Tuesday, June 28, 2016

TEGUR UNTUK BETULKAN, BUKAN SALAHKAN...



Piccredit: THEINSPIRATIONROOM.COM

MENEGUR UNTUK
MEMPERBETUL

DI ANTARA aktiviti ibadah di bulan Ramadan ini ialah bertadarus Al-Quran iaitu saling membaca dan menyemak bacaan kitab suci itu. Proses ini dimulakan Nabi Muhammad S.A.W bersama malaikat Jibril pada setiap Ramadan. 

Di majlis tadarus, yang membaca Al-Quran akan ditegur dan diperbetul bacaannya oleh yang mendengar. Kemudian proses seterusnya ialah, yang mendengar pula akan membaca Al-Quran. Cantiknya konsep tadarus ini ialah ia adalah sebuah pendekatan belajar dan mengajar secara bertimbal-balik.

Dalam suasana perkongsian ilmu, perasaan kecil hati bila ditegur adalah biasa dan boleh diketepikan. Yang diutamakan ialah memperbetul kesilapan. Justeru, tadarus ini mempunyai pendekatan menegur untuk memperbetul, bukannya menegur untuk menyalahkan. Alangkah baiknya jika semangat pembelajaran di bulan Ramadan ini dibawa bersama ke luar bulan itu, langsung terus di dalam kehidupan kita sehari-hari. Ini adalah kerana, konsep menegur untuk memperbetul sukar terjadi. Yang selalu ialah menegur untuk membelasah hingga yang ditegur itu remuk perasaannya.

Apabila hendak menegur seseorang, kebanyakan kita sudah siang-siang lagi punyai persepsi yang tidak baik terhadap orang yang hendak ditegur. Belum pun kita mengetuk papan kekunci untuk menegur di laman sosial, meluahkan kata-kata secara berdepan mahupun terdengar cerita seseorang yang kita anggap sudah melakukan kesalahan, kita sudah pun menghukum orang itu. Sikap judgemental itulah yang menjelmakan segala rasa negatif kita kepada si pelaku kesilapan. 

Kita berasa meluat, sakit hati dan geram sehinggakan teguran kita sering disulami dengan caci maki dan kata nista dengan menggelar orang yang ditegur itu bodoh, bangang, tak pakai otak dan seumpamanya. Bagaimana ya, orang yang kononnya ingin menegur yang tidak baik itu boleh menggunakan bahasa yang tidak baik juga? Kadangkala tidak terfikirkah kita apakah begitu banyak kata-kata yang tidak baik itu boleh menimbulkan sekelumit kebaikan?

Akibat pendekatan sebegitu, tidak fasal-fasal kita membenci orang yang ditegur. Sedangkan seseorang yang melakukan kesilapan itu boleh jadi punyai ilmu, darjat dan peribadi yang lebih baik daripada kita sendiri. Bukankah yang tidak cantik itu ialah kesilapan orang yang ditegur, bukan dirinya?  Oleh itu, mengapa seluruh tubuh si empunya diri dipersalahkan? Jika seluruh empunya diri itu kita persalahkan, tentu sekali yang ditegur itu akan berasa rendah diri.

Apabila berasa dirinya terhina, tentu sekali dalam situasi itu, dia tidak berdaya untuk berfikir secara rasional untuk memperbaiki kesilapannya kerana asyik memikirkan dirinya yang malang. Kitalah yang bertanggungjawab membuat si pelaku kesalahan berasa begitu inferior.

Wah, apabila kita yang melihat orang yang ditegur itu terkebil-kebil dan kelu lidahnya, kita berasa superior pula dan puashati kerana membuat orang yang ditegur itu diam membisu. Di sinilah mulanya kesilapan kita yang menegur. Tiba-tiba timbul penyakit ego berasa diri hebat kerana berjaya membisukan orang. Kita berasa kita menang. Tetapi, apakah masalah kesilapan yang dilakukan oleh orang yang ditegur itu selesai? Tidak.

