Tuesday, December 8, 2009

SANDIWARA DUNIA


Foto: sayaphati.blogspot
KITA YANG MAKIN
MENYOMBONG

PADA Hari Raya Aidil Adha yang lalu, isteri saya tidak memasak hidangan di pagi raya kerana untuk kali ini, kami inginkan dia bersama-sama bersolat di masjid berhampiran. Mudah-mudahan dia dapat menghayati keseronokan suasananya. Tidak perlu sibuk-sibuk mengacau lodeh atau menghiris ketupat sebagai juadah di meja hingga terkocoh-kacah ke masjid.

Belum pun jam 9.00 pagi, solat dan khutbah sudah selesai. Kami terus berkunjung ke restoran mamak. Mudah-mudahan ada beriyani ayam atau kambing yang terhidang buat santapan kami di pagi itu. Namun kesemua restoran mamak tidak membuka perniagaan. Kalau restoran mamak tidak dibuka, kami tidak berharap ada restoran Melayu yang berniaga pada hari raya.

Setelah puas berpusing-pusing mencari kedai makan, kami singgah ke sebuah restoran makanan segera. Tidak ramai pengunjung kelihatan di situ melainkan tiga meja dipenuhi dengan pelanggan. Tetapi apabila saya melangkah ke kaunter, saya dapati hanya satu kaunter sahaja yang dibuka kerana hanya ada seorang sahaja petugas. Cepat-cepat saya berbaris di belakang tiga orang pelanggan. Tidak sampai seminit, ada tiga orang pelanggan lagi di belakang saya.

Hangat hati mula terasa. ‘Kenapa hanya ada seorang petugas di restoran antarabangsa ini? Mana yang lain? Mengapa pengurus membenarkan mereka bercuti? Bukankah pada hari cuti umumlah lebih ramai para pengunjung yang akan datang menjamu selera?’

‘Mengapa gadis yang bertugas lambat sangat melayani pelanggan di hadapannya? Dua lagi pelanggan di hadapan tentu akan membuat pesanan untuk sekurang-kurangnya 3-4 orang. Kalau seorang pelanggan mengambil masa lima minit, tentu dua orang akan mengambil masa 10 minit. Wah! Lama sangat, tu!’ Hati saya mengarang cerita yang tak tentu fasal akibat naik darah.

Belum pun lima minit terpacak menanti giliran membuat pesanan, dua orang wanita muncul dari arah tempat duduk lalu terus menghimpit ke kaunter. Mereka adalah ibu dan anak berdasarkan wajah mereka yang serupa. Air muka mereka kelihatan keruh.

Si ibu terus membebel. Leterannya disambut oleh si anak. Saya mengagak yang mereka tidak puas hati dengan kelewatan mendapat pesanan setelah lama menanti. Sesekali saya terdengar perkataan ‘perkhidmatan pelanggan’ disebut-sebut oleh si ibu. Kata-kata itu disahut oleh si anak yang tidak kurang becoknya. Dalam diam, saya mengiyakan kata-kata mereka. Memang sepatutnya petugas itu dibahasakan. Pengurus restoran ini patut meletak jawatan!

Saya nampak si gadis yang bertugas mula hilang seri senyumannya. Malah, wajahnya sudah mencebir akibat dileteri. Kalau saya memakai kaca mata ketika itu, pasti saya nampak air mata yang bertakung di tubir matanya. Dia hampir menjerit meminta rakannya di dapur segera menyiapkan pesanan. Dan, dari tempat saya berdiri, saya nampak hanya seorang sahaja petugas yang menjadi tukang masak di dapur.

‘Alahai, kasihannya mereka.’ Detik hati saya. ‘Apa kata kalau gadis itu adalah anak saya?’

TIBA-TIBA, saya mula berasa kasihan terhadap kami semua sebagai pelanggan kerana menyombong lalu berpegang pada prinsip the customer is always right pada waktu sebegitu. Kasihan kerana kami marah pada sesuatu yang tidak akan mengubah keadaan. Kami tetap akan lambat menerima pesanan kerana kurangnya kakitangan yang bertugas. Lainlah jika kami bersingsing lengan dan turun ke dapur untuk memasak sendiri pesanan!

