solat. Seandainya jam bukan menjadi rujukan seseorang pekerja, seseorang itu tidak boleh menjadi anggota pasukan kerja. Ketidaktepatan waktu mungkin sekali menjadikan dia punca kelewatan seluruh organisasi.

Menurut Hussaini, perkara ketiga yang dimahunya ialah rasa empunya seseorang terhadap tugasnya. Rasa empunya ini bakal mencetuskan rasa ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Menurutnya, dia sendiri perlu tekun dan fokus dengan misi dan visi syarikatnya kerana ini adalah periuk nasinya. Jika kesemua wargakerjanya punyai rasa sebegitu, insya-ALLAH poket masing-masing akan dapat dipenuhkan pada setiap bulan.

Dan akhir sekali ialah pick-up. Maksud Hussaini, kemahiran untuk mentafsir apa yang diimpikan oleh majikan hingga menjadikan ia realiti. Dalam memberi tugasan, seseorang ketua mungkin melihat dari sudut teori. Seseorang pekerja yang baik mampu menzahirkan idea majikannya hingga menjadi realiti. ‘Bagaimana maksudnya?’ tanya saya. Jawab Hussaini, andainya bos itu sultan dan pekerja itu bendahara dan suatu hari, sultan terpandang buah nangka di atas pokok lalu berkata, ‘Cantik sungguh buah nangka itu, bendahara.’ Tanpa menjawab, si bendahara terus memetik nangka, membelah lalu mempersembahkannya kepada sultan lalu berkata, ‘Dipersilakan untuk santap, tuanku!’

Maknanya, seseorang pekerja yang terbaik adalah seorang penafsir mimpi buat bosnya.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.6.16.









Wednesday, May 25, 2016

CAKAP SIANG PANDANG-PANDANG


Piccredit: socialnewsdaily.com
HENDAK BERTINDAK BIAR BERTEMPAT

SAYA cukup geram apabila tatkala memandu di lorong laju, ada pula kenderaan yang memberi isyarat kerana hendak memotong. Kalau tidak membunyikan hon, mereka menyalakan lampu supaya saya segera ke lorong sebelah. Walaupun memberi jua laluan kepada mereka, saya tahu mereka bukannya pemandu yang cekap.

Kalau mereka cekap, mereka akan terus beralih ke lorong kiri dan memotong kereta saya. Tanpa bunyi hon, tanpa perlu menyalakan lampu, mereka sudah memecut dan sayup meninggalkan saya. Saya tahu pemandu begitu memang hebat. Sebabnya, pelumba kereta di litar lumba tidak pernah menyalakan lampu atau membunyikan hon bila hendak memotong!

Ada ketikanya juga saya begitu rimas bila ada di kalangan ahli kumpulan WhatsApp yang saya sertai berbalas pantun mengenai politik. Mula-mula dengan fakta, kemudian berbalas kritik dan akhirnya kutuk mengutuk seolah-olah sedang berdebat secara berdepan. Bila saya tutup WhatsApp dan buka balik sejam kemudian, polemik itu masih tak habis-habis lagi.

Saya mengagak yang mereka bukan cekap berdebat kerana mereka hanya pandai menulis. Sebabnya, mereka boleh ambil masa untuk susun perkataan yang power untuk mencantikkan ayat dan mematahkan hujah. Bila dah rasa kemas, baharulah dikirim ke dalam mesej kumpulan. Lagipun, orang yang cekap berdebat tidak suka menulis panjang-panjang.

Pada hari ini, kita hidup di padang yang terbuka luas. Orang kata, tanpa sempadan. Ruang maklumat, berita dan cerita boleh ditatap dalam waktu yang singkat. Ia menjadikan kita ghairah apabila maklumat tiba di hujung jari. Sementelah pula, masing-masing boleh menulis
dan mahu suara masing-masing didengari, maka maklumat yang tiba itu dilontar kembali ke merata tempat mengikut kehendak sendiri.

