Tuesday, November 20, 2018

TERKENANG SAMBUTAN MAULUD NABI

TERKENANG SAMBUTAN
MAULUD NABI
MAULUD NABI. Itulah nama sambutan yang saya tahu sebelum frasa Maulidur Rasul digunakan. Saya tidak boleh lupa apa yang saya lalui ketika sambutan Maulidur Rasul di sekolah agama dahulu. Sebagai anak kelahiran di Mersing Johor, saya bersekolah agama pada sebelah petang.

Menjelang Maulidur Rasul, pihak Jabatan Agama Islam Johor akan menjalankan kutipan derma sambutan perayaan daripada orang ramai. Sekolah-sekolah agama pula antara yang ditugaskan untuk mengutip derma. Ketika itulah saya dan rakan-rakan sekelas berasa begitu teruja. Masing-masing mengharap ustaz memilih kami sebagai pemungut derma.
Saya pernah terpilih sebagai pemungut derma ketika di darjah 4. Seronoknya tidak terkira. Saya diberi sebuah tin sebagai tabung kutipan sebesar saiz tin Milo 1.5kg. Dan saya juga diberi berpuluh-puluh lencana kertas yang tertulis ‘Derma Kenangan Maulud, Jabatan Agama Johor’ dalam tulisan jawi.
Lencana bersaiz lencana sekolah itu adalah cenderahati kepada sesiapa yang menghulurkan derma dengan mengisi tabung. Dan lencana itu akan diberikan bersama sebatang jarum peniti sebagai pelekat. Lencana itulah yang akan dipakai oleh semua pada hari perayaan.
Seronoknya saya bila memulakan tugas itu. Selain daripada tak perlu ke sekolah kerana kerja itu, saya juga berpeluang untuk berjalan-jalan. Seingat saya, tempoh mengutip derma ialah seminggu. Ertinya, seminggu jugalah saya tidak perlu masuk kelas.
Bertemankan seorang kawan, kami akan berjalan dari rumah ke rumah untuk memungut derma. Hati mula gembira apabila tuan rumah memberi lebih daripada sepuluh sen untuk sekeping lencana derma. Ada juga yang beri seringgit, tetapi mahu lebih daripada satu lencana untuk seisi keluarga. Kadang-kadang kecewa juga apabila tuan rumah mengunjukkan lencana derma, menandakan yang dia sudahpun menderma sebelum ini.
Perasaan makin  seronok apabila tabung derma semakin lama semakin memberat. Kalau boleh, biarlah tin derma itu penuh kerana komisyen yang diberi itu bergantung kepada jumlah kutipan. Saya tidak ingat cara mengira komisyen, tetapi saya mendapat lebih sepuluh ringgit kerana tugas itu.
Apabila tiba hari Maulud Nabi, semua murid-murid akan berkumpul di padang Sekolah Agama Mersing Kanan. Selain daripada kami, guru-guru, persatuan-persatuan dan kariah surau-surau di kawasan sekeliling sekolah akan turut juga hadir. Setiap kumpulan akan membawa sepanduk kumpulan, bendera negeri, Jalur Gemilang dan juga bendera hijau berlambangkan bulan dan bintang. Tidak ketinggalan juga bunga manggar yang berwarna warni.
Kami yang ratusan jumlahnya akan bergerak ke Masjid Jamek Mersing yang terletak kira-kira 2.5 kilometer daripada sekolah. Sambil melangkah, kami semua akan berselawat dan bernasyid memuji Rasulullah S.A.W.
Di zaman kanak-kanak, kami hanya melihat kesemuanya sebagai suatu keseronokan. Sebaik sahaja tiba ke masjid, tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu hidangan nasi minyak berlaukkan daging. Di waktu dahulu, bukannya mudah hendak merasa daging ataupun ayam. Majlis kenduri kahwin ataupun sambutan perayaan agama seperti maulidur rasul ialah peluang untuk kami merasa daging ataupun ayam.
Kami akan diminta duduk di bawah khemah dalam bulatan berlima orang. Setiap bulatan akan menerima sedulang nasi minyak. Maka riuh rendahlah kami di situ memanggil-manggil petugas agar segera meletak nasi di tengah-tengah bulatan kami. Kami sudah tidak peduli hendak mengikuti ceramah maulidur rasul di dalam ruang masjid bersama orang dewasa.
Kami makan dengan lahapnya. Bayangkan... makan berlima untuk sedulang. Kami berebut mengumpul nasi ke kawasan masing-masing. Bila sudah beberapa kali berpengalaman makan sedulang, ada yang dah pandai menyembunyikan daging di bawah nasi. Kemudian ambil lagi daging di tengah dulang, kononnya sebab dagingnya sudah tiada. Puas kami muntah kedarah (haha, saya sengaja guna frasa ini) sambil berulamkan air sirap bandung soda!
Itulah kenangan berpuluh tahun dahulu. Zaman persekolahan pun sudah berlalu. Telah berpuluh tahun juga saya tidak merayakan ulangtahun kelahiran Rasulullah S.A.W hingga separuh hari seperti di zaman sekolah dahulu. Kini saya dan ramai di antara kita menyambut maulidur rasul dengan gerak-gerak jari sahaja. Kita kirim mesej berbentuk poster, GIF dan video selawat melalui Whatsapp. Kita catatlah juga puisi copy and paste mengenang Rasulullah S.A.W di Facebook untuk tatapan kawan-kawan. Jangan tidak, kata orang.
Maaf cakap... nampaknya ramai di antara kita sudah jauh tinggalkan tabiat mengingati Rasulullah S.A.W kecuali ketika berselawat di dalam sembahyang. Bukankah kita boleh hidupkan semula rasa kecintaan kepada baginda dengan menonton video ceramah maulidur rasul oleh puluhan penceramah atau kisah hidupnya di Youtube? Capailah buku-buku Sirah Rasulullah S.A.W yang dah lama tidak kita buka. Perbanyakkan selawat kepada baginda kerana selawat itu mendoakan kesejahteraan baginda. Dan kita tahu, setiap selawat kita kepadanya akan dijawab kembali.

