Tuesday, February 23, 2016

LONG TERM PLANNING IS ABSOLETE!


Piccredit: stencilrevolution.com

RELEVANKAH LAGI SEBUAH WAWASAN?

BANYAK pihak membicarakan kritik Tun Musa Hitam yang mendakwa Wawasan 2020 akan menemui kegagalan. Dalam sebuah majlis memperingati ulangtahun ke-113 Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman baru-baru ini, beliau berkata, wawasan cetusan Tun Mahathir itu tidak akan mencapai matlamatnya kerana kegagalan beliau melatih pemimpin pelapis untuk menyudahkan wawasan yang hebat itu.

Ada pihak yang mengiyakan dakwaan Tun Musa Hitam itu. Tidak kurang pula yang mengatakan bahawa Wawasan 2020 masih boleh berjaya kerana ada sebahagian daripada matlamatnya seperti mewujudkan masayarakat yang berjiwa bebas, demokratik dan matang sudahpun tercapai apabila mutakhir ini, kita melihat masyarakat yang kian berani bersuara.

Bagaimana pun, jika kita lihat Wawasan 2020 sebagai salah satu daripada berpuluh-puluh perancangan jangka panjang kerajaan, kita akan dapati kebanyakan dasar-dasar yang diperkenalkan itu hilang ditelan masa, mati tidak berkubur. Kalau ada pun, ia timbul tenggelam ~ sekejap ada, sekejap tidak ada.

Di antara dasar yang pernah diperkenalkan tetapi sudah lama tidak tidak disebut-sebut lagi termasuklah Dasar Pandang ke Timur, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Penswastaan. Ini tidak termasuk perancangan jangka panjang yang lain seperti konsep Rukun Negara, Belilah Barangan Malaysia, malah konsep Malaysia Boleh itu sendiri pun kian jarang kedengaran. Ada kemungkinan, dasar serta konsep ini sudah tidak diteruskan lagi atau tidak diberi perhatian secara serius.

Mengapa ia jadi begitu? Ia berkeadaan sedemikian kerana pihak yang bertanggungjawab menggemblengnya tidak berjaya menyampaikan inti dasar itu kepada seluruh anggota pasukan pelaksana. Akhirnya, dasar dan konsep itu hanya tinggal pada namanya. Kita boleh lihat begitu banyak dasar dan konsep jangka panjang yang telah dirumus itu hanya kelihatan bergerak pada peringkat awal. Kian masa berlalu, ia semakin dilupakan.

Sebenarnya, dasar atau konsep jangka panjang yang hilang seri dan gahnya itu bukan sahaja berlaku di sektor kerajaan, malah melibatkan dasar-dasar di syarikat korporat serta organisasi bukan kerajaan. Berapa banyak syarikat korporat yang punyai perancangan korporat dalam jargon pengurusan yang dikenali sebagai  strategic management? Warga korporat diuar-uarkan dengan misi, visi dan objektif syarikat. 

Tatkala sesebuah mission statement korporat itu dimaktub, seluruh warganya menghafal dan mewiridkannya dalam bentuk ikrar, sumpah dan lagu. Tetapi lazimnya hanya sekejap.   Setelah sebulan dua berlalu, segala-galanya balik asal. Matlamat syarikat korporat biasanya menjurus kepada satu hala iaitu memaksima keuntungan. Targetnya naik dan naik dan naik.

Jika berlaku sedikit masalah yang menjejas pendapatan, jalan pantas dan pintasnya ialah mengurangkan perbelanjaan dengan apa cara sekali pun termasuk mengecilkan operasi dan membuang kakitangan. Misi dan visi yang muluk-muluk itu dilupakan kerana apa yang perlu dilakukan secara semerta ialah supaya syarikat tidak tenggelam.

Badan-badan bukan kerajaan pula lain ceritanya. Tatkala organisasi mula tertubuh, segala objektif sejagat disusuri dengan penuh berhati-hati. Tetapi, apabila menjadi sebuah badan yang popular, banyak dasar asal diketepikan kononnya supaya organisasi yang berkembang itu menjadi pragmatik.  Akhirnya, yang tinggal hanyalah slogan dan uniform persatuan.

Apa yang menjadi masalah kepada dasar berpandangan jauh kerajaan, korporat mahupun NGO hingga ia tidak kekal bertahan? Apakah ia kerana kelalaian pihak yang menggubalnya? Sebenarnya, kita berada di zaman pergolakan perubahan. Rentak dan tempo perkembangan serta perubahan iklim sosio ekonomi dan psikologi manusia itu sendiri kian berubah hampir di setiap detik.

