Tuesday, February 24, 2015

MENANGANI MASA


Piccredit: blog.innotas.com

MASA ITU MUSUH
ATAU SAHABAT?
SAYA selalunya tersenyum apabila dalam sesuatu majlis, juruacara akan berkata, ‘Oleh kerana masa mencemburui kita, maka setakat inilah majlis kita pada hari ini.’ Saya tersenyum kerana memikirkan, bukankah kita yang mencemburui masa dan bukan sebaliknya? Masa, meskipun bergerak detik demi detik dengan begitu perlahan, ia kerap mendahului kita. Masa adalah sesuatu yang selalu meninggalkan kita meskipun kita boleh berlari lebih laju daripada putaran jarum saatnya. Bagaimana ya, masa yang bergerak perlahan itu tidak dapat kita kejar?

Ada di antara mereka yang memusuhi masa. Beranggapan masa itu menyusahkan. Bagi mereka, bergerak ke sesuatu tempat atau menyudahkan sesuatu kerja mengikut masa yang ditetapkan itu adalah suatu stres. Rancangan esok tidak mahu difikirkan. Mereka berpendapat, biarlah hal esok, esok punya cerita. Jika begitu pandangan mereka, memanglah mereka akan sentiasa ditinggal waktu.

Dalam pada itu, di antara mereka pula yang dapat berkawan dengan masa. Mereka dapat mengurus diri dan kerjanya agar seiring dengan masa. Ia boleh terjadi apabila mereka punyai disiplin yang kuat dalam menepati waktu. Kebolehan menganggar waktu dalam menyelesaikan sesuatu itu membolehkan mereka menguasai masa.

Di antara mereka yang memusuhi masa mahupun yang dapat bersahabat dengannya, terdapat golongan yang kadangkala sukakan masa, tetapi ada ketikanya benci pula padanya. Suka pada masa apabila menikmati sesuatu. Benci pada masa apabila tidak suka berdepan dengan apa yang bakal dilalui. Mereka berdepan dengan kerja yang semakin bertambah, tetapi sebaliknya masa tetap 24 jam sehari. Banyak kerja yang tercicir, terbengkalai, malah terlepas pandang kerana masa makin menghimpit akibat banyaknya kerja. Kadangkala terfikir pula, apakah masa itu musuh atau sahabat? Golongan ini adalah kita.

Kita tidak boleh memusuhi masa kerana kita amat memerlukannya. Justeru itu, kita perlu mencari jalan agar menyukai masa supaya kita dapat bersahabat dengannya. Tetapi, bagaimana mengendalikan masa yang kian sukar dikawal itu?

Apakah kita sudah terlupa bagaimana kita mengharungi masa ketika zaman persekolahan dahulu? Kita boleh bangun pada jam 6.00 pagi dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Kita berjalan kaki, berbasikal mahupun menaiki bas sebelum matahari muncul lagi. Dalam sehari kita belajar pelbagai matapelajaran, silih berganti. Pulang ke rumah, terus pergi mengaji, bersukan dan membuat kerja rumah sebelum tidur. Pada hari esoknya, kita lalui kembali pelbagai aktiviti daripada pagi hinggalah ke malam hari. Mengapa kita tidak berasa lelah? Mengapa tidak berasa terhimpit?

Jika pada hari ini kita stres kerana perlu menghadiri mesyuarat, menyiapkan laporan, perbincangan projek, menjawab telefon, melayani e-mel, bertemu dengan bos, makan tengahari dengan klien dan pelbagai lagi tugasan, bukankah itu berbahaya kerana ia akan mengakibatkan seseorang menghidap penyakit yang di antaranya darah tinggi, lemah jantung atau migrain? Itu belum termasuk lagi keadaan fikiran yang menjejaskan pertimbangan membuat keputusan atau mengganggu perhubungan dengan rakan sepejabat.

Jika orang lain juga mempunyai masa 24 jam sehari seperti kita juga, bagaimana orang lain tidak stres tetapi kita bingung dengan segala perkara? Di antara sebabnya ialah kegagalan kita untuk membahagi masa. Oleh kerana kita tidak membahagi masa tetapi sebaliknya memikirkan semua kerja itu selonggok di depan mata, maka ia kelihatan banyak dan begitu membebankan. Pada waktu yang sama,  kita belum pun memulakan suatu apa pun.