Tanpa kita sedari, Maulidur Rasul dianggap sama seperti hari-hari lain kerana ia adalah hari cuti. Barangkali kita telah mengatur program sambutannya dengan pergi shopping, berkelah atau menonton wayang tanpa berasa canggung. Apakah?

Monday, November 12, 2018

ALAM SIBER YANG MEMBUANG TABIAT

ALAM SIBER YANG
MEMBUANG TABIAT


BARU-BARU ini saya dapat bersembang dengan seorang usahawan gigih yang berjaya. Seperti orang lain yang hebat, usahawan ini bergelumang dengan pancaroba yang silih berganti sejak kecil sehingga dewasa. Dugaan sewaktu kecil adalah tentang survival diri. Cabaran ketika dewasa pula ialah persoalan survival bangsa dan agamanya apabila skop perjuangannya sudah melangkaui prioriti diri sendiri.

Apa yang menarik ialah, di sepanjang meniti jalan hidupnya, usahawan ini sentiasa dipertemukan dengan teman-teman yang menjadi sahabat, rujukan dan idolanya. Dari peringkat sekolah rendah, menengah, belajar di institusi pengajian tinggi dan akhirnya di dunia kerjaya, beliau akan mempunyai seorang teman yang beliau anggap seperti cermin buat dirinya.

Seandainya hanya dipandang daripada jauh, usahawan ini akan jadikan teman ini idolanya. Segala perilaku dan tindak tanduknya menjadi ikutan. Sekiranya teman itu rapat dengannya, dia akan menimba ilmu kehidupan daripada teman itu. Beruntungnya dia kerana bertemu dengan insan-insan yang baik ini. Mereka semualah yang mencorakkan kejayaan usahawan ini di setiap perbatuan perjalanan hidupnya.

Kawan. Merekalah yang boleh mempengaruhi perilaku kita. Apabila meningkat remaja, inilah zaman dugaan. Tabiat remaja yang suka berkawan kerana takut hilang kawan akan menjadikan kita pak turut kepada kumpulan kerana peer pressure. Kita mengikut sahaja demi kebersamaan. Padahal, itulah zaman di mana banyak kesilapan terjadi. Kesilapan itu pengajaran. Tetapi berapa ramai di antara kita pada ketika itu sedar akan pelajaran yang mengiringi kesilapan itu?

Apabila kita meningkat dewasa dan mula bekerja, kita akan punyai rakan sekerja yang berlainan pula. Jika kita gila kerja, kalangan kawan-kawan kita juga adalah mereka yang suka balik lewat. Andainya kita jenis ponteng kerja, kita akan berkawan dengan mereka yang suka melepak di kantin walaupun di waktu pejabat.

