Tuesday, December 29, 2009

PANDANG DEPAN, BELAKANG & DALAM!


Foto: thumbs.deramtime.com
KITA TAK PERLU LAGI
BERAZAM TAHUN BARU


HUJUNG tahun. Masa membuat azam baru sudah tiba. Setakat artikel ini ditulis, carian di Google dengan menggunakan frasa ‘resolusi tahun baru 2010’ menunjukkan 176,000 manusia telah melakar resolusi tahun baru 2010 dalam bahasa Melayu. 37 juta yang lain pula telah memperkatakan mengenai new year’s 2010 resolution dalam bahasa Inggeris.

Ramai di antara kita akan mengambil sehelai kertas dan pen. Ataupun membuka komputer lalu menekur di depannya. Menanti ilham mengenai apa azam baru yang hendak dilaksanakan bagi tahun 2010 nanti. Termenung bagai seorang penulis yang hendak melakar episod novelnya.

Mungkin pada tahun 2010, kita hendak menurunkan berat badan, menyimpan duit, belajar bahasa Jepun, berhenti merokok ataupun mula membuka kedai runcit. Apa jua yang terlintas di fikiran akan dicatat. Untuk memperoleh idea dengan bergaya, ada di antara kita tercari-cari idea-idea resolusi tahun baru melalui laman-laman orang lain di internet.

Seolah-olah menulis resolusi tahun baru yang kemudiannya dijadikan azam tahun baru itu boleh direka-reka begitu-begitu sahaja. Sama ada resolusi yang dicatat itu 3, 5 mahu pun 10 resolusi, azam baru yang dirangka sebegitu, biasanya tak akan tahan lama.

Ini adalah kerana, resolusi melalui cara itu, maaf cakap, tidak akan makbul! Tidak makbul kerana kita mencipta azam baru. Bukannya memperoleh inspirasi azam baru melalui apa yang kita lalui. Atau memperoleh idea untuk memenuhi apa yang kurang di dalam diri. Kalau usul, atau sebab musabab tercetusnya azam baru itu dipetik melalui laman web ataupun melalui khayalan, ia tidak akan menjadi.

Akibatnya, apabila bangkit daripada tidur pada minggu kedua Januari, apa yang dihasratkan sebagai azam tahun baru akan hilang seronoknya. Sebabnya, tahun baru mula menjadi lama. Bila semangat tahun baru sudah pudar, azam yang bersandarkan tahun baru akan jadi hambar dan dilupakan. Lihatlah di sekeliling, termasuk kepada diri sendiri; apakah azam tahun 2009 telah kita capai sepenuhnya? Jika tak tergapai, tentu ada silap formula menghasilkannya.

SEBENARNYA, kita kini terlalu terikut-ikut dengan fikiran untuk memandang ke hadapan. Dalam ertikata yang lain ialah menjadi seseorang yang berwawasan. Menjadi seseorang yang mempunyai visi sememangnya bagus, tetapi berfikiran yang begitu sahaja sebenarnya tidak bagus. Ia tak lengkap.

Yang melengkapi fikiran berwawasan ialah berfikiran yang turut memandang ke belakang, iaitu mengamalkan reflective thinking ataupun bertadabbur. Memandang ke hadapan semata-mata tanpa menoleh ke belakang akan mengakibatkan kita akan mengulangi kesilapan yang kita lakukan sebelum ini.

Kesilapan akan menjadi kesalahan bila kita mengulanginya buat kali kedua. Bila kita tidak belajar daripada pengalaman, ertinya kita menolak sejarah diri. Sedangkan memandang ke belakang itu umpama kembali ke pangkal jalan. Atau merentas semula ke jalan kenangan untuk mengutip apa yang tertinggal untuk dibawa bersama dalam meniti hari esok.

Yang menyempurnakan fikiran berwawasan dan bertaddabur ialah contemplative thinking atau bermuhasabah. Bermuhasabah atau merenung ke dalam diri itu akan menginsafkan kerana kita berhubung dengan suara hati. Suara hati itulah yang lebih jujur dan tulus terhadap diri.

