Tuesday, October 25, 2016

PILIHAN SONGSANG



Piccredit: sites.psu.edu
MENGAPA KITA 
MENCARI KETAKUTAN?

‘HANTU dah masuk ke Sinar Harian?’ demikian soal hati saya apabila terdengar suara staf perempuan terjerit-jerit seperti kerasukan di luar bilik mesyuarat. Tatkala itu, saya sedang berbincang dengan para editor saya mengenai perancangan akhbar untuk hari itu. Sedikit sebanyak ia mengganggu tumpuan kami yang sedang bermesyuarat.

Selang beberapa minit kemudian, saya kaget bila terpandang sesusuk lembaga terhendap-hendap menuju ke bilik mesyuarat. Ia menghampiri cermin bilik mesyuarat menyeringai ke arah saya. Salah seorang editor memberitahu, sebuah syarikat sedang mempromosi program ‘takut-takut’ di pusat rekreasinya. Yang jadi hantu itu adalah staf pemasarannya. Lantas saya memberi isyarat agar petugas itu beredar sahaja kerana tidak mahu dia masuk mengganggu kami dengan promosinya.

Kini, semakin banyak pihak yang menggunakan elemen menakut-nakutkan sebagai pelaris perniagaan. Kita membaca laporan bagaimana ada bomoh yang menggunakan jin sebagai medium dalam pengubatannya. Jika ada pesakit datang dengan cerita yang pelik-pelik seperti tidak nyenyak tidur, kerap bermimpi dan ternampak bayang-bayang, si bomoh akan menggunakan pendekatan yang menakutkan pesakit.

Hal-hal seperti saka, tuju-tuju dan buatan orang dirumus sebagai diagnosisnya. Si pesakit yang barangkali sudah lemah semangat akan mengikut sahaja program rawatan meskipun ia menelan belanja beratus ringgit. Semakin lama si pesakit menemui bomoh, semakin tenggelamlah ia di dalam cengkaman psikologi si bomoh yang menggunakan pendekatan secara menakut-nakutkan. Pesakit itu akan semakin sakit dengan cara pengubatan sebegitu.
Betapa pun, seseorang pesakit menemui bomoh untuk membuang sesuatu yang menakutkannya.

Bagaimana pula kita yang pada hari ini yang mencari ketakutan? Pada hari ini ketakutan boleh ditemui  melalui drama dan filem. Hiburan yang menggunakan kesan audio dan visual itu mengeksploitasi elemen menakut-nakutkan dengan menggunakan imej-imej hantu. Filem dan drama sebegini mempunyai pengikut yang ramai.

Namun, formulanya sudah stereotaip. Ia bermula dengan watak-wataknya diganggu hantu yang mendiami sesebuah rumah, bangunan atau kawasan. Akan terjadi suatu peristiwa yang menggemparkan sekumpulan manusia dengan kehadiran hantu itu. Hantu itu boleh membunuh atau menyebabkan pembunuhan.

Kemudian akan hadir penyelamat yang akan menewaskan hantu dalam suatu pertarungan. Keadaan akan menjadi aman kembali. Jika kita meneliti bahan-bahan penulisan seperti novel, cerita-cerita seram menjadi pilihan sebilangan pembaca. Pendekatan dan formulanya sama juga seperti filem dan drama.

Penonton atau pembaca pula mengalami elemen menakutkan apabila penulis skrip mahupun novel dapat ‘menghantukan’ apa sahaja di sekelilingnya untuk dijadikan cerita. Rumah besar boleh berhantu apabila ia digambarkan sebagai bekas kawasan perkuburan askar Jepun. Kipas angin di dalam bilik boleh berhantu kerana ia tempat orang menggantung diri. Bahan-bahan seperti keris dan barang kemas boleh jadi berhantu kerana dipakai oleh mangsa suatu pembunuhan.

Soalnya, elemen yang menakutkan itu sudah sebati dengan masyarakat kita. Jika dahulu kita tidak suka dimomokkan dengan rasa takut, pada hari ini kita mencari ketakutan. Malah ia menjadi pilihan pula. Dalam kehidupan seharian pun kita sudah berdepan dengan pelbagai ketakutan seperti takut gagal, takut rugi, takut kehilangan, takut tak naik gaji, takut sampai lewat ke pejabat atau takut miskin, mengapa kita tidak fokuskan sesuatu yang sebaliknya tatkala kita ingin merehatkan diri daripada segala jenis ketakutan?

