Tuesday, August 25, 2015

MELAYU BISNES



 
 
Piccredit: mara.gov.my
MELAYU SUDAH
PANDAI BERNIAGA

BARU-BARU ini saya berurusan di sebuah bank di Shah Alam. Sambil menanti nombor diumum, saya terpandang seorang lelaki Melayu yang berpakaian kemas sedang menerangkan sesuatu kepada seorang pegawai bank. Suaranya agak jelas. Jadi, saya terdengar juga sebahagian daripada butir bicaranya.

‘Dekat bahagian ini saya akan pasang kaunter, ada papan tanda besar di belakang. Di bahagian depan ini saya akan pasang karpet dan sebuah kerusi cantik di sini…’ Demikian ujar lelaki itu. Sambil bercakap, tangannya terkibar-kibar menunjukkan bahagian-bahagian di mana dia akan bina kaunter, papan tanda, permaidani dan juga menempatkan kerusi khas itu. Pegawai bank yang ada bersamanya kelihatan terangguk-angguk tanda jelas dengan penerangan itu.

‘Oh… kontraktor Melayu. Hebat!’ detik hati saya apabila dapat mengagak yang lelaki Melayu itu sedang menerangkan kepada pegawai bank mengenai sebuah binaan yang akan didirikan. Sambil memerhati, saya turut berasa bangga kerana sudah ada anak Melayu yang mendapat kepercayaan pihak bank. Maklumlah, bank adalah di antara institusi swasta yang amat ketat dalam apa-apa pemilihan, penilaian dan membuat keputusan. 

Khayalan saya terhenti apabila terdengar suara seorang lelaki Cina yang berbaju-T dan berseluar yang ada banyak poket. Dia sedang memegang pita pengukur. Lelaki Cina itu kelihatan sedang berkata sesuatu dengan lelaki Melayu itu. Tampak lelaki Melayu itu memberi penerangan dan arahan-arahan kepada lelaki Cina itu. Dan, lelaki Cina itu kelihatan terangguk-angguk faham. Daripada bahasa tubuh mereka saya andaikan yang lelaki Cina itu adalah pekerja yang akan melaksanakan tugas membuat binaan di dalam bank itu. Ya, Melayu jadi tauke, pekerjanya pula Cina.

Perjalanan kita sudah jauh. Ia juga sudah berubah. Situasi yang saya lihat itu tidak dapat saya temui 30-40 tahun dahulu. Di tahun-tahun 60-70an khususnya, kita biasa dengar klise bahawa orang Melayu tidak tahu berniaga. Kalau ada perniagaan pun, perniagaan alibaba di mana orang Cina menjadi rakan yang menjalankan perniagaan, tetapi orang Melayunya hanya menjadi sleeping partner ~ jual nama.

Kalaupun orang Melayu mendapat kontrak, kontrak itu akan dijualnya. Jika memperoleh pinjaman daripada badan kerajaan seperti MARA, perkara pertama yang dilakukannya ialah membeli kereta, mempunyai pejabat wall-to-wall carpeting, dia bermain golf, makan-makan dan minum-minum sahaja kerjanya.

Orang Melayu yang ingin berniaga tetapi tidak pandai akan menggunakan kabel politik untuk mendapat tender, kontrak dan juga pinjaman.  Saham yang diperoleh dan permit AP pun akan segera dijualnya untuk memperoleh untung semerta. Akibatnya, hasrat pemerintah untuk membantu orang Melayu berjaya di dalam ekonomi memang tidak berapa berjaya. DEB hanya mencapai 17% daripada sasaran 30 % pada 1990.

Tun Dr. Mahathir, dengan segala semangat, kuasa dan tindakan pun tidak dapat mengubah mentaliti orang Melayu untuk berjaya di dalam perniagaan. Namun, semakin masa berlalu, perlahan-lahan kita mula nampak orang Melayu yang berjaya di dalam bidang yang diceburi. Ramai yang berjaya dengan bantuan kerajaan. Tetapi lebih ramai lagi yang bergerak tanpa bantuan secara langsung daripada kerajaan. Malah, ada Melayu yang tidak mahu meminjam daripada mana-mana institusi kerajaan dan bank untuk membesarkan perniagaan.

