Tuesday, July 26, 2016

ITULAH IBU



PICCREDIT: bambangwahyu81.wordpress

BUAT IBU YANG JAUH AKU TINGGALKAN

ORANG kota biasa menyambut hari raya hingga ke penghujung Syawal. Malah, mungkin terbabas sehari dua memasuki ke bulan Zulkaedah. Pada hari-hari Sabtu dan Ahad, jalan-jalanraya utama kota akan sesak kerana masing-masing membuat ziarah ke rumah saudara mara yang selalunya tinggal di hujung kota.

Maka kenderaan pun bersimpang-siur dan berderet-deret merentasi kota. Ditambah pula dengan rumah-rumah terbuka syarikat-syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang turut dihadiri oleh lain-lain kaum, sesak jalanraya mengalahkan jem pada hari-hari kerja.

Sambil menikmati juadah aidilfitri di sebuah rumah terbuka, saya bertukar-tukar cerita dengan Sharif, seorang jiran yang kampungnya di Tarom, Johor Bahru. Katanya, dia empat beradik pulang ke kampung ibubapanya bersama keluarga masing-masing. Mereka semua sepakat dalam penggiliran dengan isteri yang membolehkan mereka berempat pulang serentak pada tahun ini.

Dalam menceritakan hari raya yang penuh ceria tetapi nostalgik di tempat kelahiran, dia terkilan dengan apa yang terjadi pada emak akibat terlalu seronok bila dapat bermanja dengannya. Masing-masing bukan sahaja setakat pulang dengan angkatan keluarga seramai 25 orang, malah tidak beriya-iya meminta emak memasak masakan hariraya kegemaran mereka seperti mereka kanak-kanak dahulu.

Mereka mahu ketupat yang emak anyamkan sendiri kerana cantik bentuknya. Mereka mahu emak masak ketupat di tepi rumah sebab mereka boleh mengintai dari tingkap seperti sewaktu mereka kecil dahulu. Emaklah yang berjaga malam menanti ketupat masak, termasuk menukar airnya. Emak jugalah yang menggantung ketupat di dawai ampaian baju. Lepas itu, emak potong bawang, kacang panjang, lobak, kentang, sengkuang untuk dibuat lodeh. Kemudian emak perap ayam dan sediakan rempah ratus untuk dibuat rendang pada keesukan harinya. Sharif?
Dia, isteri dan anak-anak berlingkar di depan televisyen menonton siaran. Adik beradik yang lain sudah pulang ke hotel berdekatan. Maklumlah, rumah kecil itu tidak boleh memuatkan semua ahli keluarga kecuali keluarga Sharif. Pada hari raya, mereka makan sepuas-puasnya hingga bertambah-tambah. Maklumlah masakan emak memang sedap. Seluruh anak-anak dan isteri masing-masing pun memang suka dengan air tangan emak.

Masuk hari kedua Syawal, mereka berempat minta emak memasak lauk kegemaran mereka ~ betik masak air, sambal ikan bilis dan ikan kering. Mujur, emak guna periuk-periuk besar yang mereka bawa balik. Jika tidak, berapa kali entah emak Sharif perlu masak untuk menghidangkan masakan untuk mereka.

Sambil makan, mereka memuji masakan emak. Sambil mengunyah mereka menambah nasi. Sambil bersembang mereka tak perasan berapa kali emak ke dapur menyenduk nasi tambah. Orang tua itu hanya tersenyum puas hati melihat anak-anaknya makan dengan penuh berselera.

Tetapi mereka tidak sedar yang emak mereka tidak punyai tenaga seperti 50 tahun dahulu. Emak sudah tua. Sudah kurang kederat, kata orang. Tetapi melihatkan anak-anak kesayangan pulang bersama anak menantu dan cucu-cucu, orang tua itu menggagahkan dirinya untuk menggembirakan anak-anaknya seperti 10 tahun lalu, seperti 20 tahun lalu, seperti 30 tahun lalu, seperti 40 tahun lalu dan seperti hari itu.

Bila mereka pulang meninggalkan emak bersama berkotak-kotak biskut raya, empat persalinan baju raya, tudung dan selendang serta wang, mereka berasa mereka telah lakukan yang terbaik buat emak. Mereka fikir, mereka telah menggembirakan emak. Walhal, mereka tidak sedar yang mereka hanya menggembirakan hati mereka sendiri tanpa peduli apa kesukaran yang emak lalui.