Untuk menghilangkan rasa takut, apa yang harus kita cari dan ialah mencari keberanian. Dalam mencari keberanian, kita kenalah menggali dan mengenali tokoh-tokoh yang berani seperti pejuang, pahlawan, maharaja, pemimpin dan juga nabi. Setelah menemui mereka yang berani, baharulah kita boleh belajar menjiwai apa itu keberanian.  

Menjiwai keberanian ialah membuat pasak ke dalam diri dan minda agar dipenuhi dengan rasa berani. Ia lebih mudah jika kita tidak melayani apa-apa elemen yang menakutkan meskipun ia dianggap hiburan. Maafcakaplah… berhibur dengan elemen-elemen yang menakutkan itu membuka ruang di dalam diri untuk melayani rasa takut hingga terbawa-bawa setelah televisyen dipadam, lampu pawagam bernyala atau sesudah novel ditutup.


Tepuk dada, tanyalah diri apakah aku benar-benar berani meninggalkan ketakutan itu sendiri?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.10,16.

Tuesday, October 18, 2016

JANGAN RELEKS, DER!


Piccredit: professionalplanner.com.au

BANGUN DAN 
BERLUMBALAH KEMBALI

PERTANDINGAN atau peraduan adalah suatu pendekatan ingin bersaing dalam sesebuah perniagaan, institusi mahupun masyarakat. Sesebuah perniagaan yang melihat perniagaan  lain sebagai pesaing akan meningkatkan produktiviti, kualiti dan perkhidmatan agar lebih berjaya daripada pesaingnya. Pekilang misalnya, akan cuba menambahbaik produknya agar dapat memenangi hati pelanggan. Bila ia mendapat jualan tertinggi berbanding dengan saingannya maka ia dikira menang di dalam pertandingan itu.

Pertandingan juga berlaku  di kalangan bangsa, kaum, suku dan anutan. Pertandingan untuk merebut ekonomi, kuasa dan identiti sesebuah kelompok manusia itu biasa menjadi negatif dan sengit kerana sentimen kekitaan yang membawa kepada sikap parokialisme yang berakhir dengan pertelingkahan, pergeseran malah peperangan.

Pertandingan yang sihat sebenarnya amat positif terhadap mana-mana kelompok manusia. Ia memajukan mereka dalam mencapai impian kemanusiaan. Perlumbaan menakluki bulan di antara Amerika dan Russia telah membolehkan manusia untuk meningkatkan daya fikirnya. Meskipun Russia tidak sampai-sampai pun ke sana, hasil perlumbaan itu menjadikan manusia berjaya menerobos dimensi dan meneroka horizon baharu di bidang sains angkasalepas. Pada hari ini manusia dapat menghantar kapal angkasa ke marikh, zuhal dan meneropong jauh ke hujung alam.

Di peringkat individu pula, sikap bersaing ini sebenarnya adalah fitrah manusia. Pakar-pakar psikologi melihat perlumbaan berjuta-juta sel sperma ke dalam ovum merupakan perlumbaan terhebat manusia. Kita yang lahir ini adalah hasil daripada sebuah kejayaan dalam perlumbaan yang pertama dalam sejarah peribadi kita.

Jika kita boleh berjaya dalam pertandingan di antara berjuta-juta sel sperma, mengapa kita boleh berasa kita tidak berdaya maju di dalam hidup ini? Maknanya, jika kita ini lahir hasil sebuah perlumbaan, mengapa kita takut untuk berlumba pula?

Konsep berlumba tidak semestinya berakhir dengan kemenangan seorang juara semata-mata. Banyak juga perlumbaan yang berakhir dengan juara bagi seramai mungkin pelumba. Jika kita lihat berlumba itu ada garis mula dan garis akhir dan siapa yang sampai dahulu, maka dialah juara dan dia seorang yang dapat hadiah, maka perlumbaan itu bisa menggusarkan kerana ia juga menjanjikan kekalahan bagi yang tidak sampai dahulu ke garisan penamat.

Perlumbaan di padang belapan sememangnya begitu. Namun, perlumbaan di medan kehidupan itu biasa dimenangi oleh setiap pelumba yang sampai ke matlamat. Semua boleh menang dan semua boleh dapat hadiah masing-masing. Biasa juga yang sampai kemudian akan memperoleh hadiah yang lebih besar daripada yang sampai dahulu. Justeru itu, berlumbalah untuk memperoleh kemenangan untuk diri. Ia hadiah buat sesiapa yang mencapai matlamat. Orang lain, dengan matlamat dan keseronokan kemenangan mereka sendiri.