Ingat tak, di waktu sekolah dahulu, kita belajar tidak kurang lapan matapelajaran dalam satu-satu hari? Selepas subjek Bahasa Melayu, ada Matematik yang diikuti dengan matapelajaran Biologi, Geografi, Sejarah, Agama, Sastera dan Kemahiran Hidup. Kesemuanya kita lalui subjek demi subjek, silih berganti. Mengapa kita tidak penat atau stres? Kita boleh melaluinya dengan selesa kerana kita berupaya menanganinya satu persatu. Selepas subjek Bahasa Melayu, kita hadapi matapelajaran Matematik, Biologi, Geografi dan seterusnya.

Ertinya, kita menangani apa yang ada di depan mata. Tidak memandang pada subjek yang bakal menjelang dan juga melupakan subjek yang telah diikuti. Begitu juga dalam suasana kerja. Jika kita boleh fokus dengan apa yang perlu dilakukan pada sesuatu masa dan tidak peduli dengan apa yang bakal kita lalui serta mengenepikan apa yang telah kita selesaikan, kita sebenarnya meringankan beban di fikiran.


Masa menjadi musuh jika kita tidak susun apa yang perlu kita lakukan seiring dengan pola waktu. Jika masa itu dibahagikan kepada saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun, kerja kita perlu punyai peruntukan masa. Jika kita tiada memperuntukan masa bagi setiap perkara; bila mahu mula dan bila mesti berhenti, maka lehidupan kita akan jadi haru-biru.  Oleh kerana masa itu sentiasa membayangi apa yang kita lakukan, maka kita mesti mencari jalan bersahabat dengannya. Jangan lupakan masa. Caranya begitu mudah. Selalulah memandang jam! Ia kelakar bagi sesetengah orang. Tetapi perasan tak, banyak kelewatan kita terjadi kerana kita terlupa memandang jam!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25/2/2015, insya-ALLAH...

Tuesday, February 17, 2015

MENGENDALI MASA YANG MAKIN LIAR


 
Piccredit: artbistro.monster.com
 
BENARKAH KITA
SEMAKIN
CULAS?

PERANGAI suka curi tulang di waktu pejabat adalah suatu sikap yang tak akan hilang selagi tiada perasaan bersalah yang terbit di hati pelakunya. Baru-baru ini, apabila Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sendiri membuat terjahan ke atas kakitangan awam yang culas di sekitar kafe bangunan SUK Selangor, ia membuktikan bahawa fenomena ini masih wujud.

Di mana-mana jabatan kerajaan mahupun swasta, perangai curi tulang ini sengaja dilakukan oleh segelintir kakitangannya. Seseorang pekerja baharu tidak akan berani melakukannya. Tetapi apabila dia belajar melalui pemerhatian dan ajakan daripada rakan sejawat, maka dia mula ikut-ikut dan akhirnya sikap curi tulang itu menjadi tabiat. Ia menjadi masalah apabila rasa bersalah sudah hilang daripada si pelakunya. Kesannya besar daripada aspek untung rugi dalam bentuk wang ringgit dan juga man-hour.

Curi tulang secara sedar adalah tidak amanah. Tidak amanah itu adalah perbuatan khianat. Pelakunya bukan sahaja mengkhianati amanah ke atas tanggungjawabnya, khianat kepada diri sendiri, malah memberi kesan terhadap keberkatan rezeki yang diterimanya untuk nafkah keluarga. Maaf cakap, bukan rasuah sahaja sikap yang tidak amanah. Curi tulang juga tidak amanah. Bukan besar atau kecil nilai ringgit yang menjadi pengukurnya, tetapi perbuatan itu sendiri adalah sesuatu yang salah. 