Mereka mengikut jalan biasa ~ jalan yang seharusnya seseorang usahawan lalui; tanpa subsidi kerajaan atau tanpa kabel politik. Yang menjayakan mereka ialah orang Melayu juga kerana orang Melayu di Malaysia mempunyai kuasa beli kepenggunaan yang tinggi. Pergilah ke mana-mana sahaja dan kita akan jumpa orang Melayu berbelanja. Mereka inilah yang menghidupkan perniagaan orang Melayu. Malah, orang Melayu juga punyai  kuasa pasaran. Kian banyak entiti perniagaan yang mendapatkan sijil halal Jakim kerana sedar akan kuasa beli orang Melayu di pasaran tempatan.

Apakah orang Melayu akan berjaya dan mengatasi kaum lain dari segi kek ekonomi? Orang Melayu masih tercicir jauh. Lagipun, itu sudah tidak menjadi penting. Yang mustahak ialah membina jatidiri keusahawanan orang Melayu. Walaupun akan ada pusat IT ala Low Yat misalnya, orang Cina masih memperoleh peluang menjadi pembekal barangan IT kepada peniaga-peniaga Melayu. Maknanya, orang Cina akan kekal menjuarai bidang perniagaan di Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang.

Dalam pada itu, sudah ada orang Melayu yang biasa pergi ke Hong Kong, Shanghai, Chengdu dan Kunming mahupun di mana-mana sahaja pelosok Asia Tenggara, India dan juga Afrika untuk mendapatkan bekalan secara terus.

Golongan Melayu ini masih kecil, tetapi kental berdepan dengan sepak terajang dunia perniagaan. Kata-kata bahawa orang Melayu tidak pandai berniaga, alibaba atau menjual kontrak adalah klise yang menjadi kepercayaan umum orang Melayu kerana hanya memandang dan tidak memerhati dunia perniagaan orang Melayu yang sedang berubah rancak untuk menjadi kukuh dan hebat.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.8.15.

 

Tuesday, August 18, 2015

BUDAYA NIAGA HARI INI


Piccredit:noupe.com
 
THIS IS MY CARD…

DALAM seminggu ini, saya mula mengemas bilik pejabat saya yang bersepah. Banyak juga sampah yang saya istilahkan sebagai sampah terhormat kerana ia berupa buku, laporan, buletin, kertas minit mesyuarat dan akhbar yang seharusnya dibuang. Tetapi oleh kerana ia adalah bahan-bahan yang bersih dan kemas, ia masih diletakkan di atas meja dan di rak-rak buku meskipun ia sudah tidak relevan.

Ketika mengemas alatulis termasuk pen yang sudah tiada dakwat, pensil kontot, gunting, pisau pemotong dan penyisip kertas, saya ternampak berpuluh-puluh kad nama bermacam-macam warna yang saya terima daripada pelbagai individu. Hanya ada beberapa keping sahaja daripada syarikat korporat sementara yang lain adalah pemberian daripada usahawan-usahawan kecil, agamawan, pensyarah, penjawat politik, penjawat awam serta NGO.

‘This is my card…’ Saya teringat ucapan memikat Sam, watak yang diperankan oleh pelakon Imuda dalam siri komedi situasi televisyen 2+1 yang popular di sekitar tahun-tahun 90an. Setiap kali Sam berkenan dengan seseorang gadis, dia akan mula mengayat kata-kata itu sambil menghulur sekeping kad nama dengan harapan perhubungannya dengan si gadis itu akan berpanjangan.

Kad nama adalah sekeping kad kecil yang membuka ruang komunikasi. Apabila kad nama dihulur, secara ringkas, si penerima akan mengenali sedikit mengenai jawatan, organisasi dan juga nama berserta ejaan nama si pemberi. Kad nama turut memateri identiti si empunya diri. Selain daripada nama dan ejaan nama, akan terdapat sebaris kelulusan dan pangkat si pemberi.

