Tuesday, April 27, 2010

Menjaga Apa Yang Masuk ke dalam Fikiran


Foto: Incredimazing.com

BAHAYA SAMPAH
DI DALAM MINDA

SEKETIKA
tadi, saya melayari internet. Tiba-tiba saya terpandang nama ‘Stamford’ di dalam sebuah artikel. Lalu terus teringatkan Stamford Raffles, seorang pentadbir British yang dikenali sebagai ‘Bapa Singapura’. Saya masih ingat, Stamford Raffles menemui Singapura pada tahun 1819. Saya menghafal tahun beliau menemui Singapura untuk matapelajaran Sejarah peperiksaan untuk pelajar Tingkatan Tiga ~ peperiksaan yang setaraf dengan PMR pada hari ini.

Saya termenung. Mengapa saya masih mengingati tahun Stamford Raffles menemui Singapura setelah 38 tahun berlalu? Ya, saya tahu yang saya telah menghafal dan ingat akan tahun 1819 itu. Tetapi peperiksaan itu telah lama berlalu. Maklumat itu berguna buat saya dahulu kerana ia memberi sekurang-kurangnya satu markah di dalam peperiksaan matapelajaran sejarah.

Kini, maklumat itu sudah tidak berguna lagi. Buat apa saya menyimpan maklumat yang tidak berguna ini? Malangnya, saya tidak boleh membuangnya kerana ia sudah tersimpan di memori saya. Maklumat yang saya kutip pada tahun 1972 nampaknya akan kekal di sepanjang hayat.

Maklumat Stamford Raffles menemui Singapura pada tahun 1819 adalah satu di antara beribu-ribu lagi maklumat yang tidak berguna tetapi tidak boleh dibuang daripada ingatan saya. Apabila sesuatu itu tidak berguna, ia menjadi sampah, sedangkan bukankah sampah itu perlu dibuang?

SEPENGETAHUAN saya, belum ada alat yang dicipta untuk membuang maklumat yang sudah terakam di dalam minda. Kalaulah ada perisian untuk memadam maklumat seperti di dalam memori komputer, tentu sekali saya membeli alat itu. Sebabnya, saya ingin membuang beribu-ribu maklumat yang sudah lapuk atau tidak berguna daripada memori saya.

Namun, sampah di dalam minda akan tersimpan sampai bila-bila melainkan jika kita gila atau sengaja menghantuk kepala ke batu untuk mengalami amnesia, iaitu lupa ingatan. Inilah bahayanya. Bagaimana saya hendak membuang ingatan yang saya ini berbintang Gemini? Dahulu, saya seronok membaca bintang 12. Setelah tahu ia tahyul, saya mahu melupakannya.

Saya pernah percaya jika saya duduk di atas bantal, saya akan mendapat bisul. Saya pernah percaya yang saya tidak boleh berfoto bersama tiga orang. Andai dilakukan, salah seorang dari kami akan mati. Saya pernah percaya, jika saya tidak menjamah makanan yang terhidang sebelum berjalan jauh, saya akan kemalangan. Saya akan jilat tapak tangan andainya saya tak sempat menjamah hidangan itu. Kesemuanya tidak betul.

SENARAI sampah-sampah di minda ini begitu panjang. Kini, teknologi maklumat dan media menghujani kita pula dengan pelbagai sampah fikiran. Sebaik sahaja ia termasuk ke dalam minda, ia akan melekap dan tidak boleh lagi dibuang dengan apa cara sekali pun.

Kita didodoi dengan cerita-cerita fitnah dan kita melihat orang yang memfitnah itu lalu terpengaruh. Sebaik sahaja kita percaya tanpa memeriksa kesahihannya, sampah fitnah itu akan terpahat di fikiran. Maka berdosalah kita kerana mempercayai pembohongan.

Kita dihidangkan dengan hiburan yang tidak menambah kepandaian diri dan meningkatkan budi. Malah, ia memerosot dan meruntuh fikiran. Ia adalah sampah kerana kita tidak menjadi lebih bijak selepas menikmati hiburan itu. Bagaimana pun, oleh kerana ia disukai oleh ramai orang, kita tidak berasa ia tidak berguna. Tanggapan inilah yang akan menumpul daya berfikir.

