Tuesday, May 30, 2017

TIADA MAAF BAGIMU




Piccredit:sadcatdiary.com

BILA SEPATUTNYA MENOLAK MAAF
POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyiaran muka depan akhbar The Star pada Sabtu lepas di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Polis akan memanggil mereka yang bertanggungjawab bagi membantu siasatan berikutan banyak laporan diterima mengenai paparan muka depan akhbar itu melibatkan foto dan kapsyen yang menyinggung  perasaan masyarakat Islam.
Walaupun pihak polis telah membuka kertas siasatan, ada juga suara-suara sinis yang mengatakan, sebaik sahaja akhbar tersebut memohon maaf, sudah pasti tidak akan ada tindakan susulan yang akan diambil.

Sebelum ini, banyak kes yang menyentuh sensitiviti umat Islam tidak berpanjangan sebaik sahaja pihak yang melakukan kesalahan itu memohon maaf. Selepas itu, masyarakat Islam yang bising pada mulanya akan senyap sunyi. Kes ditutup kerana maaf mereka diterima!

Sikap pemaaf adalah sikap yang terpuji. Namun sikap itu boleh menjadi keji seandainya si pemaaf itu masih lagi memaafkan meskipun sesuatu kesalahan itu dilakukan berulang-ulang terhadapnya. Mereka mungkin jujur hingga ke peringkat lurus bendul kerana mempunyai pendirian pemaaf tanpa peka untuk membaca perangai si pelaku samada dia benar-benar silap ataupun sengaja menguji tahap kesabaran mereka.

Apakah masyarakat Islam sengaja dipermainkan sementelah kerana mereka berpegang kepada sikap mudah memaafkan? Mengapakah masyarakat Islam kelu lidah dan tidak bertindak walaupun jelas pihak yang meminta maaf itu mengulangi-ulang tindakan salah yang kononnya tidak sengaja itu?

Sebagai manusia, kita biasa melakukan kesilapan. Adab berbuat silap ialah memohon maaf kepada mereka yang dianiaya. Namun, mudah sangatlah mengungkap kata-lata ‘saya mohon maaf’ seandainya luka-luka perasaan itu dilupakan sebegitu sahaja. Apabila kesalahan diulangi berkali-kali hingga menimbulkan bengkak, si mangsa pula bertindak kasar akibat rasa amarah. Yang akan terjadi ialah, si mangsa yang marah itu pula dipersalahkan kerana kononnya emosional. Keadaan jadi terbalik. Yang melakukan kesalahan pula berlagak maksum.

Mana-mana pihak yang melakukan kesilapan sepatutnya memohon maaf. Tetapi, yang memaafkan pula mestilah mengenakan syarat. Pertama, dia kenalah beri penerangan mengapa kesilapan itu boleh dilakukan. Kedua, dia mesti berjanji untuk tidak mengulangi lagi kesalahan itu dalam apa jua bentuk pun. Ketiga, si mangsa akan memaafkan seandainya si pelaku bersumpah akan sanggup menerima apa jua tindakan sekiranya mengulangi perbuatan salahnya.

Maaf bersyarat itu akan menjadikan mereka yang salah lebih berhati-hati daripada mengulangi kesilapan. Dan,  seandainya yang salah itu memang punyai agenda tersembunyi, dia sendiri akan sedar, pihak yang dipermainkan itu sudah tahu belangnya.

Naluri kita boleh membaca kejujuran mahupun helah seseorang. Permohonan maaf itu tidak lagi bererti seandainya si pelaku memohon maaf setelah didesak. Ataupun ia dilakukan secara begitu mudah seolah-olah sebuah pernyataan formaliti semata-mata.  
Walau bagaimana pun, seandainya sesebuah permohonan maaf itu dibuat secara jujur, ia akan benar-benar memadam api kemarahan. Ia menzahirkan bahawa orang yang melakukan kesilapan itu benar-benar ingin menjaga hati orang yang terkesan dengan kesilapannya itu. Tambahan pula, jika si pelaku salah itu segera memohon maaf tanpa dipinta-pinta. Dan, orang yang jujur dalam permohonan maafnya pasti tidak akan ulangi kesilapannya lagi. Dia sedar yang dia alpa melakukan kesilapan itu. Dia peka bahawa dia telah mencalar perasaan pihak yang satu lagi.
Betapa pun, permohonan maaf yang baik dan terpuji adalah permohonan maaf melalui lafaz dan bukannya secara bertulis. Bila melafaz, mata akan bertentang mata. Bahasa mata boleh menjalar terus ke hati. Genggaman tangan yang memohon maaf itu juga petanda kesungguhan.  
Action speaks louder than words. Jangan tulis aje. Itu formaliti yang tidak ambil kira sensitiviti! Maaf sebegitu sepatutnya tertolak!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 31.5.17


