Tuesday, September 27, 2011

UBAH FIKIRAN, BUKAN SUASANA


Photo credit: newthoughtgeneration.com

INDAHNYA BILA
MENCARI MAKNA


SAYA baru sahaja duduk untuk makan tengahari di sebuah restoran apabila lagu Gadis Melayu nyanyian Jamal Abdillah berkumandang di kaca televisyen. Lantas saya memandang Sazli yang sedang menyuap nasi. Walaupun tadi, dia kata dia lapar dan kerana itu saya beri dia peluang menceduk nasi dan makan dahulu, namun kini saya nampak nasi yang disuapnya bagai tersekat di halkum.

“Apa khabar dengan Ayzura?” tanya saya. Sazli hanya menggeleng tanpa memandang wajah saya. Kening saya terangkat kerana sedikit hairan. Sebenarnya lagu Gadis Melayu adalah lagu kesukaan Sazli. Apabila dia berkenalan dengan Ayzura, ‘seorang gadis Melayu terakhir’ kerana keayuan dan kelembutannya, Sazli semakin kerap menyanyikan lagu itu terutama sekali apabila pulang berdating.

Apabila kami tamat pengajian, saya tahu Sazli dan Ayzura sedang hangat bercinta. Saya gerenti Sazli akan mengahwini ‘gadis Melayunya’ itu. Dan, bila bertemu Sazli tengahari ini setelah 10 tahun berpisah, soalan saya mengenai Ayzura bila terdengar lagu di TV itu tentulah bertanyakan gadis Melayunya bernama Ayzura yang kini isterinya. Tetapi…

“Gadis Melayu aku tu dah kahwin dengan mat salih!” kata Sazli perlahan sebelum meneguk sirap. Nyata sekali lagu Gadis Melayu sudah menjadi kenangan yang mengusik jiwa Sazli. Jika sebelum ini lagu itu menjadi siulan Sazli kerana kerancakan temponya, kemudian menjadi nyanyian kerana beliau telah menemui gadis Melayunya, kini irama lagu itu umpama duri yang merobek kembali luka di hatinya. Betapa lagu Gadis Melayu itu telah memberi tiga makna kepada Sazli.

Dalam melihat makna kepada sesuatu peristiwa itu, kita juga mempunyai makna yang berbeza bila ia dialami pada waktu yang berlainan. Sambal belacan adalah sejenis makanan yang tidak disukai seseorang sewaktu kecil kerana pedasnya. Apabila meningkat dewasa ia adalah kesukaan pula kerana membuka selera. Kini, sambal belacan menjadi makanan pantang kerana seseorang itu sudah tidak boleh memakannya kerana mengalami alahan resdung.

Makna bagi sesuatu perkara itu boleh juga berbeza daripada seorang kepada seorang yang lain. Umpamanya, hujan itu bermakna bagi petani kerana ia akan menyuburkan tanamannya. Hujan bagi kanak-kanak adalah waktu yang seronok untuk bermain. Hujan bagi kebanyakan daripada kita yang bekerja pula adalah penghalang pergerakan seharian kita.

Soalnya, mengapa kita perlu mencari makna terhadap apa yang kita lalui? Hidup kita yang terlalu tersusun pada hari ini menjadikan kita umpama robot. Lebih tiga suku perkara yang kita lakukan setiap hari adalah perkara yang sama dan berulang. Sejak bangun tidur, bersiap untuk bekerja, bersarapan, bergerak ke tempat kerja, bekerja, makan tengahari, bekerja dan pulang ke rumah adalah pola harian yang kita lalui. Waktu yang disukat ini menjadi rutin. Rutin pula membolehkan kita melakukan kebanyakan perkara secara automatik menurut pengalaman hari-hari sebelumnya. Ia akhirnya menumpulkan minat terhadap rutin yang dilalui dan akhirnya kehidupan kita menjadi hambar.

Salah satu cara untuk menghidupkan minat terhadap apa yang dilakukan ialah dengan mencari makna baru terhadap apa yang dilakukan. Contohnya, seringkali bila ada trafik jem bila kita nak ke pejabat, fikiran kita akan membuat tafsiran yang biasa berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui. Pertama, kesesakan itu berpunca kerana ada kemalangan, kenderaan rosak atau jalan dibaiki.