Pancaindera kita sentiasa terdedah dengan pelbagai bentuk sampah. Kita perlu peka dan bersedia untuk menyaring atau menepis sama sekali apa sahaja yang sampai terutamanya melalui pendengaran dan penglihatan. Hanya dengan cara itu, fikiran kita akan sentiasa tajam untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, mengenali mana yang hak, mana yang batil; dan membezakan mana yang fakta, mana yang fitnah.

La rai bafih. Tidak ada keraguan baginya.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.4.2010

Wednesday, April 21, 2010

3 Ketika Kita Rasa Disayangi


Foto: usimages.detik.com
ERTI KETIKA
MAKANMU BERSUAP


MINGGU lepas saya mendapat SMS daripada seorang sahabat yang tinggal di Johor Bahru. SMS memberitahu tentang Aidil yang kini terlantar akibat demam panas yang teruk di sebuah hospital di Shah Alam. Saya termenung seketika. Betapa dalam era siber ini, sahabat yang tinggal jauh di selatan tanah air lebih tahu cerita seorang kawan yang berada di hospital yang begitu hampir dengan tempat kerja saya. Dekat tapi jauh, jauh tapi dekat.

Aidil berusia 50-an. Bertubuh agam. Perutnya masih kempis di usia begitu kerana dia rajin berjoging, bukan setakat brisk walking seperti kebanyakan insan seusianya. Makannya berjaga, bukannya berdiet. Dia makan apa sahaja. Hidangkan apa sahaja asalkan bukannya batu, kayu dan plastik; dia akan ratah semuanya. Tetapi, dia tak banyak makan. Baginya, setengah pinggan pun sudah cukup banyak.

Aidil juga seorang usahawan yang berjaya. Mempunyai pelbagai syarikat yang dikuasai sepenuhnya, syarikat perkongsian dan dia juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah berbelas-belas syarikat lain. Banyak juga syarikat-syarikat kecil yang ditajanya dengan memberikan modal. Jika rugi, dia akan ambil tahu. Tetapi kalau untung, dia tidak ambil pusing dan tidak mahu ambil untung walau satu sen pun.

Dalam dunia peribadinya, Aidil mempunyai anak-anak yang kesemuanya menjadi. Harta-harta dunianya banyak sebagaimana selayaknya dipunyai oleh seorang jutawan. Aidil AJK surau di kawasan perumahan teres berhampiran, kerana di kawasan perumahan banglo tempat tinggalnya tidak ada surau.

Dia berkahwin di usia muda. Sebaik sahaja Aidil dan girlfriendnya tamat belajar di universiti, mereka bernikah. Anis yang setia dan baik hati inilah yang kini sedang menyuapnya dengan sup. Mereka berdua tersenyum bila saya terjengul di pintu wad. Maklumlah, saya pernah menjadi posmen Aidil tatkala dia mabuk cinta dengan isterinya.

Saya memerhati Aidil yang begitu tenang meskipun tubuhnya susut. Selepas sesuap, sesuap lagi sup yang masuk ke kerongkongnya. Sesekali mereka berdua bertentang mata lalu bertukar senyuman. Romantisnya mereka.

“Kalau engkau nak tahu, ada tiga ketika di mana kita makan bersuap,” ujar Aidil. “Pertama, ketika kita masih bayi, kedua ketika kita menjadi raja sehari dan ketiga ketika kita sakit dan dah tua macam keadaan aku sekarang ini.”

“Betul kata engkau, tu. Tapi, apa yang istimewanya?” soal saya kerana baru perasan dengan situasi yang dinyatakan Aidil. Saya juga ingin menggembirakan hatinya dengan menggalakkan dia bercakap. Mudah-muadahan, dia akan lupakan sakitnya buat seketika.

