Tuesday, December 26, 2017

DAH KENAL MAKA JADI BENCI?


SUDAH KENAL TAK JADI CINTA
PEPATAH MELAYU ada menyebut, ‘tak kenal maka tak cinta.’ Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang, bagaimana mungkin kita dapat menyintainya? Ia juga membawa makna, andainya kita tidak meluangkan masa untuk mengetahui sesuatu perkara, bagaimana kita boleh menyukainya?
Pepatah ini punyai konotasi yang positif. Seseorang mahupun perkara yang tidak digemari itu besar kemungkinannya akan disukai akhirnya apabila kita memperdalami seluruh sisi dan aspek individu atau sesuatu perkara itu secara holistik.
Inilah pandangan yang kita biasa pegang secara umum. Pendek kata, tidak ada perkara yang kita akan kekal benci seandainya kita cuba mendekati dan memahaminya. Baguslah jika kita dapat menyukai sesuatu dengan cara apresiasi.
Namun, daripada sudut pandangan yang kontradik, apakah kita sedar, ada banyak perkara yang kita cintai meskipun kita belum mengenalinya? Jika mengenali sesuatu untuk memutikkan rasa cinta itu adalah jalan yang baik, menyukai sesuatu tanpa kita mengenali secara mendalam adalah tindakan yang tidak adil kepada diri sendiri!
Pada hari ini, banyak sekali perkara yang kita cintai meskipun kita belum mengenalinya. Inilah yang menimbulkan masalah kepada ramai di kalangan kita. Ada yang kesal kerana tertipu kerana keindahan mahupun kebagusan sesuatu yang hanya dipandang daripada luar lagi jauh.
Suka kepada sesuatu skim duit buat duit, beli rumah murah gila, pergi umrah pakej bajet diskaun luar biasa, ubat dan mekap yang menjadikan kulit flawless di laman sosial, mengakibatkan ramai di kalangan kita sanggup berhabis wang ringgit untuk melangganinya.
Kita mengheret rakan taulan dan sanak saudara untuk ikut serta dalam skim yang diuar-uarkan. Kita promosikan segala barangan ini dengan penuh kepercayaan bahawa inilah perkhidmatan mahupun produk paling top.
Apabila wang habis dan janji tinggal janji, barangan dan perkhidmatan itu indah khabar dari rupa, si penaja menghilangkan diri dan laman yang dikunjungi sudah tutup, baharulah kesal datang bersarang. Mana nak letak muka.
Menyukai kepada personaliti samada pemimpin, ustaz mahupun selebriti misalnya,  semata-mata kerana wajahnya sering muncul di media tanpa usul periksa bakal mengundang padah dan kekesalan.

Si pemimpin memang pakar dalam menaikkan semangat dengan ucapan retoriknya. Dia boleh menjanjikan bulan, bintang, matahari, malah planet. Tanpa kita mengenali saudagar mimpi ini secara mendalam lalu mempercayainya, mulut kita mungkin ternganga apabila suatu hari, kita terpandang dia dikenakan baju oren untuk ke mahkamah.
Ustaz juga tidak semestinya guru asalkan dia berjubah, berjanggut dan berkopiah. Apabila kita menyukainya semata-mata kerana jumlah likes di Facebooknya mahupun ratusan ribu views videonya di Youtube, kita tertipu apabila lebih menyukai dirinya daripada apa yang dibicarakannya.
Ramai yang taksub dan fanatik kepada sesetengah ustaz hingga kita benarkan apa yang dia benarkan, tetapi menyalahkan apa yang dia katakan salah. Walhal dahulu, dia juga yang kata ‘benar’ mengenai sesuatu… tetapi pada hari ini dia kata ‘tak benar’ pula. Pendek kata, kita hanya sami’na wa’ata’na dengan segala kata-katanya.
Menjadi peminat setia kepada seseorang selebriti itu sudah menjadi suatu budaya di dalam masyarakat. Tanpa usul periksa, kita menyukai seseorang selebriti kerana ramai orang lain suka. Oleh kerana dah jadi peminat, ramai di antara kita menjadi pembelanya tanpa elaun. Apa yang dilakukannya, meskipun melanggar sopan dan budaya, kita sukai.
Pandangan-pandangan negatif peminat lain dianggap sebagai pandangan haters yang harus diperangi habis-habisan. Malah, bila dia mati pun kita jadi pengikut yang sanggup meraung dan meratap akan pemergiannya. Kalaupun dia mati dengan bunuh diri, kita masih menyanjunginya meskipun ia melanggar fitrah insan yang siuman.
Sememangnya payah jika kita dah menyintai sebelum kita mengenali. Sikap demikian menyukarkan kita mengubah pendirian seandainya sesuatu atau seseorang yang dicintai itu sebenarnya tidak baik buat kita. Tanpa kita sedari, kita terperangkap dengan pendirian kita sendiri. Barangkali malu untuk memperbetul kesilapan pendirian, kita terus berpegang kepada sesuatu yang tidak elok.
Jika tak kenal maka tak cinta itu sesuatu yang perlu dialami untuk mendapatkan kebagusannya, kita juga perlu bersikap, sudah kenal tak jadi nak cinta. Pendek kata, kita perlu berani berubah pendirian untuk menyukai mahupun membencikan sesuatu untuk kebaikan diri kerana apa yang kita buat itu akan dipersoal nanti.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.12.17.

