Wednesday, March 31, 2010

Menghidupkan Jiwa


RUGINYA BILA
BERUBAH NIAT

BARU-BARU ini, saya bertemu dengan Saad, rakan ketika di universiti. Penampilannya sama seperti 20 tahun yang lalu. Tidak berubah. Belum nampak yang dia sudah ‘menjadi orang.’ Kasihan. 20 tahun lalu juga saya sudah menjangka apa yang akan terjadi terhadap dia. Punca kegagalannya ialah, dia selalu terlupa apa yang dia hendak lakukan.

Saya pernah menemani Saad untuk ke perpustakaan. Perjalanan kami daripada bilik kuliah ke perpustakaan kerap terhenti-henti bila Saad ditegur teman-temannya. Tempat yang hanya terletak selang sebuah bangunan dari bilik kuliah itu mengambil masa lebih 30 minit perjalanan.

Semuanya kerana Saad ringan mulut untuk bersembang dengan kenalan-kenalannya. Lain kenalan, lainlah pula bualannya. Dia sempat bersembang dan duduk di bangku laman dengan mereka, bertukar nombor telefon, bercerita hal-hal semasa, bergurau senda dan kejar mengejar dengan teman-teman siswi walaupun seketika. Akhirnya, saya seorang yang sampai ke perpustakaan. Saad pula entah ke mana-mana kerana dia terlupa dengan niat asalnya.

MANUSIA mesti mempunyai tujuan hidup. Ini adalah kerana kehidupan kita adalah satu perjalanan. Pada setiap hari, kita akan mengharungi satu perjalanan dengan memikul beberapa tugasan peribadi mahupun terhadap orang lain. Fardhu ain dan fardhu kifayah.

Andainya tujuan itu untuk matlamat yang singkat seperti memandu dari rumah ke pejabat, cukuplah setakat memasang niat. Tetapi, seandainya matlamat yang diingini itu berjangka panjang dan besar erti serta nilainya, sesuatu niat itu perlu disendal dengan nawaitu, dibaji dengan azam, dan dipasak dengan istiqamah.

Cita-cita untuk menjadi pelajar terbaik, seorang profesional sama ada peguam, doktor, ahli ekonomi mahupun arkitek, perlukan nawaitu, azam dan iltizam sebagai pendinding agar kecekalan hati tidak tergoyah dan tergugat dengan gangguan luaran dan dalam diri.

Seseorang yang berjaya mencapai hasratnya belajar dalam bidang parakaunan di menara gading mungkin mempunyai niat asal untuk membantu keluarga bila tamat pengajian. Namun, dek kerana terlupakan nawaitunya, dia mula ponteng kuliah, tidak membuat tugasan, malah tidak menduduki peperiksaan itu sendiri.

Begitu juga, seseorang yang ingin menjadi penyanyi dan berjaya menjuarai sesuatu pertandingan yang menjadikannya artis rakaman, boleh lupa akan niat asalnya bila dia selaputi dirinya dengan kehidupan yang gawat, penuh gossip dan skandal hingga masyarakat sudah lupa dia asalnya seorang penyanyi.

Pada hari ini, kita temui ahli politik yang secara senyap-senyap merenggut hak rakyat. Padahal, niat asalnya berkecimpung di dalam politik adalah untuk membela hak rakyat. Ada doktor yang sudah tidak lagi memulihkan pesakit, malah mencari jalan agar pesakitnya terus menerus bergantung kepada ubatan preskripsinya supaya poket pesakit dapat diperah selama mungkin.

Betapa ramai di antara mereka yang berubah niat asal setelah dapat mencapai apa yang dicita-citakan? Akibat berubah niat, maka cita-cita, azam, iltizam yang murni dan yang tulus mula hilang daripada ingatan. Bila itu terjadi, cita-cita yang tergenggam itu terlerai gugur ke bumi.

