Tuesday, August 27, 2013

BILA SINAR HARIAN DICURIGAI


Photo credit: terangbulan.net

EPISOD MESIR 
YANG MASIH PANJANG

TATKALA Editor Sinar Harian mengedit temubual eksklusif Profesor Dr. Mohammad Selim daripada Universiti Kaherah mengenai pergolakan di Mesir, ada di kalangan kami yang menjangka temubual itu akan menimbulkan polemik bila ia disiarkan.

Ini adalah kerana, pandangan beliau berbeza daripada apa yang kami paparkan di akhbar Sinar Harian sejak Presiden Mursi diguling. Berdasarkan maklumat yang kami terima dan selidiki setakat ini, kami dapati demokrasi Mesir telah dinoda dan keganasan tentera terhadap rakyat, khususnya terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin sudah membabi buta.

Bagaimana pun, pandangan Profesor Dr. Mohammad Selim condong untuk menyokong tindakan Jenderal Abdul Fatah al-Sisi terhadap Presiden Mursi. Justeru, meskipun berbeza, kami tetap siarkan temubual itu. Sinar Harian sentiasa mengambil pendirian untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan maklumat yang disampaikan daripada kedua-dua pihak. Biar pembaca yang membuat pertimbangan.

Benar, apabila artikel itu terbit pada Edisi Isnin, kami mula menerima komen-komen kritis. Menjelang petang itu dan pagi Selasa semalam, kami mula terasa bahangnya. Siaran artikel bertajuk ‘Dalang Konflik Mesir Didedah’ itu telah di copy-paste dan disebarkan secara viral hingga ia mendapat puluhan ribu tatapan dan ratusan komen.

Kebanyakkan reaksi yang terpapar di Facebook, Twitter, Whatsapp, blog, e-mel dan juga laman-laman web merupakan kritik yang pedas. Tidak kurang juga yang berapi dan membakar. Malah ada di antara pembaca yang menyarankan Sinar Harian diboikot. Maknanya, kemarahan yang dilontar, bukannya terhadap pandangan Dr. Mohammad Selim tetapi terhadap akhbar Sinar Harian.

Penulis dan Dramatis Greek, Sophocles pernah berkata, don’t kill the messenger ~ jangan bunuh si pembawa berita. Kata-kata itu beliau cetuskan di dalam salah sebuah karyanya bila melihat betapa manusia tidak suka kepada mereka yang membawa berita yang tidak digemari oleh si pendengar hingga mahu membunuhnya.

Sinar Harian telah memaparkan pandangan seseorang yang rata-rata tidak disukai oleh ramai para pembacanya. Kerana itu sepatutnya yang tidak disukai ialah orang yang memperkatakan apa yang tidak disukai itu, bukan pembawa beritanya, iaitu Sinar Harian. Lagi pun, mana mungkin Sinar Harian menyokong kepada kezaliman yang berlaku di Mesir?

Untuk rekod, sebaik sahaja pergolakan di Mesir berlaku, Sinar Harian memaparkan isu Mesir selama enam hari berturut-turut di muka depan kerana kami prihatin terhadap kezaliman dahsyat yang terjadi. Selama enam hari isu Mesir kami siarkan, pertimbangan utama kami bukannya keuntungan.

Kami tahu, mungkin sebilangan pembaca akan muak dengan isu yang sama dan tidak memilih akhbar ini pada hari-hari berikutnya. Namun kami tetap pilih isu Mesir kerana membantah terhadap keganasan tentera terhadap rakyat Mesir. Pada 16 Ogos, kami pilih tajuk  TIDAK GENTAR dengan ulasan ‘Walaupun digempur habis-habisan oleh tentera Mesir, penyokong Mursi tetap tidak berganjak.’

Pada hari berikutnya pula dengan tajuk SUNGAI DARAH dengan ulasan ‘Darah yang mengalir di Mesir diibaratkan sederas Sungai Nil, tidak menghalang jutaan rakyat bangkit menentang kebiadaban tentera yang akibatkan kehilangan 600 nyawa.’

Seterusnya pada 18 Ogos pula, kami paparkan tajuk di muka hadapan, RAKYAT TENTANG TENTERA dengan ulasan, ‘Jutaan rakyat Mesir berhimpun di kawasan masjid bukan lagi untuk Presiden Dr Muhamed Mursi, tetapi kerana marah dengan keganasan tentera yang meragut ribuan nyawa tidak berdosa.’

