Tuesday, September 24, 2013

PANDUAN SIHAT TUBUH


 
Photo credit: iffleyroad.com

MELESTARI MENTAL
FIZIKAL & SPIRITUAL

SAYA temui Cikgu Enal yang berkunjung di sebuah kedai buku di KLCC. Dia cikgu pencen yang saya kenali di sebuah kursus motivasi 20 tahun yang lalu. Tetapi, lelaki yang sudah berusia lebih 70 tahun ini masih segak. Perutnya masih rata dan tidak berkaca mata. Umurnya hanya terlihat pada kapas di kepalanya. Wajahnya yang berseri membuatkan hati saya suka menatapnya. Secara peribadi, terdetik di hati saya, Cikgu Enal ini punyai ciri-ciri insan beriman.

Banyak sekali soalan saya untuk mencungkil rahsia tubuh dan peribadinya yang menyenangkan. Tatkala kami bersembang di bangku di depan kedai buku kerana Cikgu Enal berpuasa pada hari itu, beliau menggariskan tiga aspek kesihatan tubuh yang perlu dijaga, secara fizikal, mental dan spiritual. Saya perturunkan seringkasnya sebagai perkongsian bersama.

Ada tiga petanda yang menunjukkan kita sihat secara fizikal. Pertama, kita mudah tidur. Bila letak kepala ke bantal, kita akan terus terlena. Kedua, selera makan kita sentiasa ada. Apa sahaja yang terhidang boleh dimamah. Tolak batu, kayu dan plastik, yang lainnya kita boleh telan dengan berselera. Yang ketiga ialah bila kita lawas membuang air besar dan kecil.

Sukar melelapkan mata adalah petanda pertama yang kita tidak sihat. Ia berlaku kerana otak kita terlalu aktif samada kerana memikirkan perkara yang merangsang pemikiran mahupun kerana sebab kekusutan. Tidur yang tidak nyenyak terutamanya yang disulami mimpi itu akan memenatkan.  Lebih-lebih lagi jika mimpi itu dapat diingati bila bangun tidur. Jika mimpi yang diingati itu mimpi yang buruk,  ia akan mengganggu mood seseorang pada hari itu.

Rasa lapar hingga menggigil adalah petanda terdapatnya gangguan pada pankreas. Ia berpunca bila waktu makan kita tidak menentu. Pening kepala boleh terjadi. Hilang selera makan adalah petanda perut sebu dan deria rasa yang menurun. Ia petanda penyakit akan singgah.

Membuang air kecil dan besar yang tidak teratur akan menjadi masalah pada kesihatan. Ertinya, pembuangan toksik dari tubuh tidak lancar dan ia boleh mengakibatkan kesihatan terganggu. Lebih toksik di dalam tubuh menyebabkan badan berbau dan kulit dihinggapi dengan pelbagai penyakit.  

Selain daripada penjagaan tidur, makan dan perkumuhan, senaman juga adalah cara yang paling berkesan untuk melestarikan tubuh. Bersenam mesti menghasilkan peluh. Jika setakat berjalan berpusing-pusing keliling rumah tanpa mengeluarkan peluh, ia bukan senaman namanya. Senaman berbentuk regangan akan memulihkan segala sakit-sakit badan dengan cepat selain daripada membolehkan otot dan urat kita lembut.

Kesihatan spiritual juga perlu dijaga. Selepas mengucap dua kalimah syahadah, solatlah komitmen yang paling penting untuk kesihatan rohani. Solat sepatutnya ditunaikan sebaik sahaja masuk waktu. Kalau solat sudah di penghujung waktu, ia seolah-olah menggambarkan kita mengutamakan urusan dunia lebih daripada urusan akhirat. Sedangkan dunia dan akhirat sepatutnya ia seiring. Bila tiba waktu solat, itu bermakna waktu urusan akhirat dah tiba. Kerana itu, urusan dunia perlu diketepikan.

Tidak boleh juga di waktu solat atau urusan akhirat itu, kita berebut-rebut hendak menyudahkannya. Urusan dunia sepatutnya terhenti pada saat kita memulakan urusan akhirat.  Biarpun ketika beratur untuk wuduk, imam membaca surah yang panjang, bersalam-salaman atau bersembang seketika dengan jemaah setelah solat, semua itu perlu dilayan dengan tenang. Bila kita bersantai dari saat mula melangkah ke sejadah hingga keluar ke tempat kasut, kita akan memperoleh kerehatan fikiran. Ia akan mengurangkan stres dalam kehidupan seharian.

