Tuesday, August 26, 2014

MENCARI KEADILAN


Piccredit: liputanislam.com

KITA HIDUP DALAM
KETIDAKADILAN

KITA wujud di dalam sebuah sistem memberi dan menerima yang boleh dikatakan teratur dan seimbang. Itulah juga yang diajarkan oleh ibubapa dan para guru di sekolah. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Keadilan akan muncul jua akhirnya. Semua kejadian yang berlaku itu ada sebab dan akibatnya. Ia adalah hukum alam. Ia adalah adat dan peraturan yang tersusun rapi. Baguslah  seandainya ia sentiasa begitu.

Namun, apakah itu semua begitu konsisten mengikut apa yang kita pelajari? Apakah bila kita menoleh ke kanan, ke kiri dan ke kanan kembali sebelum melintas jalan seperti yang diajar cikgu di sekolah itu menjamin kita selamat daripada kemalangan? Pada hari ini, selain daripada memandang ke kiri dan ke kanan, kita perlu juga melihat ke atas. Meskipun tiada kereta yang akan melanggar kita dari langit, kita perlu ingat bahawa pada hari ini, ada banyak burung gagak yang bertenggek di atas wayar elektrik!

Maaf cakap… sebenarnya apa yang diajarkan di sekolah itu adalah yang ideal. Di dunia realiti, ia tidak begitu. Sememangnya bagus bila sewaktu belajar di sekolah dahulu kita diketengahkan dengan situasi yang ideal. Tanpa mengetahui apa yang ideal, yang cantik dan sempurna, kita tidak akan mengenali apa yang hodoh dan cacat dalam kehidupan ini.

Namun, jika idealnya ialah buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat, pada realitinya pula, yang sebaliknya boleh berlaku. Kita sendiri pernah berdepan dengan situasi di mana orang yang kita tolong itu menyusahkan kita ~ buat baik dibalas jahat. Atau, kita marah dengan orang yang melanggar kereta kita, tetapi sebaliknya dia hanya menyahut bebelan kita dengan senyuman dan membayar kos membaiki kereta kita tanpa banyak soal ~ buat jahat dibalas baik. 

Maknanya, ideal yang dipelajari di sekolah itu juga yang membikin kita terilusi dengan realiti. Begitu jugalah aspek keadilan dalam kehidupan kita. Keadilan adalah sesuatu yang suci dan ia mesti dipertahankan. Justeru itu, bila kita berasa kita teraniaya, kita akan memperjuangkannya secara bermati-matian. Ada di antara kita yang menggunakan undang-undang bagi menuntut keadilan. Hingga ada yang tergelincir dalam mempertaruh ideal itu sampai ke tahap mengambil undang-undang di tangan sendiri mengikut hukum undang-undang rimba semata-mata kerana ingin menegakkan keadilan itu sendiri.

Namun, daripada sudut yang mudah, apakah kita sedar bahawa ketidakadilan itu sentiasa terjadi dalam kehidupan seharian kita? Boleh dikatakan juga kita sentiasa hidup dalam ketidakadilan! Kita ambil sebuah contoh; tatkala beratur di pejabat pos, apabila tiba giliran kita, petugas meminta kita ke kaunter sebelah kerana waktu rehatnya sudah tiba! Adilkah?

Tatkala memandu, kita berasa boleh melepasi lampu hijau di persimpangan. Tetapi, oleh kerana kereta di hadapan kita itu begitu perlahan, peluang kita melewati simpang tidak akan kesampaian. Bila lampu bertukar kuning, kereta itu tiba-tiba memecut melepasi lampu meninggalkan kita terhenti di lampu merah. Adilkah? Bagaimana pula perasaan kita apabila mesin imbas kad kredit di pasaraya tidak boleh membaca kad kita? Kita tahu kad kredit kita tiada masalah tetapi kerana mesin pengimbas yang kokak itu yang membuatkan kita berasa malu! Adilkah?

Itu adalah di antara ketidakadilan kecil yang kita hadapi. Bagaimana pun, ada orang lain yang berdepan dengan ketidakadilan yang lebih mencabar. Ada banyak kes gadis-gadis yang terpenjara kerana menjadi keldai dadah. Bila tertangkap, mereka terpenjara. Bukan salah mereka, tetapi itulah ketidakadilan. Dan,  kes tragedi MH 370 dan MH17 juga adalah kes ketidakadilan yang menimpa mangsa-mangsa, keluarga dan kita sebagai rakyat Malaysia.