Tuesday, May 23, 2017

DI ANTARA TELUS DAN TELANJANG



Piccredit: ywca north central indiana

TELUS ITU 
BUKANNYA TELANJANG

KITA hidup di era ICT, yang membawa maksud era information and communication technology. Ringkasnya era teknologi maklumat, iaitu era IT. Pada asalnya, era IT ini adalah gabungan rangkaian telefon dan audio visual  yang membolehkan penggunanya memperoleh, menyimpan, memindah atau mengubah maklumat yang diterimanya.

Bagaimana pun, lama kelamaan, era ICT atau IT ini membawa maksud kehidupan harian kita yang bergantung kepada maklumat yang disampai atau yang kita kirim melalui komputer. Yang mutakhir, peri pentingnya telefon pintar kepada kehidupan seharian kita.

Kita mengkritik tentang kebergantungan kita kepada telefon pintar. Yang membuatkan kita bingkas bangun pagi bukannya kerana jam loceng sudah berbunyi. Tetapi, apabila keinginan untuk melihat apakah mesej Whatsapp yang masuk ke dalam telefon kita.

Jika sebelum ini, bunyi dering telefon akan menjadikan kita menggelabah mencapainya, kini bunyi dengutan mesej yang masuk ke kotak telefon yang menjadikan kita gelisah. Seolah-olah mesej itu akan hilang sekiranya ia tidak ditatap. 

Kita bercelam-celum di antara dunia nyata dengan dunia siber. Pemanduan kita di jalanraya sudah tidak menarik. Apa yang lebih seronok ialah mesej, audio dan video yang sampai ke dalam telefon. Tak dengar pun bunyi hon kereta di belakang kerana kita masih asyik dengan telefon meskipun lampu trafik sudah bertukar hijau. Tidak rasa lagi gelisah menunggu di barisan pejabat pos atau bank kerana apa yang terpapar di telefon sudah mengasyikkan.

Tiada lagi mesyuarat yang membosankan kerana ada sahaja lawak kawan-kawan yang menyelit di antara mesej yang sampai sebagai penghibur. Telefonlah pengubat kesunyian dan kedukaan walaupun ia bererti orang di sebelah makan hati kerana kita semakin tidak pedulikan dia!

Sememangnya IT yang dibekalkan oleh telefon pintar membantu kita untuk melihat dunia. Ia membawa kita belayar di lautan siber hingga ke hujung dunia. Daripada suatu segi, telefon pintar sudah menjadi alat terapi kesunyian, kebosanan, malah dapat menghilangkan rasa duka lara.

Kita bukan sahaja membaca apa yang orang lain paparkan. Sebaliknya, kita juga berpeluang untuk menzahirkan perasaan dan berkongsi apa jua yang kita ada dengan sesiapa sahaja yang berminat. Keterbukaan ini menjadikan kita telus. Telus dalam melahirkan fikiran, pandangan dan juga perasaan. Telus dalam berkongsi ilmu dan minat dengan orang lain.

Bagaimana pun, ketelusan yang tanpa batas ini akhirnya menjadikan kita manusia yang telanjang! Telanjang kerana orang lain dapat tahu apa sahaja yang kita ada, apa jua yang kita fikir, impikan dan igaukan. Yang positif, yang negatif kesemuanya sudah terpapar untuk ditatap oleh orang lain.