Dalam pada itu, andainya kita bukan daripada kalangan mereka yang suka melepak atau membeli-belah di waktu pejabat, ia belum bermakna pula kita seratus peratus amanah. Seandainya kita duduk di dalam pejabat daripada jam 9.00 hingga 5.00 pun, belum tentu lagi kita bertugas sepenuh-penuh masa jika kita tidak peka untuk menjaga tindak-tanduk kita sendiri dalam mengurus masa.

Dalam sehari, kita mempunyai 86,400 saat, atau 1,440 minit atau 24 jam. Jika waktu kita bertugas adalah 8 jam sehari, belum tentu lagi kita menggunakan sepenuh masa itu, apatah lagi bekerja melebihi 8 jam. Ini adalah kerana, dalam sejam sahaja kerja kita akan terganggu dengan pelbagai hal yang tiada kaitan secara langsung dengan kerja.

Panggilan telefon adalah di antara perkara yang mengalihkan tumpuan. Ia mungkin sahaja menyambungkan panggilan yang tersilap tiba ke meja kita atau bersembang walaupun seketika setelah mendapatkan maklumat daripada orang yang kita hubungi. E-mel juga banyak mengambil masa. Selain daripada yang ditujukan khusus untuk kita, ada banyak juga e-mel yang ‘disalin kepada’ kita untuk pengetahuan. Itu belum lagi termasuk e-mel-e-mel yang tidak ada kena mengena dengan kita. Membaca, membalas mahupun menyisihnya pun mengambil masa.

Jangan lupa kepada panggilan, mesej dan imej yang muncul di telefon pintar. Kini ia paling banyak mengalih tumpuan kita daripada kerja. Perisian WhatsApp misalnya, umpama tempat bersembang, walaupun kita berbicara sesuatu mengenai negara mahupun agama. Selagi ia di laman WhatsApp, ia hanya sembang-sembang sahaja. Tulisan, tanpa tindakan.

Melayaninya pula seolah-olah seperti kita bekerja di dalam sebuah bilik yang penuh dengan orang yang asyik bersembang. Berapa banyak kumpulan WhatsApp yang kita ada, seolah-olah sebanyak itulah kumpulan yang sedang bersembang di sekeliling kita. Tentu terlintas di fikiran kita untuk keluar sahaja daripada beberapa kumpulan sembang WhatsApp yang sudah tak relevan. Tetapi, kita pula yang tak sampai hati kerana takut ada yang terasa hati. Ha, ha.

Berbincang mahupun bermesyuarat pun adakalanya boleh melarat menjadi penyumbang kepada terbuangnya masa. Mesyuarat perkembangan projek yang seharusnya tamat tidak lebih daripada satu setengah jam. Jika ia melebihi dua jam, ia sebenarnya tidak produktif kerana tumpuan anggotanya sudah hilang lebih-lebih lagi apabila karipap, mihun goreng dan kopi mula beredar di meja mesyuarat. Pengerusi mesyuaratlah yang harus menjaga arah tuju mesyuarat, jangan sampai melarat dengan sembang yang lari daripada agenda perbincangan. Jika 10 orang menghadirinya, tambahan 10 minit bererti 100 minit man-hour telah terbazir!

Banyak sekali pendekatan dilakukan untuk memperkemas waktu bekerja kita. Banyak jabatan sudah punyai prosedur operasi standard, etika, piagam mahupun ikrar perkhidmatan. Bila ia tidak dihayati, maka ia menjadi hiasan yang amat cantik di dinding untuk menawan hati pelanggan kepada perkhidmatan kita. Bila tidak diamal, bukankah itu suatu bentuk perdaya?

Curi tulang, samada secara sengaja mahupun tidak, akan menjadikan kita culas iaitu curang, malas dan lembab bekerja. Kita perlu atasinya dengan mengingati bahawa kerja yang kita perolehi ini adalah sesuatu yang kita dapat dengan susah payah. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak dapat bekerja sepenuhnya lapan jam sehari. Untuk memperoleh berkat, mengapa tidak kita melebihkan sedikit masa pulang ataupun mengawalkan sedikit masa mula bekerja? Dalam kecanggihan komunikasi pada hari ini, di waktu luar pejabat pun, ada sahaja panggilan atau mesej daripada bos atau rakan sejawat mengenai kerja. Kita seolah-olah perlu bekerja di waktu rehat. Mengapa kita merengus? Bukankah kita sudah banyak berehat di waktu kerja? Apa salahnya bekerja sedikit di waktu rehat pula?