Bagaimana pun, tidakkah kesesakan lalulintas itu membawa makna, alangkah bersyukur dan bernasib baiknya kita kerana kalau kita cepat, mungkin kitalah yang berdepan dan menjadi mangsa kemalangan itu. Ataupun, bagus juga kerana tuanpunya kenderaan yang rosak itu mengalaminya di tengah-tengah jalan yang sibuk. Kasihannya kalau kenderaannya rosak di jalan yang sunyi kerana tiada orang yang tahu. Atau, baguslah jalan yang dibaiki akan melancarkan lalulintas pada esok hari.

Makna terhadap sesuatu yang dialami itu, meskipun berulang-ulang, perlu dilihat dari kacamata yang sentiasa berbeza. Dan sebagusnya kita perlu lihat perkara itu daripada sudut positif. Barulah ia kreatif. Tanpa mencari makna baru terhadap apa yang dilakukan, kita akan terikat dengan suasana yang tidak berubah.


Hidup akan jadi bosan jika kita asyik lihat apa yang tersurat, tetapi bukan yang tersirat.


Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.9.2011.

Tuesday, September 20, 2011

ALAM GHAIB DUNIA MODEN


Photo credit: seopher.com

TEKNOLOGI YANG
MEMBUANG MASA

KETIKA teknologi manusia masih kuno, pergerakan mereka daripada satu tempat ke satu tempat amat lambat. Kenderaan yang perlahan kerana menggunakan tenaga binatang kemudiannya dipercepatkan dengan tenaga enjin. Tugas memasak bagi suri rumah yang mengambil masa begitu lama dengan menggunakan kayu api, dipermudahkan dengan penggunaan dapur minyak tanah, kemudian dapur gas dan kini memasak diperlekaskan dengan penggunaan oven gelombang mikro.


Kerja-kerja di pejabat yang pada asasnya menggunakan mesin taip yang lambat sudah diganti dengan menggunakan komputer. Salinan dokumen yang pada asalnya menggunakan kertas karbon yang boleh membuat paling banyak tiga salinan terang, dengan mudah sahaja digandakan kepada beratus-ratus helai melalui mesin fotostat.


Kehidupan seharian manusia yang perlahan itu dipercepatkan dengan kemodenan pengangkutan. Penggunaan barangan seharian konsumer dan peralatan pejabat pula diperkemas menggunakan elektrik. Mesin dan jentera besar pula menggunakan kuasa enjin bagi memudahkan manusia menyudahkan urusan dalam masa yang lebih pantas daripada biasa.


Malangnya, semakin singkat masa yang manusia gunakan untuk melakukan sesuatu, terjadi pula masa dan fokus manusia yang teralih dengan hal-hal lain. Pada tahun-tahun 40an lagi, tumpuan manusia terhadap apa yang dilakukannya itu dikatakan terganggu dengan kemunculan perang pemasaran melalui iklan. Iklan muncul di mana-mana sama ada di radio, televisyen, akhbar, papan tanda, bill board, sepanduk dan poster di tempat-tempat jualan di pasar raya.


Kemunculan televisyen kabel yang mula popular pada dekad 50an, diikuti dengan televisyen satelit pada dekad 60an itu menjadi lebih hebat dengan kemunculan konsep pemberitaan 24 jam pada era 80an CNN. Di negara kita, siaran telivisyen setelit menjadikan tumpuan kehidupan seharian kita dipengaruhi dengan siaran tanpa henti.


Penggunaan internet pada tahun 80an pula meletuskan satu fenomena komunikasi pada era 90an. Dunia diistilahkan sebagai komuniti global. Istilah yang sebelum ini hanya dikonotasikan kepada kumpulan kecil masyarakat yang seragam citarasanya, kini digunakan untuk menggambarkan masyarakat global yang mempunyai satu identiti. Betapa internet telah mengecilkan sempadan fizikal yang dahulunya dibatasi dengan gunung, padang pasir, sungai dan lautan kepada dunia yang tanpa sempadan.