Perkara sunat perlu diperbanyakkan setelah melakukan yang wajib. Melaksanakan yang wajib lebih rumit kerana ia perlukan niat, rukun dan tertib untuk mendapat pahala. Sedangkan melakukan yang sunat amat mudah. Ia hanya perlu niat dan diikuti dengan perlakuan. Pahala akan diperoleh dengan mudah. Dan pahala melakukan yang sunat akan menjadikan kita berasa bahagia.

Kesihatan mental diperoleh dengan membaca. Dan bahan bacaan yang paling berkesan ialah dengan membaca al-Quran kerana hanya membaca al-Quran yang meningkatkan konsentrasi. Sedangkan membaca buku atau majalah boleh dilakukan sambil kita makan minum mahupun sambil menonton.  

Permainan kuiz, teka silangkata atau berbincang akan meningkatkan rangsangan minda agar segar kerana permainan yang memerlukan kita berfikir akan menggerakkan darah dan oksigen ke dalam otak. Elakkan dari kerap bersembang kosong kerana ia tidak banyak merangsang fikiran kerana banyak bahan sembang hanyalah untuk mengiyakan apa yang disampaikan.

Buat saya, banyak pandangan Cikgu Enal ini boleh kita teladani.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.9.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, September 17, 2013

HIDUP DIKEJAR DOSA


 
SUATU PETANG
BERSAMA DATUK J

SAYA makan jam 3.45 petang. Kalau orang lain ada istilah brunch, breakfast cum lunch iaitu bersarapan yang dirangkum dengan makan tengahari, saya yang makan di antara waktu makan tengahari dan minum teh, bolehkah dipanggil lunchea, iaitu lunch cum tea? Saya  makan lewat sedikit untuk mengelak kesesakan pengunjung. Di waktu yang tidak ramai pelanggan, saya boleh makan sambil membaca.

Pada suatu petang minggu lalu, saya bertemu dengan seorang bekas VIP tatkala saya di sebuah restoran di Seksyen 3, Shah Alam. Sebenarnya, dia yang menemui saya kerana hanya sedar dia berdehem setelah duduk di hadapan saya.  Saya katakan yang dia adalah bekas VIP kerana dia sudah jarang sekali kelihatan dalam majlis-majlis pelancaran produk korporat, makan malam korporat ataupun majlis-majlis politik.

Dia sudah tidak bergaya seperti seorang VIP. Sudah tidak mahu menonjolkan dirinya sebagai orang penting. Pada petang itu pun, dia hanya berbaju Melayu, berkain palaikat dan berkopiah. Malah, dia tidak mahu dipanggil dengan gelaran Datuk, sekurang-kurangnya pada pertemuan tidak rasmi itu.

“Panggil saya abang Johan, sudahlah. Datuk itu gelaran rasmi dunia perniagaan yang saya dah tinggalkan. Itu gelaran di alam korporat. Sekarang ini berpakaian untuk bersedia ke alam akhirat.” bisiknya.

Saya tidak terkejut dengan penampilannya. Datuk J bukan orang pertama yang memilih untuk mengubah haluan kehidupannya. Ada manusia yang saya kenal berubah perangai dalam kehidupan masing-masing. Semakin usia meningkat, ada yang berubah daripada berperangai manusia kepada binatang. Ramai juga yang berubah daripada berperangai binatang kepada menjadi manusia.

Datuk J yang saya kenal melalui seorang stafnya lebih 20 tahun lalu mempunyai ramai sekali kenalan dan rakan kongsi. Dia menyewa tiga tingkat ruang pejabat di sebuah bangunan di pinggir Kuala Lumpur. Di dalam pejabatnya terdapat bilik-bilik kecil. Cuma ada sebuah meja, sebuah kerusi eksekutif dan dua buah kerusi kecil di dalam bilik-bilik itu.

Di pintu-pintu bilik itu tertera nama pelbagai syarikat. Orang yang menduduki bilik itu adalah tuan-tuan punya syarikat yang juga rakan kongsi Datuk J. Saya tahu mereka itu ada yang menjadi proksi tokoh-tokoh politik atau perniagaan yang lain. Dengan kecekapannya mengendalikan tidak kurang 30 syarikat bersama-sama rakan kongsinya, kehidupan Datuk J penuh dengan mesyuarat dan makan-makan. Maksud saya, siang bermesyuarat, malam berpesta.