“Bila orang menyuap kita makan, kita akan rasa seronok. Itulah saat di mana kita berasa diberi perhatian dan disayangi. Kerana itulah, dalam ketiga-tiga keadaan, sama ada ketika kita masih bayi, sebagai pengantin ataupun sebagai pesakit, kita ingin merasa disuap makanan selama yang boleh. Kita mahu suasana itu berpanjangan.

Kalau hendak mengeratkan kasih sayang sesama kita, di antara ibu dan anak, adik-beradik dan juga suami isteri, cubalah suap menyuap makanan. Oleh sebab makan adalah keperluan asas manusia, kita akan kekal kasih dengan orang yang menyuap kita. Sekali-sekala, cubalah menyuap makanan kepada anak yang dah besar. Mereka akan kasihkan kita. Ini naluri manusia.”

Apa yang diperkatakan Aidil memang ada logiknya. Terfikir-fikir juga bila kali terakhir saya menyuapkan makanan kepada isteri dan juga anak-anak. Dan saya tersenyum sendiri bila tidak ingat bila kami makan bersuap.

Saya tersenyum lagi bila melihat Aidil mencapai sudu sup untuk menyuap isterinya pula. Dan saya bingkas meluru kepadanya apabila sudu itu terlepas dan Aidil mula tercungap-cungap.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.4.2010

Tuesday, April 13, 2010

Baik & Buruk Mengelamun


KESAN TAYANGAN
DI LAYAR MINDA


AHAD lalu, saya memandu dan melewati sebatang jalan kecil yang sudah lama saya tidak lalui. Jalan di tepi padang bola itu mengingatkan saya pada satu peristiwa 15 tahun yang lalu. Peristiwa pada suatu senja yang mencemaskan saya.

Petang itu, sekitar jam 5.15 petang, hujan turun mencurah-curah. Petir berdentam-dentum dan kilat sabung menyabung. Angin berhembus kencang. Daripada cermin jendela pejabat, saya nampak dahan-dahan pokok semarak api yang patah ditiup angin. Beberapa keeping zink bumbung gerai di tepi jalan mula terbang ditiup angin dan menimpa dua tiga buah kereta berhampiran.

Saya terus teringatkan ketiga-tiga orang anak saya yang bersekolah KAFA pada ketika itu. Sudah pasti mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. Oleh kerana sekolah KAFA hanya satu kilometer daripada rumah, mereka hanya berjalan kaki pergi dan pulang. Tetapi, anak-anak saya ketika itu berusia 12, 11 dan 7 tahun. Masih kanak-kanak.

Apa yang terjadi kepada mereka dalam hujan lebat itu? Pasti mereka basah kuyup ditimpa hujan. Tentu buku-buku sekolah mereka basah. Dapatkah yang sulung menjaga kedua-dua adiknya? Bagaimana jika ada kenderaan di jalan raya yang tak nampak mereka melintasi jalan akibat lebatnya hujan? Si bongsu sememangnya nakal. Mungkin dia bermain di parit monsun yang deras airnya, dan…

TANPA berfikir panjang lagi, saya terus berlari keluar daripada pejabat dan memandu ke arah sekolah anak-anak saya. Di sepanjang perjalanan 10 kilometer yang sesak dengan kenderaan, saya berdoa kepada ALLAH agar tiada apa-apa yang terjadi terhadap anak-anak saya.

Apabila saya melewati jalan kecil di tepi padang bola, mata saya menyusur dan menyorot ke hujung jalan. Tercari-cari di manakah anak-anak saya. Ketiadaan sesiapa pun di kiri dan kanan jalan membuatkan saya lebih bimbang. Tiba-tiba, saya terpandang mereka.

Alangkah geramnya hati apabila nampak ketiga-tiga anak saya sedang bermain jongkang-jongket di taman permainan. Walaupun basah kuyup, masing-masing terlompat-lompat penuh gembira merempuh lopak. Kebimbangan saya terhadap buku-buku mereka yang basah rupa-rupanya meleset kerana saya ternampak beg-beg sekolah mereka terselit di dalam pondok mainan di situ. Melihatkan saya, mereka terkinja-kinja riang menyambut saya. Membuatkan saya mengukir senyuman lega.