Bila ada fikiran yang berwawasan iaitu memandang ke hadapan, bertaddabur atau memandang ke belakang dan bermuhasabah atau memandang ke dalam, maka baharulah apa jua azam dan nawaitu dapat dihasilkan dengan berkesan. Justeru itu, memandang ke hadapan, belakang dan juga ke dalam akan menjadikan sesebuah azam baru itu digenggam dengan penuh istiqamah.

Dan sesebuah azam yang ingin dilaksanakan itu mesti lahir daripada kesedaran dan keinsafan untuk memperbaiki diri. Bukan dilakukan kerana apa-apa ‘sempena’, lebih-lebih lagi sempena tahun baru. Ini adalah kerana azam yang bersandarkan ‘sempena’ itu akan mudah rebah dan pudar ditelan waktu.

Misalnya, azam untuk berhenti merokok dilakukan kerana doktor menasihatkan kita berhenti merokok kerana dikhuatiri mengalami radang paru-paru. Azam belajar bersungguh-sungguh diniatkan kerana takut gagal dan menanggung malu. Atau azam untuk belajar memandu dihasratkan kerana kita ingin membeli kereta tidak lama lagi.

Tidak perlu berazam sempena tahun baru melainkan kerana kita benar-benar ingin melakukannya untuk kebaikan diri sendiri. Justeru itu, mulai tahun 2010, berazamlah untuk tidak berazam tahun baru lagi. Sebaliknya berazamlah kerana kita benar-benar berkeinginan untuk mencapai sesuatu yang diinginkan.

Dengan cara itu, kita boleh sahaja berazam pada bila-bila masa. Azam yang dirancang itu pula boleh dilakukan satu demi satu dan tidak panjang senarainya seperti yang dilakukan oleh berjuta-juta manusia lain di muka bumi ini.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian 30.12.09

Tuesday, December 22, 2009

HIJRAH & REVOLUSI DALAM DIRI


TIGA PENDEKATAN
UNTUK BERUBAH

ALAM semesta mula mengembang sejak langit dan bumi dipisahkan ALLAH s.w.t. (Al-Quran 21:30). Manusia menamakan pemisahan ini dengan The Big Bang Theory. Kajian saintis baru-baru ini telah mendapati bahawa pengembangan ini bukan sahaja masih terjadi, malah kelajuannya semakin meningkat. Ia menafikan tanggapan awal bahawa kelajuan pengembangan alam semesta ini akan menjadi semakin perlahan.

Oleh kerana kita adalah sebahagian daripada alam ini, kita juga mengalami pengembangan. Kejadian kita yang lahir sebagai bayi yang kecil dan kemudian membesar menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa adalah satu bentuk pengembangan atau tumbesaran.

Pada saat kita duduk diam membaca tulisan ini pun, kita sebenarnya sedang bergerak dan berubah. Sel-sel di dalam tubuh tetap membiak dan berkembang. Jika setitik darah kita diperhati melalui mikroskop, kita akan dapati sel-selnya bersimpang-siur dan berkitar laju.
Sebab itulah, jika kita tidak mahu berubah kerana berada di zon selesa, kita sebenarnya telah melanggari tabiat alam yang sentiasa berubah, mengembang dan bergerak. Rugilah sesiapa yang tidak mahu memperbaiki diri sendiri, sama ada daripada segi mental, fizikal dan spiritual.

Berubah daripada yang tidak bagus kepada yang lebih bagus sebenarnya adalah fitrah manusia yang sentiasa inginkan kebaikan di dalam hidupnya. Kita mahu hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Seandainya kita tidak mahu memperbaiki keadaan diri, kita akan menggelongsor, merudum dan terjelepuk di lopak kehidupan yang sama.
Bagaimana pun, berubah itu sendiri perlu caranya. Kalau tidak kena gaya, maka perubahan yang dilakukan itu hanya sementara. Sama seperti resolusi tahun baru yang telah dilupakan belum pun sampai sebulan ia dinawaitukan.

Terdapat tiga pendekatan dalam melakukan perubahan. Perubahan jenis yang pertama adalah berbentuk evolusi dan yang kedua berbentuk reformasi, sementara yang ketiga dalam bentuk revolusi.