Wednesday, December 20, 2017

BERTUKAR ATAU BERUBAH?


LARI DARI BIASA
UNTUK JADI
LUAR BIASA
SEMUA orang termasuk kita mahu buat kerja mudah. Apa yang mudah akan menjadikan diri kita berasa selesa untuk berbuat apa yang kita suka. Yang mudah akan senang tercapai. Ia menjadikan kita berasa senang hati kerana kehidupan seharian akan dijalani seperti skrip yang berulang.
Bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, sarapan pagi, masuk kerja, makan tengahari, masuk kerja, minum petang, masuk kerja dan kemudian pulang ke rumah. Apabila kesemuanya sudah teratur, ia akan menjadikan hidup kita bahagia dan gembira. Kita punyai rasa bahawa apa yang dihajati mudah tercapai. Kesemuanya di bawah kawalan. Kononnya kita menguasai keadaan, bukan keadaan yang menguasai kita. Tak perlu lagi susah-susah pening kepala.
Apabila penat, menonton TV, bermesej dan bersembanglah berjam-jam dengan teman-teman dalam berpuluh-puluh kumpulan Whatsapp atau mengunjungi halaman kawan-kawan dan kenalan di Facebook. Bila mengantuk tarik selimut dan tidur. Esok pagi ada cerita sama yang menggembirakan. Heaven, kata orang sekarang! Dah settled down, kata orang putih pula.
Namun, apa yang mudah itu akhirnya perlahan-lahan akan memakan diri sendiri. Bukannya makan secara fizikal, tetapi makan dari segi mental dan spiritual. Apabila sesuatu itu dilakukan berulang-ulang, ia menjadikan kita robot kerana bertindak mengikut apa yang sudah diprogram. Cuma beza kita dengan robot ialah, kita yang membuat program untuk merobotkan diri sendiri.
Mental akan menjadi lembab kerana kita asyik melakukan sesuatu yang serupa. Tak payah perah otak, kesemuanya boleh dilakukan walaupun dengan mata yang terpejam. Spiritual kita juga lemah kerana jiwa tidak diberi sesuatu yang baharu. Maknanya, jiwa akan jadi layu dan akhirnya mati. Kita jadi zombi. Ramai yang tak sedar dah hidup seperti zombie ~ bangkai bernyawa.
Bilakah kita akan sedar? Kita akan sedar apabila kita terhantuk dalam kehidupan. Sudah terhantuk baharu tengadah. Bila terlanggar, baharulah mendongak. Iya, apabila kita tidak sedar dan hanya khayal dalam hidup ini, ALLAH beri tarbiah dengan meletak masalah. Ada yang kecil-kecil, ada yang besar dan lagi menyakitkan.
Masalah yang kecil-kecil seperti kereta rosak, akan mengajar kita belajar kembali naik bas turun bas, naik LRT turun MRT. Akan terasalah seperti patah kaki. Kita akan belajar bersusah berlari 100 meter mengejar bas. Bersesak di dalam kenderaan awam untuk merasa kembali seperti di zaman muda tatkala belum ada kereta atau motorsikal.
Jika berdepan dengan masalah besar seperti anggota keluarga yang sakit dan perlu dimasukkan ke wad, kita akan belajar untuk bersabar, menyuap pesakit, memimpin dia ke bilik air, tidur duduk di kerusi dan berdoa dengan penuh rasa bahawa Tuhan itu begitu hampir. Pendek kata, masalah yang melintasi rutin mudah dan senang kita selama ini akan menjadikan kita sedar diri bahawa sebenarnya kita tiada kuasa ke atas diri kita pun!
Untunglah jika kita disedarkan dengan masalah supaya kita terpaksa mengharungi kehidupan yang luar daripada biasa. Merugilah andainya tiada apa-apa masalah hingga kita jadi mamai dan lali di dalam kehidupan hingga ke akhir nyawa.
Untuk itu, jika kita sudah berasa selesa di dalam kehidupan, sudah berasa selamat dan happy memanjang, ketahuilah bahawa itu bukannya kehidupan yang sebenarnya. Kerana kehidupan yang sebenar adalah perjuangan. Perjuangan untuk diri dan untuk mereka yang kita sayangi yang ada di sekeliling kita. Dan, perjuangan tak akan pernah selesai.
Untuk itu, kita kenalah peka jika 90 peratus dari kehidupan seharian kita adalah rutin. Ia adalah petanda yang kita dah jadi orang yang berminda lembik dan berspiritual lemah. Cara untuk lari daripada kelembikan dan kelemahan ini ialah dengan melakukan sesuatu dari kebiasaan.
Jika biasa bangun pukul 6.00 pagi, cuba bangkit jam 4.00 pagi. Jika biasa merebut kerusi belakang di gerabak LRT, cubalah berdiri kali ini. Jika biasa makan berkawan di restoran, cuba makan sendirian di pejabat. Pendek kata ubah tabiat, bukannya buang tabiat kerana semua dilakukan dengan sedar. 
Meskipun kita melakukan hal yang kecil-kecil, yang mudah-mudah, rasakan perbezaan apabila berbuat sesuatu di luar kebiasaan. Kemudian, lakukan sesuatu yang lebih besar impaknya pada diri. Buang 20 % kawan-kawan di laman sosial dan juga daripada 5 kumpulan sembang yang tidak memberi faedah kepada kita.
Jika kita berani lakukan itu, ia bermakna kita sedang mengandam diri sendiri supaya fit daripada segi mental dan spiritual. Ramai yang kata, ia suatu perbuatan-perbuatan yang kecil dan remeh. Tetapi cubalah lakukannya. Ramai yang akan rasa kesakitan kehilangan. Tetapi percayalah perkara baharu akan memenuhi kekosongan itu.
Jika mahu menjadi insan luarbiasa, mulakan dengan sesuatu yang di luar kebiasaan.

