Monday, February 23, 2009

MENEGAKKAN BENANG BASAH












Menegakkan
benang yang basah
sesukar menegakkan
benang yang kering!

BERTEKAK dan berdebat untuk menegakkan yang batil, yang bohong dengan kelentong kata dan auta nada suara boleh meyakinkan orang buat seketika. Lama-lama nanti, segala omong-omong yang kosong isinya, bukti-bukti yang hanya didengar-dengar, segala konon-konon yang direka-reka akan diketahui orang sebagai hampeh.

Seperti menegakkan benang yang basah, ia hampir mustahil kecuali jika benang yang basah itu sentiasa diregang!

BERMUSYUARAH dan berhujah untuk menegakkan yang hak, yang benar dengan inti kata dan intonasi nada suara, boleh meyakinkan orang. Tapi hanya buat seketika. Lama-lama nanti, segala hujah-hujah yang penuh isi, bukti-bukti yang sahih, segala dokumen-dokumen yang diunjukkan akan dilupakan orang juga.

Kalau menegakkan benang yang basah itu hampir mustahil, cubalah menegakkan benang yang kering pula. Ia pun sama sukarnya.

Maknanya, mewujudkan kebatilan dan menegakkan kebenaran sama-sama payah. Terkekehlah dia yang dipercayai kerana pembohongannya. Terkilanlah dia yang tidak diyakini meskipun berkata benar.

Usah gembira wahai si pembohong. Jangan berduka wahai anda yang berkata benar. Penerimaan orang kepada yang benar atau yang salah, yang hak atau yang batil itu bergantung kepada sekukuh mana hati si pendengar tersambung pada tali ALLAH.

Kalau keburukan ada di dalam hatinya, dia terhijab dari mengenal kebaikan dan kebenaran. Dia akan menerima yang batil sebagai benar, yang benar sebagai batil. Sebaliknya, kalau taqwa ada di dalam hatinya, dia tangkas mengenali siapa si pembohong dan siapa yang berkata benar.

Sekilas ikan di air sudah dia tahu jantan betinanya.
Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Sunday, February 15, 2009

TAHUN ANTARABANGSA ASTRONOMI 2009

MENATAP
LANGIT


TAHUN ini dipilih sebagai Tahun Antarabangsa Astronomi 2009 sempena ulangtahun penggunaan teropong oleh pakar astronomi Galileo Galilei. Syukur kerana dalam keadaan dunia yang semakin uzur, kita diingatkan untuk menatap langit melihat ciptaan-NYA.

Tahun Antarabangsa Astronomi 2009 yang diusahakan oleh International Astronomical Union dan UNESCO bertujuan untuk menggalakkan warga dunia untuk menyedari kedudukan mereka di alam ini, melihat langit siang dan malam dengan rasa takjub. Berasa takjublah dan iringilah ia dengan tasbih kesedaran bahawa ia aturan ALLAH.

Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh - yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya);

~ Surah Asy-Syams 1-6 ~

Susunan dan aturan siang dan malam sejak The Big Bang berbilion tahun yang lalu hanya dengan firman Kun Fayakun-NYA, tidak pernah gagal menyusun peredaran bulan, bumi, matahari dan segala planet dalam sistem solar. Malah dalam sistem Bimasakti, malah dalam sistem galaksi, malah peredaran bintang-bintang hingga ke sidratul muntaha. Meskipun berlaku pertembungan galaksi di angkasaraya, ALLAH Yang Maha Penyayang tidak mengizinkan ia terjadi pada bumi ini.

Para saintis sependapat, adalah mustahil berlaku pelanggaran planet di dalam sistem solar buat beribu-ribu tahun akan datang kerana setiap planet terpisah di antara satu sama lain beribu batu jaraknya di antara satu sama lainnya.

Insaflah, ALLAH yang menguasai kesemuanya.Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
~ Al-Buruuj, 9 ~




















IRONI TAHUN
ANTARABANGSA
ASTRONOMI 2009


SELASA
lalu, 10 Februari 2009, dua buah satelit berlanggar 500 batu di angkasa. Satelit Russian Cosmos 2251 dan satelit Iridium Amerika telah bertembung dan mengakibatkan serpihan-serpihan yang boleh membahayakan International Space Station iaitu stesyen angkasalepas antarabangsa yang dihuni oleh sebilangan angkasawan untuk membuat pelbagai kajian sains.

Kerana itu, betapa hebatnya manusia yang melancarkan beratus-ratus buah satelit ke langit, ia tidak dapat menandingi kehebatan ALLAH yang mengatur peredaran berbilion bintang di langit. Subhanallah.

Monday, February 9, 2009

YOU ONLY LIVE ONCE

foto: www.sacred-destinations.com


“Islam is the way of life,
Islam is the way to die!”


~ Andi Muhamad Fajar ~


Inilah mutiara kata yang terhunjam dan tertusuk terus ke dalam hati ini tatkala diucapkan oleh Andi Muhamad Fajar, seorang motivator. Benar, kata-katanya. Islam bukan sahaja untuk jalan hidup, tetapi jalan lurus untuk menemui Maha Pencipta. Berdoalah agar kita kembali dengan cara husnul khatimah.