Apabila teknologi sudah berada di genggaman tangan dalam bentuk telefon pintar, perhatian kita sentiasa teralih. Pada hari ini,  bos yang mempengerusi mesyuarat itu sendiri tidak dapat mengelak diri daripada mengalih perhatian kepada kepada aksara, imej dan suara yang tiba di telefonnya.

Kehidupan kita sendiri pun sentiasa diterjah hingga hilang fokus. Daripada pemimpin hingga ke rakyat, majikan hingga ke pekerja, yang kaya hingga ke yang miskin, yang dewasa hingga ke golongan kanak-kanak, kita semua makin sukar memandang jauh ke hadapan kerana setiap langkah kita sentiasa dipintas oleh apa sahaja yang memesongkan?

Justeru, apakah perancangan jangka panjang bertahun-tahun ke hadapan itu boleh terjamin suksesnya? Atau kita perlu mengubah pendekatan perancangan? Tiada lagi strategi jangka panjang. Cukup sekadar taktik jangka pendek untuk menjamin kelestarian langkah menuju matlamat.


No long-term plans... only short-term goals!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Haraian esok, 24.2.16.

Tuesday, February 16, 2016

BERJASA DENGAN CARANYA


Piccredit: holidayextras.co.uk
SEORANG LELAKI BERNAMA JALAL

SAMBIL berhati-hati mengeluskan diri untuk keluar dari kereta saya yang terparkir di sebelah sebuah BMW berkilat yang menjalar, saya terpandang tuan punya kenderaan yang sedang asyik dengan selfonnya di kerusi pemandu.

Opps! Pintu kereta saya tersentuh keretanya! Ada sedikit gegaran yang terasa. Si tuan punya BMW itu menoleh memandang saya. Saya menekur ke arahnya sambil mengisyaratkan ‘OK’ dengan jejari saya. Oleh kerana cermin keretanya gelap, saya tak pasti samada dia nampak isyarat saya. Namun, tiba-tiba saya ternampak barisan gigi putihnya. Dia sedang tersengih!

Lantas lelaki itu keluar dari keretanya. ‘Tuan dah tak kenal saya?’ tegurnya seraya membuka kaca mata hitamnya. Saya kaget seketika sambil cuba mengecam siapakah lelaki yang menggelar saya ‘tuan’ itu. Oh, Jalal rupanya! Suatu ketika dahulu, dia bertugas satu kementerian dengan saya tatkala saya bertugas sebagai kakitangan kerajaan. Cuma, dia daripada jabatan lain.

Jalal adalah seorang peon. Tapi bukan seorang budak pejabat yang biasa. Dia rajin menolong orang. Semua kakak-kakak kerani dan jurutaip di jabatannya amat sukakannya. Jalal biasa menolong mereka membayar bil air dan elektrik. Pada waktu tengahari dan petang, Jalal jugalah yang menolong mereka membeli makanan.

Pada waktu siang, dia bekerja di pejabat kerajaan, pada waktu malam dia menjual burger. Kadangkala, pada hujung-hujung minggu, Jalal mengambil upah menggunting rambut budak-budak sekolah. Saya rasa, Jalal tidak hairan dengan saranan membuat dua kerja untuk menampung kesesakan hidup kerana bagi Jalal, dia sudah biasa buat dua atau tiga kerja.

Namun, suatu yang menarik bagi Jalal ialah, dia amat suka berniaga. Apa sahaja akan dijualnya. Dia biasa menjadi ejen menjual kereta second-hand, mengambil komisyen menjual tanah, menjual telur ayam kampung atau upah menguruskan kambing untuk aqiqah. Saya kagum kerana Jalal ligat dengan usahanya. Saya kagum dengan Jalal yang punyai keyakinannya tinggi apabila dia sudah percayakan sesuatu.

Saya ingat lagi, suatu hari, Jalal mengkhabarkan kepada saya yang dia hendak meletak jawatan kerana katanya, dia sudah menemui suatu perniagaan yang amat menguntungkan dan ada masa depan. Saya tertanya-tanya di dalam hati apakah perniagaan yang dilakukan sehinggalah dia mengeluarkan sebotol kecil makanan kesihatan dari poketnya. Mulalah Jalal bercerita mengenai khasiat vitamin di dalam botol itu. Saya beli sebotol kerana kasihan. Risau juga saya kerana Jalal sanggup meninggalkan segala-galanya kerana menjadi ejen jualan langsung.