Dunia tanpa sempadan ini umpama pasar di mana kita boleh lihat apa sahaja yang kita suka. Umpama kita melangkah di pasar juga, kita akan berhenti dan membelek barangan yang kita  ingini. Tidak semestinya apa jua barangan yang kita pegang itu sesuatu yang kita ingin beli dan bawa balik.
Tetapi, begitulah. Barangan yang berada di pasar semuanya tampak sama nilainya. Walaupun ada barangan yang mahal, tetapi oleh kerana ia berada di pasar, barang yang mahal pun tidak nampak mahalnya. Puncanya ialah kerana suasana di pasar itu sendiri apabila semua barangan dihimpun di suatu kawasan. Tiada konsep eksklusif.

Begitu jugalah, mengapalah mereka yang cerdik pandai pada hari ini pun sudah tidak peka dan selektif dengan audien? Tidak kiralah samada doktor, jurutera, akauntan, peguam, pendidik, seniman malah golongan ustaz sendiri, masing-masing menyuarakan pandangan kepakaran mereka di mana-mana sahaja yang mereka mahu seperti juga seperti kita-kita yang hanya orang biasa ini.

Jika semua mereka ini menggunakan laman-laman sosial untuk menyampaikan ilmu masing-masing, maka di manakah eksklusiviti dan medan sesuai untuk penyebaran ilmu itu sendiri? Oleh kerana ia dikemukakan di forum yang umum, sesiapa sahaja boleh membidas, malah mempersenda hujah yang diberi, meskipun yang mempersoalkan itu hanya melakukannya secara suka-suka sahaja. Akhirnya, hujah yang baik dipalit dan dipesong hingga tampak dangkal.

Tempat yang sesuai bagi seseorang ustaz menyatakan hukum hakam secara jelas ialah melalui majlis ilmu secara bersemuka. Penyampaiannya berbeza mengikut audien. Jika audiennya orang kampung, maka bahasa mengajak yang digunakan. Jika audiennya pelajar universiti, maka cara hujahlah yang dipakai.

Orang politik pula, tentu sekali patut menggunakan ayat-ayat yang memujuk bagi audien umum. Jika hendak berdebat, hanya sesuai di majlis forum mahupun di parlimen. Pakar perubatan pula misalnya, boleh menyampaikan ilmunya melalui ceramah, kuliah ataupun melalui jurnal.

Jika mereka yang bijak pandai ini hanya rancak di media cetak, elektronik mahupun media sosial, eksklusiviti ilmu mereka akan jadi murah bila dilekehkan oleh mereka yang tidak menghormati ilmu.

Sebab itulah, seperti pemandu litar lumba yang tidak perlu menunjuk handal di depan pemandu amatur, mereka yang cerdik pandai tidak perlulah berbalah dengan orang biasa apabila turun ke medan perbualan orang bawahan seperti kita-kita ini. Mereka perlu kekalkan kehadiran di padang masing-masing. Jika mahu juga bersama dengan orang ramai, mereka hanya perlu menyampaikan ilmu dan hujah masing-masing secara seadanya. Tetapi, yang paling baik ialah mengajak orang ramai ke gedung atau forum ilmu mereka.

Umpamanya, jika si pelumba grand prix memandu penonton di litar lumbanya, baharulah si penonton tidak akan mempersoal akan kehebatan si pelumba. Sekurang-kurangnya tempias ilmu memandu laju dapat dipelajari oleh si penonton. Dan, yang pasti, si pelumba itu akan dikagumi akan kehebatannya.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.5.16.

Tuesday, May 17, 2016

CUBAAN SINAR HARIAN SUBURKAN TOLERANSI



polopoly.karangkraf

KITALAH MALAYSIA,
JIWANYA MALAYSIA

PADA 18 Jun ini, Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan.  Baharu sahaja Pilihanraya Negeri Sarawak mendingin, dua PRK itu terus menghangatkan suasana politik di Malaysia. Sebenarnya, sejak tsunami politik PRU ke-12 pada tahun 2008 berlaku, Malaysia  tidak sunyi daripada kehangatan politik.