Jika direnungi, kita sebenarnya tiada pesaing dalam perlumbaan hidup ini, kerana pesaing ialah mereka yang sama-sama berlumba untuk merebut hadiah yang satu. Justeru itu, tiada gunanya kita kerap tertoleh-toleh melihat ke kiri dan kanan untuk mempastikan samada pelumba lain sudah menghampiri kita atau tidak kerana mereka berada di dalam perlumbaan mereka sendiri. Perasaan takut dengan bayang-bayang itu bakal mengalih fokus kita terhadap matlamat yang hendak digapai.

Apabila kita berniaga nasi lemak di tepi jalan, tak bolehlah kita rasa tewas dengan kehebatan bisnes francais makanan segera antarabangsa! Kita dan mereka berada di padang yang berbeza. Untung kita, semua kita punya. Untung mereka, kena berbahagi. Kita kerja untuk kita, mereka kerja untuk orang. Kita hebat, mereka gah aje. Kita menyusur di denai niaga. Mereka merentas lebuhraya korporat. Kita oren, mereka epal. Bandinglah oren dengan oren!

Dalam pada itu, sifat bertanding ialah berlumba. Dan sifat berlumba pula ialah bersegera. Namun, semakin ramai di antara kita yang tidak menganut sikap untuk bersegera ini. Ramai yang bukan sahaja releks dalam menjalankan apa jua tugas, malah sikap releks atau santai ini menjelma menjadi sikap bermalas-malasan. Malas membawa kepada sikap lewa dan akhirnya bertangguh dalam semua hal. Tidak boleh begitu kerana bukankah ia bertentangan dengan fitrah asal kelahiran kita sebagai juara dalam perlumbaan peribadi yang pertama sebelum kita lahir itu? Bangun dan berlumbalah kembali untuk kebaikan diri.

"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Baqarah : 148)

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.10.16. 

Tuesday, October 11, 2016

UNTUK KITA YANG BERFIKIR



Piccredit: huffingtonpost.com

TEKNOLOGI KERDIL 
KITA DI SISI-NYA

SEORANG teman menjemput saya ke majlis perkahwinan anaknya. Majlis itu agak jauh dari rumah saya iaitu di Puchong. Kerana itu saya menumpang sahaja jiran sebelah rumah yang kebetulannya sepejabat dengan teman saya. Oleh kerana isteri masing-masing tidak berkesempatan, maka saya bersama jiran saya sahaja yang ke majlis itu.

Kami sama-sama tidak pasti lokasi majlis itu diadakan. Maka jiran saya, Kasir memasang GPS. Kasir membawa anak bongsunya, Boy yang berusia lima tahun. Boy petah budaknya. Ada sahaja soalan yang ditanya kepada ayahnya. Kadangkala perbualan kami terencat bila Boy bertanya sesuatu kepada Kasir. Kadangkala Kasir terpaksa menghentikan soalan anaknya bila dia hendak mendengar arahan dari suara GPSnya. Nampak juga Kasir sekali-sekala rimas dengan selingan-selingan daripada Boy.

Setelah beberapa kali Boy terasa perbualannya asyik terhenti kerana ayahnya hendak mendengar arahan daripada GPS, maka budak itupun mula bertanya soalan-soalan yang saya kira cerdik. ‘Perempuan tu tak penat bercakap ke, ayah?’ soalnya setiap kali mendengar arahan dari suara dari alat GPS di kereta ayahnya. Kasir hanya menjawab dengan gelengan.

‘Semua kereta ada alat GPS ini ke ayah?’ Kasir mengangguk pula. ‘Kalau macam tu, perempuan tu ada dalam semua kereta, ya kan, ayah?’ Kasir mengangguk lagi. ‘Dia beri arahan pada semua kereta nak pegi ke mana-mana, kan ayah?’ Kasir mengangkat keningnya. ‘Kalau semua kereta di dunia ini pakai GPS, perempuan tu boleh beri arahan pada juta-juta kereta, kan?’ Kali ini Kasir tidak mengangguk. Sebaliknya dia mengeluh. ‘Ooo… kalau macam itu, Boy tak pelik!’

