Piccredit: theoddesseyonline
UKUR BAJU DI BADAN ORANG LAIN
HUJUNG minggu lalu saya ke bazar Ramadan berhampiran dengan
rumah kerana ingin merasai suasana membeli-belah di situ. Bagaimana pun, saya
tertarik dengan jualan kuih-muih nyonya yang berwarna-warni. Di dalam setiap
bungkusan plastik, terdapat enam potongan kuih iaitu kuih lapis, seri muka, kole
kacang, talam keladi, bingka ubi dan kuih kasui.
Sebungkus harganya RM3. Apabila memesan, abang yang menjualnya
mencadangkan saya ambil dua bungkus kerana harganya RM5. Jimat RM1, katanya.
Saya jawab cadangannya dengan senyuman. Pandai abang itu mempromosi. Dapat
diskaun RM1 apabila membeli dua bungkus. Sepatutnya harga dua bungkus jadi RM6.
Tetapi diberi diskaun RM1 menjadi RM5. Namun, saya jimat RM2, bukannya RM1 kerana
saya tidak beli pun sebungkus lagi.
Begitulah taktik dalam dunia pemasaran. Tanpa kita sedari,
kita sebagai pelanggan dimanipulasi dengan sudut pandang yang tidak betul
hingga persepsi kita jadi songsang apabila disalut dengan persepsi yang
indah-indah. Kita mungkin pernah mendapat tawaran barangan murah melalui
tukaran baucer. Di kaunter bayaran di pasaraya, petugasnya memberi kita
beberapa keping baucer. Katanya, kita layak mendapat baucer-baucer itu kerana
belian kita sudah mencecah ke sekian-sekian ringgit.
Dan baucer-baucer itu dapat digunakan untuk membeli mangkuk istimewa
dengan harga tawaran murah. Harga mangkuk yang sepatutnya RM30, boleh dibeli
dengan harga RM10 sahaja asalkan kita menyertakan beberapa keping baucer. Wah!
Kita jimat RM20! Untungnya. Namun sebenarnya kita akan jimat RM30 jika kita
tidak membeli pun mangkuk yang dikatakan istimewa itu sebab kita tidak terfikir
untuk membeli mangkuk sebelum ini.
Kita membeli kereta baharu dengan pinjaman bank. Kita gembira
dan melaram dengan penuh gaya seperti model di dalam iklan kereta itu. Padahal kereta
itu bank yang punya. Bank mendahulukan ongkosnya untuk kita. Oleh itu kita
beraksi dengan kereta pinjam. Tetapi, akhirnya kereta itu menjadi milik kita
setelah kita membuat bayaran penuh bertahun-tahun kemudian. Ya, kereta yang sudah
berusia 7 tahun, yang kusam, calar dan bergerak terhegeh-hegeh itulah kereta
kita sebenarnya, bukannya yang berkilat bling-bling
dahulu.
Kita mendapat kad kredit yang baharu. Tempoh kad itu sah sehingga
tahun 2020. Tempoh dilanjutkan ke lima tahun, bukannya tiga tahun seperti
biasa. Kreditnya pun telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM30,000. Banyaknya
kredit yang diberi. Kita pun berbelanja sakan seperti yang diuar-uarkan model di
televisyen.
Tetapi awas. Jumlah RM30,000 itu ialah jumlah hutang yang
diberikan oleh pihak bank kepada kita. Ia bukan jumlah wang percuma yang bank
beri kepada kita untuk berbelanja. Sesungguhnya jika ia dinamakan kad hutang,
bukannya kad kredit, kita akan lebih beringat sebelum berbelanja.
Sewaktu saluran televisyen hanyalah RTM1, RTM2 dan TV3, kita
boleh duduk menonton dari petang sehingga siaran tamat. Kita berasakan yang
televisyen itu memberikan hiburan yang mudah dan murah. Apabila saluran
televisyen bertambah, kepada TV7, TV8 dan TV9, kita berasa amat beruntung
kerana mendapat saluran hiburan tambahan.
Namun, apabila kita ditawarkan berpuluh-puluh saluran
televisyen yang berbayar, kita tidak dapat duduk di hadapan televisyen selama
24 jam. Yang peliknya, kita punyai masa yang makin sedikit untuk menonton
televisyen. Tetapi kita tetap berasa hebat seperti orang lain. Berasa begitu
harmoni dan bahagia menonton bersama keluarga kerana itulah imej yang
diperlihatkan kepada mereka yang melanggan berpuluh-puluh saluran televisyen.
Bagaimana kita boleh termakan dengan satu-satu pelan atau
produk pemasaran yang kita sendiri tidak mahu? Mengapa kita membeli sesuatu
yang kita tidak perlu? Herd mentality.
Itulah sebabnya. Apabila kita melihat ramai orang menggunakan produk yang sama,
perkhidmatan yang serupa, kita pun turut serta. Dalam fikiran kita, jika ramai
orang gunakan sesebuah produk atau perkhidmatan, kita pun berani ikut serta
kerana kita berasa selamat melakukannya.
Oleh kerana kita takut melakukan sesuatu itu secara bersendirian
atau ikut kepala sendiri, maka kita buat sahaja apa yang orang lain lakukan. Mode
pemikiran sebeginilah yang mudah dimanipulasi dan dirangkum oleh pihak
pengiklanan dan pemasaran. Inilah yang dinamakan komunikasi massa. Ia pada asalnya
teknik berkomunikasi yang bertujuan supaya seluruh masyarakat memahami sesebuah
mesej. Tetapi kini, ia mengambil jalan pintas dengan membentuk pemikiran
khalayak agar berpandangan serupa agar ia mudah dibentuk dan diyakinkan untuk
menerima apa yang dikempenkan.
Mereka membentuk kehendak ‘aku mahu itu,’ ‘aku mahu ini,’ sama
seperti orang lain sehinggakan sebuah masyarakat boleh terpesong melakukan
kesilapan yang sama. Tetapi oleh kerana seluruh masyarakat melakukan kesilapan
yang serupa, kesilapan itu sudah menjadi norma. Siapa yang betul, dia pula
dianggap kera sumbang.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.6.2016.
hurrm....thingking..thank you..
ReplyDeleteTerima kasih - Norden Mohamed . Penulis
ReplyDelete