Cakap-cakap dan kutuk mengutuk politik juga sudah menyeluruh dan sebati di kalangan kita sehingga ia seolah-olah sudah menguasai apa sahaja yang berlaku di Malaysia. Kejatuhan mata wang, minyak, BR1M, GST, TPPA, kamera AES, pembekuan pekerja asing, banjir kilat,  bahasa, biasiswa malah apa sahaja dengan sembrono, dikaitkan dengan politik. Ia kian parah hingga sudah melanggar batas-batas agama, ras dan budaya. Persefahaman antara ras di Malaysia, toleransi beragama dan tata susila budaya rakyat Malaysia telah dimomokkan dengan sudut pandang politik.

Politik ini telah meracuni fikiran rakyat Malaysia sehingga kita tidak hormat anutan agama, kepercayaan dan tatasusila orang lain kerana berasakan hanya politik sahaja yang menjadi perisai untuk  menjamin kelangsungan keteguhan jatidiri ras masing-masing. Apabila hal politik ini saban hari, minggu, bulan dan tahun dimainkan, sesiapa sahaja mula berasa tidak selamat. Tiga ras utama, Melayu, Cina dan India khususnya diimbas dengan rasa curiga di antara satu sama lain. Akhirnya, insiden kecurian di Plaza Low Yat, nyaris menyalakan api perkauman apabila ia dihembus dengan asap politik.

Sampai bila rasa ini harus menjalar  di sanubari masing-masing? Manusia secara fitrahnya mahukan keamanan, kedamaian dan keselamatan.  Orang Melayu, Cina dan India pula adalah bangsa-bangsa Asia yang punyai tamaddun gemilang masing-masing. Malangnya, anak cucu bangsa melayu, Cina dan India pada hari ini dilupakan akan pentingnya menjaga kesiumanan masing-masing dek kerana bara politik. Seolah-olahnya suara-suara aku cinta Malaysia, aku faham bangsa lain, aku ingin hidup sayang menyayangi dianggap sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. 

Apa akan terjadi sekiranya perkara ini terus dibiarkan? Sebagai sebuah akhbar, Sinar Harian punyai peranan. Dan, peranan itu harus dimainkan. Sinar Harian amat prihatin dan berasa bertanggungjawab untuk mengekang perasaan yang merosakkan ini daripada terus menular dan membakar perasaan. Dan, kami masih yakin, rasa persefahaman, toleransi dan rasa ingin hidup bersama di antara ras ini masih wujud, tapi sudah tenggelam di celah-celah akar masyarakat.

Lantas tercetuslah konsep Kitalah Malaysia sebagai pendekatan yang kecil tetapi konsisten untuk menyemarakkan kembali rasa cintakan negara. Mulai November 2015, Sinar Harian mula memaparkan kolum satu halaman ini.  Meskipun dalam sehari, Sinar hanya memaparkan sebuah kisah seorang anak Malaysia, tidak kira dari mana-mana ras, tetapi apa yang kita ingin paparkan ialah, jiwa Malaysia masih subur di kalangan kita semua.

Ia umpama setitik air yang menitis ke sebuah batu yang besar. Meskipun setitis,  namun lama kelamaan, titisan-titisan ini bisa melekukkan batu. Lalu semua skuad Sinar Harian ditugaskan untuk menggali dan menemukan insan-insan berjiwa Malaysia di seluruh pelosok negara. Rupa-rupanya di luar kepompong politik, jauh dari riuh rendah dan keluh kesahnya, masih terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan dan toleransi sebagai anak Malaysia.

Kini, hampir 200 kisah-kisah anak Malaysia yang berjiwa Malaysia sudah diselongkar. Sinar Harian mengharapkan agar kisah-kisah insan anak Malaysia ini menyuburkan jiwa-jiwa kita yang lain, yang sudah kering perasaan!

Lalu terpaparlah kisah Abdul Lajan @ Anwar Hayatullah, yang mampu berbahasa Tamil dan Cina,  kisah bagaimana Popo yang beragama Buddha membesarkan cucunya Nabilah Isham yang beragama Islam dan Tan Ling Hing dikenali sebagai Jusoh kerana hidup di kalangan masyarakat Melayu. Apakah ertinya?  Ertinya, masih ramai rakyat Malaysia yang boleh hidup bersama pelbagai kaum dengan aman damai lagi harmoni sebagai sebuah keluarga.