Ia mencetus kepercayaan si penerima bahawa si empunya kad itu adalah orang yang berpangkat dan berwibawa juga. Nama organisasi yang diwakili oleh si empunya kad nama itu akan menambah keyakinan si penerima. Jika nama organisasi yang dianggotai itu adalah sebuah syarikat yang besar, lebih tinggilah terangkatnya kening si penerima kad. Sebaliknya jika organisasi yang diwakili itu tidak pernah didengar, mungkin si penerima kad akan terangguk sedikit sebagai tanda maklum akan identiti si pemberi.

Begitu jugalah dengan alamat premis organisasi yang tertera. Lagi berprestij wisma yang menjadi alamat yang tertera di kad, ia memberi tanggapan bahawa organisasi si empunya kad itu adalah sebuah organisasi yang hebat. Lagi tinggi tingkat yang menjadi pejabat, lagi hebatlah organisasi itu.

Oleh kerana itulah, mereka yang tidak ikhlas atau bertujuan menipu akan mencatat maklumat-maklumat yang tidak betul di kad namanya. Nama yang panjang-panjang, gelaran dan kelulusan yang berderet-deret menjadi modal untuk memperdaya dan mempesona. Alamat pejabat yang digunakan mungkin sekali tidak betul. Tetapi ditulis untuk menggambarkan bahawa organisasi si empunya kad adalah institusi yang gah.

Bagaimanakah kita boleh mengecam auta yang terdapat pada kad nama yang diberi? Memang sukar kita ketahui pada saat kad dihulur. Namun, kita dapat membaca kepelikan si empunya diri jika jawatan yang dibawanya hebat sedangkan perilakunya sedikit over. Dia akan terlebih cakap, terlebih angguk dan terlebih ‘ya,’ dalam perbualannya.  

Dia mahu semua orang yang berada di sekelilingnya mengenali dirinya. Samada orang yang menerima kadnya itu penting atau tidak kepadanya atau sebaliknya, itu tidak mustahak. Yang dia utamakan ialah, dia ingin popular secara spontan apabila dia mengedar kad namanya seperti mengagih daun terup.

Teknologi hari ini dengan bantuan internet membolehkan kita memeriksa kesahihan nama, jawatan, pangkat dan juga alamat si pemberi kad. Dengan sentuhan jari di telefon pintar, segala maklumat dapat diperoleh dalam beberapa saat. Si penyamar akan mudah dikenali dan dihindari. Namun masih ramai lagi yang mudah terpedaya dengan individu sebegini kerana alpa untuk menggunakan teknologi bagi mendapatkan kesahihan.

Pada hari ini, kad nama hanya sekadar ice breaker. Sudah hampir tidak relevan kecuali sebagai formality. Justeru itu, sebanyak mana pun kad nama dihulur, ia akan terperap dan terselit di antara ratusan kad-kad nama orang lain dalam simpanan seseorang. Besar kemungkinan, ia tidak akan dibelek pun kecuali jika seseorang itu mengemas kad-kad yang ada di dalam simpanannya. Besar kemungkinan juga nama kita apatah lagi wajah kita tidak akan diingati lagi oleh si penerima.

Jadi, pemberian kad nama sudah seperti suatu pembaziran. Yang praktikal pada hari ini adalah bertukar nombor telefon. Aplikasi Whatsapp misalnya akan menyimpan foto dan pelbagai data lain. Dengan sebuah wefie atau berfoto bersama, kedua-dua pihak akan mudah mengingat di manakah mereka berdua bertemu. Apabila panggilan dibuat pada lain masa, si penerima akan mudah mengenali si pemanggil.  
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.8.2015.