Tuesday, December 12, 2017

BILA AKHBAR DALAM TALIAN ATASI AKHBAR CETAK


PEMBACA KIAN TUMPUL FIKIRAN
INDUSTRI persuratkhabaran mula berkembang di Eropah. Pada awalnya, akhbar ditulistangan dan beredar di Venice pada 1566. Akhbar bercetak pula diterbitkan secara mingguan di Germany mulai 1609. Ia mula berkembang pesat di United Kingdom apabila kerajaan pada ketika itu melonggarkan sekatan.
Di tahun 1830an mesin-mesin cetak besar memainkan peranan untuk menerbitkan ribuan naskhah dan akhbar berkembang di bandar-bandar utama Eropah. Pada mulanya akhbar-akhbar banyak bersandar kepada laporan politik untuk mendapat dana. Mulai tahun-tahun 1900an pula dunia pengiklanan kian berkembang. Dan, akhbar sebagai medium pengiklanan memperoleh pendapatan untuk hidup hasil sumbangan pengiklanan.
Apabila radio tercipta, berita mula disampaikan melalui medium itu. Namun, radio tidak begitu menjejaskan jualan akhbar hingga munculnya televisyen pada tahun 1950an. Televisyen melalui persembahan audio visualnya menarik sejumlah besar pembaca akhbar.
Namun, perkembangan internet pada tahun 2000 dan kemunculan telefon pintar sedekad kemudian amat memberi kesan kepada pendapatan iklan. Banyak para pengiklan memperuntukan sejumlah besar dana pemasarannya melalui pembelian ruang iklan. Akhbar sebagai medium pengiklanan kian ditinggalkan.
Kewujudan media sosial khususnya Facebook memberi kesan yang besar kepada akhbar cetak. Sebagai medium sembang yang popular, penerbitan akhbar ingin mencuri perhatian pengguna dengan muncul di platform itu. Walaupun terus diterima oleh khalayak pembaca, jualan akhbar bercetak kian merosot.
Syarikat-syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka mula memperuntukan sejumlah besar belanja iklan mereka di media sosial pula. Instant article di mana iklan diselangseli dengan berita di laman Facebook menjadikan khalayak pembaca semakin memandang enteng kepada akhbar bercetak. Youtube, Twitter, Instagram dan portal-portal akhbar dalam talian juga bagai menjanjikan talkin untuk akhbar bercetak.