Keesokannya pula SUMPAH IKHWANUL MUSLIMIN dengan ulasan,  ‘Lagi ramai ahli dibunuh, semakin membara semangat menentang kezaliman.’ Ini diikuti dengan tajuk  SAPU BERSIH dengan ulasan ‘Al-Sisi makin kejam, pemerintah tentera tembak rakyat Mesir yang keluar berdemonstrasi.’

Dan pada 21 Ogos pula dengan tajuk NASIB DUA PEMIMPIN dengan ulasan  ‘Bekas diktator Hosni Mubarak bebas tuduhan rasuah. Bekas Presiden Mohamed Mursi bakal kena penjara.’ Keseluruhannya, kami telah paparkan 34 halaman mengenai pergolakan di Mesir. Tidak pernah kami lakukan liputan sebegini meluas mengenai sesuatu isu antarabangsa.  Tetapi kerana ia mengenai kezaliman terhadap kemanusiaan, pelanggaran terhadap demokrasi dan membelakangkan ajaran Islam yang mengharamkan pembunuhan sesama Islam, kami jadikan ia tajuk utama termasuk Edisi pada hari ini.

Mustahil Sinar Harian berpaling tadah dan membelakangkan kemanusiaan dan keadilan hanya dengan memaparkan sebuah temubual yang berbeza pandangan. Nanti dulu, sayang. Episod Mesir masih panjang. Teruslah bersam Sinar Harian. Mari kita berkongsi rasa jiwa rakyat Mesir yang merana.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian esok, 28.8.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, August 20, 2013

MARI KITA TAMBAH BERSEDEKAH


photo credit: hans-mohd.blogspot

     MARI TAMBAH
    DANA MASJID KITA

MARI TAMBAH DANA MASJID KITA 

Biasanya ramai di antara kita yang suka bersedekah pada hari Jumaat. Ia sudah menjadi budaya, mungkin kerana hari Jumaat adalah penghulu hari. Justeru itu, melakukan kebaikan pada hari mulia dianggap lebih afdal. Sedangkan, bersedekah itu baik pada bila-bila masa tetapi akan menerima pahala berlipat kali ganda andainya ia dilakukan pada bulan Ramadan.

Sebelum solat Jumaat, ramai di antara kita yang memasukkan wang di dalam tabung yang diletakkan di pintu-pintu masjid. Ada juga yang menghulur sedekah di tabung yang diedarkan. Ataupun melalui petugas masjid yang bergerak dari saf ke saf mengumpul sedekah.

Bagi kaum wanita pula, ada di antara mereka yang menghulur sedekah wang melalui teman-teman sepejabat lelaki yang hendak solat Jumaat. Terdapat juga yang mensedekahkan pisang yang diletak di luar masjid. Bersedekah pisang pun bagus kerana terdapat di kalangan para jemaah solat Jumaat yang lapar. Sekurang-kurangnya mereka yang telah mengalas perut tidak akan teringat hendak makan tatkala khutbah dibaca khatib.

Oleh kerana tuntutan kerja, ada ketikanya saya tidak berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat di pejabat. (Kumpulan Media Karangkraf telah mendapat izin Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan solat Jumaat di surau premisnya). Lazimnya apabila menunaikan solat Jumaat di sesebuah masjid atau surau yang saya belum pernah sampai, di antara kesukaan saya ialah meneliti papan notisnya sebaik sahaja selepas wuduk.

Di antara kenyataan yang saya cari ialah senarai jumlah kutipan pada solat Jumaat. Alhamdulilah. Di kebanyakan surau dan masjid yang saya kunjungi, saya akan dapat melihat jumlah kutipan pada setiap Jumaat. Setakat ini, jumlah kutipan yang saya temui pada sesuatu minggu adalah di antara RM1,000 hingga RM7,000.

Dan lazimnya, pada akhir bulan, jumlah kutipannya akan bertambah di antara 20 hingga 30 peratus. Misalnya, jika purata kutipan pada tiga minggu pertama adalah di sekitar RM3,000, pada minggu keempat, jumlah kutipannya meningkat hingga RM4,000. Maknanya, apabila para jemaah mendapat gaji, lebih ramai yang dapat bersedekah. Mungkin juga ada di kalangan para jemaah yang menambah jumlah sedekah. Kalau biasanya RM1 yang dihulur, bila mendapat gaji, jumlah yang dimasukkan ke tabung barangkali RM2 atau lebih.

Saya terfikir dan merenung lalu tertanya, mengapa kutipan Jumaat hanya bertambah sedikit pada hujung-hujung bulan? Mengapa jumlah kutipan keseluruhan sesebuah masjid hanya setakat meningkat di antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja bila sampai hujung bulan? Tidak mungkinkah jumlah kutipan bertambah 100 %? Misalnya, jika kutipan purata adalah RM3,000, pada penghujung bulan pula kutipannya meningkat menjadi RM6,000. Bukannya setakat RM4,000.

