Piccredit: greasemonkeysem.com
MENANGANI
CATATAN DI MEDIA SOSIAL
HAMPIR semua orang boleh menulis.
Kanak-kanak yang memegang pensil dan pandai mengeja pun boleh menulis. Para
pelajar sekolah rendah atau menengah, dan mereka yang belajar di universiti pun
begitu seperti juga sebilangan besar di antara kita. Bagaimana pun, ramai di
antara mereka yang boleh menulis itu belum tentu lagi boleh mengarang.
Bagi yang boleh mengarang pula, karangan
mereka itu belum tentu menarik hati mereka yang menatapnya. Ramai yang mengarang artikel, laporan, tesis itu
hanya menarik minat mereka yang suka kepada bahan-bahan bacaan yang serius.
Golongan ini pula hanya terdapat di kalangan mereka di dalam dunia ilmu.
Justeru, golongan mereka itu terhad.
Sebaliknya, mereka yang boleh mengarang
karya kreatif seperti cerpen, puisi dan novel pula mempunyai khalayak yang
lebih ramai kerana bahan tulisan mereka lebih mudah difahami. Ia juga dianggap
sebagai sebuah karya ringan. Padahal, karya kreatif dihadam dengan hati iaitu
emosi. Emosi itu boleh difahami secara sendiri-sendiri menurut tafsiran
peribadi, berbanding dengan karya ilmiah yang difahami dengan minda. Ia pula
lebih mudah dihazam jika ia didiskusikan bersama orang lain.
Mereka yang boleh menulis itu belum
tentu dapat mengarang dengan baik. Dan, mereka yang boleh mengarang dengan
baik, belum tentu dapat bercerita dengan baik. Pendek kata, tulisan itu
dimulakan dengan menyusun aksara, memilih perkataan, membina ayat, membentang
sebuah para dan akhirnya mempersembahkan sebuah karya sependek sebuah artikel
mahupun sepanjang sebuah buku.
Oleh kerana sesebuah karangan itu
dikongsi dengan pembaca untuk dinikmati, maka seeorang penulis itu perlu pula
punyai kemahiran bercerita. Karangan yang baik itu adalah sebuah penceritaan.
Pembaca menyusur dalam pembacaannya seperti sebuah perjalanan. Karya yang
mempunyai susunan idea yang baik itu membawa pembacanya dalam sebuah perjalanan
yang lancar dan merehatkan.
Dalam pada itu, karangan yang dipenuhi
dengan ejaan yang silap, ayat yang terputus-putus atau yang panjang-panjang boleh
membuat kita turut hampir putus nafas apabila membacanya. Tulisan sebegitu bisa
membuat sesiapa yang menelitinya berasa mengantuk lalu tulisan itu menjadi ubat
tidur yang paling mujarab.
Dunia media sosial memberi ruang dan
peluang kepada sesiapa sahaja untuk menulis. Ia memberi kebebasan. Namun,
kebebasan yang boleh membuat ramai yang tidak punyai ilmu menulis, mengarang
dan bercerita itu terbabas dalam menghasilkan catatannya.
Seperti anak muda yang memandu tanpa
lesen, atau pemacu motorsikal yang baharu punyai lesen, ruang menulis yang
terbuka kepada sesiapa sahaja itu bisa menjadikan seseorang itu kemaruk. Apatah
lagi, belum pun lima saat tulisannya sudah terpapar, komen daripada kawan-kawan
mencurah-curah menjelma.
Ini bisa menjadikan seseorang yang belum
biasa mendapat perhatian, menjadi tidak tentu arah kerana teruja. Tabiat
kawan-kawan itu biasanya lebih kepada mengiyakan dalam komen-komen mereka
sebagai galakan. Malangnya, ia menjadikan seseorang itu berasa yang
tulisan-tulisannya itu mendapat sokongan.
Apa pula yang terjadi seandainya
tulisannya itu dikritik dan dicemuh oleh mereka yang tidak dikenali? Seseorang
itu boleh murung berhari-hari kerana berasakan dirinya diperkecil, malah
dihina. Padahal orang yang member pandangan yang negatif itu memang suka-suka
memberi komen negatif kerana dia sendiri tidak mempunyai kemahiran mengarang
pula.
Di sinilah pentingnya seseorang itu
memperbetul nawaitunya sebelum mencatat sesuatu di laman sosialnya. Apabila dia
menulis, mengarang dan bercerita, dia perlu fahami bahawa apa yang terpapar di
lamannya itu akan dibaca bukan sahaja orang yang dia kenali, malah mereka yang
tidak mengenalinya. Dia perlu mengerti, komen yang diberi itu bukan sahaja
bertujuan baik, tetapi ada juga yang tidak bertujuan apa-apa melainkan
suka-suka sahaja.
Justeru itu, dia boleh mengambil
perhatian terhadap maklumbalas yang boleh diterimanya. Dan dia boleh sahaja
mengenepikan pandangan-pandangan yang dirasainya tidak jujur dalam menyampaikan
maklumbalas.
Betapa pun, seseorang yang mengarang
sesebuah catatan itu perlu melihatnya sebagai sebuah anugerah. Tidak pernah
terjadi sejak di zaman lampau, seeorang itu boleh menulis dan catatannya boleh
dibaca oleh berjuta manusia. Pada hari ini, ia sudah berlaku. Kesan positif
mahupun negatif di atas tulisannya itu mudah sahaja menjalar menjadi viral.
Tanpa sedar, ia boleh menjana pahala mahupun melipatgandakan dosa.
Samada ia sebuah catatan yang mengundang
pahala mahupun dosa, ia akan terpapar di laman sosial. Lima atau sepuluh tahun
akan datang, seseorang akan menemui catatan itu dan membacanya. Jika catatan
itu mempunyai kebaikan, kita akan memperoleh bonus pahala. Jika sebaliknya,
kita telah menempah tambahan dosa.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.10.16.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.10.16.
No comments:
Post a Comment