Emak… di matanya masih melihat anak-anaknya itu seperti anak-anak kecil seperti dulu-dulu. Dia ingin memuaskan hati anak-anaknya seperti sentiasa. Dia mahu peluk tiap seorang anaknya di celah ketiaknya dan mendodoikan anak-anaknya hingga terlena. Dia tidak rasa pun yang anak-anaknya sudah besar, beristeri dan beranak-pinak. Itulah imej anak-anak yang terpahat di mindanya apabila mereka pergi meninggalkannya.

Malang bukan, apabila anak-anak yang sudah besar panjang masih menagih kasih sayang yang berbaki dari emak. Sepatutnya, mereka pulalah yang patut mencurahkan kembali kasih kepada emak hingga wanita itu tersedar yang anak-anaknya sudah besar dan mengambil giliran menjaganya pula. Jika demikian keadaannya, baharulah emak bukan sahaja gembira, malah bahagia hingga menutup mata.


‘Okeylah. Aku nak ke hospital,’ kata Sharif. ‘Dia jatuh kat bilik air sebab kepenatan. Aku yang bawak dia dari kampung. Lepas ni, dia duduk dengan aku.’ Aku mengangguk mendengar ceritanya penuh mengerti.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 27.7.16 di akhbar Sinar Harian...

Tuesday, July 19, 2016

BILA KITA MEMBERI, JANGAN TANYA BERAPA ORANG LAIN KASI



Piccredit: amiro82.blogspot

UNTUK AKTIVIS SOSIAL
YANG BAHARU

SAYA ke rumah seorang sahabat saya Badrul untuk beraya. Tiba ke rumahnya, dia memberitahu hendak ke surau berdekatan kerana ada sambutan hari raya. Dia perlu hadir ke majlis itu kerana dia adalah ahli jawatankuasa surau. Salah saya juga kerana terus redah ke rumahnya tanpa bertanya samada dia ada program lain ataupun tidak. Tetapi, Badrul mengajak saya sekali berhari raya. Saya ikut sahaja, sebab yang penting hendak bertemu dan bersembang dengannya walau di mana pun dia berada.

Setibanya di surau, saya nampak ramai sekali mereka yang datang. Ramai yang berpakaian sedondon mengikut tema keluarga. Masing-masing membawa juadah dari rumah meskipun pihak surau sudah menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman. Sambil menjamah nasi himpit dan kuah kacang, Badrul sempat memberi komen tentang betapa ramainya ahli kariah yang datang pada petang itu. Melebihi 300 orang, tidak termasuk kanak-kanak. Katanya, untuk sebuah surau yang saf solatnya hanya dua pada hari-hari biasa, jumlah hadirin pada petang itu adalah luarbiasa.

Dia sempat bercerita, kehadiran jemaah pada bulan Ramadan pun hanya ramai pada awal Ramadan. Menjelang pertengahan membawa ke akhir bulan itu, jumlah jemaah semakin sedikit, hanya tiga saf untuk solat Terawih. Katanya, jawatankuasa masjid sudah tiada idea bagaimanan untuk menarik sekian ramai ahli kariah untuk program-programnya.

Jika dibuat acara ceramah, ada segolongan yang datang. Bila dianjur hari sukan, golongan lain pula yang hadir. Jika dibuat program jualan, kursus jenazah, gotong royong dan seumpamanya tidak semua yang menyertainya. Pendek kata, ada kumpulan yang suka acara ilmu, yang suka acara kebajikan, yang suka aktiviti sukan ataupun gotong royong. Payah sekali dapat menghimpunkan semuanya pada satu-satu masa seperti pada majlis hari raya ini.

Memang benar kata-kata Badrul. Di mana-mana surau atau masjid pun keadaannya sudah jadi begitu. Malah, dalam apa jua aktiviti anjuran syarikat, jabatan kerajaan, NGO dan parti politik, memang bukan semua yang akan hadir. Masing-masing akan punyai sebab untuk tidak datang. Mungkin kerana ada program lain, mungkin ada aral melintang atau semata-mata tiada minat terhadap sesuatu aktiviti itu.