Di peringkat yang lebih besar, ramai sekali para pemimpin dunia yang mengharungi ketidakadilan. Mahatma Ghandi, Nelson Mandela, Aung San Suu Ky, Saddam Hussein dan Muammar Ghadaffi adalah di antara mereka yang menerima padah kerana memperjuangkan keadilan masing-masing.

Ketidakadilan, seperti juga keadilan itu ada di mana-mana. Ia muncul dan menyentuh jalan hidup kita. Kita boleh gembira apabila menerima keadilan, tetapi tidak perlu sampai meroyan seandainya keadilan tidak menyebelahi kita. Samada kita berjaya atau malang apabila berdepan dengan soal keadilan, cukuplah Dia Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Mengadili. Bagi-Nya, bukannya gembira atau duka kita yang diambilkira, tetapi bagaimana kita menangani natijah keadilan itu sendiri seandainya ia tidak berpihak di sebelah kita.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 27.8.2014.


Tuesday, August 19, 2014

PANDUAN UNTUK USAHAWAN MELAYU


Piccredit:  gempakz.org

KISAH AMIN SI PENJUAL KARIPAP

APABILA Amin mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual karipap, dia jugalah yang menjajanya sendiri. Dia tidak perlu menggaji pekerja. Cukup sekadar anggota keluarganya yang membantu untuk menguli tepung, mengupas keledek, mengisar lada dan rempah serta menggorengnya. Amin sendiri yang akan menjaja keliling kampung. 30 butir karipap dengan untung 10 sen sudah mendatangkan pulangan RM3.00 sehari atau RM90.00 sebulan. Cukup untuk menambah pendapatan.

Apabila karipapnya semakin mendapat sambutan, dia mula memikir untuk meletak karipapnya di gerai-gerai selain menjualnya sendiri. Dia mula menggoreng 60 butir karipap.  30 dijualnya sendiri, sementara baki 30 butir lagi dihantar ke tiga buah gerai. Pendapatannya dari gerai itu kurang sedikit kerana Amin terpaksa memberi dalal atau komisyen kepada tuanpunya gerai yang menjualnya.

Jika dia memperoleh 5 sen untuk sebutir karipap yang terjual di gerai, dia akan mendapat untung RM1.50 bagi 30 butir karipap. Amin mendapat RM3.00 hasil jualan sendiri dan RM1.50 jualan di gerai. Kini pendapatannya ialah RM4.50 atau RM135.00 sebulan.

Apabila pendapatannya bertambah, keyakinannya juga akan meningkat. Kini Amin lebih berani untuk menjual 300 karipap sehari di kedai-kedai pula. Kali ini, untuk menjimatkan  masa, dia hanya mengedar karipap dan tidak menjaja sendiri. Pendapatannya untuk 300 karipap sehari yang didarab dengan keuntungan 5 sen akan menjadi RM450 sebulan.

Fikiran orang berniaga selalunya tidak terhenti di situ. Cita-cita kian membara untuk melihat perniagaannya berkembang. Amin mula mendapat khidmat nasihat daripada agensi kerajaan dan belajar memproses karipapnya secara komersial. Jika sebelum ini kesemua kerjanya dilakukan secara manual, kini Amin mula menggunakan mesin-mesin kecil. Atas nasihat pakar, dia tidak lagi menjual karipap goreng. Sebaliknya jenis sejuk beku.

Jika sebelum ini dia menjaja dengan menjual 30 butir karipap sehari, kemudian menjual 300 butir melalui jualannya di kedai, kini dengan teknologi pengeluaran, dia boleh mengeluarkan 3,000 karipap sehari. Jika sebungkus mengandungi 10 butir karipap, Amin boleh mengeluarkan 300 paket karipap sehari atau 9,000 paket sebulan. Persoalan sekarang, di manakah tempat yang baik untuk Amin mengedar karipap-karipapnya? Tentu sekali mengedarkannya di pasaraya-pasaraya.

Tetapi, apakah masalah yang Amin hadapi? Amin berdepan dengan pelbagai syarat daripada pihak pasaraya sebelum mereka bersetuju untuk menjual karipapnya. Mereka mahukan diskaun yang tinggi sehingga 50 % daripada harga jualan dan kadar kredit melebihi 180 hari. Dia mesti menghantar bekalan mengikut jadual yang ditentukan. Kegagalannya menghantar stok karipap mengikut permintaan dan waktu akan dikenakan penalti. Kelewatan mengambil stok yang sudah luput tarikh juga akan dikenakan penalti.