Bukankah sekiranya kutipan meningkat 100 %, lebih mudah wang dana itu dapat digunakan untuk kegunaan masjid seperti untuk bil api, air, pembersihan dan mengganti kelengkapan? Lebih banyak wang dikutip, maka lebih cepat juga wang itu dapat digunakan untuk kos penyenggaraan seperti memperbaiki pam tandas yang tidak berfungsi, kepala paip air yang patah atau pintu tandas yang sudah hilang enselnya?

Sebenarnya, mudah sahaja jumlah ini mampu ditingkatkan dua kali ganda seandainya para jemaah menambah jumlah sedekah daripada RM1 kepada RM2. Andainya tidak dapat ditambah setiap kali bersedekah, memadailah digandakan apabila mendapat gaji pada hujung bulan. Menambah jumlah ini sebenarnya bukannya sukar. Tetapi, mungkin kerana sudah menjadi tabiat, hendak bersedekah biarlah RM1. Mungkin juga kerana melihat orang lain bersedekah RM1, maka kita menganggap jumlah itu sebagai jumlah ‘rasmi’ sedekah.

Seandainya bersedekah RM2, RM5, apatah lagi RM10, itu dianggap sudah terlalu banyak, bukankah kita biasa berbelanja kepada sesuatu yang kita tidak perlukan? Contoh yang mudah, buka sahaja peti sejuk di rumah dan kita akan temui banyak sekali bahan makanan yang tersepuk lama tidak digunakan. Besar kemungkinan ia akan dibuang bila luput tarikh.

Seperti yang kita ketahui melalui ceramah ustaz atau melalui pembacaan, ALLAH swt akan mengganti sedekah yang dikeluarkan. Ganti yang dimaksudkan tidak semestinya dalam jumlah wang ringgit, tetapi kesihatan, disisih daripada mala petaka atau dihindar daripada kesusahan.

Kos merawat kesihatan, menangani mala petaka atau menghilangkan kesusahan sudah tentu jauh melebihi RM1, malah melebihi RM10. Justeru, marilah kita mengubah dari kebiasaan. Pejam mata mulai hari ini dengan menambah jumlah sedekah. Duit itu tidak hilang, sebaliknya akan ada kembali dalam bentuk yang lain.

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan memungkiri janjinya.” (Az-zumar: 20)
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.8.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, August 13, 2013

HENDAK BERTANYA ATAU MENYOAL?


Photo credit: library.sasautin.org  

UNTUNGNYA BILA
RAJIN BERTANYA


DARI semasa ke semasa saya akan menemuduga calon-calon wartawan Sinar Harian. Tidak ramai mereka yang terpilih untuk menghadiri temuduga. Sepuluh orang calon pun sudah dikira ramai kerana sekurang-kurang separuh hari diambil untuk menemuduga.
Bukan semua calon yang terpilih itu akan terus menerima tawaran. Ada yang  meminta tangguh melapor diri, ada yang menolak kerana mendapat tawaran lain dan ada juga yang tak jadi terima kerana tidak mahu bertugas di daerah yang kami tawarkan. Tidak kurang juga yang mendiamkan diri atau mematikan telefon bila dihubungi di atas sebab yang mereka sendiri tahu. Pelik.

Lazimnya setelah calon-calon menyudahkan ujian IQ dan penulisan, temuduga lisan akan dijalankan. Selain daripada soalan-soalan mengenai isu-isu semasa, soalan saya turut berkisar mengenai kerja semasa mereka, apa yang mereka ingin lakukan bila diterima sebagai wartawan dan apa pelan kerjaya peribadi mereka.  Soal gaji akan dibincangkan andainya saya mengesan potensi calon itu. Kemudian, saya pula akan membuka peluang buat calon untuk bertanya soalan pula.
Di sinilah ujian buat mereka. Sebenarnya, saya lebih gemar ditanya daripada bertanya. Ini ialah kerana, tugas sebagai wartawan adalah di antara kerja untuk orang yang pandai bertanya. Sebahagian besar daripada kehandalan seseorang calon itu dikesan dengan bentuk pertanyaan atau sepandai mana dia bertanya.

