Tuesday, August 28, 2012

RAHSIA SAYA MEMILIH CALON WARTAWAN




Photo credit: eraucso.wordpress.com

INGIN JADI WARTAWAN
SINAR HARIAN?



DARI semasa ke semasa, saya menjadi ahli panel temuduga, memilih calon-calon yang layak untuk menyertai organisasi tempat saya bertugas. Tentu sekali calon-calon yang bakal terpilih itu mengikut kriteria yang diingini. Pengalaman lebih 30 tahun sebagai penemuduga di pelbagai syarikat membolehkan saya memandang calon-calonnya, bukan kertas-kertas yang mereka bawa. Selain daripada formaliti temuduga, ada beberapa perkara penting yang saya perhati untuk menelah peribadi calon.

Pada Isnin lalu, sekali lagi saya menjadi ahli panel temuduga untuk memilih wartawan. Semua calon yang terpilih untuk hadir temuduga telah mengisi borang dan menyertakan dokumen-dokumen secara bertulis. Hampir kesemua mereka mesti mempunyai ijazah atau diploma dalam bidang kewartawanan. Mereka mesti boleh menulis dalam Bahasa Melayu dengan baik, juga boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Mereka yang mempunyai diploma atau ijazah dalam bidang lain pun dipanggil kerana ramai daripada mereka yang tidak mengikuti bidang kewartawanan pun boleh menjadi wartawan yang baik. Orang lama dalam bidang persuratkhabaran pada hari ini adalah bukti-bukti secara ‘live’ bahawa bidang ini bukannya sektor untuk mereka yang ada bergulung kertas ijazah semata-mata.

Apabila melangkah ke dewan temuduga, dengan sekilas pandang, saya sudah dapat mencerap siapa yang tekun, siapa yang relaks, siapa yang stres, siapa yang malas. Calon-calon yang berpakaian biasanya tidak menjadi perhatian saya kerana mereka calon-calon biasa hanya mengikut acuan konvensional. Sebaliknya, mereka yang berbusana seperti model atau atau berpakaian seperti seniman jalanan akan saya jeling kerana kulit yang mereka pamerkan tidak semestinya menggambarkan isi fikiran mereka.

Cara mengetuk pintu pun akan saya perhati. Ada yang ketuk, terus masuk. Ada yang ketuk seperti penguatkuasa membuat serbuan ke premis maksiat. Ada juga yang mengetuk pintu secara perlahan sambil mengintai. Menanti isyarat mata saya, menyuruh mereka masuk sebelum melangkah ke bilik temuduga. Calon begini sudah pandai berkomunikasi secara body language. Ini petanda dia boleh membaca bahasa tubuh apabila menjadi wartawan kelak.

Saya akan bandingkan semua sijil-sijil fotostat dengan yang asli. Maklumlah, sudah menjadi tajuk berita, ada yang menipu kelulusan untuk mendapat kerja. Saya akan minta izin mereka membuka fail peribadi yang dibawa. Kecuaian calon dapat ditelah seandainya terdapat foto kad pengenalan makwe atau tiket wayang di dalam failnya.

Yang penting buat saya bukan juga ijazah dan lain-lain sijil pengiktirafan yang dibawa, tetapi sebagus manakah keputusan SPM mereka. Walaupun ijazah mereka hanya ijazah am, tetapi tiga atau empat keputusan A1 dalam SPM memberi gambaran calon itu pernah dan boleh bekerja di bawah tekanan. Belajar untuk peperiksaan SPM adalah tempoh yang paling mencabar di dunia akademik seseorang.

Tulisan calon turut menjadi perhatian saya. Sedikit pengetahuan graphology atau mengenal psikologi melalui tulisan boleh membantu saya mengenal calon yang duduk di hadapan saya. Secara mudah, tulisan yang ketot dan kecil menggambarkan seseorang yang kurang yakin diri. Sebaliknya tulisan yang besar-besar dan bergulung-gulung mempamerkan seseorang yang keras hati atau emosional.

Tandatangan yang halus dan kabur menggambarkan ketidakyakinan diri. Dia tidak boleh menjadi seorang wartawan. Sebaliknya, tanda tangan yang jelas ejaan hurufnya menggambarkan seseorang yang berterus terang. Calon ini biasanya mempunyai prinsip hidup yang teguh. Ada juga yang melakar tandatangan seperti seorang bos bilamana sebutir huruf pun tak dapat dibaca tetapi calonnya menggunakan ruang yang besar. Ini petanda calonnya boleh menjadi ketua yang berkesan kelak.