Trend itu juga dapat dilihat pada perkembangan industri akhbar di negara ini. Akhbar-akhbar arus perdana nampaknya mengalih perhatian kepada laporan berita dalam talian. Portal-portal akhbar-akhbar ini begitu popular kerana mendapat tempat-tempat teratas sebagai laman-laman yang paling banyak dilayari.
Laporan Comscore bagi bulan Oktober 2017 menunjukkan akhbar Harian Metro, Berita Harian, The Star, Malaysiakini dan akhbar Sinar Harian  menduduki lima tangga teratas sebagai portal-portal berita yang paling popular di Malaysia. Harian Metro mendapat lebih 47 juta pelayar yang mengunjungi lamannya.
Ini diikuti dengan The Star 25 juta, Malaysiakini 23 juta, Berita Harian, 21 juta, dan Sinar Harian 17 juta. Apabila jutaan pengunjung melayari portal-portal berita ini, ia menarik sejumlah besar iklan daripada akhbar bercetak kepada akhbar atas talian. Ia menjanjikan potensi pengiklanan yang kian membuak.
Kini, akhbar-akhbar perdana ini mengubah cara kerja masing-masing dengan menggunakan pendekatan digital first. Wartawan pada hari ini tidak lagi menghantar laporan ke akhbar cetak supaya beritanya dapat diterbitkan pada keesokan hari. Sebaliknya, wartawan diwajibkan untuk menghantar berita ke portal akhbar untuk dipapar secara dalam talian kerana berita itu perlu disiarkan pada hari yang sama. Namun biasanya, berita secara live adalah pendekatan yang paling dikehendaki.

Malah, struktur organisasi syarikat akhbar dirombak dengan mengadakan sistem bilik berita bersepadu atau common newsroom di mana sesebuah berita itu disampaikan dalam bentuk tulisan, foto dan juga video. Berita ini ditarik untuk diagih ke pletform penyampaian berita di akhbar cetak mahupun secara digital.

Khalayak pembaca akan suka bilamana mereka boleh menonton sesebuah perlawanan bolasepak di stadium dengan melihat dengan mata kepalanya atau melalui telefon pintar masing-masing secara live. Pada keesokan harinya, dia tidak perlu membelek akhbar lagi untuk membaca mengenai perlawanan semalam. Dia hanya perlu menatap ulasan perlawanan bersama dengan ulasannya di telefon pintarnya.
Kemudahan penyiaran berita melalui internet menjadikan khalayak mendapat apa yang diingininya secara cepat. Dia akan melayari ke mana-mana sahaja hingga dia bertemu jawapan yang dikehendakinya. Syarikat-syarikat akhbar memenuhi keperluan ini secara dalam talian. Akhbar cetak semakin dilupakan.
Namun, tanpa disedari oleh khalayak, mereka menjadi semakin tumpul pemikiran. Mereka menonton, membaca dan mendengar. Tanpa sempat merenung apa yang ditatap, mereka sudah beralih ke cerita lain. Sambil membaca, fikiran mereka diusik pula dengan iklan-iklan yang muncul tanpa salam.

Akhirnya, dunia pemberitaan menjelma menjadi dunia hiburan bilamana apa yang menarik itulah yang disukai. Kisah mangsa pelarian yang kebuluran kurang mendapat perhatian berbanding dengan kisah lembu jatuh ke dalam parit!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.12.17.

