Piccredit: takepart.com
IJAZAH
TIDAK MENJAMIN
DI MANA KITA
MEMILIH bidang pengajian bagi seseorang pelajar pada hari ini
adalah lebih bebas daripada dahulu. Jika pada tahun-tahun awal merdeka,
seseorang yang melanjutkan pelajaran ke universiti memang semata-mata bertujuan
untuk menimba ilmu, mendapat kerja yang baik dan membantu keluarga. Pelajaran
di universiti memberi diri seseorang itu mobiliti sosial untuk diri dan juga
keluarganya.
Oleh kerana universiti pada ketika itu tidak banyak, peluang
kemasukan ke universiti amat terhad. Seseorang yang mendapat keputusan
peperiksaan tingkatan enam yang benar-benar baik sahaja yang layak melanjutkan
pelajarannya. Mereka yang benar-benar berhasrat melanjutkan pelajaran sanggup
menduduki peperiksaan berkali-kali kerana menjejakkan kaki ke universiti adalah
segala-galanya. Kerana itu, universiti sama diertikan sebagai menara gading.
Istilah itu jarang dipakai pada hari ini, mungkin kerana terlalu banyak
universiti telah terbina pada hari ini. Kerana itu, ia bukan lagi sesuatu yang
istimewa seperti gading.
Bidang-bidang yang ditawarkan juga ketika itu amat khusus dan
serius seperti kedoktoran, perakaunan, undang-undang, pendidikan, sejarah, antropologi,
sosiologi, ekonomi dan kejuruteraan. Tidak hairanlah pendidikan universiti pada
ketika itu melahirkan mereka yang berperwatakan serius, amat mementingkan
disiplin dan etika profesion masing-masing.
Mulai pada tahun-tahun 70an, apabila negara mula sedang
membangun, tenaga kerja berkemahiran amat diperlukan. Para pelajar di sekolah mula
dipisahkan di kelas-kelas sains dan sastera. Pelajar-pelajar aliran sains
diutamakan. Frasa ‘ini zaman sains dan teknologi’ meniti di bibir para pemimpin
negara, ahli-ahli akademik termasuk guru-guru.
Oleh kerana universiti-universiti ketika itu adalah
universiti awam, maka mudah bagi pihak kerajaan menjadikan universiti seperti
kilang untuk melahirkan para graduan. Dunia pendidikan menjuruskan seluruh
perancangannya agar melahirkan para pelajar supaya berkhidmat membina negara. Oleh
kerana negara membangun dan berkembang begitu pesat, tenaga pakar yang lahir
sentiasa tidak mencukupi. Kerana itu, lulusan universiti ketika itu tidak perlu
risau kerana lulusan universiti pasti akan dapat kerja.
Akhir tahun-tahun 80an menyaksikan perkembangan institusi
pengajian tinggi swasta. Kemasukan ke tempat-tempat ini agak lembab kerana kos
pembelajarannya yang tinggi. Tenaga pengajarnya pula sukar diperoleh dari luar
negara. Para pensyarah tempatan pun belum ramai yang punyai pengalaman
mengajar. Prestasinya belum meyakinkan. Dalam
pada itu, banyak institusi pengajian tinggi swasta belum mampu mempunyai kampus
melainkan menyewa bangunan sebagai bilik kuliah.
Menjelang tahun-tahun 90an dan berikutnya, dengan pertumbuhan
ekonomi negara dan peluang pekerjaan, ia merancakkan pertumbuhan universiti
awam dan juga swasta. Semua negeri mahu mendirikan universiti, kalau tidakpun
kolej pengajian tinggi. Institut yang pelbagai pun tumbuh di merata pelosok
bandar. Pusat pengajian tinggi swasta pun turut berkembang.
Ibubapa kepada anak-anak yang belajar di sekolah menengah
adalah mereka yang membesar dengan melihat bahawa universiti sahajalah jalan
pintas untuk memperoleh kehidupan yang selesa dan baik. Justeru itu, seboleh
mungkin, mereka mahukan anak masing-masing melanjutkan pelajaran di universiti.
Kerana itu, apabila anak masing-masing tidak dapat melanjutkan pelajaran ke
universiti awam, ke universiti swastalah tujuan mereka.
Tetapi, bukankah universiti swasta mahal yurannya. Bagaimana?
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN adalah jawapannya
apabila ia tertubuh pada tahun 1997. Ia memberi kelegaan kepada mereka yang
ingin melanjutkan pelajaran ke universiti melalui pinjaman wang. Membolehkan
sesiapa yang mempunyai kelayakan minima untuk masuk universiti swasta yang
semakin banyak.
Sedikit demi sedikit, konsep mewujudkan universiti sebagai
menara gading atau sebagai kilang mengeluarkan tenaga kerja mula beranjak
apabila pengajian universiti turut menjadi institusi komersial. Ada wang,
sesiapa sahaja boleh masuk universiti. Negara pun mula mengenepikan pendekatan
menjadikan universiti sebagai melahirkan pekerja untuk membangun negara.
Dunia tanpa sempadan membolehkan sesiapa sahaja mengimport
pakar-pakar dalam mana-mana bidang yang diperlukan. Tiada kuota, tiada had. Akhirnya,
mereka yang belajar di universiti keluar dan terkejut kerana tiada lagi kerja
yang menunggu. Sudah tiada lagi anak-anak menjadi pembantu masa depan keluarga.
Barangkali ada yang terus perlu ditanggung keluarga untuk melangsaikan pinjaman
pendidikan. Jika tidak pun, ibubapa tidak boleh lagi mengharap apa-apa daripada
anak-anak mereka yang berkelulusan universiti.
Senario pendidikan di negara kita sudah lama berubah. Dari
segi pendidikan, apakah kita sedar bahawa kita tidak boleh lagi bergantung
harap pada apa-apa untuk masa depan? Universiti sudah tidak menjamin pekerjaan.
Simpan sahaja ijazah sebagai kenangan bahawa kita pernah sampai ke sana.
Singsing lengan dan melangkahlah untuk mencari sesuap nasi kerana ilmu dan laba
yang diperoleh di universiti kehidupan itu lebih realistik.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 15.6.16.
No comments:
Post a Comment