Memutar jam lebih awal 15 minit untuk bangun pagi agar tidak lewat sampai ke pejabat, makan sebelum jam 8.00 malam untuk menjaga kelangsingan tubuh atau menahan amarah ketika memegang stereng kereta umpamanya, adalah di antara perubahan-perubahan kecil yang merupakan evolusi diri.

Ia mudah dilaksanakan kerana kita boleh lakukannya hari ini, malah sekarang juga. Bagaimana pun, kesannya hanya sedikit dan tidak ketara. Malah, orang lain tidak akan nampak akan perubahan ini kerana ia juga tidak akan memberi kesan kepada orang di sekeliling. Ia seperti kaizen dalam istilah Jepun iaitu perubahan yang sedikit tetapi berterusan.

Perubahan dalam bentuk yang kedua pula lebih inovatif. Dan perubahan ini menemukan jawapan melalui pemikiran lateral. Kita bukan sahaja mempercepatkan jam 15 minit lebih awal supaya bangun lebih cepat, tetapi turut tidur lebih awal. Kita bukan sahaja makan sebelum jam 8.00 malam, tetapi mula bersenam. Kita bukan sahaja menahan amarah ketika memandu, tetapi memasang lagu-lagu nasyid di dalam kereta untuk memperoleh lebih ketenangan. Cara ini lebih reformatif kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak.

Kedua-dua perubahan secara evolusi dan reformatif ini boleh diaplikasikan jika kita mahukan perubahan kecil dan sederhana. Bagaimana pun, perubahan dalam bentuk yang ketiga ini adalah perubahan yang revolusioner. Perubahan ini memerlukan satu pendekatan yang jauh berbeza.
Jika perubahan evolusi dan reformatif ini bersumberkan perubahan yang berdasarkan fakta, keadaan dan tabiat yang ada, perubahan jenis revolusi ini membuang terus apa yang ada dan membina yang baru sama sekali! Dalam konsep pembelajaran, perubahan revolusioner ini menuntut seseorang itu untuk unlearn and relearn atau membuang apa yang selama ini dipelajari dan belajar semula ilmu yang telah dipelajari.

Inilah yang dinamakan hijrah! Pengajaran daripada hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah ialah, ia merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi mental, ia meninggalkan satu kebiasaan untuk membina satu kebiasaan yang lain. Dan daripada segi spiritual, ia memerlukan kekuatan rohani untuk menjayakan sesuatu perubahan itu.

Hijrah adalah perubahan total dengan meninggalkan suasana fizikal , pola pemikiran dan amalan spiritual yang menjadi anutan selama ini. Misalnya, daripada hidup bersama ibu bapa kepada berumahtangga sendiri, daripada makan gaji kepada bekerja sendiri dan daripada menjadi makmum kepada menjadi imam.

Hijrah, atau perubahan revolusioner itu memerdekakan fizikal, mental dan spiritual seseorang. Ia menyerlahkan kehebatan seseorang individu itu. Malah, ia memberi erti kepada maksud kehidupan seseorang individu itu sendiri. Seperti alam semesta yang tiada henti pengembangannya, perubahan diri seseorang itu tidak seharusnya ada noktah dalam garis kehidupannya.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 23.12.09.

Tuesday, December 8, 2009

SANDIWARA DUNIA


Foto: sayaphati.blogspot
KITA YANG MAKIN
MENYOMBONG

PADA Hari Raya Aidil Adha yang lalu, isteri saya tidak memasak hidangan di pagi raya kerana untuk kali ini, kami inginkan dia bersama-sama bersolat di masjid berhampiran. Mudah-mudahan dia dapat menghayati keseronokan suasananya. Tidak perlu sibuk-sibuk mengacau lodeh atau menghiris ketupat sebagai juadah di meja hingga terkocoh-kacah ke masjid.

Belum pun jam 9.00 pagi, solat dan khutbah sudah selesai. Kami terus berkunjung ke restoran mamak. Mudah-mudahan ada beriyani ayam atau kambing yang terhidang buat santapan kami di pagi itu. Namun kesemua restoran mamak tidak membuka perniagaan. Kalau restoran mamak tidak dibuka, kami tidak berharap ada restoran Melayu yang berniaga pada hari raya.

