Saturday, December 27, 2008














BALIK-BALIK BOLASEPAK,
BALIK-BALIK BOLASEPAK!

MINGGU lepas, Malaysia memenangi tiga kejuaraan di dalam acara badminton World Super Series Masters Final. Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei, juara perseorangan, bekas juara bergu All-England Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong pula juara bergu lelaki dan Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty memenangi acara bergu wanita. Juara dunia, beb! Bukan juara badminton tertutup Malaysia yang lokal.

Bagaimana pun, seperti yang aku jangka, RTM 1, TV3, TV7, Bernama dan Awani hanya buat liputan cerita itu di ruangan sukan di akhir berita. Bukannya berita nombor satu. Liputan di dalam surat khabar perdana keesokannya punnnn hanya seco’et! Satu dua akhbar letak berita itu di muka belakang, tanpa tajuk yang gah. Akhbar lain pula letak berita itu di sebelah dalam. Berita susulan pula pada keesokannya bertanya apa yang mereka nak buat dengan wang kemenangan, bukan tanya apa perasaan mereka sebagai juara dunia, atau rancangan mereka mengulangi kejayaan. Soalan materialistik! Tak membangun minda!

Begitulah kita. Perkara yang ada nilai berita kerana ia kejohanan dunia dan kita ada juara-juara dunia punnn tak dikepoh-kepohkan. Sebaliknya, berita bolasepak yang lebih banyak tenggelam daripada timbul itulah yang diheboh-hebohkan. Dalam bolasepak, kita ranking 156 FIFA! Tapi, bila menang satu game dalam pertandingan yang kita tak pernah dengar pun bolasepak mendapat liputan yang besar-besar.

KITA juga ada juara-juara dunia dalam sukan skuasy, hoki dan boling, misalnya. Tapi berita-berita kejayaan mereka pun tak meluas. Cara tulisan mengenai kejayaan mereka pun, tak menyemarak perasaan. Tapi, berita bolasepak memang menyemarak perasaan. Perasaan meluat dan marah yang membuak-buak. Cukup-cukuplah. Sudah-sudahlah, wahai media yang mengutamakan bolasepak.

Mereka yang di dalam persatuan badminton, skuasy dan bowling, hoki serta Majlis Sukan Negara perlu rapik dengan media. Selalulah buat kenyataan akhbar, beri kemudahan akses kepada maklumat kepada golongan ini. Rapatlah secara peribadi dengan wartawan. Kementerian Sukan pun perlu tumpu untuk PR. Sedarkan golongan media yang sukan-sukan mereka world class dan layak mendapat liputan meluas, halaman demi halaman, susulan demi susulan, siri demi siri bila mereka menang kejuaraan.

INI akan menaikkan semangat rakyat Malaysia untuk berbangga dan galakkan rakyat Malaysia bergiat di dalam sukan-sukan itu. Kalau cerita bolasepak sahaja yang diutamakan, generasi muda ingat bolasepak sahaja sukan yang bagus. Kasihan tengok kanak-kanak berlatih bolasepak di padang-padang pada hujung-hujung minggu untuk sukan yang tak akan ke mana. Mindset mereka jadi kecil. Kalau mereka berlatih badminton, skuasy, hoki dan boling, sekurang-kurangnya mereka ada niat nak jadi juara dunia.

Yang penting di sini ialah mentaliti world class!


Foto:www.badmintonasia.org

Friday, December 19, 2008


SEMAJU-MAJU PENIAGA MELAYU

D
ARI semasa ke semasa saya akan lakukan lawatan ke kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Ia adalah tugas untuk berjumpa tauke kedai, pekerja kedai, para pembaca, mencari idea pemasaran, menjejaki kemasyhuran pesaing merangkap berjalan-jalan.

Orang tua kata, jauh perjalanan luas pemandangan. Memang betul pun. Pandangan saya terhadap sesuatu perkara semakin luas. Di antara apa yang saya nampak amat menyerlah ialah deretan kedai-kedai yang dipunyai oleh orang-orang Melayu pada hampir setiap bandar kecil yang saya kunjungi.

Saya ke Sungai Petani, Alor Star, Arau, Kangar, Gua Musang, Kertih, Jertih, Pasir Mas, Kemaman, Mentakab, Jerantut, Raub, Pekan, Rompin, Kota Tinggi, Rembau, Jasin, Kuala Pilah dan banyak lagi bandar-bandar lain. Yang saya nampak ialah kemunculan kedai-kedai Melayu.
Kedai-kedainya bukan lagi jenis ‘kedai MARA’ yang sempit, kedai-kedai yang lompong rak-raknya, kedai-kedai yang sesak dan sarat dengan barang-barang jualan yang buruk dan berhabuk. Ia juga bukan sahaja kedai gunting rambut, kedai songkok dan kedai nasi lemak.