Sejak itu, apabila saya terserempak dengan Jalal, dia akan memberitahu yang dia masih dalam dunia jualan langsung, tetapi menawarkan produk dari syarikat yang lain. Jalal menjual sabun basuh, bengkong, makanan bayi, mekap, baju-T, minyak pelincir dan apa sahaja. Mulalah saya terfikir, apa nak jadi dengan Jalal dan masa depannya.

Namun, setiap kali saya menemuinya, kereta yang Jalal pandu semakin besar, semakin baharu dan semakin terkini. Ia petanda yang usaha Jalal semakin menampakkan kejayaan. Dan kini? Dia mengimport makanan sunnah dari negara Sudan dan Yaman. Ada habbatus sauda, acacia, madu  dan entah apa lagi. Katanya, kini dia sedang berusaha mendapatkan sijil halal dan sijil GMP. Dan, ya. Jalal sudah menjadi jutawan!

Suatu yang menarik dengan Jalal ialah, dia seolah-olah tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Apa yang difikir dan usahakan hanyalah matlamat hidupnya mengumpul kekayaan. Jangan tanya dia mengenai politik, ekonomi atau apa sahaja isu semasa. Katanya, dia tidak mahu tahu kesemuanya.

Memandangkan Jalal kini sudah berusia 40an dan dikira sudah matang, saya bertanya lagi apakah dia tidak ambil tahu apa yang berlaku di negaranya? Katanya, ‘Buat apa buang masa bercakap pasal rasuah, pasal penyelewengan, pasal kuasa atau apa sahaja kalau kita tak ada kuasa mengubahnya?

Ada beribu anggota polis yang ditugaskan menangkap penjenayah, beribu pegawai SPRM membanteras rasuah dan beratus ribu orang politik yang naik atau jatuhkan pemimpin mereka. Kita hanya ada kuasa bercakap. Selepas itu, kita juga yang kena cari makan sendiri. Siapa peduli kalau harga barang naik. Kalau kita bebel atau maki pun siapa nak dengar?’

Apakah Jalal sudah begitu individualistik? ‘Saya dah tunaikan haji bersama kedua orang tua saya, anak-anak saya kesemuanya belajar dengan duit saya sendiri, saya dah bina surau kat kampung saya. Saya kini menaja sebuah sekolah tahfiz. Saya kena jaga rezeki 80 staf saya. Semua itu untuk keluarga, masyarakat dan ugama saya.’


Sesungguhnya, Jalal sudah lakukan segala mengikut pandangan dan caranya.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.2.16. 

Tuesday, February 9, 2016

DI SEBALIK SEBUAH FILEM



PICCREDIT: marketing-interactive.com

APA YANG ADA PADA 
OLA BOLA

SAYA seorang yang gemar ke pawagam. Pilihan saya ialah filem aksi Hollywood yang agak berat seperti Body of Lies, Gangs of New York, Contraband dan Sicario. Kalau pun saya ingin sesuatu yang lebih ringan, saya akan menonton genre filem aksi juga seperti siri Bourne dan siri James Bond. Ada ketikanya saya ke panggung wayang sendirian. Saya biasa ambil cuti setengah hari untuk berehat, meskipun saya hanya mengambil masa 2 jam untuk menonton.

Saya juga menonton genre yang lain seperti kembara, komedi dan adiwira. Kartun juga saya layan. Itupun kerana menemani anggota keluarga. Namun, saya meminati juga filem berdasarkan kisah benar. Filem Nixon, kisah Presiden Amerika yang terpaksa meletak jawatan berikutan dengan skandal Watergate; Everest, filem yang berdasarkan tragedi di gunung itu pada tahun 1996 dan The Walk, filem mengenai Phillippe Petit, seorang tight rope walker yang melintasi menara berkembar World Trade Centre  pada tahun 1974 adalah di antara filem-filem yang saya minati.

Sekali-sekala saya akan menonton filem Malaysia kerana kurang berminat dengan cerita hantu dan cinta. Lagipun, penerbit filem di Malaysia tidak banyak menerbitkan filem-filem aksi. Kalau ada pun, filem seperti KL Gangster dan Polis Evo yang mana kedua-duanya saya tontoni. Ada juga filem berdasarkan kisah benar sejarah negara seperti Tanda Putera dan Kapsul yang menjadi pilihan saya.

Saya tidak meminati filem-filem sukan samada filem lumba kereta, tinju, besbol, bola keranjang dan juga bolasepak kerana sudah dapat mengagak klimaks klise filem sebegitu. Lazimnya kemenangan berpihak kepada protagonisnya pada saat-saat akhir. Namun, baru-baru ini saya pergi juga menonton sebuah filem bolasepak terbitan tempatan berjudul Ola Bola.