Tuesday, August 11, 2015

SEMANGAT YANG KIAN HILANG



Piccredit: umnosubang.com.my
JALUR GEMILANGKU YANG PUCAT

SYAWAL sudah tiba ke penghujungnya. Petang Ahad lalu, saya menolong isteri untuk mengemas. Segala pinggan mangkuk, gelas, sudu garfu dan table runner yang digunakan sebagai pelengkap untuk hidangan para tetamu di aidilfitri sudah dibasuh dan dilap. Kesemuanya akan disimpan kembali ke dalam kotak yang kemudiannya akan disimpan semula di setor. Begitulah. Kesemua barangan itu hanya dikeluarkan apabila ada kenduri kendara atau jamuan keluarga. Selain itu, pada hari rayalah ia digunakan.

Sedang ingin menyisip kain saperah ke dalam laci, saya terpandang kain berjalur putih merah yang terperosok. Jalur Gemilang! Saya teringat yang bulan ini sudah bulan Ogos. Dalam masa tiga minggu lagi 31 Ogos bakal menjelang. Hari Merdeka! Wah! Seronoknya rasa hati kerana Jalur Gemilang ini akan diseterika dan diikat ke sebatang kayu. Kemudian ia akan dipacak di hadapan rumah!

Bendera kebanggaan ini segera dibuka. Hati ini tersentap sedikit kerana bendera ini nampaknya sudah pucat dan kusam. ‘Patut diganti,’ kata hati ini. Saya merenung Jalur Gemilang. Jejari saya berlari mengikut kelok bintang. Fikiran melayang dan terimbau ke zaman sekolah. Tatkala matapelajaran lukisan, saya akan punyai masalah melakar bintang pecah 14. Biasanya bentuknya akan senget benget.

Dalam matapelajaran sivik, saya mengenali makna bendera ini. Saya sudah hafal, Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur merah dan putih yang sama lebar. Jalur paling atas berwarna merah dan yang paling bawah berwarna putih. Ia adalah tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan persekutuan.

Petak berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Anak bulan ialah tanda  Islam sebagai agama rasmi. Bintang pecah 14 itu juga adalah tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Tatkala saya menjadi pengawas sekolah, inilah bendera yang akan saya puncakkan pada hari perhimpunan. Masih segar lagi dalam ingatan tatkala kali pertama saya menaikkan bendera ini secara perlahan-lahan ketika semua pelajar menyanyikan lagu Negaraku. Oleh kerana tidak biasa, bendera itu sampai ke puncak tiang walaupun lagu belum selesai dinyanyikan! Pada perhimpunan minggu berikutnya, kawan saya lagi parah. Oleh kerana berkhayal, walaupun Negaraku sudah hampir tamat, bendera masih setengah tiang. Maka kelam-kabutlah dia menaikkannya agar bendera berada dipuncak sebaik sahaja baris akhir ‘Raja kita selamat bertakhta,’ habis dinyanyikan.

Setiap kali dalam perkhemahan pengakap, Jalur Gemilang akan dikibar. Semua pengakap akan memberi tabik hormat tatkala bendera dinaikkan dan kami sama-sama bernyanyi Negaraku. Saya pernah kena ketuk ketampi oleh Ketua Patrol semata-mata kerana hujung bendera menyentuh tanah.

Sesudah berusia sebegini, saya tidak jadi menutup TV jika lagu Negaraku dimainkan.  Hendak tatap dahulu imej bendera yang berkibar. Biar bulu roma meremang dan semangat akan terasa apabila menghela nafas yang dalam. Setiap melewati Dataran Merdeka,  saya akan menjeling dan melangut menatap Jalur Gemilang yang berkibar megah.

Saya mengeluh lalu merenung Jalur Gemilang yang kini terbentang di depan mata. Entah mengapa, pada petang ini saya tidak berasa apa-apa apabila menatapnya. Malah, tiba-tiba saya berasa begitu sayu kerana tercari-cari perasaan bangga hingga naik bulu roma yang tak kunjung tiba.

Mengapa? Mengapa perasaan hambar ini kurasa? Saya merenung bendera yang terbentang dan cuba mengingati maknanya. Makna jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini. Pada realitinya, ia tidak begitu. Kini kita tidak satu hati. Sungguh bercelaru dengan intrig demi intrig di dalam dunia politiknya. Tidak kiralah, samada pihak BN atau PR sama sahaja. Jalur-jalur politiknya kian terpisah.

