Tuesday, February 26, 2019

TERTIPU DENGAN OTAK SENDIRI

piccredit: ZDnet
TERTIPU DENGAN
OTAK SENDIRI

BILA
hendak merehatkan fikiran, saya gemar mencari video-video TEDtalk di Youtube. TED adalah singkatan technology, entertainment and design. Ia adalah video pengucapan awam tidak melebihi 20 minit. Selain daripada inspirasi, saya juga memperoleh idea-idea daripada mereka yang berucap. Lazimnya sesi TEDTalk ini mengupas sesebuah isu dari sudut pandang yang berbeza dan unik.

Baru-baru ini saya mengikuti syarahan Melanie Robbins, seorang penulis dan motivator. Beliau pernah bertugas sebagai penyampai di CNN. Mel mempunyai pandangan yang menarik mengenai motivasi diri. Saya teruja kerana ucapannya tidaklah berapi-api seperti ucapan motivator Tony Robbins, Dean Graziosi mahupun Steve Sisler. Iyalah, kadangkala motivator yang bercakap penuh bersemangat itu menjadikan saya bingung kerana asyik hendak menangkap apa yang diperkatakan. Belum pun faham apa yang disebut, penyampai sudah beralih pada topik yang lain pula.

Kadangkala, rindu juga untuk menatap kembali buku-buku tulisan Napoleon Hill yang mengupas The Law of Success, Dale Carnegie dengan buku How to Win Friends and Influence People ataupun buku The Power of Positive Thinking karya Normal Vincent Peale. Bila membaca buku, kita boleh sahaja ‘mendengar suara penulis di minda’ dengan kadar kelajuan bacaan yang kita mahu. Kalau tak faham, boleh ulang dan ulang lagi.

Pertuturan Melanie Robbins pula berbeza. Jika kita pejam mata, kita akan berasa seolah-olah dia sedang membaca kerana intonasi suaranya yang jelas dan tenang. Mel menyentuh mengenai fungsi otak manusia. Katanya, otak manusia mempunyai tiga fungsi. Pertama, meregulasi segala fungsi tubuh badan selagi kita bernyawa. Kedua, apabila kita tidur, sabahagian daripada otak berfungsi mengemaskini segala maklumat yang kita peroleh atau gunakan pada siang hari agar tersimpan di memori. Ketiga, mengawal tubuh badan daripada segala ancaman dan kesakitan.

Saya pernah terbaca kajian sains mengenai fungsi otak manusia ini. Dan Mel menyentuh mengenai fungsi ketiga otak iaitu mengawal tubuh daripada segala ancaman dan kesakitan. Sel-sel neuron di otak kita menapis segala maklumat yang sampai ke fikiran kita melalui apa yang dinamakan sebagai reticular activating system (ARAS).

ARAS menjadikan kita awas dengan menyaring segala maklumat yang sampai ke fikiran. Saringan ini memilih maklumat-maklumat yang sesuai dengan kehendak kita. Katanya, sebab itulah kita masih siuman kerana ketiadaan saringan ini akan menjadikan kita menelan segala maklumat tanpa tapisan hingga kita boleh jadi gila. Bagaimana pun, maklumat yang sampai sebagai memori ini tidak dapat membezakan yang mana maklumat yang ada di dalam fikiran atau yang benar-benar terjadi.

Untuk mempermudahkan, kita boleh ambil visual pengeboman sebagai contoh. Oleh kerana pengeboman itu ialah visual yang menampakkan peluru yang bernyala menuju ke sasaran dan kemudiannya letupan berlaku apabila peluru itu menyentuh sasaran, otak kita tidak dapat membezakan mana yang betul, mana yang fiksyen.

Oleh kerana visual pengeboman di dalam filem fiksyen pun sama dengan apa yang benar-benar terjadi, kita boleh sahaja menonton klip pengeboman sebuah bandar di Palestin yang benar-benar berlaku sambil tersandar di sofa. Kita tidak rasa takut dan terkejut kerana imej pengeboman itu sama seperti dalam permainan video!

Itu jugalah yang terjadi kepada minda kita, misalnya apabila kita punyai su’u dzon terhadap pasangan kita yang lewat pulang. Prasangka buruk hanya bermain di minda. Gambaran pasangan kita yang kononnya melepak di luar rumah dengan kawan-kawan sebenarnya hanyalah imej yang tersimpan di dalam memori. Mungkin imej itu tersimpan dari sebuah filem drama. 

Otak tidak dapat membezakan samada ia khayalan kita ataupun ia benar-benar berlaku. Imej watak suami yang jahat di dalam drama disisip dengan wajah suami yang juga tersimpan di dalam minda. Apabila suami pulang ke rumah, si isteri marah-marah kerana mindanya menghantar gambar si suami yang telah melakukan kejahatan di luar rumah!