Setelah puas berpusing-pusing mencari kedai makan, kami singgah ke sebuah restoran makanan segera. Tidak ramai pengunjung kelihatan di situ melainkan tiga meja dipenuhi dengan pelanggan. Tetapi apabila saya melangkah ke kaunter, saya dapati hanya satu kaunter sahaja yang dibuka kerana hanya ada seorang sahaja petugas. Cepat-cepat saya berbaris di belakang tiga orang pelanggan. Tidak sampai seminit, ada tiga orang pelanggan lagi di belakang saya.

Hangat hati mula terasa. ‘Kenapa hanya ada seorang petugas di restoran antarabangsa ini? Mana yang lain? Mengapa pengurus membenarkan mereka bercuti? Bukankah pada hari cuti umumlah lebih ramai para pengunjung yang akan datang menjamu selera?’

‘Mengapa gadis yang bertugas lambat sangat melayani pelanggan di hadapannya? Dua lagi pelanggan di hadapan tentu akan membuat pesanan untuk sekurang-kurangnya 3-4 orang. Kalau seorang pelanggan mengambil masa lima minit, tentu dua orang akan mengambil masa 10 minit. Wah! Lama sangat, tu!’ Hati saya mengarang cerita yang tak tentu fasal akibat naik darah.

Belum pun lima minit terpacak menanti giliran membuat pesanan, dua orang wanita muncul dari arah tempat duduk lalu terus menghimpit ke kaunter. Mereka adalah ibu dan anak berdasarkan wajah mereka yang serupa. Air muka mereka kelihatan keruh.

Si ibu terus membebel. Leterannya disambut oleh si anak. Saya mengagak yang mereka tidak puas hati dengan kelewatan mendapat pesanan setelah lama menanti. Sesekali saya terdengar perkataan ‘perkhidmatan pelanggan’ disebut-sebut oleh si ibu. Kata-kata itu disahut oleh si anak yang tidak kurang becoknya. Dalam diam, saya mengiyakan kata-kata mereka. Memang sepatutnya petugas itu dibahasakan. Pengurus restoran ini patut meletak jawatan!

Saya nampak si gadis yang bertugas mula hilang seri senyumannya. Malah, wajahnya sudah mencebir akibat dileteri. Kalau saya memakai kaca mata ketika itu, pasti saya nampak air mata yang bertakung di tubir matanya. Dia hampir menjerit meminta rakannya di dapur segera menyiapkan pesanan. Dan, dari tempat saya berdiri, saya nampak hanya seorang sahaja petugas yang menjadi tukang masak di dapur.

‘Alahai, kasihannya mereka.’ Detik hati saya. ‘Apa kata kalau gadis itu adalah anak saya?’

TIBA-TIBA, saya mula berasa kasihan terhadap kami semua sebagai pelanggan kerana menyombong lalu berpegang pada prinsip the customer is always right pada waktu sebegitu. Kasihan kerana kami marah pada sesuatu yang tidak akan mengubah keadaan. Kami tetap akan lambat menerima pesanan kerana kurangnya kakitangan yang bertugas. Lainlah jika kami bersingsing lengan dan turun ke dapur untuk memasak sendiri pesanan!

Menyombong, bukannya sombong. Sombong adalah sikap kekal yang sebati dalam diri seseorang, sementara menyombong hanyalah lakonan. Kita selalu berlakon membawa watak orang yang sombong. Beraksi sombong untuk mempertahankan hak atau kehendak kita. Menyombong kerana mempunyai persepsi, orang lain tidak boleh memperkotak-katikkan kita kalau mempamerkan wajah serius dengan cebik bibir dan suara yang mendatar.

Sebab itu di jalanraya, ada di antara kita menyombong dengan tidak mengangkat tangan pun kepada pemandu di belakang bila hendak berpindah ke lorongnya. Tidak mahu kelihatan toya kerana berlemah-lembut. Menyombong kerana takut dihon oleh pemandu itu kalau kita berperangai molek. Di kompleks membeli-belah, apabila adik promosi telefon bimbit tampil menghulur brosur, kita buat-buat tak nampak akan kehadirannya. Menyombong kerana takut termakan ayat-ayatnya lalu terbeli telefon bimbit ketiga.