Malah, perniagaan mereka sudah meliputi kedai komputer, butik, foto, kaca mata, farmasi, kafe, aksesori kereta, mainan kanak-kanak, fonsel, hotel, barang kemas, elektrik, bengkel kereta, klinik, farmasi dan tentu sekali kedai dandan wanita!

Saya perasan ada di antara kedai-kedai ini sudah ada cawangan-cawangan mahupun francais seperti Ani Sup Utara, Syarikat Buku Muda Osman, Laksa Shack, Cosmopoint, Menara Optometry, Rozaimi Optometrist dan Kamal & Kamal Pest Control, Yan’s Collection dan kedai-kedai stokis jamu. Senarainya panjang. Hebat rupanya orang Melayu jika mereka sudah menjadikan perniagaan sebagai kerjaya. Bukan lagi semata-mata bekerja dengan gomen seperti generasi orang tua kita. Bangga saya dibuatnya.

NAMUN, bila saya renung-renung kembali. Saya teringat deretan kedai-kedai di bandar kelahiran saya, Mersing. Sewaktu saya di zaman persekolahan pada tahun-tahun 60-70an, saban hari saya akan mengayuh basikal melintasi Jalan Sultan Abu Bakar iaitu jalan yang paling sibuk kerana paling banyak kedai ketika itu.

Saya nampak kedai foto Kai Mee, kedai baju Tuck Fong, kedai borong Hoe Sen, kedai ubat Sam Yu, kedai runcit Hock Hoe, Tien Lock Restaurant, Merdeka Hotel dan kedai buku Union. Hampir kesemuanya dipunyai oleh kaum Cina dan India.

‘Oh, mereka sudah mulakan lebih 30 dahulu. Kita baru nak bermula. Harap-harap kita terkejar untuk merapatkan jurang ekonomi!’

Koleksi peribadi: Foto di kawasan perhentian bas Shahab, Sg. Petani


Saturday, December 13, 2008



ARMCHAIR HEROES

MEMBUKA kotak e-mel dah jadi macam membuka peti surat di depan rumah. Bezanya, membuka kotak e-mel saya lakukan lebih tiga kali sehari berbanding dengan peti surat di depan rumah, di mana saya akan jenguk dan singkap penutup petinya bila pulang dari pejabat di malam hari. Saya terima banyak e-mel. Tetapi saya menerima lebih banyak e-mel sampah daripada e-mel mengenai kerja atau daripada kenalan dan sahabat handai. Daripada banyak e-mel sampah yang saya terima, saya (maaf cakap) menyampah kalau saya terima e-mel berantai.

Ciri-ciri e-mel berantai ini mudah dicam. Pertama, bila e-mel itu dibuka, ia dipenuhi dengan beratus-ratus penerima sebelum saya kerana ia adalah e-mel yang diforward atas forward hinggakan saya terpaksa scroll down jauh ke bawah untuk membaca e-mel yang dikirim. Kedua, e-melnya akan mempunyai cerita sensasi seperti ‘Berita Dari Masjid Nabawi,’ Penggunaan Fonsel Menyebabkan Kebakaran di Stesyen Minyak,’ dan ‘Dapat Wang Dari Bill Gates.’ Ketiga, kadangkala akan terdapat nama dan alamat pengirim asal yang beralamat di syarikat korporat, seolah-olah si pengirim wujud.

Saya pernah dua kali gatal tangan dan telefon. Panggilan pertama, mendapat jawapan tiada orang berkenaan bertugas di situ dan yang kedua nombor berkenaan tidak wujud. Mengapa e-mel ini diforward dan diforward dan diforward?

Saya percaya si pengirim berniat baik. Hendak berdakwah dan mengingatkan sesama insan. Yang kurang bagusnya ialah, mereka mengirimlanjut e-mel tanpa usul periksa sebab mereka juga mudah percaya kepada e-mel-e-mel ini. Mereka ingin jadi armchair heroes, iaitu menjadi hero atau menolong orang lain dengan cara mudah, iaitu duduk di depan komputer dan menekan-nekan butang untuk menyampaikan apa yang mereka percaya sebagai kebaikan dan membantu beratus-ratus orang lain. Padahal, mereka melakukan perbuatan yang sia-sia, malah boleh juga menyebar fitnah.

UNTUK anda, bila menerima e-mel-e-mel begini, layarilah laman-laman seperti snopes.com untuk mengenalpasti kesahihannya sebelum menyampaikannya pada orang lain. Maaf, kesemuanya berbahasa Inggeris. Kalau ada yang berbahasa Melayu, saya baru jumpa satu artikel di sini.