Jika sampai orang tahu yang kita kecil hati bila isteri tak tumbuk sambal belacan, kita meroyan kerana bos marahkan kita dalam mesyuarat, kita tak gemar hadiah kemenangan juara permainan karom, nampak kemaruk bila dapat makan kek keju… orang lain dah boleh agak siapa kita.

Apa yang kita papar di dalam media sosial itu mencerminkan peribadi. Tidak perlu seseorang itu berkelulusan psikologi untuk menelah peribadi kita. Apa yang kita tulis dan tampal di laman media sosial peribadi itu sudah cukup menelanjangkan kita.

Jika ditamsilkan seseorang yang berjubah dan berpurdah… memang dia seorang yang misteri hingga kita dapat bercakap dan mendengar suaranya. Jika dia berpakaian santai yang menampakkan wajahnya, kita lebih mudah mengenalinya.

Dan, maaf cakap sebagai contoh…  sekiranya dia berpakaian seksi, ada banyak bahagian tubuhnya yang sudah tiada misteri. Bagaimana pula jika dia telanjang? Kita akan menoleh ke lain arah!


Terbukalah, teluslah asal jangan dedahkan segala-galanya. Telus itu bukannya telanjang! Jika kita telanjangkan diri di laman sosial, apa lagi misteri yang kita hendak simpan dari mata orang lain mengenai diri kita?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.5.17.

Tuesday, May 16, 2017

KEYBOARD WORRIOR



Piccredit:evil english

WIRA-WIRA
BUTANG TELEFON

KITA tentu tahu mengenai istilah keyboard warriors. Keyboard ialah papan kekunci. Warriors pula bermaksud, wira. Jadi, keyboard warriors bermaksud wira papan kekunci. Daripada segi istilah, ia dianggap sebagai suatu gelaran penghormatan.

Namun sebenarnya, gelaran keyboard warriors mengikut urban dictionary bermaksud, seseorang yang tidak mampu menzahirkan kemarahannya dengan perbuatan. Mungkin kerana dia bacul atau sebenarnya tiada sesuatu prinsip dalam hidup di dunia realiti.

Kerana itu, dia memanifestasikan emosi itu merlalui gaya tulisan yang cabul, kasar  dan celupar. Bagi dirinya, mengeluarkan pendapat dalam menyelesaikan masalah itu semestinya secara konfrontasi dan bukannya secara berhujah, apatah lagi melalui perundingan.

Bagi dirinya juga, kematian adalah penyelesaian cepat kepada semua musuh virtualnya yang ditemui dalam internet. Istilah please die adalah kesimpulan mudah dalam mana-mana pertengkaran. ‘Sila meninggal’ pula adalah versi tempatannya. (Kerana itu ramai yang berkecil hati dengan saranan ini).   

Betapa pun, pendekatan kasar yang tidak perlu di dalam dunia komunikasi ini dilihat sebagai tindakan mereka yang tewas atau losers. Saya cenderung untuk mengatakan bahawa istilah keyboard warriors itu tidak tepat. Mereka bukannya wira, sebaliknya mereka adalah keyboard worrior ~ orang yang bimbang.

Tatkala laman-laman sosial mula popular, kita dapati kemunculan ramai sekali golongan ini. Orang timur tidak ramai yang berani ke depan untuk menyuarakan pendapat, apatah lagi memperjuangkan kebenaran secara lantang. Oleh kerana golongan ini riuh bersuara di sebalik papan kekunci masing-masing, maka mereka yang lantang dan celupar ini menjadi golongan yang disegani, kalau tidak pun digeruni kerana keberanian mereka bersuara di sebalik papan kekunci masing-masing.

Masa beranjak dan mana-mana kumpulan mula berhimpun dengan mereka yang seinspirasi. Penjajaran persahabatan mula berlaku. Yang minat agama, politik, pembacaan, aktiviti luar, aktiviti ekstrim, ekonomi dan kemasyarakatan mula berhimpun dalam kumpulan masing-masing. Sudah tiada kelihatan keyboard warriors di merata tempat kecuali seorang dua ataupun sekali sekala di dalam kumpulan-kumpulan popular dan umum.