Pertuturan adalah perkara penting yang saya ambil pertimbangan. Soalan sepatah yang dijawab sepatah juga akan memendekkan sesi temuduga itu. Soalan sepatah dan dijawab tiga puluh patah pun akan meringkaskan temuduga itu. Calon yang banyak ‘err, err’ mengalahkan pak menteri bercakap juga akan memendekkan hasrat saya meneruskan temuduga itu. Yang molek adalah soalan saya dijawab dengan soalan hinggakan sesi temuduga itu menjadi sebuah sesi berbual-bual.

Saya akan memilih calon yang hendak bekerja, bukannya calon yang hendak gaji. Calon ini dengan yakin akan menerima cadangan di manakah mereka akan ditempatkan bila diambil bertugas. Calon ini hanya bercakap mengenai gaji apabila disoal berapakah jumlah yang diingininya. Dia tahu, dia akan diberi gaji yang setimpal dengan kebolehannya. Yang penting adalah wajahnya. Saya maksudkan bukan dari segi cantik atau tampannya. Tetapi daripada segi sinar mata dan ceria wajahnya sehinggakan apabila ditemuduga, saya berasa sedang berbual dengan seorang staf, bukannya dengan seorang calon.

Bak kata bos saya, Datuk Hussamuddin Yaacob, mereka yang mempamerkan aura ‘di wajahmu kulihat bulan’ adalah mereka yang benar-benar layak menganggotai pasukan Sinar Harian di bawah Kumpulan Media Karangkraf.

*Nota: Sinar Harian inginkan ramai lagi wartawan.  Apakah anda ingin mencuba? Ada berani?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.8.2012, isya-ALLAH...

Wednesday, August 22, 2012

SELAMAT HARI RAYA




Photo credit: malaysiaaktif.my

TAK MENGAPA,                                          HARI INI KAN, 
HARI RAYA

Resah juga hati bila terpandang deretan kereta terparkir di kanan dan kiri jalanraya.  Memang tak ada ruang kosong untuk saya menyelit. Motorsikal pula apatah lagi. Mencelah di mana-mana ada ruang kosong. Kerana tiada ruang parkir, saya terpaksa meletak kereta di sebelah sebuah kereta lain. Hati mengharap, tuan punya kereta itu tak marah menunggu andainya saya keluar lebih lambat daripadanya. Salah, memanglah salah tindakan saya itu kerana double-parking. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Ketika melewati pagar masjid, kelihatan para jemaah sudah pun melimpah ke luar. Ramai yang masih tercari-cari ruang kosong untuk bersolat. Di halaman masjid, tikar dan sejadah sudah terbentang. Tatkala solat aidilfitri hendak bermula, para petugas masjid terpaksa melaung kepada pak imam agar tunggu dulu kerana ramai jemaah tiada tempat bersolat. Bergulung-gulung lagi tikar dipikul mereka untuk ditebar dengan dibantu para jemaah. Solat aidilfitri terlewat tujuh minit pada pagi yang indah ini. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, isteri saya menelefon. Katanya dia teringin merasa lemang. Sambil memandu, saya perhatikan tiga-empat warung lemang yang didirikan di sepanjang jalan. Semuanya sudah tutup. Tuannya mesti beraya juga. Saya memandu terus melewati rumah mertua di Jeram dan terus ke pekan Kapar. Akhirnya saya dapat beli empat batang lemang berharga RM12 sebetang setelah memandu sejauh 20 kilometer. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Pada hari raya kedua, dalam perjalanan ke Mersing, saya sekeluarga berkunjung ke rumah seorang sahabat di Bangi. Entah kerana ingin bersantai-santai, saya berborak dengannya hingga jam 11.30 pagi. Sebaik sahaja keluar dari rumahnya, saya teringin pula hendak memandu di lebuhraya LEKAS ke Seremban. Saya tahu lebuhraya itu tak sesibuk lebuhraya PLUS. Namun setelah berpusing-pusing mencari lebuhraya itu, saya termasuk ke Kajang dan akhirnya keluar di tol PLUS kembali. Ertinya lebuhraya LEKAS saya tak jumpa tetapi sudah berpatah balik ke utara. Setengah jam masa sudah terbuang. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Kenderaan di lebuhraya itu memang sendat hingga ke Senawang. Pada kebiasaannya bila memasuki Senawang untuk ke Kuala Pilah, perjalanan akan lancar. Tetapi trafik perlahan juga hingga ke Bahau dan Bandar Baru Sri Jempol. Penyudahnya kami tiba di Mersing pada jam 9.30 malam ~ perjalanan selama 10 jam. Tidak pernah  perjalanan dari Petaling Jaya ke Mersing itu memakan masa dua kali ganda, seolah-olah memandu seperti pergi dan balik. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Bila malam, perut yang manja setelah berpuasa, cepat sangat laparnya. Ada juga warung yang sudah membuka perniagaan. Namun, kesemuanya kelihatan penuh sesak dengan anak Mersing yang pulang ke kampung. Warung yang saya singgah pun dipenuhi pelanggan. Bila saya hitung meja-meja yang belum mendapat lagi hidangan, saya tahu giliran kami adalah yang ketujuh akan mendapat pesanan. Tukang masak di gerai itu hanya tinggal seorang yang terkontang-kanting bekerja. Akhirnya, selepas sejam menanti barulah nasi goreng kampung dapat dijamah. Ketika itu, lapar pun dah hilang. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Beraya di kampung memang masih lagi dengan serinya. Ketika ini, niat untuk mengawal  makan selepas berpuasa, terpaksa diketepikan. Maka, ketupat yang ditambah ke pinggan tidak akan ditolak. Kuih batang buruk, samperit dan putu kacang saya kunyah juga walaupun hati saya kata, sudah-sudahlah tu. Menjaga hati Adek Chu, Mak Andak dan Tok Long lebih penting daripada menjaga bodi. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Dan, pada malam nanti (iaitu malam semalam, ketika anda membaca artikel ini), saya  menghadiri satu perjumpaan Rumah Terbuka Anak Mersing di La Bella Resort, Air Papan. Mereka adalah rakan-rakan Facebook, yang juga junior dan senior saya di sekolah, jiran-jiran dan saudara-mara yang asalnya bertemu kembali di alam siber. Inilah kali kedua saya menghadiri majlis sebegini. Malah, kepulangan saya ke Mersing setelah tiadanya kedua-dua orang tua adalah semata-mata untuk duduk makan-makan dan sembang-sembang selama empat jam bermula dari jam 8.00 malam dengan teman-teman siber saya. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Mungkin kerana suasana bercuti dan ada masa luang yang banyak, saya tidak kisah menanti dan menunggu. Mungkin juga kerana puasa itu merangsang kembali rasa sabar, saya boleh terima apa jua halangan yang melewatkan saya memperoleh apa yang saya inginkan. Mungkin juga setelah sibuk bekerja dan bekerja, pada cuti raya ini saya menghadirkan diri saya untuk menggembirakan ahli keluarga saya. Jadi saya dapat buat apa sahaja dengan selamba, tanpa komplen, tanpa leter, meskipun di dalam hati. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Di sebalik halangan luar jangka, kelewatan di luar kawalan atau bersantai-santai sekadar duduk-duduk, sembang-sembang dan makan-makan di hari raya ini, saya perasan yang tidak stres atau sakit kerana tidak bekerja! Maka benarlah maksud hadis, “Barangsiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah ia bertakwa kepada ALLAH S.W.T dan menyambung silaturrahim.” (Riwayat at-Tabrani).
Saya percaya, anda yang ‘hyper-sibuk’ juga mengalami kerehatan minda sebegini.