Begitulah kuatnya minda manusia dalam memilih maklumat yang sesuai dengan kehendak seseorang. Kerana itu, kita kenalah peka dengan apa yang mata kita lihat dan yang telinga kita dengar. Maklumat yang bersimpang-siur menjelma di skrin komputer dan telefon bimbit boleh mengganggu gugat apa yang minda kita peroleh.

ARAS memang boleh menyaring sesebuah maklumat yang sampai ke fikiran. Namun jika kita sendiri tidak peka untuk menahan diri dari asyik menatap maklumat-maklumat yang tidak betul, akhirnya kita akan percaya apa yang tidak betul. Inilah yang terjadi pada hari ini.

Otak kita tidak dapat membezakan jika makanan diuar-uarkan sebagai ubat. Apabila makanan dikatakan ubat, maka ubat tentulah baik walau dimakan secara berlebih-lebihan. Apabila melahirkan zuriat itu dilihat sebagai sebuah proses semulajadi manusia lalu menolak penjagaan secara saintifik, maka ada yang menolak khidmat perbidanan.

Begitu juga kita berkata bumi ini leper kerana melihat istilah hamparan dalam al-Quran. Otak kita kata, hamparan mestilah berbentuk helaian. Jadi bumi itu leper. Lihatlah bagaimana otak kita menyimpan imej yang bercampur aduk hingga kita tidak boleh menguasai cara ia mentafsir sesuatu.

Tetapi, bukankah kita yang sebenarnya yang pakai otak, bukannya otak yang pakai kita?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.2.19.


Monday, February 18, 2019

APABILA TIBA SAAT BERUNDUR

PETANG KELMARIN, saya terbaca sebuah mesej sedih di dalam grup Whatsapp Asal Sri Mersing.’ Seorang ahli kumpulan saya telah pergi menghadap Illahi. Allahyarham Jamil Sulaiman seorang teman sekolah yang sebaya usia. Pada tahun-tahun 70an, pelajar Sekolah Menengah Sri Mersing tidak sampai 1,000 pelajar. Jadi, kami boleh dikatakan rapat.
Setelah menamatkan tingkatan lima, kami terpisah. Saya cuma dengar dari kawan-kawan yang dia melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian saya dapat tahu Jamil bertugas di SIRIM di Shah Alam. Kesibukan dan keterlupaan masing-masing tidak menemukan kami meskipun saya juga bertugas di Shah Alam.
Sehinggalah pada suatu hari beberapa tahu yang lalu, saya terdengar nama saya dipanggil seseorang tatkala keluar dari kereta di PKNS Shah Alam. Jamil! Dari jarak satu tiang lampu, saya dah kenal dia sebab wajahnya tidaklah berubah sangat. Cuma badannya melebar. (Saya pun apa kurangnya!) Lebih 35 tahun tak berjumpa, tiba-tiba kami dipertemukan. Kami bersalaman, berpelukan,  bertanya khabar dan bertukar nombor telefon. Cara cakapnya masih sama dan gelaknya juga masih serupa.
Dari dialah saya dapat tahu yang kawan-kawan sekolah kami kerap mengadakan pertemuan di Kelab Shah Alam. Mulai dari hari itu, beberapa kali saya ke kelab itu untuk makan-makan dan bersembang dengan kawan-kawan. Kesibukan kami semua membuatkan pertemuan itu makin jarang diadakan. Tambahan pula di aplikasi sembang Whatsapp kami sentiasa bertukar cerita dan bergurau senda siang dan malam.
Sekali sekala, Jamil akan mengirim mesej peribadi bertanyakan saya mengenai kesahihan sesebuah isu semasa. Kadangkala dia mengirim berita dan video yang punyai nilai berita yang kemudiannya saya unjurkan ke editorial akhbar Sinar Harian. Masya-ALLAH! Ketika saya menulis ini, baharu saya sedar yang dalam diam-diam, Jamil amat memahami dunia kerjaya yang saya pilih. Bila dia dapat berita baik, dia tak hebahkan di dalam kumpulan Whatsapp tetapi sebaliknya mengirimnya kepada saya untuk digunapakai.  
Pada awal tahun ini saya mendapat berita yang Jamil dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh akibat serangan jantung. Tatkala menziarahinya, secara kebetulan saya berpeluang mendengar dan bertanya kepada doktor yang bertugas mengenai apa yang dialami oleh Jamil. Dan, saya tahu betapa seriusnya penyakit yang beliau hadapi. Petang semalam dia pergi dahulu meninggalkan kami.  Kini saya kehilangan salah seorang sahabat. Semoga ruh allahyarham Jamil dihimpunkan bersama mereka yang beriman.
Tatkala saya menulis ini, saya menerima sebuah lagi berita sedih mengenai seorang lagi sahabat saya yang baharu menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Alor Gajah, Melaka. Allahyarham Jaafar Bachik pernah sama-sama bertugas di Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun-tahun 80an.
Beliau seorang yang ceria dan pandai berkelakar. Tetapi amat komited dengan tugas. Di zaman Biro Tatanegara giat menganjurkan pelbagai kursus, allahyarham memuatkan pelbagai fail, beg dan kertas-kertas kursus ke dalam keretanya. Dia tidak mahu menggunakan kenderaan jabatan. Pernah sekali axle kereta Toyota Corollanya patah kerana terlalu berat menampung barangan.  Innalilahwainailaihirajiun.
Begitulah perjalanan kehidupan. Apabila kita berusia, ALLAH swt beri izin untuk kita lalui atau nampak segala-galanya. Kita nampak bayi yang baharu lahir, pernah mendukungnya, melihat dia membesar, bersekolah, ke universiti, berkahwin dan kemudian pada suatu hari, kita dapat mendukung anaknya pula. Mereka membesar di depan mata kita.
Rakan-rakan sebaya juga begitu. Kita sama-sama bermain, belajar, memonteng kelas, berpisah mengikut haluan masing-masing dan kemudian bertemu kembali di media sosial. Kita mesra dan bergurau senda kembali seperti di zaman remaja. Walaupun ada di antara kita sudah menjadi ustaz, kita ber-lu-gua lagi. Meskipun ada di antara kita dah berpangkat Datuk, dia lebih selesa ber-aku-engkau dengan kita.
Samada kita sedar atau tidak, kita seronok bersama dengan kawan-kawan lama kerana usia psikologi kita tidak pernah bertambah. Cara bertutur, bergurau dan berhujah masih seperti di zaman remaja. Barangkali kita terlupa yang kita belum pun lagi berada di syurga di mana kita semua sebaya di usia 33 tahun seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal.
Tetapi, begitulah. Persahabatan pada usia yang sebaya terutamanya di laman sosial menjadikan kita lalai kepada perjalanan dan perhentian yang hakiki. Bila tiba salah seorang daripada kita meninggal dunia, kita sedar seketika. Tetapi belum pun sehari berlalu, kita sudah melupakan mereka yang telah tiada. Sebaliknya, kita kembali ke dunia gurau senda. Kita tidak menyedari yang kita sudah tertipu dengan kehidupan di dunia yang sebenarnya hanya suatu permainan.