JIKA kita melihat ke dalam diri, pasti kita temui waktu-waktu kegagalan kita dalam perjalanan hidup ini terjadi apabila kita berubah niat. Sama ada niat kita hendak menjadi pelajar terbaik, pekerja cemerlang, pejuang kemanusiaan, pejuang keamanan, pejuang keadilan, pejuang agama, malah suami atau isteri mithali pun akan melalui denai-denai kehidupan yang sukar bila kita berubah niat asalnya.

Bagaimana pun, lihatlah juga di sekeliling kita. Selain daripada teman dan kenalan yang tergapai-gapai kerana tersungkur setelah berjaya dalam mencapai matlamat masing-masing, kita juga akan temui mereka yang terus menerus berjaya di dalam hidupnya.

Siapakah mereka? Mereka adalah insan-insan yang tidak berhenti untuk berehat dan bersenang-senang. Mereka tidak mengeluh kepenatan meskipun fizikal mereka tampak lelah. Sebaliknya, kita pula yang letih melihat ketangkasan fizikal dan mental mereka. Ini adalah kerana, manusia ini mempunyai jiwa yang hidup.

Jiwa yang hidup adalah kompas
agar niat tidak berubah.
Ia lurus tersasar ke arah
matlamat hidup dan mati kita.

Wednesday, March 17, 2010

PENYAKIT SUPERIORITY COMPLEX


MELAYANI MANUSIA
YANG PERASAN


PERNAHKAH kita bertemu dengan orang yang perasan? Dia perasan hebat, perasan hensem atau anggun, dan perasan semua manusia di sekeliling sedang mengaguminya. Apabila dia memakai baju cantik, berdandan elok, berpasangan lawa dan berkereta menjalar, dia perasan yang mereka yang berselisih dengannya asyik memerhati. Kerana itu, dia melangkah dengan membusung dada.

Apakah perasaan kita bila terpandang orang yang perasan ini? Geram dan meluat atau lucu melihat gelagatnya? Walau apa pun, sudah pasti kita tersenyum-senyum bila melihat insan dalam keadaan ini. Kalau boleh, kita hendak ketawa berdekah-dekah supaya orang yang perasan itu tahu yang kita mentertawakannya. Biar dia tahu yang kita nampak akan lakonannya di pentas sandiwara dunia.

Tapi, bagaimana pula kalau kita pula menjadi orang yang perasan itu? Kita pula perasan yang orang di sekeliling asyik memerhati kita. Bila kita memandang mereka, mereka pula buat-buat tak nampakkan kita. Padahal, mereka menyembunyikan senyuman geli geleman melihat gelagat kita yang perasan.

Mungkin, kita tidak selalu berperasan hebat, hensem, cantik, anggun dan yang sewaktu dengannya. Pendek kata, kita bukannya kaki perasan. Bagaimana pun, percaya tak, ada ketika-ketikanya kita juga perasan yang orang asyik memerhati kita kerana apa yang kita lakukan atau apa yang terjadi kepada kita.

Kita ambil contoh… jikalau kita tergelincir lalu jatuh tersembam di tempat awam. Kalau kita jenis yang tidak perasan orangnya, kita akan bingkas bangun dan berlalu. Kalau kita jenis manusia yang perasan, kita akan tertoleh-toleh ke sekeliling akibat khuatir menjadi perhatian orang. Nah, semakin lama kita tertoleh-toleh, semakin ramai yang akan nampak keadaan kita yang tertiarap di lantai. Isy, malunya.

Ataupun, pernah tak ketika kita asyik membeli-belah di pasaraya, tiba-tiba kita terpandang seseorang yang memakai baju yang mempunyai paten yang sama dengan kita? Tindakan spontan yang kita lakukan ialah melencongkan langkah dan menjauhinya.