Menyombong, bukannya sombong. Sombong adalah sikap kekal yang sebati dalam diri seseorang, sementara menyombong hanyalah lakonan. Kita selalu berlakon membawa watak orang yang sombong. Beraksi sombong untuk mempertahankan hak atau kehendak kita. Menyombong kerana mempunyai persepsi, orang lain tidak boleh memperkotak-katikkan kita kalau mempamerkan wajah serius dengan cebik bibir dan suara yang mendatar.

Sebab itu di jalanraya, ada di antara kita menyombong dengan tidak mengangkat tangan pun kepada pemandu di belakang bila hendak berpindah ke lorongnya. Tidak mahu kelihatan toya kerana berlemah-lembut. Menyombong kerana takut dihon oleh pemandu itu kalau kita berperangai molek. Di kompleks membeli-belah, apabila adik promosi telefon bimbit tampil menghulur brosur, kita buat-buat tak nampak akan kehadirannya. Menyombong kerana takut termakan ayat-ayatnya lalu terbeli telefon bimbit ketiga.

Pendek kata, bila kita berdepan dengan seseorang yang tidak kita kenali, maka lakonan sombong itu kita pamerkan sebagai defense mechanism atau mekanisme pertahanan agar orang lain segan dengan kita. Soalnya, mengapa kita defensif dengan menyombongkan diri? Ia berpunca daripada pengalaman-pengalaman buruk yang pernah kita alami.

Pengalaman dipermain, diperlekeh atau ditipu menjadikan kita lebih berprasangka terhadap seseorang yang baru dikenali. Su’u dzan, atau bersangka buruk terhadap seseorang akan menjadikan kita serik untuk membuka hati dan perasaan dengan mudah. Kita sanggup berperangai bengis dan berhati kering supaya orang yang berdepan dengan kita tidak berpeluang memanipulasi diri kita.

Memilih sikap menyombongkan diri sebagai cara kita berhati-hati ini sememangnya bagus. Tetapi, apabila lakonan ini sebati di dalam diri, ia sudah menjadi karektor. Apabila ia menjadi karektor, ia adalah peribadi diri. Kerana ia bukan lagi lakonan untuk menyombong, ia sudah menjelma sebagai sikap sombong diri. Topeng sudah melekat menjadi kulit wajah!

Kita tidak akan sedar dengan sikap buruk ini kerana setiap kali bercermin, kita akan lihat diri kita yang sama, iaitu yang baik dan elok. Sedangkan, bila orang lain melihat kita, mereka nampak diri kita yang hodoh. Ketika itu, meskipun kita berasa diri kita hanya berlakon sombong, sebenarnya orang lain yang melihat akan nampak diri kita yang benar-benar sombong kerana kita sudah menjiwai watak buruk itu.

Justeru itu, kita perlu mengamalkan sikap husnul dzan atau bersangka baik bila berdepan dengan orang lain, kerana ia akan memulihkan kita daripada penyakit yang tumbuh akibat terlalu bersandiwara di pentas dunia!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 9.12.09

4 comments:

  1. Komen melalui emel:

    Saya terpanggil untuk memberi komen sama tentang artikel ini.

    Terkedu apabila 'terasa' ada benarnya. Banyak yang benar tentang artikel ini. Terkena tempiasnya kepada saya.

    Saya bersetuju dengan kenyataan tuan yang menyebut bahawa 'pengalaman dipermain, diperlekeh atau ditipu menjadikan kita lebih berprasangka terhadap seseorang baru dikenali'

    Saya mengambil jalan ini kerana merasakan marah kepada mereka yang telah menipu saya didalam perniagaan, menyebabkan saya tidak memperdulikan lagi orang-orang yang lalu dikiri dan kanan saya apabila saya ke pasar atau ke kedai di taman perumahan. Dulu, saya seorang yang ramah, mudah tersenyum sebaliknya selepas tertipu saya bertekad inilah jalan yang sepatutnya saya lakukan.

