Tuesday, February 23, 2016

LONG TERM PLANNING IS ABSOLETE!


Piccredit: stencilrevolution.com

RELEVANKAH LAGI SEBUAH WAWASAN?

BANYAK pihak membicarakan kritik Tun Musa Hitam yang mendakwa Wawasan 2020 akan menemui kegagalan. Dalam sebuah majlis memperingati ulangtahun ke-113 Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman baru-baru ini, beliau berkata, wawasan cetusan Tun Mahathir itu tidak akan mencapai matlamatnya kerana kegagalan beliau melatih pemimpin pelapis untuk menyudahkan wawasan yang hebat itu.

Ada pihak yang mengiyakan dakwaan Tun Musa Hitam itu. Tidak kurang pula yang mengatakan bahawa Wawasan 2020 masih boleh berjaya kerana ada sebahagian daripada matlamatnya seperti mewujudkan masayarakat yang berjiwa bebas, demokratik dan matang sudahpun tercapai apabila mutakhir ini, kita melihat masyarakat yang kian berani bersuara.

Bagaimana pun, jika kita lihat Wawasan 2020 sebagai salah satu daripada berpuluh-puluh perancangan jangka panjang kerajaan, kita akan dapati kebanyakan dasar-dasar yang diperkenalkan itu hilang ditelan masa, mati tidak berkubur. Kalau ada pun, ia timbul tenggelam ~ sekejap ada, sekejap tidak ada.

Di antara dasar yang pernah diperkenalkan tetapi sudah lama tidak tidak disebut-sebut lagi termasuklah Dasar Pandang ke Timur, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Penswastaan. Ini tidak termasuk perancangan jangka panjang yang lain seperti konsep Rukun Negara, Belilah Barangan Malaysia, malah konsep Malaysia Boleh itu sendiri pun kian jarang kedengaran. Ada kemungkinan, dasar serta konsep ini sudah tidak diteruskan lagi atau tidak diberi perhatian secara serius.

Mengapa ia jadi begitu? Ia berkeadaan sedemikian kerana pihak yang bertanggungjawab menggemblengnya tidak berjaya menyampaikan inti dasar itu kepada seluruh anggota pasukan pelaksana. Akhirnya, dasar dan konsep itu hanya tinggal pada namanya. Kita boleh lihat begitu banyak dasar dan konsep jangka panjang yang telah dirumus itu hanya kelihatan bergerak pada peringkat awal. Kian masa berlalu, ia semakin dilupakan.

Sebenarnya, dasar atau konsep jangka panjang yang hilang seri dan gahnya itu bukan sahaja berlaku di sektor kerajaan, malah melibatkan dasar-dasar di syarikat korporat serta organisasi bukan kerajaan. Berapa banyak syarikat korporat yang punyai perancangan korporat dalam jargon pengurusan yang dikenali sebagai  strategic management? Warga korporat diuar-uarkan dengan misi, visi dan objektif syarikat. 

Tatkala sesebuah mission statement korporat itu dimaktub, seluruh warganya menghafal dan mewiridkannya dalam bentuk ikrar, sumpah dan lagu. Tetapi lazimnya hanya sekejap.   Setelah sebulan dua berlalu, segala-galanya balik asal. Matlamat syarikat korporat biasanya menjurus kepada satu hala iaitu memaksima keuntungan. Targetnya naik dan naik dan naik.

Jika berlaku sedikit masalah yang menjejas pendapatan, jalan pantas dan pintasnya ialah mengurangkan perbelanjaan dengan apa cara sekali pun termasuk mengecilkan operasi dan membuang kakitangan. Misi dan visi yang muluk-muluk itu dilupakan kerana apa yang perlu dilakukan secara semerta ialah supaya syarikat tidak tenggelam.

Badan-badan bukan kerajaan pula lain ceritanya. Tatkala organisasi mula tertubuh, segala objektif sejagat disusuri dengan penuh berhati-hati. Tetapi, apabila menjadi sebuah badan yang popular, banyak dasar asal diketepikan kononnya supaya organisasi yang berkembang itu menjadi pragmatik.  Akhirnya, yang tinggal hanyalah slogan dan uniform persatuan.

Apa yang menjadi masalah kepada dasar berpandangan jauh kerajaan, korporat mahupun NGO hingga ia tidak kekal bertahan? Apakah ia kerana kelalaian pihak yang menggubalnya? Sebenarnya, kita berada di zaman pergolakan perubahan. Rentak dan tempo perkembangan serta perubahan iklim sosio ekonomi dan psikologi manusia itu sendiri kian berubah hampir di setiap detik.

Apabila teknologi sudah berada di genggaman tangan dalam bentuk telefon pintar, perhatian kita sentiasa teralih. Pada hari ini,  bos yang mempengerusi mesyuarat itu sendiri tidak dapat mengelak diri daripada mengalih perhatian kepada kepada aksara, imej dan suara yang tiba di telefonnya.

Kehidupan kita sendiri pun sentiasa diterjah hingga hilang fokus. Daripada pemimpin hingga ke rakyat, majikan hingga ke pekerja, yang kaya hingga ke yang miskin, yang dewasa hingga ke golongan kanak-kanak, kita semua makin sukar memandang jauh ke hadapan kerana setiap langkah kita sentiasa dipintas oleh apa sahaja yang memesongkan?

Justeru, apakah perancangan jangka panjang bertahun-tahun ke hadapan itu boleh terjamin suksesnya? Atau kita perlu mengubah pendekatan perancangan? Tiada lagi strategi jangka panjang. Cukup sekadar taktik jangka pendek untuk menjamin kelestarian langkah menuju matlamat.


No long-term plans... only short-term goals!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Haraian esok, 24.2.16.

No comments:

Post a Comment