Inilah fenomena yang terjadi pada hari ini apabila kita menjadi semakin individualistik. Tidak payah kita beri contoh yang jauh. Cukup sekadar melihat betapa asyiknya kita dengan telefon masing-masing. Dan, apa yang ditatap oleh setiap daripada kita itu sendiri pun hampir kesemuanya tidak sama. Walaupun sama minat pada Facebook umpamanya, apa yang dilayani itu pasti mengenai minat masing-masing. Ada yang suka memapar status diri, berkongsi resipi masakan, video pelik, music, madah, foto unik dan apa sahaja.

Memang keadaan sebegini memisahkan kita dengan orang lain meskipun duduk bersentuh bahu. Namun, begitulah keadaan kita pada hari ini. Justeru itu, jika kita ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang perlukan sokongan ramai, ia mungkin tidak terjadi kerana masing-masing punyai kesibukan tersendiri. Tetapi apa yang boleh dilakukan ialah bentuk sumbangan yang boleh masing-masing lakukan mengikut kemampuan mahupun kepakaran.

Misal kata, jika kita ingin membuat kunjungan ke rumah anak-anak yatim, janganlah mengharap semua ahli persatuan, rakan sejabatan mahupun semua ahli kariah akan dapat turut serta. Oleh kerana masing-masing punyai kesibukan mahupun prioriti aktiviti mereka, apa yang perlu diperoleh agar semua mereka itu terlibat ialah dengan mempelbagai bentuk sumbangan, samada masa, tenaga dan material.

Mungkin sekali ramai yang tidak punyai masa. Tetapi sebilangan daripada mereka punyai tenaga. Mereka boleh menyumbang dengan memviralkan program yang dianjur melalui laman sosial bagi mendapat derma. Ataupun mereka boleh membantu membeli barangan keperluan di pasaraya sebagai barangan untuk disedekahkan. Atau boleh meminjamkan van mahupun MPV untuk digunakan. Ramai juga yang tiada punyai masa dan tenaga tetapi punyai wang ringgit sebagai derma atas nama organisasi kita. Akhirnya, walaupun hanya kita yang dua-tiga orang tiba  ke rumah anak yatim, kita hanya menyampaikan hasrat 100 orang insan lain yang tidak berkesempatan untuk tunjuk muka sebagai tanda prihatin terhadap golongan itu.

Ingat tak pada kata-kata nasihat orang Negeri Sembilan mengenai peranan unik anggota masyarakat yang di antaranya berbunyi, “yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam, yang capek menghalau ayam, yang kurap menyiang buluh.”

Kesimpulannya, adalah bagus andainya kita tidak berkira dengan masa yang mampu kita sumbangkan, Namun, jangan pula mengira mengapa nilai sumbangan orang lain tidak seperti kita.

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.
















Tuesday, July 12, 2016

PILIH KERJA ASALKAN HALAL


Piccredit: iasaglobal.org

KERJA APA
YANG KITA PILIH?

DALAM pada suasana susah mendapat kerja, masih ramai lagi di kalangan anak-anak muda yang masih memilih kerja. Mereka percaya bahawa sesuatu bidang yang ingin diceburi itu mestilah yang sesuai dengan jiwa, bukan sebaliknya.

Siapa pula yang memberi pandangan bahawa ada kerja-kerja yang baik, dan ada kerja-kerja yang kurang baik semata-mata kerana rupa fizikalnya? Tidak boleh tidak, seseorang itu mempunyai tanggapan yang tidak tepat mengenai sesebuah profesion itu adalah kerana pengaruh orang di sekeliling, khususnya orang dewasa. Pendek kata, ibubapa sendiri!

Minat anak-anak terhadap sesuatu bidang yang dianggap tidak punyai masa depan itu akan disanggah oleh ibubapa. Mereka percaya, bidang-bidang yang menjadi pilihan oleh kebanyakan orang lain itu adalah sesuatu yang selamat dan boleh menjamin masa depan.

Contoh yang dipaparkan dalam filem Ibu Mertuaku arahan P. Ramlee memaparkan minat seorang pemuda Kassim Selamat dengan muzik. Oleh kerana profesionnya sebagai ahli muzik dan bukannya lawyer, magistret mahupun doktor, cinta seorang gadis bernama Sabariah terhadap Kassim Selamat itu ditentang oleh ibunya Nyonya Mansur. Meskipun mereka telah berkahwin, akhirnya kedua-dua Sabariah dan Kassim Selamat hidup merana kerana campur tangan si ibu mertua.