Berehatlah selagi ada masanya.
Hari ini kan, hari raya ~ esok lain cerita.


Artikel ini telah terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.8.2012.

Thursday, August 16, 2012

UCAPAN SELAMAT


SALAM AIDILFITRI
kepada semua rakan-rakan 
khususnya anda yang meminati kolum
MAAFCAKAP, khususnya anda yang follow blog ini. 

Maaf di atas segala kekasaran bahasa, 
terlepas kata, tak cantik aksara. 

Maaf, maaf,
maaf zahir dan batin daripada saya.

Saya turut memaafkan anda
kesemuanya... segalanya...


Dari saya:
NORDEN MOHAMED
@ EYMAN HYKAL

Tuesday, August 14, 2012

ANTARA BERITA DAN CERITA



Photo credit: babasiga.blogspot.com

ADA WARTAWAN
DI KALANGAN KITA

KELMARIN, saya baru sahaja menjamah kurma dan meneguk segelas air lalu terdengar suara jeritan seorang gadis. Bila memantaukan pandangan ke sekeliling kawasan, saya nampak orang berkerumun di tepi sebuah simpang tidak jauh dari tempat saya berbuka. Ada beberapa buah motorsikal di sana. Terdapat juga sebuah kereta di situ. Fikiran saya cepat menelah, sebuah kemalangan telah terjadi dan gadis itu mungkin meraung kesakitan atau menangisi orang yang disayangi.

Tanpa mempedulikan teman-teman yang lain, saya meninggalkan restoran dan bergegas ke tempat kejadian. Cemas juga hati saya melihat seorang gadis yang terbaring di kaki lima. Tubuhnya dihenyak oleh empat orang lelaki. Seorang perempuan pula kelihatan mengusap tubuhnya sambil memberi nasihat agar gadis itu bertenang dengan suara yang sedu-sedan.