Lagi pula, jika dahulu begitu ramai di antara kita yang membuka diri seluas-luasnya di laman sosial kerana kemaruk mendapat ribuan kawan, pada hari ini keadaan sudah berubah. Ramai yang mengecilkan setting keterbukaan kerana sudah pandai menyaring permintaan seseorang untuk menjadi kawan. Biar tak ramai kawan, tapi biarlah mereka yang sekepala.

Bagaimana pun, laman-laman sosial di komputer pada hari ini mula berpindah pula ke telefon pintar masing-masing. Ia mengubah kembali penjajaran media sosial. Jika sebelum ini seseorang itu berkumpul di dalam grup yang sama minat, sama latar belakang, media sosial di telefon pintar telah melakar kembali penjajaran itu kepada kumpulan yang lebih intim.

Aplikasi seperti  Whatsapp, Telegram dan Line seumpamanya menghimpun grup yang lebih kecil. Kumpulan rakan setadika, sekelas, sekolej, seasrama, sekerja, sepejabat, seideologi, seperjuangan dan seketurunan menjadi ikatan siber yang lebih kukuh kerana ia kecil. Dalam kebanyakan kumpulan ini, hampir semua orang kenal dengan semua ahli kumpulan.

Oleh kerana itu, perhubungan yang terjadi dilatari rasa kekitaan, persaudaraan dan saling menghormati. Daripada segi idealnya ia amat baik. Namun mula menjadi masalah apabila di dalam jajaran ini muncul juga keyboard worrier yang cukup mengganggu.

Jika di laman sosial yang lebih besar seperti Facebook, seseorang itu boleh leave group secara diam-diam, di dalam aplikasi bermesej telefon pintar yang kecil, semua orang akan nampak apabila kita menarik diri. Kerana itu, mahu tak mahu ramai yang telan liur sahaja dengan apa jua mesej, imej dan video mengarut yang dikirim oleh salah seorang anggota kumpulan yang kini menjadi ‘phone button warrior.’

Apa nak buat. Mereka itu mungkin saudara tua, rakan berpangkat yang dihormati atau seorang saudara yang terpelajar. Di khalayak, mereka menjaga perangai. Tetapi di dalam grup kecil di aplikasi telefon pintar, mereka tak jaga kelakuan menyebarkan sesuatu yang tak molek ataupun tak benar.


Hendak tegur takut tercalar persaudaraan. Tak tegur, takut membiarkan perbuatan yang lagha. Kita tiada jawapan penyelesaian. Yang boleh hanya mengeluh dan menggeleng kepala tanda terkilan. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 17.5.17.

Tuesday, May 9, 2017

PANDANGAN MENGENAI PESTABUKU 2017




Piccredit: PBAKL

PEMINAT BUKU SUDAH KEMBALI

PESTABUKU Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 baharu sahaja melabuhkan tirai. Reaksi spontan di kalangan pempamer di pestabuku kali ini menunjukkan ia mendapat sambutan yang lebih baik daripada tahun lalu. Malah, sudah terlukis bayangan senyuman mereka yakin khalayak pembaca mula kembali ke pestabuku.

Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur sebenarnya menjadi barometer kepada iklim industri buku dan tabiat membaca di Malaysia. Apabila pestabuku yang baharu lalu itu kian meriah dengan para pelanggan yang mula bersesak ke reruai-reruai, maka ia adalah bayangan suasana industri buku Malaysia bagi bulan-bulan yang mendatang.

Iya, khalayak peminat buku sudah kembali untuk mencapai dan menatap buku. Di mana mereka pada enam-tujuh tahun yang lalu? Sebenarnya, minat mereka mula teralih dengan teknologi telefon pintar. Kegemaran mereka sudah terpaling kepada laman-laman sosial seperti Facebook. Maka mereka tenggelam dalam dunia sosial kerana asyik berbual dengan rakan-rakan di laman-laman sosial. Perlahan-lahan buku dilupakan.

Dalam tempoh itu, muncul banyak sekali pemain dalam industri pembacaan buku. Teknologi print-on-demand yang membolehkan pencetak mengeluarkan sekitar 100 naskhah buku dengan harga yang cukup murah membuka selera mereka untuk menjadi penerbit.