Andainya dia bertanya soalan-soalan mudah yang hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak,’ saya akan segera ucapkan terima kasih kepada calon itu. Sebaliknya jika dia bertanya soalan hingga saya terpaksa memandang siling untuk mencari jawapannya, maka saya tidak teragak-agak untuk mengambilnya menyertai team Sinar Harian.
Namun, berdasarkan pengalaman saya, tidak ramai calon yang pandai bertanya. Malah, ramai yang hanya menggeleng tidak mahu bertanya apabila diminta untuk menyoal. Di luar sana, di dalam majlis-majlis forum, wacana dan persidangan, tidak ramai di antara para peserta yang pandai bertanya mahupun mengemukakan persoalan ~ petanda ramai yang tidak cukup membaca atau membuat homework mengenai topik yang dibincangkan. Dalam pada itu, ramai pula yang mengambil peluang mengemukakan soalan dengan menjadi ahli panel pula dengan bersyarah panjang mengeluarkan pandangan.

Menyoal adalah satu bentuk serangan. Menjawab pula adalah satu cara bertahan. Oleh itu, jika kita sentiasa rajin bertanya, maka besar kemungkinan kita boleh menjadi orang yang dihormati. Kerana itu, dalam dunia kejurujualan, salah satu teknik untuk menjual sesuatu barangan itu ialah dengan memulakan promosi dengan bertanya. Melalui pertanyaan, bakal pelanggan akan dipimpin untuk menjawab soalan-soalan yang akhirnya menunjukkan yang dia benar-benar mahukan produk yang dipromosikan itu. Secara halus, bakal pelanggan dimanipulasi melalui jawapannya sendiri.
Bertanya atau menyoal, sebenarnya mempunyai maksud yang berbeza. Bertanya lebih menjurus kepada komunikasi lisan secara tidak formal. Menyoal pula mempunyai konotasi komunikasi yang serius dan formal. Bertanya, dalam perhubungan tidak formal seperti dengan anggota keluarga dan rakan-rakan adalah petanda  keprihatinan.

Andainya pertanyaan itu diutarakan kepada pihak yang lebih berautoriti, ia menggambarkan si penyoal itu berminat dengan apa yang disarankan oleh pihak atasan. Kerana itu, staf yang rajin bertanya itu mudah mendapat perhatian ketua.
Dalam pada itu, ada juga pertanyaan seseorang kepada seseorang yang lain itu bertujuan untuk menguji orang yang ditanya. Jika tidak pun, orang yang bertanya itu sebenarnya ingin memberi gambaran yang dia lebih tahu dari orang yang ditanya itu. Ada juga pertanyaan seseorang dalam sesebuah majlis itu bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dengan para hadirin. Dia sebenarnya sudah tahu jawapannya. Tetapi dia berharap, bila soalannya dijawab, para hadirin akan mendapat ilmu.

Bertanya juga adalah lambang kecerdikan. Menandakan orang yang bertanya itu adalah insan yang sentiasa menyerap ilmu yang disampaikan melalui jawapan kepada pertanyaannya. Kanak-kanak yang bijak itu dapat dikesan melalui kerajinannya bertanya.  Kerana itu, rajin-rajinlah bertanya.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Ilmu itu seperti gudang, dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertama orang yang bertanya. Kedua guru yang menjawab. Ketiga orang yang mendengar jawapan itu. Keempat orang yang cinta kepada mereka.” (Riwayat Ali bin Abi Tholib r.a)

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.8.2013, insya-ALLAH...


 

Tuesday, August 6, 2013

BERJIMAT DENGAN PAHALA YANG SEDIKIT



Photo credit: roy-nadzri.blogspot.com
PAHALA YANG DISIA-SIAKAN

DI AKHIR-AKHIR Ramadan ini, saya terkenang betapa rajinnya pak-pak Arab di Makkah dan Madinah berkejar untuk mendapat pahala di bulan yang mulia ini. Ketika mengerjakan umrah pada awal Ramadan ini, saya berpeluang melihat bagaimana mereka berebut-rebut berbuat baik. Yang kaya menaja makan minum berbuka puasa para jemaah khususnya di Masjid Nabawi dan Masjidilharam.

Selepas solat Asar, di dataran kedua-dua masjid itu, pak-pak Arab yang kaya raya sudah membuat pagar masing-masing sebagai kawasan mereka menaja makanan untuk para jemaah berbuka puasa.  Berkotak-kotak kurma, air zam-zam, kopi Arab dan nasi Arab disediakan. Seboleh-bolehnya pak-pak Arab ini mahukan para jemaah berbuka di kawasan mereka.

Mereka mendapat khidmat para pelajar remaja untuk mempelawa para jemaah ke kawasan mereka. Malah anak-anak kecil dan comel pak-pak Arab ini yang berusia di antara 6-10 tahun akan mengajak, menarik dan mengheret para jemaah untuk ke ruang mereka. Lagi ramai yang berbuka di kawasan mereka, lagi banyak dan besarlah pahala yang akan mereka perolehi, insya-ALLAH.