Tuesday, February 10, 2015

TEKNOLOGI YANG MEMESONGKAN


Piccredit: en.wikipedia.org

TELEFON ATAU KITA: 
SIAPA LEBIH PINTAR?
TELEFON adalah alat teknologi yang paling kerap kita gunakan. Dahulu, telefon bukanlah alat terpenting kerana alat teknologi yang ada di kebanyakan rumah adalah radio atau televisyen. Ketika itu, tidak ramai yang punyai telefon di rumah. Alat itu hanya ditempatkan sebagai telefon awam atau sebagai alat kegunaan di pejabat. Apabila kita semakin moden, baharulah kebanyakan daripada kita mempunyai telefon di rumah.
Telefon mula popular apabila telefon tanpa wayar diperkenalkan. Masih ingat lagikah kita pada era telefon ATUR iaitu Automatic Telephone Using Radio pada akhir tahun-tahun 80an? Telefon itu harus dijinjing bersama dengan pengecas besar seperti sebuah beg. Apabila muncul telefon generasi 1G jenis analog, penggunaan telefon mudah alih semakin penting. Ketika itu, telefon 1G besarnya seperti setongkol kayu.
Bagaimana pun, ia diaksikan dengan penuh gaya oleh segelintir pengguna kerana tidak ramai yang mampu memilikinya ketika itu. Mungkin ramai yang ingat lagi bagaimana si pengguna akan bercakap terjerit-jerit di khalayak ramai, mungkin kerana talian kurang elok ataupun itu adalah stail mereka yang bertelefon bimbit. Malah, ada tampak bergaya bila berjalan dengan telefon yang tersembul di poket belakang seluarnya!
Zaman digital telefon 2G digital menghasilkan sedikit kecanggihan. Nama pemanggil akan tertera. Ini membolehkan seseorang itu tahu siapakah yang menelefon. Jika panggilan tidak berjawab, sistem pesanan suara membolehkan mesej dikirim. Kemudahan SMS turut diperkenalkan bilamana seseorang itu boleh meninggalkan pesanan. Tetapi had karektor yang sedikit itu melahirkan pula ejaan SMS yang serba ringkas.
Kemunculan telefon 3G membolehkan seseorang itu menghantar imej. Telefon bertambah fungsi menjadi kamera. Pada hari ini, generasi 4G  yang dikenali sebagai telefon pintar membolehkan si pengguna menghantar mesej berbentuk tulisan, imej, suara serta video.
Pautan internet yang lebih mudah dan lancar dengan pelbagai perisian yang boleh dimuat turun serta bermacam-macam pautan media sosial khususnya Facebook serta WhatsApp menjadikan telefon pintar sebagai alat yang amat diperlukan. Malah, boleh dikatakan telefon pintar bukan sahaja menjadi suatu gaya hidup, malah suatu keperluan yang wajib dimiliki oleh sesiapa sahaja.
Bayangkan. Ia mempunyai perisian untuk pengurusan peribadi seperti mesyuarat dan aliran tunai, perisian e-mel, sebagai radio, sebagai televisyen, alat untuk mempastikan tempat tujuan melalui GPS dan juga mengelak kesesakan lalulintas sepertiWaze. Malah, seseorang boleh tahu di manakah dia meletakkan keretanya di parkir pusat membeli-belah hanya dengan menggunakan perisian daripada telefonnya. Jika seseorang malas untuk menekan butang, dia boleh sahaja bercakap memberi arahan kepada telefonnya termasuk bertanya mengenai ramalan keadaan cuaca hari ini. Begitulah fungsi pelbagai telefon hingga kita bukan sahaja bergantung, malah bergayut dengannya.
Apa pun yang digunakan secara berlebihan akan memudaratkan. Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, telefon pintar menjadikan kita asyik dengannya. Malah, kita kerap tenggelam di alam siber. Pergilah ke tempat awam dan kita akan ternampak ramai sekali mereka yang berjalan sambil menulis atau membaca di telefon masing-masing. Seolah-olah mereka sudah menjadi zombie kerana mereka berada di mana-mana sahaja di dunia kecuali di tempat mereka berada!
Telefon pintar merapatkan yang jauh. Ironinya ia menjarakkan mereka yang paling hampir dengan kita. Kita biasa melihat mereka berkunjung restoran untuk makan malam bersama keluarga. Tetapi mereka tidak bercakap dengan orang di sisi mereka. Sebaliknya mereka berhubung dengan orang yang berada beratus kilometer daripada mereka. Ia menepati peribahasa Melayu, kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.
Sepasang suami isteri boleh baring sekatil, tetapi berbual dengan orang lain hingga terlelap. Bagi yang beribadah pula, yang penting selepas bersolat bukannya berdoa tetapi menggagau telefon untuk melihat mesej siapakah yang sampai. Mesyuarat syarikat menjadi pelik bilamana tiada sesiapa pun yang mendengar apa yang bos perkatakan kerana masing-masing asyik bermesej. Tetapi sudah menjadi biasa pula, apabila pekerja membentangkan laporan, bos pula asyik menatap video yang dikirim oleh rakannya.
Semua orang tahu bahawa pengunaan telefon pintar itu perlu dibataskan. Perlu ada masa untuk membelek dan masa untuk menyisihkannya. Banyak kerja yang rutin dan mudah jadi tergendala gara-gara telefon pintar. Telefon yang dahulunya alat kuno kini telah menjelma menjadi sebuah produk pintar. Malangnya, kita yang lebih cerdik kini sudah menjadi hamba kepada telefon pintar. Tetapi siapa yang mahu komplen berlebih-lebih? Pagi ini saya menegur staf saya, sebentar lagi saya juga yang bergayut dengan telefon. Bos saya pun boleh menegur saya. Tetapi sebentar lagi, dia pun dua kali lima!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.2.2015, insya-ALLAH...