Kata-kata itu membuat Kasir menoleh kehairanan memandang anaknya. ‘Kenapa tak pelik, Boy?’ soal Kasir pula. ‘Apa yang peliknya?’ jawab Boy. ‘Malaikat maut pun boleh pergi serentak pada ribu-ribu manusia kat dunia ini, bila ALLAH suruh, kan?’

Kali ini, aku pandang Kasir, Kasir pula memandang aku. Dalam bersoal-soal itu, Boy punyai kefahaman bagaimana malaikat Izrail menjalankan tugasnya, hanya dengan membandingkan fungsi GPS yang mampu memberi arahan kepada jutaan pengguna dalam perjalanan masing-masing. Sungguh. Tatkala aku kecil, aku tidak boleh memikirkan logik bagaimana malaikat Izrail mencabut nyawa manusia serentak dalam beberapa lokasi di seluruh pelosok dunia. Tetapi teknologi hari ini membolehkan kanak-kanak seperti Boy memahami kehebatan ALLAH.

Fikiran saya melayang teringatkan fungsi malaikat Raqib dan Atid, iaitu malaikat yang mencatat dosa dan pahala manusia. Ketika kecil dahulu, saya tidak dapat memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu menjalankan tugas mereka. Saya hanya membayangkan pen dan kertas yang malaikat-malaikat itu gunakan untuk mencatat pahala dan dosa kita. Bila memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu mampu mencatat dosa pahala jutaan manusia, aku mula bingung.

Namun, pada hari ini, kita melihat fungsi alat perakam audio dan visual yang menyimpan segala maklumat. Begitu juga dengan medium yang menyimpan tulisan seperti SMS, Whatsapp, Facebook, blog, laman web mahupun buku, jurnal dan helaian kertas dapat mengarkibkan apa sahaja yang kita lakukan sejak lahir hingga kita ke liang lahad.

Jika sewaktu kecil kita bingung bagaimana seluruh rakaman kegiatan manusia ini dilakukan, pada hari ini kita tidak berasa pelik. Malah, kita sendiri yang memuatnaik aktiviti kita di internet hingga ia boleh ditonton oleh jutaan manusia. Untuk itu, tidak mustahil untuk mengerti bagaimana ‘layar besar’ yang mempamerkan aktiviti kita di yaumil mahsyar kelak.

Kemampuan akal kita hanya dapat memvisualkan sebuah dewan operasi yang amat besar serta mempunyai ribuan skrin di mana setiap satunya diperuntukkan untuk seorang insan. Rakaman itulah yang akan ditayangkan kembali di akhirat nanti. Tetapi, rahsia ALLAH dan segala ‘peralatan’ pemantauannya yang lebih canggih masih tidak dapat terjangkau dek akal kita.

Minda-minda kita ini umpama versi komputer yang tidak dibekalkan dengan perisian yang membolehkan kita melihat rahsia-rahsia ALLAH kecuali hanya kepada apa yang dibenarkan sahaja. Biarlah teknologi menghampirkan diri dalam memahami kehebatan ALLAH, bukan kian menjauhkan seolah-olah kita serba-serbi tahu segala-galanya.


 “Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Ali Imran: 191).

Insya-ALLAH artkel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 12.10.16.