Meskipun hati berasa marah, saya tersedar yang saya sebenarnya memarahi diri sendiri kerana terlalu mengikut perasaan. Akibat berfikiran negatif, saya izinkan lamunan saya menjelma menjadi sebuah tayangan wayang di layar minda.

TAYANGAN di layar minda mudah terjadi apabila kita teringatkan pada sesuatu atau seseorang. Ia menjelma bagai sebuah tayangan wayang gambar, siap dengan suara, muzik dan kesan khasnya! Andainya fikiran kita positif, ia merupakan satu bentuk terapi minda yang menyeronokkan. Ingatan terhadap kekasih, kejayaan anak mahupun kebahagiaan sahabat amat membahagiakan kerana tayangan di minda itu memberi kita harapan,

Sebaliknya, fikiran yang negatif bisa membuatkan kita mengigau di siang hari. Terpandang orang yang disayangi berjalan dengan orang lain, masalah kerja suami mahupun kerisauan akan kesihatan orang tua boleh melarat menjadi sebuah drama di dalam fikiran yang menyiksa batin hingga rasa marah, sedih dan dendam kesumat menjelma. Semuanya boleh terjadi bila kita dipermainkan fikiran sendiri.

Tayangan di layar minda boleh mengubah persepsi kita terhadap sesuatu atau seseorang itu. Jika positif, maka positiflah reaksi kita bila bertemu dengan orang yang kita lamunkan itu. Jika negatif, maka perkara yang sebaliknya akan terjadi.

Manusia yang kita temui itu pula akan memberikan reaksi terhadap apa yang kita tonjolkan. Yang tidak seronoknya ialah, aura negatif yang kita pamerkan hingga orang yang kita temui itu turut memberi aura yang negatif hingga tak fasal-fasal ia mengeruhkan perhubungan. Padahal, ia berpunca daripada tayangan di layar minda kita sendiri.

Justeru itu, tayangan di layar minda sama ada negatif ataupun positif perlu ditangani secara sewajarnya. Walaupun apa pun tayangan yang terpapar di layar minda, yang penting kita mestilah berkomunikasi dengan imej orang yang terbentuk di dalam tayangan di layar minda itu.

Buka mulut dan bercakaplah dengan orang yang dilamunkan itu sebaik sahaja kita bertemu dengannya. Kontak dalam bentuk perbualan dan bahasa tubuh akan mengubah segala persepsi yang telah terbina akibat mainan di minda kita.

Nescaya, rasa was-was,
syak dan wasangka akan menghilang
disapu roh silatulrahim.


Artikel ini tersiar di Sinar Harian pada 14.4.2010.

Tuesday, April 6, 2010

Jawapan Kepada Pelbagai Persoalan


MENGAPA
TIDAK BERTANYA
MENGAPA?


AHAD lalu, saya beruntung kerana dapat mendengar ceramah ‘State of Denial: Reporting The Middle East’ (dibaca, Palestin), oleh Dr. Robert Fisk, seorang wartawan terkenal daripada akhbar The Independent. Program anjuran Friends of Deir Yassin dengan kerjasama Institut Kajian Lanjutan Islam Antarabangsa itu mendapat sambutan dan perhatian.

Lebih 250 orang hadirin daripada pelbagai NGO, badan kerajaan dan individu memenuhi dewan utama institut itu. Ramai juga kakitangan kedutaan dan individu daripada pelbagai negara turut serta. Jelas sekali, isu Palestin begitu dekat di hati rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa.

Dr. Robert pernah tinggal di Timur Tengah selama 30 tahun dan telah menyorot pelbagai pergolakan termasuk revolusi Iran (1979), pencabulan Israel di Sabra dan Shatila (1982), Peperangan Teluk (1991) termasuk penaklukan Iraq (2003). Beliau pernah menemubual Osama bin Laden, bukan sekali, malah tiga kali. Pengalaman itu lebih bererti daripada berbelas-belas anugerah kewartawanan antarabangsa yang telah beliau menangi.