Menegur sesuatu yang tidak kena itu adalah sifat yang terpuji. Tetapi cara menegur yang tidak kena cara itu boleh bertukar menjadi sesuatu yang keji. Apatah lagi apabila kita menjatuhkan hukum terhadap orang yang ditegur. Kesilapan yang sedikit dilihat sebagai suatu kesalahan dan hukuman untuk memboikot, menyaman mahupun mengambil tindakan fizikal terhadap yang ditegur.

Walaupun jika dilihat dari sudut pandang undang-undang sivil, orang yang silap itu tidak sampai ke peringkat kena penjara ataupun dihukum gantung kerana kesalahannya. Ataupun dari sudut agama ia bukan pun tergolong dalam dosa besar, tetapi cara kita mengkritik itu seolah-olah itulah hukuman yang wajar terhadap kesalahan yang dilakukan.  Selalunya, kita over dalam bertindak.

Ada juga keadaan bilamana kita menegur kesalahan seseorang itu bukannya secara berdepan, sebaliknya dengan cara meluahkan kekesalan kita itu kepada orang lain. Situasi begini sudah menjadi suatu kebiasaan. Dalam media sosial, keadaan ini selalu terjadi. Apabila kita melihat  sebuah video mengenai suatu kemungkaran, kita mengkritik habis-habisan kemungkaran itu di ruangan komen. Sedangkan orang yang melakukan kemungkaran itu tidak tahu langsung mengenainya. Barangkali dia tidak tahu ada orang mengkritik akan kesilapannya. Justeru, bagaimana dia boleh memperbetul kesalahan kalau dia tidak tahu yang dia sudah berbuat salah?


Namun, selain daripada menegur untuk memperbetul dan bukannya untuk menyalahkan, tiada yang lebih baik daripada menggunakan kata-kata yang lunak. Sepatah kata pendakwah terkenal Mufti Ismail Menk,  ‘ayat-ayat yang keras tidak boleh menyentuh hati yang lembut, tetapi ayat-ayat yang lembut boleh menyentuh hati yang keras.’

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.6.16

Tuesday, June 21, 2016

KENAPA BUAT APA YANG ORANG BUAT?




Piccredit: theoddesseyonline
UKUR BAJU DI BADAN ORANG LAIN

HUJUNG minggu lalu saya ke bazar Ramadan berhampiran dengan rumah kerana ingin merasai suasana membeli-belah di situ. Bagaimana pun, saya tertarik dengan jualan kuih-muih nyonya yang berwarna-warni. Di dalam setiap bungkusan plastik, terdapat enam potongan kuih iaitu kuih lapis, seri muka, kole kacang, talam keladi, bingka ubi dan kuih kasui.

Sebungkus harganya RM3. Apabila memesan, abang yang menjualnya mencadangkan saya ambil dua bungkus kerana harganya RM5. Jimat RM1, katanya. Saya jawab cadangannya dengan senyuman. Pandai abang itu mempromosi. Dapat diskaun RM1 apabila membeli dua bungkus. Sepatutnya harga dua bungkus jadi RM6. Tetapi diberi diskaun RM1 menjadi RM5. Namun, saya jimat RM2, bukannya RM1 kerana saya tidak beli pun sebungkus lagi.

Begitulah taktik dalam dunia pemasaran. Tanpa kita sedari, kita sebagai pelanggan dimanipulasi dengan sudut pandang yang tidak betul hingga persepsi kita jadi songsang apabila disalut dengan persepsi yang indah-indah. Kita mungkin pernah mendapat tawaran barangan murah melalui tukaran baucer. Di kaunter bayaran di pasaraya, petugasnya memberi kita beberapa keping baucer. Katanya, kita layak mendapat baucer-baucer itu kerana belian kita sudah mencecah ke sekian-sekian ringgit.

Dan baucer-baucer itu dapat digunakan untuk membeli mangkuk istimewa dengan harga tawaran murah. Harga mangkuk yang sepatutnya RM30, boleh dibeli dengan harga RM10 sahaja asalkan kita menyertakan beberapa keping baucer. Wah! Kita jimat RM20! Untungnya. Namun sebenarnya kita akan jimat RM30 jika kita tidak membeli pun mangkuk yang dikatakan istimewa itu sebab kita tidak terfikir untuk membeli mangkuk sebelum ini.