Di dalam kedua-dua masjid pun pak-pak Arab berkejar untuk mendapat pahala. Namun, kesempitan ruang hanya membolehkan mereka menyediakan kurma, air zam-zam dan kopi Arab yang diletakkan di atas saperah plastik di antara saf-saf solat. Biar pun ringkas dan ringan berbanding dengan hidangan di luar masjid yang pelbagai, mereka tetap ingin mengejar pahala.

Sikap mereka berusaha dan mencari jalan untuk memperoleh kebaikan Ramadan di kedua-dua masjid yang mulia ini sungguh menakjubkan. Ada yang sengaja menanti di pintu masjid untuk mencalit wangian di tangan kita yang memasukinya. Bila kita sedang kuyu mata kerana agak lama membaca al-Quran, tiba-tiba wajah kita terasa dingin dan mata jadi segar bila pak Arab menyembur muka kita dengan sprei air. Mereka mahukan pahala kerana menyegarkan orang yang sedang membaca al-Quran.

Begitu juga, kalau kita dilihat duduk jauh daripada rak al-Quran, akan ada kanak-kanak yang bergerak mengagih al-Quran agar kita tidak perlu melangkah jauh mendapatkannya. Sebaik sahaja azan berkumandang pula, akan ada mereka yang datang mengutip al-Quran untuk disusun kembali di rak.

Begitu juga, ketika bertawaf di mataf, di celah-celah ribuan manusia, ada di antara mereka yang ingin mencari pahala dengan menyembur sprei air untuk menyejukkan wajah kita. Yang berpeluh pula boleh sahaja mencapai kertas tisu yang diunjuk oleh mereka yang berdiri di antara lautan manusia semata-mata untuk mendapatkan pahala.

Saya kagum melihat bagaimana mereka mencari peluang memperoleh pahala dengan melakukan perkara-perkara yang kita anggap biasa. Kesungguhan mereka berbuat demikian sebenarnya menumbuhkan bunga-bunga di hati kita yang resah tatkala sibuk memohon keampunan Illahi

Bila kita menilik ke dalam hati dan memerhati ke sekeliling untuk bertanya, apakah kita manusia yang berlumba-lumba untuk mendapat pahala? Pada pemerhatian kasar, kita tidak ambil enteng untuk mendapatkan pahala dengan cara ini. Malah, kita beranggapan pahala hanya tertumpu pada ibadah-ibadah yang khusus seperti puasa dan solat. Selain itu, kita hanya fokus pada ibadah-ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran dan zikir sebagai sumber pahala.

Kita tidak lihat pada hal-hal selain daripada ibadah khusus sebagai jalan memperoleh pahala. Di masjid, kita tidak senyum pun bila bersalaman dengan mereka di kanan dan kiri setelah solat. Padahal, senyum itu sedekah. Dan, sedekah itu pahala. Sejadah yang terkelepet di depan mata pun kita biarkan begitu. Padahal ALLAH sukakan kecantikan. Dan, mencantikkan kedudukan sejadah itu pun memperoleh pahala. Kita tidak menutup kipas angin bila hendak meninggalkan ruang solat. Walhal, mengelak membazir itu juga akan memperoleh pahala.

Di luar masjid, yang lebih jauh daripada mode beribadah, kita semakin terlupa untuk mencari pahala. Memberi laluan kepada orang yang dilihat lebih tergesa-gesa hendak menaiki eskalator, mengosongkan tempat duduk untuk warga emas di dalam koc komuter atau mengutip cebisan kertas di lantai pejabat, semuanya adalah peluang-peluang memperoleh pahala.

Tidak mengapa jugalah jika kita tidak mahu melakukan semua itu untuk berlumba-lumba mendapat pahala. Tetapi, dalam pada kita tidak berminat untuk mengejar pahala percuma dengan membuat kebaikan kepada manusia mengapa pula kita buang pahala yang telah kita peroleh melalui ibadah-ibadah khusus itu?

Kita biasa mendengar orang kaya yang membazir. Tetapi boleh dikatakan kita tidak pernah mendengar orang miskin yang membazir. Kita boleh digolongkan sebagai orang miskin yang membazir bila pahala kita yang sedikit melalui ibadah itu kita bazirkan dengan melakukan dosa lidah, mata, tangan dan kaki.

Bila kita tidak peka untuk mencari sumber pahala yang berganda-ganda selain daripada dengan melakukan ibadah khusus, pahala yang sedikit itulah yang perlu kita jaga dan kita simpan untuk kita bawa bersama di hari perhitungan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.8.2013, insya-ALLAH...