Jika bertembung, kita buat-buat tak nampak akan kehadirannya. Malunya rasa kerana kita perasan yang orang sekeliling akan tersenyum simpul dan mentertawakan di belakang, kerana keboriaan kita dengan orang itu. Padahal, bukankah paten baju yang kita pakai itu dicop di kilang kain hingga berkodi-kodi jumlahnya?

Kerana itu, tentu sekali akan terjadi kebarangkalian kita akan terserempak dengan orang yang berbaju sama macam kita. Justeru itu, buat apa malu? Sepatutnya pertemuan kita dengan orang yang berbaju sama seperti kita itu diraikan bersama! Lainlah kalau paten baju kita sama dengan langsir rumahnya.

Ada ketika kita perasan yang orang lain memandang rendah terhadap kita. Ini biasa terjadi apabila memandu. Contohnya, ketika berbaris dalam kesesakan untuk membayar tol, seboleh-bolehnya kita tidak mahu kereta di sebelah memotong kita. Seolah-olah pemandu kenderaan di sebelah akan mentertawakan kita andainya dia dapat mendahului kita.

Kerana itu, kita menghimpitnya dan berasa begitu berjaya bila dapat memotong kereta orang itu dan membayar tol. Sebaliknya, jika pemandu itu dapat mendahului kita, kita berasakan seolah-olah kita tidak cekap memandu. Akibat perasaan perasan itulah maka kita tak fasal-fasal berasa malu. Padahal, si pemandu yang berjaya memotong kita tidak ingat pun muka kita.

Jadi manusia perasan memang tidak elok. Kita merimaskan orang di sekeliling. Lagipun, sikap ini mempunyai tanda-tanda yang kita ini jenis manusia yang syok sendiri. Dan, yang paling tidak bagus ialah, sikap ini membawa kepada sifat ujub iaitu membangga diri kerana perasan hebat.

Perasaan inilah yang membuatkan ramai di antara kita suka berlebih-lebihan dalam berbelanja. Bila membuat majlis, ada yang cuba bergaya seperti orang kaya. Padahal, jiran-jiran tahu banyak manalah pendapatan kita. Bila berpangkat, kita berasa kitalah manusia yang paling mulia. Sehinggakan kita boleh kecil hati jikalau ada teman sekampung yang tidak menyebut gelaran dan pangkat bila menyapa kita.

Begitulah. Orang yang mendapat sesuatu dengan mudah lazimnya berasa dirinya tiba-tiba terjulang ke tempat yang tinggi. Justeru itu, dia tidak pandai mengawal perasaan hingga berasa dirinya melayang tidak jejak ke bumi. Dia alami superiority complex. Sikap tawaduk sudah hilang dari sanubarinya. Padahal, langkah kakinya tidak boleh menembusi bumi. Atau tubuhnya tidak setinggi gunung. Apa yang hebatnya?


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.3.10.

Wednesday, March 10, 2010

UNTUK MEREKA YANG BERCINTA


TIGA DIMENSI
C I N T A

Cinta adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi sebagai satu perasaan murahan kerana turut bersandarkan nafsu. Kerana itu juga, istilah cinta menjadi mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan bersahaja.

Lafaz ‘AKU CINTA PADAMU’ atau ‘I LOVE YOU’ sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti degup jantungnya. Pendek kata ungkapan ‘AKU CINTA PADAMU’ sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian rendah, hingga ada yang mencemuh cinta itu sendiri. Mengapa, ya?

Bagi saya, ia mempunyai persepsi yang murahan kerana cinta yang sering disebut-sebut itu sebenarnya cinta fizikal. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dirasai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Sebab itu, bagi pasangan yang rosak, mereka boleh jatuh cinta selepas berkenalan sehari dan melakukan yang haram atas nama cinta, sedangkan cinta yang dirasai itu tidak lebih daripada cinta fizikal semata-mata.

Kerana itu, apakah cinta yang lebih bermakna? Pada saya cinta yang lebih bererti daripada cinta fizikal adalah cinta emosional. Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, membantu menelaah pelajaran, saling bersama pergi dan pulang kerja, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional.