Kita membeli kereta baharu dengan pinjaman bank. Kita gembira dan melaram dengan penuh gaya seperti model di dalam iklan kereta itu. Padahal kereta itu bank yang punya. Bank mendahulukan ongkosnya untuk kita. Oleh itu kita beraksi dengan kereta pinjam. Tetapi, akhirnya kereta itu menjadi milik kita setelah kita membuat bayaran penuh bertahun-tahun kemudian. Ya, kereta yang sudah berusia 7 tahun, yang kusam, calar dan bergerak terhegeh-hegeh itulah kereta kita sebenarnya, bukannya yang berkilat bling-bling dahulu.
Kita mendapat kad kredit yang baharu. Tempoh kad itu sah sehingga tahun 2020. Tempoh dilanjutkan ke lima tahun, bukannya tiga tahun seperti biasa. Kreditnya pun telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM30,000. Banyaknya kredit yang diberi. Kita pun berbelanja sakan seperti yang diuar-uarkan model di televisyen.

Tetapi awas. Jumlah RM30,000 itu ialah jumlah hutang yang diberikan oleh pihak bank kepada kita. Ia bukan jumlah wang percuma yang bank beri kepada kita untuk berbelanja. Sesungguhnya jika ia dinamakan kad hutang, bukannya kad kredit, kita akan lebih beringat sebelum berbelanja.

Sewaktu saluran televisyen hanyalah RTM1, RTM2 dan TV3, kita boleh duduk menonton dari petang sehingga siaran tamat. Kita berasakan yang televisyen itu memberikan hiburan yang mudah dan murah. Apabila saluran televisyen bertambah, kepada TV7, TV8 dan TV9, kita berasa amat beruntung kerana mendapat saluran hiburan tambahan.

Namun, apabila kita ditawarkan berpuluh-puluh saluran televisyen yang berbayar, kita tidak dapat duduk di hadapan televisyen selama 24 jam. Yang peliknya, kita punyai masa yang makin sedikit untuk menonton televisyen. Tetapi kita tetap berasa hebat seperti orang lain. Berasa begitu harmoni dan bahagia menonton bersama keluarga kerana itulah imej yang diperlihatkan kepada mereka yang melanggan berpuluh-puluh saluran televisyen.

Bagaimana kita boleh termakan dengan satu-satu pelan atau produk pemasaran yang kita sendiri tidak mahu? Mengapa kita membeli sesuatu yang kita tidak perlu? Herd mentality. Itulah sebabnya. Apabila kita melihat ramai orang menggunakan produk yang sama, perkhidmatan yang serupa, kita pun turut serta. Dalam fikiran kita, jika ramai orang gunakan sesebuah produk atau perkhidmatan, kita pun berani ikut serta kerana kita berasa selamat melakukannya.

Oleh kerana kita takut melakukan sesuatu itu secara bersendirian atau ikut kepala sendiri, maka kita buat sahaja apa yang orang lain lakukan. Mode pemikiran sebeginilah yang mudah dimanipulasi dan dirangkum oleh pihak pengiklanan dan pemasaran. Inilah yang dinamakan komunikasi massa. Ia pada asalnya teknik berkomunikasi yang bertujuan supaya seluruh masyarakat memahami sesebuah mesej. Tetapi kini, ia mengambil jalan pintas dengan membentuk pemikiran khalayak agar berpandangan serupa agar ia mudah dibentuk dan diyakinkan untuk menerima apa yang dikempenkan.

Mereka membentuk kehendak ‘aku mahu itu,’ ‘aku mahu ini,’ sama seperti orang lain sehinggakan sebuah masyarakat boleh terpesong melakukan kesilapan yang sama. Tetapi oleh kerana seluruh masyarakat melakukan kesilapan yang serupa, kesilapan itu sudah menjadi norma. Siapa yang betul, dia pula dianggap kera sumbang.