Tatkala itu, tahun-tahun 80an, tiada lagi internet dan penggunaan mesin faksimili belum begitu terkenal. Semua urusan ketika itu dijalankan menggunakan telefon dan telex. Namun, Datuk J menggunakan kontak perniagaannya melalui pelbagai pegawai di kedutaan. Tidak hairanlah perniagaan beliau menjangkau hingga ke seantero dunia.

Justeru itu, dia sering bertemu dengan pegawai-pegawai kedutaan yang membawa usahawan negara masing-masing di hotel-hotel. Di tempat itulah Datuk J memateraikan memorandum persefahaman mahupun memperoleh surat jaminan kerjasama daripada rakan kongsi dalam apa jua projek yang direncanakan.

Saya kagum dengan kebolehan Datuk J berkomunikasi. Kerana kebolehannya itu, Datuk J mengenal dan dikenali oleh pegawai-pegawai menteri dan kementerian. Di zaman komputer berimejkan tulisan hijau dengan sistem dbase lagi, Datuk J sudah menyimpan senarai kakitangan sesebuah pejabat di sesebuah kementerian dari KSU hinggalah ke nama budak pejabatnya di komputer peribadinya.

Malah, bila ada cadangan projek di sesebuah kementerian, dia tahu di meja siapakah failnya tersimpan. Untuk menggerakkan fail itu, dia hanya perlu angkat telefon dan bercakap dengan si Mamat budak pejabat di kementerian itu, meminta Mamat  menghulur fail itu kepada kakak yang bekerja di luar bilik pembantu peribadi pak menteri.

Memang mudah bagi Datuk J berurusan kerana dia menggunakan minyak grease atau minyak pelincir untuk menggerakkan failnya. Wang kopi, undercounter, kick-backs dianggap wang pelaburan oleh Datuk J. Semua yang terlibat dengan urusniaganya mempunyai persen masing-masing. Dia tidak rasa bersalah jika kegiatannya itulah yang mengakibatkan kos sesebuah projek itu meningkat hingga 100 peratus daripada harga asal.

“Macam mana dengan bisnes?” tanya saya setelah beberapa ketika mengimbau aktiviti perniagaannya. “Saya dah tutup semuanya sejak isteri saya meninggal dunia. Saya hidup dengan wang pemberian anak-anak. Saya hanya menunggu dua kematian…” katanya seraya mengangkat jari telunjuk dan jari hantunya.

“Pertama, malaikat maut. Kedua, SPRM!”
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 18.9.2013, insyaALLAH...

Tuesday, September 10, 2013

MENCARI LAWAN BERCAKAP


Photo credit: omnilexica.com

MENGENALI INSAN
YANG DIAM-DIAM UBI

KOMUNIKASI adalah aktiviti menyampaikan maklumat melalui pertuturan, gerak laku, isyarat dan juga tulisan. Jika pada suatu ketika dahulu manusia banyak berkomunikasi melalui percakapan, kini dengan perkembangan teknologi, manusia semakin kerap berkomunikasi dengan tulisan dan gambar melalui medium SMS, MMS, Twitter, Whatapps dan Instagram.

Tulisan dan gambar tidak diiringi suara. Malah ejaan SMS yang diringkaskan telah mengenepikan aspek kemesraan berkomunikasi. Akibatnya, si penerima akan membaca mesej yang disampaikan dan mentafsir foto yang dikirim mengikut tanggapan hatinya.

Seandainya seorang isteri menulis mesej yang panjang lebar kepada suaminya mengenai baju baru yang dibelinya, jawapan pendek, ‘ok’ si suami boleh sahaja ditafsir sebagai tidak kisah suami terhadapnya. Mengapa mesej lima para dijawab dengan ‘ok’ sahaja?

Padahal, ‘ok’ si suami membawa maksud, ‘abang setuju sangat dengan baju yang sayang beli.’ Dia tidak tahu saat si suami menjawab mesej itu, dia sedang mengeluarkan wang di ATM. Si suami menjawab ringkas kerana mahu menumpukan perhatian pada transaksi perbankannya. Tetapi kerana salah faham, si isteri boleh merajuk dan tidak mahu menghubungi si suami di sepanjang hari itu.