Apabila dunia internet meletuskan fenomena komunikasi tanpa sempadan fizikal melalui ruang dan jarak, tanpa disedari, kita seolah-olah disedut ke dalam lohong hitam alam siber yang manusia sendiri cipta. Kini, kehidupan seharian kita sentiasa diterjah dan diacah dunia alam siber. Jika sebelum ini, dunia internet membolehkan kita meluncur laju dari laman ke laman web di alam siber, pelayaran kita diperlahankan dengan kemunculan dunia blog. Melalui dunia blog, kita mula gemar berjalan ke sana ke mari dengan apa yang dinamakan sebagai blogwalking.


Kemunculan laman sosial melalui laman-laman forum, facebook dan akhirnya twitter menjadikan kita tidak sahaja berjalan, malah mundar-mandir bertemu dan bertegur sapa dengan kawan-kawan di alam siber. Akhirnya, kita sudah tidak ada masa peribadi lagi. Dunia yang perlahan dahulu dipantaskan dengan teknologi, kini kembali diperlahankan dengan teknologi juga.


Pada hari ini, sebuah keluarga boleh duduk semeja menghadap hidangan malam, tetapi masing-masing sebenarnya tenggelam timbul di dunia siber masing-masing. Di pejabat, kalau dahulu kebosanan diri menghadiri mesyuarat dilayan dengan contengan-contengan di kertas minit mesyuarat, kini tumpuan teralih dengan pelbagai cerita tentang bola, fesyen, gosip artis atau apa sahaja bersama kawan beribu kilometer jaraknya melalui internet.


Secara zahirnya kita tampak bersendirian di khalayak ramai, tapi rupa-rupanya kita bising dalam kesunyian. Hubungan kita dengan manusia lain secara fizikal telah berubah menjadi perhubungan dengan beribu-ribu kawan di alam ghaib siber. Kerana asyik tenggelam timbul berselang-seli di antara dunia realiti dan dunia siber, ada di antara kita bagai orang yang gila isim bila tidak dapat mengawal di alam manakah dia berada. Apa yang dahulunya bertujuan untuk menjimatkan masa rupa-rupanya membuang masa bila kita hilang fokus dan hilang prioriti.


Ironinya, kecanggihan teknologi siber pada hari ini membolehkan kita berada di mana-mana sahaja di dunia ini kecuali di tempat kita berdiri pada saat ini.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.9.2011.

Tuesday, September 13, 2011

UCAPAN ITU DOA


Photo credit: korblaw.com



FIKIR SAHAJA
APA YANG KITA MAHU

BARU-BARU ini, saya bertemu dengan Dr. Khairil seorang jiran lama. Banyak yang kami perbualkan. Sambil bertanya mengenai kliniknya di Seremban, saya berkata, selepas raya tentulah kliniknya didatangi ramai pesakit. Sambil mengiyakan, dia menjawab ramai yang datang mengadu batuk, selsema, demam dan cirit-birit. Pesakit-pesakit yang serius tidaklah ramai, tetapi kalau ada biasanya kes-kes kecemasan seperti kemalangan, kes jantung dan darah tinggi.

Menurut Dr. Khairil lagi, dari kalangan pesakitnya, terdapat juga mereka yang sebenarnya tak sakit, tetapi berfikir yang mereka sakit. Mereka adalah pesakit yang datang berulang-kali ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang sama. Biasanya, mereka mengadu pening kepala dan sakit-sakit badan. Untuk mereka ini, saya akan bertanya satu soalan yang boleh membuatkan mereka jarang datang ke kliniknya lagi kerana sudah hilang sakit!

Kata Dr. Khairil, “Untuk mereka ini, saya akan bertanya mereka… ‘kenapa datang ke klinik saya?’ Jawapan lazim mereka ialah, ‘sebab saya hendak ubati penyakit.’ Kepada mereka ini, saya akan tegur supaya memperbetul jawapan mereka. Ubah sahaja jawapan daripada ‘saya hendak ubati penyakit’ kepada ‘saya hendak sihat.’ Itu sahaja.”

“Walaupun tujuan mereka datang ke klinik saya adalah sama, tetapi terdapat perbezaan jawapan yang benar-benar membantu seseorang itu bukan sahaja berfikiran positif, malah bersemangat. Jawapan ‘saya hendak ubati penyakit’ bertujuan positif tetapi memfokus kepada unsur yang negatif iaitu ‘penyakit.’ Sedangkan jawapan ‘saya hendak sihat’ hanya memfokus kepada yang positif semata-mata.”