Banyak penerbit bererti mereka mahukan lebih ramai penulis. Maka itulah yang terjadi. Mereka yang mendapat ribuan likes di laman sosial mula menjadi penulis dengan menghimpun catatan-catatan ringkas mereka. Banyak juga karya di kalangan mereka yang tidak terpilih oleh penerbit besar dan berpengalaman diambil oleh penerbit-penerbit yang baharu ini.

Bahasa bercakap yang lebih terbuka dan berani menjadi sesuatu yang lumrah dan diterima Gen-Y dan Gen-Z ini. Penerbit-penerbit dan penulis-penulis muda mengambil kesempatan ini untuk memberi pakej yang diingini oleh khalayak ini.  Akhirnya pasaran menjadi tepu dan sesak.

Khalayak pembaca yang konvensional, yang gemarkan suasana yang tenang berasa pasaran sudah bingit dan bising. Mereka berundur kerana tidak selesa dengan keadaan itu. Buku-buku pilihan mereka sudah tidak terpamer di rak-rak hadapan. Ia dipenuhi oleh buku-buku oleh penerbit-penerbit indies yang punyai imej dan jalur cerita yang berbeza dengan selera mereka. Bagaimana ini bisa terjadi? Bukankah banyak juga penerbit konvensional yang bertahap gergasi?

Bagaimana pun, penerbit-penerbit indies menang dari sudut persepsi. Sebuah penerbit besar boleh menerbitkan 3,000 naskhah buku untuk satu judul. Tetapi 10 penerbit-penerbit indies hanya perlu mencetak 300 naskhah buku untuk sebuah judul. Oleh itu, yang  kelihatan di rak-rak buku ialah 10 judul baharu penerbit indies dan hanya satu penerbit konvensional. 1:10! Buku konvensional tenggelam di kelilingi buku-buku indies.

Ia memberi persepsi bahawa masyarakat pada hari ini lebih sukakan bahan bacaan yang santai, ringkas, terkini dengan gaya bahasa in-verbatim. Dan ia juga memberi tanggapan bahawa pengkaryaan yang menggunakan bahasa standard sudah out-of-date.

Dalam tempoh tiga-empat tahun yang lalu juga muncul laman sosial baharu yang lebih intim kepada khalayak penggunannya. Aplikasi Whatsapp, Line dan Telegram mengasyikkan khalayak pembaca. Mereka lebih gemar bersembang dan bertukar-tukar foto daripada membelek buku.

Tetapi, manusia akan kembali kepada fitrah. Jika makanan itu adalah santapan untuk perut, membaca itu santapan minda. Akhirnya penggemar buku mula laparkan bahan bacaan. Mereka kembali mencari buku. Mereka yang membeli berbakul buku sudah muncul semula di pestabuku yang lalu. Mereka yang ke pestabuku tiga-empat kali hadir semula di gelanggang pembacaan.

Semua ini perlahan-lahan akan menghapus persepsi bahawa rakyat Malaysia tidak membeli buku kerana sudah tidak minat membaca; tidak membeli buku kerana harganya yang mahal. Sebenarnya, sesiapa yang meminati sesuatu akan berbelanja untuk mendapatkannya walau betapa tinggi harganya.

Lihatlah, betapa novel trilogi Tombiruo terbitan Alaf 21 yang berharga RM399 pun sudah mula menjadi sebutan dan rebutan meskipun ia masih di peringkat editing. Ia petanda baik tentang minat khalayak yang sudah kembali menggilai buku.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.5.17.