Tuesday, October 4, 2016

CATATAN AMAL



Piccredit: greasemonkeysem.com

MENANGANI CATATAN DI MEDIA SOSIAL

HAMPIR semua orang boleh menulis. Kanak-kanak yang memegang pensil dan pandai mengeja pun boleh menulis. Para pelajar sekolah rendah atau menengah, dan mereka yang belajar di universiti pun begitu seperti juga sebilangan besar di antara kita. Bagaimana pun, ramai di antara mereka yang boleh menulis itu belum tentu lagi boleh mengarang.
Bagi yang boleh mengarang pula, karangan mereka itu belum tentu menarik hati mereka yang menatapnya.  Ramai yang mengarang artikel, laporan, tesis itu hanya menarik minat mereka yang suka kepada bahan-bahan bacaan yang serius. Golongan ini pula hanya terdapat di kalangan mereka di dalam dunia ilmu. Justeru, golongan mereka itu terhad.
Sebaliknya, mereka yang boleh mengarang karya kreatif seperti cerpen, puisi dan novel pula mempunyai khalayak yang lebih ramai kerana bahan tulisan mereka lebih mudah difahami. Ia juga dianggap sebagai sebuah karya ringan. Padahal, karya kreatif dihadam dengan hati iaitu emosi. Emosi itu boleh difahami secara sendiri-sendiri menurut tafsiran peribadi, berbanding dengan karya ilmiah yang difahami dengan minda. Ia pula lebih mudah dihazam jika ia didiskusikan bersama orang lain.
Mereka yang boleh menulis itu belum tentu dapat mengarang dengan baik. Dan, mereka yang boleh mengarang dengan baik, belum tentu dapat bercerita dengan baik. Pendek kata, tulisan itu dimulakan dengan menyusun aksara, memilih perkataan, membina ayat, membentang sebuah para dan akhirnya mempersembahkan sebuah karya sependek sebuah artikel mahupun sepanjang sebuah buku.
Oleh kerana sesebuah karangan itu dikongsi dengan pembaca untuk dinikmati, maka seeorang penulis itu perlu pula punyai kemahiran bercerita. Karangan yang baik itu adalah sebuah penceritaan. Pembaca menyusur dalam pembacaannya seperti sebuah perjalanan. Karya yang mempunyai susunan idea yang baik itu membawa pembacanya dalam sebuah perjalanan yang lancar dan merehatkan.
Dalam pada itu, karangan yang dipenuhi dengan ejaan yang silap, ayat yang terputus-putus atau yang panjang-panjang boleh membuat kita turut hampir putus nafas apabila membacanya. Tulisan sebegitu bisa membuat sesiapa yang menelitinya berasa mengantuk lalu tulisan itu menjadi ubat tidur yang paling mujarab.
Dunia media sosial memberi ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk menulis. Ia memberi kebebasan. Namun, kebebasan yang boleh membuat ramai yang tidak punyai ilmu menulis, mengarang dan bercerita itu terbabas dalam menghasilkan catatannya.
Seperti anak muda yang memandu tanpa lesen, atau pemacu motorsikal yang baharu punyai lesen, ruang menulis yang terbuka kepada sesiapa sahaja itu bisa menjadikan seseorang itu kemaruk. Apatah lagi, belum pun lima saat tulisannya sudah terpapar, komen daripada kawan-kawan mencurah-curah menjelma.
Ini bisa menjadikan seseorang yang belum biasa mendapat perhatian, menjadi tidak tentu arah kerana teruja. Tabiat kawan-kawan itu biasanya lebih kepada mengiyakan dalam komen-komen mereka sebagai galakan. Malangnya, ia menjadikan seseorang itu berasa yang tulisan-tulisannya itu mendapat sokongan.
Apa pula yang terjadi seandainya tulisannya itu dikritik dan dicemuh oleh mereka yang tidak dikenali? Seseorang itu boleh murung berhari-hari kerana berasakan dirinya diperkecil, malah dihina. Padahal orang yang member pandangan yang negatif itu memang suka-suka memberi komen negatif kerana dia sendiri tidak mempunyai kemahiran mengarang pula.
Di sinilah pentingnya seseorang itu memperbetul nawaitunya sebelum mencatat sesuatu di laman sosialnya. Apabila dia menulis, mengarang dan bercerita, dia perlu fahami bahawa apa yang terpapar di lamannya itu akan dibaca bukan sahaja orang yang dia kenali, malah mereka yang tidak mengenalinya. Dia perlu mengerti, komen yang diberi itu bukan sahaja bertujuan baik, tetapi ada juga yang tidak bertujuan apa-apa melainkan suka-suka sahaja. 
Justeru itu, dia boleh mengambil perhatian terhadap maklumbalas yang boleh diterimanya. Dan dia boleh sahaja mengenepikan pandangan-pandangan yang dirasainya tidak jujur dalam menyampaikan maklumbalas.
Betapa pun, seseorang yang mengarang sesebuah catatan itu perlu melihatnya sebagai sebuah anugerah. Tidak pernah terjadi sejak di zaman lampau, seeorang itu boleh menulis dan catatannya boleh dibaca oleh berjuta manusia. Pada hari ini, ia sudah berlaku. Kesan positif mahupun negatif di atas tulisannya itu mudah sahaja menjalar menjadi viral. Tanpa sedar, ia boleh menjana pahala mahupun melipatgandakan dosa.

Samada ia sebuah catatan yang mengundang pahala mahupun dosa, ia akan terpapar di laman sosial. Lima atau sepuluh tahun akan datang, seseorang akan menemui catatan itu dan membacanya. Jika catatan itu mempunyai kebaikan, kita akan memperoleh bonus pahala. Jika sebaliknya, kita telah menempah tambahan dosa.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.10.16.