Piccredit: THEINSPIRATIONROOM.COM
MENEGUR UNTUK
MEMPERBETUL
MEMPERBETUL
DI ANTARA aktiviti ibadah
di bulan Ramadan ini ialah bertadarus Al-Quran iaitu saling membaca dan
menyemak bacaan kitab suci itu. Proses ini dimulakan Nabi Muhammad S.A.W bersama malaikat
Jibril pada setiap Ramadan.
Di majlis tadarus, yang membaca Al-Quran akan ditegur dan
diperbetul bacaannya oleh yang mendengar. Kemudian proses seterusnya ialah,
yang mendengar pula akan membaca Al-Quran. Cantiknya konsep tadarus ini ialah
ia adalah sebuah pendekatan belajar dan mengajar secara bertimbal-balik.
Dalam suasana perkongsian ilmu, perasaan kecil hati bila
ditegur adalah biasa dan boleh diketepikan. Yang diutamakan ialah memperbetul
kesilapan. Justeru, tadarus ini mempunyai pendekatan menegur untuk memperbetul,
bukannya menegur untuk menyalahkan. Alangkah baiknya jika semangat pembelajaran
di bulan Ramadan ini dibawa bersama ke luar bulan itu, langsung terus di dalam
kehidupan kita sehari-hari. Ini adalah kerana, konsep menegur untuk memperbetul
sukar terjadi. Yang selalu ialah menegur untuk membelasah hingga yang ditegur
itu remuk perasaannya.
Apabila hendak menegur seseorang, kebanyakan kita sudah
siang-siang lagi punyai persepsi yang tidak baik terhadap orang yang hendak
ditegur. Belum pun kita mengetuk papan kekunci untuk menegur di laman sosial,
meluahkan kata-kata secara berdepan mahupun terdengar cerita seseorang yang
kita anggap sudah melakukan kesalahan, kita sudah pun menghukum orang itu.
Sikap judgemental itulah yang
menjelmakan segala rasa negatif kita kepada si pelaku kesilapan.
Kita berasa meluat, sakit hati dan geram sehinggakan teguran
kita sering disulami dengan caci maki dan kata nista dengan menggelar orang
yang ditegur itu bodoh, bangang, tak pakai otak dan seumpamanya. Bagaimana ya,
orang yang kononnya ingin menegur yang tidak baik itu boleh menggunakan bahasa
yang tidak baik juga? Kadangkala tidak terfikirkah kita apakah begitu banyak kata-kata
yang tidak baik itu boleh menimbulkan sekelumit kebaikan?
Akibat pendekatan sebegitu, tidak fasal-fasal kita membenci
orang yang ditegur. Sedangkan seseorang yang melakukan kesilapan itu boleh jadi
punyai ilmu, darjat dan peribadi yang lebih baik daripada kita sendiri.
Bukankah yang tidak cantik itu ialah kesilapan orang yang ditegur, bukan
dirinya? Oleh itu, mengapa seluruh tubuh
si empunya diri dipersalahkan? Jika seluruh empunya diri itu kita persalahkan,
tentu sekali yang ditegur itu akan berasa rendah diri.
Apabila berasa dirinya terhina, tentu sekali dalam situasi
itu, dia tidak berdaya untuk berfikir secara rasional untuk memperbaiki
kesilapannya kerana asyik memikirkan dirinya yang malang. Kitalah yang
bertanggungjawab membuat si pelaku kesalahan berasa begitu inferior.
Wah, apabila kita yang melihat orang yang ditegur itu
terkebil-kebil dan kelu lidahnya, kita berasa superior pula dan puashati kerana membuat orang yang ditegur itu
diam membisu. Di sinilah mulanya kesilapan kita yang menegur. Tiba-tiba timbul
penyakit ego berasa diri hebat kerana berjaya membisukan orang. Kita berasa
kita menang. Tetapi, apakah masalah kesilapan yang dilakukan oleh orang yang
ditegur itu selesai? Tidak.
Menegur sesuatu yang tidak kena itu adalah sifat yang
terpuji. Tetapi cara menegur yang tidak kena cara itu boleh bertukar menjadi
sesuatu yang keji. Apatah lagi apabila kita menjatuhkan hukum terhadap orang
yang ditegur. Kesilapan yang sedikit dilihat sebagai suatu kesalahan dan
hukuman untuk memboikot, menyaman mahupun mengambil tindakan fizikal terhadap
yang ditegur.
Walaupun jika dilihat dari sudut pandang undang-undang sivil,
orang yang silap itu tidak sampai ke peringkat kena penjara ataupun dihukum
gantung kerana kesalahannya. Ataupun dari sudut agama ia bukan pun tergolong
dalam dosa besar, tetapi cara kita mengkritik itu seolah-olah itulah hukuman
yang wajar terhadap kesalahan yang dilakukan.
Selalunya, kita over dalam
bertindak.
Ada juga keadaan bilamana kita menegur kesalahan seseorang
itu bukannya secara berdepan, sebaliknya dengan cara meluahkan kekesalan kita
itu kepada orang lain. Situasi begini sudah menjadi suatu kebiasaan. Dalam
media sosial, keadaan ini selalu terjadi. Apabila kita melihat sebuah video mengenai suatu kemungkaran, kita
mengkritik habis-habisan kemungkaran itu di ruangan komen. Sedangkan orang yang
melakukan kemungkaran itu tidak tahu langsung mengenainya. Barangkali dia tidak
tahu ada orang mengkritik akan kesilapannya. Justeru, bagaimana dia boleh
memperbetul kesalahan kalau dia tidak tahu yang dia sudah berbuat salah?
Namun, selain daripada menegur untuk memperbetul dan bukannya
untuk menyalahkan, tiada yang lebih baik daripada menggunakan kata-kata yang
lunak. Sepatah kata pendakwah terkenal Mufti Ismail Menk, ‘ayat-ayat yang keras tidak boleh menyentuh
hati yang lembut, tetapi ayat-ayat yang lembut boleh menyentuh hati yang
keras.’
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.6.16
No comments:
Post a Comment