Banyak sekali kata-kata hikmat yang dicurahkan oleh wartawan berusia 63 tahun itu. Saya tertarik dengan tiga perkara yang boleh kita renungkan bersama. Katanya, ‘war is not about victory and defeat. War is about death!’ Peperangan itu bukannya soal kemenangan dan kekalahan. Peperangan ialah kematian!

Beliau juga secara selamba berkata, ‘Dunia ditipu kononnya terdapat senjata pemusnah massa (weapon of mass destruction) di Iraq. Kerana fitnah itu, dunia akur dan menghalalkan pencerobohan Amerika dan sekutunya di negara itu. Akibatnya Iraq huru-hara dan masih bergolak hingga ke hari ini.’

Namun, apa yang menarik hati saya ialah kata-katanya yang bertanya mengapa istilah ‘mengapa’ tidak dipedulikan lagi dalam mengupas perbagai persoalan yang mendepani kita. Menurutnya, kita sering membicarakan siapa, apa, bila dan bagaimana sesuatu itu berlaku. Tetapi kita selalu terlupa untuk bertanya mengapa sesuatu itu terjadi.

Saya bersetuju dengan telahan beliau. Berpuluh-puluh persoalan peribadi, persekitaran, masyarakat dan juga negara bersimpang-siur di minda kita. Persoalan anak yang terpaksa membawa beg besar ke sekolah, jiran yang sombong, tabiat merokok dan pergolakan politik yang tidak sudah-sudah masih menjadi topik perbincangan. Ia akan terus diperkata, diulas, diforum, malah diseminarkan berulang-ulang kali.

Namun, persoalan akan hanya tinggal persoalan. Jika tidak bertanya ‘mengapa,’ tanpa disedari, kita sebenarnya sedang menjauhi jawapan. Padahal,bukankah jawapan yang hendak ditemui pada setiap persoalan?

Persoalan ‘siapa’ membicarakan mengenai orang, ‘apa’ mengenai perkara, ‘bila’ mengenai masa dan ‘bagaimana’ itu mengenai kejadian. Bila direnungi, kesemuanya bertitik-tolak daripada saat ia tercetus. Maknanya, kita hanya dapat lihat yang lahiriah, bukannya yang batiniah.

Persoalan ‘mengapa’ pula memfokus kepada sesuatu kejadian sebelum ia terjadi. Pertanyaan ‘mengapa’ berupaya memutar minda kita untuk memahami punca persoalan. Tanpa memahami ‘mengapa,’ kita sukar memperoleh jawapan. Memahami, ‘mengapa’ mengelakkan kita daripada tenggelam punca.

Tetapi, kerana tidak memikirkan ‘mengapa,’ fikiran jadi sesak hingga kita jadi malas untuk berfikir. Akibat malas berfikir, kita terima sahaja apa yang ramai orang lakukan. Media massa yang begitu berpengaruh akan meresap dan memerangkap minda kita yang malas berfikir.

Saban hari, fikiran kita diuli dan dicanai hingga kita mempunyai fikiran yang sama dengan orang lain. Ini kononnya dinamakan public opinion, padahal ia adalah minda yang stereotaip. Akhirnya, kita sudah menjadi salah seorang mangsa yang diternak fikiran oleh media apabila mempunyai herd mentality daripada kalangan silent majority.

Sedarilah betapa mudah kita memahami masalah dengan mengkedepankan ‘mengapa.’ Rasailah susahnya menyelesai masalah bila kita melupakan ‘mengapa.’ ‘Mengapa’ adalah kunci kepada jawapan.

Dalam analogi yang maha makro, tidak memadai kita mengetahui dan menyelidiki The Big Bang iaitu kejadian alam yang paling raksaksa. Sebaliknya fahamilah ‘mengapa’ ia diletupkan oleh Yang Maha Perkasa. Jika kita memahami setelah bertanya ‘mengapa’ kepada perkara yang sebesar itu, kita akan menemui makna pada hal yang sekecil hama.


Artikel ini terbit pada 7.4.10 di akhbar Sinar Harian.