Dan, kolum Kitalah Malaysia ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pembaca akhbar ini. Ramai yang memuji dan menzahirkan bahawa inilah perasaan murni mereka yang sudah lama terpendam.

Melalui Sinar Harian Online pun, catatan Kitalah Malaysia mendapat beribu likes dan ratusan share. Ini tidak termasuk berpuluh-puluh komen positif mereka yang berasa seronok melihat suburnya jiwa Malaysia ini. Malah, sesetengah blog politik turut memaparkan kisah-kisah Kitalah Malaysia di blog mereka. Ini tidak termasuk saluran-saluran televisyen yang membuat cerita susulan dari kolum Kitalah Malaysia.


Sesungguhnya, kisah insan-insan yang dibentang di kolum Kitalah Malaysia ini bukan tempelan atau yang dibuat-buat untuk meuwar-uwarkan jiwa Malaysia. Ia benar, ia realiti yang masih subur di celah-celah hiruk pikuk politik yang meresahkan. 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.5.16.

Tuesday, May 10, 2016

PUBLIC OPINION SELALUNYA TAK BETUL




Piccredit: billydavisrips.blogspot

PANDANGAN DARI LUAR
DAN DARI DALAM

SEBAHAGIAN besar daripada kita yang mempunyai telefon pintar menyertai sekurang-kurangnya sebuah laman sosial. Tidak kiralah samada Facebook, Twitter, Instagram mahupun WhatsApp. Ia sudah menjadi tren dan keperluan.

Namun, ramai di antara kita mengakui, meskipun sudah cuba untuk mengurangkan penggunaannya, masing-masing tidak boleh menghadkan aktiviti membaca, menyalin, menghantar mahupun memberi komen  terhadap apa yang sampai dan terpapar di telefon masing-masing.

Tidak sedar bahawa laman-laman sosial ini telah mengakibatkan kita menjadi ketagih untuk menatapnya. Akhirnya, ia memakan masa kerja, masa bersosial seperti bersilaturrahim ataupun masa peribadi kita. Ertinya, kita kerap tergelincir dalam  mengawal waktu untuk diri sendiri.

Bayangkan, kita bangun tidur di pagi hari bukan sahaja untuk melihat waktu supaya dapat bertahajjud. Sebaliknya, kita menatap mesej-mesej yang sampai hingga tidak cukup masa untuk bersolat. Panggilan telefon pun kita tidak layan tatkala kita menatap laman-laman sosial ini. Ketika memandu, sebilangan di antara kita tidak menyempat lagi untuk melayani mesej yang diperoleh. Kian ramai yang kelihatan bermesej tatkala memandu.

Samada kita perasan atau tidak, memandu di kotaraya kini sudah tidak terganggu dengan bunyi hon kenderaan yang bersahut-sahutan seandainya jalan sesak, kerana masing-masing asyik memegang telefon. Agaknya, lagi jem jalanraya, lagilah bagus kerana kita semakin banyak kesempatan yang ada untuk bersembang dengan teman-teman sosial masing-masing.

Laman-laman sosial di telefon pintar kita ini telah mengubah sama sekali perangai kita. Berita, foto mahupun video pelik dan yang dirasakan sensasi akan kita kongsikan kepada teman-teman kita yang lain. Akhirnya ia menjadi viral internet. Namun, sedarkah kita, viral internet ini sebenarnya telah membentuk public opinion ataupun pendapat umum?

Jika dahulu, public opinion ini berkait rapat dengan pembentukan pandangan masyarakat yang terbina melalui media radio, televisyen, majalah dan akhbar, kini peranan itu sudah diambil alih oleh internet. Dan, ia jauh berkesan kerana jika dahulu media cetak dan elektronik hanya membentuk public opinion secara pasif. Kini viral internet membentuk public opinion secara interaktif kerana setelah membaca sesebuah maklumat, kita sendiri akan memberi komen mahupun menghantar maklumat itu kepada kenalan kita.