Gemilang pula bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Dengan kadar ringgit yang kian merudum, buruk urus ekonomi, ketidaktelusan keputusan, krisis kepercayaan, pengurusan pentadbiran yang nampaknya makin berat sebelah, penguatkuasaan yang terganggu, kelemahan membendung persepsi dan kepimpinan yang lemah, rakyat semakin jauh dapat mengharungi kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

Warna Merah pada bendera itu melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat.  Sedangkan hakikatnya kita tidak nampak keberanian kepimpinan menerajui negara dalam mengharugi pancaroba ketidaktentuan di dunia . Warna Biru yang melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai kini tidak menjadi kerana kita kian terganggu dengan pelbagai masalah yang semakin sehari semakin merunsingkan. Sinar di hujung terowong semakin kelam.  Yang tinggal hanyalah secubit perasaan setia kepada Raja dan negara yang dilambangkan dengan warna kuning.  

Saya melipat kembali Jalur Gemilang yang pudar. Menangguhkan hasrat untuk mensterikanya. Mungkin saya akan membeli bendera yang baharu. Mudah-mudahan, warna putih, merah, biru dan kuning yang terang akan mengembalikan sedikit semangat saya. Begitu pun, saya tidak mahu menjerit dan melaung ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ sambil tangan tergenggam dan terjulang ke udara. Itu semangat buat-buat namanya.

Lagipun, saya mula berasa tidak merdeka!
 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 12.8.2015.

Tuesday, August 4, 2015

DI ANTARA DERMA DAN RASUAH


 
Pic credit: clarkekieman.com
ISTILAH-ISTILAH MEMBERI & MENERIMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma.  Ia bukannya dari dana 1MDB. SPRM, menerusi kenyataan medianya berkata, laporan hasil siasatan itu telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

Kenyataan itu telah menimbulkan polemik dan viral di internet. Ramai yang tidak berpuashati kerana mempunyai tafsiran tersendiri. Ramai yang mentafsirkan ia sebagai suatu bentuk rasuah. Kita kenalah tunggu hasil siasatan dan laporan penuh SPRM kelak. Setelah itu, kita boleh menerima hasil siasatan itu atau bebas untuk mencabar hasil siasatan itu melalui saluran yang sepatutnya. Kita kena ikut peraturan kerana kita ada undang-undang.

Walau apa pun, rasuah atau derma itu adalah suatu pemberian yng melibatkan si pemberi dan si penerima. Pemberian pula ada pelbagai istilah mengikut bentuk dan situasinya. Ia dikenali sebagai  pembelian, upah, hadiah, anugerah, nafkah, pembiayaan, sedekah, derma dan rasuah.

Pembelian adalah pertukaran di antara pembeli dan penjual  melalui matawang. Transaksi ini mudah apabila adanya persetujuan harga di antara penjual dan pembeli. Masalah akan berlaku seandainya terdapat penipuan. Penjual menipu dengan menjual barangan yang berkualiti rendah atau pembeli menggunakan wang palsu.

Upah pula adalah suatu bentuk pemberian mengikut kadar yang telah dipersetujui di antara dua pihak iaitu pihak yang memberi perkhidmatan dan pihak yang menerima perkhidmatan itu. Perkhidmatan itu biasanya adalah dalam bentuk tenaga seperti pembantu rumah, kedai atau pengawal. Perkhidmatan juga boleh dibuat dalam bentuk hasil kerja seperti perakaunan, pembinaan dan rekabentuk. Hasil kerja atau bantuan ini dibayar dalam bentuk upah, seperti gaji, elaun dan juga bonus. Masalah akan terjadi apabila upah tidak diberi seperti yang dijanjikan oleh pemberi atau hasil kerja yang tidak memuaskan oleh yang memberi khidmat.