Diri kita beransur-ansur berubah dengan kumpulan mana kita kerap bersama. Di kawasan rumah pula kita berkawan dengan geng surau, dengan geng bergebang di gerai, geng badminton, teman golf dan juga teman-teman seperjuangan di arena politik.

Pendekata, di setiap peringkat usia dan di mana pun kita berada, kita akan punyai sekelompok teman-teman yang rapat dengan kita. Merekalah yang membentuk kita pada setiap fasa kehidupan yang kita lalui. Semakin kita meningkat usia, persahabatan kita dengan mereka itulah yang membentuk peribadi kita. Lazimnya rata-rata mereka yang rapat dengan kita itu di kalangan yang seusia. Justeru itu, tindak tanduk dan perilaku kita terbentuk seiring usia.

Tapi itu dahulu. Sekarang, zaman sudah berubah. Zaman teknologi siber bukan sahaja bagus kerana memudahkan proses ‘jejak kasih’ di antara saudara mara dan sahabat handai.  Ia mampu menghimpun kawan-kawan kita dari peringkat tadika hingga ke teman-teman pencen dalam pelbagai media sosial.

Tetapi masalah sampingan yang timbul ialah apabila ia menggaul dan membongkah kembali zaman silam ke hari ini dengan kehadiran kawan-kawan  dari zaman kecil hingga sekarang secara serentak. Tidak boleh tidak, apabila kita memasuki kumpulan sembang kawan-kawan sekolah, perangai kita jadi budak sekolah kembali.

Apabila kita bertemu kawan-kawan sekampus pula, tindak tanduk kita seperti perangai di zaman kampus. Akibatnya, walaupun kita kini dah jadi ustaz, kita masih tergelak keh-keh-keh apabila bersembang dengan kawan-kawan di zaman remaja. Bila bersosial dengan teman-teman di 20-an barangkali oleh kerana biasa pergi disko, segala lagu Saturday Night Fever kita kirim semula pada kawan-kawan.

Kesudahannya, personaliti kita menjadi haru-biru. Jangan pula berasa apalah sangat apabila bertemu di alam siber. Kita bukannya berjumpa tetapi sebaliknya hanya menulis di laman sosial atau laman sembang. Tapi maaf cakaplah, pada banyak ketikanya permainan di fikiran itu lebih jahat daripada tindakan itu sendiri. 


Pada saat ini, barangkali kita sudah haji dan jadi orang yang alim. Tetapi jejari kita bertindak seperti anak muda di zaman jahiliah yang dah lama kita taubat untuk tinggalkan. Semua itu kerana dimensi fasa persahabatan yang telah diterobos oleh sihir teknologi itu. Tabiat kita yang seiring dengan usia dan masa telah kita buang jauh-jauh.