“Biasanya pesakit begini sudah tidak datang lagi ke klinik saya. Kalau terserempak di tepi jalan, mereka memberitahu saya yang mereka sudah tidak sakit lagi kerana bukan sahaja mereka berfikiran positif, tetapi memfokus kepada yang positif semata-mata.”

Sebelum berpisah, Dr. Khairil memberikan pandangan yang penting untuk renungan kita bersama. Katanya, pada hari ini, kita di kelilingi terlalu banyak perkataan-perkataan dan perkara yang berunsur negatif, sehinggakan kita menjadi suka kepada perkara-perkara yang buruk.

Saya setuju dengan pandangan beliau. Media massa yang mempengaruhi sebahagian besar daripada kehidupan kita banyak sekali menyampaikan sesuatu yang mempunyai unsur negatif dan melalui perkataan yang negatif juga hinggakan ia menjadi santapan minda kita. Jika kita membuka akhbar dan melihat tajuk berita ‘Seorang Penumpang Maut Kemalangan Bas,’ ia tidak menceritakan 40 lain yang terselamat. Begitu juga, kalau kemalangan yang tidak berlaku pun ditulis, ‘Sekeluarga Nyaris Maut Kereta Terjun Gaung.’ Ia tidak ditulis ‘Sekeluarga Terselamat Kereta Terjun Gaung.’

Lihatlah berita-berita yang mengutamakan yang negatif di televisyen. Hinggakan kita diasuh untuk lebih berminat hendak melihat berita NGO berdemonstrasi, tetapi memandang enteng sebuah berita mengenai 10,000 tawaran kerja kosong berikutan dengan pelaburan sebuah syarikat antarabangsa. Lihatlah juga di alam siber; kisah-kisah yang negatif di blog, facebook dan twitter mendapat lebih banyak komen berbanding dengan tulisan-tulisan yang positif.

Apa hendak jadi dengan kita? Kita semua mengimpikan kehidupan yang baik, aman damai, harmoni, cukup makan pakai dan sejahtera hingga berpindah ke alam yang satu lagi. Tetapi dalam kehidupan seharian, kita seolah-olah ketagih dengan apa sahaja yang negatif. Malah, tidak keterlaluan jika kita lihat usaha kelompok manusia untuk memajukan masyarakatnya dalam bidang politik, ekonomi, sains dan sosial lebih banyak membicarakan mengenai masalah bukannya penyelesaian.

Bicara agama pun lebih banyak berkisar mengenai neraka dan bukan syurga, lebih banyak mengenai dosa dan bukan pahala, lebih banyak yang tidak boleh daripada yang boleh. Bukankah pembicaraan begitu tidak seiring dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sebagai pembawa berita gembira untuk umat manusia? Ucapan itu doa. Kerana itulah, pandangan, fikiran, bacaan dan perlakuan kita sepatutnya hanya yang positif.

Untuk benar-benar berjaya,
kita kena fikir sahaja apa yang kita mahu,
bukannya apa yang kita tidak mahu.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.9.2011.

Tuesday, September 6, 2011

TAHU YANG TAK TAHU


Photo credit: mommyaisy.blogspot

KITA YANG PERNAH
TIDAK TAHU

BERCUTI empat hari untuk pulang ke kampung berhari raya sememangnya merehatkan. Ia melapangkan fikiran yang sentiasa sesak dengan pelbagai hal kerja dan peribadi yang merengsakan. Kerana itu, pada hari mula bertugas kembali, diri ini begitu bertenaga sekali. Saya keluar awal daripada biasa dengan congakan akan sampai ke pejabat sebelum masuk waktu kerja. Jalan raya yang nampaknya lengang telah menjangkau angan-angan saya, apa yang boleh dilakukan di pejabat.


Belum pun habis berangan-angan, tiba-tiba saya memperlahankan kereta apabila terpandang deretan kenderaan bergerak perlahan di hadapan. Mungkin ada halangan kemalangan ataupun ada kenderaan berat di hadapan. Jalan dua lorong yang dilalui tiada ruang untuk memecut.