Pendek kata, bila kita berdepan dengan seseorang yang tidak kita kenali, maka lakonan sombong itu kita pamerkan sebagai defense mechanism atau mekanisme pertahanan agar orang lain segan dengan kita. Soalnya, mengapa kita defensif dengan menyombongkan diri? Ia berpunca daripada pengalaman-pengalaman buruk yang pernah kita alami.

Pengalaman dipermain, diperlekeh atau ditipu menjadikan kita lebih berprasangka terhadap seseorang yang baru dikenali. Su’u dzan, atau bersangka buruk terhadap seseorang akan menjadikan kita serik untuk membuka hati dan perasaan dengan mudah. Kita sanggup berperangai bengis dan berhati kering supaya orang yang berdepan dengan kita tidak berpeluang memanipulasi diri kita.

Memilih sikap menyombongkan diri sebagai cara kita berhati-hati ini sememangnya bagus. Tetapi, apabila lakonan ini sebati di dalam diri, ia sudah menjadi karektor. Apabila ia menjadi karektor, ia adalah peribadi diri. Kerana ia bukan lagi lakonan untuk menyombong, ia sudah menjelma sebagai sikap sombong diri. Topeng sudah melekat menjadi kulit wajah!

Kita tidak akan sedar dengan sikap buruk ini kerana setiap kali bercermin, kita akan lihat diri kita yang sama, iaitu yang baik dan elok. Sedangkan, bila orang lain melihat kita, mereka nampak diri kita yang hodoh. Ketika itu, meskipun kita berasa diri kita hanya berlakon sombong, sebenarnya orang lain yang melihat akan nampak diri kita yang benar-benar sombong kerana kita sudah menjiwai watak buruk itu.

Justeru itu, kita perlu mengamalkan sikap husnul dzan atau bersangka baik bila berdepan dengan orang lain, kerana ia akan memulihkan kita daripada penyakit yang tumbuh akibat terlalu bersandiwara di pentas dunia!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 9.12.09

Wednesday, December 2, 2009

THE NOISY MAJORITY


salvationist.ca
PERIHAL
TIGA JENIS MINDA


KETIKA saya menjadi siswa pada tahun 70an, seorang teman motivator telah menyampaikan sebuah madah yang amat berkesan kepada saya. Madah di dalam bahasa Inggeris itu berbunyi. “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Terjemahannya ialah, “mereka yang berminda kecil bercakap mengenai manusia, yang berminda sederhana, bercakap tentang isu, yang berminda besar, bercakap tentang idea.”

Beberapa tahun yang lalu, kemudahan internet mempertemukan saya dengan orang yang mengucapkannya. Orangnya ialah Eleanor Roosevelt, isteri kepada Franklin D. Roosevelt, Presiden Amerika yang ke-32. Di mana dan mengapa Eleanor melahirkan madah itu tidak saya temui. Namun, saya memperoleh satu ilmu untuk mengenal jenis minda manusia.

Memang benar, manusia yang berminda kecil suka bercakap mengenai orang lain. Mereka ini mudah dikenali kerana mereka hidup di dalam paksi dan orbit seharian yang sama. Paksi dan orbit yang serupa ini dilalui hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.

Kita lihat manusia tipikal ini melalui tabiat hariannya yang serupa. Setiap hari, dia bangun pagi untuk menggosok gigi dan mandi. Setelah sarapan, dia terus memandu kenderaannya ke pejabat. Pada waktu tengahari, dia akan keluar makan, kemudian masuk semula ke pejabat untuk meneruskan tugas sebelum pulang tepat pada waktunya.

Sepulangnya di rumah, dia akan bersantai setelah makan malam. Tepat jam 11.00 atau 12.00 malam, dia akan masuk tidur. Pada hari esok, dia akan ulangi apa yang dilalui semalam dengan jayanya. Bukannya susah pun untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali.

Putaran hidupnya yang sebegini dilalui sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Dua hari lagi pada hujung minggu, tabiatnya berubah sedikit daripada hari-hari bekerja. Namun, jika dilihat tabiat yang dilaluinya untuk hari-hari hujung minggu, ia juga tak ubah daripada hari-hari hujung minggu sebelumnya.