Tuesday, December 5, 2017

THE SAME PRINCIPLE

RAJIN DAN USAHA
TANGGA KEJAYAAN

SAYA terpandang seorang remaja yang sedang melengung di sebuah bistro. Di hadapannya ada sebuah komputer riba. Dia kelihatan tiada bersemangat. Saya menyapanya dan bertanya apa masalahnya. Rafie, nama remaja itu memberitahu saya yang dia penat membuat pelbagai promosi baju-T di dalam laman sosial Facebooknya. Namun tidak ramai yang membeli produknya. Katanya, dia mahu sahaja berhenti dan mencari kerja daripada berniaga secara dalam talian. ‘Rajin dan usaha tangga kejayaan.’ Itu sahaja nasihat saya apabila Rafie meminta pendapat saya mengenai usahanya.
Ramai di antara kita yang sudah biasa dengan pepatah di atas. Namun,  apakah kita menyedari bahawa pepatah di atas masih lagi relevan? Jika kita ingin berjaya dengan apa yang kita lakukan, buatlah sesuatu dengan konsisten. Sama da cepat atau lambat, jika kita beristiqamah dengan sikap rajin dan usaha dengan apa yang kita lakukan, insya-ALLAH ia akan menempa kejayaan.
Nabi Nuh a.s telah menerima wahyu daripada ALLAH swt agar membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan kaumnya yang beriman dari banjir besar. Tatkala baginda membinanya pun, dia telah dicemuh oleh kaumnya yang tidak mahu beriman. Dia diperlekeh dan diperli. Namun baginda konsisten dalam apa yang dia lakukan kerana sudah punyai visi akhir projeknya. Akhirnya, apabila banjir besar datang, dia berjaya menyelamatkan kaumnya.
 Pencipta Thomas Elva Edison telah melakukan lebih 1,000 kali eksperimen hingga berjaya membuat mentol lampu elektrik. Usahanya diragui oleh ramai saintis yang lain. Namun apabila berjaya, beliau ditanya oleh seorang pemberita, apa perasaannya kerana gagal lebih 1,000 kali dalam penciptaannya? Jawab Thomas, ‘Saya bukannya gagal 1,000 kali. Mentol lampu yang saya buat ini adalah ciptaan setelah menapak lebih 1,000 langkah.’
Jutawan Cina, Jack Ma telah menghadapi lebih tujuh kali kegagalan dalam hidup sebelum beliau berjaya membina empayar Alibabanya. Beliau banyak kali gagal dalam peperiksaan di sekolah, hanya mendapat satu markah dalam peperiksaan matematik, gagal memasuki Universiti Havard setelah mencuba 10 kali dan juga gagal dalam lebih 30 temuduga kerja. Hanya kedegilannya untuk bersikap rajin dan usaha sahaja yang akhirnya menjadikan dia seorang bilionair. 
Bagaimanapun, pada hari ini, situasinya sudah berbeza. Jika dahulu, mereka di sekeliling seperti rakan taulan dan keluarga boleh menjadi peluntur semangat. Niat kita untuk mula berniaga, berhenti merokok, berubah perangai ataupun membela kambing sebagai suatu perusahaan akan mengundang banyak kritik daripada mereka di sekeliling kita.
Kini, oleh kerena tenggelam di alam siber, mereka di sekeliling kita pun tidak akan peduli dengan apa yang kita lakukan. Terlalu banyak perhatian mereka terarah kepada apa yang terpapar di telefon masing-masing. Media sosial, video, sembang dan juga permainan menjadikan mereka tidak mahu ambil tahu dengan apa yang kita lakukan. Ketidakpedulian ini juga akan melemahkan semangat kita.
Telefon sebenarnya memisahkan manusia hingga menjadi individu-individu yang berada di dalam dunianya yang tersendiri. Kerana itu, apa yang ingin dilakukan tidak akan mudah menarik perhatian. Jika tiada kritik, cemuh dan perli dari orang di sekeliling, ia juga menjadikan kita berasa apa yang kita usahakan itu tiada maknanya.
Justeru, bagaimana? Kita kena berpegang juga dengan prinsip rajin dan usaha tangga kejayaan. Dalam suasana yang berbeza, prinsip kejayaan masih serupa. Jika dahulu menjadi perhatian tetapi dicemuh lalu melemah semangat, kini tidak dipedulikan juga akan melemahkan semangat.
Berbalik kepada Rafie, saya menasihatinya agar terus melakukan apa yang ingin dilakukannya secara konsisten. Jangan sekali-kali berhenti. Dengan begitu banyak aplikasi dan pelbagai perkara yang mengasyikkan sesiapa sahaja, mereka tidak akan peduli apa yang Rafie usahakan.
Tetapi, algorithm di dalam media sosial itu direka untuk memaparkan siapa yang kerap menaikkan status. Ertinya, siapa yang paling banyak memaparkan statusnya, maka paparan dialah yang akan lebih kerap muncul.
Saya menasihati Rafie agar memahami numbers game dalam dunia siber. Meskipun kualiti menjadi keutamaan, kuantiti jugalah apa yang bakal menarik perhatian orang. Lakukan sehingga mereka yang sibuk dengan dunianya terperasan akan kehadiran kita. Apabila waktunya tiba, usaha kita akan menjadi besi berani yang akan menarik pelanggan menghampiri kita.
Pokoknya, jalan menuju kejayaan itu memang sunyi dan gelap. Kita perlukan lampu suluh yang baterinya adalah semangat kita sendiri.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.12.17.