Bila memanjangkan leher, saya nampak jauh di hadapan, sebuah kereta Kancil berwarna putih yang menjadi punca trafik bergerak perlahan. ‘Siapalah yang pandu slow sangat.’ ‘Orang nak pergi kerja, ni.’ ‘Kalau nak ke pasar, janganlah ganggu orang lain yang nak cepat.’ Hati yang mula bermonolog terasa ingin menyumpah pula. Rasa rimas dan marah datang bersimpang-siur di fikiran. Sakit hati melihat Kancil yang dipandu dengan kelajuan 20 kilometer sejam.


Apabila tiada kenderaan di laluan bertentangan, sebuah demi sebuah kereta di hadapan kelihatan mula memotong, menjadikan kereta saya semakin hampir dengan Kancil itu. Saya sempat melihat ada pemandu yang memotong membunyikan hon ke arah Kancil tadi. Akhirnya kereta saya berada di belakangnya. Alangkah terkilan rasa hati kerana saya melayani bebelan di fikiran tadi setelah terpandang sticker ‘L’ tertampal di bumper kereta itu.


‘Oh, pemandu belum lulus,’ kata hati saya dengan perasaan kasihan. Apabila memotong, saya sempat menjeling ke arah pemandu ‘L’ yang rupa-rupanya seorang makcik. Sterengnya begitu rapat dengan dadanya. Dia sempat membalas jelingan saya dengan wajah gugup. Seolah-olah menanti saya membunyikan hon memperlinya seperti pemandu-pemandu yang lain.


Saya teringat ketika belajar memandu dahulu. Di kalangan teman serumah, sayalah yang paling corot mendapat lesen kerana tidak pernah memegang stereng sebelum memasuki kelas memandu. Akibatnya, saya sering diperli dan diusik sehinggakan saya menyesal kerana lambat belajar. Kerana tercedera emosi akibat disakat kawan-kawan, saya bertekad untuk tidak memperlekeh orang yang memandu dengan lesen ‘L.’


Sebenarnya, dalam kehidupan, ada banyak perkara yang kita baru hendak belajar, sedangkan perkara itu sudah menjadi pengetahuan ramai. Kita baru pandai mengayuh basikal ketika orang lain boleh mengayuh basikal tanpa memegang handlenya. Tatkala orang lain sudah pandai bermain komputer, kita masih terkial-kial mengawal tetikus. Belajar menekap kad ‘Touch and Go’ di tol, mengeluarkan wang di mesin ATM atau kebolehan mengirim SMS mungkin perkara yang ramai orang sudah tahu, sedangkan kita baru hendak belajar.


Banyak juga soal fikiran dan perasaan yang kita baru hendak tahu kendalikan sedangkan bagi orang lain, itu sudah menjadi pengalaman biasa mereka. Pengalaman jatuh cinta boleh menjadi sesuatu yang menghuru-harakan perasaan, sedangkan bagi ramai orang lain, ia adalah sesuatu yang boleh dikendalikan dengan tenang. Kecewa ditinggalkan kekasih, mengucapkan pujian, pengalaman difitnah atau menangisi kematian orang tersayang boleh jadi sesuatu yang baru bagi kita sedangkan ia adalah perkara yang biasa bagi ramai orang lain.


Lambat tahu mengenai sesuatu perkara itu bukan bererti kita bodoh. Belajarlah, dan kita akan menjadi pandai. Pokoknya kita tidak boleh berasa malu untuk belajar meskipun terpaksa menerima leteran atau perli orang yang menjadi guru kita. Dalam pada itu, andainya kita sudah ada sesuatu ilmu itu, janganlah pula kita bersikap riak apatah lagi memperlekeh orang lain yang belum tahu.


Walaupun ada banyak ilmu yang kita tidak tahu, ada banyak lagi ilmu yang kita tahu. Jika direnungi, apakah kita sedar, kita sebenarnya mempunyai beberapa ilmu atau kemahiran yang tiada dipunyai oleh mereka di sekeliling kita? Di situlah kelebihan kita. Namun, dengan ilmu yang ada, kita tidak boleh lupakan zaman jahil kita.


Orang yang bijak ialah orang pandai mencari ilmu. Tetapi orang yang bestari adalah mereka yang tidak lupa kejahilannya.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.9.2011.