Tidak hairanlah, apabila sesuatu itu membentuk menjadi public opinion, ia juga menjadi pandangan bersosial kita. Walaupun kita mempunyai pandangan-pandangan peribadi yang bersandarkan pengetahuan dan pengalaman, public opinion yang terbentuk melalui media sosial ini mengatasi kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara. Malah, ia menjejas malah mengubah sama sekali pendirian kita sendiri terhadap sesebuah isu atau perkara.

Jika kita ambil contoh yang mudah; sebuah berita viral mengenai kekasaran seorang anggota polis terhadap seorang pemandu tiba-tiba mengubah sama sekali pandangan kita terhadap pasukan polis, semata-mata kerana berpuluh-puluh komen netizen telah mengkritik polis itu. Apatah lagi apabila terdapat komen-komen jahat yang meleret hingga menuduh polis makan rasuah, kuku besi dan seumpamanya.

Kita yang membaca reaksi ini akan termakan dengan pandangan yang serupa. Tiba-tiba kita turut menyampaikan komen negatif, seolah-olah seluruh PDRM itu tidak berguna.  Padahal, secara peribadi, kita terlupa bahawa kita ada sepupu, bapa saudara atau kawan sekolah yang menjadi anggota polis. Tergamakkah kita memberi komen itu kepada mereka?

Gambar seorang artis yang tidak bertudung kita cemuh dan hina hingga ada yang berani menghukum mereka sebagai ahli neraka. Walhal, ada di antara saudara mara kita sendiri yang masih tidak bertudung. Begitu juga perkara-perkara rasis yang kita tatap. Video seorang Melayu dan India bertumbuk melahirkan komen-komen pedas dan pedih yang begitu perkauman.

Seolah-olah kaum India tiada yang baik. Padahal, kita punyai jiran India, kawan sekolah India, tukang gunting rambut India dan guru tuisyen India yang mendidik anak kita. Mereka semua baik-baik belaka dan tidak ada kena mengena dengan individu India yang kita tonton di dalam video yang viral itu.


Berhati-hatilah dalam mengeluarkan pendapat mengikut kacamata public opinion. Apabila kita asyik punyai pandangan dari luar, pandangan yang diperoleh itu banyak yang tidak tepat. Seelok-eloknya kita perlu punyai pandangan yang introspectif iaitu memandang ke dalam diri sebelum meluahkan apa-apa pendapat. Jika kita tidak mampu memberi pandangan yang adil terhadap orang lain, sekurang-kurangnya, adillah kepada diri sendiri.

In sya ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.5.16.

Tuesday, May 3, 2016

SELEPAS NOVEL CINTA, GENRE NOVEL THRILLER BAKAL PADAM



Piccredit: panduanmalaysia.com

CABARAN PASARAN NOVEL TERKINI

SEKARANG ini sedang berlangsung Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016. Pesta ini bermula pada 29 April dan berakhir pada 9 Mei 2016. Buat julung-julung kalinya, pestabuku ini diadakan di Malaysian Agro Exposition Park, Serdang atau MAEPS. Ada banyak juga kompelin daripada para peminat buku apabila ia tidak diadakan di PWTC pada tahun ini. Betapa pun, mereka tetap ke pesta itu.

Selain daripada peminat buku dan syarikat-syarikat penerbitan, mereka yang turut teruja dengan pestabuku adalah golongan penulis kreatif atau novelis. Boleh dikatakan, merekalah kelompok yang teramai berbanding dengan penulis-penulis daripada genre yang lain. Inilah hari raya buat mereka.

Para penulis dari sesebuah penerbitan akan bertemu dengan mereka daripada penerbitan yang lain untuk bersalam-salaman, beramah mesra, bergurau senda serta berwefie. Tidak ada perasaan business rival tatkala pestabuku ini. Jika ada yang bermasam muka kerana tersilap kata dan tersalah bahasa selama ini, maka di pestabukulah segala kemengkalan hati akan lembut kembali. Begitulah semangat berhari raya.

Masing-masing pula akan melaram dengan karya terkini di gerai jualan dan juga di media sosial masing-masing. Sebab itu, novelis yang tidak punyai karya terbaharu akan berasa seperti memakai baju lama di hari raya mereka ini. Agaknya, mereka yang mempunyai dua atau tiga karya terkini akan berasa seperti mempunyai dua tiga pasang baju untuk diperagakan.

