LARI DARI
BIASA
UNTUK JADI LUAR BIASA
UNTUK JADI LUAR BIASA
SEMUA orang termasuk kita
mahu buat kerja mudah. Apa yang mudah akan menjadikan diri kita berasa selesa
untuk berbuat apa yang kita suka. Yang mudah akan senang tercapai. Ia
menjadikan kita berasa senang hati kerana kehidupan seharian akan dijalani
seperti skrip yang berulang.
Bangun pagi, gosok gigi,
pergi kerja, sarapan pagi, masuk kerja, makan tengahari, masuk kerja, minum
petang, masuk kerja dan kemudian pulang ke rumah. Apabila kesemuanya sudah
teratur, ia akan menjadikan hidup kita bahagia dan gembira. Kita punyai rasa
bahawa apa yang dihajati mudah tercapai. Kesemuanya di bawah kawalan. Kononnya
kita menguasai keadaan, bukan keadaan yang menguasai kita. Tak perlu lagi
susah-susah pening kepala.
Apabila penat, menonton
TV, bermesej dan bersembanglah berjam-jam dengan teman-teman dalam
berpuluh-puluh kumpulan Whatsapp atau
mengunjungi halaman kawan-kawan dan kenalan di Facebook. Bila mengantuk tarik
selimut dan tidur. Esok pagi ada cerita sama yang menggembirakan. Heaven, kata orang sekarang! Dah settled down, kata orang putih pula.
Namun, apa yang mudah itu
akhirnya perlahan-lahan akan memakan diri sendiri. Bukannya makan secara
fizikal, tetapi makan dari segi mental dan spiritual. Apabila sesuatu itu
dilakukan berulang-ulang, ia menjadikan kita robot kerana bertindak mengikut
apa yang sudah diprogram. Cuma beza kita dengan robot ialah, kita yang membuat
program untuk merobotkan diri sendiri.
Mental akan menjadi
lembab kerana kita asyik melakukan sesuatu yang serupa. Tak payah perah otak,
kesemuanya boleh dilakukan walaupun dengan mata yang terpejam. Spiritual kita
juga lemah kerana jiwa tidak diberi sesuatu yang baharu. Maknanya, jiwa akan
jadi layu dan akhirnya mati. Kita jadi zombi. Ramai yang tak sedar dah hidup
seperti zombie ~ bangkai bernyawa.
Bilakah kita akan sedar?
Kita akan sedar apabila kita terhantuk dalam kehidupan. Sudah terhantuk baharu
tengadah. Bila terlanggar, baharulah mendongak. Iya, apabila kita tidak sedar
dan hanya khayal dalam hidup ini, ALLAH beri tarbiah dengan meletak masalah.
Ada yang kecil-kecil, ada yang besar dan lagi menyakitkan.
Masalah yang kecil-kecil
seperti kereta rosak, akan mengajar kita belajar kembali naik bas turun bas,
naik LRT turun MRT. Akan terasalah seperti patah kaki. Kita akan belajar
bersusah berlari 100 meter mengejar bas. Bersesak di dalam kenderaan awam untuk
merasa kembali seperti di zaman muda tatkala belum ada kereta atau motorsikal.
Jika berdepan dengan
masalah besar seperti anggota keluarga yang sakit dan perlu dimasukkan ke wad,
kita akan belajar untuk bersabar, menyuap pesakit, memimpin dia ke bilik air,
tidur duduk di kerusi dan berdoa dengan penuh rasa bahawa Tuhan itu begitu
hampir. Pendek kata, masalah yang melintasi rutin mudah dan senang kita selama
ini akan menjadikan kita sedar diri bahawa sebenarnya kita tiada kuasa ke atas
diri kita pun!
Untunglah jika kita
disedarkan dengan masalah supaya kita terpaksa mengharungi kehidupan yang luar
daripada biasa. Merugilah andainya tiada apa-apa masalah hingga kita jadi mamai
dan lali di dalam kehidupan hingga ke akhir nyawa.
Untuk itu, jika kita sudah
berasa selesa di dalam kehidupan, sudah berasa selamat dan happy memanjang, ketahuilah bahawa itu bukannya kehidupan yang
sebenarnya. Kerana kehidupan yang sebenar adalah perjuangan. Perjuangan untuk
diri dan untuk mereka yang kita sayangi yang ada di sekeliling kita. Dan,
perjuangan tak akan pernah selesai.
Untuk itu, kita kenalah
peka jika 90 peratus dari kehidupan seharian kita adalah rutin. Ia adalah
petanda yang kita dah jadi orang yang berminda lembik dan berspiritual lemah.
Cara untuk lari daripada kelembikan dan kelemahan ini ialah dengan melakukan
sesuatu dari kebiasaan.
Jika biasa bangun pukul
6.00 pagi, cuba bangkit jam 4.00 pagi. Jika biasa merebut kerusi belakang di
gerabak LRT, cubalah berdiri kali ini. Jika biasa makan berkawan di restoran,
cuba makan sendirian di pejabat. Pendek kata ubah tabiat, bukannya buang tabiat
kerana semua dilakukan dengan sedar.
Meskipun kita melakukan
hal yang kecil-kecil, yang mudah-mudah, rasakan perbezaan apabila berbuat
sesuatu di luar kebiasaan. Kemudian, lakukan sesuatu yang lebih besar impaknya
pada diri. Buang 20 % kawan-kawan di laman sosial dan juga daripada 5 kumpulan
sembang yang tidak memberi faedah kepada kita.
Jika kita berani lakukan
itu, ia bermakna kita sedang mengandam diri sendiri supaya fit daripada segi mental dan spiritual. Ramai yang kata, ia suatu
perbuatan-perbuatan yang kecil dan remeh. Tetapi cubalah lakukannya. Ramai yang
akan rasa kesakitan kehilangan. Tetapi percayalah perkara baharu akan memenuhi
kekosongan itu.
Jika mahu menjadi insan
luarbiasa, mulakan dengan sesuatu yang di luar kebiasaan.
No comments:
Post a Comment