Begitu juga, sebuah berita kematian kawan kolej yang disampaikan Faryna kepada rakan-rakan sekuliahnya di laman Facebook boleh menimbulkan rasa terkilannya bila ramai kawan-kawan hanya memberi respons ‘like’ seolah-olah suka dengan berita kematian. Walhal, kawan-kawannya mencatat ‘like’ kerana kekangan masa masing-masing. (Elok sangat Facebook menukar perkataan ‘like’ kepada ‘noted’ atau ‘agreed’ untuk mengurangkan salah faham dalam komunikasi).

Betapa pun, berkomunikasi secara bertemu muka masih cara yang terbaik kerana apa yang ingin disampaikan itu akan lebih jelas difahami. Raut wajah, gerak laku dan intonasi suara dalam komunikasi secara bersemuka itu membolehkan kita menelah apa yang ingin disampaikan dengan tepat.

Namun, ramai di kalangan kita hanya melihat pada zahir orang yang berkomunikasi dengan kita. Sedangkan ada pula manusia menzahirkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang ada di dalam hatinya. Suara dan gerak geri seseorang yang kelihatan marah itu bukan semata-mata menggambarkan dia tidak suka dengan apa yang terjadi.

Seorang kakak yang terjerit, berleter dan memukul adiknya kerana pulang lewat tidak semestinya menggambarkan yang dia marah kerana benci dan geram. Mungkin sekali dia terjerit kerana bersyukur adik yang dibimbangi tidak balik-balik itu akhirnya muncul di muka pintu. Leterannya itu mungkin juga nasihat agar si adik tidak berbuat sesuatu yang membimbangkan si kakak dan pukulannya itu boleh sahaja bermakna yang dia seronok melihat adiknya sudah pulang dengan selamat.

Seandainya kita hanya melihat pada yang zahir, maka kita akan tersilap tafsir yang batin. Ada sesuatu yang lebih bermakna daripada apa yang dizahirkan. Paul Ekman, seorang ahli psikologi Amerika telah menulis buku Telling Lies pada tahun 1965 yang mengaitkan emosi dengan perilaku seseorang. Kini, dikenali sebagai body language, emosi seseorang di hadapan kita boleh ditelah dengan meneliti gerak gerinya.

Betapa pun, selain daripada apa yang diucapkan seseorang secara berdepan, apa yang sebaliknya dimaksudkan oleh seseorang daripada apa yang dizahirkan atau apa yang dibayangkan seseorang melalui gerak gerinya, ada satu lagi aspek yang perlu kita peka ketika berkomunikasi secara berdepan dengan seeorang.

Aspek itu adalah apa yang tidak dizahir atau dibayangkan langsung oleh mereka yang berkomunikasi dengan kita. Maknanya, kita mesti memikirkan apa yang tidak disebut, dizahir atau dibayangkan langsung oleh orang di depan kita itu. Pendek kata, kita mesti peka untuk membaca what is between the lines atau apa yang dimaksudkan di sebalik apa yang disampaikan oleh seseorang itu.

Dalam dunia di mana semua orang mahu jadi jaguh bercakap, carilah manusia yang tampak diam seribu bahasa. Selamilah hati insan ini dan temuilah khazanah sudut pandang, pemikiran dan nilai-nilai yang menjadi anutannya. Mengenali seorang insan yang diam ubi berisi itu lebih baik daripada mengenali seratus insan yang berperangai seperti ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian esok 11.9.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, September 3, 2013

BAJET: TAK ADA BUAT CARA TAK ADA



Photo credit: milopurple.blogspot

DI ANTARA TARAF HIDUP DAN GAYA HIDUP

ADA sesuatu yang menarik tatkala melayari internet mulai petang kelmarin dan juga pada pagi semalam. Menarik kerana dalam kemeriahan rakyat memberi reaksi terhadap kenaikan harga minyak, semakin banyak komen yang diberi dalam laman Facebook, Twitter dan blog disampaikan secara sinis, perli dan juga melawak. Bukan sahaja dengan cara marah-marah dan maki hamun. Agaknya ramai yang dah habis marah hingga tak termarah lagi dengan kenaikan itu.

Siapa yang tak terkilan apabila harga minyak yang dianggap tidak akan naik dalam tempoh terdekat tiba-tiba lebih mahal 20 sen seliter dua hari selepas kita menyambut Hari Kemerdekaan? Barangkali juga, oleh kerana ramai yang mengagak lambat laun, harga minyak akan naik, maka ramai yang sudah bersedia menerima planned surprise itu. Justeru itu, marah yang dilepaskan menjadi lebih terkawal, lebih tertib, meskipun tahap kegeraman masing-masing tetap sama.