Amin juga disyaratkan untuk menyertai segala promosi yang dijalankan oleh pasaraya itu. Jurujual untuk promosi itu juga terpaksa Amin sediakan. Apabila pasaraya itu hendak mempromosikan pasarayanya, Amin mesti membayar untuk mengiklankan karipapnya di dalam risalah pasaraya itu. Jika dia mahu produknya dibariskan di peti sejuk bahagian hadapan, dia terpaksa pula membayar kos sewa tempat dia mempamer produknya. Jika dia tidak sanggup, produknya akan terperosok di peti sejuk bahagian belakang.

Amin yang tidak memahami situasi ini akan mempunyai andaian bahawa pihak pasaraya mempunyai dasar diskriminasi yang tidak mahu usahawan Melayu berjaya di dalam perniagaan. Kepercayaan ini akan membuatkan Amin berasa terpinggir dan akhirnya tidak mahu membesarkan perniagaannya hingga ke peringkat nasional. Inilah kepercayaan yang biasa dihadapi oleh sebilangan usahawan Melayu.

Sebenarnya, inilah adat dalam dunia perniagaan. Ketika mula berniaga, gerai di mana Amin meletak kuihnya hanya ‘membantu Amin menjual karipap.’ Apabila dia menjual di kedai-kedai, ‘Amin memberi peluang kepada kedai-kedai itu untuk menambah pendapatan dengan menjual karipapnya.’ Tetapi, apabila Amin menjual di pasaraya, sebenarnya pasaraya hanya ‘menyewakan ruang kepada Amin untuk menjual produknya.’ 

Pihak pasaraya sudah ada nama. Malah mereka hanya menjual jenamanya. Segala barangan yang terjual di situ pula hanya menumpang tempat mempamer dan menjual barangan mereka. Jika produknya laku, pasaraya akan suka. Andaikata sebaliknya, pihak pasaraya tidak akan ragu-ragu untuk menolak produk itu. Pendek kata, jika anda bagus, mereka tidak akan melihat warna kulit anda.

Inilah yang harus disedari oleh usahawan Melayu. Saya kongsikan pandangan berdasarkan pengalaman saya menjual buku dari gerai-gerai kecil, kedai-kedai besar dan juga di rangkaian gedung-gedung buku yang juga mempunyai pendekatan yang sama. Amin mengangguk-angguk faham setelah mengeluh dalam.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 20.8.2014.

Tuesday, August 12, 2014

THE NEW FORCE


Piccredit: unaidspcbngo.org 

KUASA BAHARU
DARIPADA NGO

BERBANDING sebelum ini, boikot terhadap rangkaian burger McDonald’s tampak berkesan. Tinjauan akhbar Sinar Harian ke premis-premis restoran itu ke merata bandar di semenanjung mendapati ia lengang. Nampaknya kemarahan rakyat terhadap Israel kian membara dan ia dimanifestasikan dengan tindakan boikot itu.

Tetapi apakah ertinya? Ia adalah petanda penting bahawa masyarakat semakin bebas berfikir. Mereka juga semakin berani bertindak mengikut apa yang mereka percayai. Maklumat mengenai McDonald’s dan kaitannya dengan Israel mereka peroleh melalui pembacaan mereka di risalah, laman web dan juga laman sosial. Siapakah yang memberi mereka maklumat ini? NGO.

Nampak gayanya, kempen-kempen NGO semakin mendapat perhatian dan respons rakyat. Sebelum ini kempen keselamatan jalan raya, kempen anti-merokok, sayangi sungai atau cintai hijau lazimnya dianjurkan oleh pihak kerajaan ataupun  swasta melalui bahagian CSRnya.  Kini banyak sekali kempen turut dianjurkan oleh NGO-NGO. Kempen-kempen ini juga mendapat sambutan. Maknanya NGO semakin berperanan untuk mencorak pemikiran masyarakat.
Jika kita singkap kembali pada mana-mana negara yang baharu merdeka, paksi kuasanya datang daripada orang politik. Orang politiklah yang memimpin rakyat hingga menggembleng tenaga untuk mencapai kemerdekaan. Setelah sesebuah negara itu bebas, halatuju negara daripada segi ekonomi, sosial, pembangunan, malah agamanya menerima sentuhan menyeluruh daripada orang politik.

Apa jua masalah yang dihadapi oleh rakyat akan dikemukakan kepada orang politik. Mereka adalah payung, pemimpin dan penyelamat rakyat. Mereka menjamin masa depan rakyat yang cemerlang dan sejahtera. Kebergantungan rakyat terhadap orang politik begitu padu sehinggakan rakyat begitu manja dengan para pemimpin mereka. Balasan rakyat kepada orang politik pula diterjemah melalui sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam pilihanraya.