Kita hanya tersedar akan permainan ini tatkala kita diberitahu untuk meninggalkan padangnya untuk bersedia ke padang mahsyar pula. Di kala itu, kita tidak tahu apakah teman-teman yang lain sedar bahawa permainan masing-masing akan ditamatkan, pada bila-bila masa?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.2.19.

Tuesday, February 12, 2019

TAK ADA PENYAKIT CARI PENYAKIT

TAK ADA PENYAKIT
CARI PENYAKIT
SAYA terbaca sebuah artikel menarik tulisan Prof. Mark Leary dari Fakulti Psikologi dan Sains Neuro, Universiti Duke, Amerika Syarikat mengenai hal masalah. Menurutnya, sebahagian besar daripada masalah yang dihadapi oleh manusia adalah masalah manusia dengan manusia yang lain. Ertinya, masalah manusia dengan alam dan teknologi adalah masalah kecil meskipun skalanya besar.

Perhubungan seseorang dengan anggota keluarga, jiran, rakan sekerja, majikan dan pemimpin masyarakat akan menimbulkan masalah apabila dia tidak sebulu dengan mereka ini. Ketidaksesuaian ini akan menimbulkan perselisihan pendapat, pertengkaran, pergaduhan malah hingga ke peringkat pembunuhan.

Untuk mengatasinya, manusia akan mencari jalan penyelesaian melalui nasihat dan juga pengadilan. Biasanya, masalah yang berkait dengan orang lain akan dapat diatasi melalui perundingan dan persefahaman. Ataupun seseorang itu menjauhkan diri daripada manusia yang menimbulkan masalah baginya. Walaupun masalah tidak selesai, tetapi sekurang-kurangnya situasi tidaklah tegang bila kedua-dua pihak tidak bertemu. Cara pengadilan di mahkamah pula lazimnya membolehkan seseorang itu akur apabila hukuman dijatuhkan samada memihak kepadanya atau sebaliknya.

