SUDAH KENAL TAK JADI CINTA
PEPATAH MELAYU ada menyebut, ‘tak kenal
maka tak cinta.’ Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak
kenal dengan seseorang, bagaimana mungkin kita dapat menyintainya? Ia juga
membawa makna, andainya kita tidak meluangkan masa untuk mengetahui sesuatu
perkara, bagaimana kita boleh menyukainya?
Pepatah ini punyai konotasi yang
positif. Seseorang mahupun perkara yang tidak digemari itu besar kemungkinannya
akan disukai akhirnya apabila kita memperdalami seluruh sisi dan aspek individu
atau sesuatu perkara itu secara holistik.
Inilah pandangan yang kita biasa pegang
secara umum. Pendek kata, tidak ada perkara yang kita akan kekal benci
seandainya kita cuba mendekati dan memahaminya. Baguslah jika kita dapat
menyukai sesuatu dengan cara apresiasi.
Namun, daripada sudut pandangan yang kontradik,
apakah kita sedar, ada banyak perkara yang kita cintai meskipun kita belum
mengenalinya? Jika mengenali sesuatu untuk memutikkan rasa cinta itu adalah
jalan yang baik, menyukai sesuatu tanpa kita mengenali secara mendalam adalah
tindakan yang tidak adil kepada diri sendiri!
Pada hari ini, banyak sekali perkara
yang kita cintai meskipun kita belum mengenalinya. Inilah yang menimbulkan
masalah kepada ramai di kalangan kita. Ada yang kesal kerana tertipu kerana
keindahan mahupun kebagusan sesuatu yang hanya dipandang daripada luar lagi jauh.
Suka kepada sesuatu skim duit buat duit,
beli rumah murah gila, pergi umrah pakej bajet diskaun luar biasa, ubat dan
mekap yang menjadikan kulit flawless
di laman sosial, mengakibatkan ramai di kalangan kita sanggup berhabis wang
ringgit untuk melangganinya.
Kita mengheret rakan taulan dan sanak
saudara untuk ikut serta dalam skim yang diuar-uarkan. Kita promosikan segala
barangan ini dengan penuh kepercayaan bahawa inilah perkhidmatan mahupun produk
paling top.
Apabila wang habis dan janji tinggal
janji, barangan dan perkhidmatan itu indah khabar dari rupa, si penaja
menghilangkan diri dan laman yang dikunjungi sudah tutup, baharulah kesal
datang bersarang. Mana nak letak muka.
Menyukai kepada personaliti samada
pemimpin, ustaz mahupun selebriti misalnya, semata-mata kerana wajahnya sering muncul di
media tanpa usul periksa bakal mengundang padah dan kekesalan.
Si pemimpin memang pakar dalam menaikkan semangat dengan ucapan retoriknya. Dia boleh menjanjikan bulan, bintang, matahari, malah planet. Tanpa kita mengenali saudagar mimpi ini secara mendalam lalu mempercayainya, mulut kita mungkin ternganga apabila suatu hari, kita terpandang dia dikenakan baju oren untuk ke mahkamah.
Ustaz juga tidak semestinya guru
asalkan dia berjubah, berjanggut dan berkopiah. Apabila kita menyukainya
semata-mata kerana jumlah likes di Facebooknya mahupun ratusan ribu views videonya di Youtube, kita tertipu apabila lebih menyukai dirinya daripada apa
yang dibicarakannya.
Ramai yang taksub dan fanatik kepada
sesetengah ustaz hingga kita benarkan apa yang dia benarkan, tetapi menyalahkan
apa yang dia katakan salah. Walhal dahulu, dia juga yang kata ‘benar’ mengenai
sesuatu… tetapi pada hari ini dia kata ‘tak benar’ pula. Pendek kata, kita hanya
sami’na wa’ata’na dengan segala
kata-katanya.
Menjadi peminat setia kepada seseorang
selebriti itu sudah menjadi suatu budaya di dalam masyarakat. Tanpa usul periksa,
kita menyukai seseorang selebriti kerana ramai orang lain suka. Oleh kerana dah
jadi peminat, ramai di antara kita menjadi pembelanya tanpa elaun. Apa yang
dilakukannya, meskipun melanggar sopan dan budaya, kita sukai.
Pandangan-pandangan negatif peminat
lain dianggap sebagai pandangan haters yang
harus diperangi habis-habisan. Malah, bila dia mati pun kita jadi pengikut yang
sanggup meraung dan meratap akan pemergiannya. Kalaupun dia mati dengan bunuh
diri, kita masih menyanjunginya meskipun ia melanggar fitrah insan yang siuman.
Sememangnya payah jika kita dah
menyintai sebelum kita mengenali. Sikap demikian menyukarkan kita mengubah
pendirian seandainya sesuatu atau seseorang yang dicintai itu sebenarnya tidak
baik buat kita. Tanpa kita sedari, kita terperangkap dengan pendirian kita
sendiri. Barangkali malu untuk memperbetul kesilapan pendirian, kita terus
berpegang kepada sesuatu yang tidak elok.
Jika tak kenal maka tak cinta itu
sesuatu yang perlu dialami untuk mendapatkan kebagusannya, kita juga perlu
bersikap, sudah kenal tak jadi nak cinta. Pendek kata, kita perlu berani
berubah pendirian untuk menyukai mahupun membencikan sesuatu untuk kebaikan
diri kerana apa yang kita buat itu akan dipersoal nanti.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.12.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.12.17.
No comments:
Post a Comment