Bagaimana pun, mana-mana negara yang merdeka perlukan pembangunan. Prasarana perhubungan, pembangunan, pendidikan, keselamatan dan segala-galanya perlukan ongkos. Maka mana-mana pemimpin politik negara yang baharu merdeka itu akan menyediakan ruang buat golongan perniagaan untuk sama-sama melabur untuk pembangunan negara.

Golongan peniaga pula,  selain daripada membantu negara meningkatkan ekonomi melalui usaha perniagaan di peringkat domestik mahupun antarabangsa, mereka juga  mahu memaksimakan pulangan melalui pelaburan yang minima. Tentu sekali mereka mahu dasar-dasar, undang-undang dan peluang-peluang yang menguntungkan mereka.

Berikutan dengan persefahaman di antara orang politik dan perniagaan, lama kelamaan orang politik pula bergantung pada golongan perniagaan. Samada secara sedar atau tidak, maka terjadilah pelbagai persetujuan orang politik dan perniagaan yang bersandarkan kepada keuntungan jangka pendek.

Banyak dasar dan peraturan yang lurus dibengkokkan supaya pihak kerajaan yang dikuasai oleh orang politik mendapat sumber kewangan daripada golongan peniaga. Kejayaan yang berulang pula menimbulkan perangai tamak. Maka kepentingan negara menjelma menjadi kepentingan peribadi. Orang politik mula terjebak dalam penyalahgunaan kuasa. Rasuah, nepotisme dan kronisme menjadi suatu kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya dalam pemerintahan. Maka benarlah kata-kata Lord Acton; Power corrupts. Absolute power corrupts absolutely.
Kesemua ini menjadikan golongan rakyat terpinga-pinga. Mengapa orang politik tempat mereka bergantung harap telah membelakangkan mereka? Mengapa suara-suara rintihan mereka sudah tidak didengar, malah tidak dipedulikan lagi? Ke manakah tempat mereka hendak mengadu?

Dalam pada itu, negara yang semakin lama merdeka akan mempunyai rakyat yang semakin cerdik. Dengan ledakan maklumat melalui internet, banyak sekali ilmu yang diperolehi rakyat. Mereka mula mempersoalkan kesilapan dan kesalahan orang politik yang membuat keputusan.

Dengan prasarana komunikasi yang hebat, rakyat yang cerdik mula mewujudkan komuniti. Secara organik, mereka menubuhkan pelbagai kumpulan. Kumpulan sembang bertukar menjadi kumpulan perbincangan yang serius. Akhirnya mereka menjelma menjadi NGO.

Orang politik dan golongan peniaga yang tidak sedar akan wujudnya fenomena ini pada mulanya tidak  pandang sebelah mata pun terhadap kumpulan ini kerana menganggap NGO-NGO ini sama seperti NGO-NGO yang saban tahun mendapat dana daripada kerajaan.

Mereka ini berbeza. Tidak perlu beralas kata dalam mengkritik kerajaan kerana mereka memperoleh dana daripada rakyat,  pihak luar mahupun menjana melalui aktiviti mereka sendiri. Kepentingan rakyat menjadi kepentingan mereka. Dari rakyat untuk rakyat.
Maaf cakap… orang politik dan orang perniagaan yang tidak peka dengan fenomena ini akan diketepikan seandainya mereka tidak memenuhi piawaian rakyat yang ditunjangi oleh kuasa baharu ini. Kuasa ini sedang semarak di negara kita ini.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit apda 13.8.2014.

Tuesday, August 5, 2014

BOIKOT SATU MANIFESTASI KEBENCIAN


Piccredit: chedet.cc

BOIKOT PERLU
ADA PRINSIPNYA


APABILA kesuntukan waktu, saya sekeluarga lebih suka makan di sebuah restoran berhampiran dengan rumah kami. Restoran itu adalah sebuah restoran biasa, tetapi ia menyediakan pelbagai hidangan antarabangsa. Selain daripada masakan Melayu, ia turut menghidangkan masakan Thai, Itali dan barat. Pendek kata ada tomyam, ada spaghetti dan juga steak. Terdapat juga gerai-gerai kecil daripada pengusaha lain di restoran itu yang turut menyediakan makanan Arab, Indonesia dan Jepun. Maknanya, ada hidangan nasi mandy kambing, ayam penyet dan takoyaki.
Hidangan daripada pelbagai negara sudah menjadi suatu kebiasaan di restoran-restoran sederhana.  Malah di medan-medan selera pun, kita boleh menjamu selera dengan pelbagai masakan antarabangsa. Ramai pula orang kita yang sudah pandai memasak pelbagai hidangan daripada merata dunia.