Saya ke pawagam bukan kerana meminati filem sukan itu. Tetapi, mungkin kerana promosi hebatnya. Pada fikiran saya, Astro Shaw sebagai penerbit filem itu tidak akan beriya-iya hendak mempromosi filem itu jika ia tidak ada elemen yang menarik di dalamnya. Anggapan saya tepat apabila menatapnya di layar perak.
Meskipun ia sebuah filem berdasarkan kisah benar pasukan bolasepak negara pada tahun 1980, penceritaannya, fotografinya, lakon layarnya, jalinan sejarah dan fiksyen, serta juga CGInya digarap dengan kemas dan realistik. Jika kita menonton untuk berasa seronok dengan apa yang terpapar, seluruh pasukan produksi telah berjaya membina plot dan klimaks hingga filem berakhir.

Saya dapati penonton bertepuk tangan menyaksikan bagaimana watak penjaga gol Malaysia menyelamatkan tendangan penalti. Sebilangan besar daripada mereka tidak bangun dari tempat duduk untuk bergegas pulang meskipun credit title mula dipaparkan. Masing-masing bagai sayang untuk meninggalkan pawagam.

Tetapi, apa yang lebih saya rasakan ialah santapan jiwa yang diselit melalui prop, dialog dan lakonan semua watak di dalamnya. Persahabatan, setiakawan dan perjuangan tanpa memandang warna kulit menjadi unsur dan mesej yang berjaya diwarnakan di dalam filem ini.  Hati saya sebak dan mata saya berkaca melihat kejujuran yang diperankan watak-wataknya. Dan, perasaan ini terus saya rasakan setelah keluar daripada panggung wayang. Kata orang, makan dalam!

Sekali imbas, apalah yang ada pada sebuah filem tentang kegemilangan bolasepak sedangkan pada realitinya, pasukan negara ini berada di tangga 171 mengikut ranking FIFA pada tahun 2016! Apalah yang ada pada sebuah filem mengenai perpaduan kaum sedangkan pada realitinya unsur-unsur perkauman yang dimainkan oleh dunia politik negara senantiasa membuat kita curiga sesama sendiri.

Apalah yang ada pada sebuah filem mengenai perjuangan menaikkan nama negara sedangkan pada realitinya ramai di kalangan kita tidak malu menjatuhkan imej negara sendiri di persada dunia? Dan, apalah yang ada pada sebuah filem yang ingin memaparkan semangat Malaysia, sedangkan sebahagian besar daripada tenaga kerja filem  itu terdiri daripada kaum Cina.

Namun, dengan captured audience advantage, filem itu berjaya menambat hati penontonnya untuk percaya apa yang terpancar di layar perak. Sesungguhnya, jika tagline filem itu, ‘Kembalinya Keyakinan’ merujuk kepada pentingnya sikap tidak berputus asa dalam perjuangan, ‘Kembalinya Keyakinan’ juga boleh menjangkau ke dunia realiti kita sebagai rakyat di negara ini. Slogan ‘Malaysia Boleh’ patut diperbetulkan persepsinya. ‘Malaysia Boleh’ bukan bermaksud ‘di Malaysia, apa-apa pun boleh,’ seperti yang dipersendakan oleh kita sendiri! Kita akan berjaya, maju dan bermaruah jika kita tidak mengutuk sesama sendiri.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.2.2016. 