Dari situ,menjelmalah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosionalah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi. Namun, cinta emosional yang disalahgunakan bisa terjadi bila mana si lelaki menabur budi untuk membeli body.

Cinta fizikal dan cinta emosional adalah dua peringkat cinta yang dilalui kebanyakan daripada kita. Bila mula bersatu sebagai suami isteri, rapatnya mengalahkan belangkas dan memalukan merpati. Semakin masa berlalu, kehadiran pasangan adalah rutin, cukup sekadar duduk bersarapan bersama di mana si suami asyik membaca akhbar dan si isteri seronok menonton TV.

Kasih sayang kian luput kerana kononnya si isteri perlu tumpukan masa untuk menjaga anak-anak sementara si suami mesti bekerja lebih kuat untuk ekonomi keluarga yang semakin membesar. Apabila usia semakin meningkat, si isteri perlu menjaga cucu dan si suami perlu beribadat di masjid pula. Maka, kedua-duanya bersama untuk menghabiskan sisa-sisa hidup menunggu mati kerana kasih kepada pasangan sudah luput.

Memanglah begini jadinya kepada banyak pasangan apabila hanya menikmati cinta fizikal dan emosional. Kedua-duanya tidak akan bertahan lama. Ia akan goyah jika tidak dianyam dengan cinta dimensi ketiga iaitu cinta spiritual.

Di manakah cinta spiritual? Perasaan cinta ini sukar menjelma jika tidak dirasai melalui suara hati. Kerana ia tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Oleh kerana ia tidak dicari, ia sukar ditemui. Namun, cinta fizikal dan cinta emosional yang disulami dengan cinta spiritual akan mengekalkan pasangan. Perasaan mawaddah wa rahmah, atau cinta dan kasih akan menghiasi kehidupan yang menenangkan.

Pasangan yang mengalami cinta spiritual akan saling membantu, saling bersama, saling intim, malah saling doa mendoakan agar kedua-duanya terus dapat bertemu di akhirat. Cinta fizikal dan cinta emosional akan gugur, tetapi cinta spiritual makin bersinar bila usia merangkak senja.

Cinta spiritual yang membawa ke syurga bukan khayalan di dalam lagu cinta, tetapi ia benar-benar ada jika kita mencarinya dengan menyuluh ke denai-denai di hati. Cinta spiritual adalah kunci kebahagiaan yang hakiki kerana ia adalah kepunyaan Allah Al Wadud.
Artikel ini telah terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.3.10.
Ia juga pernah terbit di blog ini 15.5.09.

Wednesday, March 3, 2010

KAUNSELOR DI UDARA


MASALAH TAK SELESAI
DENGAN KETAWA




KESUNYIAN memandu biasanya saya bisingkan dengan memasang radio. Saya suka dengar lagu, tak kira jenis muzik, dengar ceramah agama dan celoteh pendengar di udara. Saya kurang minat dengar celoteh DJ. Anda tentu tahu mengapa sebabnya. Celoteh pendengar selalunya menghiburkan. Mereka bersungguh-sungguh bercerita pengalaman, masalah dan juga memberi komen-komen membina.

Cuma terganggu bila DJ selalunya menyampuk. Saya faham kalau DJ menyampuk untuk juruskan perbualan agar tak tergelincir dari topik. Tapi kalau mencelah untuk memperlawak dan mempersenda komen pendengar, itu kurang menyelerakan telinga.

Baru-baru ini saya terdengar satu siaran radio swasta. Seorang DJ mengendalikannya. Mereka mengemukakan satu topik mengenai pengorbanan yang paling besar dilakukan oleh seseorang. Satu panggilan masuk. Si gadis menceritakan bagaimana dia terpaksa berkahwin dengan lelaki pilihan ibu yang tidak dicintainya. Dialognya lebih kurang begini...