Dahulu, masyarakat biasanya mempunyai sesebuah pandangan mulia atau tidaknya terhadap sesebuah profesion. Sebelum merdeka, oleh kerana sebahagian besar dari kalangan anggota masyarakat masih belum berpendidikan, profesion gurulah yang menjadi sanjungan. Cikgu dipandang satu-satunya jawatan yang hebat. Mereka dihormati dan tidak kurang dari kalangan mereka yang diangkat menjadi pemimpin.

Kerja sebagai Pegawai Daerah itu juga adalah jawatan yang dihormati kerana mereka membawa bayangan raja, atau penghulu yang memerintah sesebuah daerah. Jawatan polis dan askar juga menjadi sanjungan kerana ketika itu adalah zaman tidak menentu selepas perang dunia. Mastarakat berasa selamat jika terdapat di kalngan mereka yang berjawatan askar mahupun anggota polis.

Begitu juga jawatan doktor, kerana mereka dianggap penyelamat nyawa. Ketika itu banyak sekali penyakit yang kita anggap biasa pada hari ini adalah penyakit yang amat berbahaya. Demam malaria, batuk kering dan taun adalah penyakit berjangkit yang boleh tercetus menjadi wabak. Kehadiran doktor menjadikan mereka berasa selamat.

Kian masa berlalu, pandangan masyarakat mula berubah. Seiring dengan pembangunan negara, jawatan-jawatan yang asing di kalangan masyarakat seperti jurutera, akauntan dan akitek mula menjadi pilihan profesion anak-anak muda. Pandangan masyarakat terhadap profesion ini semakin tinggi apabila mereka memegang jawatan tinggi di dalam organisasi.

Apabila tiba era IT, maka apa sahaja jawatan yang berkaitan dengan komputer menjadi pilihan. Anak-anak yang menjadi seorang jurutera komputer, penganalisa sistem, mahupun mereka yang mahir dalam membaik pulih komputer itu pula dikagumi. Bidang komputerlah yang pasti menjamin masa depan.

Kini, segala-galanya sudah berubah sama sekali. Perkembangan teknologi yang menjadikan dunia ini tiada punyai sempadan pengetahuan telah menjadikan bidang yang tiada glamornya menjadi profesion yang menjadi pilihan anak muda. Siapa pernah terfikir, jawatan tukang masak menjadi pilihan ramai apabila ia dikenali dengan nama glamor ~ chef? Siapa boleh terfikir, jawatan tukang urut menjadi suatu jawatan profesional iaitu physiotherapist?
Bagaimana pula jawatan sebagai ustaz yang dahulunya hanya di sekolah pondok, pada hari ini boleh menjadi begitu popular, disanjung dan dikagumi? Jawatan motivator yang pada suatu ketika dahulu hanya setakat berceramah di sekolah-sekolah kini menempatkan mereka di dewan-dewan besar hingga mereka boleh berceramah di merata dunia?

Sedikit demi sedikit, apa sahaja profesion halal yang menjadi pilihan sudah tidak dipandang sinis apatah lagi dicemuh. Kerja sebagai petani yang menanam serai, buah naga mahupun harumanis kini dihormati. Begitu juga nelayan, apabila mereka ke laut dalam. Mereka yang berniaga tudung, minyak wangi, kek, acar, sambal dan buku secara online pun sudah kaya raya. Pendek kata, apa sahaja bidang yang boleh menyara hidup, malah menjana pendapatan lumayan akan menjadi pilihan. Tidak ada istilah kerja-kerja itu kotor atau tidak glamor. Pandangan masyarakat terhadap profesion ini sudah berubah.


Rugilah mereka yang masih berpegang pada pandangan bahawa hanya kerja kolar putih, duduk di bilik-bilik berhawa dingin sahaja yang dipandang tinggi. Itu pandangan lapuk dan sudah tidak relevan. Mereka yang begitu sudah ketinggalan dari segi persepsi ~ persepsi bahawa orang akan peduli dengan mereka yang berpakaian lawa. Sedangkan banyak kerja yang berpakaian comot itu mereka yang berpoket tebal. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.7.16.