Seharusnya apabila ingin membuat keputusan dan seterusnya bertindak, kita patut ukur baju di badan sendiri, bukan di badan orang lain.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.6.2016.

Tuesday, June 14, 2016

MENARA GADING YANG TIADA NILAI



Piccredit: takepart.com

IJAZAH 
TIDAK MENJAMIN 
DI MANA KITA

MEMILIH bidang pengajian bagi seseorang pelajar pada hari ini adalah lebih bebas daripada dahulu. Jika pada tahun-tahun awal merdeka, seseorang yang melanjutkan pelajaran ke universiti memang semata-mata bertujuan untuk menimba ilmu, mendapat kerja yang baik dan membantu keluarga. Pelajaran di universiti memberi diri seseorang itu mobiliti sosial untuk diri dan juga keluarganya.

Oleh kerana universiti pada ketika itu tidak banyak, peluang kemasukan ke universiti amat terhad. Seseorang yang mendapat keputusan peperiksaan tingkatan enam yang benar-benar baik sahaja yang layak melanjutkan pelajarannya. Mereka yang benar-benar berhasrat melanjutkan pelajaran sanggup menduduki peperiksaan berkali-kali kerana menjejakkan kaki ke universiti adalah segala-galanya. Kerana itu, universiti sama diertikan sebagai menara gading. Istilah itu jarang dipakai pada hari ini, mungkin kerana terlalu banyak universiti telah terbina pada hari ini. Kerana itu, ia bukan lagi sesuatu yang istimewa seperti gading.

Bidang-bidang yang ditawarkan juga ketika itu amat khusus dan serius seperti kedoktoran, perakaunan, undang-undang, pendidikan, sejarah, antropologi, sosiologi, ekonomi dan kejuruteraan. Tidak hairanlah pendidikan universiti pada ketika itu melahirkan mereka yang berperwatakan serius, amat mementingkan disiplin dan etika profesion masing-masing.

Mulai pada tahun-tahun 70an, apabila negara mula sedang membangun, tenaga kerja berkemahiran amat diperlukan. Para pelajar di sekolah mula dipisahkan di kelas-kelas sains dan sastera. Pelajar-pelajar aliran sains diutamakan. Frasa ‘ini zaman sains dan teknologi’ meniti di bibir para pemimpin negara, ahli-ahli akademik termasuk guru-guru.

Oleh kerana universiti-universiti ketika itu adalah universiti awam, maka mudah bagi pihak kerajaan menjadikan universiti seperti kilang untuk melahirkan para graduan. Dunia pendidikan menjuruskan seluruh perancangannya agar melahirkan para pelajar supaya berkhidmat membina negara. Oleh kerana negara membangun dan berkembang begitu pesat, tenaga pakar yang lahir sentiasa tidak mencukupi. Kerana itu, lulusan universiti ketika itu tidak perlu risau kerana lulusan universiti pasti akan dapat kerja.
Akhir tahun-tahun 80an menyaksikan perkembangan institusi pengajian tinggi swasta. Kemasukan ke tempat-tempat ini agak lembab kerana kos pembelajarannya yang tinggi. Tenaga pengajarnya pula sukar diperoleh dari luar negara. Para pensyarah tempatan pun belum ramai yang punyai pengalaman mengajar.  Prestasinya belum meyakinkan. Dalam pada itu, banyak institusi pengajian tinggi swasta belum mampu mempunyai kampus melainkan menyewa bangunan sebagai bilik kuliah.

Menjelang tahun-tahun 90an dan berikutnya, dengan pertumbuhan ekonomi negara dan peluang pekerjaan, ia merancakkan pertumbuhan universiti awam dan juga swasta. Semua negeri mahu mendirikan universiti, kalau tidakpun kolej pengajian tinggi. Institut yang pelbagai pun tumbuh di merata pelosok bandar. Pusat pengajian tinggi swasta pun turut berkembang.