Ramai yang pulang paku buah keras kepada penyokong BN. Seolah-olah mereka memilih BN semata-mata kerana percaya parti itu tidak akan menaikkan harga minyak. Dalam pada itu ramai juga penyokong tegar BN masih mempertahankan keputusan kerajaan dengan komen-komen politik, sedangkan kenaikan harga minyak itu bukannya keputusan politik, sebaliknya keputusan ekonomi.

Ya, kita boleh sarankan pak menteri jangan membazir wang rakyat dengan berbelanja besar untuk program berbentuk majlis, sambutan-sambutan, perayaan-perayaan, projek-projek atau apa sahaja yang tidak punyai kepentingan kesejahteraan rakyat. Tetapi, walau apa pun yang kita usulkan di laman-laman sesawang, akhirnya kita sendiri juga yang perlu menangani kenaikan itu ~ berdepan dengan realiti secara sendirian.

Meskipun bagi orang biasa yang menggunakan kenderaan sederhana seperti Proton Saga terpaksa menambah lebih kurang RM10 untuk setangki penuh minyak, dia sebenarnya menambah RM40 perbelanjaan minyak dalam sebulan jika dia mengisi minyak seminggu sekali. RM40 itu mungkin sekali bajet wang saku sekolah anaknya. Ataupun bil api. Ataupun RM40 adalah bajet melanggan akhbar Sinar Harian untuk sebulan.

Kesan kenaikan itu kecil bagi orang besar, tetapi besar buat orang kecil. Bagi orang kecil yang pandai mencari wang pendapatan tambahan, dia boleh cari tampung kekurangan belanjawan keluarganya berikutan dengan kenaikan ini. Tetapi bagi orang kecil yang tidak tahu arah atau jalan, kenaikan ini adalah sesuatu yang membebankan.

Dan ramai sekali orang kecil, malah orang sederhana yang di atas sebab-sebab kekangan masa, komitmen, pengetahuan dan peluang tidak dapat melakukan apa-apa. Tetapi, walau marah macam mana pun, tindakan untuk meneruskan gaya hidup yang sama tanpa berbelanja secara berhemah merupakan satu bentuk denial. Orang tua kata, ‘ada buat cara ada, tak ada buat cara tak ada.’ Kalau kenaikan harga minyak itu membuatkan bajet lari, terimalah hakikat bahawa kita semakin sengkek.

Justeru itu, kita mesti hadapi kenyataan yang kehidupan kita semakin sempit. Ketepikan gaya hidup buat sementara kerana gaya hidup itu bukannya taraf hidup. Gaya hidup adalah khayalan untuk mempamer satu standard kehidupan seperti orang senang. Taraf hidup itu adalah realiti yang mesti ditangani secara realistik.

Mulakan dengan mengurangkan kepelbagaian menu makanan harian. Sarapan nasi lemak dengan dua jenis lauk boleh dikurangkan dengan sejenis lauk sahaja. Makan di luar seminggu sekali boleh dijarakkan selang seminggu. Jalan-jalan dan membeli-belah perlu diketepikan buat sementara waktu.

Seperti yang pernah saya beri sebagai contoh, kalau kita selongkar apa yang ada di dalam peti sejuk, kita tidak perlu ke pasar untuk seminggu. Yang penting, kenaikan harga minyak ini menjadikan kita peka dengan perbelanjaan. Bila kita mengawal nafsu berbelanja, ia adalah langkah kita untuk menyerap ketidakseimbangan bajet peribadi. Ia juga adalah latihan agar kita mengawal semula tabiat berbelanja tanpa berfikir panjang. Berpuasa dari berbelanja.

Semua ini adalah langkah berjimat cermat. Berjimat cermat? Ramai yang tidak selesa dengan istilah berjimat cermat kerana ia kedengaran retorik.  Tetapi, bukankah berjimat cermat itu adalah tindakan yang terpuji sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, mewah mahupun miskin? Yang penting, kita kena bersedia menangani kenaikan minyak kerana ada banyak lagi kenaikan lain yang bakal kita hadapi dalam waktu terdekat ini.

Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 4.9.2013, insyaALLAH...