Saya pandang ke sekeliling. Tidak nampak apa-apa kenderaan yang rosak atau mangsa lain yang cedera. Nampaknya bukan seperti kemalangan, tapi mengapa gadis itu terbaring dan menjerit-jerit nyaring begitu? Saya bertanya kepada seorang pakcik yang berdiri di sebelah saya, apa yang berlaku. Jawapannya pelik. Terus saya ketawa di dalam hati.

Katanya, ‘Inilah kerajaan Malaysia! Dia orang bawak masuk sihir, hantu, dan semua jembalang. Sebab itu budak ni jadi macam tu. Kalau apa-apa yang berlaku pada gadis ini, siaplah kerajaan Malaysia!’

Alamak! Saya melihat satu kejadian yang mengujakan. Lalu cuba mencari sumber ceritanya. Tiba-tiba saya mendapat sumber yang tak boleh saya pakai! Selepas itu saya buat-buat tak dengar apa yang diperkatakan oleh pakcik itu. Sebaliknya saya bertanya pada seorang remaja yang ada di situ.

Melaluinya, saya dapat tahu rupa-rupanya gadis itu mengikuti rombongan kolejnya ke Kuala Lumpur. Dia histeris kerana bergaduh dengan rakan serombongan. Kata remaja itu, rakan gadis itu juga kini mengamuk dan sedang diregang oleh beberapa orang temannya. Lalu dia menuding jarinya ke hujung jalan. Kelihatan sebuah bas rombongan terparkir di tepi jalan.

Maklumat remaja ini lebih tepat dan boleh diterima akal. Lantas saya ke lokasi kedua dan memadankan cerita remaja itu. Ada bas kolej dengan plet sebuah negeri pantai timur ~ bas rombongan. Seorang gadis sedang terbaring dan dihimpit agar tidak meronta, sama seperti gadis yang pertama. Mungkin sekali mereka bergaduh hingga dipisahkan jauh.

Ketika berada di kawasan itu saya terdengar suara-suara yang mengatakan ‘kedua-dua gadis itu sebenarnya kembar,’ ‘mereka histeria bila mendengar suara azan di masjid berhampiran’ dan ‘mereka telah dirasuk.’ Saya biarkan sahaja maklumat itu sebagai rencah penyedap cerita yang berbentuk ‘dengar-dengar’ semata-mata. Selain daripada pakcik yang saya temui itu, kita memang ada ramai pencipta cerita di kalangan kita.

LIPUTAN kolum Bicara Isnin, Sinar Harian mengenai pentingnya pusat zakat negeri membantu NGO-NGO yang mengendalikan OKU mendapat respons yang positif dari kalangan jabatan-jabatan agama negeri. Beberapa NGO lain telah menghubungi kami untuk memberi pendapat. Beberapa orang pembaca juga turut menyampaikan komen yang menyokong hasrat NGO-NGO yang mengendalikan OKU agar mereka ditafsir golongan asnaf fisabilillah.

Bagaimana pun, seorang pembaca menghubungi saya dengan satu persoalan yang berbeza. Beliau bertanya, bukankah OKU itu singkatan daripada Orang Kelainan Upaya, bukannya Orang Kurang Upaya? Saya akui yang saya pernah terdengar istilah OKU telah ditukar dan disebut sebagai Orang Kelainan Upaya. Kerana berada di luar pejabat, saya tidak boleh merujuk kepada sesiapa. Saya memberitahu beliau yang saya ingin menyemak kesahihannya.

Dengan bantuan wartawan setibanya di pejabat, kami membuat pertanyaan dan penyelidikan. Hasilnya, kami dapati pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) tidak pernah mengistilahkan OKU sebagai Orang Kelainan Upaya. Laman web JKM, Majlis Kebangsaan bagi OKU dan semakan terhadap Akta OKU 2008 jelas menunjukkan OKU kekal sebagai singkatan bagi Orang Kurang Upaya.

Saya menghubungi pembaca tersebut dan menyampaikan maklumat yang saya temui. Dia mengucapkan terima kasih dan berkata, ‘Saya akan sebarkan apa yang saya perolehi ini.’ Kata-katanya membuatkan saya mengerti, pembaca tersebut mungkin sedang berbincang dengan teman-temannya di laman siber mengenai topik itu. Fakta yang saya beri akan memberi pencerahan kepada beliau dan kawan-kawannya.

Pembaca ini, Ahmad Syarief Abu Umar ingin memperoleh ketepatan maklumat yang diperolehinya. Sementara itu, pakcik yang menonton insiden histeria di tepi jalan cuba memesongkan kenyataan di depan mata. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri seorang wartawan. Yang seorang sebagai penyampai maklumat, seorang lagi penyampai cerita.

Andainya mereka berdua adalah wartawan, penyampaian kedua-duanya boleh melariskan jualan akhbar. Tetapi, cerita tulisan siapakah yang anda pilih?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.8.2012, insya-ALLAH...