Ibubapa kepada anak-anak yang belajar di sekolah menengah adalah mereka yang membesar dengan melihat bahawa universiti sahajalah jalan pintas untuk memperoleh kehidupan yang selesa dan baik. Justeru itu, seboleh mungkin, mereka mahukan anak masing-masing melanjutkan pelajaran di universiti. Kerana itu, apabila anak masing-masing tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti awam, ke universiti swastalah tujuan mereka.

Tetapi, bukankah universiti swasta mahal yurannya. Bagaimana? Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN adalah jawapannya apabila ia tertubuh pada tahun 1997. Ia memberi kelegaan kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti melalui pinjaman wang. Membolehkan sesiapa yang mempunyai kelayakan minima untuk masuk universiti swasta yang semakin banyak.

Sedikit demi sedikit, konsep mewujudkan universiti sebagai menara gading atau sebagai kilang mengeluarkan tenaga kerja mula beranjak apabila pengajian universiti turut menjadi institusi komersial. Ada wang, sesiapa sahaja boleh masuk universiti. Negara pun mula mengenepikan pendekatan menjadikan universiti sebagai melahirkan pekerja untuk membangun negara.

Dunia tanpa sempadan membolehkan sesiapa sahaja mengimport pakar-pakar dalam mana-mana bidang yang diperlukan. Tiada kuota, tiada had. Akhirnya, mereka yang belajar di universiti keluar dan terkejut kerana tiada lagi kerja yang menunggu. Sudah tiada lagi anak-anak menjadi pembantu masa depan keluarga. Barangkali ada yang terus perlu ditanggung keluarga untuk melangsaikan pinjaman pendidikan. Jika tidak pun, ibubapa tidak boleh lagi mengharap apa-apa daripada anak-anak mereka yang berkelulusan universiti.


Senario pendidikan di negara kita sudah lama berubah. Dari segi pendidikan, apakah kita sedar bahawa kita tidak boleh lagi bergantung harap pada apa-apa untuk masa depan? Universiti sudah tidak menjamin pekerjaan. Simpan sahaja ijazah sebagai kenangan bahawa kita pernah sampai ke sana. Singsing lengan dan melangkahlah untuk mencari sesuap nasi kerana ilmu dan laba yang diperoleh di universiti kehidupan itu lebih realistik.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 15.6.16.

Tuesday, June 7, 2016

LAIN MASA LAIN SUDUT PANDANG



Piccredit: waroengsihat.com
PERKARA SAMA, 
MAKNANYA BERBEZA

SAYA tak boleh lupa bulan Ramadan sewaktu kecil dahulu. Tatkala belum tahan berpuasa, emak mengajar saya agar berazam untuk berpuasa hanya dengan membuatkan saya duduk jauh daripada abang yang berpuasa tatkala tiba waktu berbuka. Abang dapat segala-galanya. Tetapi, saya cuma dapat sebuku kuih seri muka.

Bila saya disuruh duduk jauh daripada abang yang berpuasa, hati memanglah terasa iri. Teruja sangat mendengar pinggan dan gelas berantukan serta bunyi mulut ahli keluarga mengunyah atau menghirup air, sedangkan saya hanya duduk bersila di lantai sementara mereka di kerusi. Tapi, siapa yang tak kenal emak. Bila abah mula bangun untuk solat, mak akan menggamit saya untuk duduk semeja.

Perasaan kena ‘main jauh-jauh’ kerana tidak berpuasa itu sudah cukup menimbulkan azam agar saya segera berpuasa. Walaupun keesokannya saya mula berpuasa meskipun sekerat hari, itu sudah cukup menggembirakan emak. Setelah seminggu kemudian saya boleh berpuasa penuh, abah pun berbangga bila dia ajak duduk di sisinya.

Apabila saya sudah bersekolah dan boleh berbasikal, saya ditugaskan untuk membeli air batu untuk persediaan berbuka di kedai. Air batu ketika itu bukannya yang terjual dalam bentuk ketulan kecil di dalam plastik seperti hari ini. Sebaliknya air batu ketika itu dijual dalam bentuk  kiub 15 X 15 sentimeter. Tidak ada beg plastik yang disediakan.