    Saya 'menyombong' diri walaupun saya bukan seorang yang sombong. Saya marah kepada mereka yang menipu saya tetapi saya menghukum diri saya dan mereka yang tidak melakukannya. Tetapi, percayalah 'lakonan' saya tidak masih belum 'sebati' sepertimana yang tuan nyatakan dan tidak menjadi karakter sebenar saya.

    Walau bagaimana pun, saya berpendapat, bukan hanya saya yang 'menyombong' diri malahan 'mereka' juga berbuat demikian. Berselisih bahu sesama kita dipasar, dikedai, malahan orang-orang tua yang kita hormat juga tidak dapat melemparkan 'senyuman' apabila kita tersenyum kepada mereka menyebabkan 'kita' juga bersikap demikian. Kita akan berkata ' pedulilah bukan dia nak senyum pun, baik aku tak senyum'.

    Di jalanraya pun sedemikian, walaupun kita dididik juga untuk bersabar atau setebal mana iman kita , sikap pemandu di Malaysia membuatkan kita 'turut serta' bersama mereka. Biar apa bangsa atau agama mereka, Melayu Islam ke, India Muslim ke, Hindu ke atau CIna Budha ke, Cina Kristian ke, Indon ke mereka adalah sama belaka apabila berada dijalanraya Malaysia ini.

    Setakat ini saya berjaya mengamalkan sikap sabar dijalan raya, memberi isyarat lampu dan menghururkan tangan tanda terima kasih atau tanda pohon maaf kalau tersilap arah. Cuma saya elakkan dari memandu lama atau menempuh kesesakkan lalu lintas demi mengelakkan rasa 'sombong' tidak bertempat. Berapa lama saya boleh bertahan dengan pemandu-pemandu kita? Saya akan turut serta tanpa sengaja.

    Bayangkan belum pun kita memandu, kita sudah mula memaki hamun pemandu-pemandu laju di hadapan rumah kita. Ada benar juga kata pepatah ' if you cannot fight them, join them'. Silap kiranya pepatah ini kita pakai dijalan raya setuju ?

    Terima kasih kerana menulis artikel ini, sekurang-kurang saya tersedar dari sikap 'menyombong' ini. Allahuakbar! Siapalah kita hendak 'menyombong' tidak bertempat.

    Salam hormat,
    SAMSUDIN HAJI ABU BAKAR

    ReplyDelete
  2. Daripada Facebook:

    sy rasa yg pertama tu. mentaliti tu slalu ada pd org2 yg sombong nie... mereka akan bertambah sombong apabila dikelilingi oleh org yg xsehebat mereka.

    Mohamad Azrin Rusdan

    ReplyDelete
  3. Daripada facebook:
    Sombong kebykannya ada pd org2 kaya & org terlebih pandai tp x semualah. biasanya org kaya rasa diri dia byk duit & bleh buat apa aje dgn duit so itu yg buat mereka sombong.

    klau org susah/ yg pernah hidup susah.. selalunya merendah diri. kita menyombong sebagai defense mechanism untuk mengelak orang lain memanipulasi kita pula..pd sy tengok org jglah, klau member sy pakai lantaklah dia, tp klau penjual.. trpaksalah buat2 pandai walau sbenarnya x pandai. hehee..

    Rahmani Kasih

    ReplyDelete
  4. Daripada
    YM NIKMOHDKAMAL TYDPMQTK
    melalui facebook:

    SOMBONG adalah satu perkataan perbuatan,ianya salah satu perangkap syaitan untuk di uji kepada manusia..lulus ke @ gagal...

    Daripada
    RABIATUL ADAWIAH RAHIM
    melalui facebook:

    depend pd individu bgmana mereka menggunakannya, samada utk maslahat semua, itu yang terbaik tapi kalo utk maslahat sendiri itu bknla suatu yang baik sebenarnya....

    Daripada
    PUTERI IMANEISYA
    melalui facebook:

    sombong dan menyombong bukan dua definasi yang punya perbezaan tersendiri ke Encik Eyman?

    ReplyDelete