Piccredit: billydavisrips.blogspot
PANDANGAN DARI LUAR
DAN DARI DALAM
DAN DARI DALAM
SEBAHAGIAN besar daripada
kita yang mempunyai telefon pintar menyertai sekurang-kurangnya sebuah laman
sosial. Tidak kiralah samada Facebook,
Twitter, Instagram mahupun WhatsApp.
Ia sudah menjadi tren dan keperluan.
Namun, ramai di antara
kita mengakui, meskipun sudah cuba untuk mengurangkan penggunaannya,
masing-masing tidak boleh menghadkan aktiviti membaca, menyalin, menghantar
mahupun memberi komen terhadap apa yang
sampai dan terpapar di telefon masing-masing.
Tidak sedar bahawa
laman-laman sosial ini telah mengakibatkan kita menjadi ketagih untuk
menatapnya. Akhirnya, ia memakan masa kerja, masa bersosial seperti
bersilaturrahim ataupun masa peribadi kita. Ertinya, kita kerap tergelincir dalam mengawal waktu untuk diri sendiri.
Bayangkan, kita bangun
tidur di pagi hari bukan sahaja untuk melihat waktu supaya dapat bertahajjud.
Sebaliknya, kita menatap mesej-mesej yang sampai hingga tidak cukup masa untuk
bersolat. Panggilan telefon pun kita tidak layan tatkala kita menatap
laman-laman sosial ini. Ketika memandu, sebilangan di antara kita tidak
menyempat lagi untuk melayani mesej yang diperoleh. Kian ramai yang kelihatan
bermesej tatkala memandu.
Samada kita perasan atau
tidak, memandu di kotaraya kini sudah tidak terganggu dengan bunyi hon
kenderaan yang bersahut-sahutan seandainya jalan sesak, kerana masing-masing
asyik memegang telefon. Agaknya, lagi jem jalanraya, lagilah bagus kerana kita semakin
banyak kesempatan yang ada untuk bersembang dengan teman-teman sosial
masing-masing.
Laman-laman sosial di
telefon pintar kita ini telah mengubah sama sekali perangai kita. Berita, foto
mahupun video pelik dan yang dirasakan sensasi akan kita kongsikan kepada
teman-teman kita yang lain. Akhirnya ia menjadi viral internet. Namun, sedarkah kita, viral internet ini sebenarnya telah membentuk public opinion ataupun pendapat umum?
Jika dahulu, public opinion ini berkait rapat dengan
pembentukan pandangan masyarakat yang terbina melalui media radio, televisyen,
majalah dan akhbar, kini peranan itu sudah diambil alih oleh internet. Dan, ia
jauh berkesan kerana jika dahulu media cetak dan elektronik hanya membentuk public opinion secara pasif. Kini viral internet membentuk public opinion secara interaktif kerana
setelah membaca sesebuah maklumat, kita sendiri akan memberi komen mahupun
menghantar maklumat itu kepada kenalan kita.
Tidak hairanlah, apabila
sesuatu itu membentuk menjadi public
opinion, ia juga menjadi pandangan bersosial kita. Walaupun kita mempunyai
pandangan-pandangan peribadi yang bersandarkan pengetahuan dan pengalaman, public opinion yang terbentuk melalui
media sosial ini mengatasi kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara. Malah, ia
menjejas malah mengubah sama sekali pendirian kita sendiri terhadap sesebuah
isu atau perkara.
Jika kita ambil contoh
yang mudah; sebuah berita viral mengenai kekasaran seorang anggota polis
terhadap seorang pemandu tiba-tiba mengubah sama sekali pandangan kita terhadap
pasukan polis, semata-mata kerana berpuluh-puluh komen netizen telah mengkritik
polis itu. Apatah lagi apabila terdapat komen-komen jahat yang meleret hingga
menuduh polis makan rasuah, kuku besi dan seumpamanya.
Kita yang membaca reaksi
ini akan termakan dengan pandangan yang serupa. Tiba-tiba kita turut
menyampaikan komen negatif, seolah-olah seluruh PDRM itu tidak berguna. Padahal, secara peribadi, kita terlupa bahawa
kita ada sepupu, bapa saudara atau kawan sekolah yang menjadi anggota polis. Tergamakkah
kita memberi komen itu kepada mereka?
Gambar seorang artis yang
tidak bertudung kita cemuh dan hina hingga ada yang berani menghukum mereka
sebagai ahli neraka. Walhal, ada di antara saudara mara kita sendiri yang masih
tidak bertudung. Begitu juga perkara-perkara rasis yang kita tatap. Video
seorang Melayu dan India bertumbuk melahirkan komen-komen pedas dan pedih yang
begitu perkauman.
Seolah-olah kaum India
tiada yang baik. Padahal, kita punyai jiran India, kawan sekolah India, tukang
gunting rambut India dan guru tuisyen India yang mendidik anak kita. Mereka
semua baik-baik belaka dan tidak ada kena mengena dengan individu India yang
kita tonton di dalam video yang viral itu.
Berhati-hatilah dalam
mengeluarkan pendapat mengikut kacamata public
opinion. Apabila kita asyik punyai pandangan dari luar, pandangan yang
diperoleh itu banyak yang tidak tepat. Seelok-eloknya kita perlu punyai
pandangan yang introspectif iaitu memandang ke dalam diri sebelum meluahkan
apa-apa pendapat. Jika kita tidak mampu memberi pandangan yang adil terhadap
orang lain, sekurang-kurangnya, adillah kepada diri sendiri.
In sya ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.5.16.
No comments:
Post a Comment