Hadiah pula adalah suatu pemberian yang mempunyai pelbagai peringkat. Yang biasa dipanggil oleh-oleh atau buah tangan. Yang berharga sedikit dikenali sebagai cenderahati.  Hadiah tidak semestinya diberi berdasarkan perjanjian sebelum ia dilakukan. Misalnya, seorang suami memberi kepada isterinya sebuah beg tangan tanpa memberitahu si isterinya terlebih dahulu. Nilai hadiah pula bergantung kepada kehendak si pemberi mengikut citarasanya. Jika pemberian itu diadakan kerana sesuatu sebab, misalnya si anak mendapat telefon bimbit dari ayah kerana lulus peperiksaan, ia juga boleh ditafsirkan sebagai sebuah upah.

Anugerah pula adalah pemberian yang berbentuk status atau pangkat. Ia adalah sebuah pengiktirafan yang diberi menggunakan sesuatu yang simbolik seperti pingat, ijazah atau senjata. Masalah dalam pemberian anugerah ini terjadi apabila pengiktirafan itu dibeli dengan sebuah harga yang ditentukan. Anugerah yang dibeli adalah anugerah yang palsu.

Nafkah pula adalah pemberian menurut tuntutan agama. Oleh itu, adalah berdosa jika seseorang suami dan ayah yang diwajibkan memberi nafkah itu tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan tanggungannya.

Pembiayaan pula adalah pemberian yang mempunyai tempoh tertentu. Biasanya terdapat perjanjian yang dimaterai di antara pihak penaja dan pihak yang ditaja. Misalnya tajaan melanjutkan pelajaran diberikan kepada seseorang di sepanjang tempoh pengajiannya. Penajaannya akan tamat sebaik sahaja si penerima tajaan itu memperoleh kelulusan. Masalah akan berlaku seandainya seseorang yang menerima tajaan itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Penajaannya boleh ditarik balik kerana melanggar perjanjian.

Sedekah itu adalah pemberian yang bebas. Tiada jumlah atau barang yang ditentukan melalui pemberian ini. Ia adalah ibadah yang mempunyai kesan yang berlipat ganda kepada si penerima malah juga si pemberi. Penerima yang biasanya serba kekurangan akan gembira dengan pemberian. Pemberi pula akan memperoleh pahala yang berlipat ganda.

Apakah itu derma? Ia adalah pemberian apabila diminta oleh si penerima. Derma itu berbeza daripada sedekah kerana terdapat jumlah yang ditentukan oleh di penerima. Pemberi lazimnya tidak dijanjikan apa-apa oleh si penerima. Tetapi si pemberi biasanya akan dapat melihat hasil dermanya. Misalnya, si penderma dapat melihat hasil dermanya dalam bentuk masjid, sekolah, taman atau pulihnya sakit seorang kanak-kanak yang dapat menjalani pembedahan hasil wang derma.

Rasuah? Rasuah adalah tindakan yang salah kerana ia berupa upah awal sebelum sesuatu perkhidmatan itu diperoleh oleh si pemberi meskipun dia tidak berhak mendapatkan sesuatu yang dihajatkan.

Kesemua bentuk pemberian yang diistilahkan di atas iaitu pembelian, upah, hadiah, anugerah, nafkah, pembiayaan, sedekah dan derma adalah tindakan-tindakan yang murni dan mempunyai natijah yang baik asalkan ia tidak disalahgunakan.  Hanya rasuah sahaja satu-satunya bentuk pemberian dan penerimaan yang salah dan berdosa.

Rasulullah melaknat si pemberi dan si penerima rasuah. Dari Ai'syah r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."  Riwayat HR al-Bazzar & Abu Ya'la.  Apakah itu laknat? Mengikut Kamus Dewan, laknat itu adalah kejian, kutukan dan sumpahan yang mendatangkan kecelakaan kepada seseorang. Laknat itu juga adalah kemurkaan ALLAH SWT yang mengakibatkan yang dilaknat itu jauh daripada rahmat-NYA.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.8.2015, insya-ALLAH...