Tuesday, February 3, 2015

MENCARI BAHAGIA KEBENARAN


 
Piccredit: emirates247.com

PABILA BULAN
MELINGKARI KAABAH

BARU-BARU ini, saya menerima pesanan WhatsApp daripada seorang sahabat mengenai sebuah fenomena yang bakal terjadi. Pesanan itu berbunyi: “Sesiapa yang berdoa pada malam ini, doanya akan termakbul kerana bulan akan bertawaf mengelilingi Kaabah tepat jam 3.25 pagi. Apabila langit bertukar biru, inilah saat apabila doa kamu diterima. Fenomena ini hanya berlaku pada setiap 100,000 tahun.  Sila sebarkan pesanan ini kepada sesiapa sahaja. Bila anda sebarkan mesej ini kepada sahabat handai, semua doa anda akan dikabulkan ALLAH SWT.”

Sebuah doa penceramah antarabangsa terkenal Mufti Ismail Menk, disisipkan sebagai pautan. Saya terus memainkan video yang diberikan. Ternyata ia adalah video doa penceramah terkenal itu, siap dengan grafik latar berwarna kebiru-biruan. Separuh jalan menonton video itu, saya menutupnya kerana pasti doa Mufti Ismail Menk itu tiada kena mengena dengan  kejadian bulan mengelilingi Kaabah.

Awal-awal lagi sudah mengagak bahawa mesej itu adalah palsu. Mana mungkin bulan mengelilingi Kaabah kerana bulan berfungsi mengelilingi bumi. Tarikan graviti di antara bulan dan bumi itu sendiri yang menjadikan masing-masing berputar mengikut orbitnya. Seandainya bulan mengubah orbitnya pula untuk mengelilingi Kaabah meskipun dari atas langit, ini akan mengakibatkan malapetaka kerana tarikan graviti sudah terganggu. Gerakan bulan yang sedikit menghampiri bumi pada akhir tahun lalu pun sudah turut menjadi penyumbang kepada banjir besar akibat fenomena supermoon.