Tuesday, November 6, 2018

TABIAT BELI BUKU SUDAH KEMBALI


piccredit: GBK

TABIAT BELI BUKU

SUDAH KEMBALI


TIBA-TIBA
berbondong-bondong warga Lembah Kelang berkunjung ke premis Kumpulan Media Karangkraf untuk membeli buku-buku di Jualan Gudang Akhir Tahun 2018 anjuran syarikat itu. Sejak ia bermula pada 2 November lalu, seluruh dewan dan studio sesak dengan para pengunjung di mana buku-buku termasuk al-Quran ditawarkan dengan harga yang murah.
Rata-rata, para petugas di Kumpulan Media Karangkraf merindui suasana kesesakan seperti ini. Mereka terkejut dengan kedatangan para peminat buku yang memilih buku hingga berbakul-bakul. Kemudian mereka sabar pula berbaris panjang menunggu giliran untuk membayar. Kenapa ya? Apakah pembaca buku sudah kembali kepada tabiat membaca?
Bagi saya, pembaca buku tetap dengan minat mereka itu. Mana mungkin mereka meninggalkan tabiat yang sudah berakar di sanubari? Mereka bukannya berhenti membaca, tetapi berhenti membeli kerana fikiran mereka berserabut dengan pelbagai perkara hingga mengenepikan tabiat membeli buku buat seketika.
Ini semua di antaranya kerana mob psychology yang mereka alami, kesan daripada media sosial. Sebaik sahaja GST dilaksanakan pada 2015, mereka heboh memperkatakan mengenai kenaikan harga barangan. Dalam fikiran rakyat, semua barang naik harga. Oleh kerana tuduhan kenaikan harga barang kerana GST menjadi tular, buku yang menjadi santapan minda bukan menjadi pilihan utama kerana mereka akan menumpukan kepada santapan perut.
Kita lihat pada hari ini, apabila SST diperkenalkan kembali dan harga barangan tidak pula turun, tidak ramai pula yang kompelin di media sosial. Oleh kerana itu, orang mula berbelanja tanpa kebimbangan itu di fikiran! Harga barangan yang semakin meningkat ini juga sudah sampai ke tahap di mana orang ramai sudah mangli dan menerima realiti dan berbelanja kembali.
Tiga empat tahun lalu menyaksikan kemunculan syarikat-syarikat indies yang menyemarakan dunia perbukuan. Syarikat-syarikat ini menerbitkan buku yang lebih hip dan cool. Apabila mereka menggunakan bahasa yang lebih selamba dan sedikit nakal, ia menarik golongan awal remaja yang baharu ingin mengenali dunia pembacaan buku.
Mereka menerbitkan buku dalam jumlah yang sedikit, kurang daripada satu hingga tiga ribu naskhah cetakan bagi setiap judul. Ini membolehkan mereka menerbitkan lebih banyak judul pada satu-satu masa. Teknologi print on demand memungkinkan kemunculan berbelas-belas syarikat buku indies. Buku-buku ini menenggelamkan terbitan daripada syarikat-syarikat buku gergasi.
Jika dianggarkan 20 buah syarikat buku indies menerbitkan empat judul sebulan, mereka dapat pamerkan 80 judul. Bila dibandingkan dengan lima syarikat buku gergasi yang menerbitkan empat judul juga sebulan, hanya 20 judul buku dari syarikat-syarikat ini yang terpamer. Nisbah 1:4 memperlihatkan seolah-olah buku-buku indies menguasai pasaran kerana judulnya lebih banyak terpamer di gedung-gedung buku.
Akibatnya, para pembaca buku popular dan konvensional yang memenuhi kedai-kedai buku sukar menemui buku-buku yang mereka ingini. Perlahan-lahan mereka meninggalkan kedai-kedai buku dan berhenti membeli. Pada waktu yang sama, golongan awal remaja yang baharu membeli kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu meninggalkan dunia membaca buku apabila galak pula membaca di aplikasi e-buku yang lebih santai dan percuma.
Golongan pembaca konvensional. yang minatkan buku-buku popular berhenti mengunjungi kedai buku kerana tidak menemui buku-buku yang mereka minati. Golongan awal remaja yang minat membaca hanya kerana kegilaan sementara juga berhenti mengunjungi kedai-kedai buku. Akhirnya, kedai-kedai buku menjadi sunyi. Ramai yang beranggapan bahawa orang Malaysia sudah malas membaca.
Saya tidak fikir begitu. Sebaliknya saya lihat ini sebagai kesan pertembungan khalayak pembaca dewasa dan pembaca muda hasil daripada kemunculan syarikat-syarikat indies yang kecil tetapi tangkas, berlawan dengan syarikat-syarikat buku gergasi. Ia mengakibatkan gempa yang mengubah lanskap industri buku di negara ini.
Kini, banyak syarikat-syarikat indies dah gulung tikar kerana golongan remaja yang membaca buku kerana suka-suka mengikiut tren sudah asyik dengan telefon masing-masing. Syarikat-syarikat gergasi pula lelah dengan bagasi ribuan terbitan buku masing-masing di setor. Cara menukar aset agar tidak menjadi liabiliti ialah dengan mencairkannya. Jualan murah adalah jawapannya.
Iya. Jualan diskaun besar sentiasa akan menarik sesiapa sahaja untuk berbelanja. Jika syarikat-syarikat buku mengambil tindakan kamikaze dengan menjual murah, mereka punyai harapan untuk mengumpul kembali para peminat buku yang sudah berselerakan. Mereka akan membina kembali customer base yang runtuh.
Membeli adalah satu tabiat. Penerbit harus menggalakkan tabiat membeli buku supaya tabiat membaca kembali rancak dan segar.