Sebaliknya ais itu dibalut dengan habuk kayu supaya ia kedap udara dan tak mudah cair sebelum dibungkus dengan kertas surat khabar. Saya akan menyepit air batu itu di carrier basikal sebelum mengayuh pulang. Di rumah, setelah ais dibilas air untuk membuang habuk kayu, ia kemudiannya digergaji dalam bentuk kiub yang kecil-kecil sebelum dimasukkan ke dalam minuman.

Di zaman kanak-kanak, solat terawih di surau memang sesuatu yang meriah. Selain daripada solat berjemaah, moreh yang tersedia setelah solat itulah yang dinanti. Sementara menunggu orang dewasa habis bersolat, kami bermain kejar-kejaran. Bila penat, singgah untuk bertarawih. Kemudian, keluar untuk bermain lagi.

Di waktu itu, kami boleh bermain polis sentry atau sembunyi ibu ke merata kampung. Sejauh mana pun berlari, kami sudah tahu bila waktu tamat solat. Tiba-tiba sahaja sudah ada bersama orang tua untuk menikmati moreh.

Apabila meningkat dewasa dan mula belajar di kolej, sahur bukan lagi pada waktu menjelang subuh, sebaliknya mulai jam 12.00 malam. Maklumlah, di kolej masing-masing memang sukar bangun apabila sudah terlelap. Daripada memutar jam supaya boleh jaga pada pukul 4.00 pagi, yang mana kita belum tentu akan bangun, maka lebih baik mengawalkan sahur.

Hidangan berbuka pun perlu dibeli seawal jam 4.00 petang. Jika terlewat berkunjung ke gerai, alamat makanan sudah habis. Ayam goreng panas-panas pun boleh liat kerana sejuk kerana diikat bersama seuncang air tebu. Di zaman menjadi pelajar di universiti, tarawih dilakukan apabila ada kesempatan. Maklumlah seharian penat berkuliah di bulan Ramadan. Konon!

Apabila bekerja, puasa adalah waktu kita berkejar. Kena cepat bangun sahur, segera solat agar dapat keluar rumah sebelum jalanraya sesak. Waktu pulang pun kena segera kerana hendak berlari ke bazaar Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka. Bertarawih di surau pun pada hujung-hujung minggu kerana di hari-hari lain penat bekerja. Konon lagi.

Puasa dan nilainya turut berubah apabila kita meningkat usia. Di zaman kanak-kanak dahulu, ia adalah menahan lapar dan dahaga atau untuk menghayati apa yang dilalui oleh orang miskin. Kemudian, upah berbentuk wang adalah motivasi untuk menghabiskan puasa sebulan.

Apabila meningkat remaja pula, puasa dilihat sebagai suatu aktiviti menjaga kesihatan. Diet, kata orang. Jika kita menjaga makan dan minum, berat badan akan turun dan kita akan menjadi cergas selepas itu. Walaupun begitu, selera orang muda juga memang sentiasa ada. Akhirnya, kita akan membeli apa sahaja yang terpandang dan teringin. Diet pun entah ke mana. Namun, kerana usia muda dan metabolism kita baik, makan minum yang banyak di bulan puasa masih boleh menurunkan berat badan.

Hanya setelah kita meningkat usia, baharulah pemahaman berpuasa semakin boleh dihayati. Apabila kita sudah merasai semua masam, manis, masin dan pahit, apa-apa makanan yang terhidang pun sudah tidak mengujakan. Seronok, memanglah seronok menghadap hidangan, tetapi makan pun sekadar ada agar tidak khayal tatkala bertarawih akibat kekenyangan.


Mungkin ketika kanak-kanak kita asyik menengok jam untuk mengira bilakah waktu berbuka. Kini biarlah kita asyik menengok jam supaya dapat mencongak sempatkah kita habiskan juz yang sedang dibaca sebelum masuk waktu berbuka. Yang penting, kita mula terasa sempatkah kita melalui Ramadan ini dan Ramadan-Ramadan di tahun-tahun hadapan?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.6.16.