Saya memberi maklumbalas kepada sahabat saya itu bahawa mesej itu adalah palsu dengan memberi hujah seperti di atas. Saya menyentuh mengenai kesan butterfly effect, iaitu perubahan kecil di sesebuah tempat akan mengakibatkan kesan yang besar di tempat yang lain. Perlanggaran planet bisa berlaku di sistem solar!

Dalam pada itu, mengapa perlu hairan, takjub dan mengejar saat 3.25 pagi, dalam tempoh 100,000 tahun itu untuk berdoa, sedangkan kita punyai waktu sepertiga malam pada setiap malam untuk berdoa? Waktu itu adalah waktu mustajab untuk berdoa. Bahkan, kita punyai malam 1,000 bulan pada setiap Ramadan di mana doa kita akan dimakbulkan.

Jawapan saya itu mendapat respon yang menarik daripada sahabat saya. Katanya, dia mempunyai seorang kenalan yang kini berada di Kota Mekah. Beliau akan meminta kenalannya itu untuk memerhati langit pada malam tersebut. Menarik, kerana sahabat saya itu juga mahukan kepastian apakah mesej yang beliau terima itu benar ataupun palsu seperti yang saya hujahkan.

Keesokan harinya, sahabat saya itu menghantar mesej. Katanya, kenalan beliau tidak mendapati apa-apa perubahan di langit Kota Mekah pada malam itu. Oleh itu, mesejnya itu disahkannya sebagai palsu. Demikian pengakuan sahabat saya itu. Alhamdulilah kerana apabila saya mempersoalkan mesej yang beliau sebarkan, dia mengambil pendirian untuk mendapat pengesahan secara amali.

Pagi semalam, seorang teman yang lain pula menghantar entri Mufti Ismail Menk sendiri di laman Facebooknya. Beliau menafikan ada kaitan dengan penyebaran mesej bervideo itu. Pada semalam juga, seorang rakan lain menyampaikan mesej bahawa viral ‘bulan mengelilingi Kaabah’ itu sudah berlegar di alam siber sejak tahun 2009 lagi. Punyalah hebatnya penyebaran fitnah di akhir zaman. Andainya ada di antara sesiapa yang percaya akan mesej itu, kasihannya dia kerana berdoa pada malam itu sedangkan bulan sudahpun mengelilingi Kaabah enam tahun nan lalu!

Sebenarnya, bukan mudah untuk menapis di antara fakta dan auta yang meliar. Puncanya kerana sikap kita juga. Pertama, kita mudah teruja dengan sesuatu berita yang disampaikan. Oleh kerana seronok inginkan nama diketahui sebagai penyampai sesebuah berita gempar, kita terus menyebarkannya tanpa usul periksa. Kedua, kita mudah percaya dengan berita yang disampaikan oleh seseorang teman. Betul, kita boleh percayakan teman kita. Tetapi, kita tidak boleh ambil percaya dengan setiap apa yang beliau sampaikan.

Ketiga, kita perlu semak fakta yang disampaikan. Ini kerja remeh. Tetapi ia juga penting demi ilmu. Dengan segala sumber internet di tangan, amat mudah untuk menyemak apa jua berita, cerita, hadis, hukum dan surah di pelbagai laman web untuk mendapat kepastian.

Dalam pada itu, ramai yang tidak tahu betapa seronoknya menjadi penyelidik ke atas kesahihan sesebuah berita. Seperti menyelidik kesahihan cerita mengenai bulan mengelilingi Kaabah itu, saya telah menambah pengetahuan mengenai fenomena supermoon, apa itu butterfly effect, mengulangkaji mengenai malam lailatul qadar dan kebaikan qiamullail, sistem solar serta pelbagai hadis dan ayat-ayat al-Quran mengenai bumi, bulan dan matahari. Minda saya berasa segar kerana dapat meluncur di lautan minda. Kemudian, kesemua pengetahuan yang benar itu saya sebarkan pula untuk mengambus segala maklumat yang tidak betul.

Dan, sesungguhnya, menyebar kebenaran itu suatu perbuatan yang amat membahagiakan.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.2.2015.