“Awak pasti tak hendak kahwin dengan dia?” soal si DJ. “Memang saya tak nak,” jawab si gadis. “Kalau tak nak, beritahulah saja pada emak awak,” kata si DJ. “Tapi macam mana saya nak tolak? Saya tak pandai nak cakap,” ujar si gadis. “Alah, kata sahaja pada emak awak… kalau emak nak sangat, apa kata kalau mak aje yang kahwin!” jelas si DJ dengan bersahaja.

“Takkanlah macam tu…” jata si gadis. “Kalau awak tak nak cakap macam tu, awak beri syarat pada lelaki itu… kalau awak nak kahwin dengan saya, awak mesti basuh baju dan masak nasi untuk saya!” ujar si DJ diikuti dengan ketawa berdekah-dekah.

Ada satu lagi perbualan di sebuah stesen berbahasa Inggeris. Satu panggilan anak dara sunti (cam dari nada suaranya) disambut oleh DJ bertugas. “I hate my mum. She will get mad when I go out to meet friends…” Belum pun sempat gadis itu menyambung, si DJ mula menyampuk. “No, girl. You shouldn’t hate your mum. She is concerned about you, about your well being. No mother hate their kids. You must listen to what she says. But never, never hate her…”

Sesetengah DJ-DJ di stesen radio menganggap mereka boleh bercakap apa sahaja tanpa mengerti perasaan si pemanggil di luar sana. Di stesyen berbahasa Melayu tu, si DJ menganggap, masalah berat seorang gadis itu sesuatu yang boleh dilawak-lawakkan. Mereka fikir, pendengar yang lain akan terhibur dengan cara ketawa sahaja.

Sebenarnya, bukan ketawa sahaja yang boleh menghiburkan. Perasaan simpati, empati, bimbang, prihatin dan berduka juga boleh membuatkan seseorang pendengar itu ‘terhibur’ dengan meneroka segenap lubuk perasaannya tatkala mendengar, kerana manusia mempunyai beratus-ratus jenis perasaan. Rasa geli hati, lalu tertawa, hanya satu daripada cabang perasaan.

Di stesyen berbahasa Inggeris itu pula, DJnya terus berleter kepada anak gadis yang menyuarakan rasa benci(sebenarnya, bosan) terhadap ibunya. Si DJ, dengan suara otokratik, terus bercakap, jangan itu, jangan ini dan lain-lain lagi sehingga si remaja itu terdiam sampai panggilannya diputuskan! DJ yang berasa puas, bukan si pemanggil!

Betapa pun, saya berpendapat ia bukan kesalahan di pihak DJ semata-mata bila menjalankan psychoteraphy tanpa mereka sedari. Penerbit rancangan sendiri perlu mengerti isi dan inti rancangan yang mereka cipta.

Kemudian, DJ-DJ perlu dipandu agar mengendalikan rancangan sebegitu dengan lebih profesional. Narrative therapy yang menggunakan komunikasi secara dialog, seperti di udara, boleh menyebabkan klien (pemanggil) menjadi lebih murung, setelah hamburan perasaannya tidak selesai (unfinished business). Malah, dia mungkin lebih malu kerana masalahnya didengar oleh ribuan pendengar lain.

Justeru itu, pihak pengurusan stesen radio perlu menghantar DJ-DJ yang mengendali rancangan sebegitu ke kursus kaunseling agar mereka empatik terhadap pemanggil. Apabila menjawab panggilan pendengar, mereka boleh memberikan jawapan yang memberi semangat.
Tidak mustahil, rancangan yang dikendalikan dengan lebih terarah akan mendapat rating yang lebih tinggi bila ramai yang ingin mendapat idea menyelesaikan masalah masing-masing dengan mendengar masalah orang lain.

Pendengar bukan sahaja nak dengar lagu dan ketawa sepanjang masa.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.3.10.

Artikel asalnya berjudul Counselor-on-air pada 11.9.08 yang telah disemasakan.