Dalam pada itu, masalah yang dihadapi oleh seseorang manusia itu juga adalah masalah dengan insan yang paling hampir dengannya iaitu dirinya sendiri.  Seseorang itu punyai masalah emosi dengan diri sendiri seperti stres, ragu-ragu, dan ketagihan. Dia juga mempunyai masalah fizikal seperti kesihatan, kewangan, harta dan juga berdepan masalah dengan mentalnya seperti kurang fokus, lambat memahami situasi atau tidak suka menambah pengetahuan.

Apabila manusia berdepan dengan sesuatu masalah, lazimnya jumlah yang mahu memahami masalahnya hanyalah dua-tiga orang yang rapat dengannya. Lazimnya hanya seorang kawan, kenalan atau saudara rapat yang memahami masalahnya sementara yang lain tidak mahu ambil tahu. Keadaan ini yang akan mempengaruhi seseorang untuk berasa dia bersendirian ketika berdepan dengan masalah.

Justeru, manusia akan mencari pelbagai jalan untuk menyelesaikannya. Bagi yang faham masalah yang dihadapinya itu perlu dihadapi dengan cara yang tersusun, dia akan mencari seseorang yang boleh dipercayainya untuk meluahkan masalahnya. Ada yang mendapat nasihat pakar. Ada juga yang mencari orang yang paling dipercayai seperti seorang sahabat sebagai tempat mengadu. Tidak kurang  juga yang hanya mahu melepaskan perasaan semata-mata dengan menghebahkan masalahnya di media sosial.

Hidup adalah sebuah perjalanan. Masalah yang datang akan pergi apabila tiba masanya. Kata orang, masa itu memulihkan. Dalam konteks ini, masalah yang pergi bersama masa itu tentulah masalah kita dengan orang lain. Sejahat mana pun manusia lain yang menjadi masalah buat kita, dia tidak menjadi masalah lagi apabila kita tidak berdepan dengannya lagi. Semakin lama kita tidak menemuinya, kita akan lupakan dia.

Akan tetapi, masalah yang ada dan sukar hendak selesai adalah masalah kita dengan diri sendiri. Masalah dengan diri sendiri adalah masalah yang berhubungkait dengan sikap kita. Ia menjadi sukar diatasi apabila kita tidak dengar nasihat diri sendiri. Kita degil. Ambil sahaja mana-mana masalah yang berkaitan dengan sikap.

Misalnya, masalah sukar bangun pagi. Kita tahu kita terlewat bangun kerana lambat tidur. Jalan penyelesaiannya ialah untuk tidur awal supaya tubuh dapat cukup rehat dan mudah bangun seperti yang diingini. Begitu juga dengan masalah terlebih berat badan. Kita tahu di antara cara yang mudah untuk menurunkan berat badan melalui pemakanan ialah mengambil makanan yang kurang gula dan lemak. Masalah berat badan akan lebih terkawal dan berpotensi untuk turun dengan mengamalkan diet ini.

Jika kita fikirkan apa sahaja masalah yang lain seperti cepat naik angin, mudah gelabah, suka sangat mengumpat, kuat berleter, bersikap pendendam, berfikir yang bukan-bukan dan prasangka, dan hampir kesemuanya sudah ada jawapan penyelesaiannya. Malah, dalam setiap masalah diri yang kita hadapi, kita tentu pernah berjaya mengatasinya sekurang-kurangnya sekali atau dalam tempoh yang singkat. Soalnya, mengapa pula setelah kita berjaya mengatasi sesuatu masalah itu, masalah itu datang kembali?

Jawapannya ialah kerana kita suka beri muka pada diri sendiri. Apabila kita mempunyai sesebuah masalah, kita mencari pelbagai jalan untuk mengatasinya. Apabila kita menemui jalan dan berjaya menyelesaikannya, kita berasa seronok seketika. Tidak lama kemudian, ingin cuba-cuba timbulkan tabiat lama dengan alasan kita tidak akan terjerumus kembali.

Contohnya, apabila kita berjaya mengekang diri daripada ketagihan sesebuah permainan komputer. Kita telah buang perisian permainan itu dari komputer kita. Kita berjaya tinggalkan tabiat yang membuang masa itu. Tetapi tak lama kemudian, kita biarkan diri untuk cuba-cuba bermain kembali. Kononnya kita tak akan balik ke peramngai lama kerana kita sudah berjaya menghentikannya. Dari cuba-cuba, kita langsung terlupa yang kita sudah taubat dari permainan itu. Akhirnya kita kembali hanyut. Tak ada penyakit, cari penyakit.


Inilah masalah saya, masalah anda, masalah kita! Cara penyelesaikannya… jangan beri muka pada diri. Jangan juga maafkan diri.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.2.19.