Tuesday, May 2, 2017

TREND MEMBACA 2017




 
Piccredit: uglydogbooks.com
 
BUKU MASIH ADA HARI ESOK

AHAD lalu, saya ke Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Ini adalah pestabuku yang terhebat dan terbesar di tanahair. Lazimnya, tapak pesta akan dikunjungi oleh pelbagai golongan khalayak pencinta buku. Puluhan ribu pengunjung akan bersantai di sini.
Hari itu 1 Mei. Mengikut pengalaman saya yang pernah aktif dalam industri buku, 1 Mei adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap pempamer buku. Ini adalah hari kemuncak pestabuku. Lazimnya tarikh 1 haribulan Mei adalah hari membuat untung besar. Khalayak bersesak-sesak di semua ruai, semua aras, malah melimpah ke luar kawasan pesta. Jangan sebut tentang penuhnya parkir. Kesesakan pengunjung yang datang dengan komuter menambah kepadatan.
Tetapi itu dulu. 1 Mei pada Ahad lalu begitu berbeza kerana keadaannya lengang. Hanya ada empat-lima orang pengunjung yang menapak dari stesyen komuter menuju ke PWTC. Waktu itu sudah jam 9.00 pagi. Andaian saya benar. Apabila saya memasuki ruang legar PWTC, keadaannya tidak sesesak tahun-tahun sebelumnya.
Yang riuh hanyalah suara dari alat siaraya dan juga suara panel perbincangan mengenai buku di pentas utama. Saya merayau untuk merasai suasana pesta yang lazim saya hirup tatkala ke mari pada tahun-tahun lalu. Kali ini rasa suasana sedikit tawar kerana meriahnya ada, tetapi pengunjung yang berkurang.
Apa sudah jadi? Siapa nak beli ratusan ribu buku yang terpamer? Di manakah penggila buku? Apakah mereka sudah tidak minat membaca? Apakah mereka lebih gemar membaca melalui e-book atau lebih gemar berwhatsapp atau berfacebook di telefon pintar masing-masing? Apakah membaca sudah mati?
Saya sempat melontarkan persoalan apakah orang sudah tidak minat membaca kepada beberapa orang aktivis buku, tuanpunya syarikat buku dan juga para pengunjung. Rata-rata jawapan mereka sama seperti andaian saya. Orang masih gemar membaca. Jika begitu, mengapa PBAKL kali ini tidak ramai yang mengunjungi?
 Menurut mereka, sebenarnya yang meramaikan pestabuku pada tahun-tahun yang lalu adalah mereka yang terkena dengan tempias kepopularan membaca. Lima tahun lalu, begitulah keadaannya. Penerbit-penerbit besar menjadi penerbit gergasi. Maka mereka yang melihat trend ini mula mewujudkan syarikat penerbitan dan menerbit buku untuk merebut peluang membuat duit.
Kemajuan internet membolehkan sesiapa sahaja mula menerbitkan buku. Kewujudan media sosial seperti Facebook membolehkan mereka menjual buku secara langsung kepada pembeli. Tidak perlu melalui ejen pengedar mahupun kedai buku lagi. Melalui kekuatan komunikasi sosial, banyak penerbit bebas yang membina kabilah masing-masing. Anggota kabilah atau tribe inilah yang menularkan apa jua buah tangan syarikat-syarikat kecil ini hingga ia mendapat sambutan yang menggerunkan penerbit-penerbit gergasi.
Lagi sekali, itu cerita dulu. Cerita hari ini punyai skrip yang bakal menunjukkan penyudah yang berbeza. Ya, tatkala buku pelbagai genre begitu digilai, membaca dan buku menjadi kegilaan sementara oleh mereka yang menganut herd mentality. Mereka suka apa yang khalayak suka. Kita lihat musim kegilaan tudung, gila ubat kuat, gila ubat kurus, gila kek red velvet dan juga yang gila buku.
Pada hari ini, kesemua kegilaan ini menjadi suam. Termasuk juga kegilaan kepada buku. Mudah sahaja jika kita perhatikan berapa banyak iklan pelbagai barangan yang kini hanya dapat mengumpul hanya ratusan like dan share. Bukan lagi ribuan like dan share. Ertinya ia adalah kegilaan sementara.
Namun khalayak pencinta buku adalah golongan yang tegar. Dalam apa jua keadaan pun, mereka tetap menyukai buku. Itulah santapan minda mereka yang terbaik. Mereka tetap ke pestabuku. Golongan pencinta buku ini adalah golongan yang amat cerdik. Maklumlah, mereka hidup di sekeliling buku.
Kerana itu, penerbit tak boleh lagi hasilkan buku yang sembrono lagi. Jika penerbit masih degil dan hendak mengejar wang dengan menerbitkan apa sahaja, mereka akan dilupakan. Pencinta buku tahu yang mana intan, yang mana kaca.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.5.17.