Sebahagian besar daripada para novelis yang telah menghasilkan novel pada hari ini tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang penulisan kreatif.  Hanya sebilangan daripada mereka mungkin datang daripada bidang yang mempunyai kaitan dengan bidang penulisan seperti kewartawanan, pengajian bahasa mahupun daripada kalangan guru. Ramai juga daripada mereka yang terdiri dari golongan yang tidak ada kena mengena langsung dengan bidang penulisan seperti kulineri, perundangan, ekonomi, akauntan, kejuruteraan, kejururawatan, sains komputer, insuran atau hiasan dalaman.
Kesemua mereka lahir sebagai novelis kerana minat. Rata-rata dari kalangan mereka ini mula menulis setelah membaca beberapa buah karya. Lazimnya, ia bermula kerana tidak puashati dengan jalan cerita novel yang dibacanya dan berasa mereka boleh menulis jalan cerita yang lebih baik. Bersandarkan perasaan tidak puashati itu, maka mereka mula menulis.

Di sepanjang jalan pengkaryaan, mereka menambah pengetahuan dan kemahiran menulis dengan merujuk kepada karya-karya penulis yang terdahulu, berbincang sesama mereka ataupun menghadiri kursus-kursus pendek penulisan yang biasanya dianjurkan oleh penulis ataupun syarikat penerbitan. Pendek kata, belajar secara sendiri-sendiri. Namun, apakah cara belajar sebegini ini mencukupi buat seseorang penulis? Sudah tentu ia belum lengkap kerana mereka yang melalui pendidikan formal penulisan pun belum tentu dapat menjadi seorang novelis yang baik.  

Baik, bukan sahaja daripada aspek teknik, penyampaian dan nilai-nilai murni di dalam tulisannya, bahkan baik dalam ertikata karyanya diterima oleh khalayak. Kerana itulah, seseorang penulis yang menghasilkan sebuah novel yang meletup, belum tentu dapat menulis novel yang baik.

Pada hari ini, media sosial menjadi pemangkin untuk menghebah dan melariskan sesebuah karya. Syarikat-syarikat penerbitan pun galak mengadakan pelbagai promosi karya para penulisnya. Hasilnya, terdapat juga karya-karya yang kurang baik yang laku kerana kempen pemasaran yang hebat. Dengan wujudnya berpuluh-puluh karya dari penulis baharu dalam sebulan, para pembaca kerap juga terbeli sesebuah karya yang tawar.

Malah, sikap novelis yang hanya merujuk karya-karya tempatan sebagai sumber idea akhirnya hanya melahirkan karya-karya yang klise. Sikap ingin merebut hasil jualan yang lumayan inilah yang akhirnya bakal meruntuh genre sesebuah karya kreatif. Contohnya, novel-novel cinta semakin kurang diminati kerana dikatakan mempunyai garapan yang hampir serupa ~ ala formula filem Hindustan.

Kini, novel-novel seram dan thriller pula mengambil tempat di carta terlaris. Berbanding dengan nama-nama hebat novelis cinta, belum ada lagi nama besar penulis seram dan thriller kecuali novelis Ramlee Awang Murshid. Novelis-novelis genre ini kelihatan sebaris dan sebaya. Belum ada pesaing bagi Ramlee. Jika tiada nama-nama yang benar-benar dikenali dalam waktu terdekat ini, adalah dikhuatiri genre ini juga bakal menjadi suam dan suram.

Sebenarnya, genre novel masih begitu banyak yang belum diteroka. Genre perundangan, sejarah, perubatan, sains fiksi, fantasi, purbawara, biografi, travelog malah agama masih belum benar-benar muncul dengan kluster para novelisnya. Memandangkan kepada minat para pembaca pada hari ini terhadap novel-novel yang ringan, yang lebih nipis mahupun bentuk antologi, ia menggambarkan khalayak tidak punyai kelestarian berfikir. Jika tren ini berterusan, ia petanda bahawa minat membaca karya kreatif juga bakal terkubur.

In Sya ALLAH tulisan ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.5.16.