Sungguh malang golongan berminda kecil ini. Oleh kerana telah mangli dengan kehidupannya yang robotik ini, mereka sendiri tidak pernah rasa yang kehidupan yang dilalui begitu menjemukan. Inilah golongan berminda kecil. Mereka hidup di dalam penjara minda masing-masing. Ia adalah kepompong fikiran yang melahirkan manusia berotak beku.

Kita boleh kenali mereka melalui cara pertuturan. Mereka berkata mengenai apa yang yang ramai orang lain tuturkan. Perbualan mereka dipenuhi basa-basi yang sudah basi. Setiap ayat yang ditutur akan disudahi dengan ha-ha-ha, yang bukannya menggambarkan kegembiraan, sebaliknya secara bawah sedar mentertawakan diri mereka sendiri.

Mereka mempunyai banyak masa. Tetapi masa untuk menceritakan mengenai hal orang lain. Kalau mereka bekerja makan gaji, mereka amat menepati masa. Tetapi hanya masa masuk dan keluar pejabat semata-mata. Jika mereka berniaga, mereka makan gaji dengan perniagaan mereka. Ertinya masuk jam 9.00 dan pulang jam 5.00 juga.

Selain daripada bercakap tentang orang lain, mereka mempunyai modal perbualan daripada sebuah sumber yang popular. Segala-galanya ada di layar kaca. Kisah ketamakan si abang terhadap harta pusaka keluarga, kebiadaban anak terhadap si ibu, keganasan rumah tangga, kecurangan suami, penipuan di dalam perniagaan dan permainan kayu tiga, kesemuanya cerita manusia yang dipandang berat oleh mereka.

Bagaimana pula kita mengenali golongan yang berminda sederhana? Mereka adalah golongan yang suka bercakap tentang isu. Pendek kata isu-isu semasa. Apa yang terbit di akhbar hari ini menjadi topik perbincangan mereka. Sama ada isu itu isu nasional, serantau mahupun antarabangsa, ia akan menjadi bahan perbualan, perbincangan dan perdebatan sesama mereka. Rasa prihatin mereka lebih hebat daripada mereka yang terlibat.


Isu-isu alam sekitar juga menjadi perhatian mereka. Daripada masalah bongkah ais yang mencair, kebakaran hutan, taufan, rebut, tsunami dan peperangan kesemuanya menjadi masalah yang mencabar minda mereka. Dahi mereka berkerut, mata mereka mencerlang, bibir mereka diketap kerana geram bila melihat kapalterbang menggugurkan bom lalu membunuh mereka yang tidak berdosa. Mereka simpati dan juga empati. Malangnya, kesemua itu mereka saksikan melalui TV sambil menggoyang kaki dan mengunyah keropok.

Golongan yang berminda besar pula sukar ditemui kerana tidak ramai yang tampil bercakap mengenai idea. Ramai orang boleh bercakap mengenai masalah polarisasi kaum, tetapi nampaknya tak ramai yang boleh mengutarakan idea-idea untuk melestarikan toleransi di antara kaum? Ramai yang boleh berhujah mengenai peri pentingnya kita kurangkan berpolitik, tetapi tak ramai yang bercakap tentang mengapa kita patut mengurangkan berpolitik? Ramai yang tahu bahaya obesiti, tetapi berapa ramaikah yang berani memperkatakan tentang tubuh yang sasa mahupun ramping kerana berdiet?

Namun, golongan yang berminda besar ini sebenarnya ramai. Kitalah mereka yang berminda besar ini! Kenapa kita tidak sedar akan golongan ini sedangkan mereka adalah kita? Ia adalah kerana, fikiran kita yang besar dan hebat ini telah dikaburi dengan herd mentality atau mentaliti ikut-ikutan. Tidak ramai yang berfikiran sebagai pembawa perubahan dan pembaharuan sedangkan inilah golongan yang teramai.

Kita berasa golongan berminda besar ini kecil kerana kita adalah silent majority atau majoriti yang senyap. Sepatutnya kita yang ramai ini menjadi the noisy majority atau golongan majoriti yang riuh.

Andainya kita berani bersuara dan tidak malu bertempat, banyak sekali idea-idea kita yang boleh dilahirkan untuk mensejahterakan masyarakat dan dunia. Masalahnya, siapakah di antara kita yang berminda besar untuk memulakan gagasan the noisy majority ini?
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.12.09