Tuesday, February 2, 2016

SEBUAH IKTIBAR



ADA RAHSIA DI SEBALIK KEMALANGAN
SEMALAM, saya baharu sahaja mengalami kemalangan! Alhamdulilah. Alhamdulilah? Ya, alhamdulilah kerana ia hanya kemalangan kecil. Saya sedang memandu pulang ke pejabat selepas minum petang. Ketika itu saya berada di bulatan di hadapan pejabat saya. Kerana mengagak kereta di hadapan sudah meluncur, terus sahaja saya menekan minyak dan… bum!
ALLAH! Kuat sekali dentumannya! Namun saya tidak terkejut bila terpandang belakang kereta Honda putih yang saya hentam itu tidak kelihatan remuk. Kami sama-sama mengalihkan kenderaan di sisi jalan. Dalam fikiran saya sudah terbayang apa reaksi si pemandu itu. Muncul seorang lelaki muda dalam usia 20-an. Tubuhnya boleh tahan segaknya. Orang sekarang kata, sado.
Saya nampak dia serius. Tetapi, saya terperasan yang raut wajahnya seiras dengan salah seorang staf di pejabat bernama Soberi.  Saya sudah bersedia untuk mendepani apa yang akan berlaku kerana saya tahu sayalah yang bersalah. Kalau dia nak marah saya, marahlah. Saya akan terima seadanya. Orang kata, berani buat, beranilah tanggung.
‘Maafkan saya. Sesiapa pun tidak mahu benda macam ini terjadi,’ ucap saya dengan suara yang sedikit tinggi untuk mengatasi kebisingan kenderaan yang  lalu-lalang. ‘So macam mana?’ tanya beliau ringkas. ‘Kita buat laporan?’ tanya saya. ‘Report ni cerewetlah,’ katanya. ‘Kita settle sendiri?’ cadang saya dan dia mengangguk. ‘Saya pernah langgar kereta orang, macam ini jugak,’ ujarnya secara tiba-tiba. Oh, patutlah dia tampak tenang. Rupa-rupanya dia pernah berada di kedudukan saya sebelum ini.
Saya lihat kereta saya. Nampak okey kerana hanya pletnya yang patah dan sedikit calar di bahagian hadapan. Sebaliknya, bumper keretanya pecah dan perlu diganti.  Kami bertukar nombor telefon dan nama. Kata Shahril, dia akan menghantar keretanya di bengkel yang dipilihnya sendiri. Dalam masa kurang lima minit, kami sudah bergerak ke haluan masing-masing.
Tatkala memandu, saya terbayang kembali wajah Shahril. Oh! Saya teringat yang wajahnya yang seiras dengan wajah Soberi, salah seorang staf saya di SinarTV. Saya punyai banyak sekali pengalaman yang menunjukkan orang yang punyai raut wajah yang seiras, punyai karakter yang serupa. Mungkin kerana itu saya berasa relaks apabila berdepan dengan Shahril.
Apabila sampai di pejabat, beberapa orang staf yang perasan akan kecacatan kereta saya mula memeriksanya. Tatkala itu baharulah saya sedar yang kereta saya punyai kerosakan yang sedikit serius. Hudnya tidak boleh dibuka! Lantas saya teringatkan bagaimana keadaan kereta Shahril yang saya langgar itu. Terus sahaja saya menelefon beliau. ‘Kereta awak ada kerosakan lain tak? Hud kereta saya tak boleh dibuka!’ Saya memberitahunya. ‘Bonet kereta saya pulak tak boleh dibuka! Ha, ha!’ Saya terkedu seketika bila dia tertawa. Menganggap lucu bila kereta kami punyai kerosakan yang serupa. Bonetnya dan hud kereta saya tidak boleh dibuka.
Kemudahan WhatsApp membolehkan saya mengenali Shahril. Lalu saya mengirim mesej untuk menawarkan dia memperbaiki keretanya di bengkel kenalan saya. Tetapi, dia mengatakan biarlah dia menghantar keretanya ke bengkel kenalannya. Tidak terlintas dan bimbang kalau-kalau dia mengambil kesempatan untuk meningkatkan kos memperbaiki kenderaan kerana berasa yang dia budak baik.
Bila saya merenung kembali ke atas apa yang berlaku, saya tertanya diri, bagaimana ya… kemalangan yang lazimnya boleh menyesakkan fikiran boleh berubah menjadi sebuah persahabatan baharu? Saya sendiri tidak faham dengan aturan Yang Maha Kuasa. Terus terang, saya tidak mempersiapkan minda untuk berdepan dengan suasana tegang tatkala kemalangan itu terjadi. Tiada zikir panjang, tiada persediaan untuk berhujah, malah tidak bersedia untuk bertengkar mempertahankan diri. Malah, saya relaks hingga terlupa yang saya seorang penghidap hipertensi yang akan mudah naik darah. 
Mungkin sekali kerana saya dan Shahril pernah sama-sama mengalami kemalangan sebelum ini. Kerana itu kami lebih bersedia untuk menanganinya dengan cara ringkas dan berdiplomasi. Alah bisa, tegal biasa. Meskipun ia bukan sama sekali bermaksud bahawa saya sudah tiada punyai perasaan apa-apa apabila berdepan dengan kemalangan, namun saya dapat rasakan yang saya lebih tenang pada kali ini. 

Berbalik kepada hal Shahril, mesej melalui WhatsApp itu berpanjangan hingga saya bertanya tempat kerjanya. Terus sahaja dia menjawab yang dia bekerja di sebuah restoran di Shah Alam lalu mengajak saya menjamu selera di restorannya. Katanya, hidangan char kuey teownya memang sedap. Saya membalas mesejnya dengan berkata yang saya akan singgah ke restoran tempat kerjanya dalam waktu terdekat. Sedekat malam semalam!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.2.16.