Begitu jugalah di restoran yang berhampiran dengan rumah saya itu. Restorannya biasa-biasa sahaja. Malah tiada pendingin hawa pun. Bagaimana pun harganya seperti di restoran eksklusif. Jika diukur daripada segi suasana, harga menunya memang tidak berpadanan. Masakannya dihidang di dalam pinggan plastik seperti standard di medan selera. Bukannya ada sekuntum bunga pun yang menghiasi pinggannya.

Ramai yang merungut mengenai harganya secara terbuka di laman sosial. Bukan orang Melayu sahaja, malah semua bangsa pun yang turut kompelin. Namun oleh kerana lokasi dan tempat parkirnya mudah, maka masih ramai termasuk saya yang masih mengunjunginya. Sehinggalah bila saya berdepan dengan sebuah insiden…
Malam itu saya sekeluarga singgah sekejap ke restoran itu sekitar jam 11.00 malam. Yang lain tidak mahu makan kerana masih kenyang. Hanya saya yang memesan mi goreng segera. Seperti biasa, apabila hendak membayar, saya sebutkan apa yang diminum dan dimakan. Tiba-tiba si penjaga kaunter tergelak kuat. Katanya, ‘Maggi sahaja ke? Hahaha…’

Apabila pelanggan yang duduk di meja berhampiran mula menjeling bila terdengar ketawa si penjaga kaunter, saya jadi bengang. Mujur lampu di restoran itu berwarna kuning. Andainya lampu kalimantang yang memutih, pasti wajah saya nampak merahnya. Dengan selamba saya membayar harga pesanan. Tetapi, di dalam hati, saya telah mengambil keputusan untuk memboikot restoran itu. Kini setelah lebih tiga bulan saya memboikot restoran itu, saya sudah tidak teruja untuk ke situ walaupun bila terpandang papan tandanya. Setakat ini, hati saya belum terbuka untuk ke restoran itu lagi. Tambahan pula, saya boleh sahaja makan di restoran lain yang berhampiran.

Memboikot adalah sebuah tindakan untuk tidak mengguna, membeli atau berurusan dengan individu, organisasi mahupun negara sebagai tanda protes. Di dalam kehidupan peribadi kita pun, boikot biasa terjadi. Contohnya, si anak tidak mahu menegur kita kerana kita tidak membelikannya mainan. Emak memuncung bibir dan membisu seribu bahasa kerana kita tidak menjamah masakannya apabila sudah makan di luar. Atau kekasih yang mematikan telefonnya semata-mata kerana kita terlupa mengucapkan selamat hari lahirnya.

Boikot di peringkat domestik mahupun di pejabat biasanya berbentuk peribadi. Kita boleh berhenti memboikot apabila pihak yang kita boikot itu berubah kerana sedar akan kesilapannya. Perhubungan yang renggang itu akan bertaut kembali. Itulah yang sebaik-baiknya.

Tidak perlulah melampau hingga bukan sahaja tidak bertegur sapa, malahan bermasam muka bila bertemu.  Boikot yang pada asalnya hanya untuk menunjukkan protes sudah melarat menjadi peraduan siapa yang lebih ego. Akhirnya kita juga yang susah apabila wajah kita yang relaks tiba-tiba diketatkan sebaik sahaja terpandang kelibatnya. Bila bertemu, sama-sama mencebir. Pura-pura membenci, padahal di sudut hati terlonjak-lonjak mengharap pihak yang satu lagi menghulurkan senyuman. Apa salahnya memulakan sapaan agar hati kedua-duanya cair dan seteru bertahun-tahun itu gugur seperti gugurnya dosa-dosa menjarakkan silaturrahim?

Boikot itu mesti tepat perpektif dan tujuannya. Ia bukan dengan harapan pihak yang diboikot itu binasa. Jika itulah harapannya, hati akan sakit dan terasa tewas apabila pihak yang diboikot itu tampak tidak terjejas, malah lebih hebat. Yang sepatutnya ialah boikot itu dilakukan kerana kebencian kita terhadap apa yang dibuat oleh pihak yang diboikot itu. Jika pun pihak yang diboikot itu dilihat tidak menerima kesannya, ia bukan tugas kita untuk memaksa ia terjadi.


Sepertimana boikot saya terhadap restoran dekat rumah saya itu… saya memboikot kerana tidak setuju dengan layanan mereka. Walaupun ia terus maju dengan amalan perniagaan yang saya tidak setuju, ia bukan lagi masalah saya. Saya tidak kecewa dan sakit hati kerana boikot itu adalah tindakan berlandaskan prinsip yang saya anuti. Siapa menang atau siapa yang kalah bukan persoalannya. Yang lebih utama ialah manifestasi boikot itu sendiri.

Artikel ini insya-ALLAH akan terbit esok, 6/8/2014.